Showing posts with label KPDNKK. Show all posts
Showing posts with label KPDNKK. Show all posts

Friday, July 15, 2011

AntiPencatutan: Penjual ikan pertama terima notis

Jul 13, 11 4:37pm

Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2010, yang berkuatkuasa 1 April lepas dalam banyak hal bertindak sebagai penghalang kepada mana-mana peniaga yang menaikkan harga secara sewenang-wenang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata dengan adanya Akta AntiPencatutan, tindakan boleh diambil terhadap para peniaga yang terlibat.

gerakan youth agm 2007 051007 tan lian hoe"Dengan penggubalan undang-undang, kami mahu mengekang peniaga yang tidak bertanggungjawab yang terlibat mengambil untung secara berlebihan terutama semasa musim perayaan dan semasa krisis.

"Bagaimanapun, bukan semua kenaikan harga mempunyai elemen mengambil untung berlebihan. Apa yang penting ialah, mereka boleh mengemukakan alasan kepada kita," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menjelaskan di bawah Akta Kawalan Harga, kerajaan perlu menetapkan harga siling dan mewartakan harga sebelum tindakan boleh diambil terhadap para peniaga yang menjual barangan mereka melebihi harga siling.

"Tetapi dengan Akta AntiPencatutan, tindakan boleh diambil terhadap para peniaga yang sengaja menaikkan harga pada bila-bila masa," katanya.

Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2010 berasal dari Akta Kawalan Harga (1946) yang dipinda bagi memasukkan langkah-langkah antipencatutan memandangkan aduan yang diterima berhubung kegiatan pencatutan oleh peniaga.

Memandangkan kerajaan akan melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (GST), keputusan telah dibuat bagi menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2010 bagi memastikan para peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati.

Setakat ini, Tan berkata sejak pelaksanaan akta itu, unit penguatkuasaan kementerian itu telah melawat lebih daripada 5,000 premis dan 46 notis telah dikeluarkan kepada peniaga yang menaikkan harga secara tidak sepatutnya.

"Akta itu telah digunakan buat pertama kali baru-baru ini, apabila tiga penjual ikan di Pulau Pinang telah dituduh menjual dengan harga berlebihan yang masing-masing diberikan notis mengikut Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2010 yang baru dilaksanakan.

"Buat pertama kali ia dikeluarkan di negara ini yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya.

Tiga penjual ikan, yang merupakan sebahagian daripada 46 peniaga menerima notis itu sejak akta itu dilaksanakan, diberikan tiga hari untuk memberikan alasan kenaikan itu di mana mereka diperlukan memberikan butiran mengenai kos pengeluaran, harga bahan mentah, tenaga buruh, pengangkutan dan sewaan.

Maklumat hasil siasatan akan dikemukakan kepada Majlis Penasihat Harga yang akan menentukan jika wujud pengambilan untung berlebihan.

“Bagaimanapun, kami tidak mendakwa sesiapa pun lagi memandangkan majlis itu masih meneliti butiran yang dikemukakan oleh 46 peniaga yang diberikan notis itu," katanya.

Di bawah akta baru itu, pertubuhan yang ingkar boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000, manakala individu boleh didenda sehingga sehingga RM100,000, dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Beberapa ahli ekonomi menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan Akta AntiPencatutan 2010 kerana ia boleh memastikan para peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Saya sangat gembira dengan Akta ini. Dari sudut pandangan perniagaan, apabila harga naik dan turun sekali lagi, peniaga sudah pasti mahu mendapat untung. Mereka selalu mahu untung.

"Akta itu akan memastikan ini tidak akan berlaku sewenang-wenangnya," kata Ketua Ahli Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias, katanya selepas membentangkan kertas kerja mengenai "High Income at High Cost" pada Forum CEO 2011, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Akta AntiPencatutan 2010, dibuat bagi mengekang kenaikan yang tidak sepatutnya dalam harga barangan pengguna kerana mengikut akta itu, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap para peniaga yang menaikkan harga melebihi daripada apa yang dibenarkan.

