Showing posts with label PKM (Parti Komunis Malaya). Show all posts
Showing posts with label PKM (Parti Komunis Malaya). Show all posts

Saturday, September 17, 2011

Lee Ban Chen: Kenyataan Mat Sabu sesuatu yang pernah disetujui kerajaan

Lim Hong Siang | Sep 15, 2011 03:13:30 pm

Serangan kerajaan terhadap "komunis" baru-baru ini, semata-mata untuk menyanggah kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, semakin dipertikai. Pengamat politik, Lee Ban Chen berkata kerajaan pada hakikatnya telah mempunyai pendirian, bahawa sumbangan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan "tidak dipertikai dan tidak dinafikan", ketika menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada tahun 1989.

Beliau memetik dari buku Setiausaha Agung PKM, "Chin Peng: My Side of history", bahawa kerajaan melalui wakil polis, Rahim Noor pada ketika itu telah menyatakan pendirian tersebut. "Kalau kerajaan Malaysia sudah membuat perjanjian dengan CPM (PKM), dan mengaku mereka sudah ada sumbangan untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan negara kita... Jika itulah pendirian kerajaan, bermakna apa yang dikatakan Mat Sabu itu memang sesuatu yang tepat, dan sesuatu yang telah disetujui oleh kerajaan Malaysia. Jika itulah halnya, maka sekarang mengapa buat heboh?"

Malah, Lee Ban Chen (gambar kanan) mengambil contoh karikutur yang disiarkan dalam Utusan Malaysiapada 13 September 2011, mempertikaikan kerajaan bahawa mengapa tuduhan yang "sukar dibuktikan" ini dibenarkan selepas lebih 20 tahun perjanjian damai ditandatangani?

Maka soalan seterusnya adalah, "Adakah perjanjian Haadyai itu, kerajaan masih mengakui? Adakah kerajaan masih mematuhi apa yang telah ditandatangani? Kerana selama 20 tahun ini, pihak komunis tak ada buat apa-apa. Mereka cari makan, mereka buat kerja mereka, mereka pun jarang mengambil bahagian dalam arena politik."

Lee Ban Chen berasa hairan, "mengapa keadaan boleh menjadi begini?" Disebabkan komentar daripada Mat Sabu, komunis Malaya "yang tidak berbuat apa-apa (untuk 20 tahun ini)", diserang sebegitu, sehingga mencungkil luka bekas tentara dan bekas polis, seolah-olah ada serangan diadakan dari pihak komunis.

Beliau seterusnya mempersoalkan logik Perdana Menteri Najib Razak, bahawa Malaysia kini bekerjasama dengan Komunis China, kononnya "Komunis China sekarang komunis yang baik". "Saya tak tahulah, kerajaan kita nak berbaik dengan komunis China, tapi nak serang ideologi komunis, tak tahu itu logik apa? Kalau you kata komunis itu memang kejam, komunis China kejamlah! Tapi you tak kata begini..."

Lee Ban Chen berkata sedemikian dalam satu forum berjudul "Milik siapakah kemerdekaan ini?" di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam. Turut hadir sebagai panelis adalah Sasterawan Negara A.Samad Said, dan Penasihat Tamil Foudation dan Pengerusi SUARAM, Arumugam. John Brian, iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Dayak dan blogger Dayak baru yang dibariskan sebagai panelis sebelum ini, gagal menghadirkan diri kerana masalah tertentu. Forum yang dihadiri kira-kira 50 orang ini dipengerusikan oleh Adam Adli Bin Abd Halim, iaitu Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif UPSI.

"Perlembagaan Rakyat pada masa itu adalah Buku Jingga sekarang!"

Selain itu, Lee Ban Chen (gambar bawah) turut mengisahkan sejarah bagaimana golongan agamawan, nasionalis dan sayap kiri boleh mencapai muafakat untuk merangka Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947, dan bersetuju dalam 10 perkara, termasuk "Raja-raja Melayu akan mempunyai kuasa yang sebenar, bertanggungjawab kepada rakyat melalui Majlis Mesyuarat".

"Ini sesuatu yang cukup istimewa pada masa itu. Sesuatu yang mendapat kerjasama semua bangsa dan berlatarbelakangkan ideologi yang berlainan. Ini suatu contoh bagaimana kita hendak merangka satu politik atau perlembagaan yang menyeluruh, kita harus berkompromi antara kaum... Dan mencapai sesuatu yang dapat diterima semua pihak. Ini sesuatu kejayaan yang besar gerakan rakyat masa itu. Tapi malangnya kerajaan British tidak terima..."

Malah Lee Ban Chen menganggap "Perlembagaan Rakyat" oleh AMCJA-Putera pada ketika itu, boleh diibaratkan bagai "Buku Jingga" oleh Pakatan Rakyat sekarang, memperlihatkan kematangan parti politik untuk bersepakat dengan kerangka tertentu pada peringkat itu untuk menentang penjajahan, katanya.

Ketika mengulas "Perlembagaan Rakyat" pada tahun 1947, Arumugam (gambar kanan) berkata wujudnya dua golongan gandingan politik ketika itu, iaitu golongan progresif dari bawah, yang menjaga "kepentingan rakyat"; sementera satu lagi kombinasi politik dari atas, yang berasaskan perkauman, misalnya UMNO, MCA dan MIC. British memilih untuk berunding dengan golongan UMNO, MCA dan MIC, untuk mengetepikan golongan progresif yang menjaga kepentingan rakyat.

