Showing posts with label Kolonial - Penjajahan. Show all posts
Showing posts with label Kolonial - Penjajahan. Show all posts

Saturday, September 17, 2011

Saya lihat kehadiran British sebagai penjajahan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Sept: “Ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain,” kata Prof Datuk Dr Zainal Kling.

Namun, jelasnya terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang), Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS.

Katanya, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'.

Menurutnya, pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu.

“Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar,” ujarnya dalam tulisan yang diemel kepada Harakahdaily, petang ini.

Tambahnya, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan.

Oleh kerana itu, ujarnya para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah).

Katanya lagi, para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung).

“Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga,” jelasnya.

Berikut tulisan penuh beliau.

YBhg. Saudara Editor Harakah Daily,

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Doa agar saudara dan rakan-rakan di Harakah sentiasa dalam barakah dan sihat sentosa.

Sukacita saya merujuk kepada penerbitan Harakah, Edisi Jumaat, 18-20 Syawal 1432 bersamaan 16-18 September 2011 berkaitan pelbagai berita, ulasan dan pandangan pada halaman N1, N2, N4, N11, N13, N14, F3, F4, F11, F17, N21, N26, N29, yang terdapat di dalam penerbitan pada hari itu.

Saya amat berterikasih dan syukur jika Saudara dapat menyiarkan petikan dari apa yang dirakam dan diedarkan dalam 'Kenyataan Akhbar' dalam persidangan media Majlis Profesor Negara pada Hari Jumaat September 2011 itu. Tujuannya sekadar menjelaskan dan memaklumkan catatan sebenar agar perselisihan pandangan mungkin dapat dibetulkan. Saya akan mengutip edaran Kenyataan Akhbar yang dimaksudkan itu.

Berkaitan isu Tanah Melayu ukan Koloni tetapi Naungan, Kenyataan Akhbar itu ditulis, antara lain, seperti berikut:

"Negeri-negteri Melayu (B- FMS- atau tidak Bersekut - UFMS) tidak pernah menjadi colony atau tanah jajahan British .... Tanah Melayu tidak pernah terjajah (kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) walaupun kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk 'penjajahan' (colonialism)...Penilaian pengkaji sejarah kolonialsme British terhadap perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai 'Breach of trust' (R. Braddell) dan 'indirect rule' (R.Emerson)...Mereka melakukan penjajahan walaupun tidak sahih (illegitimate)."

Dua perkara yang ditegaskan di situ. Pertama, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'. Pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara penbtadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu. Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar. Kedua, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan. Oleh kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah). Para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung). Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga.

Dengan demikian, ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain. Namun terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) , Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS. Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu sebuah colony maka institusi raja itu terhapus begitu sahaja. Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah 'protectorate' maka institusi raja, keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-Negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk kerajaan pada masa ini. Perbezaan 'tipis' (seperti kata Profesor Aziz Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar yang bijaksana, kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa kini dan akan datang.

Diharap sedikit penjelasan ini dapat mengurangkan jurang pendapat yang telah muncul. Salam bahagia dan terima kasih. Wabillahi taufik wal hidayah.

Profesor Datuk Dr Zainal Kling.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5448-saya-lihat-kehadiran-british-sebagai-penjajahan

Zainal Kling tukar pendirian?

Posted by admin on September 16th, 2011

Prof Dr Zainal Kling (gambar) dari Majlis Profesor Negara, yang sejak minggu lalu berhadapan dengan kritikan ekoran pendiriannya bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British, hari ini menjelaskan pendiriannya — beliau juga melihat kemunculan kuasa Eropah itu sebagai satu “penjajahan.”“. . . ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain,” kata beliau dalam e-mel penjelasan kepada Harakahdaily hari ini.

Namun, kata beliau, terdapat sedikit perbezaan antara penjajahan berbentuk koloni seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang serta di Kanada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk “protectorate” dalam Negeri-negeri Bersekutu dan Negeri-negeri Tidak Bersekutu.

Katanya, Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu sebuah koloni, maka institusi raja tersebut terhapus begitu sahaja.

“Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah ‘protectorate’ maka institusi raja, keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk kerajaan pada masa ini.

