Showing posts with label Korea. Show all posts
Showing posts with label Korea. Show all posts

Sunday, July 3, 2011

'Ejen asing' Korea Selatan dihantar pulang

'Ejen asing' Korea Selatan dihantar pulang
Jul 2, 11 12:22pm

Seorang daripada dua orang yang didakwa oleh kerajaan sebagai 'ejen asing' dalam tangkapan berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 telah diusir dan dihantar pulang.

NONESong Min Young, 24, dihantar ke Korea Selatan malam semalam, kata penaja tempatannya Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI).

Menurut seorang jurucakap kumpulan itu Song selamat mendarat pagi ini dan dalam perjalanan ke rumahnya di Gwangju..

Song, 24, adalah pelajar Universiti Kebangsaan Chonnam National yang sedang menjalani latihan amalinya dengan NIEI, sebuah badan pemantau pilihan raya tempatan.

Beliau pertama kali ditahan ketika menyertai program Parti Sosialis Malaysia yang menjelajah Johor pada Sabtu lalu bagi menjalankan kajiannya untuk NIEI.

Turut ditangkap pada majlis itu adalah aktivis politik Filipina Romeo Castillo, yang juga adalah tetamu PSM bagi bulan Jun.

Kedua-dua mereka - Song dan Castillo - dibebaskan pada hari yang sama mereka ditangkap selepas kenyataan mereka dirakamkan.

NONETetapi pada Isnin, Song ditangkap semula. Berikutan itu, kedua-dua mereka didakwa sebagai 'ejen asing' dan berita mengenainya dipaparkan di halaman utama akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Castillo ditangkap pada petang Khamis ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang menuju ke Manila. Beliau kini ditahan di ibu pejabat polis daerah Sepang. Menurut PSM, Castillo masih dalam tahanan.

http://malaysiakini.com/news/168679

Thursday, June 30, 2011

NIEI: Bebaskan Song

NIEI: Bebaskan Song
Salhan K Ahmad
Jun 28, 11
5:20pm

Pusat kajian pilihan raya National Institute for Democracy and Electoral Integrity (NIEI) hari ini menuntut supaya pihak berkuasa segera membebaskan seorang pelatih wanitanya yang ditahan berhubung satu program Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Ledang, Johor.

NONESetiausaha agung NIEI, Amin Iskandar (kiri) berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap pelatih warga Korea itu, Song Min-young juga tidak berasas dan tidak betul sama sekali.

"Semasa penahanannya di Ledang, Johor, Song sedang memerhatikan kerja-kerja oleh Parti Sosialis Malaysia, selari dengan tugasnya di NIEI," kata Amin yang membacakan satu kenyataan rasmi NGO itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan satu laporan akhbar hari ini bahawa, PSM yang mengepalai BERSIH 2.0 bersekongkol dengan ejen asing bagi menyebarkan propaganda jahat untuk menggulingkan kerajaan.

Seorang daripada "ejen asing" yang dinamakan dalam laporan akhbar tersebut itu ialah Song, 24.

"Kami sangat kecewa dan sedih dengan tuduhan yang dibuat oleh polis dan juga Utusan Malaysia bahawa Song merupakan seorang ejen asing yang (mahu) mengacau ketenteraman di Malaysia.

"Kami menuntut supaya Song dibebaskan dan tuduhan ke atasnya digugurkan serta merta," kata Amin lagi yang juga mahu PDRM serta akhbar berkenaan memohon maaf atas tuduhan berkenaan.

Amin menjelaskan, pelajar kejuruteraan di Chonnam National University itu sebenarnya membantu NGO berkenaan dalam kajian pilihan raya dan juga untuk satu kajian bertajuk 'Election in Malaysia: Comparison studies between Malaysia and South Korea.'

NONEBeliau turut menjelaskan, Song juga merupakan anggota pertubuhan hak asasi May 18 Memorial Foundation di Korea dan memulakan latihan selama sembilan bulan di NIEI bermula Mac lalu.

"Tugas (Song) memerlukan beliau berkomunikasi dengan agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan dan juga parti politik.

"Song bukanlah perisik asing dalam apa cara sekalipun," kata Amin yang menambah, Song juga merupakan seorang pelajar jurusan kejuruteraan peringkat ijazah di Chonnam National University, Korea Selatan.

Song telah dibebaskan pada Ahad lalu bersama seramai 29 orang lagi ahli PSM namun beliau kemudiannya ditahan semula semalam di Bangsar, Kuala Lumpur.

