Showing posts with label Nikah dan Jurunikah Palsu. Show all posts
Showing posts with label Nikah dan Jurunikah Palsu. Show all posts

Saturday, February 26, 2011

'Ini semua salah faham'

'Ini semua salah faham'

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, saya sudah bebas daripada semua tuduhan dan kejadian yang berlaku sebenarnya hanyalah salah faham,” kata pelakon drama popular, Zaefrul Nadzarine Nordin, 45, atau Zaefrul ketika mengulas mengenai insiden dia ditahan pihak berkuasa selepas terbabit dalam kes ugutan terhadap dua pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), minggu lalu.

Zaefrul dan dua lagi rakannya berusia lewat 30-an yang ditahan bagi membantu siasatan selepas menyerah diri dibebaskan Selasa lalu selepas pihak berkuasa melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu selain berpuas hati dengan keterangan serta kerjasama diberikan mereka sepanjang tempoh berkenaan.

Menceritakan bagaimana kejadian itu bermula, Zaefrul berkata, dia dipanggil kedua-dua pegawai penyiasat SPRM itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menggunakan sindiket nikah palsu untuk perkahwinannya yang kedua.

“Dua pegawai terbabit mendakwa mahu bertemu di sebuah kafe di Danau Kota sebelum saya pergi bertemu mereka ditemani tiga rakan kira-kira jam 11.20 malam Ahad lalu.

“Bagaimanapun, keadaan bertukar tegang apabila seorang daripada rakan saya bercakap sesuatu yang kurang enak kepada dua pegawai penyiasat itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia tidak menyangka seorang daripada tiga rakannya itu mengambil tindakan itu dan dia kesal dengan apa yang terjadi.

“Selepas mengetahui dua pegawai itu membuat laporan polis mengenai insiden berkenaan, saya tampil menyerah diri di Balai Polis Kepong.

“Jika tidak bersalah, kenapa perlu takut dan selepas siasatan dilakukan saya dibebaskan. Ini jelas membuktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Menurut Zaefrul, dia berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap kejadian yang menimpanya itu.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya menggunakan sindiket nikah palsu didalangi pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk berkahwin, Zaefrul mendakwa dia tidak terbabit sama sekali.

“Tidak semua yang dipanggil untuk proses siasatan terbabit dalam sesuatu kes yang sedang disiasat itu. Saya hanya dipanggil menyalurkan maklumat kepada mereka.

“Saya harap penjelasan ini dapat membersihkan semula imej yang tercalar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan pembebasan ketiga-tiga lelaki termasuk Zaefrul yang ditahan pihaknya bagi membantu siasatan membabitkan kes ugutan terhadap dua pegawai SPRM.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang pelakon drama popular ditahan polis pada 19 Februari lalu selepas menyerah diri berhubung kes mengugut dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat mengenai perkahwinan keduanya menggunakan sindiket nikah palsu.

Pelakon lelaki berusia 45 tahun itu pernah mencetuskan kontroversi dalam industri hiburan tanah air apabila gambar intimnya bersama seorang pelakon wanita tersebar di Internet.

Beliau bersama tiga rakannya berusia 30-an mengugut dua pegawai penyiasat SPRM berkenaan, supaya tidak meneruskan siasatan terhadapnya yang dilaporkan menggunakan sindiket nikah palsu untuk perkahwinannya yang kedua.

http://www.hmetro.com.my/articles/Inisemuasalahfaham/Article

Sunday, February 20, 2011

Rakan pelakon ugut bunuh

Rakan pelakon ugut  bunuh

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon drama popular ditahan polis semalam selepas menyerah diri berhubung kes mengugut dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat mengenai perkahwinan keduanya menggunakan sindiket nikah palsu.

Pelakon lelaki berusia 43 tahun itu pernah mencetuskan kontroversi dalam industri hiburan tanah air apabila gambar intimnya bersama seorang pelakon wanita tersebar di Internet. Menurut sumber polis, pelakon terbabit bersama tiga rakannya berusia 30-an mengugut dua pegawai penyiasat SPRM berkenaan, Isnin lalu.


