Sunday, November 23, 2008

Tanda-tanda Dunia Kita Mula Terbalik


Posted on Saturday, November 22 @ 14:09:09 MYT by reformis

Oleh Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin


Ada beberapa perkara menarik berlaku dalam minggu ini. Kejadian itu semua bolehlah disenaraikan dalam tanda-tanda ‘dunia sudah terbalik’. Antaranya demonstrasi bantahan terhadap fatwa pengharaman pengkid.

Saya kurang pasti adakah dalam dunia ini mana-mana agama yang mengizinkan penganutnya yang perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya sehingga ‘fatwa’ tersebut dianggap menjejaskan hak mana-mana agama? Apatah lagi jika hukum tersebut hanya ditujukan kepada umat Islam semata. Atau mungkin mereka merasakan bahawa hukum itu menjejaskan hak asasi manusia.

Saya pun hairan apakah termasuk dalam hak manusia untuk menukar jantina? Ya, pada kaca mata aliran liberal tanpa sempadan keagamaan atau keinsanan, mungkin itu satu hak. Atau ia dianggap hak asasi bagi manusia yang menggunakan nama Tuhan menghalalkan apa yang bercanggah dengan ciptaan Tuhan.

Tetapi pada nilaian fitrah insani yang sejahtera perkara itu adalah satu pencemaran hak. Sama seperti jika ada kelompok yang menuntut hak untuk bertelanjang di jalanan atas alasan kebebasan. Hak yang seperti itu hanya mencemarkan hak orang lain yang akan terganggu dengan tindakan mereka dan merampas keselesaan ramai. Lebih daripada itu, ia terkeluar dari nilai insani yang normal.

Maka pemerintah di mana-mana negara pun jika membenarkan satu hak dalam masalah seperti ini, akan mencemarkan hak pihak yang lain. Sudah pasti neraca dalam masalah ini adalah nilaian agama dan fitrah insani yang lurus. Jika dibenarkan wanita menjadi lelaki atau lelaki menjadi wanita, maka hak kaum lelaki atau wanita yang normal akan tercemar. Akan berlaku kekeliruan gender yang meluas dalam masyarakat. Lalu lelaki atau wanita normal sukar mencari pasangan yang sebenar. Akan berlaku kecurangan yang luar biasa apabila ada kelompok manusia yang mencari pasangan sesama jantina.

Jika hal itu meluas, maka perkembangan masyarakat manusia juga akan tercemar disebabkan tidak mungkin ‘hubungan seks’ sesama jenis boleh melahirkan zuriat. Maka atas nama hak, apakah nanti kita mesti mengwujudkan tandas ‘pengkid’ atau ‘tandas saudarai’. Atau apakah pengkid boleh masuk ke tandas lelaki, atau ’saudarai’ boleh ke tandas perempuan? Dunia akan terbalik nanti dan banyak kekalutan akan berlaku.

Maka, tidak hairanlah jika Islam mengharamkan hal ini seperti hadis Ibn ‘Abbas yang saya sebutkan pada minggu lepas Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki (Riwayat al-Bukhari).

Cumanya, seperti yang saya nyatakan bahawa isu lelaki menyerupai perempuan tidak memerlukan sidang fatwa khas untuk mengeluarkan hukum mengenainya. Hukum yang seperti ini diketahui oleh sesiapa sahaja yang mempunyai walaupun sedikit asas pengetahuan agama Islam. Seperti yang saya nyatakan, yang agak peliknya, dalam fatwa yang dikeluarkan itu ditegaskan tentang haramnya wanita menyerupai lelaki, sedangkan fenomena yang bertebaran kelihatan di sana-sini adalah lelaki yang menyerupai perempuan. Sama ada pada gaya bahasa, gaya berjalan, atau lebih-lebih lagi ‘nafsu bercinta’.

Wanita tiruan ini kelihatan dan kedengaran bukan sahaja di jalanan, tetapi juga di media massa; radio, televisyen dan akhbar. Mereka kelihatan mendapat lesen yang besar tanpa dipertikaikan oleh sesiapa. Tiba-tiba muncul fatwa yang menegaskan tentang ‘haram pengkid’ dan tidak pula menonjolkan tentang haram lelaki cuba menjadi wanita. Perkara-perkara yang seperti inilah yang menjadikan manusia bersalah sangka lalu menganggap sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh ‘insan-insan berjawatan’ itu mengambil kira soal kedudukan dan ‘keselesaan kerusi’ masing-masing.

Ini semacam fatwa yang mengharamkan kanak-kanak bermain mercun kerana dikatakan membazir, tetapi dalam masa yang sama tidak pula mengharamkan mercun yang ratusan ribu ringgit yang dimainkan dalam berbagai-bagai keramaian atau tidak pula mengeluarkan fatwa mengharamkan pembaziran yang berlaku dalam pengurusan wang rakyat. Ini pun menunjukkan dunia kita memang nak terbalik..

Dalam celahan cerita wanita yang ingin menjadi lelaki, timbul pula kes kezaliman terhadap wanita di Kedah. Bagaimana seorang wanita mendakwa dirinya yang dizalimi oleh kecuaian Pejabat Agama. Dalam tempoh lapan tahun pihak Jabatan Agama tidak memberikan kepadanya surat cerai, tiba-tiba apabila beliau berkahwin dengan lelaki lain datang perintah mahkamah yang menyatakan perkahwinannya dengan suami yang kedua itu tidak sah dan dianggap ‘bersuami dua’.

Ketika beliau berulang-alik ke Pejabat Agama meminta surat pengesahan cerai, mereka gagal memberikan kepadanya. Malangnya, apabila beliau berkahwin dengan suami yang kedua dan mempunyai dua anak, datang pula surat mahkamah syariah yang membatalkan perkahwinan dan menyuruhnya kembali kepada suami yang pertama. Hari ini beliau hidup penuh tekanan dan penderitaan jiwa.

Jika benar dakwaan beliau, alangkah kejamnya pengurusan yang diberi nama agama ini. Dahulu saya pernah mencadangkan agar kita mengurus perkara-perkara halal dengan baik dan mudah serta membendung perkara- perkara haram agak menjadi rumit susah untuk mendapatkannya. Malangnya, hal ini tidak berlaku. Sehingga ada negeri yang memenjarakan sesiapa yang berkahwin di luar negerinya.

Begitulah urusan perkahwinan disulitkan dengan berbagai-bagai ‘karenah pengurusan’ yang pelbagai. Sebahagiannya dijadikan bisnes dengan yuran yang menguntungkan. Lihat sahaja apakah sukatan dalam sesetengah kursus perkahwinan. Sementara kes talak tertangguh begitu banyak yang memakan masa bertahun-tahun. Ia menghalang wanita untuk berkahwin semula sedang tuntutan jiwa dan nafsu wujud apatah lagi bagi wanita muda. Mahkamah dengan mudah menangguhkan kes hanya kerana suami tidak datang walaupun sudah berkali-kali. Wanita-wanita yang dianiayai lelaki sebegini didera perasaan dan nafsu kelaminnya. Ini adalah kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan terhadap wanita.