Pengguna boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-6800 sekiranya mereka mengetahui mengenai mana-mana peniaga yang dipercayai terlibat mengambil untung berlebihan.

--Bernama


http://malaysiakini.com/news/169830

Thursday, June 16, 2011

Kementerian akui 1pengguna digodam

Kementerian akui 1pengguna digodam
Jun 11, 11 12:47pm

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengakui berlaku perlanggaran keselamatan pada laman web RM1.4 juta 1pengguna.com, tetapi tiada maklumat pengguna yang hilang.

NONE"Ia berlaku pada 9 Jun apabila kami membaut sedikit perubahan untuk menangani jumlah hits yang tinggi.

"Ketika proses itu, beberapa data percubaan telah digodam. Tetapi setakat ini tiada laporan berlakunya sebarang kehilangan maklumat," kata ketua setiausaha kementerian itu Mahani Tan Abdullah melalui pesanan SMS kepada Malaysiakini.

Menurut laporan laman forum IT popular Lowyat.net awal pagi semalam, sekumpulan penggodam komputer yang dikenali sebagai Rilekscrew mengenalpasti beberapa kelemahan pada 1pengguna yang "membenarkan hampir semua data dalam pelayannya boleh diakses daripada jauh".

Data-data itu mengandungi maklumat 2,000 pengguna berdaftar, termasuklah alamat e-mel dan kata laluan mereka, kata pengasas dan ketua eksekutif Lowyat.net Vijandrean Ramadass.

NONEBernama
kelmarin melaporkan, 1pengguna yang mempamerkan maklumat harga barangan pengguna yang dijual di 1,255 premis perniagaan mengalami sedikit masalah kerana terlalu ramai yang melayarinya sejak dilancarkan Selasa lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata portal itu menerima hits yang mencecah 3.5 juta sehingga menyebabkan server portal berkenaan terjejas.

Katanya kementerian pada mulanya hanya menyasarkan untuk menerima kira-kira 300,000 hits sahaja dalam minggu pertama selepas pelancaran namun sambutan yang diterima sebaliknya 'begitu memberangsangkan dan di luar jangkaan'.



http://malaysiakini.com/news/166603

Friday, April 1, 2011

Awas Peniaga! Akta Baru Kawal Harga Melampau Kini Berkuatkuasa...

Khamis Mac 31, 2011

KUALA LUMPUR: Akta baru yang dinamakan Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2010 yang memberi kuasa kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengheret peniaga yang menaikkan harga barangan atau makanan secara sembarangan ke mahkamah akan mula berkuatkuasa mulai Jumaat 1 April.

Di bawah akta ini, individu/peniaga yang didapati mengenakan harga yang ditafsirkan sebagai ‘melampau’ ke atas pengguna boleh dicaj di mahkamah dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga maksima RM100,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika disabitkan bagi kesalahan kedua pula, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksima sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memberi taklimat mengenai isu bekalan dan harga barangan kepada pengarang-pengarang kanan media tempatan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Plaza Sentral di sini, Khamis berkata, bagi mana-mana syarikat pula, jika didapati bersalah di bawah akta baru ini boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 bagi kesalahan kali pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kali kedua.

Menurut beliau, sebuah majlis di bawah kementeriannya yang dinamakan Majlis Penasihat Harga (MPH) dan diketuai oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian, Datuk Mohd Zain Mohd Dom akan bertanggungjawab memantau dan mengendalikan kes-kes di bawah akta ini.

MPH turut dianggotai oleh wakil-wakil kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan, wakil daripada ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dewan-dewan perniagaan.

Katanya lagi, akta baru ini diwujudkan bagi mengantikan Akta Kawalan Harga 1946 yang dahulunya memerlukan barang-barang yang dikawal harga digazetkan terlebih dahulu sebelum tindakan dapat diambil ke atas mereka yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

“Tetapi kini dengan wujudnya akta baru ini, kita tidak perlu lagi menunggu sesuatu barangan itu digazetkan terlebih dahulu sebagai barangan kawalan untuk kita mengambil tindakan,” ujarnya.

