Showing posts with label ATM Machine. Show all posts
Showing posts with label ATM Machine. Show all posts

Monday, March 28, 2011

Kebas wang atuk RM65,000

Kebas wang atuk RM65,000

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Dia dijadikan cucu angkat dan ditatang bagai minyak yang penuh, namun segala jasa datuknya dibalas dengan pengkhianatan apabila melesapkan wang pencen milik warga emas itu berjumlah RM65,000.

Lebih memilukan Yasin Sagi, 80, dari Kampung Majidee Baru, di sini, cucu angkatnya yang dipanggil nama Gemuk, 30-an menipunya dengan mendapatkan cap jarinya ketika menemaninya melakukan urusan di bank.


Yasin yang mengalami masalah pendengaran berkata, Gemuk tinggal di Stulang, tidak jauh dari rumahnya dan sering mengunjunginya, selain ringan tulang.

“Dia menggelar saya ‘Atuk’ dan kerana itu saya menjadikannya cucu angkat. Keluarga saya juga menyenangi sikapnya yang tidak berkira selain gemar membantu.


“Rupa-rupanya itu semua helahnya untuk mencuri duit saya. Kini semua wang hasil titik peluh sepanjang 30 tahun bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) lesap,” katanya.


Yasin berkata, dia menyedari Gemuk mencuri duitnya selepas menerima rekod pengeluaran wang di bank antara 23 Disember tahun lalu hingga 4 Januari lalu.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, Gemuk menemaninya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta sebuah bank di Larkin Perdana untuk membuka buku akaun simpanan bank.


“Pada 23 Disember, Gemuk membawa saya ke cawangan bank di Jalan Wong Ah Fook mengeluarkan RM2,000 bagi membeli baja. Gemuk kemudian membuat permohonan mendapatkan kad ATM (mesin juruwang automatik) atas nama saya tanpa pengetahuan saya.

“Saya yang kurang tahu prosedur bank hanya mengikut permintaannya apabila dia meminta cap jari pada satu borang,” katanya.


Menurutnya, dengan kad ATM itu Gemuk membuat beberapa pengeluaran antara 23 Disember tahun lalu dan 4 Januari lalu, sehingga semua wang pencennya RM65,000 di dalam akaun habis.


Yasin berkata, dia hanya menyedari wang pencennya licin selepas dimaklumkan menantu, Ungku Chik, 40-an, selepas menerima makluman dari bank mengenai rekod pengeluaran wang menggunakan kad ATM dengan jumlah maksimum RM5,000 setiap hari secara berterusan selama dua minggu.


“Sejak itu, Gemuk menghilangkan diri. Saya tidak sangka dia menipu dan mencuri duit saya,” katanya. Yasin turut kecewa dengan pengurusan bank berkenaan yang memberi kebenaran kepada individu lain bagi membuat urusan permohonan kad ATM.


Yasin membuat laporan di Balai Polis Majidee pada 4 Januari lalu dan jurucakap balai polis berkenaan mengesahkan menerima laporan itu.


“Kami masih menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Gemuk menghubungi talian 07-2212999 atau 07-2254422,” kata jurucakap itu.


http://www.hmetro.com.my/articles/KebaswangatukRM65_000/Article

Thursday, October 28, 2010

Wang dikebas menerusi Internet

BAYAN LEPAS – Seorang warga emas terkejut apabila mendapati jumlah wang simpanan di dalam akaun bank yang sepatutnya berbaki RM7,215 hanya tinggal RM335 baru – baru ini.

Mangsa, Che Ross Ismail berkata, kejadian itu hanya disedari selepas beliau mengeluarkan wang pencen menerusi mesin wang automatik (ATM) di sebuah cawangan bank itu di Relau beberapa hari lalu.

“Tanpa membuang masa, saya terus membuat laporan di Balai Polis Bayan Lepas dan selepas itu, saya diarahkan ke Balai Polis Bayan Baru untuk memberikan kenyataan.