Malang sekali, kes-kes yang seperti ini tidak diselesaikan dengan kuasa hakim. Hakim sepatutnya boleh diberi kuasa fasakh yang lebih jelas dan tegas kepada suami zalim dan tidak bertanggungjawab. Keengganan hadir ke mahkamah tanpa alasan yang diterima boleh dianggap sebagai sebab untuk perkahwinan dibatalkan.

Dukacita, pihak pengurusan agama ini jika ditegur ada yang melenting. Padahal bukan sedikit kaum wanita yang menunggu bertahun-tahun untuk kesnya diselesaikan. Ini semua boleh menjadi faktor terdorongnya gejala maksiat akibat runtunan nafsu yang tidak dapat diluruskan secara yang kononnya dianggap ‘berdasarkan undang-undang syarak’. Di manakah keindahan syariat hendak dilihat jika dikendalikan seperti ini? Benarlah kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) yang selalu saya ulangi:

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia- sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

Sebab itu saya pernah mencadangkan agar pihak berkuasa agama menumpukan kepada penyelesaian kes-kes yang seperti ini daripada menumpukan ‘operasi mengintip’ maksiat di dalam bilik-bilik hotel yang belum tentu ada. Selesaikanlah kes yang jelas wujud dari disibukkan diri dengan perkara yang tidak pasti. Namun dunia agaknya sudah terbalik..

Bercakap soal keadilan, ada yang bersungut dengan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis baru-baru ini yang memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibu bapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut; “Anak yang lahir kurang daripada enam bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”. Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

Maksud fatwa ini adalah seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang daripada tempoh enam bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya. Sebabnya, di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di’bin’kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam erti kata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’.

Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut sepanjang hayatnya.

Pihak ibu bapa pula, amat sukar untuk menerangkan hakikat sebenar kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka ‘aib yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga. Atas keadaan tersebut maka, isu ini saya bincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis.

Kita sedar, adanya perbezaan pendapat di kalangan sarjana fekah dalam hal ini. Namun, setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai-bagai, maka keputusan tersebut dibuat. Antara dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi saw:

“Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini disebutkan oleh Nabi saw apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya.

Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah. Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi SAW, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d.

Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut)”. Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah saw memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina.

Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi saw yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti pelbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

“Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”. (lihat: islamonline.net).

Namun, keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan. Dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.

Antara kebaikan fatwa ini; ia menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat. Juga menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurangan tempoh perkahwinan serta membantu ibu bapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

Ada yang kata; fatwa ini menggalakkan orang berzina. Saya kata tidak sama sekali; ia memberi orang bertaubat dan menyelamatkan maruah anak yang tidak berdosa. Yang menggalakkan maksiat adalah adegan-adegan panas dalam media, juga pengurusan yang menyusahkan kahwin dan talak. Fikiran anda jangan terbalik!

http://www.detikdaily.net/v4/modules.php?name=News&file=article&sid=2411

Sial wajah hodoh



KUALA LUMPUR: Dimaki ibu kandung dengan perkataan anak sial, bodoh dan tak sedar diuntung adalah ‘makanan’ hariannya, selain dipukul serta dirotan. Dia juga pernah dikurung tanpa diberi makan, disuruh ketuk ketampi 10,000 kali sehingga pengsan dan lebih malang lagi, diperkosa dua abang serta seorang saudaranya sendiri.

“Semua itu berlaku ketika saya kanak-kanak sehingga remaja. Sampai sekarang saya tak tahu kenapa ibu dan adik beradik begitu membenci dan tergamak membuat saya begitu. Hanya saya yang menerima layanan kejam ibu. Adik beradik lain dilayan dengan baik,” kata wanita malang yang hanya mahu dikenali sebagai Suria.

Kini Suria sudah berusia 30 tahun, berjaya menggenggam segulung ijazah dan memiliki kerjaya stabil. Namun, semua itu belum mampu mengubah perasaan ibunya. Ikuti pangalaman hidup Suria yang diceritakan kepada wartawan Metro Ahad, ZAITIE SATIBI.

“APA yang ingin saya paparkan adalah kesedihan dan kesakitan yang saya tanggung sejak berusia enam tahun sehingga sudah memiliki kerjaya. Saya tidak berniat memburuk-burukkan ibu. Sejahat mana pun ibu, dia tetap ibu yang melahirkan saya.


“Namun, siapa yang boleh tahan jika sentiasa dihina dan didera. Perkataan bodoh, hodoh, anak sial, tak sedar diuntung dan kecil-kecil tak nak mampus sentiasa bermain di bibirnya. Itu belum dikira perbuatannya yang kerap memukul, merotan dengan pengikat getah bercangkuk dan menyuruh saya ketuk ketampi 10,000 kali sehingga saya pengsan jika kemarahannya membuak.

Lebih buruk, saya juga dikurung dalam kandang di bawah rumah serta tidak diberi makan seharian. Saya hanya akan dilepaskan keesokannya, itupun sebab mahu ke sekolah.

Adik-beradik saya juga tidak seorang pun yang memihak kepada saya. Semuanya seolah-olah ‘merestui’ tindakan ibu, malah mereka juga bersama-sama mendera saya fizikal dan mental.

Ayah pula tidak berkuasa dalam hal ini kerana dia sibuk bekerja sebagai nelayan dan masanya lebih banyak tertumpu di laut mencari rezeki bagi menyara keluarga yang punya anak ramai.

Oleh itu, ibulah segala-galanya bagi kami adik beradik. Saya rasa ibu juga mengawal ayah kerana ayah disuruh bekerja tanpa henti dan jangan pulang jika tidak membawa wang yang banyak. Sehingga ayah sakit teruk pun dia masih disuruh bekerja.

Berbalik kepada kisah saya, selalu saya bertanya diri sendiri mengapa ibu begitu kejam. Sepanjang ingatan, saya tidak pernah membuat sebarang kesalahan yang mengecilkan hati ibu.

Tahu-tahu ibu teramat bencikan saya sehingga apa saja saya buat semua serba tidak kena. Saya hina sangat ke? Saya masih ingat perbuatannya walaupun masa itu saya juga masih kecil.

Saya sendiri kurang pasti mengapa ibu terlalu bencikan saya. Namun, jika berdasarkan sumpah seranah dan maki hamunnya sejak saya kecil, mungkin kekurangan aspek fizikal saya menjadi puncanya.

Apabila diteliti, wajah dan perawakan saya kurang menarik jika dibandingkan dengan adik beradik lain. Mereka berkulit putih, tinggi dan langsing dan masing-masing berkulit putih dan berwajah Cina seperti ayah.

Hanya saya yang berkulit gelap, rendah, berbadan gempal dan ciri-ciri dimiliki saya itu saling tidak tumpah seperti ibu.

Saya hanya mampu bersabar dan tidak berani menyuarakan apa-apa. Kekuatan saya ketika itu, hanyalah kasih sayang daripada guru di sekolah yang selalu menasihati dan membimbing saya untuk menjadi manusia berguna.

