Showing posts with label Lost and Found. Show all posts
Showing posts with label Lost and Found. Show all posts

Monday, March 7, 2011

'Bermadu' anak sendiri

'Bermadu' anak sendiri

Oleh Hadzlihady Hassan dan Noozleyantie ‘Alia Adnan
am@hmetro.com.my

KECEWA... Azie ketika menceritakan pengalaman hitamnya kepada wartawan Harian Metro.
KECEWA... Azie ketika menceritakan pengalaman hitamnya kepada wartawan Harian Metro.

KUALA LUMPUR: Hati wanita mana tidak terguris apabila melihat suami sedang berasmara dengan anak kandungnya di dapur rumah ketika dia baru pulang dari hospital selepas menjalani rawatan pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

Biarpun kejadian itu dua tahun berlalu, situasi ibarat ‘bermadu dengan anak sendiri’ menyebabkan dia yang mahu dikenali sebagai Azie amat kecewa kerana hatinya disakiti dua insan paling disayangi.

Azie, 30-an berkata, hidupnya tidak menentu selepas melihat perbuatan bekas suaminya yang mengambil kesempatan terhadap anak tiri.

Menurutnya, anak gadisnya yang ketika itu berusia 15 tahun anak sulung hasil perkongsian hidup dengan suami pertama yang dikahwini pada 1994 sebelum bercerai lima tahun kemudian.

“Hasil perkahwinan itu, saya dikurniakan dua anak. Seorang lagi anak lelaki yang kini berusia 13 tahun. Selepas bercerai, kedua-dua anak itu dijaga nenek mereka di pantai timur,” katanya.

Menurutnya, selepas tiga tahun menjanda, hatinya ditambat seorang lelaki berusia 40-an dan mereka melangsungkan perkahwinan pada 2002.

“Perkahwinan kali kedua ini pada awalnya bahagia dan kami mendapat dua anak masing-masing seorang lelaki yang kini berusia lapan tahun dan perempuan berusia lima tahun.

“Namun, kebahagiaan itu mula tergugat sedikit demi sedikit selepas saya mengambil dua anak dengan suami dulu tinggal dengan kami di ibu kota,” katanya.

Menurutnya, ketika anak gadisnya berusia 13 tahun, dia sudah mula mencurigai sikap suami yang seolah-olah cuba mengambil kesempatan terhadap anaknya itu.

“Saya pernah terserempak suami yang berada dalam bilik anak dan dia cuba meraba anak saya yang ketika itu tidur.

“Bagaimanapun, ketika ditanya dia membuat alasan mahu menghalau nyamuk dan saya mendiamkan diri kerana enggan bergaduh selain tidak mahu anak lain tahu,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu makin menjadi-jadi apabila anak gadisnya berusia 15 tahun dan pernah anaknya itu demam teruk dan meminta dibawa ke klinik.

“Ketika dalam perjalanan ke klinik, baru anak saya menceritakan kejadian sebenar yang dia sudah beberapa kali menjadi pemuas nafsu suami, namun tidak berani menceritakannya kepada sesiapa kerana diugut bapa tirinya itu.

“Saya membawa anak saya ke balai polis untuk membuat laporan rogol kerana anak masih di bawah umur,” katanya.

Azie berkata, suami keduanya itu juga seorang yang panas baran dan suka memukulnya dan anak-anak, namun hanya anak sulung yang dijadikan hamba seks itu tidak dipukul.

“Lebih mengecewakan apabila suami memukul dan memijak perut saya walaupun ketika itu saya baru tiga hari selesai menjalani pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

“Mungkin dia bertindak begitu kerana marah selepas saya ternampak dia berasmara dengan anak ketika mereka di dapur,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, anak lelaki keduanya turut menceritakan yang dia pernah terserempak kakaknya beberapa kali masuk ke bilik bapa tiri sebelum keluar dua hingga tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun, anak saya itu tidak berani menceritakannya sebelum ini kerana takut dipukul suami yang panas baran, malah dia pernah diseksa dengan diterbalikkan kepala ke bawah kerana mengetahui hubungan bapa tiri dengan kakaknya itu.

“Selepas mendengar semua cerita dan mengetahui apa yang berlaku ditambah dengan apa yang saya lihat, saya meminta cerai dan kami berpisah Ogos tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Azie kini buntu apabila anak gadisnya itu yang kini berusia 17 tahun menghilangkan diri sejak enam bulan lalu dan dia syak kemungkinan bekas suaminya mengambil anaknya itu.

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anak dan syak bekas suami melarikannya kerana saya tahu dia bijak memujuk.

“Tidak mustahil anak gadis saya mengikutnya kerana dia masih mentah dan mudah termakan pujuk rayu bapa tirinya,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/Bermaduanaksendiri/Article

Saturday, February 26, 2011

Ibu tunggal tertekan

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal kehilangan kerja berikutan tertekan apabila anak perempuan sulungnya hilang dipercayai melarikan diri dari rumah sejak enam bulan lalu.

Ibu malang yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 37, berkata, anaknya, Nur Amiera Liana, 17, meninggalkan rumah neneknya di Pekan, Pahang, selepas keluar dengan alasan mahu ke pasar malam.


“Saya hantar ke rumah neneknya untuk sementara sebelum proses pertukaran sekolahnya dari Gombak ke Pahang selesai. Dia hanya duduk di situ dua bulan sebelum menghilangkan diri.

“Sebelum Liana menghilang, tidak ada sebarang pertengkaran berlaku. Tapi, kira-kira jam 7 petang pada 28 Ogos tahun lalu, Liana meminta kebenaran daripada neneknya untuk ke pasar malam, tetapi tidak pulang semual ke rumah,” katanya.


Panik dengan kejadian terbabit, beliau sekeluarga mencarinya di kawasan sekitar, namun gagal ditemui.


“Liana tidak ada rakan di kampung, jadi saya agak risau sekiranya berlaku kejadian yang tidak baik memandangkan banyak berita-berita yang tidak elok tersiar di akhbar.

“Saya menghubungi rakan karibnya, tapi saya hanya diberitahu, anak saya kini berada di Kuala Lumpur. Mereka yang selalu berhubung melalui laman sosial Facebook, kini hilang petunjuk selepas anak saya menamatkan akaun laman sosialnya, seperti mengetahui saya sedang mencarinya melalui laman web terbabit,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, Bangsar.