“Menyedari kesalahannya selain yakin dia diburu pihak berkuasa, pelakon itu tampil menyerah diri di Balai Polis Kepong kira-kira jam 10 pagi (semalam) sebelum dia ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, pelakon terbabit sebelum ini dipanggil SPRM untuk membantu siasatan satu sindiket pernikahan palsu didalangi seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan empat lelaki lain berikutan dia menggunakan khidmat sindiket itu untuk pernikahan keduanya.


Sumber itu berkata, pertemuan pelakon terbabit dengan dua pegawai SPRM yang mahu mengambil keterangannya diadakan di sebuah kafe di Danau Kota, di sini, kira-kira jam 11.20 malam Isnin lalu.


“Sebaik pelakon itu dan tiga rakannya masuk ke kafe berkenaan, seorang daripada rakannya memperkenalkan diri sebagai ‘Abang Joe’ dan mendakwa dia pegawai khas Ketua Polis Negara.

“Abang Joe mengarahkan dua pegawai SPRM berkenaan menghentikan siasatan ke atas pelakon itu. Apabila dua pegawai SPRM itu bertegas untuk meneruskan siasatan, Abang Joe mengugut dengan mengatakan akan membunuh mereka,” katanya.


Menurutnya, Abang Joe turut mengugut mahu menembak kedua-dua pegawai itu sehingga mati jika permintaannya tidak dipenuhi. “Selain itu, Abang Joe memberitahu dia boleh memerangkap dua pegawai SPRM berkenaan dengan meletakkan dadah dalam rumah atau kenderaan mereka supaya pegawai itu ditahan polis.

“Malah, Abang Joe mendakwa dia sanggup mati semata-mata bagi memastikan SPRM tidak meneruskan siasatan terhadap pelakon terbabit,” katanya.


Sumber itu berkata, pelakon terbabit dan tiga rakannya meninggalkan kafe berkenaan sebelum kedua-dua pegawai penyiasat SPRM itu membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.


Menurutnya, pelakon terbabit direman lima hari bermula semalam dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penahanan pelakon terbabit.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak akan tunduk pada ugutan, tohmahan dan fitnah mana-mana pihak yang cuba menjejaskan siasatan sesuatu kes rasuah.


“Ini sebahagian cabaran yang perlu kami hadapi. Dalam kes sebegini, SPRM akan serahkan kepada polis mengambil tindakan sewajarnya.


“Kami akan teruskan siasatan sindiket pernikahan palsu itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Rakanpelakonugutbunuh/Article

Saturday, February 19, 2011

Wali tidak perlu hadir

Wali tidak perlu hadir

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

BUKTI...pegawai SPRM menunjukkan sijil nikah palsu  dikeluarkan sindiket perkahwinan.
BUKTI...pegawai SPRM menunjukkan sijil nikah palsu dikeluarkan sindiket perkahwinan.

PUTRAJAYA: Wali tidak perlu hadir ketika majlis pernikahan berlangsung, cuma perlu membuat pengesahan melalui telefon. Itulah keistimewaan pakej disediakan satu sindiket menyediakan khidmat perkahwinan untuk golongan yang mahu berpoligami dikesan bergiat aktif di seluruh negara sejak 2000.

Sindiket itu yang turut dilanggani artis dan golongan kenamaan (VIP) untuk berkahwin tanpa pengetahuan isteri, mengenakan bayaran antara RM1,600 hingga RM2,300 dan menyediakan sijil serta kad perakuan nikah hampir sama seperti dikeluarkan Jabatan Agama Islam negeri.


Paling mengejutkan, sindiket terbabit juga dikesan menyedia dan menjual sijil serta kad nikah terbabit kepada pasangan yang mahu memiliki dokumen itu tanpa perlu menghadiri majlis pernikahan. Sindiket yang dipercayai didalangi seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu menyediakan seorang jurunikah tidak bertauliah yang dipertanggungjawab menikahkan pelanggan mereka.