Jelas Ismail Sabri, seramai 1,200 pegawai penguatkuasa di bawah kementeriannya akan ditugaskan memantau aduan dan membuat pemeriksaan harga melampau dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengenakan caj yang diluar harga munasabah ke atas pengguna.

Beliau berkata, para pengguna juga boleh membuat aduan kepada kementerian menerusi talian 1-800-886-800.

Di bawah akta yang lama, mana-mana individu yang didapati bersalah menaikkan harga di atas para munasabah atau dibenarkan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara bagi kesalahan pertama atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua pula boleh dikenakan denda sehingga maksimum RM25,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Untuk syarikat pula, mereka boleh dikenakan dengan bagi kesalahan pertama sehingga maksimum RM25,000 dan RM50,000 bagi kesalahan kali kedua.

Diminta memberi contoh apa yang dimaksudkan sebagai “harga melampau”, Ismail Sabri menjelaskan, seandainya seorang peniaga menggenakan caj minuman ais kosong sehingga RM1.20 atau RM1.00 segelas kepada pengguna sedangkan kosnya tidak sampai tahap itu, mereka boleh dikenakan caj atau didakwa di mahkamah di bawah akta ini sekiranya terdapat aduan daripada pengguna dan hasil siasatan mendapati aduan itu benar.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/3/31/mstar_berita/20110331203607&sec=mstar_berita

Thursday, January 20, 2011

Santan pekat campur tepung

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Krisis kekurangan bekalan kelapa di pasaran diambil kesempatan segelintir peniaga licik yang sengaja mencampurkan air paip dan tepung bagi menipu pengguna yang menyangka santan dibeli adalah segar.

Difahamkan, penipuan terancang itu dilakukan segelintir peniaga yang cuba meraih keuntungan sebanyak mungkin termasuk dengan menjual santan yang dicampurkan serbuk khas bagi memekatkan kandungan cecairnya.


Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, Othman Nawang berkata, taktik itu dibongkar selepas pihaknya mengesan tindakan dua peniaga yang melakukan penipuan berkenaan di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, di sini, kelmarin.

Dalam operasi itu, pihaknya menyerbu dua premis kerana disyaki mencampurkan bendasing dalam santan yang dijual kepada pengguna.


Menurutnya, pihaknya sebelum ini pernah menerima aduan daripada beberapa orang awam yang mengesyaki berlaku penipuan berikutan rasa dan kandungan santan dibeli berbeza dengan santan asli yang digunakan sebelum ini.


“Pihak KPDNKK tidak memandang remeh aduan itu, sebaliknya segera melakukan risikan dan pemantauan di beberapa pasar utama di ibu kota membabitkan syarikat pengeluar santan pekat atau santan segar.

“Sebanyak 10 premis menjual santan dipantau dan disiasat petugas KPDNKK sebelum mendapati dua premis itu mencurigakan,” katanya.


Beliau berkata, salah sebuah premis yang juga milik seorang warga Indonesia didapati mencampurkan air dan sejenis tepung putih yang digunakan khusus untuk memekatkan kandungan cecair santan yang diperah.

“Dalam pemeriksaan mengejut itu, pemilik premis berusia 30-an itu tidak dapat memberikan maklumat jenis serbuk tepung yang digunakan untuk memekatkan santan berkenaan.


“Ketika diajukan soalan, peniaga berkenaan hanya mendakwa serbuk putih berkenaan adalah ubat pekat tanpa mengetahui apa sebenar kandungan kimia di dalamnya. “Paling dibimbangi jika tepung berkenaan adalah bahan pengawet yang boleh memudaratkan pengguna,” katanya.

“Dalam serbuan kedua di sebuah premis di kawasan sama, seorang lagi peniaga melakukan aktiviti sama dengan mencampurkan santan dengan air bagi menambah kuantiti,” katanya.


Menurutnya, pihaknya berusaha membanteras penipuan ini dengan bekerja sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan santan itu selamat kepada pengguna.