Baca: A.Samad: Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

**Forum "Milik siapakah kemerdekaan ini?" ini dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Free Public Forum, Solidarity Mahasiswa Malaysia, Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL& Selangor dan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI).


http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12256

Tuesday, September 13, 2011

Pendirian PAS dalam kontroversi isu sejarah

Tuan Ibrahim Tuan Man

1. PAS menolak dan tidak pernah menyokong fahaman, golongan mahupun gerakan komunis.

2. PAS menganggap peristiwa Bukit Kepong 1950 adalah satu tragedi, tapi berpendirian bahawa Mat Indera patut digolongkan sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan yang berhaluan kiri.

3. PAS tegas mempertahankan fakta bahawa transkrip ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada Ogos 21 di Tasek Gelugor hanya mengiktiraf Mat Indera sebagai hero tanpa kaitan dengan komunis, akan tetapi akhbar Utusan Malaysia memutarkan kenyataan beliau sehingga melabelkan Mohamad and PAS sebagai penyokong komunis bermula 27 Ogos untuk 13 hari berturut-turut. Ini adalah satu tuduhan fitnah yang langsung tidak masuk akal.

4. PAS yakin dengan hasil penyelidikan yang tercatat di dalam buku ‘Pengukir Nama Johor’ terbitan Yayasan Warisan Johor pada 2004 bahawa Mat Indera adalah salah seorang agamawan dan juga pejuang kemerdekaan.

5. PAS juga yakin dengan hasil penyelidikan yang dibuat Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem” yang menyimpulkan bahawa Mat Indera bukan berfahaman komunis.

6. PAS berpendirian perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bermula jauh lebih awal sebelum Umno ditubuhkan. Para pejuang kemerdekaan berhala kiri, yang mengambil ‘total confrontation approach’ menuntut kemerdekaan seperti Mat Indera, Rosli Dohbi, Datuk Maharajalela di Perak, Tok Gajah, Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Negeri Sembilan and Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan lain-lain lagi juga mesti diberi tempat dalam sejarah untuk jasa mereka.

7. PAS berpendirian bahawa Umno tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan. Pejuang-pejuang lain yang menggadaikan nyawa mereka sehingga menyebabkan penjajah dalam keadaan amat parah. Apa yang Umno buat ialah menjalankan pusingan keempat yang akhir dan menuntut kredit mutlak atas kejayaan tersebut, tanpa sebarang pengiktirafan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tersungkur dalam tiga pusingan awal yang berjaya melemahkan kuasa penjajah. Walaubagaimanapun, PAS tidak menafikan bahawa Umno, walaupun sekadar melaksanakan tugas terakhir untuk mendapat kemerdekaan, mempunyai sedikit jasa dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

8. Umno sekadar penerima manfaat terakhir yang mendapatkan kemerdekaan tapi dengan cara kanan, iaitu ‘peaceful cooperation’ dengan penjajah British. Oleh itu, mereka tidak boleh menafikan bahawa para pemimpin mereka pernah menjadi pegawai British satu masa dahulu.

Ini pendirian PAS dalam menafsir sejarah pra-kemerdekaan, sudah tentunya ia berbeza dengan pendapat Umno. Harus ditegaskan bahawa soal menafsir sejarah dan meneliti semula sejarah berkait rapat dengan jumlah maklumat yang ada dan juga persepsi kita dalam melihat sesuatu isu.

Kita harus “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam kajian sejarah, kerana ia juga amat bergantung kepada jumlah maklumat yang ada sebelum seseorang itu boleh membuat kesimpulan yang tepat.

Dalam isu menafsir sejarah, semua pihak dinasihatkan untuk mengamalkan prinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agree to disagree) dan menghentikan serangan peribadi kepada mana-mana pihak hanya kerana tafsiran sejarah mereka berbeza dengan apa yang diwar-warkan selama ini. Untuk pihak yang tidak bersetuju, boleh juga diadakan debat ilmiah, dan bukannya meneruskan permainan fitnah-menfitnah di media.
Firman Allah berkata:

"Sesungguhnya Tuhan kamu akan menjelaskan di hari akhirat apa yang kamu perselisihkan.”

Sehubungan itu, semua pihak harus kembali kepada akhlak Islam dan gesaan Rasulullah agar tidak memberi gelaran yang buruk kepada yang telah meninggal dunia.
Kita juga harus bersangka baik ketika menilai status Mat Indera, sedangkan kita tidak mengetahui sejauhmana tuduhan itu betul dan pada masa yang sama beliau tidak dapat membela dirinya.

Mungkin di saat kehidupannya, beliau ada melakukan kesilapan sebagai manusia biasa, namun kita dituntut baik sangka kepada beliau, mungkin dalam tempoh tahanan beliau telah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah, apatah lagi beberapa maklumat penjaga kubur memberikan gambaran baik terhadap beliau.

Fakta yang ada saling bertentangan antara satu sama lain. Di satu pihak, beliau tidak pernah menganut fahaman komunisme, seorang penghafal Quran, berakhlak baik sebagaimana yang ditulis dalam buku Pengukir Nama Johor.

Belah satu lagi pula membuat pelbagai tuduhan negatif yang menyatakan beliau adalah sebaliknya.

Yang ada hanyalah warisnya yang membuat penafian semua tudahan liar itu. Apakah ada yang lebih hampir selain waris bagi kita berbaik sangka kepada beliau?

