Showing posts with label Uncontrol Item - Product. Show all posts
Showing posts with label Uncontrol Item - Product. Show all posts

Saturday, October 9, 2010

Harga susu naik hanya spekulasi

KUALA LUMPUR – Laporan kenaikan harga susu termasuk produk tenusu tempatan naik dalam tempoh terdekat ekoran peningkatan harga bahan mentah barangan tenusu di pasaran dunia dianggap spekulasi semata-mata.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) menegaskan, spekulasi tersebut yang hangat diperkatakan ketika ini oleh sesetengah pihak adalah tidak benar sama sekali.

Justeru beliau menasihatkan pengguna supaya tidak perlu bimbang sebab harga susu masih dikekalkan seperti biasa dan belum ada lagi sebarang kenaikan.

“Namun oleh sebab harga jualan susu bukan berada di bawah produk kawalan harga, jika berlaku kenaikan pada masa depan, kementerian tidak berkuasa mengambil sebarang tindakan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan berhubung harga tepung susu tanpa lemak yang merupakan bahan mentah tenusu utama dijangka meningkat lebih AS$3,000 (RM9,630) satu tan metrik pada tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) dalam suku keempat tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Wednesday, October 6, 2010

KPDNKK tiada kuasa sekat kenaikan harga susu, kopi

2010/10/06

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak ada kuasa untuk menyekat sebarang kenaikan barang seperti susu dan kopi setakat ini, kecuali selepas Akta Anti-Keuntungan Berlebihan (AAKB) diluluskan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas akta itu diluluskan pada sesi Parlimen bulan ini, baru pihak kementerian mempunyai kuasa.

“Kalau ada kenaikan seperti susu atau kopi kementerian tiada kuasa untuk menyekat sebarang kenaikan, kecuali selepas AAKB itu diluluskan baru pihak kementerian mempunyai kuasa.

“Namun dengan adanya akta itu kita bukannya boleh menyekat terus. Kalau mereka ada sebab untuk menaikkan harga, misalnya barang itu diimport dari luar dengan harga yang tinggi, itu pun kita tidak anggap sebagai keuntungan berlebihan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KPDNKKtiadakuasasekatkenaikanhargasusu_kopi/Article

Monday, August 23, 2010

Ayam RM8 sekilogram

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/08/23

KUALA LUMPUR: Terdapat peniaga ayam di pasar dekat Jalan Ipoh dan Sri Petaling, di sini menjual ayam pada harga setinggi RM8 untuk setiap kilogram, sehingga membebankan pengguna apalagi ketika menjelang musim perayaan kini.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selva Raj, berkata selain itu hasil pemantauan, kaji selidik serta aktiviti turun padang pihaknya ke beberapa pasar di beberapa negeri pula, mendapati ada peniaga menjual ayam antara RM7 hingga RM7.50 untuk setiap kilogram.


Menurutnya, peniaga di beberapa negeri dikesan sewenang-wenangnya menaikkan harga ayam yang dijual di pasar sepanjang Ramadan ini, meningkat antara RM0.50 sen hingga RM0.70 sen untuk setiap sekilogram berbanding harga kebiasaan ia dijual iaitu sekitar RM6 dan RM6.50 sekilogram.


“Tindakan peniaga ini membebankan orang ramai yang terpaksa mengeluarkan belanja lebih.


“Daripada hasil pemantauan kita sejak bermulanya bulan puasa ini, kita dapati segelintir peniaga di Kuala Lumpur, Sungai Petani, Kedah selain Perak dan Johor menjual ayam pada harga tinggi dan ini sudah tentu membebankan pengguna.


“Kita kecewa dengan keadaan ini yang berlaku setiap kali musim perayaan walaupun acap kali usaha dijalankan bagi memastikan perkara ini tidak berterusan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, lebih menyulitkan keadaan adalah apabila perkara itu dinyatakan kepada peniaga dan pembekal, mereka menyalahkan sesama sendiri hingga sukar untuk menyelesaikan kemelut terbabit.


Sehubungan itu, Paul menggesa pihak kerajaan khususnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) campur tangan dalam menyelesaikan masalah harga ayam yang dinaikkan sesuka hati.


Katanya, Fama perlu menjadi orang tengah dengan membeli bekalan ayam dari pembekal kemudian jual kepada kepada peruncit bagi memastikan harga ayam sentiasa berpatutan.


“Dalam membantu meringankan beban pengguna, Fama boleh memainkan peranan apalagi tidak ada sebab kukuh mengapa harga ayam perlu dinaikkan setinggi itu sedangkan 100 peratus ayam yang dijual adalah keluaran tempatan.


