Saturday, August 8, 2009

Di China, anjing pula sebar wabak maut

07 Aug 2009 12:27PM

BEIJING - Seekor anjing dipercayai menjadi punca penularan wabak pneumonia di bandar Ziketan, barat laut China yang sehingga kini menyebabkan tiga orang meninggal dunia manakala lebih 10,000 penduduk dikuarantin, lapor media rasmi Xinhua.

Bandar Ziketan yang terletak di pedalaman wilayah Qinghai dikuarantin sejak Sabtu lalu sebagai usaha untuk mengekang penyebaran wabak yang sangat berbahaya itu.

Seorang pesakit berada dalam keadaan kritikal dan lapan lagi yang dijangkiti terdiri daripada sanak saudara mangsa pertama.

Mangsa pertama yang berumur 32 tahun bekerja sebagai penternak.

Ujian awal mendapati anjing milik lelaki tersebut mungkin menyebabkan wabak berkenaan.

Pengarah Biro Kawalan Penyakit Qinghai, Profesor Wang Hu berkata, anjing berkenaan dipercayai mati selepas memakan seekor tupai yang dijangkiti bakteria tersebut.

Lelaki berkenaan mati tiga hari selepas menanam anjingnya.

"Mangsa pertama mati kerana dipercayai (digigit kutu daripada anjing) kerana tidak memakai sebarang alat perlindungan.

"Lelaki itu yang tidak mengetahui dia dijangkiti kemudian menyebarkan kuman tersebut kepada saudara dan jiran-jirannya," kata Wang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, bakteria yang menyebabkan wabak itu pada kebiasaannya terdapat pada sebahagian haiwan mengunggis di wilayah tersebut seperti tupai.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Kementerian Kesihatan China bertindak mengenakan perintah kuarantin itu bagi menghalang penularan wabak.

Wilayah Qinghai merupakan kawasan bergunung-ganang yang berkepadatan rendah sekali gus membantu mengekang penularan wabak tersebut.

"Bekalan makanan di kawasan itu juga dijamin. Masyarakat tempatan tidak perlu untuk melarikan diri dari kawasan bencana," kata seorang pegawai kerajaan tempatan, Dong Fukui.

Sejumlah penduduk di Ziketan sebelum ini dilaporkan merancang untuk melarikan diri dari kawasan kuarantin. - AFP



Eksklusif: Pengalaman kakak melihat adik bertarung melawan H1N1

07 Aug 2009 12:09PM

GOLONGAN yang berisiko tinggi dijangkiti selsema babi H1N1 adalah perokok, pengidap asma, kanak-kanak, perempuan mengandung dan golongan emas.

Pada peringkat awal tanda-tandanya adalah batuk, selsema, demam, sakit tekak, bila terbesin bunyi tidak kuat.

Peringkat kedua adalah bila pengidap susah bernafas, simptom macam pengidap asma, pada peringkat ini jika kita memegang orang yang dijangkiti atau berada di dalam bilik yang sama risiko jangkitannya adalah 80 peratus. Masa ini pengidap perlu di kuarantin di hospital.

Masalahnya sekarang semakin ramai yang dijangkiti. Hospital tidak cukup katil dan bilik kuarantin.


Seperti kes adik saya, apabila beliau pengsan baru ditahan di hospital.

Fasa kritikal

Apabila virus menjangkiti paru-paru. Dari ujian X-ray kita dapat lihat virus menutupi paru-paru. Dalam kes adik saya amat menakutkan sekali bila tengok x ray itu.

Pada peringkat ini, pesakit perlu bantuan oksigen peringkat paling tinggi dan disuntik ubat antiviral, sejenis dadah yang kuat. Sekurang-kurangnya seminggu bergantung kepada bantuan penafasan oksigen. Peratus untuk sembuh pula bergantung kepada umur dan ketahanan badan.

Kerana itu, bayi dan kanak-kanak yang sampai kepada tahap kritikal biasanya meninggal dunia. Adik saya hari ini, hari yang ke lapan, masih memerlukan oksigen. Kasihan dia. Masa tahap kritikal itu tercungap-cungap dia bernafas, sampai menangis.

Sampai satu tahap dia berguling atas simen sebab dah tidak tahan, hampir putus asa, sampai dia boleh cakap lebih baik Allah ambik nyawa dia, itu lelaki tu, bayangkan kalau perempuan atau budak-budak.