Sementara itu, Ina, yang sudah membuat laporan mengenai kehilangan anaknya, memohon anaknya pulang kerana rindu dan bimbang akan keselamatan anak pertama daripada empat adik beradik itu. “Saya pernah bermimpi keadaan Liana tidak terurus. Saya berharap dia berada dalam selamat. Nenek dan ayah kandungnya, turut rindu dengannya.

Liana kali terakhir dilihat, hanya berbaju tidur tanpa membawa pakaian dan wang kecuali kad pengenalannya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibutunggaltertekan/Article/index_html

Thursday, February 24, 2011

Ibu pengsan anak telefon dari Lombok

PETALING JAYA: Selepas enam hari mencari anak daranya yang hilang, seorang ibu pengsan apabila dihubungi anaknya dan memberitahu sudah berkahwin dengan lelaki Indonesia dan berada di Lombok Timur.

Zaiton Jaafar, 43, dari Felcra Tembeling Tengah, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang berkata, kehilangan Norbaizura Mohd Salleh, 19, yang juga anak keempat daripada enam beradik disedari selepas rakan serumah lelaki Indonesia di Felcra itu menghubungi keluarganya dan memberitahu rancangan melarikan gadis terbabit, 5 Februari lalu.


Dia berkata, anggota keluarga dengan dibantu penduduk kampung melakukan pencarian selama enam hari di Jerantut sebelum ke Melaka selepas mendapat maklumat Norbaizura ada dilihat di negeri itu.

“Sehari selepas mengetahui dia hilang, saya membuat laporan di Pondok Polis Kuala Tahan sebelum kes dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.


“Berdasarkan maklumat, kami cuba mencari Norbaizura di sekitar Jerantut sebelum pencarian diteruskan hingga ke Melaka apabila mendapat petunjuk baru.


“Bagaimanapun, minggu lalu saya terkejut, lemah semangat dan pitam menerima panggilan telefon daripadanya memaklumkan berada di Kampung Jobeng, Lombok Timur dan kahwin dengan lelaki dikenali sebagai Suparlan berusia 30-an yang juga penoreh getah tidak jauh daripada tempat kami,” katanya.

Menurutnya, perbualan telefon itu terputus selepas Norbaizura memberitahu sudah berkahwin dan apabila cuba hubungi semula, talian itu tidak berjawab.


“Jika benar mahu memperisterikan anak saya, saya sedia menerimanya sebagai menantu, tetapi biar kena caranya. Kami sekeluarga tidak mempunyai sebarang halangan jika lelaki itu kahwin dengan Norbaizura tetapi harus mengikut hukum Islam, adab serta adat Melayu di negara ini.

“Saya rasa golongan tua di sana (Lombok) juga tidak bersetuju dengan perbuatan tidak beradab ini, lebih-lebih lagi majoriti penduduknya berpegang teguh kepada ajaran Islam. Justeru, perbuatan sebegini harus dihentikan segera,” katanya.


Namun, Zaiton berkata, rakan serumah Suparlan yang bekerja sebagai penoreh getah di Kuala Tembeling pernah memberitahu suspek menyimpan perasaan terhadap anak perempuannya itu.


“Difahamkan, dia selalu mengekori anak saya pulang dari tempat kerjanya di pusat peranginan di Kuala Tahan, tetapi tidak pernah mengganggu Norbaizura.


“Dia dilarikan sehelai sepinggang dan dipercayai dibawa masuk secara haram ke Lombok melalui jalan laut dari Melaka kerana tidak mempunyai pasport antarabangsa.


“Saya berharap Norbaizura dapat dibawa pulang secepat mungkin kerana kami sekeluarga, terutama ayahnya yang uzur amat merinduinya,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/IbupengsananaktelefondariLombok/Article/index_html

Wednesday, February 23, 2011

Keluarga ucap terima kasih, bantu cari pelajar hilang






Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Keluarga calon Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM) Masturah Abu Bakar yang hilang 19 Februari lalu sebelum dijumpai semula 30 jam kemudian, merakam setinggi penghargaan kepada semua pihak yang membantu dalam operasi mencari ahli keluarga mereka itu.

Ibu Masturah, Mariam Abdul Rashid berkata, beliau amat menghargai usaha yang dilakukan rakan-rakan Masturah di UM dan individu-individu lain sehingga Masturah ditemui kembali.

“Saya mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada Persatuan Mahasiswa Islam UM dan siswa-siswi UM serta individu dan organisasi yang terlibat mencari anak saya tempoh hari," kata beliau kepada Harakahdaily.

Menurutnya, usaha yang dibuat bagi menemui Masturah ialah operasi mencari, bacaan yasin dan solat hajat sehingga Masturah ditemui di sebuah masjid di Bangi dalam keadaan selamat.

Mengulas hal yang sama, bapa Masturah, Wan Mustafa Wan Abdul Razak yang ditemui menjelaskan bahawa pihak mereka telah menubuhkan Sekretariat Menjejaki Kehilangan Pelajar UM yang diketuai oleh beliau sendiri.

“Sekretariat ini dianggotai oleh Ketua Unit Keselamatan Perumahan Pantai Permai, Komander Unit Amal Lembah Pantai, Pengerusi Surau Nur Hidayah Perumahan Pantai Permai serta dibantu mahasiswa-mahasiswa UM yang tinggal berhampiran Pantai Permai,” jelas beliau.

Menurut Mustafa lagi, antara peranan sekretariat ini ialah untuk membantu dan menyelaras operasi mencari Masturah bermula dari petang kehilangan sehinggalah ketika Masturah tersebut dijumpai.

Sekretariat juga turut memberikan bantuan dan kerjasama kepada pihak polis yang datang ke lokasi kejadian untuk menjejaki Mastura.

Pihak Sekretariat turut mendapat kerjasama dari beberapa pengamal perubatan Islam untuk mencari lokasi kehilangan Mastura.

Masturah yang bertanding kerusi umum menang dalam pilihan raya kampus yang berlangsung semalam.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31004:keluarga-ucap-terima-kasih-bantu-cari-pelajar-hilang&catid=1:utama&Itemid=50

Monday, February 21, 2011

Calon pro-M ditemui dalam keadaan lemah

Abdul Rahim Sabri
Feb 21, 11
10:31am

Calon Umum Pro-Mahasiswa (pro-M), Masturah Abu Bakar yang dilaporkan hilang petang kelmarin, telah ditemui di sebuah masjid di Bangi kira-kira jam 12.30 malam tadi - beberapa jam selepas kumpulan itu mengadakan sidang media.

