Showing posts with label PNSB. Show all posts
Showing posts with label PNSB. Show all posts

Wednesday, December 15, 2010

Pekerja Puncak Niaga dakwa dipecat secara tidak adil

Pekerja Puncak Niaga dakwa dipecat secara tidak adil
Fadzly Esa
Dis 14, 10
1:46pm

Seramai 14 daripada 17 kakitangan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) yang dipecat kerana prestasi kerja yang didakwa lemah oleh pihak pengurusan mengadakan piket secara aman di hadapan bangunan syarikat konsesi air di Shah Alam, pagi tadi.

NONEMereka mendakwa pemecatan mereka itu tidak sah dan dilakukan secara tidak adil.

Sambil membawa sepanduk yang antaranya tertera 'tuduhan tiada bukti terus pecat', 'kami dianiaya maruah kami tercemar', 'Puncak Niaga kejam dan tidak adil', 'kalau salah kenapa tidak DI', 'ayahku teraniaya dibuang kerja' pekerja juga menuntut supaya diambil balik bekerja.

Perhimpunan yang bermula kira-kira jam 10 pagi tadi itu kemudiannya diarahkan bersurai oleh pihak polis setelah kira-kira setengah jam mereka berkumpul.

NONENamun tidak berpuas hati dengan sekatan mereka untuk berhimpun, pekerja berkenaan kemudiannya berkumpul di luar perkarangan pusat membeli belah Giant berhampiran bangunan Puncak Niaga untuk mengadakan sidang akhbar.

Jurucakap kumpulan itu, Kaharuddin Mohd Ali mendakwa keputusan pemecatan mereka adalah tindakan penganiayaan kerana syarikat hanya mengeluarkan beberapa surat tanpa dalil yang membuktikan prestasi mereka lemah.

NONE“Kami tidak pernah menerima surat tunjuk sebab, surat amaran atau apa-apa tindakan disiplin mahupun siasatan dalaman sebelum dipecat,” katanya.

Semua 17 mereka diberikan notis pemecatan bertarikh 19 Oktober lalu dan tindakan dikuatkuasakan pada 30 Oktober lalu.

Katanya, hanya dua daripada mereka dihadapkan ke lembaga disipilin manakala yang lain langsung tidak diberikan peluang membela diri.

Sebaliknya, Kaharuddin mendakwa mereka, masing-masing diarahkan menjalani empat sesi kaunseling dalam tempoh enam bulan.

Dakwanya, sesi kaunseling berkenaan hanyalah berbentuk sesi temubual sahaja dan tidak menepati tujuan ia dijalankan.

NONE“Sesi-sesi tersebut hanyalah sebagai helah bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menghalalkan tindakan mereka (pengurusan Puncak Niaga).

“Semasa sesi kaunseling, petunjuk prestasi utama dan pemberian markah tidak seimbang dengan khidmat bakti yang diberikan tidak seimbang dengan mengambil kira aspek penghasilan kerja, ilmu pengetahuan, kepakaran, hasil usaha kakitangan dan tidak ada penekanan terhadap pembangunan kerja,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Puncak Niaga untuk mendapatkan ulasan tetapi difahamkan pihak pengurusannya sedang bermesyuarat.

http://malaysiakini.com/news/150761

Tuesday, December 14, 2010

Pekerja Puncak Niaga Yang Dipecat Berhimpun Tuntut Keadilan

Selasa Disember 14, 2010

Bekas kakitangan PNSB yang dipecat 30 Oktober lalu mengadakan perhimpunan secara aman di bangunan PNSB, Shah Alam. Mereka mendakwa tindakan memecat tersebut sebagai tidak adil dan tidak telus.

SHAH ALAM: Seramai 12 bekas pekerja Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) telah mengadakan perhimpunan aman berhampiran Ibu Pejabat Puncak Niaga di sini bagi membantah pemecatan mereka yang didakwa dibuat secara tidak adil dan telus.

Mereka yang berhimpun selama kira-kira satu jam itu mendakwa tindakan PNSB memecat 17 kakitangannya secara serta-merta tanpa alasan yang kukuh adalah satu bentuk penganiayaan dan meminta supaya nama mereka dibersihkan kembali.