“Kemudian, saya ke bank tersebut untuk membuat laporan rasmi kepada pegawai bank yang bertugas agar tindakan dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak bank memaklumkan bahawa wang miliknya telah dikeluarkan menerusi transaksi perbankan Internet.

“Lebih menyedihkan apabila pihak bank memaklumkan bahawa mereka tidak dapat mengenal pasti siapa atau ke mana wang tersebut disalurkan.

“Malah ia tidak boleh diganti kecuali kakitangan bank yang menyebabkan kehilangan wang tersebut dan segala simpanan saya selama ini lenyap begitu sahaja,” katanya yang berusia 67 tahun.

Beliau yang tinggal di Kampung Baru, Sungai Ara amat keliru dengan kehilangan wang simpanan tersebut sedangkan beliau tidak pernah memiliki apatah lagi mengaktifkan akaun perbankan Internet.

“RM7,215 itu bukannya sedikit dan ia merupakan simpanan untuk digunakan ketika kecemasan nanti.

“Baki yang ada di dalam akaun itu pun merupakan baki wang pencen yang baru dimasukkan baru – baru ini.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab itu menyapu licin segala hasil titik peluh saya dan lebih mengecewakan apabila prosedur yang diamalkan oleh pihak bank seolah-olah ingin melepaskan tangan apabila ada insiden seumpama ini menimpa pelanggan,” katanya yang merupakan pesara buruh am.

Che Ross berkata, beliau menyesal kerana hanya memiliki satu akaun bank sahaja di mana hasil wang simpanan dan pencen bulanan disalurkan ke akaun yang sama.

“Saya tidak menyangka perkara seperti ini akan menimpa dan saya berharap agar masyarakat dapat mengambil iktibar dari kejadian ini.

“Saya juga berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat dan menyelesaikan masalah ini sebelum orang lain turut menjadi mangsa,” katanya.

Wednesday, August 19, 2009

ATM keluar wang 'bonus'


ORANG ramai beratur untuk mengeluarkan wang di sebuah mesin ATM di Hounslow, London Khamis lalu.


LONDON - Orang ramai mendapat 'durian runtuh' apabila sebuah mesin teler automatik (ATM) di pasar raya Tesco di Hounslow, barat London mengeluarkan wang tunai dua kali ganda daripada jumlah yang diminta, lapor sebuah akhbar semalam.

Orang ramai berpusu-pusu berbaris untuk mengeluarkan wang selepas 'berita baik' itu tersebar dalam masa hanya beberapa minit pada Khamis lalu.

Pihak pengurusan pasar raya segera menutup mesin itu hanya lima jam selepas menyedari masalah teknikal tersebut.

Namun seorang jurucakapnya berkata, mereka tidak akan meminta semula wang berlipat ganda yang 'dicuri' oleh para pelanggan.

"Saya orang keempat ketika beratur sebelum seorang lelaki di depan sekali menelefon rakannya dan memberitahu, ATM itu mengeluarkan wang dua kali ganda daripada jumlah diminta," kata seorang pengunjung, Imran Mirza.

"Ini betul-betul kes 'beli satu percuma satu'. Saya mendapat tambahan £20 (RM116) apabila meminta pengeluaran £20," tambahnya.

Menurut lelaki tersebut, berita mengenainya tersebar luas dan dalam masa kurang sejam, lebih 50 orang beratur untuk mendapat wang tunai percuma.

Kesilapan ATM itu menyebabkan pasar raya tersebut mungkin kerugian beribu-ribu pound.

Kes serupa berlaku pada Januari lalu apabila ramai pelanggan beratur hingga lewat malam di luar sebuah pasar raya di Wales untuk mengeluarkan wang berganda dari sebuah ATM. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Monday, August 3, 2009

Tepuk bahu tukar kad ATM

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan RM3, seorang lelaki mendapat untung RM1,500 apabila menggunakan taktik menukar kad pengeluaran wang tunai automatik (ATM) ketika mangsa sedang mengutip wang yang sengaja ditabur penjenayah terbabit di atas lantai kerana menyangka itu wangnya.