"Namun pada 27 Jun, Song ditahan semula pada malam semalam dan kini ditahan di lokap Balai Polis Bukit Jalil," kata Amin.

Bercakap kepada media di perkarangan bangunan balai polis berkenaan, Amin berkata Song kini disiasat mengikut Akta Imigresen berhubung status pasportnya.

"Kita akan bekerjama dengan kedutaan Korea bagi membantu mempercepatkan proses pembebasannya. Kita akan minta kedutaan sahkan pasport beliau," kata Amin lagi.


http://malaysiakini.com/news/168266

Saturday, March 19, 2011

Jarak Korea-Jepun makin jauh

SEOUL: Saintis berkata, gempa bumi kuat diikuti dengan tsunami dengan ombak setinggi 10 meter yang melanda Jepun Jumaat lalu telah menjauhkan jarak antara negara itu dengan Semenanjung Korea sebanyak dua meter.

Institut Astronomi dan Sains Angkasa Lepas Korea (KASSI) berkata, Semenanjung Korea bergerak ke timur sebanyak lima sentimeter sementara Jepun beralih kira-kira 2.4 meter ke timur. “Kami masih mengawasi untuk melihat sama ada pergerakan itu berlaku secara kekal atau sementara,” menurut jurucakap institut itu. - Agensi


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JarakKorea-Jepunmakinjauh/Article/index_html

Monday, November 29, 2010

AS-Korea Selatan mula latihan


GAMBAR menunjukkan kapal USS George Washington pada 21 Julai lalu di Busan, Korea Selatan.


PULAU YEONPYEONG, Korea Selatan - Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan peperangan bersama semalam.

Latihan itu diadakan semasa pemerintah China mendesak supaya satu rundingan tergempar diadakan berhubung krisis bedilan meriam sebanyak 170 kali oleh tentera Korea Utara ke pulau ini pada minggu lalu.

Semalam, penduduk yang tinggal di Pulau Yeonpyeong, digegarkan dengan bunyi bedilan meriam dan roket tentera Korea Utara.

Penduduk mendapatkan perlindungan di kubu bawah tanah selepas mendengar bunyi letupan yang datangnya dari tanah besar Korea Utara apabila tenteranya melakukan latihan peperangan.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan turut mendesak supaya ratusan wartawan meninggalkan pulau ini.

Menurut kementerian itu, Korea Utara mungkin menggunakan alasan latihan peperangan antara AS dengan Korea Selatan untuk melancarkan satu serangan.

Latihan peperangan Korea Selatan itu disertai oleh kapal pengangkut pesawat milik AS, USS George Washington berkuasa nuklear.

Penghantaran kapal itu dilakukan sebagai satu mesej kuat untuk menghalang serangan tentera Korea Utara.

Namun, kehadiran kapal pengangkut AS itu mendapat kritikan daripada China.

Kapal USS George Washington itu boleh membawa 85 pesawat dan 6,250 anak kapal.

Latihan ketenteraan Korea Selatan dengan AS yang melibatkan 11 buah kapal itu diumumkan pada Mac lalu selepas satu siasatan mendapati terdapat bukti bahawa sebuah torpedo tentera Korea Utara menenggelamkan sebuah kapal perang milik Korea Selatan.

Dalam insiden kapal perang Korea Selatan karam itu, seramai 46 anggota tentera maut.

Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak dalam satu mesyuarat dengan wakil China, Dai Bingguo di Seoul mendesak China mengambil langkah yang adil dan bertanggungjawab dalam isu hubungan negara itu dengan Korea Selatan serta Korea Utara.

Myung-Bak menyatakan, Korea Selatan sudah mengambil sikap bertolak ansur ekoran tindakan provokasi Korea Utara sejak Perang Korea berlaku pada 1950 hingga 1953.

Menurutnya, Korea Selatan akan bertindak dengan tegas jika Korea Utara melakukan provokasi. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Friday, November 26, 2010

Korea Selatan perkuatkan pasukan tentera

PULAU YEONPYEONG - Korea Selatan semalam memperkuatkan pasukan tenteranya di Pulau Yeonpyeong miliknya selepas Korea Utara memberi amaran bahawa lebih banyak serangan akan dilakukan ekoran ketegangan antara kedua-dua negara yang semakin memuncak.

Pada Rabu lalu, serangan artileri Korea Utara telah membunuh empat mangsa termasuk dua anggota marin, dua orang awam dan mencederakan puluhan yang lain.

