Thursday, November 6, 2008

Pemilihan MIC ditunda ke September 2009

Oct 31, 08 6:03pm

MIC telah menunda pemilihan jawatan tertinggi parti kecuali jawatan presiden, ke September tahun depan, demikian menurut sumber parti itu.

Mereka mendedahkan, keputusan untuk menangguh pemilihan parti dari Jun ke September tahun depan, diambil dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC), badan pembuat keputusan parti, awal bulan ini.

Bagaimanapun, pemilihan jawatan presiden akan diadakan seperti dijadual pada lewat Februari tahun depan, kata sumber itu kepada Bernama.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, yang menerajui parti itu sejak 1979 dan berjaya mengekalkan jawatannya selama 10 penggal berturut-turut, merupakan satu-satunya calon setakat ini mengumumkan hasrat untuk bertanding semula jawatan tertinggi tersebut.

Awal bulan ini, akhbar berbahasa Tamil memetik Samy Vellu sebagai berkata beliau akan menyerahkan pucuk pimpinan MIC kepada timbalan presiden pada pemilihan parti kali ini.

Walaupun pemilihan parti lalu diadakan pada Jun 2006, namum perlembagaan MIC membenarkan CWC menangguhkan pemilihan jawatan tertinggi bagi tempoh 18 bulan. Hampir 1,500 perwakilan bahagian akan memilih timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC.

Berbanding parti politik lain di negara ini, MIC mempunyai sistem pemilihan berbeza dengan pemilihan presiden diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum pemilihan jawatan lain.

Bakal calon

Jika ada pertandingan, jawatan presiden akan ditentukan oleh pemimpin peringkat cawangan manakala pemimpin lain dalam parti pusat dipilih oleh perwakilan dari bahagian.

Jawatan timbalan presiden kali ini akan menjadi tumpuan berikutan pemerhati berpendapat bahawa calon yang bakal mengisi jawatan itu akan menerajui 650,000 ahli parti menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Ada pendapat lain menyebut Samy Vellu mungkin enggan bertanding jika beliau berjaya mencapai kata sepakat di kalangan pengaruh dalaman parti sebelum Februari tahun depan tetapi ianya mungkin tidak berlaku dengan mengambil kira cita-cita politik beberapa tokoh dalam barisan kepimpinan parti.

"Keadaan tidak jelas sama sekali ketika ini. Tiada siapa tahu apa yang dalam fikiran Samy Vellu. Ianya semua merupakan permainan teka-teki. Hanya masa akan menentukan siapa yang mendapat sokongannya sebagai calon timbalannya, itu pun jika dia memilih sesiapa," kata veteran parti dan bendahari agung MIC Tan Sri M. Mahalingam.

Ramai dalam parti, tanpa menyuarakan hasrat masing-masing, mahukan Samy Vellu berundur dan biar proses demokrasi menjadi penentu. Bagaimanapun, pandangan itu ditolak oleh pemimpin berusia 72 tahun itu yang menyatakan beliau tidak mahu meninggalkan parti dalam keadaan kucar-kacir ekoran pertikaian dalaman selepas pemergiannya.

Sama seperti parti komponen BN yang lain dalam Semenanjung, MIC mengalami kekalahan teruk apabila hanya tiga daripada sembilan calon kerusi Parlimen memang pada pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Tiga calon yang berjaya tersebut ialah Datuk Dr S. Subramaniam (Segamat), yang juga Menteri Sumber Manusia dan juga setiausaha agung parti, Datuk M Saravanan (Tapah), Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Ketua Penerangan MIC dan Datuk S K Devamany (Cameron Highlands), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Calon berpotensi

Dr Subaramaniam dilihat sebagai calon berpotensi untuk memegang jawatan timbalan presiden. Pemerhati parti juga menjangka calon lain akan bersaing merebut jawatan timbalan presiden iaitu bekas timbalan presiden, Datuk S Subramaniam, penyandang Datuk G. Palanivel dan penyandang naib presiden Datuk S Sothinathan.

Difahamkan Dr Subramaniam akan hanya bertanding jawatan nombor dua parti dengan restu Samy Vellu manakala tiga yang lain sedang mengamalkan taktik "tunggu dan lihat".