“Setakat ini, pihak kami sudah mengambil sampel santan itu dan dihantar ke Jabatan Kimia,” katanya. nya.


Berdasarkan siasatan, santan campuran itu dijual dengan harga hampir separuh lebih murah dari harga pasaran iaitu kira-kira RM3 sekilogram.

http://www.hmetro.com.my/articles/2011012002324520110120023245/Article

Monday, January 10, 2011

Sukar beli dalam botol

KUALA LUMPUR: “Minyak masak kini dilihat seperti emas, namun apa yang membezakan emas boleh dibeli jika kita mempunyai wang tetapi kini, banyak mana pun duit yang kita ada ia masih tidak dapat membantu untuk mendapatkan bahan masakan itu kerana bekalannya masih sukar diperoleh,” kata seorang pemborong mengulas mengenai kekurangan bekalan minyak masak di pasaran.

Ah Wai, 48, berkata, biarpun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan tidak berlaku masalah bekalan minyak masak pada bulan ini kerana terdapatnya lebihan 9,000 tan metrik, bekalan yang diterima masih jauh daripada jumlah pesanan yang dibuat.


Katanya, biarpun bekalan minyak masak satu kilogram (kg) dalam kampit semakin pulih, bekalan bahan masakan itu dalam bentuk botol sama ada seberat dua kg atau lima kg masih sukar untuk diperoleh.

“Kami ada menerima penghantaran 450 kotak minyak kampit apabila setiap kotak berisi 17 kampit minyak satu kg, namun ia tidak mencukupi untuk menampung permintaan daripada pelanggan kerana sebelum ini kami memperoleh 700 kotak untuk seminggu. Malah, stok yang ada diletakkan di kaunter dan dihadkan satu kampit bagi setiap pelanggan.


“Kami juga sudah lama tidak menerima bekalan minyak masak dalam botol terutama daripada jenis yang sering menjadi pilihan pengguna. Apa yang ada hanya jenama yang kurang mendapat sambutan itu pun dihantar tiga hari lalu dalam kuantiti lebih 100 kotak, setiap satu mengandungi empat botol minyak seberat lima kg, namun ia tetap laris kerana pelanggan tidak mempunyai pilihan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Bagi pekerja pasar raya, Juli, 25, bekalan minyak masak dalam kampit di pasar raya kembali pulih empat hari lalu biarpun bekalan yang dihantar tidak mengikut jumlah pesanan yang dibuat.

Katanya, bagaimanapun pasar raya berkenaan tidak mendapat bekalan minyak masak dalam botol sejak awal tahun ini sekali gus membuatkan pelanggan berebut membeli dalam bentuk kampit.


“Biarpun kami menerima bekalan secara terhad kerana ditentukan oleh pembekal, kami tidak mengehadkannya kepada pembeli. Tindakan pembekal yang menghantar bekalan secara sedikit demi sedikit selang sehari dan ditambah dengan sikap pelanggan yang membeli dalam kuantiti yang banyak mengakibatkan bahan masakan itu kerap kehabisan,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kebanyakan pemborong dan peruncit di sekitar ibu kota mula menerima bekalan minyak dalam kampit, namun kini mereka menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan minyak dalam botol. Malah, terdapat sesetengah peruncit masih gagal mendapatkan sebarang bentuk bekalan sejak minggu lalu.


Namun, biarpun sukar mendapatkan bekalan, harga bahan masak itu dilihat tidak menunjukkan sebarang peningkatan sama seperti jaminan dibuat KPDNKK bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga apabila minyak dalam kampit masih dijual dengan harga RM2.50 dan RM6.20 bagi minyak masak dijual dalam botol dua kilogram.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sukarbelidalambotol/Article/index_html

Harga bawang melambung



ALOR SETAR - Harga bawang melambung tinggi berikutan bekalan import negara berkurangan disebabkan bencana yang melanda India.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohd Sakri Salleh berkata, walaupun import negara sedikit susut apabila pengeluaran bawang dari negara itu terjejas, namun bekalan juga diperoleh daripada China bagi menampung permintaan pengguna.