Sumber berkata, lebih 500 pasangan dikenal pasti sudah menjadi mangsa sindiket berkenaan dan kebanyakan mereka mendakwa tidak menyedari ditipu kerana diberikan sijil dan kad nikah hampir sama seperti yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Menurutnya, kebanyakan mangsa tidak mengikuti prosedur ditetapkan untuk berpoligami iaitu tanpa kebenaran secara bertulis daripada mahkamah syariah seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 23 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

“Kebanyakan mangsa tidak menyedari mereka ditipu dan ia hanya terbongkar selepas mereka melakukan pemeriksaan terhadap sijil dan kad nikah dimiliki sebelum mendapati maklumat tidak sama seperti tertera di atas sijil serta kad nikah terbabit,” katanya.


Sumber itu berkata, khidmat sindiket terbabit cukup mudah kerana pasangan hanya perlu menyediakan dua keping salinan kad pengenalan serta saksi, sebelum diminta bertemu di satu tempat untuk menyerahkan dokumen itu.


“Mereka akan tetapkan tarikh untuk berjumpa sebelum dibawa ke lokasi untuk dinikahkan, terutama di hotel bajet atau rumah persendirian.

“Lebih mengejutkan, akad nikah dijalankan tanpa kehadiran wali dan pengesahan hanya perlu dibuat melalui telefon,” katanya.


Harian Metro pada 28 Januari lalu melaporkan segelintir VIP dikesan menggunakan sindiket nikah tidak bertauliah yang menyediakan pakej lengkap dengan sijil nikah kononnya dikeluarkan Jawi.

Pasangan menggunakan khidmat sindiket itu diyakinkan pernikahan diuruskan bukan saja sah dari segi Islam, malah turut diperakui Jawi dengan sijil perkahwinan dan kad nikah dikeluarkan sebaik proses ijab kabul selesai. Bagaimanapun, kegiatan sindiket terbabit terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lelaki berusia antara 50 hingga 64 tahun, Isnin lalu.

http://www.hmetro.com.my/articles/Walitidakperluhadir/Article

‘Mereka perdaya diri sendiri’

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, mengesahkan menerima laporan seorang kakitangannya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, berikutan terbabit dalam sindiket penikahan palsu.

Beliau berkata, lelaki terbabit kakitangan kontrak diberi amanah sebagai penggerak masyarakat Orang Asli yang sudah tamat tempoh dengan Jakim, sejak Januari lalu.


“Memang sebelum ini, Jakim ada menerima aduan mengenai pembabitan kakitangan terbabit dalam sindiket berkenaan (perkahwinan berpoligami tanpa wali),” katanya.

Wan Mohamad berkata, dalam banyak keadaan, pasangan menggunakan sindiket nikah palsu sebenarnya sudah mengetahui perbuatan dilakukan itu salah.


Menurutnya, pasangan terbabit sebenarnya bukan diperdaya, tetapi sebenarnya memperdayakan diri sendiri bagi memudahkan berpoligami.


Beliau berkata, apabila perkahwinan tidak halal ini berlaku, yang menjadi mangsa adalah wanita yang tidak menyedari lelaki yang hendak dikahwini sudah mempunyai isteri lain.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011021801501420110218015014/Article/index_html

Wednesday, November 17, 2010

Lupus hantaran

Lupus hantaran

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my


MENGAKU SALAH...pasangan warga Indonesia Nordin (kanan) dan Uswatun (dua dari kiri) diiringi penguat kuasa Jawi selepas perbicaraan semalam.
MENGAKU SALAH...pasangan warga Indonesia Nordin (kanan) dan Uswatun (dua dari kiri) diiringi penguat kuasa Jawi selepas perbicaraan semalam.

KUALA LUMPUR: Dua warga Indonesia yang terbabit dalam upacara pernikahan menggunakan sindiket diketuai ‘Pak Hashim’ empat hari lalu, terpaksa melupakan seketika hasrat mereka untuk bergelar suami isteri selepas kedua-duanya didenda RM800 setiap seorang atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar.

Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Uswatun dan Nurdin (umur tidak dinyatakan) di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas mahkamah menerima pengakuan salah mereka.