Samy Vellu, antara pemimpin parti komponen BN paling lama, pernah berkata selepas kekalahannya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput dalam pilihanraya umum lalu, bahawa beliau tidak akan memihak mana-mana calon dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

Sejak dua dekad lalu, sudah menjadi kebiasaan dalam parti untuk presiden mengeluarkan senarai barisan calon pilihan untuk kedudukan jawatan parti pusat dan amalan ini, mendakwa beberapa pihak, telah "membunuh demokrasi" dalam parti itu.

Dalam pemilihan lalu, Samy Vellu secara terbuka menyokong Palanivel untuk menumbangkan timbalan presiden Subramaniam, yang memegang jawatan itu selama 27 tahun.

Dalam usaha memperkukuhkan parti itu, Samy Vellu sudah "berdamai" dengan Subramaniam dengan syarat presiden MIC itu tidak akan memihak mana-mana calon khususnya bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan akan datang.

"Dia (Samy Vellu) membentuk Palanivel untuk menewaskan Subramaniam (yang lebih dikenali sebagai Subra). Kini kedua-dua mereka berada di pihak masing-masing. Di samping itu, beliau mempunyai Dr Subramaniam sebagai menteri penuh. Bagi menambah saingan, Sothinathan, naib presiden yang meraih undi paling tinggi pada pemilihan lepas turut mensasarkan jawatan timbalan presiden.

Generasi muda

"Namun begitu, sesiapa pun tidak dapat menolak kemunculan calon muda seperti Saravanan yang dilihat oleh masyarakat sebagai perubahan angin dalam parti.

"Pemimpin muda seperti dia dan beberapa lagi kini bersedia dan mereka mempunyai idea yang mereka rasa relevan kepada generasi muda dan mengikut kesesuaian trend politik semasa," kata S Ananthan, bekas setiausaha politik Samy Vellu.

Bagaimanapun, Ananthan berkata sudah tiba masa untuk MIC melakukan perubahan dengan bukan menerusi proses penjenamaan semula tetapi reformasi dalaman iaitu perubahan pemimpin.

"Jika anda lihat, kesemua calon barisan, mungkin ia Samy Vellu, Subra, Palanivel atau juga Sothi (nathan) merupakan nama-nama lama. Keputusan pilihanraya umum memaklumkan kepada MIC bahawa mereka perlu mempelajari banyak pengajaran di sebalik mengikuti cara lama. Mengeluarkan senarai calon pilihan akan memusnahkan parti.

"Masyarakat kaum India mahu menyokong MIC tetapi parti itu sendiri perlu berubah dengan cara pengurusannya. Ia perlu menawarkan sesuatu kepada masyarakat India. Ia merupakan sesuatu yang sukar dan penduduk India mahu parti itu menunjukkan bahawa ianya sudah berubah," kata Ananthan.

Pendapatnya adalah berasas berikutan pengundi keturunan India berpaling tadah kepada BN pada pilihanraya umum lepas dengan memberi pelbagai alasan dan MIC harus menyalahkan diri sendiri atas wujudnya keadaan tersebut.

Sokongan masa depan kaum India untuk parti itu bergantung kepada pucuk pemimpin parti pada pemilihan akan datang kerana pemimpin yang dipilih nanti merupakan barisan akan membawa parti itu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

http://www1.malaysiakini.com/news/92249

Harga petrol, diesel turun 15 sen lagi


Oct 31, 08 5:24pm

Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter berkuatkuasa esok.

Sehubungan itu, harga runcit petrol dan diesel adalah seperti berikut:

• Petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter;

• Petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter; dan

• Diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter
.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penurunan itu dibuat ekoran harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini.

Katanya, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya.

Ini merupakan penurunan harga kali keempat kerajaan mengumumkan bagi minyak petrol dan diesel

Pada 15 Oktober lalu kerajaan menurunkan harga minyak petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada RM2.30 sen seliter manakala harga petrol RON92 diturunkan 10 sen kepada RM2.20 seliter. Harga minyak diesel pula diturunkan 20 sen kepada RM2.20.

Pada 4 Jun lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kira-kira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, perubahan harga itu dibuat setiap dua minggu sekali dan semakan semula harga seterusnya ialah pada 15 November.

Ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini, beliau berkata, walaupun harga mentah minyak susut kepada AS$62 setong, tetapi pertimbangan lain harus diambil kira ketika menurunkan harga minyak.