“Kita banyak import bawang dari India, tetapi kita juga dapatkan bekalan dari negara-negara lain. Bekalan bukannya tiada di pasaran cuma harganya naik antara RM6 hingga RM8 bagi 5 kilogram/bungkus bawang besar,” katanya.

Menurutnya, aduan boleh dibuat pada KPDNKK sekiranya harga baru bawang didapati tidak munasabah supaya pihaknya boleh mengambil tindakan sewajarnya.

“Jika naik terlalu tinggi hingga membebankan pengguna, sila laporkan pada unit aduan KPDNKK. Kita juga akan buat pemantauan berterusan supaya dapat elak kenaikan yang terlalu tinggi oleh peniaga yang tidak beretika,” katanya.

Mohd Sakri berkata, pihaknya berharap peniaga tidak mengambil kesempatan daripada situasi ini dengan menaikkan harga sesuka hati.

“Walaupun bawang bukan barang kawalan dan tidak ditetapkan harga siling, namun tidak bermakna harganya boleh dinaikkan tanpa had. Kita akan buat pemantauan lebih kerap terutama menjelang Tahun Baru Cina,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin bekalan bawang merah, bawang besar mahupun bawang putih mencukupi untuk perayaan Februari ini.

“Pengguna jangan panik sebab bekalan bukan terputus, cuma berkurangan menyebabkan harganya naik sedikit. Gunakanlah secara berhemah dan jika bawang besar harganya terlalu tinggi, gunakan alternatif bawang merah sebagai gantian,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story8600503.asp

Saturday, October 9, 2010

Harga susu naik hanya spekulasi

KUALA LUMPUR – Laporan kenaikan harga susu termasuk produk tenusu tempatan naik dalam tempoh terdekat ekoran peningkatan harga bahan mentah barangan tenusu di pasaran dunia dianggap spekulasi semata-mata.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) menegaskan, spekulasi tersebut yang hangat diperkatakan ketika ini oleh sesetengah pihak adalah tidak benar sama sekali.

Justeru beliau menasihatkan pengguna supaya tidak perlu bimbang sebab harga susu masih dikekalkan seperti biasa dan belum ada lagi sebarang kenaikan.

“Namun oleh sebab harga jualan susu bukan berada di bawah produk kawalan harga, jika berlaku kenaikan pada masa depan, kementerian tidak berkuasa mengambil sebarang tindakan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan berhubung harga tepung susu tanpa lemak yang merupakan bahan mentah tenusu utama dijangka meningkat lebih AS$3,000 (RM9,630) satu tan metrik pada tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) dalam suku keempat tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Wednesday, October 6, 2010

KPDNKK tiada kuasa sekat kenaikan harga susu, kopi

2010/10/06

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak ada kuasa untuk menyekat sebarang kenaikan barang seperti susu dan kopi setakat ini, kecuali selepas Akta Anti-Keuntungan Berlebihan (AAKB) diluluskan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas akta itu diluluskan pada sesi Parlimen bulan ini, baru pihak kementerian mempunyai kuasa.

“Kalau ada kenaikan seperti susu atau kopi kementerian tiada kuasa untuk menyekat sebarang kenaikan, kecuali selepas AAKB itu diluluskan baru pihak kementerian mempunyai kuasa.

“Namun dengan adanya akta itu kita bukannya boleh menyekat terus. Kalau mereka ada sebab untuk menaikkan harga, misalnya barang itu diimport dari luar dengan harga yang tinggi, itu pun kita tidak anggap sebagai keuntungan berlebihan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KPDNKKtiadakuasasekatkenaikanhargasusu_kopi/Article

Friday, October 1, 2010

Dihalau cara halus

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/10/01

PUTRAJAYA: Campur tangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dituntut bagi menyelesaikan masalah segelintir peniaga tempatan di pusat beli-belah yang terpaksa melangkah keluar dari premis mereka selepas mendakwa dilayan secara tidak sihat oleh pengurusan pusat beli-belah berkaitan.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata kementerian perlu mewujudkan garis panduan berkaitan perkara itu supaya ia boleh diguna pakai pengurusan pusat beli-belah di Malaysia.