“Perbezaan ‘tipis’ (seperti kata Pakar Perlembagaan Profesor Aziz Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar yang bijaksana kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa kini dan akan datang,” kata Zainal lagi.

Selain Zainal, pendirian yang seiring juga dilontarkan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Kenyataan mereka mengundang kontroversi baru ketika polemik mengenai kenyataan berkaitan tragedi Bukit Kepong pula belum reda.

Malah awal minggu ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.

Perdana Menteri keempat itu berkata, British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”

“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini.

“Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata beliau.

Laporan media hujung minggu lalu menyebut berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Bagaimanapun Aziz dan Pengerusi Yayasan 1 Malaysia Dr Chandra Muzaffar tidak bersetuju dengan pendirian mereka sambil menegaskan negara ini pada hakikatnya telah dijajah oleh kuasa asing termasuk British.

Dalam penjelasannya, Zainal juga berkata, Negeri-negeri Bersekutu atau Negeri-negeri Tidak Bersekutu tidak pernah menjadi koloni atau tanah jajahan British.

“Tanah Melayu tidak pernah terjajah kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura walaupun kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk ‘penjajahan’.

“Penilaian pengkaji sejarah kolonialisme British terhadap perilaku ‘penjajahan’ British itu disifatkan sebagai ‘breach of trust’ dan ‘indirect rule’. . . mereka melakukan penjajahan walaupun tidak sahih,” katanya.

Kata beliau, pada realitinya ketika zaman British ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Terengganu.

“Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar. Kedua, walaupun antara koloni dan ‘protectorate’ berbeza tetapi kesan dari pentadbiran ‘protectorate’ adalah juga penjajahan.

“Oleh kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai pecah amanah. Para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai pemerintahan tak langsung. Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai ‘penjajahan’ juga,” tambah beliau.

Pemuda PAS pula hari ini membuat laporan polis terhadap Dr Zainal berhubung kenyataannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

Ketua dewan itu Nasrudin Hassan berkata, laporan itu dibuat pada jam 2.30 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi oleh setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil.


http://www.kl-today.com/2011/09/zainal-kling-tukar-pendirian/


Tuesday, September 13, 2011

Mat Sabu lawan Zainal Kling

Ahmad Lutfi Othman


Sejarah memang memerihalkan perkara yang sudah berlalu, namun ia bukan benda mati, malah pentafsirannya cukup dinamik, hidup dan sentiasa berkembang, sehingga boleh merumuskan pelbagai persepsi. Fakta sejarah sukar dibohongi tetapi "pihak yang menang" mempunyai pengaruh tersendiri untuk "memesongkannya".

Begitulah menariknya polemik sejarah kemerdekaan negara, yang tiba-tiba saja menarik perhatian semua lapisan masyarakat mengikutinya daripada dekat, apabila ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu disensasikan Utusan Malaysia dan hingga kini, selepas lebih dua minggu, masih menjadi tajuk utama akhbar dan berita TV.

Mat Sabu mungkin tidak mempunyai disiplin ilmu sejarah yang baik, seperti beberapa orang anggota Majlis Profesor Negara (MPN), misalnya Prof Zainal Kling dan Prof Ramlah Adam, namun beliau berupaya untuk memaksa "tafsiran baru" dibuat terhadap sejarah perjuangan menghalau penjajah.

Bagi saya, beliau berjaya -- melalui gaya tersendiri -- "menganjurkan" satu perdebatan yang sihat dan diharap membuahkan hasil yang positif dan adil kepada sejarah negara. Terjahan awal Zainal Kling yang mendakwa Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, pastinya tidak terhenti di situ sahaja.

Dan tidak mustahil tafsiran Mat Sabu terhadap sejarah kemerdekaan negara akhirnya akan lebih diyakini khalayak berbanding dua profesor yang dikenali sebagai cukup rapat dan dekat dengan Umno itu. (Pengalaman saya membaca buku-buku Ramlah Adam dapat mengesan "kecurigaan" dan "buruk sangka" yang ketara kepada tokoh-tokoh golongan kiri, seperti Ahmad Boestamam dan lain-lain).