Menurut seorang calon umum, Mohd Syahid Mohd Zaini, ketika Masturah ditemui, dia dalam "keadaan lemah dan tidak mampu untuk berbicara panjang".

masturah abu bakar 02Mohd Syahid berkata Masturah (kanan) sendiri yang menghubungi ibunya dengan meminjam telefon bimbit orang yang berada berdekatan masjid berkenaan.

Menurut Mohd Syahid panggilan itu dibuat kira-kira jam 11.19 malam tadi.

Susulan itu, ibu-bapa Masturah dan wakil calon Rohayu Rosli - yang bersama-sama dengan pelajaryang mengadakan solat hajat - bergegas ke masjid berkenaan untuk mengambil dan membawanya pulang.

"Dia kini berada bersama ibubapanya di Sungai Buloh... Dia sekarang (masih) trauma, tidak mampu untuk bercerita panjang mengenai insiden itu," katanya dalam satu sidang media.

Sementera itu, 18 pusat pengundian termasuk enam fakulti di Universiti Malaya (UM) dijadikan tempat mengundi dalam pilihan raya kampus hari ini.

Bagi pelajar yang tinggal di kolej kediaman, jawatankuasa pemilihan menetapkan pengundian dijalankan di kolej kediaman masing-masing.

P'raya muram dan perlahan

Terdapat 12 kolej kediaman di kampus ini.

Manakala pelajar yang tinggal di luar kampus, diarahkan mengundi di enam pusat pengundian yang tetapkan.

Enam fakulti tersebut adalah fakulti sains, fakulti ekonomi dan pentadbiran, fakulti alam bina, akademi pengajian Melayu, fakulti bahasa dan linguistik dan fakulti perubatan.

masturah abu bakarSebelum ini, Malaysiakini difahamkan pelajar yang tinggal di luar kampus mengundi di Dewan Tunku Canselor (DTC).

Ekoran itu, Tinjauan Malaysiakini ketika ini mendapati suasana pengundian kelihatan "muram dan perlahan".

Tinjauan Malaysiakini di fakulti sains, perjalanan pengundian masih lagi lembab pada jam 9.30 pagi ini.

Kelihatan seorang atau dua baru sahaja keluar daripada pusat pengundian tersebut.

Pusat pengundian dibuka jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang.

http://malaysiakini.com/news/156559

Masturah hanya sedar ketika berada di masjid

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Cara kehilangan calon Umum Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM), Masturah Abu Bakar yang ditemui malam tadi masih menjadi misteri apabila beliau tidak dapat mengingati apa yang berlaku sebelum beliau hilang.

Masturah, 22, sebaliknya hanya berada dalam keadaan sedar ketika berada di sebuah masjid di Bangi malam tadi.

Masturah terus meminjam telefon bimbit seorang jemaah masjid dan menghubungi ibunya.

Setelah mendapat penggilan berkenaan, ibu dan bapanya terus bergegas ke masjid berkenaan untuk menjemput Masturah.

Menurut wakil calon, Rohayu Rosli yang turut menziarahi Masturah di rumahnya (gambar) setelah dibawa pulang, Masturah kelihatan lemah dan tidak mampu bercakap banyak.

Beliau juga tidak dapat mengingati bagaimana beliau boleh berada di masjid tersebut dan apa yang berlaku selepas beliau membeli kredit tambahan telefon bimbitnya di sebuah kedai di Pangsapuri Pantai Permai, tempat beliau hilang.

"Keadaan dia memang lemah, nampak letih. Kami sampai rumah dia, tengok mak dia tengah suapkan makan.

"Masturah dapat mengingati kami dan saya tanya dia ingat tak apa yang berlaku. Dia kata tak ingat. Yang dia ingat dia beli top up, lepas tu bila terjaga dia dah ada di masjid," ceritanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut Rohayu, ibu bapa Masturah berada di pangsapuri Pantai Permai untuk menemui seorang uztaz, bagi meminta pertolongannya mencari Masturah sewaktu menerima panggilan Masturah.

Sebelum itu, ibu bapa Masturah bersama-sama Pro-M mengadakan solat hajat di dataran hadapan Dewan Tunku Canselor.

Rohayu berkata, keadaan Masturah sewaktu ditemui sama seperti sebelum beliau hilang iaitu berbaju kurang batik, tudung merah jambu dan kot labuh.

Masturah hadir ke UM tengah hari ini

Sementara itu, menurut Rohayu, Masturah akan pergi ke kampus UM bersama-sama ibu bapanya untuk bersama-sama menyaksikan proses pembungan undi hari ini.

"Tengah hari ini Masturah akan datang ke kampus tapi bersama ibu bapanya sebab mak dia memang sangat risau keselamatan dia sekarang ni, takut apa-apa berlaku lagi," katanya.

Tambahan pula ujarnya, hari ini merupakan hari kemuncak kepada pilihan raya kampus.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30969:masturah-hanya-sedar-ketika-berada-di-masjid&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

Masturah dijumpai

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Calon Pro-M Universiti Malaya, Masturah Abu Bakar yang dikatakan hilang ditemui selepas berapa siri kempen pilihan raya kampus di universiti itu.

Harakahdaily difahamkan, pada pukul 10.40 malam tadi pihak Pro-M menerima maklumat Masturah dijumpai di Bangi.

Berapa anggota Pro-M bergegas ke Bangi dan beliau dijemput oleh ahli keluarga dan dibawa balik ke rumahnya di Sungai Buluh.

Mereka terus bergegas ke rumahnya dan mengesahkan perkara tersebut (gambar).

Masturah dilaporkan hilang oleh seorang rakannya, Nurhanis Wahidah Mohd Mansor di pangsapuri Pantai Permai, kira-kira jam 4.15 petang kelmarin.

Berikutan kehilangan itu, Nurhanis membuat laporan polis di balai polis Pantai, jan 12.20 malam semalam, selepas enam jam kehilangannya.

Menurut laporan Nurhanis, Masturah bersama beberapa orang wakil calonnya menziarahi rakannya di pangsapuri berkenaan jam 3.15 petang kelmarin untuk meminta rakan-rakannya di luar kampus turun mengundi semalam.

Sepanjang tempoh ziarah tersebut, mangsa dan beberapa orang rakannya menyedari mereka telah diekori oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali dari jarak yang jauh.

Hanis menceritakan bahawa Masturah turun untuk membeli kredit telefon bimbitnya di kedai berhampiran blok D dan mangsa menyuruhnya menunggu di blok E.