Serangan yang pertama sejak Perang Korea pada 1950-1953 itu nyata meningkatkan ketegangan selepas kedua-dua negera berdepan dengan pelbagai kejadian yang menjejaskan hubungan dua hala.

Pasukan tentera Korea Selatan dikritik media tempatan sebagai lambat bertindak dengan melakukan serangan meriam cuma 80 bedilan.

Tentera Korea Selatan kini merancang untuk menukar pendekatan pasifnya.

Menurut Setiausaha Hal-Ehwal Awam Korea Selatan, Hong Sang-Pyo, pihaknya akan meningkatkan jumlah anggota tentera di lima buah pulau di Laut Kuning selain memperuntukkan lebih banyak bajet untuk menangani ancaman tentera Korea Utara.

Akhbar-akhbar Korea Selatan menggesa tindakan balas ke atas rejim Korea Utara dilakukan manakala para penunjuk perasaan membakar bendera negara jiran mereka.

Beberapa ahli politik turut mengecam Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak ekoran serangan balas yang tidak cukup kuat oleh Korea Selatan selepas 170 bedilan meriam dilakukan tentera Korea Utara ke atas Pulau Yeonpyeong.

Semalam, Korea Utara menyalahkan jirannya itu dan AS kerana melakukan provokasi ekoran kejadian bedilan meriam itu pada Rabu lalu. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Thursday, July 1, 2010

Aktor Winter Sonata Bunuh Diri

Published: Rabu Jun 30, 2010 MYT 5:39:00 PM
Updated: Rabu Jun 30, 2010 MYT 6:07:40 PM

Park Yong-Ha

SEOUL: Pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan Park Yong-Ha, 33, ditemui tidak bernyawa dan dilaporkan membunuh diri pagi tadi.

Tubuhnya ditemui di kediamannya di Nonhyung-dong, Seoul oleh ibunya sendiri.

Laporan Yonhap News hari ini melaporkan sebelum membunuh diri, pelakon Winter Sonata itu sempat mengirimkan SMS kepada ayahnya yang sedang bertarung dengan sakit kanser perut.

SMS yang dihantar itu berbunyi: "I'm Sorry. I'm Sorry". Namun begitu dia tidak meninggalkan sebarang surat perpisahan.

Menurut pihak polis Metropolitan Seoul, Park membunuh diri dengan menggantungkan dirinya menggunakan kabel charger telefon bimbit.

Bagaimanapun, motif tindakannya membunuh diri itu masih tidak diketahui lagi. Pihak polis masih lagi melakukan penyelidikan lebih lanjut tentang tragedi tersebut.

Park memulakan kerjaya seninya bermula pada tahun 1994. Namun, namanya mula melonjak di Korea dan Jepun setelah membintangi drama bersiri Winter Sonata pada 2002.

Selepas itu, Park turut membintangi tiga buah filem. Yang terakhir adalah The Scam yang telah ditayangkan pada 2009.

Tidak hanya setakat itu, Park juga popular sebagai penyanyi. Selain melancarkan beberapa album di Koria dan Jepun. Dia juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Japan Gold Disc Awards bagi kategori Artis Asian Terbaik, Lagu Sepanjang Tahun serta Anugerah Istimewa Japan-Korea Friendship Year 2005.

Disebabkan kematian mengejut itu, banyak pihak telah menyuarakan rasa khuatir mereka terhadap kes bunuh diri di Korea Selatan.

Negara tersebut telah mencatatkan kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebekalakangan ini.

Pada 2 Oktober 2008, artis terkenal Choi Jin-Sil juga ditemui telah menggantungkan diri di bilik mandi rumahnya. Sebelum itu, pada 8 September 2008, suaminya, Ahn Jae-hwan yang merupakan pelawak terkenal ditemui mati di dalam keretanya.

Tubuh Choi Jin-Sil telah ditemui oleh adik lelakinya, Choi Jin-yeong. Dia yang turut melibatkan diri sebagai aktor dan penyanyi kemudian telah mengambil keputusan untuk membunuh diri pula pada 29 Mac lalu.

Kematian Choi Jin-yeong itu dipercayai berpunca akibat daripada rasa tekanan dan depresi setelah kematian kakak tersayangnya.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/30/mstar_hiburan/20100630173540&sec=mstar_hiburan

Tuesday, May 26, 2009

Korea Utara lancar ujian nuklear


SEORANG kakitangan jabatan kajicuaca menggunakan sejenis peralatan untuk mengesan radioaktif di Vladivostok, Rusia selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear semalam.


