Showing posts with label Perkeso. Show all posts
Showing posts with label Perkeso. Show all posts

Monday, July 25, 2011

15 tahun warga emas tunggu pampasan Perkeso

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 25 Julai: Seorang bekas pekerja kilang papan kesal dengan menteri, agensi kerajaan dan wakil rakyat yang gagal menyelesaikan masalah wang pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang tertangguh sejak 15 tahun lalu meskipun semua dokumen sudah lengkap.

Warga emas Mohan Mariappan, 59, yang mengalami kemalangan di tempat kerja di kilang T. S. Gan Timber Trading dekat sini pada tahun 1995 lalu sehingga tidak boleh bekerja lagi dan disahkan pegawai perubatan layak menerima pencen ilat dan bantuan ilat.

Malangnya setelah enam tahun barulah beliau mendapat wang sebanyak RM315.55 iaitu pada Ogos 2002, tetapi bantuan bulanan langsung tidak ada dalam tempoh selama itu dan mendakwa wang pampasan terkumpul miliknya sudah lebih RM40,000.

“Saya bekerja di kilang papan berkenaan dengan gaji sebanyak RM1,500 sebulan sehinggalah pada 13 Mei 1995 mengalami kemalangan dengan tangan sebelah kanan saya termasuk dalam mesin gergaji sehingga mengakibatkan tidak boleh bekerja berat lagi untuk selamanya.

“Doktor yang merawat kemudian mengesahkan saya hilang upaya kekal dan layak mendapat 35% daripada gaji iaitu RM520. Semua dokumen telah dihantar kepada Perkeso Temerloh, tetapi hanya enam tahun kemudian saya baru menerima RM315.55. Itupun setelah tersiar cerita dalam akhbar Tamil.

“Pegawai Perkeso ada berjanji dengan saya wang selebihnya akan dibayar pada setiap bulan. Namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang bayaran yang dimaksudkan,” katanya ketika menemui Harakahdaily di sini.

Sejak itu Mohan telah beberapa kali menemui pengarah Perkeso, menteri, pemimpin tertinggi MIC, wakil rakyat Umno dan Menteri Besar Pahang namun semuanya hanya janji tinggal janji.

“Kalau tidak silap, sudah enam kali saya bertemu Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam untuk mengadu hal dan minta selesai masalah, kali akhir tahun lalu. Begitu juga dengan Senator T. Murugiah dan semua pemimpin MIC, tapi tetap tiada penyelesaian.

“Jumpa dengan Ketua Umno Bahagian Temerloh yang juga Exco Kerajan Negeri Pahang janji nak selesai terus senyap. Juga jumpa MIC Mentakab, pun hanya tinggal janji.

“Setelah mengetengahkan kes ini kepada media, barulah pada bulan Januari 2009 saya dibayar RM70 sebulan, mula bulan September tahun itu dibayar RM140. Sehinggalah bulan September tahun lalu saya dibayar RM250. Tetapi masih jauh daripada jumlah sebenar (RM520),” katanya dengan nada sayu.

Soal Mohan, jika sudah 15 tahun seorang menteri tidak boleh selesaikan satu kes seperti beliau, macam mana menteri mahu selesaikan rakyat dan orang ramai? Beliau hairan bagaimana kesnya menjadi rumit sangat hingga tertangguh lama sedangkan semua dokumen ada dan mereka akui.

Mohan yang juga menghadapi masalah jantung dan akan membuat pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) berpendapat, masalahnya kesnya ini tidak diambil berat kerana beliau ‘orang kecil’.

“Sepatutnya menteri atau wakil rakyat tahu bahawa RM250 sekarang ini tidak cukup untuk menampung kos hidup yang tinggi sekarang. Saya masih ada isteri dan seorang anak yang sedang bersekolah dalam tanggungan. Saya juga masih perlukan duit untuk rawatan dan ubat-ubatan,” rayunya.

Justeru beliau yang tinggal di Taman Bukit Bendera, Mentakab merayu pihak berkuasa segera menyelesaikan kesnya sementara usianya masih ada.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4541-15-tahun-warga-emas-tunggu-pampasan-perkeso

Sunday, January 9, 2011

Masih tunggu Perkeso

Oleh MOHAMAD YATIM LATIP
am@hmetro.com.my

MELAKA: Seorang bekas juruteknik yang dulu aktif dalam pelbagai aktiviti, termasuk bersukan, kini tidak mampu berbuat demikian apabila terlantar di rumah keluarganya di Lorong Permatang, Klebang Besar, di sini, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 31 Ogos tahun lalu.

Berikutan itu, Muhammad Ilham Mohd Yusof, 27, hanya mampu menghirup udara segar serta menikmati pemandangan di halaman luar rumah dengan kerusi roda.