Menurutnya, kerajaan telah membuat simpanan minyak sebulan lalu ketika harga masih tinggi dan oleh itu, penurunan harga mesti berasaskan kepada harga pembeliannya dibuat.


Ketuanan Melayu gagal, kata Zaid

Oct 31, 08 5:05pm

Model Ketuanan Melayu telah gagal dan mengakibatkan pembaziran sumber, tenaga dan masa, kata bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zahid Ibrahim.

Berucap di persidangan LawAsia 2008 di ibunegara hari ini, bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ia juga telah dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara.

Zaid turut mengkritik dasar yang berasaskan kaum walaupun beliau ahli parti pemeritah - Umno - parti terbesar orang Melayu.

Beliau turut menyentuh cadangan naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang perlunya diadakan forum tertutup antara pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk mencapai pendirian bersama dan memperbaharui kesepakatan berasaskan kepada kontrak sosial.

"Ini merupakan satu langkah positif tetapi ia harus merangkumi semua pemimpin politik dan berpremiskan kontrak sosial yang menjadi asas kemerdekaan," kata beliau yang sebelum ini menyertai kabinet selepas pilihanraya umum 8 Mac, dengan tugas untuk membawa pembaharuan dalam bidang kehakiman.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan bulan lalu sebagai membantah penahanan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Zaid turut menekankan pentingnya ditingkatkan perbincangan dan dialog supaya rakyat dapat bersuara dan mendengar antara satu sama lain.

Beliau juga turut menegaskan perlunya diwujudkan semula komunikasi dan rasa percaya-mempercayai antara rakyat negara ini. Ucapan penuh

BPR: Siasatan kes 'mata lebam' Anwar selesai

Oct 31, 08 3:05pm

Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah selesai menjalankan siasatan kes insiden "mata lebam" Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan 10 tahun lalu.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bagaimanapun tidak dapat menyatakan dengan tepat bila siasatan itu selesai dan menurutnya kertas siasatan sedang dalam proses penelitian.

"Dari segi siasatan dah selesai tapi sekarang sedang dikaji oleh panel bahagian pendakwaan kita," katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.

Mengenai bila keputusan siasatan tersebut akan diketahui, Ahmad Said dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, ia terserah kepada panel bahagian pendakwaan untuk menentukannya.

Siasatan itu dijalankan laporan yang dibuat oleh Anwar terhadap Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Anwar mendakwa, Musa dan Abdul Gani menyembunyikan fakta dan memalsukan maklumat dalam kes membabitkan serangan fizikal terhadapnya oleh Tan Sri Rahim Noor, waktu itu ketua polis negara, pada 20 September 1998.

Abdul Gani pada ketika itu adalah timbalan pendakwaraya paling kanan, manakala Musa pula ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.

Pada 15 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menafikan dakwaan bahawa siasatan kes insiden 'mata lebam' Anwar sudah selesai dan hasil laporan itu mendapati terdapat elemen penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mohamed Nazri menjelaskan siasatan kes itu dijalankan BPR dan bukan oleh Pejabat Peguam Negara seperti yang didakwa ahli Parlimen DAP bagi Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

Mengenai kes kehilangan wang bukti berjumlah RM40,000 dalam peti keselamatan di pejabat BPR Sibu pada September lalu, Ahmad Said berkata kes itu diserahkan kepada polis untuk siasatan manakala BPR turut menjalankan siasatan dalaman.

"Seorang pegawai (BPR Sibu) yang disyaki terlibat telah pun dipindah ke Kuala Lumpur dan sedang disiasat ," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/92216

Mahkamah bebaskan Razak Baginda


Oct 31, 08 10:12am

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.

Pihak pendakwa dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak itu.

Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar manakala Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.

Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.

Pihak mendakwa selesai berhujah pada 23 Jun lalu selepas mahkamah mendengar keterangan daripada 84 saksi selam 151 hari.

Abdul Razak yang jelas kelihatan gembira dengan keputusan tersebut, meninggalkan mahkamah dengan ditemani isteri dan anak perempuannya pada kira-kira jam 10.10 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya, dan hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah".

Sementara itu, Bernama melaporkan Keluarga Abdul Razak dicengkam emosi selepas Zaki memutuskan yang beliau mendapati tiada kes prima facie terhadap pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu.