"Kalau bukan disebabkan media secara berlebihan memainkan isu ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong, saya pasti ramai di kalangan kita tidak pernah kenal apa itu pertubuhan politik seperti PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malayu) atau API (Angkatan Pemuda Insaf)," kata seorang rakan, pensyarah kanan sains politik.

"Dan mungkin ada yang beranggapan lokasi Bukit Kepong itu berada di sekitar Kepong atau Jinjang," tambahnya, sambil ketawa. "Di sinilah hebatnya Mat Sabu. Sejarah yang mungkin dianggap sudah mati itu kembali segar-bugar. Kepada saya, biarlah orang berdebat siapa Mat Indera, dan pula siapa petualang dan pejuang kepada negara."

Zainal yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya MPN dalam sidang media di Putrajaya mendakwa, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan di zaman penjajahan Jepun. Beliau juga menafikan gerakan kiri sebagai golongan memperjuangkan kemerdekaan.

Kenyataan Zainal sebenarnya tidaklah mengejutkan. Ia dilihat mewakili aspirasi perjuangan Umno, yang lebih bertindak sebagai "perunding" dalam fasa-fasa akhir menuntut kemerdekaan. Ya, di sinilah menariknya perbahasan yang dicetuskan Mat Sabu itu, yang bakal menyerlahkan perbedaan besar di antara peranan Umno dengan parti-parti terdahulu yang diharamkan penjajah British.

Saya tidak pasti di manakah kedudukan penentang-penentang British, yang mempertaruhkan nyawa demi membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajah seperti Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dol Said, Maharajalela, Tok Janggut dan Rosli Dhobi, pada kacamata Zainal dan orang-orang seumpamanya?

Saya cuba membayangkan bagaimana sukarnya tokoh-tokoh awal, seperti Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam, yang membangkitkan kesedaran rakyat untuk menentang British.

Bukan mengenangkan kepayahan mereka diburu penjajah, dengan kelengkapan yang cukup minimum, tetapi kesukaran untuk meyakinkan anak bangsa sendiri -- terutama yang merasa selesa di bawah dagu orang putih -- bahawa mereka perlu bangun daripada lena yang panjang, selain menimbulkan kesedaran awal pemikiran politik.

Sebelum menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938, Ibrahim Yaakub memimpin gerakan pelajar, Ikatan Pemuda Pelajar pada 1929, seterusnya pada 1930, Ikatan Semenanjung Borneo, yang berpusat di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, sehinggalah British menghancurkan gerakan itu pada 1932.

Sekiranya nasionalis Umno hanya baru sedar untuk membebaskan diri daripada penjajahan selepas konsep Malayan Union diperkenalkan pada 1946, anak-anak Melayu yang terdidik di Timut Tengah, terutama di Universiti Al-Azhar sudah menjiwai roh kemerdekaan sejak awal 1900-an lagi, dipengaruhi mujaddid agung Islam seperti Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan Rashid Ridha.

Tidak hairanlah apabila majalah al-Imam, yang dikeluarkan pada 22 Julai 1906 di Singapura oleh tokoh-tokoh pembaharu Islam, Kaum Muda, mengungkapkan dengan jelas tujuan penerbitannya: "Mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan."

Dari segi organisasi yang lebih teratur, perjuangan ini diteruskan dengan kelahiran Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol, Perak, pada 14 Mac 1948, di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Dalam kenyataannya pada 26 April 1948, Dato Onn Jaafar mengingatkan satu lagi "bahaya dari gunung" dan menyifatkan "Parti Islam itu Merah". Onn berjaya menghasut British bahawa Hizbul Muslimin prokomunis.

Melalui Akta Darurat 1948, pada 29 Julai tahun sama, semua pemimpin Hizbul Muslimin, termasuk Abu Bakar, ditangkap dan dipenjarakan sehinggakan tiada yang tinggal untuk memimpin. Parti itu turut diharamkan. Ramai pengkaji menyifatkan penubuhan PAS pada November 1951 adalah kesinambungan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan penjajah itu.