Di sekolah saya tergolong dalam pelajar cemerlang dan guru mengasihi serta kerap memuji saya. Disebabkan itu, saya yakin saya bukan anak sial seperti dianggap ibu.

Mungkin pandangan yang berlawanan itu membuatkan saya mampu untuk meneruskan kehidupan walaupun disulami kesedihan berpanjangan. Dorongan guru juga membolehkan saya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan sehingga menjejakkan kaki ke menara gading.

Sekarang saya sudah dewasa. Sudah punya kerjaya yang dianggap mulia oleh masyarakat dengan pendapatan bulanan ribuan ringgit. Ia lebih baik berbanding adik beradik lain yang sudah bekerja.

Apabila sudah memegang duit sendiri, saya cuba menambat hati ibu supaya menerima saya sama seperti adik-beradik lain. Tahun pertama bekerja saya sudah membuat pinjaman bank bagi membuat rumah baru di kampung menggantikan rumah papan untuk keselesaan keluarga.

Saya juga memberi wang belanja sekitar RM300 hingga RM500 sebulan. Namun, kadang-kadang ibu meminta lebih banyak, sedangkan saya juga membantu menanggung pelajaran tiga adik di institut pengajian tinggi (IPT).

Pendek kata, semua wang gaji saya dihabiskan untuk keluarga, sehingga sampai satu peringkat saya tidak punya apa-apa berbanding teman lain yang sudah mengumpul harta sendiri.

Namun, pengorbanan yang saya buat bukan saja tidak dihargai ibu dan adik beradik, malah duit saya dikikis seolah-olah mereka tidak pernah puas. Yang peliknya, saya hanya diperlukan jika mereka susah, sebaliknya jika senang saya dilupakan.

Ibu hanya menelefon saya jika dia mahu duit. Duit, duit, duit, itu saja yang dia mahu dari saya. Sedikit pun tidak pernah tanya khabar sama ada saya sihatkah atau sakit.

Akibatnya, kini saya semakin jarang pulang ke kampung menjenguk ibu. Tambah pula, ayah sudah meninggal dunia tiga tahun lalu. Saya tidak mahu lagi menerima penghinaan daripada ibu.

Walaupun banyak yang sudah saya beri kepada ibu, saya masih lagi menjadi sasarannya untuk menerima pelbagai cercaan. Tidak cukup dengan itu, ibu mereka cerita buruk mengenai saya dan menjajanya kepada anak-anak lain.

Ibu kata saya anak yang tidak sedar diri dan berlagak. Sudah ada gaji besar tetapi sekali pun tidak mengirim wang kepadanya, sedangkan setiap bulan pendapatan saya dipotong bagi membayar ansuran pinjaman membuat rumah.

Sebenarnya, saya turut menyimpan peristiwa pahit yang pasti sukar ditempuh wanita lain. Sejak kecil saya turut menjadi habuan nafsu serakah dua abang dan seorang sepupu ibu. Ketika itu saya tidak tahu apa yang mereka lakukan adalah salah.

Ketika melangkah ke alam remaja, baru saya tahu kejinya perbuatan mereka. Abang juga menghentikan perbuatan terkutuk mereka terhadap saya, mungkin kerana mereka juga sudah mulai faham.

Cuma sepupu ibu yang masih cuba mengganggu saya walaupun saya sudah belajar di universiti. Lelaki itu saya anggap sejahat-jahat manusia kerana tidak serik dengan perbuatannya walaupun berkali-kali diberi amaran.

Akibat tidak tahan, saya mengadu kepada ibu tetapi saya amat terkejut kerana ibu langsung tidak percaya, sebaliknya menuduh saya yang jahat dan mengada-adakan cerita.

Ibu mendakwa sepupunya tidak akan melakukan perbuatan itu kerana berasal dari keturunan baik. Saya menangis kerana tidak menyangka orang yang sepatutnya memberi perlindungan kepada saya, memiliki hati seperti binatang.

Jika ibu menolak aduan saya yang diperkosa, mengapa ibu tergamak memberitahu rombongan meminang saya mahukah mereka menerima saya yang sudah ‘ditebuk’.

Alangkah kecewanya saya dengan sikap ibu, tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa selain menangis dan memendam perasaan. Saya tidak melaporkan perbuatan lelaki durjana itu kepada pihak berkuasa kerana tidak mahu menanggung malu.

Saya mula berubah untuk tidak lagi tunduk dengan penghinaan ibu selepas peristiwa ibu berkomplot dengan seorang adik lelaki untuk menipu duit saya. Selepas bertahun-tahun bekerja, saya mengumpul wang untuk membeli motosikal.

Namun, ibu menyuruh saya beli motosikal terpakai milik adik yang berharga RM3,000 tunai. Kata mereka, motosikal itu dibeli adik saya secara tunai dan tiada hutang di kedai. Namun, baru beberapa bulan saya pakai kenderaan itu, adik saya minta wang lagi.

Rupa-rupanya motosikal itu masih belum habis bayar dan wang diminta dari saya digunakan bagi menjelaskan ansuran. Saya memulangkan motosikal itu kepada adik dan memintanya mengembalikan wang RM3,000 milik saya.

Tetapi, saya tersilap kerana tidak menukar nama pada geran menyebabkan adik saya mengambil kesempatan. Yang menyakitkan hati, duit RM3,000 saya juga tidak dipulangkan tapi digunakan untuk berfoya-foya.

Kejadian itu menyebabkan saya seolah-olah baru mendapat cahaya kesedaran bahawa saya tidak mendapat sebarang keuntungan dengan membuat kebaikan terhadap ibu dan ahli keluarga.

Sejak itu saya mula merancang kebahagiaan diri sendiri. Saya tidak lagi pedulikan setiap kali ibu mahu duit. Saya hanya beri bila saya mahu. Saya juga pulang ke kampung bila ada hati, itupun ketika tiada adik-beradik lain pulang sama.

Memang saya rasa tidak menentu dengan perbuatan ini, namun saya sudah meminta pandangan seorang ustaz. Katanya, apa yang saya buat ini betul dan saya tidak perlu rasa bersalah.

Hanya kepada Tuhan tempat saya mencurahkan kesedihannya dan meminta hidayah-Nya agar diberi kekuatan untuk menjalani hari mendatang. Saya juga punya seorang sahabat karib yang sedia mendengar rintihan saya dan sering memberi sokongan supaya saya lebih tabah.

Namun, sebagai anak, biar seburuk manapun ibu saya, saya harus menyayangi dan menghormatinya. Saya tidak mahu digelar anak derhaka. Pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian.

Mudah-mudahan ibu mendapat petunjuk daripada Maha Esa pada suatu hari nanti. Semoga pintu hatinya terbuka untuk menjadi seorang ibu yang lebih bertanggungjawab.


Pada saya, ibu mungkin ada masalah dalam jiwanya. Ibu juga memiliki ego yang tinggi kerana di samping sukar mengaku kesalahan sendiri, dia juga sangat susah menerima pendapat orang lain.