"Prima facie" dalam bahasa Latin merujuk kepada kes yang mempunyai bukti yang cukup dan pada kadar minimum yang diperlukan untuk membolehkannya diteruskan dalam proses kehakiman.

Zaki berkata seluruh isi kandungan afidavit Abdul Razak mengandungi kenyataan pembuktian tidak bersalah yang patut diterima dan diberi pertimbangan sewajarnya.

Kenyataan pembuktian tidak bersalah ialah kenyataan yang dibuat oleh defendan atau tertuduh yang cenderung membebaskan defendan/tertuduh daripada kesalahan seperti pertuduhan, atau kenyataan yang cenderung memberikan justifikasi atau alasan bagi tindakan atau kehadirannya.

Abdul Razak yang mengenakan kemeja berjalur biru muda, pada awalnya kelihatan seperti tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh hakim namun riak wajahnya bertukar kepada lega dan tersenyum lebar.

Isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan, anaknya Rowena dan anggota keluarganya menitiskan air mata gembira dan kesemua mereka bergegas memeluk Abdul Razak sebaik sahaja keputusan itu diumumkan.

Abdul Razak enggan memberikan sebarang komen ketika ditanya oleh media mengenai perasaannya berhubung pembebasannya itu. Beliau beredar dari premis mahkamah di tingkat empat bangunan itu melalui tangga belakang.

Sementara Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Pertimbangan sewajarnya akan diberikan kepada tertuduh yang memilih untuk memberikan keterangan bersumpah, di mana tertuduh boleh diperiksa balas oleh pendakwaan. Keterangan yang diberikan dalam kandang tertuduh pula tidak akan diperiksa balas oleh pendakwaan.

Jika tertuduh memilih berdiam diri, tertuduh akan disabitkan dan dihukum mengikut penalti yang ditetapkan dalam seksyen yang tertuduh didakwa. Dalam kes ini, hukumannya ialah mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Zaki menerima kenyataan yang diberikan oleh Azilah dan Sirul Azhar kepada polis sebagai sebahagian keterangan.

Azilah memberikan kenyataan yang mendedahkan lokasi tempat Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan manakala Sirul Azhar mendedahkan kepada polis tempat barangan kemas milik Altantuya disembunyikan.

"Saya berpuas hati bahawa wujud kes prima facie terhadap tertuduh pertama (Azilah) dan tertuduh kedua (Sirul Azhar) untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka. Saya dengan ini memutuskan tertuduh pertama dan kedua untuk membela diri," katanya.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masing-masing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris danBahasa Rusia di National University of Mongolia.

Pembunuhannya digambarkan sebagai amat kejam kerana mayatnya diletupkan dengan bahan letupan. Pakar forensik menemui cebisan dagingnya bertaburan di kawasan di Puncak Alam di Shah Alam.

Kes itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

Mahkamah telah mengambil masa selama 151 hari bermula 4 Jun tahun lepas untuk mendengar keterangan daripada 84 saksi pendakwaan sebelum menangguhkan keputusan itu sehingga hari ini selepas kes pendakwaan ditutup pada 23 Jun lepas.

Hakim Zaki mengambil masa kira-kira 25 minit dari 9.40 pagi untuk menyampaikan penghakimannya. Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding kira-kira15 minit bagi memutuskan tarikh bagi Azilah dan Sirul Azhar membela diri.

Apabila prosiding disambung semula, Hakim mahu mendengar pembelaan diri oleh tertuduh petang ini tetapi menetapkan 10 November selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Azilah, Datuk Hazman Ahmad, dan peguam bela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin.

Hazman memaklumkan kepada mahkamah yang beliau mungkin akan memanggil enam hingga tujuh saksi manakala Kamarul Hisham berkata beliau akan memanggil penulis blog Raja Petra Kamarudin dan memanggil semula penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk memberikan keterangan.

Raja Petra sedang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dalam pembunuhan itu.

Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah.

Mahkamah juga membenar peguam bela Abdul Razak, Wong Kian Kheong untuk bertindak sebagai peguam pemerhati pada perbicaraan peringkat pembelaan.

http://www1.malaysiakini.com/news/92193

MCA tuntut Hassan, Khir minta maaf


Oct 30, 08 8:02pm

Biro Perundangan MCA hari ini mengecam PAS kerana menolak pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atas alasan beliau bukan Melayu.