Terima kasih doktor

Kami sekeluarga cuma boleh tengok dia dari cermin. Tidak boleh masuk dalam bilik kuarantin. Doktor dan jururawat sahaja yang dibenarkan masuk, siap pakai baju plastik.

Kami berkomunikasi melalui SMS, bagi dia al-quran biar dia baca, bagi tasbih biar dia zikir ingat Allah, bagi air yasin. Alhamdulillah dia semakin pulih. Ada hikmahnya. Semua keluarga bersatu menyokong adik kami yang dijangkiti H1N1.

Masalahnya hospital swasta tidak terima kes H1N1, sekarang ini semua bergantung kepada hospital kerajaan yang kebanyakkan doktornya masih muda. Doktor yang merawat adik saya berusia 28 tahun.

Satu doktor 5 pesakit, kasihan pula tengok doktor-doktor itu, berhempas pulas hendak selamatkan pesakit. Kami sekeluarga begitu terharu dengan pengorbanan doktor-doktor ini, terutamanya di hospital Ampang. Dari pengalaman kami, ada doktor yang sampai bermalam di hospital semata-mata untuk merawat pesakit.

Rasa nak peluk dan cium dia orang sebab selamatkan adik saya.

Thanks to Allah.

-----------------

Nota Editor

Kisah ini hantar oleh seorang pembaca KLpos.com kepada kami. Kami membuat beberapa pengubahsuian untuk memudahkan pembacaan. Jika anda ada kisah menarik seperti ini, sila emailkan kepada webmasterklpos@gmail.com.


Penghargaan kepada doktor dan jururawat Hospital Ampang (gambar hiasan)

Kematian H1N1 ke-15: PM isytihar ancaman serius


PETALING JAYA: Jumlah kematian akibat influenza A(H1N1) meningkat lagi dengan seorang lelaki berusia 40 disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Dengan kematian itu, Malaysia telah merekodkan 15 kematian setakat pagi tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengisytiharkan wabak A(H1N1) kini telah menjadi ancaman serius kepada negara dan menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri majlis perhimpunan di tempat-tempat awam.

Beliau meminta semua rakyat mengambil langkah pencegahan secara menyeluruh ekoran angka kematian H1N1 meningkat kepada 14 sehingga semalam dan banyak sekolah dan institusi pendidikan tinggi ditutup kerana terdapat kes jangkitan.

"Kalau (majlis) perhimpunan itu tidak perlu, tidak perlulah melainkan ada sesuatu mendesak. Tapi bila ada perhimpunan, kita akan tambah risiko kita kerana penyakit ini akan merebak," kata beliau selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia di ibu negara pagi tadi.

Selain menangguhkan kegiatan di kawasan umum, Najib yang dipetik Bernama berkata, langkah pencegahan daripada segi kebersihan boleh dilakukan seperti membasuh tangan dan memakai topeng terutama ketika berada atau hadir dalam majlis yang terbuka.

"Dari segi kesihatan kebersihan, kita hendaklah selalu mencuci tangan. Sebelum saya masuk tadi, saya telah cuci tangan sebab saya telah bersalaman dengan begitu ramai orang," kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, kenyataan Kementerian Kesihatan menjelaskan, kes kematian ke-15 melibatkan lelaki obes berumur 40 tahun.

Dia yang dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2009 kerana mengalami sesak nafas dan telah meninggal dunia kelmarin kerana Acute Coronary Syndrome with Cardiogenic Shock.

Mangsa mengalami demam dan batuk sejak 28 Julai lalu dan telah mendapat rawatan di klinik swasta pada 31 Julai lalu dan hospital swasta pada 2 Ogos sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Pesakit itu disahkan positif influenza A(H1N1) semalam iaitu sehari selepas kematian, kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu menambah, sebanyak 33 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan hari ini.

Kesemuanya adalah kes tempatan dan di kalangan warganegara Malaysia.

Daripada 33 kes yang dilaporkan hari ini, 28 merupakan kejadian dari sembilan kluster baru dan lima adalah kes sporadik atau terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 8 pagi tadi adalah sebanyak 1,525 kes dengan jumlah kematian 15 orang.

Daripada 1,525 kes yang dilaporkan tersebut, 574 atau 38 peratus merupakan kes import dan 951 (62 peratus) kes jangkitan tempatan.

Daripada jumlah ini, 1,434 kes (94 peratus) telah sembuh.