"Setelah kira-kira 10 minit menunggu, saya mendapati Masturah tidak juga kelihatan dan telefon bimbitnya gagal dihubungi," ceritanya.

Manakala satu lagi laporan polis dibuat oleh seorang lagi wakil calon, Rohayu Rosli berhubung panggilan telefon berbau ugutan yang diterimanya jam 11.15 pagi semalam.

Individu yang membuat pangilan berkenaan mengugut Rohayu supaya tidak melaporkan kes tersebut kepada polis sekiranya mahu mangsa selamat.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30963:masturah-dijumpai&catid=1:utama&Itemid=50

Calon Pilihan Raya Kampus UM Dilaporkan Hilang

Ahad Februari 20, 2011

KUALA LUMPUR: Seorang calon pilihan raya Universiti Malaya (UM) Masturah Abu Bakar dilaporkan hilang sejak petang Sabtu oleh rakannya sekampusnya.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata polis menerima laporan pada pukul 12.20 tengah malam tadi mengenai kehilangan penuntut berusia 22 tahun itu, dan telah mengadakan operasi mencari mangsa di sekitar pangsapuri tempat ia berkempen tetapi tidak berjaya menemuinya.

Wan Abdul Bari berkata Masturah dilaporkan hilang kira-kira pukul 5 petang semalam semasa dia bersama seorang lagi rakannya berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam, yang menjadi tempat penginapan luar penuntut UM.

Rakan mangsa melaporkan bahawa Masturah pergi membeli tambah nilai kredit telefon dan meminta rakannya itu menunggu di Blok E, pangsapuri itu, dan "setelah lama menunggu, Masturah tidak muncul dan dia cuba menghubungi rakannya itu tetapi gagal," katanya, Ahad.

Wan Abdul Bari berkata selepas enam jam mencari bersama penduduk di kawasan berkenaan, rakannya kemudian membuat laporan polis.

Masturah, yang merupakan calon pro-Mahasiwa (Pro-M) UM, akan bertanding kerusi umum pilihan raya kampus itu esok (Isnin), dilaporkan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dari orang yang tidak dikenali sebelum ini, katanya.

"Siasatan polis masih berjalan dan pada masa yang sama, pihaknya juga meneliti pelbagai kemungkinan dan motif kehilangan mahasiswa itu, termasuk unsur balas dendam," kata Wan Abdul Bari.

Polis bagaimanapun mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang, katanya.

Semasa kejadian, Masturah yang berkulit sawo matang bercermin mata dan tinggi kira-kira 173 cm berpakaian baju kurung batik berwarna hijau dan merah jambu, berkot labuh warna hitam, bertudung warna merah jambu, dan berkasut sandal warna putih.

Sebanyak 43 kerusi MPP UM dipertandingkan pada sesi 2010/2011 yang merangkumi sembilan kerusi umum, 32 kerusi fakulti dan dua kerusi siswazah.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/2/20/mstar_berita/20110220231256&sec=mstar_berita

Calon Hilang: Pro-M mahu pentadbiran UM bertanggungjawab

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Feb: Pro Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM) hari ini menuntut pihak pentadbiran universiti bertanggungjawab di atas kehilangan seorang calon kerusi umum Pro-M, Masturah Abu Bakar.

Masturah dilaporkan hilang oleh seorang rakannya, Nurhanis Wahidah Mohd Mansor di pangsapuri Pantai Permai, kira-kira jam 4.15 petang semalam.

Berikutan kehilangan itu, Nurhanis membuat laporan polis di balai polis Pantai, jan 12.20 malam tadi, selepas enam jam kehilangannya.

Menurut laporan Nurhanis, Masturah bersama beberapa orang wakil calonnya menziarahi rakannya di pangsapuri berkenaan jam 3.15 petang semalam untuk meminta rakan-rakannya di luar kampus turun mengundi esok.

Sepanjang tempoh ziarah tersebut, mangsa dan beberapa orang rakannya menyedari mereka telah diekori oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali dari jarak yang jauh.

Hanis menceritakan bahawa Masturah turun untuk membeli kredit telefon bimbitnya di kedai berhampiran blok D dan mangsa menyuruhnya menunggu di blok E.

"Setelah kira-kira 10 minit menunggu, saya mendapati Masturah tidak juga kelihatan dan telefon bimbitnya gagal dihubungi," ceritanya.

Manakala satu lagi laporan polis dibuat oleh seorang lagi wakil calon, Rohayu Rosli berhubung panggilan telefon berbau ugutan yang diterimanya jam 11.15 pagi hari ini.

Individu yang membuat pangilan berkenaan mengugut Rohayu supaya tidak melaporkan kes tersebut kepada polis sekiranya mahu mangsa selamat.

200 berhimpun di hadapan Dewan Tunku Canselor

Sementara itu, sekumpulan Pro-M berhimpun di hadapan Dewan Tunku Canselor (DTC) petang tadi bagi menyerahkan memorandum menuntut pihak universiti bertanggungjawab di atas kehilangan itu.

Memorandum berkenaan juga membantah tempoh kempen yang diadakan pada waktu cuti, ketika kebanyakan pelajar tiada di kolej kediaman.

Perhimpunan dan serahan memorandum tesebut diketuai Pengerusi pro-M UM, Farid Jalpah.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30961:calon-hilang-pro-m-mahu-pentadbiran-um-bertanggungjawab&catid=1:utama&Itemid=50

Friday, January 28, 2011

Hilang ikut pengkid


YUSNASHUHA sugul ketika menceritakan mengenai pengkid di Ampang semalam.


KUALA LUMPUR – Lemas dengan belaian dan layanan yang diberikan oleh pengkid menyebabkan seorang remaja perempuan ‘lupa’ kepada keluarganya hingga dia enggan kembali semula ke pangkuan mereka sejak menghilangkan diri dua bulan lalu.

Bagaimanapun, kedegilan Yusnashuha Yusoh, 13, untuk pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kolam Abu, Machang, Kelantan berakhir apabila dia ditemui pukul 1 pagi semalam di sebuah rumah di tingkat 14 Kondominium Vista Saujana, Kepong, di sini, milik seorang pengkid bernama Mail (bukan nama sebenar).