Kejadian itu menimpa seorang penjawat awam berusia 27 tahun di Taman Melawati di sini, ketika sedang mengeluarkan wang menggunakan kad ATM isterinya.

Sumber berkata, ketika selesai mengeluarkan wang berkenaan tetapi kad masih berada di mesin ATM, bahu lelaki itu tiba-tiba ditepuk lelaki di belakangnya yang bertanyakan mengenai tiga keping wang kertas RM1 yang berada di atas lantai berhampiran kakinya.


“Mangsa yang menyangka itu wangnya, terus membongkok untuk mengutip duit terbabit dan ketika itu penjenayah berkenaan menukar kad ATM isteri lelaki itu dengan kad lain,” katanya.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus mengambil kad dan pulang ke rumahnya di Hulu Klang.

Bagaimanapun, Khamis lalu, selepas beberapa hari kejadian berkenaan, isterinya yang mahu membuat pengeluaran wang terkejut apabila nama yang terpapar pada mesin itu milik orang lain dan tidak aktif.

“Pada mulanya isteri mangsa menyangka mesin terbabit mengalami kesilapan teknikal, namun selepas dua kali mencuba dan masih menunjukkan nama orang lain, dia mensyaki ada sesuatu yang tidak kena.

“Mangsa dan isterinya kemudian ke ibu pejabat bank berkenaan untuk mengetahui hal sebenar,”
katanya.

Sumber itu berkata, pemeriksaan transaksi di bank mendapati baki wang pada bank isterinya ‘lesap’ dan ada individu membuat dua kali pengeluaran RM1,500.

“Mangsa teringat semula kejadian yang bahunya ditepuk individu sebelum dia mengutip wang dianggap miliknya jatuh di atas lantai,” katanya.

Pasangan terbabit yang berasa tertipu dengan kejadian itu kemudian membuat laporan polis.

Kejadian sama pernah dialami See Teck Huan, 32, apabila sekumpulan lelaki dan wanita warga Timur Tengah menunjukkan sejumlah wang kertas di atas lantai ketika mangsa ingin membuat pengeluaran wang di ATM Seri Gombak, Selasa lalu.

Mangsa yang tidak mensyaki sesuatu mengutip wang berkenaan dan menyerahkan kepada warga Timur Tengah berkenaan, tetapi mereka enggan menerimanya lalu meninggalkan mangsa.

See hanya menyedari terperdaya apabila mendapati kad ATM miliknya yang digunakan untuk mengeluarkan wang sebelum kejadian itu milik seorang wanita.

Apabila dibuat semakan semula didapati RM5,100 wang mangsa dikeluarkan dan mangsa mengesyaki ia perbuatan warga Timur Tengah terbabit.

Sunday, June 21, 2009

Guna forklif rompak mesin ATM


PEKERJA membaik pulih stesen minyak di Taman Serdang Raya yang dipecah masuk oleh seorang lelaki yang cuba melarikan mesin ATM semalam.


SUBANG JAYA – Tindakan nekad seorang lelaki selama lapan minit menyodok cermin sebuah stesen minyak di Taman Serdang Raya di sini semalam dengan niat melarikan mesin teler automatik (ATM) sia-sia apabila dia sendiri lari akibat panik ekoran bunyi alat penggera.

Lelaki itu yang memakai topi keledar bertutup penuh melarikan diri dalam kejadian pukul 3.40 pagi itu tanpa dapat sesen pun wang daripada mesin ATM tersebut yang dipercayai menyimpan wang tunai RM25,000.


INILAH forklif yang ditinggalkan oleh suspek.


Pengurus stesen minyak itu, Zaimi Mohd. Isa, 33, menyedari insiden itu selepas dihubungi oleh wakil syarikat alat penggera stesen itu lima minit selepas kejadian tersebut.