Saya tidak bermaksud mahu bermain dengan fakta sejarah. Saya percaya perdebatan status Tanah Melayu, sama ada sebagai negara jajahan ataupun naungan British akan menarik pembabitan lebih ramai sejarahwan yang jujur dengan ilmunya untuk berkongsi pandangan.

Implikasi perbahasan itu juga menjangkaui skop yang jauh lebih besar, termasuk memberi kesan besar terhadap situasi politik terkini. Ia bukan lagi berlegar di sekitar kontroversi Mat Indera dan Bukit Kepong semata-mata. Dan inilah yang saya jangkakan dalam tulisan saya sebelum ini.

Isu ini mulanya dicetuskan oleh Utusan Malaysia bagi menjerat Mat Sabu dan PAS itu sendiri, iaitu sebuah parti yang dilihat bakal memberi saingan paling sengit buat Umno, khususnya untuk merebut simpati dan sokongan pengundi Melayu dalam PRU13. Ia juga diharapkan BN bagi menenggelamkan isu-isu membabitkan kepentingan rakyat, seperti kenaikan harga barangan dan pelbagai skandal kewangan, serta yang terbaru caj perkhidmatan enam peratus telefon prabayar.

Menjadi kelaziman kepada strategis Umno untuk meneropong kegiatan dan kenyataan pemimpin pembangkang dengan sehalus-halusnya, untuk dimanipulasi dan diputarbelitkan, bagi menggambarkan kepada rakyat kelemahan Pakatan Rakyat.

Saya boleh bersetuju dengan pandangan seorang rakan yang mengingatkan bahawa dalam PRU13 nanti kemenangan bukan ditentukan oleh kehebatan parti atau calon yang bertanding, tetapi difaktorkan oleh "kesilapan paling minimum" yang dilakukan parti atau calon berkenaan.

Maknanya, mereka yang melakukan kesilapan lebih banyak akan mudah untuk ditumpaskan.

Di peringkat awal, nampak kenyataan Mat Sabu mengenai Mat Indera itu (dan bukannya tentang sejarah kemerdekaan negara) seperti mudah dieksploit Umno, terutama kepada bekas anggota keselamatan dan orang-orang tua di kampung-kampung, tetapi apabila skop perbincangannya menjadi lebih meluas, saya yakin kedudukannya menjadi lebih seimbang.

"Saya rasa kesungguhan luar biasa media Umno menimbulkan isu Mat Sabu, Mat Indera dan sejarah kemerdekaan negara ini boleh menikam balik dirinya," rumus seorang penganalisis politik.

"Apa pun, saya ingatkan kepada pemimpin pembangkang, berhati-hatilah daripada terjebak dengan perangkap Umno menjelang pembubaran Parlimen. Banyak isu yang sedia memihak Pakatan Rakyat, selain menampilkan gabungan mantap yang diyakini rakyat untuk mengambil alih Putrajaya," tambahnya.

Sekurang-kurangnya kini terpampang dengan lebih jelas wajah Umno yang propenjajah, di mana pemimpinnya sejak sebelum merdeka sehinggalah hari ini, lebih memikirkan soal kepentingan dan kesenangan diri. Dengan kata lain, Umno dan British saling perlu-memerlukan.

Dalam buku Perniagaan British di Malaysia Pascapenjajah 1957-70 (terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010), Nicholas J White mengungkapkan: "Pada masa bunga tahun 1959, usaha diambil pada peringkat menteri untuk mendekati pelbagai pemimpin perniagaan British bagi mendapatkan dana bagi membantu Perikatan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"Diharapkan M$500,000 dapat dikumpulkan daripada perniagaan Eropah. Oleh sebab wakil ekspatriat memang dijangka kehilangan tempat mereka dalam badan perundangan Malaysia pada akhirnya, maka Tan Siew Sin, Menteri Perdagangan dan Industri, menjelaskan bahawa firma British 'pasti menyumbang untuk menyokong kerajaan

yang memegang tampuk kuasa, dan kerana (mereka) tidak mungkin mengharapkan layanan lebih baik daripada mana-mana parti yang lain berbanding dengan layanan oleh Perikatan, sudah tentu dasar yang baik bagi mereka adalah untuk berusaha sedaya upaya demi memastikan Perikatan terus memegang kuasa dengan besar'."