SEOUL - Korea Utara semalam melakukan ujian peluru berpandu nuklear sekali gus mencemaskan negara-negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kemudian mengadakan satu sidang tergempar bagi membincangkan tindakan susulan berhubung ancaman berkenaan.

Ujian nuklear yang disifatkan Pyongyang sebagai berjaya itu merupakan letupan peluru berpandu yang jauh lebih kuat berbanding ujian pertama pada 2006.

Negara komunis berkenaan mengotakan ancaman untuk melakukan ujian nuklear kedua selepas ia melancarkan roketnya pada April lepas.

"Korea Utara berjaya melakukan satu lagi ujian nuklear bawah tanah pada 25 Mei sebagai langkah meningkatkan kemampuan pertahanan negara," kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Media berkenaan tidak mendedahkan lokasi ujian tersebut tetapi beberapa pegawai Korea Selatan menyatakan satu gegaran dikesan di bandar Kilju, timur laut Korea Utara.

Sementara itu, sekutu kuat Korea Utara, China menyatakan ia sama sekali menentang ujian tersebut.

Nada serupa turut disuarakan Kementerian Luar Rusia yang menyifatkan ujian itu mengancam kestabilan serantau.

- AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Tuesday, April 7, 2009

Korea Utara cetus kemarahan antarabangsa


SEORANG anggota tentera Korea Selatan menonton siaran televisyen mengenai pelancaran roket Korea Utara di Seoul semalam.


TOKYO - Korea Utara melancarkan roket jarak jauh melintasi Jepun semalam sekali gus membangkitkan kemarahan antarabangsa dan mencetuskan sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan Jepun berkata, ia berhenti mengawasi roket dipercayai peluru berpandu Taepondong-2 itu selepas melepasi jarak 2,100 kilometer ke timur Tokyo.

Ujian peluru berpandu jarak jauh berkeupayaan nuklear pertama Korea Utara yang mampu mengenai sasaran hingga ke Alaska di Amerika Syarikat (AS) pada Julai 2006 gagal selepas roket tersebut berkecai 40 saat selepas ia dilancarkan.

Mengulas perkembangan tersebut, Presiden AS, Barack Obama berkata, Korea Utara jelas melanggar resolusi PBB supaya negara itu membatalkan semua program peluru berpandu balistiknya.

"Dengan provokasi ini, Korea Utara melanggar obligasi antarabangsanya, menolak gesaan supaya bertolak ansur dan menjadikan negara itu semakin dipinggir komuniti antarabangsa," kata Obama ketika dalam rangka lawatan ke Eropah.

Sehubungan itu, katanya, dengan nada tegas, pengunaan paksaan ke atas Korea Utara perlu dilaksanakan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama White House memberitahu, AS masih komited terhadap rundingan enam pihak bagi memastikan Korea Utara bebas daripada senjata nuklear.

Sementara itu, Majlis Keselamatan mengadakan sidang tergempar semalam selepas menerima permintaan duta Jepun supaya PBB mengutuk keras tindakan Pyonyang.

Bagaimanapun, tindakan lebih keras seperti sekatan tidak dapat dilaksanakan kerana dua sekutu Korea Utara, China dan Rusia awal-awal lagi menyatakan mereka akan menggunakan kuasa veto untuk membatalkan langkah tersebut. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0406&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Thursday, December 18, 2008

Aktres terkenal dihukum penjara


SEOUL - Seorang aktres terkenal Korea Selatan, Ok So-Ri (gambar) yang gagal mencabar undang-undang yang mengkategorikan perzinaan sebagai jenayah dihukum penjara oleh sebuah mahkamah dekat Seoul semalam.

So-Ri yang berusia 40 tahun didapati bersalah oleh sebuah mahkamah daerah pada Oktober lalu setelah sebuah mahkamah perlembagaan menolak petisyen menentang undang-undang perzinaan.

Aktres itu mengaku menjalin hubungan sulit dengan seorang penyanyi tetapi mendakwa dia berzina kerana perkahwinannya dengan aktor Park Chul tidak lagi bahagia.

Menurutnya, undang-undang antizina yang digubal pada 1953 itu melanggar haknya sebagai individu untuk mengadakan hubungan seks.

Aktres itu dijatuhkan hukuman lapan bulan penjara oleh sebuah mahkamah di bandar Goyang, dekat Seoul.

Menurut satu tinjauan yang disiarkan akhbar-akhbar tempatan, pada tahun lalu, hampir 68 peratus lelaki Korea Selatan dan 12 peratus wanita mengaku melakukan perzinaan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...