Saya berdoa ibu akan insaf dan bertaubat dengan perbuatannya terhadap saya. Selain itu, saya turut berharap tidak ada ibu bapa lain yang memilih kasih anak-anak jika ada antaranya yang memiliki kekurangan diri kerana saya tidak mahu ada lagi insan hidup menderita seperti saya akibat disisih keluarga sendiri.”

http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20081123110300/Article

Kes status perkahwinan Aziz-Radhiah dipindah ke Mahkamah Tinggi Syariah




Ahad November 23, 2008

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ




Aziz meninggalkan perkarangan Mahkamah syariah Terengganu pagi tadi. Turut bersama adalah dua anak perempuannya, Puteri Nurul Fatehah,20 dan Puteri Nur Asyiqin, 15. (Foto The Star Oleh: M.Azhar Arif)

[DIKEMAS KINI] KUALA TERENGGANU: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini memutuskan supaya kes status perkahwinan produser Aziz M. Osman, 46 dan isterinya, Nor Radhiah Ramli, 22 dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.


Menurut peguam Aziz, Amli Embong, keputusan tersebut dibuat kerana Mahkamah Tinggi Syariah lebih mempunyai bidang kuasa dan kompeten untuk membicarakan kes ini berbanding Mahkamah Rendah Syariah.


Tambahnya, Aziz juga akan menyerahkan afidavit sebagai jawapan kepada permohonan tersebut di mahkamah di sini pada Ahad ini.


“Pihak Mahkamah Tinggi Syariah di sini akan memberitahu tarikh untuk mendengar semula perbicaraan ini nanti,” beritahu Amli ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.


Dalam perbicaraan tersebut, Aziz hadir bersama Amli dan dua orang anaknya tanpa isterinya, Radhiah.


Kata Aziz yang baru mengetahui perbicaraan tersebut pada Khamis lalu,dia berasa hairan apabila Radhiah tidak menghadiri perbicaraan tersebut.


“Apabila saya hubunginya, Radhiah berkata dia tidak dimaklumkan oleh pihak mahkamah yang dia perlu datang pada hari ini sedangkan saya sendiri telah mendapat surat saman melalui Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya yang menyuruh saya datang ke sini pada hari ini.


“Saya tertanya kenapa dia hendak mempertahankan diri. Saya tidak menyerang dia tetapi hanya nak rujuk sama ada perkahwinan kami sah atau tidak.


“Saya fikir penilaian ini perlu dilakukan kerana status perkahwinan kami mempunyai kesangsian dari segi soal hukum dan ‘teknikal’,”
ujar Aziz.


Surat saman tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini setelah Radhiah memfailkan borang permohonan pengesahan perkahwinan mereka di mahkamah tersebut pada 4 November lalu.


Amli menambah, alasan status perkahwinan Aziz dan Radhiah dibawa ke mahkamah kerana ia menimbulkan kesan yang menyentuh soal hukum agama dan undang-undang.


“Walaupun pihak Radhiah ‘melawan’ dengan memberi kenyataan perkahwinannya dan Aziz adalah sah, tetapi kami perlu juga memberi hujah mengenai kes ini kerana ia memberi kesan yang menentukan sama ada perkahwinan mereka tidak sah atau batal dan boleh jadi sah,” kata Amli.


Menurut Amli, kes perkahwinan Radhiah dan Aziz ini merupakan antara kes unik dan pertama kali disebarkan secara meluas.


“Ia lebih elok jika disebarkan secara ilmiah untuk dikongsi bersama kerana mungkin ramai yang tidak tahu kes seperti ini,” tuturnya.


Aziz juga turut bersetuju dengan hal tersebut dan berkata: “Perkara ini ilmiah. Saya pun tak tahu keadaan akan jadi macam ini sehinggalah ada seorang hamba Allah ni menasihatkan saya merujuk hal ini kepada peguam.”


Aziz turut menafikan yang isu perkahwinannya timbul kerana ada campur tangan daripada pihak lain.


Sebelum meninggalkan mahkamah, Aziz berkata dia akan berjumpa dengan Radhiah pada hari ini.


Sementara itu, Radhiah ketika dihubungi menyatakan alasan dia tidak hadir kerana tidak mendapat makluman daripada pihak mahkamah yang meminta dia hadir pada hari ini.


“Saya tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana mengalami ‘kesilapan teknikal’.


“Saya ingatkan mahkamah akan maklumkan kehadiran saya melalui surat. Jadi, saya tunggu sahaja tanpa bertanya pihak mahkamah mengenai hal ini,” jelas Nor Radhiah Ramli, 22 ketika dihubungi setelah tidak menghadirkan diri ke Mahkamah Rendah Syariah hari ini.


Menurut Radhiah, dia baru mengetahui berita yang dia sepatutnya tampil ke mahkamah pada hari ini selepas Aziz menghubunginya pagi tadi.


“Abang Aziz pun tak bagitahu saya yang dia nak datang ke mahkamah hari ini. Abang Aziz kata dia baru mendapat tahu pagi tadi selepas mendapat surat dari mahkamah sini (Mahkamah Rendah Syariah).


“Dia hanya bersiap sedia sahaja untuk datang hari ini selepas dimaklumkan kes ini berkemungkinan dibicarakan hari ini.


“Saya rasa terkilan sebab tak dapat hadir ke mahkamah dan sepatutnya saya lebih tahu daripada dia.


“Kalau boleh saya nak hal ini cepat selesai. Keputusan sama ada perkahwinan kami sah atau tidak, semuanya saya serahkan kepada pihak mahkamah yang tentukan. Jadi, kita tunggu sahaja episod seterusnya selepas ini,” kata Radhiah yang baru menemui Aziz tengah hari tadi di Kampung Losong, Kuala Terengganu.


Kata Radhiah, walaupun pertemuannya dan Aziz singkat, namun hatinya sedikit teruja kerana sekurang-kurangnya dia dapat melepaskan rindu setelah tidak berjumpa dengan suaminya itu sejak Hari Raya Aidilfitri lalu.


Sebelum ini, mereka hanya berhubung melalui telefon bimbit dan internet.


“Saya seronok dapat berjumpa dengan Abang Aziz dan anak-anaknya hari ini. Ketika kami berjumpa, sikap dan cara dia melayan saya masih sama seperti dulu,” cerita Radhiah dalam nada ceria.


Menyentuh mengenai kes perbicaraannya pada masa akan datang, Radhiah turut berkata dia merancang mengupah peguam untuk memudahkan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini nanti.



Semalam, ketika ingin mendapatkan kepastian mengenai kes perbicaraan Aziz dan Radhiah pada hari ini, kedua-duanya memberitahu tidak mendapat apa-apa makluman daripada pihak mahkamah.


-------------------------------------------------------------------------------------------------
Kronologi kontroversi perkahwinan Aziz dan Radhiah


9 hingga 20 Mac 2008 - Nor Radhiah Ramli, 22 dan Aziz M. Osman, 46 berkenalan ketika mengerjakan umrah di Mekah.


4 April 2008- Radhiah dinikahkan dengan lelaki berusia 28 tahun oleh jurunikah tidak bertauliah di Pengkalan Kubur, Kelantan secara wali hakim tanpa pengetahuan ibu bapanya.