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/5362-mat-sabu-lawan-zainal-kling

Tun M dicabar akui Umno bukan pejuang merdeka

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Sept: Jika bersetuju bahawa Malaya tidak pernah dijajah, Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar untuk mengakui bahawa Umno bukanlah pejuang kemerdekaan, cabar Dewan Pemuda PAS Pusat.

Ketua penerangannya Riduan Mohamad Nor berkata, kenyataan bekas perdana menteri itu yang menyokong kenyataan Datuk Zainal Kling bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British boleh memberi maksud Umno bukan pejuang kemerdekaan.

"Apakah Dr Mahathir berani mengaku bahawa UMNO bukanlah pejuang kemerdekaan sebenar kerana negara tidak pernah dijajah.

"Apakah juga Dr Mahathir mahu menafikan sumbangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang diangkat selama ini seperti Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang dan lain-lain," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu beliau turut mencabar Tun Mahathir menyatakan pendirian sama ada British layak diangkat sebagai pejuang negara manakala Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Bostamam, Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Saleh, Rentap, dan lain-lainnya sebagai pengkhianat negara, atau sebaliknya.

Menurutnya, kenyataan Tun M kelmarin itu telah menambah kekusutan dalam pemikiran rakyat terhadap sejarah kemerdekaan negara.

Sebelum ini katanya, rakyat dikelirukan dengan kenyataan penuh kontroversi oleh Zainal yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) berhubung isu sama.

"Zainal Kling telah menimbulkan keserabutan dalam pemikiran rakyat Malaysia, Tun Dr Mahathir pula menambah lagi kekeruhan terhadap rakyat Malaysia.

"Banyak persoalan yang bermain di fikiran rakyat sekarang ini, jika Malaya tidak pernah dijajah, mengapa kita sambut Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun? Dan jika Malaysia tidak pernah dijajah, apakah UMNO boleh dianggap pejuang kemerdekaan," soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan lebih dahulu ditubuhkan sebelum Umno.

Ianya termasuk Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada 1938, diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 1945 dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API)yang ditubuhkan pada Februari 1946, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS).

Umno pula ujarnya hanya ditubuhkan pada tahun 1946 lewat beberapa tahun selepas penubuhan gerakan-gerakan tersebut.

"Saat gerakan nasionalis kiri ini melaungkan slogan merdeka ,Umno masih dengan slogan “hidup Melayu”.

"Umno telah diharamkan pada tahun 1988. Umno yang ada kini hanya Umno baru yang ditubuhkan selepas diharamkan tahun 1988. Roh Umno zaman ‘kemerdekaan’ telah berkubur sejak itu," tegasnya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5386-tun-m-dicabar-akui-umno-bukan-pejuang-merdeka

Ada profesor ‘juling sejarah’ – pensyarah

M Faqih

KOTA BHARU, 13 Sept: Kenyataan Majlis Profesor Negara kononnya Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan hanya dinaungi British disifatkan tokoh sejarah dari Universiti Malaya sebagai ‘juling sejarah’.

“Bukan sejarahwan sebenarnya kalau mengeluarkan kenyataan seperti itu. Saya tidak faham mengapa boleh berlaku begitu,” kata Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar (gambar).

Menurutnya sejarah kalau tidak dinilai semula hanya akan diboloti pihak-pihak tertentu sahaja.

”Saya masih ingat kata-kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail meminta dinilai golongan kiri yang turut berjuang menuntut kemerdekaan,” katanya pada forum rakyat di Dataran Stadium Sultan Mohamad Ke IV malam tadi.

Forum berkenaan dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga bertindak sebagai panelis pada forum tersebut.

Sebelum itu perasmian dilakukan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Zainal Kling menegaskan Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan hanya dinaungi Inggeris.

Pandangan itu ditolak pelbagai pihak sehingga menjejaskan kewibawaan Majlis Profesor Negara yang baru ditubuh kerajaan.

Dr Mohamad berpengalaman selama 21 tahun sebagai profesor sejarah di UM berkata, tujuan mengkaji sejarah mempunyai dua makna iaitu untuk mengetahui peritiwa yang berlaku.