Dalam isu ini, PAS telah membuat pendirian yang jelas. Namun, kami percaya sebagaimana jelas pun pendirian kami, media perdana milik Umno tetap akan memutar kenyataan untuk menutup segala isu-isu rakyat yang lebih meruncing seperti kenaikan harga barang, isu penyelewengan daftar pilihanraya, isu memberikan kerakyatan untuk mendapatkan undi, isu rasuah, isu pembaziran Kementerian Pertahanan, isu penjualan saham Esso dan MAS, isu cincin RM24 juta, isu Bersih 2.0 dan terbaru isu cukai topup 6 peratus.

PAS juga meminta semua ahli dan seluruh umat islam mengadakan solat hajat dan tahlil arwah sempena Hari Malaysia 16 September kepada seluruh pejuang kemerdekaan dalam menentang penjajahan Inggeris, termasuklah kepada roh Mat Indera, Dr Burhanudin Helmy, Dr Zulkifli Mohamad dan selainnya. Majlis ini juga diharap akan membangkitkan semangat jihad bagi menegakkan keadilan dan kemenangan dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Diharapkan juga agar seluruh kawasan mengadakan ceramah khas erti kemerdekaan dari perspektif Islam. Semoga dengan majlis ini akan memperkukuhkan ingatan kita kepada perjuangan generasi awal dalam memerdekakan negara dari penjajahan asing.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
9 September 2011


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-penerangan/5310-pendirian-pas-dalam-kontroversi-isu-sejarah

Saya perjuangkan Islam, bukan komunis - Mat Sabu

Sep 11, 11 1:09pm

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pegangan dan perjuangannya adalah Islam dan bukan komunis seperti dilabel oleh dan akhbar miliknya Utusan Malaysia.

pengukir nama johor mat sabu 050911Pada ceramahnya di Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar malam semalam, Muhamad berkata pegangannya dan perjuangannya terhadap Islam tidak pernah berubah sejak kecil lagi.

"Saya memilih perjuangan atas dasar Islam. Masa remaja dulu saya pilih Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kemudian tahun 1978 saya sertai perjuangan parti Islam (PAS), sokong perjuangan ulama.

"Sepanjang saya berpidato idola saya adalah Syed Qutb, Imam Hasan Al-Banna, Jamaludin Al-Afghani, dan ulama-ulama lain.

"Tiba-tiba saya dituduh komunis, tak sedih ke tuan-tuan? Jahat sungguh," katanya dipetik Harakahdaily.

Utusan pada 27 Ogos lalu mendakwa pemimpin kanan PAS tersebut berkata Mohamad Indera yang menyerang balai Bukit Kepong adalah hero sebenar dan bukannya polis yang mempertahankannya.

mingguan malaysia 280811 mat sabu dikecamMohamad bagaimanapun berkata laporan Utusan mengenai ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu itu adalah "satu putar belit dan tokok tambah cerita untuk memfitnahnya dan PAS".

Mengulas lanjut, beliau tuduhan sebegitu bukan perkara baru dan telah berlaku sejak zaman penjajah lagi.

Pada zaman British, katanya, golongan ulama dan golongan kiri dianggap penentang dan ditangkap serta dibunuh.

Sangat cintakan Malaysia

"Saya sangat cintakan tanah air Malaysia, tempat tumpah darah kita.

"(Tuduhan) ini sama seperti dituduh terhadap pejuang-pejuang sebelum ini oleh penjajah dan sekarang Umno mewarisinya," katanya kepada rayusan hadirin.

Berikutan laporan itu juga, beliau telah dibidas dan kecam hebat oleh pelbagai pihak khususnya, Umno dan BN sehingga ada yang menuduhnya sebagai komunis.

NONEMengulas perkara itu, Mohamad, berkata semalam genap 15 hari beliau diserang.

"Saya berucap 21 haribulan, Utusan siar 27 haribulan seminggu selepas itu.

"Itu bukan berita, itu dah jadi sejarah. Kalau berita, berlaku hari ini keluarnya esok," sindirnya.

Keadaan menjadi semakin kusut, apabila pelbagai pihak termasuk aahli akademik mentafsirkan sejarah negara.

Lebih menggemparkan apabila Profesor Datuk Dr Zainal Kling mendakwa berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.


http://malaysiakini.com/news/175449

Hisham: Mat Sabu tak akan disiasat mengikut ISA

Hisham: Mat Sabu tak akan disiasat mengikut ISA
Sep 11, 11 10:00am

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung kenyataannya mendakwa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

NONEBeliau berkata kes Mohamad Sabu banyak berkisar kepada undang-undang dan oleh itu hanya Peguam Negara yang dapat menentukan bentuk tindakan terhadap beliau.

"Saya tak boleh cakap lebih dari itu, nanti orang tuduh kita menyuruh dan mengarah Peguam Negara. Kalau perkara ini berkisar kepada undang-undang negara, maka pihak yang menentukan pendakwaan itu dilaksanakan di mahkamah ialah Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Tanglung dan Merdeka Raya 2011 di Klang, malam semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob, dilaporkan berkata polis telah menyiapkan kertas siasatan terhadap Mohamad Sabu dan dihantar ke Bukit Aman untuk diteliti dan akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

NONEHishammuddin bagaimanapun berkata kenyataan Mohamad Sabu tidak mengancam keselamatan negara dan oleh itu bukan satu opsyen untuk menyiasat beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang meluahkan rasa dukacita kerana Ops Sikap ke-24 gagal mencapai matlamatnya untuk mengurangkan kadar kemalangan maut, Hishammuddin berkata ia mungkin disebabkan oleh pendekatan yang tidak berjaya.