Beliau berkata, peniaga perlu dibantu bagi mengelakkan mereka terpinggir sehingga menyumbang kepada kegagalan mewujudkan lebih ramai usahawan berjaya. Sohaimi berkata demikian selepas meninjau premis butik Zaida’s Collection di Kompleks Alamanda, di sini, apabila pemiliknya, Zaida Abdul Aziz, terpaksa menutup operasi premisnya, malam kelmarin, gara-gara ‘mainan’ pengurusan pusat beli-belah terbabit.


Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih 20 peniaga di pusat beli-belah itu menerima nasib sama seperti Zaida, tetapi mereka hanya mendiamkan diri sehingga terpaksa menamatkan perniagaan mereka. “Kes di Alamanda ni bukan kes pertama...pihak pengurusan KLCC yang turut mengendalikan Alamanda dan Suria KLCC sebelum ini pernah melakukan perkara sama dengan sengaja menaikkan kadar sewa yang melampau dan menekan dengan cara ‘halus’ bagi menyingkir peniaga terbabit,” katanya.


Berdasarkan kepada keadaan yang dihadapi peniaga itu, beliau berkata, sudah tiba masa bagi kerajaan untuk campur tangan dan mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan yang hanya mementingkan keuntungan sehingga sanggup melakukan tindakan sewenang-wenangnya termasuk menindas dan menganiaya peniaga di premis mereka.


Sebelum ini, Ismail Sabri pernah mengeluarkan kenyataan bagi membantu peniaga tempatan yang diarah keluar dari pusat beli-belah Alamanda selepas menerima aduan daripada mereka.


Sementara itu, Zaida berkata, lebih enam tahun dia menjalankan perniagaan di pusat beli-belah itu termasuk ketika premis itu tidak sepopular sekarang.


Tanpa berselindung, katanya, dia memperuntukkan RM100,000 bagi mengubah suai butiknya seperti yang diminta pengurusan dan ia tidak termasuk RM300,000 bagi pengubahsuaian peringkat awal pembukaan premis, tetapi kecewa kontrak perniagaannya tetap ditamatkan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dihalaucarahalus/Article

Wednesday, August 11, 2010

Harga ayam naik sehingga 50 sen, pengguna Kedah minta pemantauan

2010/08/11

ALOR STAR: Bulan Ramadan yang bermula hari ini dipercayai adalah punca kenaikan harga ayam antara 30 sen dan 50 sen sekilogram yang dikesan di beberapa buah pasar basah di negeri ini.

Tinjauan di pasar-pasar berkenaan menunjukkan harga ayam yang pada kebiasaannya antara RM5.70 dan RM6 sekilogram kini mencapai RM7 menyebabkan pengguna merungut.


"Baru-baru ini saya beli baru RM6.50, tapi hari ini mendadak RM7. Saya minta pihak berkuasa buat pemantauan, jangan biar pengguna teraniaya," kata Saniah Ahmad, 42, ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar hari ini.


Sementara itu, peniaga yang ditemui pula mendakwa kenaikan harga ayam berpunca daripada pembekal.


"Saya tiada pilihan dan terpaksa menjual mengikut harga pasaran walaupun mahal," kata Abdul Shukur Darus, 30.


Rakannya, Wan Ahmad Fauzi Wan Ismail, 35, pula berkata menjadi lumrah harga runcit ayam meningkat pada setiap bulan puasa.


"Kami masih menjual RM7 satu kg tetapi di beberapa tempat harga mencecah RM7.50 satu kg hari ini," katanya.


Dalam pada itu, seorang peniaga ayam percik di Jitra, Rosli Puteh, 53, berkata kenaikan antara RM1 dan RM1.50 bagi seekor ayam turut memberi kesan kepada peniaga sepertinya.


"Ini bermakna peniaga seperti kami juga terpaksa menaikkan harga jualan walaupun ia pasti memberi kesan kepada pengguna dan pendapatan kami," katanya.