Bagaimanapun, kedua-dua mereka hanya perlu membayar RM150 setiap seorang kerana mereka dibenarkan menambah daripada wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini iaitu masing-masing RM650.

Kedua-dua tertuduh yang hanya menundukkan muka turut berdepan hukuman penjara 12 hari sekiranya mereka gagal membayar denda seperti yang diperintahkan mahkamah.


Mahkamah juga memerintahkan barangan hantaran milik pasangan itu dilupuskan.


Mengikut pertuduhan, mereka di dakwa melakukan di sebuah rumah di rumah No 51, Lot 2242, Jalan Kubur, Kampung Pantai Dalam dekat sini, jam 7.45 malam pada 13 November 2010.

Pasangan itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 39 dan Seksyen 40 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 40 (2) yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Dalam prosiding semalam, kedua-dua tertuduh memohon supaya hukuman yang dikenakan kepada mereka diringankan kerana masih menanggung keluarga. Bagaimanapun, Pendakwa Syarie Mohd Sohibul Kahfi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mereka bukan saja melakukan kesalahan berdasarkan undang malah turut melanggar hukum syarak.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Khairul Azwadi sempat menasihati kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan mereka dan mengikut prosedur serta undang-undang yang ditetapkan di negara ini.


“Perkahwinan adalah sesuatu digalakkan dalam Islam untuk menambahkan bilangan zuriat dan generasi yang akan mengembangkan Islam.


“Namun, perkahwinan itu perlu mengikut prosedur terutama hukum syarak. Jika kamu atau mana-mana pihak mempunyai masalah mengenai wali, kamu boleh merujuk kepada pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Lupushantaran/Article

Monday, November 15, 2010

Poster lelaki wali perempuan

Poster lelaki wali perempuan

Oleh Shamsul Munir Safini

BUKTI...lukisan dalam bentuk poster yang digunakan lelaki terbabit.
BUKTI...lukisan dalam bentuk poster yang digunakan lelaki terbabit.
TAHAN...pengantin perempuan yang ditahan.
TAHAN...pengantin perempuan yang ditahan.

KUALA LUMPUR: Satu lukisan wajah seorang lelaki yang didakwa seorang daripada Wali Songo digunakan seorang jurunikah haram sebagai pengganti kepada wali pengantin perempuan yang dinikahkannya.

Dikenali sebagai Ustaz Hashim, lelaki warga Indonesia terbabit mendakwa lukisan berkenaan simbolik kehadiran ulama Islam terkenal di Pulau Jawa pada kurun ke-17 itu yang kononnya sentiasa berdampingan dengannya secara ghaib.

Setakat ini, ustaz temberang itu dipercayai sudah melakukan banyak upacara akad nikah termasuk lelaki yang ingin berpoligami dan dia akan membawa lukisan dalam bentuk poster itu ke rumah setiap pengantin yang akan dinikahkannya.

Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar apabila sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyerbu sebuah rumah setinggan di Jalan Kubur, Pantai Dalam, di sini, ketika lelaki itu hendak menikahkan satu pasangan, malam kelmarin.

Ketika serbuan pada kira-kira jam 8 malam, sepasang bakal mempelai yang lengkap berpakaian pengantin dicekup bersama dua wanita dan 21 lagi lelaki dipercayai rakan dan saudara pasangan berkenaan.


Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, berkata ketika serbuan semua yang ditahan berada di dalam rumah berkenaan dan menyaksikan upacara pernikahan yang dilakukan jurunikah haram itu.

“Bagaimanapun, jurunikah yang dikenali dengan panggilan Ustaz Hashim itu melarikan diri dengan memanjat siling rumah. Pemeriksaan sekitar kawasan rumah gagal menemui jurunikah itu.

“Sehubungan itu, kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ustaz terbabit menghubungi Jawi,” katanya.

Che Mat berkata, ketika disoal siasat 25 orang di dalam rumah berkenaan termasuk bakal pengantin pada mulanya memberi alasan mengadakan kenduri doa selamat.