28 Julai 2008- Perkahwinan Radhiah yang pertama dahulu terbatal dan dianggap tidak sah. Mahkamah Syariah Kuala Terengganu telah mengeluarkan surat pembatalan 'perkahwinan' tersebut. Namun, surat ini hanya diterima selepas Radhiah berkahwin dengan Aziz.


16 Ogos 2008- Aziz dan Radhiah dinikahkan sendiri oleh bapa Nor Radhiah, Ramli Yusuf, 52, disaksikan oleh Jurunikah Mukim Batu Rakit yang juga merupakan bapa saudara Nor Radhiah, Ismail Yusof, 63.


14 September 2008- Sijil perkahwinan Radhiah dan Aziz dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu.


2 November 2008- Sebuah akhbar mingguan mengeluarkan kenyataan ibu Aziz, aktres Afida Es mengenai perpisahan Aziz dan Radhiah dan menganggap perkahwinan mereka tidak sah kerana katanya Radhiah masih dalam 'edah' seperti yang diberitahu 'bekas suaminya'.


3 November 2008- Radhiah merujuk status perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dan hakim memintanya mengisi borang permohonan pengesahan perkahwinan.


4 November 2008- Radhiah menyerahkan borang tersebut di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dan kembali mendengar sebutan kes selepas 21 hari.



http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/23/mstar_berita/20081123130745&sec=mstar_berita

Fatwa: Pengendali senaman yoga kecewa, tapi akur



Ahad November 23, 2008

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN



PETALING JAYA: Persatuan Yoga Malaysia melihat fatwa yang melarang umat Islam daripada menyertai senaman yoga sebagai perkembangan mengecewakan, tetapi pihaknya akur dengan ketetapan itu.


Pengerusinya, M. Maniseekaran berkata, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan akan merugikan peserta-peserta yang berminat mengikuti senaman yoga.


“Keputusan ini akan merugikan mereka yang betul-betul mendapat manfaat daripada amalan ini,” katanya kepada mStar Online semalam.


Tambah beliau, berdasarkan kajian yang dijalankan amalan yoga sudah terbukti berkesan untuk menyembuhkan beberapa penyakit.


Biarpun kecewa dengan keputusan yang diumumkan itu, beliau berkata, pihaknya akan akur dengan keputusan yang telah diputuskan itu.


“Seperti yang dikehendaki oleh Majlis Fatwa, kami akan menasihati peserta-peserta yoga yang beragama Islam supaya berhenti daripada mengikuti kelas yang dijalankan,” katanya.


Jelas beliau, pihaknya sedia memberi penerangan yang jelas kepada pihak berkenaan mengenai amalan yoga dijalankan di negara ini.


Beliau yang telah 25 tahun menjadi pengamal yoga di Malaysia berkata, amalan yoga yang diamalkan di negara ini bersifat moden dan tidak disertai dengan sebarang proses bacaan mentera dan unsur pemujaan.


“Kami kecewa dengannya (keputusan haramkan yoga). Yoga yang diamalkan di sini, tidak langsung mengandungi amalan bersifat keagamaan dan spiritual,” katanya.


Menurut beliau, ‘hatha yoga’ merupakan satu jenis yoga popular yang diamalkan di negara ini di mana ia hanya melibatkan pergerakan seperti aktiviti pemanasan badan, keseimbangan dan proses bernafas dengan betul.


Jelasnya, pergerakan seperti itu turut diamalkan dalam aktiviti seni mempertahankan diri seperti silat dan taekwando.


Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa meminta umat Islam negara ini tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.


Pengerusi majlis itu, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan juga bersetuju dan memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.


“Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.


“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,”
kata beliau.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman menyeru pengguna Islam di negara ini agar menerima dengan terbuka keputusan yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.


“Saya sarankan mereka terima dengan terbuka keputusan Majlis Fatwa. Mereka lebih bijak dan pakar dalam menentukan hukum sesuatu perkara itu,” katanya.


Jelas beliau, peserta beragama Islam perlu yakin kepada ajaran Islam sepenuhnya.


“Kita wajib berpegang kepada al-Quran dan As-Sunnah serta hukum qiyas yang diguna pakai oleh Majlis Fatwa dalam mengeluarkan fatwa,” Katanya.


Jelas beliau, yoga merupakan satu amalan yang sinonim dengan agama Hindu.


“Aspek pergerakan dan bacaan mentera yang diguna pakai dalam amalan yoga boleh menghakis akidah umat Islam... jadi jalan terbaik untuknya adalah menjauhi amalan tersebut,” katanya


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/23/mstar_berita/20081123101837&sec=mstar_berita

Tiada peralihan kuasa Jun 2009



Ahad November 23, 2008

PETALING JAYA: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz tidak akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk Kamilia Ibrahim jika beliau mengambil alih jawatan nombor dua pergerakan tersebut kelak.


Perkembangan terbaru dalam pergerakan itu sekali gus 'mengkuburkan' pelan peralihan kuasa Jun 2009.


Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pelan peralihan pergerakan itu yang diumumkan Ogos lalu hanyalah antara beliau dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


"Memandangkan saya akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita, mandatnya adalah selama tiga tahun... tidak sekejap sekejap.


"Sebab itu, saya mengatakan (dari awal) tidak perlu ada pertandingan (bagi jawatan Ketua Wanita). Jika tiada pertandingan, saya akan (sepatutnya) menyerahkan (jawatan itu) kepada shahrizat pada Jun nanti," katanya kepada The Star.


Rafidah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar memberitahu, kini pergerakan itu kembali kepada proses pemilihan mengikuti demokrasi yang akan memilih sama ada "saya atau beliau."


Dengan keputusan Shahrizat mencabar Rafidah bagi jawatan Ketua Wanita, Kamilia akan menjadi calon tunggal bagi kerusi Naib Ketua Wanita.


Justeru, Kamilia sudah pasti memenangi kerusi itu tanpa cabaran.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/23/mstar_berita/20081123103804&sec=mstar_berita

Warta fatwa larang sertai yoga dalam 2 bulan

Ahad November 23, 2008

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Proses mewartakan fatwa mengenai senaman yoga dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk dikuatkuasakan.


Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd Wahid ketika dihubungi mStar Onlineberkata, Majlis Agama Negeri Selangor akan bermesyuarat pada 2 dan 3 Disember ini itu membincangkan secara khusus mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan semalam.


“Sesuatu fatwa yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mendapat kelulusan Majlis Agama Islam negeri sebelum dibawa kepada perkenaan Sultan. Selepas mendapat perkenan Sultan, baru ia boleh diwartakan,” katanya.


Tambanhya, proses mewartakan sesuatu fatwa itu akan mengambil masa kira-kira dua bulan jika tidak ada sebarang penangguhan.


“Jika tiada banyak bantahan dan mendapat kelulusan Majlis Agama Islam negeri dan dapat perkenaan Sultan, dalam masa dua bulan ia (fatwa) akan dapat diwartakan,” katanya.


Menurut Tamyes, selepas sesuatu fatwa itu diwartakan penjelasan mengenai fatwa itu perlu dihebahkan kepada orang ramai.


Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan kepada orang ramai dengan mengedarkan artikel dan edaran awam.


“Mereka juga memberi penjelasan melaui media massa agar masyarakat mendapat makluman yang jelas mengenai sesuatu isu yang telah menjadi fatwa,”
ujarnya.


Tamyes juga menjelaskan, pelaksanaan dalam bentuk perundangan akan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.


“Di Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merupakan badan yang bertanggungjawab mengenainya. Mereka diberi kuasa untuk proses penangkapan jika ia diperlukan,” katanya.


Ditanya adakah setelah fatwa yoga diwartakan, umat Islam yang didapati masih mengamalkannya akan didenda atau dipenjara, Tamyes berkata, JAIS diberi kuasa untuk melaksanakan aspek perundangan.


Namun, katanya, ia tidak bermakna proses penangkapan dan denda boleh dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya.


“Kita tidak boleh suka-suka tangkap orang, JAIS ada prosedur tertentu yang akan dikaji sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.


Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang dihubungi juga enggan mengulas lanjut.


“Maaf saya tidak boleh komen apa-apa mengenainya. Tunggulah nanti, saya akan umumkan,” katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/23/mstar_berita/20081123102120&sec=mstar_berita

Gempar meteor jatuh


EMPAT keping gambar ini menunjukkan rakaman meteor jatuh ke Bumi sebelum meletup dan mengeluarkan cahaya cerah di Edmonton, Kanada Khamis lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

EDMONTON – Satu cahaya meteor menyebabkan satu siri panggilan kecemasan dilaporkan kepada polis di bandar Edmonton, Alberta, Kanada pada Khamis lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang petani, Marcel Gobeil berkata, pada mulanya meteor itu kelihatan seperti percikan bunga api dan mempunyai pelbagai warna di angkasa.

“Saya tidak pernah melihatnya sebelum ini, ia berwarna hijau, dan biru seterusnya bertukar menjadi merah. Ia sungguh besar,” katanya.

Pihak perkhidmatan kecemasan di wilayah Alberta menerima banyak panggilan bermula pada pukul 5.30 petang waktu tempatan pada Khamis lalu dengan terdapat laporan terdengar satu dentuman.

Polis juga tidak meragui laporan itu kerana satu rakaman video dari sebuah kereta polis berjaya merakamkan insiden tersebut di Edmonton.

Imej video itu menunjukkan satu cahaya kecil menjelma di angkasa sebelum menjunam ke arah Bumi dan hilang dalam satu letupan cahaya selama lima saat.

Beberapa pakar astronomi akan mengkaji pita rakaman dan laporan saksi bagi menentukan lokasi meteor itu jatuh walaupun seorang saintis di Edmonton, Alister Ling menyatakan ia mungkin berlaku di tengah Alberta.

Seorang profesor di Universiti of Alberta, Chris Herd berkata, meteor itu mungkin seberat beberapa tan dan panjang satu meter. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Cemerlang ketika ibu bapa bercerai


ENA diberi kucupan tahniah oleh ibu bapanya pada Konvokesyen UiTM Shah Alam semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

SHAH ALAM - Tekanan paling besar yang pernah dihadapi Ena Suhaila Abas adalah penceraian kedua ibu bapanya setahun lalu.

Lebih teruk apabila ia berlaku di saat-saat gadis berusia 22 tahun itu menghadapi peperiksaan akhir semester bermula sekitar Julai tahun lalu.

Menurut Ena Suhaila, walaupun menangis seharian memikirkan nasib keluarganya dia tetap menggagahkan diri mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

"Selepas mendapat berita ayah dan mak nak berpisah, saya terus menangis tak henti-henti seharian di depan buku. Ketika menangis saya cuba tenangkan diri dan fikir dalam-dalam bahawa tangisan tak akan satukan mereka semula dan tekad untuk lupakan itu semua buat sementara waktu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, hasil ketabahan akhirnya berjaya mengekalkan keputusan cemerlang dengan memperoleh Anugerah Dekan pada setiap peperiksaan akhir sepanjang tiga tahun pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ena Suhaila yang memperoleh CGPA 3.72. memberitahu, keputusan cemerlang tersebut melayakkannya menerima Anugerah Naib Canselor pada hari ketiga Konvokesyen UiTM Ke-69 di sini semalam.

Dia menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (Pemasaran).

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Artis ditipu berjuta ringgit

Oleh MALIAH SURIP dan ZAINI SAMSU HADI



KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Selain vokalis kumpulan Search, Amy yang mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang ejen pelaburan rupa-rupanya ramai lagi artis terkenal tanah air turut menjadi mangsa.

Walaupun pada mulanya enggan tetapi atas perasaan bimbang lebih ramai akan terpedaya, mereka tampil membuat pengakuan kepada Kosmo! Ahad semalam.

Salah seorang daripada mereka, Hattan juga menjadi mangsa dan mendakwa rakan-rakan artis yang lain turut kerugian berjuta-juta ringgit setelah wanita yang menjadi ejen skim lesap Julai lalu.

Malah beliau juga mengaku menggunakan wang berjumlah RM50,000 daripada tabung Amanah Saham Didik milik anaknya, Adam.

Walaupun kesal dengan apa yang berlaku, Hattan berharap ia menjadi teladan kepada masyarakat supaya jangan terpengaruh dengan sebarang skim pelaburan.

Semalam Kosmo! melaporkan Amy kerugian lebih RM1 juta kerana terpedaya oleh ejen tersebut.

Tempias juga terkena kepada penyanyi dan pelakon, Awie, yang rugi ribuan ringgit setelah menyertai skim pelaburan yang sama.

"Saya akui saya tertipu dan ini adalah kesilapan paling bodoh yang pernah saya lakukan. Mungkin kerana memikirkan untuk mendapat pulangan jangka pendek, saya melabur," ujarnya kepada Kosmo! Ahad.

Lebih terkejut, katanya, wanita yang menjadi ejen itu juga rupa-rupanya mempunyai empat kes polis sebelum ini.

Selain itu, penyanyi Misha Omar juga mengalami nasib yang sama selepas terpengaruh dan turut mengalami kerugian ribuan ringgit.

"Kalau nak sebut jumlah kerugian, buat sakit hati," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Berjalan lima kilometer - Mahu mengadu tidak tahan didera ibu tiri


MUHAMAD RIDZUAN menunjukkan kesan lebam pada pahanya di Hospital Ampang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


AMDITA

--------------------------------------------------------------------------------

AMPANG JAYA - Seorang kanak-kanak tahun empat sebuah sekolah rendah bertindak nekad dengan berjalan sejauh lima kilometer semata-mata untuk mengadu dia didera ibu tirinya di Pandan Indah di sini kelmarin.

Tujuannya ialah untuk pergi ke rumah ibu saudaranya di Lembah Maju selepas tidak tahan menjadi mangsa dera wanita tersebut yang didakwa telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, Muhamad Ridzuan Amir, 10, akan dicubit, diketuk dengan senduk dan dipukul dengan tangan hanya kerana kesalahan kecil seperti lambat makan dan tersalah membaca ketika mengaji.