“Bekalan ayam dalam negara tidak terjejas walau berlaku banjir atau musibah di luar negara seperti bekalan lain termasuk bawang putih yang terjejas harganya akibat faktor luar seperti banjir besar di Pakistan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pusat Khidmat Aduan Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah, berkata pihaknya tidak menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga barang sepanjang bulan ini namun mengakui ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga juadah berbuka yang dijual di bazar Ramadan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AyamRM8sekilogram/Article

Thursday, August 12, 2010

Ayam Ramadan semakin mahal


RAMAI peniaga menganggap kenaikan harga ayam adalah perkara biasa pada awal Ramadan tetapi kesannya terpaksa ditanggung oleh orang ramai.


KUALA LUMPUR - Kenaikan harga ayam pada minggu pertama bulan Ramadan berlaku lagi dengan para pembeli di beberapa negeri terpaksa membayar sehingga RM7.50 atau 70 sen melebihi harga biasa bagi setiap kilogram sejak kelmarin.

Senario itu dikatakan gambaran awal bahawa harga ayam boleh mencecah RM10 sekilogram menjelang Syawal selepas harganya kini ditentukan oleh pasaran dan bukan lagi sebagai barangan kawalan sejak 15 Julai lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, keputusan itu diambil memandangkan bekalan ayam semakin stabil.

Bagaimanapun, kesannya kini ramai penjual mendakwa tersepit di antara harga pemborong yang lebih tinggi serta menjadi sasaran kemarahan pelanggan.

Dalam tinjauan Kosmo! di Kuala Terengganu semalam, ayam dijual RM7.50 sekilogram berbanding RM6.90 iaitu kenaikan sebanyak 50 sen.

Peniaga ayam di Pasar Bukit Besar yang dikenali sebagai Pok berkata, kenaikan itu terpaksa dibuat memandangkan mereka membeli pada harga semakin tinggi daripada pemborong.

"Ada dua pemborong ayam yang aktif di Kuala Terengganu dan hampir kesemua peniaga mendapatkan bekalan daripada mereka," katanya.

Di Pulau Pinang, tinjauan di Pasar Bayan Baru pula mendapati ayam dijual di antara RM6.90 hingga RM7.20 sekilogram berbanding RM6.50 sebelum ini.

Keadaan sama juga berlaku di Pasar Awam Tun Sardon apabila pengguna terpaksa membayar lebih 70 sen kerana harga ayam dijual mencecah RM7.20 sekilogram berbanding RM6.50 sebelumnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Wednesday, August 11, 2010

Harga ayam naik sehingga 50 sen, pengguna Kedah minta pemantauan

2010/08/11

ALOR STAR: Bulan Ramadan yang bermula hari ini dipercayai adalah punca kenaikan harga ayam antara 30 sen dan 50 sen sekilogram yang dikesan di beberapa buah pasar basah di negeri ini.

Tinjauan di pasar-pasar berkenaan menunjukkan harga ayam yang pada kebiasaannya antara RM5.70 dan RM6 sekilogram kini mencapai RM7 menyebabkan pengguna merungut.


"Baru-baru ini saya beli baru RM6.50, tapi hari ini mendadak RM7. Saya minta pihak berkuasa buat pemantauan, jangan biar pengguna teraniaya," kata Saniah Ahmad, 42, ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar hari ini.


Sementara itu, peniaga yang ditemui pula mendakwa kenaikan harga ayam berpunca daripada pembekal.


"Saya tiada pilihan dan terpaksa menjual mengikut harga pasaran walaupun mahal," kata Abdul Shukur Darus, 30.


Rakannya, Wan Ahmad Fauzi Wan Ismail, 35, pula berkata menjadi lumrah harga runcit ayam meningkat pada setiap bulan puasa.


"Kami masih menjual RM7 satu kg tetapi di beberapa tempat harga mencecah RM7.50 satu kg hari ini," katanya.


Dalam pada itu, seorang peniaga ayam percik di Jitra, Rosli Puteh, 53, berkata kenaikan antara RM1 dan RM1.50 bagi seekor ayam turut memberi kesan kepada peniaga sepertinya.


"Ini bermakna peniaga seperti kami juga terpaksa menaikkan harga jualan walaupun ia pasti memberi kesan kepada pengguna dan pendapatan kami," katanya.


Sementara Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Salleh Ma''amor yang dihubungi Bernama berkata buat masa ini harga ayam ditentukan oleh pasaran.