Saturday, June 13, 2009

Gagal samun ATM ceroboh restoran


DUA anggota polis memeriksa mesin ATM yang diumpil
di Pertama Kompleks di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kejahilan dua pengawal keselamatan warga Nepal mengenai kecanggihan sistem keselamatan mesin pengeluar wang automatik (ATM) menghampakan niat mereka melarikan wang berjumlah RM320,000 dari sebuah mesin ATM di Pertama Kompleks Jalan Tunku Abdul Rahman di sini semalam.

Kedua-dua suspek yang bertugas syif malam bermula pada pukul 8 malam di sebuah premis perniagaan di situ dikatakan telah cuba mengumpil mesin tersebut menggunakan empat peralatan iaitu tukul, batang besi, pengumpil dan ragum.

Bagaimanapun, usaha mereka gagal kerana mesin ATM milik sebuah bank itu tidak mudah dipecah.

Enggan berputih mata, kedua-dua suspek itu kemudian menceroboh pula sebuah restoran yang terletak bersebelahan dengan mesin ATM tersebut.

Di restoran itu, kedua-dua suspek telah memecahkan peti simpanan dan melarikan wang berjumlah RM1,500.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohammad Sabtu Osman berkata, cubaan memecah mesin ATM itu disedari oleh dua pengawal keselamatan lain juga warga Nepal yang mahu memulakan syif pagi pada pukul 8 pagi.

"Semasa memulakan kerja mereka nampak ada percubaan memecahkan mesin ATM tersebut," kata beliau.

Menurut beliau, polis yang menyiasat kejadian itu mengesahkan terdapat cubaan menyamun wang dalam mesin ATM itu tetapi gagal.

"Kira-kira dua jam meninggalkan premis itu, kami menerima panggilan dari restoran yang memaklumkan peti besi restoran itu telah diumpil," kata beliau.

Kata beliau, polis yang menyiasat kedua-dua kejadian itu percaya suspek sama terlibat dalam kedua-dua kejadian tersebut.

Muhammad Sabtu memberitahu, pihaknya turut menjumpai beberapa peralatan memecah kedai yang ditinggalkan di restoran tersebut.

"Kita sedang mencari dua pengawal keselamatan itu yang telah menghilangkan diri," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Friday, May 22, 2009

Penyeluk saku keluar duit ATM

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir yang menjadi mangsa seluk saku terkejut apabila penjenayah terbabit turut mengeluarkan wang RM5,000 dari akaun bank menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya dalam masa kurang 30 minit.

Lebih membingungkan, penjenayah terbabit mampu mengetahui nombor pin rahsia kad ATM miliknya bagi membolehkan wang berkenaan dikeluarkan dengan mudah.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, mangsa mendakwa dompetnya diseluk ketika dia membeli-belah di sebuah kedai tekstil terkemuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Menurutnya, mangsa yang sebelum itu memasukkan dompetnya dalam bungkusan plastik hanya menyedari kehilangannya selepas melakukan pemeriksaan terhadap bungkusan berkenaan.

“Difahamkan dalam dompet mangsa ada kad pengenalan, wang tunai RM160 dan sekeping kad ATM.

“Sejurus menyedari kehilangan kad ATM berkenaan, mangsa yang berasal dari Subang Jaya segera ke bank berhampiran untuk memastikan kad ATM miliknya tidak disalah guna,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sampai ke bank pada jam 2.15 tengah hari terkejut apabila semakan bank mendapati wang tunai berjumlah RM5,000 di dalam akaunnya sudah dikeluarkan.

“Penjenayah itu mungkin menggunakan peralatan khas untuk peroleh nombor pin rahsia kad ATM saya sebelum mengeluarkan wang.

“Polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian gagal mengesan identiti suspek berikutan tiada kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan di lokasi berkenaan,”
katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang eksekutif wanita berusia 24 tahun menjadi mangsa ragut ketika berjalan ke keretanya yang diletakkan di Jalan Ceylon di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa yang bekerja di sebuah bank dikatakan berjalan kaki sebelum tiba-tiba dihampiri dari arah belakang oleh motosikal ditunggang seorang lelaki.