Menceritakan kejadian malang yang menimpanya, Muhammad Ilham berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika dia menunggang motosikal ke tempat kerja di Loji Penapisan Minyak Petronas Tangga Batu pada hari sambutan kemerdekaan lalu.

Menurutnya, sebaik tiba di kawasan Paya Luboh, Tangga Batu, motosikal ditungganginya gagal mengelak sebuah kereta yang didakwa memasuki laluannya, sekali gus menyebabkannya merempuh kenderaan terbabit.


Katanya, akibat rempuhan itu dia melambung sebelum terjatuh ke atas jalan raya, menyebabkan tulang belakangnya patah.


“Saya dimasukkan ke wad Hospital Melaka lebih dua bulan, di mana tulang belakang turut dimasukkan besi. Kecederaan itu mengakibatkan bahagian anggota tubuh dari pangkal pusat hingga ke bawah tidak berasa apa-apa tindak balas.

“Malah, lebih mengecewakan apabila doktor juga memberitahu peluang saya untuk pulih tidak dapat dipastikan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Muhammad Ilham berkata, sejak keluar hospital, dia menggunakan sebuah katil dua tingkat yang diubah suai ahli keluarganya tetapi terpaksa tidur beralaskan tilam biasa saja yang tidak selesa.

Selain itu, katanya, abang iparnya memasang palang kayu pada bahagian atas katil berkenaan dengan meletakkan tempat pemegang yang dibuat sendiri bagi membolehkan dia berpaut ketika bangun.


“Berikutan itu, saya berharap ada pihak dapat membantu menyalurkan bantuan berupa sebuah katil dan tilam khas untuk keselesaan saya kerana selama ini juga hanya mampu membuang air kecil menerusi saluran tiub selain menggunakan lampin pakai buang setiap hari,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, pihak syarikatnya memberi sumbangan sejurus selepas terbabit dalam kemalangan berkenaan di samping menguruskan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) tetapi sehingga kini belum ada apa- apa perkembangan lagi.


Sementara itu, Sidang Kampung Klebang Besar, Hamzah Ibrahim berkata, pihaknya juga berharap pihak berkenaan membantu Muhammad Ilham demi meringankan kesulitan dihadapinya.


Katanya, meskipun Muhammad llham mempunyai sembilan adik-beradik, kebanyakannya berkahwin dan ada tanggungjawab masing-masing manakala bapanya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira empat tahun lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MasihtungguPerkeso/Article/artikelMA

Wednesday, December 22, 2010

Ligat menipu guna pencen ilat


ORANG ramai yang memerlukan bantuan Perkeso sewajarnya mengunjungi pejabat organisasi itu dan bukannya menggunakan orang tengah. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Ada sindiket yang kini semakin ligat menipu orang ramai dengan mendakwa mereka menjadi ‘orang tengah’ kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan boleh membantu mendapatkan bantuan pelbagai skim yang ditawarkan dengan mengenakan sejumlah bayaran.

Segak dengan pakaian kemas, mereka dipercayai telah menipu lebih 30 mangsa yang kebanyakannya di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Johor dengan nilai kerugian terkumpul melebihi RM250,000.

Ada kes melibatkan mangsa memberi wang sehingga RM15,000 bagi mendapatkan khidmat ejen itu untuk menguruskan permohonan pencen ilat Perkeso.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah berkata, Biro Pengaduan Awam (BPA) mendapat aduan kes seumpama itu sudah berlaku sejak dua tahun lalu.

“Modus operandi ahli sindiket itu ialah memperkenalkan diri sebagai ejen atau ‘orang tengah’ yang dilantik Perkeso dengan janji mempermudahkan proses kelulusan pemeriksaan perubatan untuk mendapat skim ilat.

“Mereka dikatakan meminta bayaran pendahuluan minimum sebanyak RM3,000 daripada setiap mangsa kononnya untuk membayar doktor untuk mengeluarkan surat pengesahan perubatan,’’ ujarnya pada sidang media di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Ditipu orang tengah urus pencen ilat

KUALA LUMPUR: Hajat seorang pekerja swasta yang ditimpa kemalangan untuk mendapatkan pencen ilat menerusi orang tengah tidak kesampaian apabila dia terpaksa menanggung kerugian RM8,000 akibat ditipu, tahun lalu.

Mangsa, S Muniandy, 59, berkata, tindakan menggunakan orang tengah timbul apabila rakannya memperkenalkan seorang wanita yang dikatakan mampu membantu mendapatkan pencen selepas permohonannya ditolak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Katanya, wanita berusia 30-an itu memberitahunya pernah membantu beberapa orang yang gagal mendapat pencen berkenaan berikutan mempunyai orang dalam dan hanya perlu membayar duit kopi. “Yakin dengan penerangannya, saya turut mengesyorkan rakan lain untuk turut serta, namun tidak menyangka wanita itu sanggup mengambil kesempatan terhadap kami.