Ketika ditemui oleh kakaknya, Yusrina Yusoh, 33, anak bongsu daripada 10 beradik itu dikatakan sedang beristirehat kerana baru sahaja pulang daripada rumah rakannya di Pandan Indah, Ampang. Ketika itu Mail, 20-an, turut berada di rumah tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Remaja 13 tahun hilang selepas ikut kakak ke KL




KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang sepatutnya mendaftar masuk ke tingkatan satu tahun ini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Kolam Abu, Machang, Kelantan sejak dua bulan lalu.

Remaja itu, Yusnashuha Yusoh (gambar) yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik dilaporkan keluar bersama salah seorang kakaknya, Yusnizaayu, 27, seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidiladha pada November lalu dengan kebenaran ibu mereka.

Kakak mangsa, Yusrina Yusoh, 33, berkata, Yusna mengikut adik keempatnya ke Kuala Lumpur untuk berjalan-jalan selepas mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Katanya, kali terakhir mangsa berjaya dihubungi ialah pada 24 Januari lalu oleh salah seorang ahli keluarganya dan menyatakan keinginannya untuk pulang segera ke rumah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Thursday, January 13, 2011

Pulanglah Along

MELAKA: “Ayah harap Along pulang, jangan menghilangkan diri tanpa khabar berita kerana emak dan adik (bongsu) selalu teringatkan Along. Mereka rindu serta fikirkan masa depan kerana pelajaran itu penting.”

Begitulah rayuan Abdul Hamid Abdul Ghani, 46, dari Pulau Sebang, Alor Gajah kerana bimbangkan anaknya, Muhammad Rashid, 14, yang gagal dikesan sehingga kini selepas keluar dari asrama bersama pelajar seniornya pada 30 Disember lalu.


Pengawal keselamatan itu berkata, anak sulung daripada empat beradik yang tinggal di asrama Madrasah Bahrul Ulum, Tengkera Pantai, dekat sini, tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika pulang ke rumah kira-kira seminggu sebelum kehilangannya.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan guru kira-kira jam 10.15 pagi pada hari kejadian, bahawa anaknya tiada di asrama.


“Saya dimaklumkan Along keluar dari kawasan asrama dengan seorang pelajar lelaki berusia 22 tahun sekitar jam 3 pagi. Ia hanya disedari pengurusan madrasah berkenaan ketika mahu menunaikan solat Subuh.


“Sebaik mengetahui kehilangannya, hati saya berdebar dan tidak menyangka dia sanggup berbuat demikian kerana Muhammad Rashid pendiam dan kurang bergaul dengan pelajar lain.

“Lebih pelik, dia langsung tidak memaklumkan kami ke mana dia pergi. Emaknya begitu runsing hingga semua kerja yang dibuat tidak keruan kerana teringatkannya,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PulanglahAlong/Article/index_html

Wednesday, January 12, 2011

3 remaja hamil lepas lari ikut kekasih

KUALA LUMPUR: Menyedihkan apabila tiga gadis termasuk dua antaranya masih di bawah umur dikesan mengandung selepas melarikan diri kerana mengikut teman lelaki masing-masing.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menerima 16 kes aduan membabitkan remaja perempuan meninggalkan rumah selepas terpedaya dengan ajakan teman lelaki yang baru dikenali melalui laman sembang, sepanjang tahun lalu.


“Sebaik ibu bapa gadis terbabit membuat aduan di pejabat kami dan kemudian disiarkan akhbar, sebahagian gadis berusia antara 14 hingga 19 tahun itu kembali ke pangkuan keluarga.

“Namun, tiga daripada gadis itu disahkan mengandung menyebabkan ibu bapa mereka terpaksa melaporkan kejadian itu kepada polis. Lebih mengejutkan lagi, dua daripadanya masih bawah umur begitu juga teman lelaki mereka,” katanya ketika sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.


Difahamkan, kebanyakan gadis terbabit mudah terpedaya dengan pujukan lelaki walaupun baru dikenali melalui laman sembang.


Dalam kes terbaru, pihaknya menerima dua lagi aduan membabitkan kehilangan gadis berusia 17 dan 23 tahun berasal dari Perak dan Johor.

Menurutnya, seorang remaja berusia 17 tahun dikatakan hilang di Tapah, Perak, dekat sini, 30 Disember lalu selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui sebuah laman sembang.


Mangsa, dipercayai keluar rumah selepas menerima kunjungan seorang lelaki berusia 20-an yang baru dikenalinya pada hari berkenaan.

Ibu mangsa hanya mahu dikenali sebagai Bee Poh, 48, berkata anaknya ada menelefon memaklumkan lelaki terbabit yang berasal dari Johor hendak datang ke rumahnya untuk berjumpa anak bongsunya itu.


“Saya tidak kisah dan membenarkan lelaki itu berjumpa dengan anak saya. Bagaimanapun, selepas anak saya menghantar lelaki itu ke sebuah perhentian bas berhampiran, anak saya itu kemudian bertindak mengambil beg pakaiannya sebelum bergegas keluar rumah,” katanya.


Difahamkan, ketika kejadian, dia yang menjalankan perniagaan keranda tiada di rumah dan hanya mengetahui kehilangan anak bongsu daripada empat beradik itu sebaik dimaklumkan anak keduanya.


“Saya segera pulang ke rumah dan mendapati satu nota ditinggalkan anak saya memberitahu mahu keluar bercuti untuk beberapa hari dan akan pulang semula ke rumah. “Selepas membaca nota berkenaan, saya segera menghubungi anak saya itu namun gagal dan masih tidak pulang sehingga sekarang,” katanya.


Menurutnya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Ulu Bernam, di sini kerana bimbang keselamatan anak gadisnya itu.


Dalam kes berasingan, seorang lagi gadis, Tan Mei She,23, dirayu pulang selepas dipercayai hilang sejak tiga tahun lalu.


Michael berkata, mangsa dipercayai mendapat pekerjaan di Melaka, namun masih tidak pulang sehingga kini dan ibu bapa mangsa sudah membuat laporan di sebuah balai polis di Skudai, Johor pada 10 November lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/3remajahamillepaslariikutkekasih/Article/index_html

Friday, January 7, 2011

NUR Alert tunggu kelulusan Kabinet





KUALA LUMPUR - Sistem amaran awal: kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai NUR Alert (National Urgent Response Alert) bagi mengesan dan menghebahkan kehilangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah akan dilaksanakan secepat mungkin setelah mendapat kelulusan Kabinet.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementerian bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memuktamadkan pelaksanaan sistem itu setelah ia dipersetuju:i kedua-dua pihak.