"Kita boleh ubah pendekatan (untuk mengurangkan kadar kemalangan maut menerusi Ops Sikap) tahun depan. I personally feel it should be firmer. Walau apa pun ia bergantung kepada pihak polis memikirkan kaedah terbaik," katanya.

NONEHishammuddin berkata kemalangan jalan raya banyak berlaku disebabkan sikap pemandu itu sendiri ketika berada di atas jalan raya.

"Kalau tak ubah sikap dan pemikiran di atas jalan raya, apa cara pendekatan sekalipun tak akan selesai masalah," katanya.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/175437

Majlis profesor tersasar jauh dari kebenaran

Md Azmi Abd Hamid & Abd Ghani Samsudin
Sep 10, 11
4:56pm

ULASAN Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) terkejut dengan pendirian apa yang dipanggil Majlis Professor Negara yang mengatakan perjuangan golongan kiri bukan perjuangan kemerdekaan.

Mengulas rumusan oleh majlis yang dikatakan dianggotai oleh para ahli professor yang diwakili oleh Datuk Prof Zainal Kling, TERAS dan SHURA berpendirian sejarawan tersebut bermain kata-kata yang berbelit-belit untuk menafi suatu fakta yang sudah sangat ma'ruf dikalangan rakyat.

Mana mungkin tafsiran ini dapat diterima sedangkan British lah yang telah mengharamkan pelbagai pergerakan Melayu seperti PKMM, API, AWAS, Hizbul Muslimin dengan tuduhan bahawa semua gerakan ini adalah gerakan komunis. Kata-kata terkenal Datun On Jaafar “ada bahaya dari gunung” merujuk kepada gerakan Islam Hizbul Muslimin di Gunung Semanggul yang ditunding sebagai gerakan komunis.

Dari mana Datuk On mengguna label ini jika tidak dari ta'rif British yang menjajah tanah air ini.?

Bermakna kesimpulan yang dibuat untuk menuduh gerakan Melayu yang mengambil pendirian garis keras sebagai gerakan komunis adalah dari British dan golongan bangsawan yang dekat dengan British.

Pertama TERAS dan SHURA mempersoalkan istilah gologan kiri atau kanan itu adalah sebenarnya lebel dari siapa? Kenapa majlis ini terlalu taksub dengan label yang diberi oleh British.

Bermakna mereka telah bermula dengan premis yang batil lagi menyesatkan kerana kerangka dan paradigma serta tasawur British itulah yang menjadi ukuran tafsiran mereka terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan. Kiri dianggap komunis dan semua gerakan menjadi komunis bila menentang British dan yang tidak sealiran dengan pendekatan yang diguna Umno.

Tidakkah apa yang mereka rumuskan itu termasuk golongan ulama yang telah memilih untuk berjuang dengan cara bersenjata menentang British. Padahal mereka berjuang atas nama tuntutan Islam . Adakah perjuangan mereka dianggap bukan perjuangan yang sah.

Beranikah mereka mengelompokkan ulama yang bertempur dengan British seperti Tok Janggut, Abdur Rahman Limbong, Tok Guru Hussin Dol sebagai komunis hanya kerana British melabelkan mereka sebagai pengganas komunis?

TERAS dan SHURA kesal dengan keanggkuhan golongan bijak pandai yang dikatakan bergelar Profesor.

Dari asas apakah majlis ini membuat rumusan demikian?

Adalah sangat mengelirukan jika ia keluar sebagai pendirian rasmi, seolah ahli pemikir sejarah cuba membuat pentafsiran yang batil mengikut faham British yang mahu generasi selanjutnya menerima bahawa British memberi kemerdekaan bukan kerana tekanan golongan ulama dan pejuang nasionalis tetapi kerana berunding dengan Umno.

Untuk mengatakan tanah air ini tidak dijajah adalah kedangkalan yang sangat mengejutkan datang dari Majlis Profesor terutama bila mereka dikatakan adalah golongan inteligensia negara .

Tidak ada siapapun yang memiliki akal waras mengatakan tanah air ini tidak dijajah sedangkan Raja-raja Melayu hanya menjadi penguasa yang terbatas kepada soal adat dan agama dan dalam urusan yang lain British menjadi tuan.

Malah dalam hal melantik qadhi sekalipun British akan campurtangan kerana pihak British jualah yang akan menentukan dasar siapa yang akan dilantik.

TERAS & SHURA tidak dapat menerima rumusan yang mengelirukan ini hanya kerana wujud kecenderungan ahli sejarawan mengabsahkan perjuangan Umno sahaja yang benar-benar memperjuangkan kemerdekaan.

TERAS & SHIDA mempersoalkan asas Majlis tersebut yang mendakwa bahawa golongan yang menentang British secara bersenjata berniat menghapuskan kuasa-kuasa Melayu di Tanah Melayu dan mahu menubuhkan kerajaan republik.

Di mana buktinya dan dari sumber mana mereka menyandarkan hujah ini?

Menuduh perjuangan ulama dan nasionalis sebagai perjuangan komunis dan memfitnah pula mereka sebagai bersekongkol, bekerjasama dan bersubahat dengan pejuang komunis untuk menjadikan negeri ini sebagai republik komunis adalah kebiadapan intelektual yang sangat parah. .