Sementara Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Salleh Ma''amor yang dihubungi Bernama berkata buat masa ini harga ayam ditentukan oleh pasaran.

"KPDNKK menjangka harga ayam akan meningkat sehingga RM1 sekilogram menjelang Ramadan. Bagaimanapun dua minggu menjelang Aidillfitri ayam akan dijadikan barang kawalan dan harganya akan terkawal," katanya.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hargaayamnaiksehingga50sen_penggunaKedahmintapemantauan/Article

Friday, July 30, 2010

Dedah 10 ciri skim piramid

2010/07/30

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bekerjasama dengan media untuk menyiarkan dan menjelaskan mengenai 10 ciri skim piramid yang perlu diketahui orang ramai bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 10 ciri itu dirangka kementeriannya sebelum didedahkan kepada umum apabila Akta Jualan Langsung (Pindaan 2001) diluluskan selepas dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, minggu lalu dan akan dilaksanakan tidak lama lagi.


Beliau berkata, kerajaan memandang serius kewujudan skim piramid apabila meminda Akta Jualan Langsung (Pindaan 2010) ketika sesi persidangan Parlimen baru-baru ini dengan memasukkan satu bahagian khusus bagi skim itu membabitkan hukuman lebih berat iaitu kompaun sehingga RM5 juta dan RM10 juta untuk kesalahan seterusnya, selain hukuman penjara.


“Jadi, orang ramai patut mengambil perhatian dan memahami mengenai sesuatu sistem yang ditawarkan. Kami sudah banyak kali mengingatkan, kalau sistem yang dijual tidak mempunyai produk, tetapi sekadar merekrut ahli, itu sistem piramid.


“Kalau dapat bonus kerana mendapat agen di bawah (down line) yang mencari agen seterusnya dan setiap peringkat itu mendapat komisen tanpa menjual produk atau produk dijual tidak setimpal iaitu terlalu mahal, ia tidak logik pada akal.


“Saya harap semua pihak melindungi diri sendiri daripada ditipu skim yang dari awal berniat untuk menipu,” katanya selepas merasmikan ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dikenali Menara SSM@Sentral di KL Sentral di sini, semalam.

Ismail Sabri mengulas mengenai penipuan skim piramid (MLM) termasuk kejayaan pihaknya dengan kerjasama polis menumpaskan sindiket yang mengumpan kereta mewah dan keuntungan mencecah enam angka, ketika pertemuan anggota sindiket itu di Pusat Perniagaan Mentari, Bandar Sunway di sini,

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dedah10ciriskimpiramid/Article

Thursday, July 29, 2010

Kereta mewah pancing mangsa



Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/07/29

KUALA LUMPUR: Kumpulan sasarannya ialah kakitangan kerajaan berpendapatan rendah yang dimomokkan dengan keuntungan amat lumayan mencecah enam angka serta kereta mewah bernilai ratusan ribu ringgit setiap satu.

PELBAGAI...antara kereta mewah di lokasi perjumpaan ahli skim terbabit.
PELBAGAI...antara kereta mewah di lokasi perjumpaan ahli skim terbabit.
TAHAN...antara ahli skim cepat kaya yang ditahan.
TAHAN...antara ahli skim cepat kaya yang ditahan.
Setiap kali pertemuan, deretan kereta mewah milik ‘upline’ antaranya BMW 5 Series, Nissan Fair Lady, BMW Z4 Spider, Mitsubishi Evo Lancer serta Nissan GTR Skyline akan diparkir di hadapan kafe atau restoran yang menjadi lokasi perjumpaan bagi memancing mangsa, selain menggambarkan keuntungan luar biasa yang bakal diperoleh.

Itu taktik digunakan satu sindiket skim cepat kaya yang mengaut keuntungan atas angin dan aktif sejak tiga tahun lalu, kini disertai ribuan ahli di seluruh negara dengan majoritinya kakitangan kerajaan.