Dan keduanya menceduk pengetahuan tentang peristiwa tersebut.

Kata beliau sejarah hanya sahih sehingga ada penemuan bahan-bahan baru. Ini bermakna sejarah boleh berubah.

”Sebagai contoh sejarah Tembok Besar China diberi versi baru sekarang apabila ada kajian menyebut ribuan rakyat terkorban semasa membina tembok tersebut.

”Ini bermakna Tembok Besar China sedang ’bertutur’ dengan penderitaan rakyat,” ujarnya.

Oleh itu beliau membuat tanggapan Mohamad Sabu muncul sebagai penilai sejarah baru, bila mana sebelum ini kita hanya melihat melalui satu teropong sahaja.

Sebab itulah kata beliau bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan sejarah yang diajar di sekolah ada yang tidak betul.

”Permulaan isu ada penjernihan akhirnya. Kebatilan pasti luput apabila timbul kebenaran. Dan kebenaran sekarang mulai muncul sedikit demi sedikit,” ujarnya.

Beliau menyimpulkan sejarah merupakan sesuatu catatan tentang perkara yang lojik dan masuk akal.

Sementara itu, orang ramai yang hadir pada forum berkenaan dikejutkan dengan kejadian beberapa kenderaan disembur cat hijau oleh pihak tertentu.

Mohd Nasir Ismail, 45 dari Pasir Mas berkata, keretanya jenis Ulser Toyota yang di parkir berhampiran Gelanggang Seni disembur cat hijau.

Katanya, banyak lagi kenderaan milik orang lain yang diletak di situ menerima nasib yang sama.

”Ketika saya datang ke tempat kereta semasa hendak pulang saya lihat ada anggota polis di kawasan berhampiran, namun dia tidak menanyakan apa yang berlaku.

”Saya yakin pihak yang melakukan perbuatan khianat itu berani kerana kemungkinan besar mereka dilindungi kuasa politik.

”Kita boleh lihat sendiri apabila kes aktivis Gerakan Bertindak Kembali Royalti Rakyat Kelantan, Hishamuddin Ghazali yang ditampar veteran Umno beberapa bulan lalu tidak diambil sebarang tindakan biar pun laporan polis sudah dibuat,” ujarnya.

Turut menjadi mangsa perbuatan khianat tersebut kereta milik seorang wartawan tempatan. Difahamkan beliau sudah membuat laporan polis pagi ini.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5373-ada-profesor-juling-sejarah-pensyarah-

'Serang' saya untuk tutup kepincangan p'raya

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 13 Sept: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yakin ‘serangan’ terhadapnya yang dimainkan media arus perdana berhubung pejuang kemerdekaan dan Mat Indera ditimbulkan bagi menutup isu kepincangan demokrasi dan sistem pilihan raya di Malaysia.

“Isu ‘serangan’ terhadap saya kerana mereka nak lari daripada isu-isu pilihan raya terutama tentang (lapan perkara) Tuntutan Bersih 2.0 dan Daftar Pemilih yang begitu kotor.

“Oleh kerana nak lari daripada isu-isu itu dan gagal memulihkan demokrasi serta mengatasi kepincangan yang berlaku dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka timbulkan isu ini (serangan terhadap kenyataan saya).

“Ini yang mereka nak ‘lari’, sedangkan perkara ini sedang diperhatikan dunia kini,” dakwa Mohamad Sabu.


Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyertai Forum Rakyat di Dataran Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di sini semalam.

Forum anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan itu turut disertai ahli akademik dan pakar sejarah dari Universiti Malaya, Prof Dato’ Dr Mohamad Abu Bakar.

Turut hadir Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu Dato Wan Abdul Rahim Abdullah, anggota Exco, Abdul Fattah Mahmod dan Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim.

Forum yang dibanjiri ribuan penonton itu dipengerusikan mantan Ketua Pemuda Umno Ketereh Haji Soberi Shafei.

Golongan pembodek

Sementara itu, mengulas kenyataan pihak tertentu bahawa Malaysia tidak pernah dijajah, Mat Sabu mendakwa golongan itu merupakan golongan terlalu hendak membodek pemimpin mereka.