TERAS & SHURA menganggap dakwaan Prof Zainal Kling bahawa perjuangan nasionalis yang tidak mengikut jalur Umno sebagai tidak sah dan tidak legitimate menunjukkan betapa beliau terperangkap dengan sindrom jiwa terjajah iaitu jiwa yang mengukur keabsahan sesuatu perjuangan itu hanya sah jika diterima oleh British.

Nota: Mohd Azmi Abdul Hamid adalah presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) manakala Abdul Ghani Samsudin adalah pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA).



http://malaysiakini.com/news/175401

Saturday, September 10, 2011

Dr Farish Noor: Rekonstruksi Semula Sejarah?


Harakahdaily
1
Oleh Dr Farish A Noor [Di terjemahkan daripada artikel asal “Historical Reconstruction Again” oleh Ahmad Nabil Amir]
Dan begitulah, dengan alasan yang kompleks dan menjengkelkan, sejarah silam ditarik sekali lagi kepada kenyataan sekarang; sementara kita rakyat Malaysia terus membenamkan kepala ke dalam tanah dan melupakan masa depan. Kini kebanyakan kita tentu sudah mangli dengan kontroversi kecil yang mendapat liputan besar dan disiarkan sebagai tajuk utama: iaitu persoalan sama ada pergelutan yang terjadi dalam serangan ke atas balai polis Bukit Kepong harus dikenang sebagai detik historis dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan.
Malangnya kepada semua parti yang terlibat kelihatan isu ini telah dirampas oleh politik dan ahli politik lagi, seperti yang lazim berlaku di Malaysia hampir setiap hari. Lebih membimbangkan ialah bagaimana keragaman aspek dalam peristiwa ini diangkat secara selektif oleh parti dan aktor yang berlainan untuk melanjutkan hujah mereka, dan mengenepikan kepentingan untuk melihat dalam konteks yang lebih luas terhadap landas yang memunculkan peristiwa ini. Adalah mustahil untuk bersikap objektif dalam hal yang berkait dengan penulisan dan pembacaan sejarah, dan kemungkinan kita dapat menyingkirkan kepura-puraan tersebut. Tetapi buat ketika ini mungkin sebahagian nota pinggir mengenai hal tersebut akan bermakna untuk membuka ruang pencerahan dan perjernihan sedikit sebanyak.
Adakah PAS pro-Komunis? Soalan yang cukup janggal.. Mana mungkin parti Islam sokong Komunis!Adakah PAS pro-Komunis? Soalan yang cukup janggal.. Mana mungkin parti Islam sokong Komunis!A. Adakah PAS pro-Komunis?
Salah satu hasil dari perdebatan ini adalah kebangkitan semula pertanyaan lapuk sama ada PAS (Parti Islam se-Malaysia) adalah pro-komunis dalam sejarahnya ketika itu. Hal ini kelihatan sebagai satu pertanyaan yang janggal untuk dikemukakan sama sekali, kerana nyata tidak serasi bagi parti Islam untuk menaruh rasa simpati terhadap fahaman komunisme, yang sering dipandang sebagai pencetus masalah terhadap cita-cita Islam. Tetapi harus diingat bahawa ketika parti Islam Malaya didirikan pada November 1951, banyak pengasas yang membinanya adalah nasionalis yang anti-penjajah yang ingin melihat tamatnya pemerintahan British di Tanah Melayu. Sebahagian daripada mereka adalah bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan juga parti Islam yang pertama di negara ini, Hizbul Muslimin (yang berhasil didirikan, dan sejurus kemudian diharamkan, pada 1948).
Sejarah kekirian PAS mencapai kemuncaknya di bawah teraju Presiden Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), yang tidak menyembunyikan penentangannya terhadap undang-undang British dan antara yang enggan menetapkan perundingan untuk mencari penyelesaian dengan British. Dr. Burhanuddin melahirkan rasa simpati terhadap Parti Komunis Malaya (MCP), yang berkongsi perasaan anti-British dengannya; tetapi ini tidak bermakna beliau mendukung Komunisme sebagai suatu ideologi. Pendirian PAS terhadap MCP ketika itu (dalam dekad 1950an dan 1960an) justeru adalah cukup pragmatik yang berlatarkan satu matlamat bagi menolak pemerintahan kolonial British. Bagaimanapun, harus disedari bahawa PAS juga turut gusar dengan pengaruh Beijing di rantau ini, dan tiada alasan untuk mencadangkan bahawa pemimpin PAS sedia menerima Tanah Melayu diperintah di bawah telunjuk Komunis, baik secara langsung atau tidak, dari Beijing.
B. Adakah parti MCP alat kepada Komunis China?
Kenyataan bahawa MCP dan sayap gerilanya menentang apa jua dan sebarang bentuk penjajahan pemerintah British adalah mudah untuk dibuktikan, dan rekod perjuangan mereka dalam membakar semangat anti-kolonial tersedia bagi sesiapa untuk menyiasat. Persoalan yang lebih sulit untuk dijawab bagaimanapun adalah ini: sejauh mana bebasnya MCP, dan adakah ia – sebagaimana didakwa British – bekerja untuk melanjutkan pengaruh komunis China di rantau ini waktu itu? British kadangkala kaku dalam menangani hal MCP, dan harus diingat bahawa lakaran imej MCP sebagai ‘ancaman bangsa Cina’ adalah hasil bikinan agensi propaganda penjajah British ketika itu.
Di sini, bagaimanapun, perspektif yang lebih luas tentang perkara ini mungkin berguna. Fikirkan tentang Malaya pada tahun 1950an dan layari rantau ini secara menyeluruh, tatkala Perang Dingin sedang hangat. Di Vietnam, Burma dan Indonesia parti Komunis sedang menggembling kekuatan dengan jumlahnya; dan boleh jadi kebimbangan terbesar terhadap Britain ketika itu (seperti yang digusarkan oleh penjajah Perancis dan Belanda yang pergi) adalah kemungkinan seluruh Asia Tenggara menjadi wilayah Komunis. Harus diingat bahawa ini adalah masanya ketika rantau ini digelar ‘Benteng Kedua dalam perang terhadap Komunisme’; dan tatkala blok Barat ingin memastikan bahawa Indonesia – sebagai negara terbesar di rantau ini – tidak akan jatuh ke tangan Parti Komunis Indonesia (PKI).