Difahamkan, suspek yang memakai topi keledar tutup muka penuh kemudian meragut beg tangan mangsa sebelum melarikan diri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521062136/Article/index_html

Tuesday, January 13, 2009

Culik palsu


Oleh Iskandar Shah Mohamed


PENIPU...Chow (kiri) bersama Chong menunjukkan
gambar lelaki yang didakwa tuntut wang tebusan,


KUALA LUMPUR: Perkenalan seorang penuntut kolej swasta dengan sahabat pena melalui majalah hiburan tempatan bertukar malang apabila diperdaya lelaki itu yang merancang penculikan palsu sebelum menggelapkan ‘wang tebusan’ diberi keluarganya.

Chow Weng Fatt, 21, mendakwa kejadian bermula 31 Disember lalu apabila lelaki dikenali sebagai Charles berusia 30-an berasal dari Johor itu datang bercuti di rumahnya di ibu kota selepas seminggu berhubung menerusi telefon bimbit.

Menurut Chow, dia pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa berikutan lelaki yang mendakwa bekerja sebagai pereka itu berkelakuan baik dan bersopan santun dengan keluarganya.

“Selepas lima hari bermalam, dia tiba-tiba mengajak saya pergi ke rumahnya di Johor Bharu dan menceritakan masalah dirinya diburu along selepas menjadi penjamin rakannya yang gagal melunaskan hutang.

“Lelaki itu meminjam telefon bimbit saya kononnya mahu menghubungi ibu saudaranya untuk memohon pertolongan kecemasan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA di sini, semalam. Turut hadir Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong.

Dakwanya, lelaki itu bagaimanapun enggan memulangkan telefon bimbit saya dengan alasan sedang menunggu panggilan daripada ibu saudaranya itu.

“Selepas beberapa jam, lelaki itu mendakwa tidak memiliki sebarang akaun bank dan meminta supaya ‘meminjamkan’ akaun saya bagi memudahkan ibu saudaranya memasukkan wang.

“Saya yang bersimpati dengannya segera memberi kad ATM termasuk nombor PIN kepadanya sebelum kami berdua bertolak ke Johor dengan menaiki bas,”
katanya.

Menurutnya, sebelum itu, lelaki terbabit ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada keluarganya yang menyatakan dia diculik along dan meminta memasukkan wang tebusan berjumlah RM6,000 ke dalam akaun miliknya.

“Keluarga saya yang bimbang dengan keselamatan saya kemudian memasukkan RM2,000 ke dalam akaun saya keesokan harinya.

“Ketika itu, saya langsung tidak tahu-menahu mengenai perbuatan lelaki itu yang membuat tuntutan wang tebusan kerana dia langsung tidak mencurigakan.

“Bagaimanapun, ketika kami berdua menonton wayang di sebuah pusat beli belah di Johor, lelaki berkenaan memaklumkan mahu keluar dan terus menghilangkan diri bersama telefon bimbit serta kad ATM saya,”
katanya.

Menyedari diri diperdaya, dia kemudian segera meminta bantuan rakannya untuk meminjam duit dan terus pulang ke ibu negara.

“Sejurus tiba di rumah, saya amat terkejut apabila keluarga menangis kegembiraan sambil memeluk saya dan memberitahu sudah membuat laporan polis berhubung penculikan itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113092258/Article/index_html

Tuesday, January 6, 2009

40 terbabit pindah wang sudah ditahan


KUALA LUMPUR: Seramai 40 orang terdiri daripada warga negara Malaysia dan Indonesia ditahan di Lahad Datu, Sabah kerana terbabit dalam sindiket pemindahan wang tanpa persetujuan ke Indonesia melalui perbankan elektronik, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T Murugiah.

Beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai kes itu berkata, kes itu sedang dibicarakan di mahkamah.

Beliau mendedahkan sebuah bank mengalami masalah itu sejak 2006 dengan tiga kes diadu kepada bank itu tetapi menurutnya ‘pegawai bank tersebut enggan bertanggungjawab’.