“Bodek punya bodek, mereka itu sampai terbabas, sampai menjadi bahan ketawa sekarang,” katanya.

Dalam hubungan ini, Mat Sabu mendakwa sekiranya rakyat di negara ini menerima pandangan golongan itu, maka ertinya rakyat tidak perlu menyambut kemerdekaan 31 Ogos dan tidak perlu pula menyambutnya pada 16 September.

Dalam pada itu Prof Dr Mohamad ketika dirujuk pandangannya berkata seharusnya orang akademik yang semakin berkedudukan jauh lebih baik sekarang dalam hubungan dengan orang politik mempengaruhi orang politik tertentu supaya isu mengenai penulisan semula sejarah Malaysia ‘yang dipercayai diselewengkan fakta’ itu dilaksanakan.

Menurutnya, sebelum pilihan raya keua belas yang lalu orang akademik banyak tunduk kepada orang politik, tetapi kini ternyata orang akademik dan dari pusat pengajian tinggi semakin menjadi rujukan.

“Inilah peluang dan masanya untuk mereka pula mempengaruhi keadaan menerusi perhubungan mereka dengan orang politik (golongan pemimpin).

“Dulu menteri-menteri tak jumpa kita orang semua ini. Tetapi sekarang semakin ramai, ada pula diskusi, ada Majlis Profesor dan sebagainya.

“Ini menunjukkan mereka ini sama ada merasai kebimbangan terhadap kedudukan diri mereka dan kedudukan politik mereka, semakin didampingi orang politik dan itu bagus.


“Jadi, di sinilah kita dapat salurkan kebenaran,” katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5371-serang-saya-untuk-tutup-kepincangan-praya

PROFESOR SEJARAH SANGGAH ZAINAL KLING

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 13TH, 2011

Kenyataan Majlis Profesor Negara kononnya Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan hanya dinaungi British disifatkan tokoh sejarah dari Universiti Malaya (UM) sebagai ‘juling sejarah’.“Bukan sejarahwan sebenarnya kalau mengeluarkan kenyataan seperti itu. Saya tidak faham mengapa boleh berlaku begitu,” kata Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar (gambar) yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai profesor sejarah di UM.

Menurutnya, sejarah sekiranya tidak dinilai semula hanya akan diboloti pihak-pihak tertentu sahaja.

”Saya masih ingat kata-kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail meminta dinilai golongan kiri yang turut berjuang menuntut kemerdekaan,” katanya pada forum rakyat di Dataran Stadium Sultan Mohamad Ke IV malam tadi.

Forum berkenaan yang dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dirasmikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga bertindak sebagai panelis pada forum tersebut, lapor Harakahdaily.

Baru-baru ini Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Zainal Kling menegaskan Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan hanya dinaungi Inggeris.

Pandangan itu ditolak pelbagai pihak sehingga menjejaskan kewibawaan Majlis Profesor Negara yang baru ditubuh kerajaan.

Dr Mohamad berkata, tujuan mengkaji sejarah mempunyai dua makna iaitu untuk mengetahui peristiwa yang berlaku dan menceduk pengetahuan tentang peristiwa tersebut.

Menurutnya lagi, sejarah hanya sahih sehingga penemuan baru muncul. Sambil menyifatkan sejarah boleh berubah, beliau juga menyimpulkan sejarah merupakan sesuatu catatan tentang perkara yang lojik dan masuk akal.

Justeru itu beliau membuat tanggapan Mohamad Sabu muncul sebagai penilai sejarah baru, apabila sejarah sebelum ini hanya dilihat melalui ‘satu teropong’ sahaja.

”Permulaan isu ada penjernihan akhirnya. Kebatilan pasti luput apabila timbul kebenaran. Dan kebenaran sekarang mulai muncul sedikit demi sedikit,” ujarnya.


http://www.kl-today.com/2011/09/profesor-sejarah-sanggah-zainal-kling/

CHANDRA: BRITISH PENJAJAH ‘DE FACTO’

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 13TH, 2011

Penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar (gambar) menegaskan negara ini secara “de facto” merupakan bekas jajahan kuasa asing dan itu sebabnya parti-parti politik memperjuangkan kemerdekaan daripada British sejak 1940-an.Secara realiti, kata beliau, negeri-negeri Tanah Melayu telah berhadapan dengan segala bentuk ketidakadilan yang ada kaitan dengan pemerintahan penjajah.“Disebabkan wujudnya penjajahan ‘de facto’, Umno pada tahun 1950-an dan Parti Kebangsaan Melayu sejak 1940-an telah menggerakkan perjuangan kemerdekaan daripada British.