Bagaimanapun, pasangan bakal mempelai itu tidak mampu berdalih apabila ditanya mengapa mereka lengkap berpakaian pengantin, lantas mengaku mereka mengadakan majlis pernikahan.

Menurutnya, bayaran yang dikenakan Ustaz Hashim kepada mereka yang menggunakan khidmatnya adalah antara RM5,000 hingga RM 6,000.

“Siasatan awal juga mendapati kebanyakan pasangan yang menggunakan khidmat ustaz palsu itu adalah mereka yang ingin berpoligami kerana tidak perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama.

“Selain itu, sijil nikah yang diberikan sekadar menggunakan kertas biasa yang ditulis tangan dan ditandatangani lelaki digelar Ustaz Hashim itu,” katanya.

Che Mat berkata, pasangan bakal pengantin itu akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini manakala 23 yang lain dibebaskan selepas diambil keterangan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/articles/Posterlelakiwaliperempuan/Article

Pasangan nikah sindiket diserbu


ANTARA tetamu yang ditahan pada majlis pernikahan yang didalangi Pak Hashim di Pantai Dalam, Kuala Lumpur malam kelmarin.


KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berjaya mematahkan kegiatan satu sindiket nikah palsu apabila menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan setinggan Pantai Dalam di sini malam kelmarin.

Ketika serbuan dibuat, sindiket berkenaan disyaki sedang berurusan untuk menikahkan secara haram satu pasangan kekasih dengan menggunakan khidmat jurunikah palsu.

Dalam serbuan itu, pasukan penguat kuasa Jawi menahan sepasang kekasih yang kedua-duanya merupakan warga Indonesia yang mempunyai status penduduk tetap berumur lingkungan 30-an yang berhasrat untuk melangsungkan pernikahan secara haram.

Turut ditahan 25 orang yang terdiri daripada lelaki dan wanita dipercayai warga Indonesia yang berada di dalam rumah itu bagi membantu siasatan.

Pasangan tersebut telah didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menikah tanpa kebenaran pendaftar, menikah tanpa jurunikah bertauliah dan gagal memberi penjelasan mengenai lokasi pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.

Sindiket tersebut dipercayai didalangi oleh seorang jurunikah yang tidak bertauliah dan lebih dikenali oleh penduduk setempat dengan gelaran Pak Hashim yang merupakan warga Indonesia.

Bagaimanapun, Pak Hashim berjaya meloloskan diri dalam serbuan itu menerusi pintu belakang rumah tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Thursday, November 4, 2010

Bicara Pak Sheikh 23 Januari


PAK Sheikh (kanan) yang dituduh bersubahat dengan jurunikah palsu hadir pada perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam menetapkan 23 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan kes seorang Penolong Amil Kariah, Abdul Rahman Adam yang dituduh bersubahat bersama jurunikah tidak bertauliah menikahkan pasangan Islam.

Abdul Rahman yang dikenali sebagai Pak Sheikh, 46, didakwa bersubahat dengan jurunikah warganegara Indonesia yang berstatus penduduk tetap (PR) untuk mengahwinkan satu pasangan pada 13 Ogos lalu.

Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali turut menetapkan tarikh sama sebagai tarikh sebutan semula untuk waran tangkap yang dikeluarkan terhadap jurunikah warga Indonesia itu, Asbai Rafik, 56, apabila dia terus tidak hadir ke mahkamah semalam.

Malah, penjamin Asbai, Ariffin Idris turut diperintahkan untuk membuat satu surat bertulis tunjuk sebab mengapa dia perlu dilucutkan sebagai penjamin tertuduh bagi kes tersebut.

“Kamu telah masukkan akad di mahkamah, sebab itu janji kamu dan jika gagal kamu akan menjadi galang gantinya.

“Oleh itu, penjamin buat satu surat bertulis tunjuk sebab kenapa jaminan kamu perlu dilucutkan. Jika tidak ada alasan munasabah, kamu perlu bersedia untuk menjadi galang gantinya,” kata beliau.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Muhamad Nazri Basrawi memberitahu mahkamah bahawa Ketua Pendakwa Syarie Selangor menolak surat representasi atau surat rayuan yang dihantar oleh peguam syarie, Boestaman Ahmad yang mewakili Abdul Rahman.