D. N. AiditD. N. AiditDi Indonesia, PKI bangkit dengan tangkas dan menggarap kuasa di bawah kepimpinan manusia seperti D.N. Aidit, dan cukup instrumental dalam membangunkan kekuatan militer rakyat yang kemudiannya mencetuskan gerakan pembantaian ke atas Malaya dalam kempen ‘Ganyang Malaya’ (Hancur Malaya). Hanya setelah kegagalan menggerakkan rampasan kuasa pada 1965 dan penghapusan yang nyata parti PKI antara 1966 hingga 1970 ancaman Komunis di Indonesia reda, dan ikatan antara Malaya dan Indonesia kembali normal.
Berlatarkan hal inilah muncul ketakutan terhadap MCP – dan kebimbangan bahawa ia didukung oleh China – yang disuarakan dan dicanai di Malaya. Sementara adalah benar bahawa MCP anti-British, tiada bukti untuk mencadangkan bahawa ia mendakwa akan dukungan majoriti di kalangan masyarakat utama Melayu-Muslim di negara ini, walaupun terdapat askar melayu dalam Regimen ke-10.
C. Harus Berunding atau Bertempur?
Kemungkinan isu yang paling sengit daripada semua ini adalah sama ada perjuangan menuntut kemerdekaan sebenarnya diperjuang dan dimenangi oleh Sosok Kiri, Islamis atau Nasionalis di Malaysia. Di sinilah medan jangkaan dan seseorang cuma dapat meneka dan membuat spekulasi. Kenyataannya adalah langkah keselamatan yang diperkenalkan sewaktu pengisytiharan tempoh Darurat yang Pertama (1948-1960) bererti hampir kesemua parti dari golongan-kiri, gerakan kesatuan peniaga, kumpulan pekerja, dan lain-lain dihapuskan atau disingkirkan. Mereka yang tinggal untuk meraih keuntungan daripada hal ini adalah pejuang kebangsaan yang konservatif yang memilih untuk menerima perundingan tentang syarat kemerdekaan Tanah Melayu, dan mereka yang merundingkan beberapa isu termasuk hak kerakyatan kepada yang bukan Melayu dan lain-lain.
Tetapi tidak kira bagaimana seseorang melihatnya, kenyataan dalam sejarah adalah gerakan sosok-kiri di negara ini ditubuhkan lama sebelum parti dan gerakan kebangsaan-konservatif muncul. (parti Anarki Melayu diasaskan pada 1919, sebagai contohnya; dan parti MCP pada 1930. Sebaliknya MCA hanya ditemui pada Februari 1949.)
Tentu kita boleh mengandaikan spekulasi sepanjang mana jua berkait dengan persoalan yang banyak tentang ‘bagaimana sekiranya’ situasi lampau itu berbeza. Bagaimana sekiranya MCP tidak diharamkan? Bagaimana sekiranya MCP berhasil dalam kempen gerilanya? Bagaimana sekiranya separuh rakyat Melayu mendukung sayap kiri, dan seterusnya.
Britain tidak ‘melepaskan’ Malaya dengan kerelaannya, tetapi terpaksa melakukannya kerana kemusnahan ekonomi kolonialnya di saat Perang Dunia Kedua.Britain tidak ‘melepaskan’ Malaya dengan kerelaannya, tetapi terpaksa melakukannya kerana kemusnahan ekonomi kolonialnya di saat Perang Dunia Kedua.Tetapi dalam peristiwa sebenar, sebagaimana ia berlaku, sosok kiri yang radikal semuanya menghilang pada saat akhir perundingan dan hanya gabungan UMNO-MCA yang berhasil mengaturkan syarat akhir pengunduran British dari Malaya. Jangan jadi terlalu optimis tentang ini: Britain tidak ‘melepaskan’ Malaya dengan kerelaannya, tetapi terpaksa melakukannya kerana kemusnahan ekonomi kolonialnya di saat Perang Dunia Kedua. Matlamat utamanya ketika itu adalah untuk memastikan pelaburan pentingnya di bekas tanah jajahannya tidak dimilik-negarakan, seperti dalam kes di Indonesia ketika Sukarno merampas semua aset kapital pemerintah Belanda dan memilik-negarakannya. Tidak mengejutkan, Britain mahu memastikan pelaburannya dalam bijih dan getah tidak lenyap ketika ia berundur.
Bagaimanapun kita ditinggalkan dengan beberapa hal untuk difikirkan:
Malaya (ketika itu dibawah Tunku Abdul Rahman) merundingkan kemerdekaannya dengan syarat yang membawa faedah bagi kedua pihak. British tidak ditembak hingga terburai atau dibedil hingga relai, dan sungguhpun kehilangan nyawa dalam perang gerila namun harga kemusnahan manusia adalah kurang berbanding apa yang dipertaruhkan di Vietnam dan Indonesia. Sebaliknya, dalam tiga negara di mana perjuangan anti-kolonial diketuai oleh pasukan tentera tempatan – Indonesia, Vietnam dan Burma – tentera tempatan itu kemudian mengambil alih kuasa dan beraksi secara langsung dalam politik dalam dekad seterusnya. Seandainya perang yang sama dicetuskan di Malaya, mungkinkah lahir situasi di mana tentera nasionalis meraih kuasa juga, dengan jeneral dan kolonel mengambil alih kerajaan sepertimana mereka lakukan di Vietnam, Indonesia dan Burma?
Yang mana satu dari hal itu yang telah menyeret perdebatan kita tentang ‘perundingan berbanding dengan perjuangan’. Cuba lakukan penerbangan ke Vietnam atau Indonesia dan di mana saja anda akan menyaksikan tugu pejuang-kebebasan, jeneral, kolonel, pemimpin gerila dan lain-lain. Generasi kepimpinan Malaya yang pertama, sebaliknya, hampir tidak pernah melepaskan satu tembakan atau menikam seseorang dengan pisau belati. Tetapi adakah itu perkara yang buruk? Sementara saya memahami nilai patriotisme dan keberanian dalam menghadapi musuh; seseorang harus juga bertanya: jika dan apabila kita dihadapkan dengan musuh yang mahu berundur yang ingin merundingkan syarat pengunduran, patutkah kita berunding atau berlawan? Saya secara peribadi merasa muak dengan kesemua percakapan kejantanan yang menzahirkan sifat macho dan aksi heroik, dan dengan terus terang benci pada semua lagak keganasan. Melihat pada India, kita harus ingat bahawa sementara terdapat nasionalis India yang bersedia untuk bertempur dengan kekuatan militer British (seperti Subhas Chandra Bose), kemerdekaan India juga dirundingkan – melalui kaedah pembangkangan sivil yang pasif dan penentangan yang berterusan, daripada menggunakan senapang dan bom. Hal yang sama boleh diungkapkan tentang Afrika Selatan, dimana dasar Apartheid ditundukkan oleh tuntutan akhlak yang tinggi daripada tenggelam ke tahap yang sama dengan keganasan regim.