“Saya percaya Kabinet akan memberi kelulusan pada mesyuarat akan datang, saya amat berharap untuk sistem ini dilaksanakan secepat mungkin sebab kita hendak pastikan pembelaan kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

“Kalau ada kes-kes kehilangan, sistem ini akan digerakkan segera,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan PDRM mengenai sistem itu, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Shahrizat berkata, perbincangan itu juga memutuskan bahawa PDRM akan menjadi pengerusi kepada sistem NUR Alert kerana polis mempunyai kuasa dan prasarana untuk memastikan sistem ini berjalan dengan baik, manakala kementerian sebagai timbalan pengerusi.

Sementara itu, Hussin berkata, sistem ini berfungsi untuk membuat hebahan ke semua agensi, jabatan, kementerian dan badan korporat apabila mendapat maklumat mengenai kanak-kanak hilang di balai-balai polis.

“Untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, kita memulakan siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, apabila kita mendapat maklumat berkaitan kanak-kanak yang hilang, kita akan mulakan proses hebahan kepada umum melalui petugas-petugas.

“Petugas ini terdiri daripada pelbagai agensi, kementerian, badan-badan korporat seperti lapangan terbang, pelabuhan, kita juga ada Kementerian Pengangkutan yang akan hebahkan kepada terminal, teksi, bas selain hebahan pada pihak media dan blog,” katanya.

Hussin berkata, selain itu, Kementerian Luar juga terlibat dalam pelaksanaan sistem ini bagi memaklumkan kepada pihak kedutaan sekiranya perlu apabila kanak-kanak berkenaan disyaki dibawa keluar negara untuk memastikan polis boleh mengesan semula kanak-kanak yang hilang itu.

"Dari Januari hingga November tahun lalu, seramai 57 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dilaporkan hilang dan 35 orang ditemui semula berbanding 50 orang yang hilang dan 45 yang dijumpai semula pada 2009.

"Pada 2008, hanya tujuh kanak-kanak dikesan hilang dan seorang yang dijumpai semula," katanya.

Bagi kanak-kanak hilang berumur 18 tahun ke bawah, Hussin berkata, seramai 711 orang dilaporkan hilang dari Januari hingga November tahun lalu dan 347 dijumpai semula manakala 1,048 didapati hilang dan 497 dijumpai semula pada 2009.

Angka itu semakin menurun berbanding 2008 apabila 1,174 kanak-kanak 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dan 655 dijumpai semula.

Ketika ditanya sama ada sistem itu akan dipanjangkan untuk mengesan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah yang hilang memandangkan statistiknya lebih ramai berbanding kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, Hussin berkata, perkara itu mungkin akan dilakukan kemudian.

“PDRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kanak-kanak dan orang hilang di bawah 12 dan 18 tahun, tetapi kanak-kanak 12 tahun adalah tumpuan kami, mungkin boleh diperluaskan kemudian untuk kanak-kanak 18 tahun ke bawah,” katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8590883.asp

Monday, January 3, 2011

'Pulanglah anakku...'

MELAKA: Sesi persekolahan baru yang dibuka hari ini bukan saja menimbulkan rasa terkilan kepada sepasang suami isteri apabila anak perempuan mereka tidak hadir ke sekolah, tetapi turut bimbang berhubung keselamatan dirinya sejak keluar rumah pada pertengahan bulan lalu.

Ini berikutan pelajar tingkatan empat, Siti Nurhazan Azhari, 16, menghilangkan diri sebaik keluar dari rumah keluarganya di Taman Bukit Larang Indah, Telok Mas, sejak 19 Disember lalu tanpa sebarang khabar berita.


Ibunya, Halimah Mistam, 50, berkata, dia dan suaminya, Azahari Awang, 45, berasa risau dengan keadaan diri anak ketiga daripada enam beradik itu yang gagal dikesan sehingga kini selepas dilihat kali terakhir berbual melalui telefon di hadapan rumah mereka oleh adik lelakinya, Luqman Hakim, lapan tahun.

Menurutnya, sepanjang kehilangan anaknya, dia dan suaminya sentiasa berasa tidak tenteram dan susah hati, malah sukar melelapkan mata setiap malam apabila mengenangkan nasib anak perempuannya yang tidak diketahui berada di mana sekarang.


Menceritakan mengenai kehilangan Siti Nurhazan, Halimah berkata, anak perempuannya memakai seluar berwarna hitam dan berbaju tidur putih, selain tidak membawa sebarang pakaian serta kad pengenalan dan wang ketika itu.


Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menunaikan solat Isyak di ruang tamu, manakala suaminya baru saja keluar minum di warung berhampiran rumah dan Siti Nurhazan berada di depan rumah kira-kira jam 11.20 malam sedang berbual menggunakan telefon bimbit.

Katanya, berdasarkan cerita anak keempatnya, Shahrin Al-Hafiz, 12, dia ternampak sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna kelabu memecut laju di lorong berhampiran rumah mereka kira-kira lima minit selepas Siti Nurhazan dilihat di depan rumah.


“Anak saya juga mengatakan, dia ternampak kakaknya di dalam kereta itu dan kakaknya dilihat menoleh ke belakang. Bagaimanapun, dia tidak pasti berapa orang ada dalam kereta berkenaan.

“Sebaik diberitahu, saya terus menghubungi suami dan berusaha menghubungi melalui telefon bimbitnya beberapa kali, tetapi tidak dijawab. Kami menelefonnya sehingga jam 2 pagi (keesokan harinya) tetapi telefon itu dimatikan,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, Siti Nurhazan tidak pernah keluar malam dan dia sememangnya seorang anak yang mendengar kata dan tidak dibenarkan keluar ke mana-mana khususnya pada waktu malam.


Katanya, sebelum itu, dia juga tidak menunjukkan tanda merajuk malah sebelum kehilangannya, dia sempat membeli kasut dan pakaian di Pasar Tani Pekan Telok Mas bagi digunakan untuk majlis perkahwinan ibu saudaranya pada 26 Disember lalu.


Katanya, dia dan isteri merayu bantuan serta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai anak mereka agar menghubunginya di talian 016-6605774 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pulanglahanakku/Article/index_html

Thursday, December 30, 2010

Kami tak sisih

SUNGAI PETANI: “Saya dan ibunya serta keluarga tidak pernah menyisihkan mereka suami isteri, jadi saya menyeru semoga kak cik bersama anak dan suami pulang ke kampung,” kata Mat Tahir Jidin, 68, bapa kepada Aishah Ismail, 26, yang sanggup menyerahkan anak dalam kandungan akibat dihimpit kemiskinan di Kuala Lumpur.