“Malah, dia berjanji saya akan memperoleh pencen. Mulanya, dia meminta memasukkan RM500 ke akaun bank suaminya bagi urusan kali pertama, seminggu kemudian, dia masih meminta wang dan ini berlanjutan hingga saya terpaksa menggunakan wang persaraan. “Selepas beberapa bulan, dia menghilangkan diri secara tiba-tiba dan gagal dihubungi. Waktu itu, saya yakin saya ditipu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kecewa dengan perbuatan wanita itu, Muniandy membuat laporan di Balai Polis Taiping, Perak, Mei lalu, sebelum mengadu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA). Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah yang juga Pengerusi BPA berkata, kes penipuan oleh orang tengah bagi urusan agensi kerajaan seperti Perkeso, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dilaporkan semakin meningkat dengan purata lima kes sebulan sejak 2008.


“Berdasarkan kes berkenaan, kebanyakan mangsa terpaksa menanggung kerugian lingkungan RM3,000 hingga RM15,000,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ditipuorangtengahuruspencenilat/Article/index_html

Friday, December 3, 2010

Kerajaan pertimbang naikkan caruman Perkeso

Dis 2, 10 3:57pm

Kerajaan mungkin mempertimbangkan cadangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) agar kadar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dinaikkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

NONEMenteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata, cadangan itu dibuat ILO berasaskan kajiannya tahun lalu, selepas mendapati nilai pampasan yang dibayar Perkeso meningkat setiap tahun.

"Tahun lalu Perkeso terpaksa peruntukkan sehingga RM1.4 bilion sebagai pampasan kepada pekerja yang terlibat kemalangan berbanding kutipan sekitar RM1.8 bilion setahun.

"Ia berada dalam trend yang meningkat sepanjang lima tahun kebelakangan ini yang mana pada tahun 2005 pampasan hanya berjumlah RM830 juta," katanya semasa merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Industri Kecil dan Sederhana, di Putrajaya hari ini.

socso logoTanpa mendedahkan kadar baru yang dicadangkan ILO, Subramaniam berkata, bagaimanapun buat masa ini kerajaan tidak berhasrat menaikkan kadar caruman itu walaupun ia tidak pernah dikaji sejak 1969.

Sebaliknya, beliau berkata, keputusan hanya akan dibuat selepas semua pendekatan diambil kira termasuk menguatkuasakan peraturan dan undang undang mengenai keselamatan pekerja terutamanya ke atas majikan.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/149815

Monday, May 11, 2009

Belanja sekeluarga tak lebih RM8 sehari

KUANTAN: “Perbelanjaan kami tidak boleh lebih RM8 sehari, jika tidak kami terpaksa mengikat perut bila tiba hujung bulan dan terpaksa mengharapkan bantuan keluarga dan jiran.

“Bagaimanapun, ada ketikanya perbelanjaan harian melebihi dari RM8 terutama untuk anak bongsu yang masih bersekolah kerana dia perlu membeli pelbagai keperluan pembelajaran,” kata seorang ibu tunggal, Zaini Majid, 39.

Zaini ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bukit Palas, Cherating, kelmarin, berkata mereka kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri sebanyak RM200 yang diterima mulai Februari lalu selepas terbabit dalam kemalangan tahun lalu.

“Jumlah ini sebenarnya tidak mencukupi kerana saya perlu menjelaskan bil elektrik, bil air selain perbelanjaan dapur dan persekolahan anak,” katanya.

Sebelum kemalangan, Zaini yang mempunyai dua anak, Nurul Farhana Fauzi, 17 dan Faiz Iskandar Fauzi, 15, bekerja di kilang papan selepas kematian suaminya kerana komplikasi kanser hati, paru-paru berair dan lemah jantung, pada sambutan Aidilfitri tiga tahun lalu. 

“Walaupun bersedih dengan keadaan yang menimpa, saya amat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus hidup walaupun dengan sebelah kaki,” katanya.

Dalam kemalangan berhampiran Pondok Polis Cherating pada 13 Mac 2008 itu, kaki kiri Zaini hancur digilis tayar kereta dan ia gagal diselamatkan.

“Selama empat hari saya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman kerana tidak sedarkan diri.

“Selain kaki dipotong, saya juga hampir hilang ingatan kerana berlaku pendarahan di bahagian kepala,” katanya yang kini menetap di rumah peninggalan arwah suaminya.

Katanya, kemalangan itu juga menyebabkan dia hilang punca pendapatan manakala anak perempuannya, Nurul Farhana terpaksa berhenti sekolah untuk menjaganya.

Zaini berkata, berikutan ketiadaan sumber kewangan, anak bongsunya, Faiz Iskandar nyaris berhenti sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk bayaran yuran dan perbelanjaan sekolah.

“Dengan bantuan saudara dan jiran sekampung, sejumlah wang dikumpul dan anak saya dapat meneruskan persekolahan,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...