Berselindung di sebalik nama kelab riadah dan keluarga, sindiket itu menawarkan pelaburan eksklusif dengan menjalankan perniagaan jualan langsung berasaskan produk makanan kesihatan sedangkan ia palsu.

Modalnya juga bukan sedikit kerana ahli perlu membuat pelaburan sekurang-kurangnya RM41,000 sedangkan pulangan yang diterima tidak mencecah RM5,000 sebulan.

Sesi perbincangan untuk berkongsi pelan pemasaran tidak berakhir dalam sehari. Dalang yang juga upline berpura-pura akan berkongsi keuntungan dan membantu mencarikan modal pelaburan melalui pinjaman bank yang akan diluluskan segera.

Selain kereta mewah, dalang lintah darat terbabit sentiasa bermegah-megah dengan barangan mewah dan menceritakan pendapatan mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit sebulan.

Segala taktik itu terbongkar apabila lokasi pertemuan ahli kelab terbabit diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, JSJK Selangor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) melalui Ops Serama di Pusat Perniagaan Mentari, Bandar Sunway, dekat sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata bertindak atas maklumat dan laporan orang ramai pihaknya menyerbu empat restoran dan menahan kira-kira 100 ahli serta dalang skim terbabit.

“Mereka tidak mempunyai pendaftaran syarikat dan bergerak bebas mencari mangsa yang juga kakitangan kerajaan muda serta berpendapatan rendah. Pada peringkat awal, mangsa diminta membuat pelaburan RM41,000. Jika mangsa tidak berkemampuan mereka akan menawarkan pelaburan RM13,000 dan paling rendah RM2,000.

“Namun, dek kerana tamak, ada yang sanggup meminjam daripada ahli keluarga dan saudara-mara untuk melabur dengan modal tinggi kerana dijanjikan keuntungan lebih besar,” katanya sambil memberitahu skim itu menjalankan pelaburan berkonsepkan piramid.


Rohaimi berkata, jika mangsa gagal mendapat pinjaman daripada institusi kewangan, sindiket itu akan bekerjasama dengan koperasi yang ‘tenat’, namun jika gagal mendapatkan pelabur baru untuk melangsaikan hutang, mereka akan menerima ugutan dan ancaman ala along.

“Dalam serbuan itu kami menahan beberapa dalang yang sedang memperdayakan mangsa untuk melakukan pelaburan dan merampas 17 kereta mewah menggunakan nombor pendaftaran 8282, 925 dan 3399 yang menjadi simbol identiti sindiket itu.


“Dalang terbabit memujuk serta meyakinkan mangsa terutama mereka yang bekerja sebagai penjawat awam, badan berkanun atau syarikat swasta yang mempunyai panel dengan institusi kewangan kerana mudah membuat pinjaman melalui skim potongan gaji atau Biro Angkasa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Menurut Rohaimi, pihaknya sudah sebulan melakukan intipan dan memerhati pergerakan sindiket penipuan terbabit dan pihak KPDNKK juga menerima lebih 30 laporan berhubung kegiatan itu.

“Selepas mengambil keterangan, kami menahan 50 lelaki dan sembilan wanita dipercayai ‘orang kanan’ sindiket terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan direman sehingga esok.


“Siasatan awal juga mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang lesen jualan langsung serta pendaftaran syarikat. Segala transaksi pemindahan wang dimasukkan ke dalam akaun individu upline masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan KPDNKK Putrajaya, Shahrudin Hamzah meminta orang ramai berhati-hati dengan sebarang skim pelaburan cepat kaya dan berkonsep piramid.


“Mereka boleh mendapatkan maklumat melalui laman web KPDNKK bagi mengesahkan sama ada syarikat yang menjalankan aktiviti jualan langsung itu berdaftar atau tidak. Mereka yang meragui kesahihan perniagaan itu diminta membuat laporan di pejabat KPDNKK untuk tindakan selanjutnya.

“Skim cepat kaya ini kebiasaannya menyebabkan mangsa terjebak masalah kewangan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta menjejaskan prestasi kerjaya. Ini perkembangan tidak sihat untuk penjawat awam,”
katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...