Muka depan Harian Metro semalam menyiarkan keluhan Shahrul Rahman, 33, yang tinggal di Kota Damansara yang mahu menyerahkan anak dalam kandungan isterinya kepada keluarga lain atas alasan tidak mampu menampung kehidupannya sekeluarga.


Mat Tahir berkata, dia begitu terkejut apabila anak perempuan memberitahunya yang gambar kak cik yang juga anak keenam daripada 10 beradik yang menghilangkan diri bersama suami dan tiga anaknya sejak tiga bulan lalu terpapar dalam akhbar, semalam.

Katanya, sebaik menatap akhbar itu, dia dan isteri, Sabariah Mat Nasir, 58, bukan saja terkejut, malah sedih dengan nasib menimpa anak perempuannya, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka sekeluarga tidak tahu tempat tinggal mereka sejak menghilangkan diri tiga bulan lalu.


“Sejak dia dan suami bersama tiga anak menghilangkan diri, saya bersama isteri serta adik dan kakaknya cuba mengesan mereka sekeluarga tetapi gagal. Sebelum ini, Aishah dan suaminya tinggal di Taman Keladi di sini, tetapi menghilangkan diri pada Oktober lalu.


“Saya ingat Aishah dan suami serta anak ada di Sarawak kerana suaminya berasal dari sana tetapi begitu terkejut apabila akhbar ini semalam menyiarkan masalah anaknya yang terpaksa menumpang di rumah orang kerana suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM750 sebulan menghadapi masalah kewangan teruk,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Lebai Man di sini, semalam.

Menurutnya, masalah itu tidak timbul jika suami Aishah tidak membuat pinjaman dengan ceti haram atau along dan mengetahui mereka berdua menggunakan nama lain bagi mengelak dikesan.


Mat Tahir berkata, Aishah berkahwin kali kedua pada 2006 lalu selepas suami pertamanya meninggal dunia akibat demam denggi dan selepas berkahwin, dia mengikut suami barunya tinggal di Taman Keladi dan mengusahakan kantin sekolah.

“Jadi saya merayu kepada Aishah pulang saja ke pangkuan keluarga di Kampung Pengkalan Lebai Man, malah selama ini pun kami tidak pernah menyisih,” katanya.


Katanya, dia berharap Aishah dapat menghubungi kakaknya, Sarimah di talian 019-4942206.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kamitaksisih/Article/index_html

Saturday, December 25, 2010

‘Di mana suamiku’

Oleh Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

KLANG: Seorang wanita tidak pernah menyangka kunjungannya bersama suami dan tiga anak mereka ke karnival sukan di Bukit Tinggi di sini, Ahad lalu menjadi detik terakhir dia melihat suami yang dikahwininya selama 11 tahun itu apabila lelaki itu tidak pulang ke rumah sejak hari berkenaan.

Misliana Buyak, 40, berkata ketika di karnival terbabit, suaminya, Mohd Shukri Chandraneru, 34, ingin pulang ke rumah lebih awal kerana kepenatan yang rumah mereka cuma lima minit berjalan kaki dari tempat berlangsungnya karnival itu.


Bagaimanapun, Misliana yang meninggalkan karnival terbabit bersama anaknya lima minit kemudian terkejut selepas melihat pintu rumah yang masih berkunci ketika sampai kira-kira jam 6 petang malah suaminya juga tiada di rumah.

Katanya, dia semakin bimbang apabila suaminya yang juga penjual ikan tetap tidak pulang menjelang malam dan dia kemudiannya membuat laporan polis pada hari berikutnya.


“Saya bimbangkan keselamatan suami saya kerana dia pernah diancam empat lelaki di pasar Pandamaran. Mereka mendakwa sebagai pemborong ikan dan menyuruh suami saya membayar hutang atau mereka akan hantar orang cari dia.


“Sejak suami saya hilang, mereka pernah datang ke rumah malah mencari saya di pasar malam tempat saya menjual ikan untuk memungut hutang antara RM2,000 hingga RM8,000 tapi saya cakap saya tak ada duit,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MCA Klang, di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan suaminya meninggalkan rumah secara sukarela untuk mengelakkan diri daripada pemungut hutang, Misliana berkata, suaminya tidak pernah meninggalkan rumah untuk jangka masa yang panjang tanpa memberitahunya sejak mereka berkahwin.


“Telefon bimbitnya ada dengan saya malah semua pakaiannya juga masih ada di rumah. Dia tidak menghubungi saya langsung sejak hari itu.

“Saya tak tahu pun suami saya pernah meminjam duit daripada mereka dan dia pun tak pernah menceritakan kepada saya yang dia ada masalah kewangan,” katanya.


Misliana berkata, anaknya, Muhd Azli, 10; Nur Aisyah, 7, dan Muhd Akmal, 6, sangat rapat dengan ayah mereka dan sering bertanya bila ayah mereka akan pulang.


“Anak saya yang sulung inilah yang paling rapat dengan suami saya dan setiap malam sebelum tidur dia pasti menangis mengenangkan ayahnya yang sudah hilang,” katanya lagi.


Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Klang, Datuk Dr Ching Eu Boon meminta mereka yang melihat Mohd Shukri atau mempunyai sebarang maklumat mengenai Mohd Shukri menghubungi setiausaha Pemuda MCA Klang, David Foo di talian 017-3659897 atau balai polis terdekat untuk membantu siasatan.


“Jika Mohd Shukri meninggalkan rumah secara sukarela, saya harap dia akan menghubungi keluarganya dan pulang ke rumah.


“Jika dia menghubungi kami, kami akan cuba sebaik mungkin untuk membantunya dengan melakukan rundingan dengan pihak pemiutang berhubung pinjaman yang diambilnya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2010122500595520101225005955/Article/index_html

Wednesday, December 22, 2010

Pelajar kejururawatan ‘ghaib’ ikut teman lelaki

BATU PAHAT: Seorang pelajar kejururawatan di sebuah kolej di Kuala Lumpur tidak pulang ke asrama kolejnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, selepas keluar makan makan bersama teman lelakinya, awal bulan ini.

Ibunya, Rosidah Abdullah, 46, berkata, berdasarkan maklumat rakan serumah, anaknya Rozalia Fatin Ainie Razali, 18, keluar bersama Faizal dengan menunggang motosikal pada 6 Disember lalu.


