Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata  setakat ini pembangkang tidak membawa bukti atau petisyen mengenai pengundi  hantu.
"Mereka hanya bercakap sahaja," tulis beliau dalam 
Mingguan  Malaysia hari ini.

"Sepatutnya mereka membawa mereka yang dikatakan pengundi  hantu untuk diambil tindakan.
"Mereka hanya membawa senarai tetapi bila  diperiksa, nama-nama tersebut adalah pengundi yang sah," tulisnya di halaman 6  akhbar mingguan tersebut.
Menurut Abdul Aziz, apa yang dikatakan pengundi  hantu adalah pengundi yang tidak tinggal di tempat mereka  mengundi.
"Apabila hari mengundi, mereka balik mengundi. Mereka ini tidak  memaklumkan kepada JPN atau SPR. Tetapi mereka ini adalah pengundi yang  sah.
"Pengundi hantu sebenarnya adalah mereka yang menggunakan pengenalan  diri orang lain," tambahnya.
Dalam tulisannya itu, Abdul Aziz berkata,  pada mulanya penganjur BERSIH datang berjumpa dengan SPR akhir tahun lalu dan  menurutnya, itulah pertama kali mereka memohon untuk berjumpa dengan suruhanjaya  tersebut.
Katanya, mereka membawa 17 tuntutan dalam perjumpaan tersebut  yang berlangsung dalam suasana baik "dan saya sebagai pengerusi SPR menerangkan  satu demi satu, dan ada yang mereka tidak puas hati".
"Selepas itu tidak  ada perjumpaan lagi., Pada April lalu mereka mahu berjumpa dengan SPR tetapi  ketika itu di pihak SPR sibuk kerana pilihan raya Sarawak," katanya sambil  menambah SPR mencadangkan perjumpaan diadakan selepas pilihan raya negeri  tersebut.
"Bila tidak dapat mengadakan perjumpaan dengan SPR, saya  mendapat berita mereka akan mengadakan demonstrasi jalanan. Mereka mengambil  tindakan lain, iaitu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan  Agong.
"Saya difahamkan daripada 17 tuntutan itu, hanya tinggal lapan  tuntutan sahaja. Kerana itu saya fikir tujuan mereka untuk menambahbaikkan  sistem pilihan raya yang ada hanya dalih saja," katanya.
Dalam lapan  tuntutan tersebut, kata Abdul Aziz, hanya empat sahaja yang ada hubungan dengan  SPR - pertama membersihkan daftar pemilih; kedua, mengenai undi pos; ketiga,  penggunaan dakwat kekal; dan keempat, tempoh berkempen 21 hari  .
"Sebenarnya setiap hari SPR membersihkan daftar pemilih. Tetapi SPR  tidak boleh membersihkan sendiri sebaliknya memohon kepada pengundi  sendiri.
"Kalau ada yang tidak betul, tolonglah mengisi borang A. Ini  kerana sebarang pindaan mesti dibuat secara teratur dan ditandatangani sendiri  oleh pengundi itu," katanya.
Abdul Aziz berkata, bila ada tandatangan  tersebut, barulah SPR membuat tindakan dan perlu menyemak nama-nama pemilih  dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mengenai undi pos pula, beliau  berkata, SPR tidak boleh menghapuskan sama sekali undi pos kerana banyak anggota  tentera, polis serta rakyat Malaysia yang berada di luar negara dan mereka ada  hak untuk mengundi.
Katanya, SPR membuat penambahbaikan untuk dijalankan  pada pilihanraya umum ke-13, iaitu.- Undi undi awal - mengundi awal dua  atau tiga hari daripada hari mengundi;
- Tidak lagi menggunakan sampul  surat A atau B;
- Tidak menggunakan borang identiti tetapi mengundi  seperti pengundi lain pada hari mengundi; dan
- Pengundian akan  disaksikan oleh wakil parti yang bertanding.
"Sekarang ini, undi pos  hanya lebih kurang 200,000 daripada 12 juta pengundi," kata Abdul Aziz sambil  menambah, di kawasan yang diadakan undi pos, kebanyakannya dimenangi  pembangkang.
Menurutnya, teradapat 19 kerusi parlimen kerusi yang  mempunyai bilangan undi pos yang ketara - Perak (7), Selangor (1), Pulau Pinang  (1), Kedah (1), Negeri Sembilan (2), Kuala Lumpur (6) dan Sarawak  (1).
Daripada jumlah tersebut, kata beliau, 14 daripadanya dimenangi oleh  pembangkang.
"Di Kuala Lumpur, ada sebelas kawasan parlimen, sepuluh  dimenangi oleh pembangkang dan hanya satu oleh BN. Adakah ini menunjukkan  pilihan raya kita tidak demokratik.
"Begitu juga banyak kerusi  pembangkang yang tidak pernah kalah seperti di 14 kerusi parlimen," katanya  sambil menambah, begitu juga dengan 16 pilihan raya kecil di mana lapan  daripadanya di menangi pembangkang dan dalam pilihan raya Sarawak DAP dapat 12  kerusi, berbanding enam sebelumnya.
Mengenai pengunaan dakwat kekal,  Abdul Aziz berkata ia memerlukan pindaan Perlembagaan Malaysia.
"Sebab  dalam perlembagaan Malaysia, individu yang tertentu saja yang tidak boleh  mengundi tetapi tidak tercatat mereka yang ada dakwat di jari. Tidak ada dalam  perlembagaan kita, orang yang ada dakwat di jari tidak boleh mengundi,"  jelasnya.
Sebagai pilihan, katanya, SPR mencadangkan penggunaan sistem biometrik yang  lebih ke depan dan berteknologi tinggi.
Mengenai tempoh berkempen 21  hari, Abdul Aziz berkata, sebenarnya SPR tidak menolaknya tetapi boleh  dibincangkan, bagaimanapun, bukanlah 21 hari seperti yang dituntut.