Ibu saudaranya, Amdita @ Tinah Kaling, 29, memberitahu, dia yang sedang membuat kerja rumah ketika itu terkejut sebaik melihat Muhamad Ridzuan terpacul di depan rumahnya pukul 10.30 pagi.

"Ketika saya hendak bertanya kepada dia, saya telah menarik tangannya dan dia memberitahu jangan berbuat demikian kerana sakit.

"Saya tanya kenapa tetapi dia tidak mahu cakap kerana takut dan apabila diperiksa, saya dapati ada kesan lebam begitu juga pada kedua-dua belah pahanya,''
katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, selepas didesak, barulah Muhamad Ridzuan hendak bercerita.

Menurut Amdita, dia kemudiannya telah membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Ampang untuk membuat laporan pukul 12.15 tengah hari sebelum dirujuk ke Hospital Ampang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Saya tidak terlibat - Akhil Hayy

Oleh FATIHAH MOHAMED



AKHIL HAYY

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Penyanyi yang terkenal dengan gelaran Ustaz Rock, Akhil Hayy atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hayy kesal kerana namanya dijaja oleh pihak-pihak tertentu sebagai pengikut ajaran sesat 'Ajaran MLM'.

Sebaliknya beliau menafikan terbabit dengan ajaran itu malah tidak tahu apa-apapun mengenainya.

"Saya benar-benar terkejut dengan dakwaan itu dan ia memberi kesan buruk pada imej saya yang berusaha memantapkan akidah semua umat Islam.

"Sebelum ini saya tidak mengetahui langsung mereka (pengikut Ajaran MLM) menggunakan nama saya kerana tiada sesiapa pun bertanya mengenainya sehinggalah kisah mengenai ajaran ini dikeluarkan media,"
katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Akhil mengulas dakwaan mengaitkan dirinya sebagai salah seorang daripada beberapa selebriti terkenal tanah air yang menjadi pengikut 'Ajaran MLM.'

Kosmo! melalui siri laporannya mendedahkan mengenai ajaran sesat 'Ajaran MLM' yang lebih menjurus memeras ahli memberi sejumlah wang mengikut perkiraan berdasarkan 'formula dosa sepanjang hayat' atas tujuan membiayai sebuah kerajaan Islam yang lebih sahih 'Maahad Al-Zaiton' di Indonesia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Amalan yoga haram

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang membabitkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

“Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.


“Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Abdul Shukor berkata, perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Oktober lalu di Kota Bharu, Kelantan dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.

“Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir,” katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.

Beliau berkata, terdapat banyak amalan lain dalam Islam yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan dan mendapatkan ketenangan termasuk mengamalkan sembahyang dan berzikir.

Yoga adalah satu pakej senaman yang telah diamalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi dan dikatakan boleh melambatkan penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, lelah dan penyakit jantung. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081123112247/Article/index_html

Hanya yoga sistematik haram

PUTRAJAYA - Majlis Fatwa Kebangsaan semalam mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya Datuk Dr. Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

"Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

"Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam,"
katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Shukor berkata, perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Oktober lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.

Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Umat Islam dilarang sertai yoga




Sabtu November 22, 2008

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN



PUTRAJAYA: Umat Islam negara ini diminta tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.


Arahan itu terkandung dalam fatwa yang diumumkan Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini.


Pengerusi majlis itu, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan juga bersetuju dan memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.


Jelasnya, perkara tersebut telah diputuskan oleh Majlis Muzakarah Kebangsaan yang bersidang 22 hingga 24 Oktober lalu di Kota Bharu, Kelantan. Tambah beliau, amalan fizikal senaman yoga tanpa unsur-unsur tersebut pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.


Namun demikian beliau menasihati umat Islam agar meninggalkan amalan tersebut kerana dikhuatiri akan menghakis akidah mereka.


Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.


“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.


Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.


Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.


Tambah beliau, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mengeluarkan fatwa berhubung isu tersebut.


Jelasnya, pelaksanaan dari dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.



“Kuasa perlaksanaan dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Setelah ia diwartakan barulah kita boleh tahu apa tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka yang masih mengamalkannya,” katanya.


Ketika ditanya adakah keputusan majlis fatwa ini akan dipertikaikan oleh masyarakat bukan Islam, Shukor berkata:


“Fatwa ini khusus kepada umat Islam. Masyarakat agama lain masih bebas meneruskan amalan yoga. Kita menghormati agama-agama lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.”


Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.


Menurut Zakaria, yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa.


"Mereka mengamalkan yoga kerana percaya boleh menyatukan mereka dengan Tuhan," katanya.


Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122135047&sec=mstar_berita

Shahrizat: 'Saya dipaksa terima pelan peralihan Wanita'


Sabtu November 22, 2008

PETALING JAYA: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang kelmarin mendedahkan pendiriannya mahu mencabar Tan Sri Rafidah Aziz bagi kerusi Ketua Wanita Umno berkata, beliau telah dipaksa untuk menerima pelan peralihan kuasa pergerakan tersebut.


Naib Ketua Wanita itu berkata, Rafidah tidak pernah berbincang dengannya terlebih dahulu ataupun dirundingkan dalam majlis eksekutif Wanita Umno sebelum mahu melaksanakan pelan peralihan.


Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai dan bekas anggota jemaah menteri itu berkata, Rafidah hanya memaklumkan mengenai pelan tersebut kepadanya pada satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra dan terus memaklumkan terus kepada umum.


"Boleh anda bayangkan apa yang telah berlaku jika saya menolak pelan peralihan di hadapan 700 hingga 800 orang yang hadir termasuk Perdana Menteri (yang juga Presiden Umno)," kata beliau kepada The Star semalam.


Shahrizat juga mengakui beliau hanya bertindak sebagai "yes man" terhadap kepimpinan Rafidah sekian lama.


Kata Shahrizat, sejak memegang jawatan Naib Ketua Wanita beliau tidak pernah menawarkan pandangannya kerana Rafidah merupakan pemimpin yang berpengaruh dan bercakap apa yang beliau rasakan mahu nyatakan.


"Saya melihat diri saya sebagai penyokong (sahaja). Ini untuk mengekalkan kestabilan (dalam Wanita Umno)," katanya sambil menambah, beliau terpaksa mengambil masa yang lama untuk meluahkan pendiriannya sambil memfikirkan kesan ke atas pergerakan tersebut.


"Bagaimanapun sebaik sahaja saya mengambil keputusan, saya tidak akan beralih," kata beliau yang dicalonkan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita.


Semalam Rafidah ketika menyahut pendirian Shahrizat berkata, beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac depan.


Dengan perkembangan terbaru ini pelan peralihan kuasa melibatkan kedua-dua pemimpin tersebut juga musnah.


Semalam, Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan yang dipersetujui exco pergerakan itu ditolak dan dipertikaikan selepas tempoh tiga bulan beliau mengumumkannya iaitu pada 4 Ogos lalu.


Kata Rafidah, semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco mahupun pihak luar mempertikaikan keputusannya itu.


"Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan dan akan patuh pada pelan peralihan serta patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.