Negara-negara di mana gerombolan nasionalis militia/askar tempatan menentang cengkaman penjajah hasilnya adalah campurtangan militer, dan penerusan pengaruh militer dalam politik..Negara-negara di mana gerombolan nasionalis militia/askar tempatan menentang cengkaman penjajah hasilnya adalah campurtangan militer, dan penerusan pengaruh militer dalam politik..PATUTKAH nasionalis Melayu memilih untuk berunding atau berjuang ketika itu? Sekarang dengan jujur saya tidak melihat bagaimana persoalan ini dapat dijawab secara objektif oleh sesiapa (walau saya sendiri). Apa yang boleh kita katakan, dengan sedikit kepastian, adalah dalam kes negara-negara di mana gerombolan nasionalis militia/askar tempatan menentang cengkaman penjajah hasilnya adalah campurtangan militer, dan penerusan pengaruh militer dalam politik. (Pasukan tentera Indonesia di bawah pentadbiran Sukarno dan Suharto menuntut hak untuk menubuhkan kuasa politik, berdasar pada sejarah institusinya dan peranannya dalam perang menumpaskan penjajah.) Apakah yang berlaku sesudah itu? Berkemungkinankah Tanah Melayu/Malaysia dengan itu menjadi negara militer? Kita sama sekali tidak tahu, dan spekulasi yang melangkaui hal ini, adalah, sia-sia.

Asas dari kebuntuan yang berakar dalam politik Malaysia kini nampaknya berlegar pada persoalan siapa yang menulis sejarah negara kita dan siapa yang mentafsir/memaknakannya. Kemungkinan salah satu alasan mengapa kita terus saja mengulangi perdebatan ini adalah kebimbangan bahawa sejarah kita tidak cukup inklusif sebagaimana sepatutnya. Kita tidak boleh menafikan bahawa akhirnya pakatan UMNO/MCA yang memenangi syarat kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Tetapi kita juga tidak dapat, dan tidak wajar, menafikan peranan yang dimainkan oleh kumpulan lain termasuk gerakan kesatuan peniaga, gerakan sekerja, media yang masih mentah ketika itu, golongan inteligensia anak watan, budayawan, aktivis Islam dan pejuang kiri kesemuanya. Kesemua mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan drama yang kita nyatakan sebagai sejarah negara kita. Dan sejarah negara kita harus menjadi jelas begitu: suatu rakaman Sejarah Negara yang memperlihatkan kerumitan dan kepelbagaian daripada hal yang kompleks ini yang dipanggil ‘Malaysia’.

Kekesalan saya, sebagai ahli akademik yang tidak mempunyai pilihan, adalah nilai objektiviti dan keseimbangan telah lama meninggalkan pentas dan terlontar keluar dari jendela. Namun kita tidak harus lupa bahawa kisah sejarah yang dipintal menurut acuan yang pincang dan berat sebelah tidak sekadar menggambarkan catatan silam yang tidak benar atau tidak sempurna; malah turut menjadi legasi yang terputus yang sedihnya akan diwariskan pada generasi akan datang. Dan hal itu bukan satu kehilangan kepada salah seorang daripada kita, tetapi kepada semua.