“Mereka (pihak yang mendakwa tidak ada penjajahan) memfokus kepada isu — berbanding bentuk pemerintahan British,” kata Chandra dalam satu kenyataan kepada KL-Today.com hari ini.

Pengerusi Yayasan 1 Malaysia ini mengulas pandangan dua profesor mengenai polemik sama ada negara ini dijajah oleh British ataupun sebagainya.

Malah, semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu. Perdana Menteri keempat itu berkata, British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”

“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini.

“Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata beliau.

“Dalam lain perkataan, British tidak beri nasihat, mereka beri arahan,” kata beliau sambil menambah, penasihat memerintah dan pemerintah pula memberi nasihat.

Laporan media hujung minggu lalu menyebut berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Kenyataan itu yang menyusul pandangan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengundang kontroversi baru sementara menurut Profesor Datuk Dr Zainal Kling, “fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British).”

“Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik,” kata Zainal.

Katanya lagi, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.

Penelitian ucapan beberapa perdana menteri dan juga tulisan mereka menunjukkan negara ini dijajah oleh British dan beberapa kuasa Eropah yang lain.

Antara lain, dalam ucapan ketika upacara perisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj antara lain berkata, “… hari ini satu bab baru dibuka dalam hubungan kita dengan Britai; status kolonial kita telah diberikan tempat sama rata yang penuh…”

Memoir terbaru Dr Mahathir berjudul “A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad” juga menyenaraikan perkataan kolonial atau penjajahan beberapa kali.

Maklumat yang diperoleh dari laman web pertubuhan Komanwel pula menyebut, “menerusi siri perjanjian antara 1983 dan 1930, pentadbir-pentadbir kolonial British menguasai hal ehwal luar sembilan kesultanan Melayu di Semenanjung.

Chandra, Presiden Just World Trust berkata, di tengah-tengah kontroversi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Bukit Kepong, beberapa pandangan yang diluahkan mengenai pemerintahan British mempunyai kesan tidak disengajakan yang mengelirukan orang ramai berbanding memperkayakan pengetahuan orang ramai.

Dalam situasi formal, kata beliau, memang benar negeri-negeri Tanah Melayu, berbeza daripada Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, bukan merupakan wilayah kolonial British.

“Bagaimanapun negeri-negeri ini berada di bawah pemerintahan British,” kata beliau dan menambah, “kedaulatan Raja-raja Melayu (ketika itu hanya) merupakan satu fiksyen perundangan.”

Kata beliau, Raja-raja di kedua-dua Negeri-negeri Bersekutu dan Negeri-negeri Tidak Bersekutu dikehendaki mendapatkan nasihat Residen British ataupun penasihat dan mengikut nasihat yang diperoleh “berhubung kesemua aspek kecuali yang menyentuh mengenai adat resam orang Melayu dan Islam.”

“Dalam lain perkataan, kuasa membuat keputusan terletak di tangan British secara efektif,” kata beliau lagi.

Selain undang-undang dan perjanjian yang mewujudkan lokus sebenar kuasa di pihak British, jelas beliau, setiap dimensi penting ekonomi berada di bawah kawalan mereka.

“Isu-isu berkaitan dengan tanah, sumber-sumber, buruh, modal dan pasaran di negeri-negeri Melayu ditentukan oleh dasar British dan kepentingan British,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, situasi di negeri-negeri Melayu tidak berbeza daripada tiga negeri yang dijajah oleh British.

“Bahkan, kawalan British ke atas kedua-dua ekonomi dalaman dan luaran negeri-negeri Melayu yang memberikan mereka penjajahan de facto,” katanya beliau.


http://www.kl-today.com/2011/09/chandra-british-penjajah-de-facto/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...