"Bahkan beliau telah menyatakan bahawa 'kata akan dikota' dan 'my word is my honour' (semuanya telah disiar dalam media),"
kata Rafidah.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122133134&sec=mstar_berita

Najib: Kerajaan tidak akan sentiasa turunkan harga petrol




Sabtu November 22, 2008

LIMA: Kerajaan tidak akan sentiasa mengurangkan harga runcit petrol dan diesel apabila harga minyak mentah dunia turun kerana ia tidak menentu dan boleh naik lagi dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Beliau berkata menurunkan harga terlalu cepat dan sangat rendah boleh menyebabkan kesan tidak baik terhadap usaha membangunkan sumber tenaga alternatif.


"Harga minyak rendah "ia tidak boleh bertahan, ia akan naik (dan) apabila harga naik, ia perlu dikaji semula," katanya kepada wartawan Malaysia di Hotel Miraflores sini Jumaat, ketika ditanya mengenai kesan harga rendah petrol terhadap Petronas dan ekonomi negara.


Beliau kini berada di ibu negara Peru untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang bermula di sini Sabtu.


Najib bercakap kepada wartawan setelah menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Peru di sini di mana belia menyampaikan sumbangan AS$5,000 kepada pusat tersebut.


Najib berkata kebanyakan pengusaha pam petrol mendapati sukar dengan harga yang tidak menentu itu berdasarkan pada harga harian dan malahan mingguan, mereka mahu sedikit penentuan dalam harga petrol.


"Kajian sekali dalam dua minggu adalah sesuatu yang mereka boleh terima, katanya."Harga minyak tidak akan berada pada paras AS$50 sampai bilabila, ia tentu sekali akan naik, tambah beliau.


"Lagi pun, harga barangan tidak berkurangan sebanyak mana yang kita dapat kurangkan harga minyak," kata beliau.


Kerajaan telah mengurangkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak tiga kali sejak beberapa bulan lepas, yang terkini hanya beberapa hari lepas ekoran harga minyak mentah turun dengan mendadak disebabkan krisis ekonomi global, tambah beliau.


Bagaimanapaun, Julai lepas, harga minyak mentah mencacat satu rekod tinggi iaitu AS$147 setong yang memaksa kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel, kata Najib.


"Sama ada kita akan menurunkan dan sama ada dalam tempoh jangka pendek, kita hendaklah mengkaji kenaikannya, semua faktor ini perlu diberi pertimbangan," kata beliau.


Malahan, "kita tidak tahu apa akan berlaku dengan harga petrol atau minyak dalam masa beberapa bulan akan datang, perkara ini perlu dikaji lagi."Beliau berkata "pengurangan harga minyak mestilah mengambil kira sama ada pengurangan wajar dilakukan sepenuhnya kerana saya tidak fikir harga minyak akan terus berada di paras ini."


Ketika ditanya sama ada ini bermakna kerajaan tidak akan mengurangkan harga runcit minyak, beliau berkata: "Saya tidak kata tidak ada pengurangan tetapi kita kena lihat kewajaran."


Dari segi ekonomi negara, Najib berkata kesan terhadap inflasi tentu sekali lebih positif bermakna "kita ada peluang mengurangkan harga minyak."


"Jikalau kita kurangkan harga terlalu cepat, apakah ini bererti bahawa bila harga naik, nanti, kita terpaksa menaikkan harga kepada pengguna dan jika harga petrol terlalu rendah, usaha untuk membangunkan sumber tenaga yang lain mungkin tidak ada insentif," kata beliau.


"Bagaimanapun, kerajaan sedar bahawa memang ada tanggungjawab kita untuk mengkaji semula harga minyak berdasarkan kepada harga minyak di pasaran dunia.


"Dan tentu sekali kita akan membincangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang akan datang,"
katanya.


Beliau berkata bahawa dari segi pendapatan negara dan Petronas, tentu sekali ia akan berkurangan, tetapi subsidi minyak juga berkurangan, jadi ada imbangan antara dua.


"Tahun depan, kita masih lagi boleh bertahan dari segi pendapatan dan sumber kepada kerajaan," kata Najib.


Timbalan Perdana Menteri itu berkata "penjimatan subsidi akan lebih ketara" dengan harga minyak mentah telah jatuh kepada AS$50 setong, tetapi angka ini perlu dikaji.


Mengenai rebat yang dibayar kepada pemilik kereta dan motosikal untuk memperbaharui cukai jalan sejak Mac tahun ini, beliau berkata ia akan dikaji semula pada tahun depan, bagi menunggu satu pusingan tempoh pembayaran rebat yang akan berakhir pada Mac 2009. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122134717&sec=mstar_berita

Shahrir: Harga minyak dijangka turun 15 sen lagi hujung bulan ini



Sabtu November 22, 2008

PUTRAJAYA: Harga minyak dijangka turun 15 sen lagi pada hujung bulan ini, menjadikan harga minyak di pasaran turun daripada RM2 ketika ini kepada RM1.85 seliter.


Penurunan harga sebanyak 15 sen itu juga menjadikan harganya lebih rendah daripada RM1.92 seliter sebelum kenaikan pada Jun lalu, sekaligus menjadikan ia harga terendah sejak lebih dua tahun lalu.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata penurunan perlu dibuat secara berhemah serta tersusun dengan asas-asasnya dan penurunan sebanyak 15 sen itu adalah paling maksimum.


"Saya jangka harga minyak akan turun 15 sen juga pada hujung bulan ini. Pokoknya, kita akan turunkan harga berikutan harga minyak mentah menurun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Keluarga kementerian di sini hari ini.


Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masingmasing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.


Ia merupakan penurunan kali kelima harga bahan api itu selepas mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.


Semalam, Shahrir berkata jika mengikut harga di pasaran, sehingga 20 Nov lalu harga minyak adalah RM1.60 seliter (tanpa subsidi) ketika harga purata minyak mentah di bawah AS$60 dolar setong, sekaligus, buat pertama kalinya harga runcit di pam lebih tinggi daripada harga pasaran.


Sehubungan itu, katanya mesyuarat Exco Majlis Ekonomi Negara pada 1 Dis ini akan membincangkan mekanisme tertentu termasuk keperluan penetapan harga lantai memandangkan trend penurunan harga minyak sekarang menyebabkan satu harga minimum sukar ditentukan.


Beliau turut menyifatkan penurunan harga minyak mentah dunia adalah di luar ramalan dan dugaan serta tidak diketahui akan menurun sehingga ke tahap mana pada akhirnya.


"Pada mesyuarat 1 Dis ini, kena dibincangkan apa keputusan dan sasar daripada segi kerajaan dalam melihat kepada menghadapi keadaan di mana sekarang harga minyak mentah turun dengan begitu pantas.


"Pada Ogos lalu, oleh kerana ada subsidi, ia dapat diturunkan dengan lebih cepat, jika tidak ada fakta subsidi, harga minyak RM2.70 hanya boleh diturunkan pada September, tetapi oleh kerana ada subsidi 30 sen, lagi cepat kita dapat turunkan harga runcit di pam,"
katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122155334&sec=mstar_berita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...