Dr. Farish A. Noor adalah Felo Penyelidik Kanan di S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University NTU, Singapura dan penulis buku Islam Embedded (Vol: I & II) —The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003). Penerbit: Malaysian Sociological Research Institute, Kuala Lumpur
Tahun: 2004 ISBN: 983-99866-8-6.



http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/5296-dr-farish-noor-rekonstruksi-semula-sejarah

Friday, September 9, 2011

'Sudah 12 hari saya diserang'

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memulakan hujah dalam forum malam tadi dengan melahirkan rasa pelik kenapa beliau diserang begitu rupa oleh Umno dan akhbarnya Utusan Malaysia dan media pro-Umno yang lain.

Menurutnya, malam tadi genap 12 hari 12 malam beliau diserang.

"Bermula 21 Ogos hari tu sehinggalah hari ini. Setengah jam warta berita, 10 minit serang saya.

"Saya pun kadang-kadang duduk depan cermin perhati diri saya, dimana mereka takut sangat kat aku ni. Kaya pun tidak, berpengaruh pun tidak," katanya disambut ketawa hampir 200 hadirin yang hadir.

Turut serta sebagai panel forum anjuran NGO - Free Public Forum M'sia (FPF) itu ialah Pakar Perlembagaan Prof Dr Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan penulis blog, Hishammudin Rais.

Forum bertajuk 'Mat Indera - Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan' itu berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KSCAH).

"Ada yang cadang saya dibuang ke luar negara, ada yang cadang saya di ISA, ada yang cadang saya dibuang sahaja ke Laut China Selatan. Ugutan mcm-macam.

"Ini tidak lain kerana apa yang saya cakap dicampur dengan rekaan Utusan, apa yang saya tak cakap dilaoporkan sebagai cakap. Ini satu fitnah," katanya menjelaskan penyebab dirinya diserang.

Berhujah lanjut, Mohamad tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Mohamad Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukan pengkhianat bangsa seperti dituduh Umno.

Perkara itu juga menurutnya dinukilkan sendiri dalam buku "Pengkukir Nama Johor" pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera sebagai pejuang bangsa.

Sambil merujuk tragedi Bukit Kepong 1950 lalu, Timbalan Presiden PAS itu berkata anggota polis di Rumah Pasung yang diserang Mohamad Indera adalah polis British.

"(Kepada) polis jangan lah panik, pembahaginya adalah 31 Ogos 1957, serangan (Rumah Pasung) Bukit Kepong itu sebelum merdeka, anggota polis sebelum 1957 adalah polis British," katanya sebagai jawapan kepada anggota dan pesara polis yang dilaporkan Utusan sebagai tidak senang dengan kenyataannya.

Pecah tembelang


Dalam pada itu Hishammudin Rais pula berkata, Mohamad diserang kerana penipuan fakta kemerdekaan oleh Umno selama ini ibarat sudah pecah tembelang.

Kontroversi kenyataan Mohamad berhubung isu Mat Indera katanya telah menyebabkan masyarakat mula sedar sejarah sebenar kemerdekaan.

"Untuk Umno, (Bukit Kepong) inilah kiblat perjuangan mereka. Setiap tahun tunjuk Bukit Kepong.

"Sekarang Umno dan Utusan takut sebab tembelang pembohongan sudah pecah, kiblat mereka sudah runtuh," katanya sambil memuji keberanian Mohamad.

Umno juga jelasnya cuba memperbodohkan rakyat dengan tulisan sejarah versi mereka.

Sehubungan itu, isu Mat Indera ini perlu dijadikan momentum untuk rakyat melihat kembali sejarah negara.

Aziz Bari pula turut sependapat bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan bukan pengkhianat bangsa seperti didakwa Umno.

Katanya ianya turut dibuktikan dengan beberapa fakta sejarah dan testimoni ahli keluarganya.

"Sehingga kini belum ada kenyataan konkrit bagi menafikan hujah ini," katanya.

Dalam forum tersebut, kesemua mereka juga turut bersetuju agar sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini perlu juga mengiktiraf jasa golongan agamawan nasionalis dan golongan kiri yang mengangkat senjata menentang penjajah, dan bukannya dari tokoh Umno semata-mata.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5281-sudah-12-hari-saya-diserang

MB JOHOR DAKWA MAT INDERA KEJAM

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 8TH, 2011

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (gambar)berkata, Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya adalah anggota Regimen Ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) yang kejam dan zalim.Beliau berkata, berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) melalui keanggotaannya dalam Rejimen ke-10, serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.

“Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.

“Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

“Bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Johor di sini, Rabu.

Abdul Ghani berkata demikian bagi mengulas tindakan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, yang dengan yakin mempertahankan kenyataannya (Mat Sabu) bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan sebenar.

Menurut Mohamad atau Mat Sabu, ia berdasarkan buku “Pengkukir Nama Johor” pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera.

Abdul Ghani berkata, tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.

Beliau berkata, kemuncak penglibatan Mat Indera yang kejam adalah peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Feb 1950 dan fakta yang diperoleh daripada pelbagai sumber sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.

Mengenai buku “Pengukir Nama Johor”, Abdul Ghani berkata, dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ), segala kajian, penulisan dan catatan berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, merupakan data-data kemasyarakatan berkaitan anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri.

Katanya, penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan

http://www.kl-today.com/2011/09/mb-johor-dakwa-mat-indera-kejam/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...