Thursday, September 23, 2010

Keluarga sorok wanita dinikah tanpa tauliah diserang

2010/09/23

KUALA LUMPUR: Satu sindiket nikah palsu di Sungai Besar, Sabak Bernam, dikesan mencetak kad perakuan nikah dengan meletakkan nombor siri pasangan lain bagi mengelak pasangan dinikahkan hadapi masalah.


KESAL...(dari kiri) Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Roslan Dahaman; Ketua Ahli Majlis Negeri Wilayah Persekutuan, Norashikin Abdul Ghani, Ariffudin dan Masridzi menunjukkan laporan polis serta dokumen pernikahan palsu.
Kegiatan sindiket itu didedahkan bapa saudara seorang wanita yang ‘berkahwin’ dengan seorang mualaf, gara-gara hubungan cinta mereka dihalang keluarga.

Bapa saudara berkenaan, Ariffuddin Sam, 36, berkata, pada malam hari raya kedua lalu, anak saudaranya memberitahu keluarga dia sudah bernikah dengan lelaki terbabit.


Berikutan itu, katanya, keluarga memintanya menunjukkan kad perakuan nikah dan dia menunjukkan kad terbabit dan sijil perakuan nikah mereka.


Katanya, dia yang tidak berpuas hati merujuk kad berkenaan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan terkejut apabila diberitahu sijil serta kad nikah terbabit palsu kerana nombor siri yang tertera milik pasangan lain.


“Selepas dipaksa, anak saudara saya mendedahkan mereka menggunakan wali hakim dalam kariah sedangkan wali sebenar (ayah atau abang) masih ada. “Malah, tiada nama jurunikah yang bertanggungjawab serta terdapat dua saksi pernikahan mereka termasuk seorang anggota polis dari Balai Polis Sungai Besar,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) di sini, semalam.


Menurutnya, dia beranggapan ramai lagi pasangan muda di daerah itu dinikahkan sindiket terbabit.

“Kes ini memberi mudarat besar kepada keluarga kerana anak saudara saya kini mengandung empat bulan gara-gara ‘nikah tanpa tauliah itu’ dan ditempatkan di sebuah rumah kebajikan.


“Malah, lelaki mualaf itu bersumpah dia tetap akan mencari anak saudara saya hingga ke lubang cacing. Kerana tidak puas hati keluarga sorokkan anak saudara, dia menghantar kumpulan samseng seramai 15 orang ke rumah saya pada Isnin lalu,”
katanya.


Mengimbas kembali kejadian ngeri itu, pada jam kira-kira 11 malam, sekumpulan 15 orang datang bertanyakan di mana mereka menyorokkan anak saudara yang berusia 24 tahun itu.

“Saya enggan memberitahu menyebabkan mereka menyerang saya dan keluarga.


“Dalam pergaduhan itu, saya dan adik diserang hingga mengakibatkan luka di muka, kepala dan lengan. Malah, ketika bergelut saya ditumbuk di muka dan belakang menggunakan objek keras, namun saya bernasib baik kerana jiran membantu meleraikan pergaduhan itu,”
katanya lagi.

Ariffuddin turut mendedahkan, dia dan keluarga kini trauma kerana setiap hari melihat ada saja kereta yang disyaki meronda kawasan rumah itu bertujuan untuk menakutkan keluarganya.


Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat mendesak pihak berkuasa terutama jabatan agama bertindak tegas menyiasat dan mendakwa mereka yang terbabit pernikahan palsu termasuk kesalahan memalsukan dokumen pernikahan menggunakan nama jabatan agama.

“Mereka (jabatan agama) perlu menyiasat dengan tegas seterusnya mendakwa pihak terbabit (sindiket nikah palsu) yang berpusat di Sungai Besar, Selangor, kerana jika tidak mungkin lebih ramai anak gadis yang akan mengandungkan anak luar nikah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keluargasorokwanitadinikahtanpatauliahdiserang/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...