“Bagaimanapun, Fatin tidak kembali dan tiga hari kemudian, rakannya menghubungi kami.

“Kami terkejut kerana rakannya mengatakan Fatin tidak hadir kuliah,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Parit Bengkok, di sini, semalam.


Menurut Rosidah, suaminya, Razali Ahmad, 52, yang bergegas ke Kuala Lumpur, menghubungi penjaga asrama dikenali sebagai Suraya, tetapi wanita terbabit gagal memberikan kerjasama kerana menguruskan orang tuanya di hospital.


“Suraya memaklumkan suami boleh mendapatkan maklumat melalui penjaga pos asrama, tetapi dia juga tidak perasan kerana ramai penghuni keluar dan masuk.

“Bagaimanapun, keesokan harinya, iaitu pada 11 Disember, Fatin menghubungi kami melalui SMS menyatakan dia menghadiri kuliah dan akan menghubungi mereka malam itu,” katanya.


Bagaimanapun, Fatin gagal menghubungi keluarganya seperti dijanjikan dan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, kelmarin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Fatin diminta menghubungi talian 016-7450173, 017- 7149384 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajarkejururawatan__8216_ghaib__8217_ikuttemanlelaki/Article/index_html

Sunday, December 19, 2010

Dua Remaja Ditahan Berhubung Pembunuhan Pelajar Perempuan

Ahad Disember 19, 2010


JOHOR BAHARU: Polis menahan dua remaja lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pelajar tingkatan dua yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit yang terletak 150 meter dari rumahnya di Batu Pahat, Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Batu Pahat Supt Adnan Azizon berkata suspek pertama yang berusia 15 tahun ditahan semasa membuat laporan polis mengatakan dia melihat rakannya membunuh remaja perempuan berusia 14 tahun itu di Parit Ju, Tongkang Pechah Darat, Batu Pahat.

"Polis kemudiannya menahan seorang remaja berumur 16 tahun, dan selepas disiasat, remaja yang membuat laporan itu juga disyaki terlibat dalam pembunuhan itu," katanya ketika dihubungi, Sabtu.

Beliau berkata dalam kejadian semalam mayat Siti Mazni Abdul Rahman, 14, dijumpai tersembunyi di bawah timbunan daun-daun kelapa sawit itu pada kira-kira pukul 5 petang.

Menurutnya mayat Siti Mazni ditemui dengan satu kesan tikaman di badan, dan remaja itu dipercayai dibunuh kira-kira 100 meter dari rumahnya sebelum diheret 50 meter ke dalam kawasan ladang.

Siti Mazni, pelajar SMK Tengku Putra, dilaporkan hilang pada hari Rabu lepas apabila dia tidak pulang kerumah selepas memberitahu neneknya Mailiah Idris, 62, yang dia keluar untuk berjumpa dengan rakan-rakannya. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/12/19/mstar_jenayah/20101218223331&sec=mstar_jenayah

SMS akhir

SMS akhir

Oleh IBRAHIM ISA
ibrahim@hmetro.com.my

BATU PAHAT: Mangsa pembunuhan kejam yang ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, kelmarin, dikatakan sempat menghantar SMS nyawanya terancam kepada seorang rakan ketika kejadian, Rabu lalu.

Malangnya, mangsa, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra Tongkang Pechah, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, gagal memberi lokasi menyebabkan rakannya itu tak dapat memberikan bantuan dan mendiamkan diri.

Nenek mangsa, Mailiah Idris, 62, berkata perkara itu dimaklumkan bapa arwah, Abdul Rahman Hassan, 43, apabila dia mencari anak sulung daripada empat beradik itu sehari selepas dilaporkan hilang.

“Saya ada di rumah ketika kejadian dan Siti Mazni memberitahu ingin keluar rumah untuk bertemu rakan di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 5 petang.

“Selepas itu dia tidak pulang ke rumah dan menganggap dia terus membantu ibu bapanya berniaga roti canai di Tongkang Pechah.

“Bagaimanapun, apabila ibu bapanya pulang dan mencarinya, barulah kami sedar kehilangannya dan membuat laporan polis di balai Tongkang Pechah keesokannya,” katanya.

Menurutnya, selain membuat laporan polis bapa arwah menghubungi beberapa rakan dan salah seorang daripada mereka memberitahu, arwah sempat menghantar SMS mengatakan dia akan dibunuh.

Bagaimanapun, katanya, rakannya itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana arwah tidak sempat memberitahu lokasi dia berada.

“Kami hanya tahu arwah berada di kebun sejauh kira-kira 100 meter dari rumah apabila sepasukan polis datang ke kawasan itu jam 5 petang kelmarin,” katanya.

Mak cik mangsa, Arina Syairah Muhammad Fauzi, 18, berkata dia bermimpi arwah bergelut dengan lelaki selama tiga malam berturut-turut, sebelum diberitahu arwah ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kebun kelapa sawit.

Katanya, kali terakhir dia bertemu mangsa Jumaat lalu sebelum pergi ke Kuala Lumpur bersama rakan sekolah.

Menurutnya, bermula Ahad hingga Selasa, dia bermimpi arwah yang memakai kemeja-t berwarna merah jambu, bergelut dengan lelaki menyebabkannya bimbang dan menghubungi arwah pada Selasa lalu.

“Kali terakhir kami berbual, saya dapati dia ceria seperti biasa menyebabkan saya tidak menyangkakan apa-apa kejadian buruk akan berlaku terhadapnya.

“Bagaimanapun, saya diberitahu dia hilang sejak Rabu lalu seolah-olah mengiyakan mimpi buruk yang saya alami itu, sebelum ditemui meninggal dunia Jumaat lalu,” katanya.

Menurutnya, mereka yang rapat sejak kecil tidak menyangka kejadian itu akan berlaku terhadap mangsa dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memberkas penjenayah terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, bapa mangsa membuat laporan polis kehilangan anak perempuan berusia 14 tahun Khamis lalu dan sepasukan polis menyiasat aduan berkenaan.

“Bagaimanapun, tengah hari kelmarin suspek berusia 15 tahun datang ke balai polis membuat laporan mengatakan dia melihat satu pembunuhan dilakukan seorang rakannya, di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, menyebabkan kami menahan suspek kedua berusia 16 tahun itu.

“Namun, hasil siasatan mendapati suspek pertama turut terbabit sebelum kami dibawa ke lokasi pembunuhan dan menemui mangsa pada kira-kira jam 5 petang kelmarin,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/SMSakhir/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...