"KPDNKK menjangka harga ayam akan meningkat sehingga RM1 sekilogram menjelang Ramadan. Bagaimanapun dua minggu menjelang Aidillfitri ayam akan dijadikan barang kawalan dan harganya akan terkawal," katanya.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hargaayamnaiksehingga50sen_penggunaKedahmintapemantauan/Article

Friday, July 16, 2010

Harga Teh Tarik Hanya Naik 1.25 Sen?

Jumaat Julai 16, 2010

KUALA LUMPUR: Harga bagi teh tarik - minuman paling popular di Malaysia, sepatutnya hanya naik 1.25 sen segelas berikutan pengurangan subsidi harga gula sebanyak 25 sen.

Harga baru teh tarik itu mengambil kira kesan pengurangan subsidi minyak dan pelarasan harga semasa iaitu RM1.0155.

"Ini adalah anggaran sahaja - perubahan harga mungkin berbeza berdasarkan faktor lain," kata kenyataan mengenai rasionalisasi subsidi Jabatan Perdana Menteri.

Kenyataan itu berkata kesan pengurangan subsidi terhadap teh tarik ialah RM0.0030, manakala untuk barangan lain ia lebih rendah, seperti RM0.0024 untuk sekeping roti canai, RM0.0060 untuk beras, RM0.0630 untuk daging dan RM0.0105 untuk mi goreng.

Kerajaan hari Khamis mengumumkan subsidi untuk petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat berkuatkuasa esok.

Subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak lima sen seliter dan LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram. Ini bermakna harga bagi petrol RON 95 ialah RM1.85 seliter manakala LPG akan dijual pada harga RM1.85 sekilogram.

Untuk gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram.

Kenyataan itu turut memberi perbandingan harga minyak di rantau ini yang menunjukkan harga petrol di Malaysia adalah paling murah, iaitu RM1.85 untuk RON95 berbanding Thailand (RM4.12), Indonesia (RM2.48) dan Filipina (RM6.60).

Harga baru gula di Malaysia iaitu RM1.90 juga adalah jauh lebih murah dari Thailand RM2.60, Indonesia (RM3.68) dan Filipina (RM3.46).

Harga gula yang murah di Malaysia itu telah menyumbang kepada peningkatan masalah penyeludupan. Pihak berkuasa merampas lebih 200 metrik tan gula dalam 109 tangkapan berhubung kes penyeludupan pada 2009, dan pada 2008, dianggarkan RM628 juta minyak diesel subsidi untuk nelayan, dinikmati rakyat asing. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/7/16/mstar_berita/20100716004531&sec=mstar_berita

Thursday, June 24, 2010

Harga ayam boleh cecah RM10


HARGA ayam boleh meningkat lebih tinggi daripada RM7 sekilogram menjelang musim perayaan dan cuti sekolah jika ia tidak lagi dikawal kerajaan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Ayam mungkin jadi sajian golongan berkemampuan sahaja selepas ini jika keputusan kerajaan mengeluarkannya daripada menjadi barangan kawalan mendorong kepada lonjakan harga khususnya menjelang musim perayaan dan cuti sekolah.

Kebimbangan itu dikongsi oleh beberapa persatuan pengguna yang menjangkakan tidak mustahil harga ayam yang kini sekitar RM7 sekilogram boleh naik sehingga RM10.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, tindakan memansuhkan daging ayam sebagai barangan kawalan menjadi berita yang ditunggu-tunggu oleh peniaga.

"Jika keputusan itu kekal, maka kerajaan perlu ada mekanisme khas bagi memantau bekalan dan turun naik harga ayam,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memansuhkan lesen runcit bagi ayam, besi (bar bulat keluli lembut) dan simen berkuat kuasa 15 Julai ini.

Tujuan langkah itu diambil adalah bagi mengelak ketirisan bekalan barangan kawalan ke sempadan negara.

Kebimbangan Jacob mengenai kenaikan harga ayam itu turut dikongsi oleh Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Shaani Abdullah.

Menurut beliau, isu ketidakstabilan harga ayam akan berlaku lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

"Bila pasaran yang menentukan harga, pemborong dan peniaga terdorong mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan lebih dan akhirnya pengguna menjadi mangsa," katanya.

Bagaimanapun, Perunding Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Dr. Abdul Rahman Md. Salleh pula berpendapat, pasaran wajar dibiarkan untuk menentukan harga ayam tetapi pada masa yang sama kerajaan memantau di peringkat peruncit.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...