"Perhimpunan hari ini diadakan bagi menuntut keadilan. Kami mahu nama kami dibersihkan dan kami diterima bekerja semula," kata bekas Pengurus Kanan Jabatan Operasi dan Penyelenggaraan PNSB, Kaharuddin Mohd Ali yang merupakan salah seorang daripada 17 kakitangan syarikat konsesi air Selangor itu yang dipecat.

Menurut Kaharuddin, semua kakitangan PNSB yang dipecat datangnya dari pelbagai jabatan.

Mereka yang terdiri daripada kakitangan eksekutif, bukan eksekutif dan pengurusan telah diberikan notis pemberhentian kerja 24 jam bertarikh 19 Oktober 2010.

Walau bagaimanapun, notis tersebut hanya diserahkan kepada mereka pada 30 Oktober berserta arahan meninggalkan syarikat serta-merta.

"Sebelum dipecat kami tidak pernah terima surat tunjuk sebab, surat amaran atau apa-apa tindakan disiplin mahu pun siasatan dalaman," katanya.

Dalam perhimpunan yang diadakan berhampiran bangunan PNSB yang terletak di Seksyen 13 Shah Alam itu, 12 bekas pekerja terbabit membawa sepanduk dan poster yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada ahli lembaga pengarah PNSB.

Antara yang dilaungkan menerusi sepanduk termasuklah 'Exco Puncak Niaga Kejam! Pecat Kakitangan Melayu Sesuka Hati', 'Kami Dianiaya Maruah Kami Tercemar' dan sebagainya.

Tiga adik-beradik pula membawa poster berbunyi 'Ayahku Teraniaya Dibuang Kerja'.

Tiga kanak-kanak ini turut memperjuangkan keadilan untuk bapa mereka.

Kaharuddin yang ditemui selepas perhimpunan itu berasa kesal kerana 15 daripada mereka yang dipecat terdiri daripada kakitangan berdisiplin, jujur dan komited dalam memberikan perkhidmatan.

"Kami dipecat secara tidak adil dan tidak diberi peluang untuk membela diri walaupun ada di antara kami yang telah berkhidmat selama lebih 15 tahun dengan syarikat ini," katanya yang telah berkhidmat dengan syarikat tersebut selama hampir 15 tahun.

Pada 8 Julai 2010, mStar Online telah menyiarkan berita awal berhubung pemecatan ini bertajuk 'Puncak Niaga Pecat Pekerja?'.

Laporan tersebut bagaimanapun telah ditarik balik pada 16 Julai 2010 setelah PNSB memberi kenyataan menafikan laporan tersebut.

"Pemecatan secara serta-merta pada 30 Oktober lalu telah membuktikan berita awal yang disiarkan mStar Online adalah benar dan sahih," kata Kaharuddin lagi.

Kaharuddin bersama rakan-rakan lain yang bernasib sama turut mendakwa pemecatan dilakukan tanpa mengikut prosedur yang betul dan tidak telus.

Empat sesi kaunseling dalam tempoh enam bulan dikatakan sebagai helah Exco PNSB bagi mengaburi pihak berkuasa untuk 'menghalalkan' tindakan mereka.

"Sesi kaunseling tersebut hanyalah berbentuk temubual. Kami juga dipaksa menandatangani Borang Penilaian Kaunseling yang tidak diketahui apa ulasannya tanpa diberikan walau satu salinan," katanya.

Hadir sama pada perhimpunan tersebut ialah Setiausaha Pejabat ADUN Kota Damansara, Sivaran Arumugam.

Pada 21 Disember ini, satu pertemuan akan diadakan di antara kakitangan PNSB yang dipecat itu dengan pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor bagi menuntut keadilan berhubung perkara ini.

Sementara itu, pihak media cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak PNSB berhubung perkara ini tetapi gagal.

Pihak petugas dan polis bantuan kelihatan mengawal pintu masuk bangunan tersebut dan tidak membenarkan wartawan dan jurugambar memasuki perkarangan bangunan PNSB selepas perhimpunan berlangsung.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/14/mstar_berita/20101214122455&sec=mstar_berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...