“Apabila duit ini hilang ke Indonesia, orang yang menerima tidak dapat dikenal pasti...dikesan kerana identiti berlainan. Mereka akan menukar nama, gambar dan sebagainya di kad pengenalan mereka,” katanya selepas meninjau usaha membaiki lif Flet Taman Sentul Utama di sini, semalam.

Murugiah berkata, jumlah wang yang sering hilang membabitkan antara RM12,000 dan RM13,000.

Katanya, pihak bank harus lebih peka terhadap masalah itu dan bertanggungjawab kerana perkara itu membabitkan wang dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan bank itu.

Beliau menasihatkan orang ramai berwaspada dan sentiasa menyemak akaun bank mereka.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105085926/Article/index_html

Thursday, January 1, 2009

Wang dalam bank lesap

Oleh KUMARA SABAPATTY
kumara.sabapatty@kosmo.com.my



HEMANATHAN (kiri) berbual dengan Murugiah selepas mengadu kehilangan wang di dalam akaun simpanannya semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


IPOH – “Saya sengaja buka akaun di bank lain untuk kegunaan majlis perkahwinan kakak saya, K. Kuganeswary, pertengahan bulan Januari ini tetapi sekarang semuanya lebur dan majlis itu terpaksa ditangguh.”

Itulah kata K. Hemanathan, 23, selepas mendapati wang simpanan dalam akaun di sebuah bank sebanyak RM7,262 telah dikeluarkan tanpa pengetahuannya dan kini cuma berbaki RM56.

Menurutnya, dia telah mengumpul semua lebihan gajinya sebagai pekerja kilang dalam akuan khas sejak awal tahun lalu bagi tujuan membantu perkahwinan kakaknya.

“Saya memang buka akaun di bank lain supaya tidak bercampur dengan gaji bulanan yang saya terima.

“Sehingga November lalu, saya telah menyimpan sebanyak RM15,000 tetapi telah keluarkan sebahagian daripadanya untuk membeli barang keperluan perkahwinan,”
katanya.

Dia amat terkejut ketika mahu mengeluarkan wang lagi pada 15 Disember lalu apabila mendapati hanya terdapat kira-kira RM56 dalam akaun bank berkenaan.

“Saya terperanjat besar ketika mahu mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Mustahil bakinya sebanyak itu.

“Saya segera melaporkan kepada pegawai bank berkenaan dan hasil semakan mendapati wang daripada akaun saya telah dikeluarkan oleh seseorang pada 4 September lalu menggunakan perkhidmatan pindahan terus dari luar negara,”
katanya yang turut membuat laporan polis.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Saturday, November 29, 2008

Penyamun ajak mangsa beli emas

Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Tidak cukup dengan hasil samun pertama, seorang wanita dipaksa berlakon sebagai pasangan kekasih kepada seorang daripada tiga penyamun dan membeli barang kemas di dua buah kedai emas menggunakan kad kredit sebelum meninggalkannya di tepi jalan.

Itulah kejadian ngeri yang menimpa seorang wanita dalam kejadian samun di Lorong Pikrama Seri Petaling di sini pukul 2.30 petang kelmarin.

Menurut sumber, wanita itu dipaksa membeli barang kemas bernilai RM30,000 dari dua buah kedai emas di Puchong.

Sebelum kejadian, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu sedang menunggu di dalam keretanya jenis Hyundai Matrix untuk menjemput anaknya dari sebuah tadika.
Sebaik sahaja anak mangsa berusia lima tahun memasuki kenderaan, dua daripada tiga suspek tiba-tiba masuk ke dalam kereta mangsa dan meng- acukan pisau sebelum menga- rahkan mangsa tidak melawan, manakala seorang lagi rakan suspek mengekorinya.

"Mangsa dan anak lelaki- nya kemudian telah dibawa hingga ke kawasan Puchong sebelum diarahkan untuk mengeluarkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) di situ,'' katanya di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...