Bilangan kes jangkitan influenza A(H1N1) yang masih berada di Unit Rawatan Rapi adalah 14 orang.

Seramai 44 pesakit sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi manakala 33 orang menerima rawatan pesakit luar.

Daripada 14 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 5 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (2), post-delivery (1) dan bayi (2).

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/7/mstar_berita/20090807181603&sec=mstar_berita

PM: H1N1 ancam negara, elak tempat awam

Ogos 7, 09 3:17pm
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata wabak influenza A (H1N1) kini telah menjadi ancaman serius kepada negara dan menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri majlis perhimpunan di tempat-tempat awam.

Beliau meminta semua rakyat mengambil langkah pencegahan secara menyeluruh ekoran angka kematian H1N1 meningkat kepada 14 orang sehingga semalam dan banyak sekolah dan institusi pendidikan tinggi ditutup kerana terdapat kes jangkitan.

"Kalau (majlis) perhimpunan itu tidak perlu, tidak perlulah melainkan ada sesuatu mendesak. Tapi bila ada perhimpunan, kita akan tambah risiko kita kerana penyakit ini akan merebak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Selain menangguhkan kegiatan di kawasan umum, Najib berkata langkah pencegahan daripada segi kebersihan boleh dilakukan seperti membasuh tangan dan memakai topeng terutama ketika berada atau hadir dalam majlis yang terbuka.

"Dari segi kesihatan kebersihan, kita hendaklah selalu mencuci tangan. Sebelum saya masuk tadi, saya telah cuci tangan sebab saya telah bersalaman dengan begitu ramai orang," kata Perdana Menteri.

"Kalau kita perlu memakai topeng, pakailah. Tidak ada apa-apa kerugian," katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata rakyat harus menghormati peringatan yang diberikan oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah mengenai tujuh wasiat Raja-raja Melayu.

Beliau berkata ini adalah kerana pertautan di antara raja dan rakyat penting dan telahpun termaktub dalam sejarah Melayu.

Katanya, di antara rakyat dan raja, masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan tertentu dalam sesebuah negara.

"Kita hormatilah pandangan Raja-raja Melayu dan yang penting sekali ialah institusi diraja ini adalah berpaksi kepada dukungan rakyat dan juga pertautan antara raja dan rakyat itu penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah yang mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat itu disampaikan semasa Raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

http://www1.malaysiakini.com/news/110100

H1N1: Satu atau dua lagi mati?


Ogos 7, 09 6:08pm
Angka kematian akibat wabak selesema A (H1N1) terus meningkat apabila seorang lagi disahkan meninggal dunia hari ini.

Sementara Oriental Daily dalam khidmat berita ringkas melalu mesej SMS menyebut dua orang menjadi korban virus wabak itu.

Seorang kanak-kanak 9 tahun dan lelaki 37 tahun dilaporkan meninggal di Hospital Kluang, Johor.

Semalam 14 orang dilaporkan menjadi korban virus pandemik itu - sehingga kini belum ditemui vaksin.

Seorang lelaki 57 tahun menjadi korban ke-14 dan kanak-kanak enam tahun pula ke-13 sejak dua minggu lalu.

http://www1.malaysiakini.com/news/110124

Seorang lagi mati akibat H1N1

Ogos 6, 09 12:56pm
Seorang lelaki 57 tahun korban terbaru wabak selesema A (H1N1), menjadikan jumlah kematian 14 orang sejak dua minggu lalu.

Korban ke-13, seorang kanak-kanak enam tahun Mohd Hyafiq Afendi yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan Hospital, Kuantan tengah hari semalam akibat pneumonia atau radang paru-paru.

Budak lelaki itu dimasukkan ke hospital pada 1 Ogos selepas mengalami demam dan mengadu sakit perut.


Kematian-kematian terbaru akibat virus selesema itu:

Kanak-kanak berusia 6 tahun meninggal dunia 2.30 pagi semalam di Hospital Batu Pahat.

Dua korban sebelumnya terjadi di Melaka - lelaki 20 tahun dan remaja 12 tahun dari negeri itu, masing-masing menghidap lelah dan kegagalan buah pinggang.

Termasuk 16 kes terbaru hari ini dan kematian tersebut, jumlah keseluruhan 1,492 kes semuanya - 11 daripada mereka kini dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU).

http://www1.malaysiakini.com/news/110012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...