Biro itu juga menganggap kenyatan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mengumpamakan pelantikan itu sebagai memandang rendah kemampuan orang Melayu untuk menguruskan syarikat seperti PKNS, sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia jelas bercanggah dengan semangat Barisan Nasional (BN).

Berikutan itu, dalam satu kenyataan hari ini, biro tersebut menuntut Datuk Dr Hassan Ali dari PAS dan Dr Mohd Khir dari Umno memohon maaf kerana membuat kenyataan yang didakwanya tidak bertanggungjawab untuk menyemai perpecahan di kalangan rakyat Malaysia.

Jika gagal berdemikian, biro tersebut mendesak pihak berkuasa berkenaan supaya mengambil tindakan segera terhadap mereka.

Kenyataan itu mendakwa, tindakan mereka itu jelas melanggar Pasal 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa tidak harus ada diskriminasi terhadap rakyat atas alasan agama, kaum, keturunan, tempat kelahiran atau jantina untuk dilantik menjawat atau berkhidmat di bawah pihak berkuasa awam.

Menurutnya, kenyataan seumpama itu juga melanggar Seksyen 3 (1)(e) Akta Hasutan 1948 kerana membangkitkan permusuhan antara kaum.

Biro tersebut menegaskan bahawa sebarang pelantikan ke jawatan dalam sektor awam dan swasta, hendaklah berasaskan kepada merit dan kemampuan semata-mata.

http://www1.malaysiakini.com/news/92187

Muhyiddin, Mukhriz belum selamat


Muda Mohd Noor Oct 30, 08 6:43pm

Jumlah pencalonan yang diterima calon-calon yang bertanding jawatan tinggi Umno tidak semestinya menjamin kemenangan mereka dalam pemilihan Mac depan, demikian menurut beberapa ahli akademik tempatan hari ini.

Menurut mereka, ini kerana jumlah pencalonan daripada bahagian tidak menggambarkan sokongan sebenar para perwakilan kepada mereka yang bakal bertanding itu.

Keadaan ini bermakna Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Mukhriz Mahathir yang masing-masing mendapat pencalonan terbanyak bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan ketua Pemuda, tidak semestinya akan menang dalam pemilihan itu nanti.

Sebaliknya, menurut ahli-ahli akademik yang dihubungi Malaysiakini, penentuan sebenar ialah pada hari pemilihan kelak.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Agus Mohd Yusof berkata, calon yang bertanding mempunyai peluang yang terbuka untuk menang.

"Baik jawatan timbalan presiden Umno, naib presiden mahupun ketua Pemuda akan mendapat peluang yang seimbang untuk menang.

"Di perhimpunan agung nanti, perwakilan akan melihat gagasan dan agenda yang akan dibawa oleh calon-calon berkenaan.

Dekat dengan ahli

"Faktor peribadi calon akan diperhitungkan sebelum mereka membuat pilihan pada perhimpunan agung kelak.

"Ini bermakna mereka yang lebih dekat dengan ahli dan penyokong Umno akan mudah dipilih dalam pemilihan kelak," katanya.

Beliau berkata, peluang dua calon timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam, sama cerah sebagaimana calon pilihan Muhyiddin.

"Begitu juga dengan jawatan ketua Pemuda Umno. Mungkin orang tidak percaya peluang Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin lebih baik dari Datuk Mukhriz Mahathir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan pencalonan yang diperolehi dalam perhimpunan agung Umno kali ini.

Datuk Seri Mohd Najib Razak yang bertanding jawatan presiden Umno telah mendapat 105 pencalonan manakala pencabarnya Tengku Razaleigh Hamzah belum mendapat sebarang pencalonan.


Manakala bagi jawatan timbalan presiden pula, Muhyiddin mendapat 65 pencalonan, Mohd Ali (23) dan Muhd Taib (17).

Bagi naib presiden pula Hishammuddin mendapat 85 pencalonan, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi (62), Datuk Shafie Apdal (46), Datuk Khaled Nordin (50), Datuk Syed Hamid Albar (22), Datuk Rais Yatim (9), Tan Sri Isa Samad (8), Datuk Jamaluddin Jarjis (6), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (8), Datuk Shahidan Kassim (6), Datuk Mohamad Hassan (3), Datuk Musa Aman (2), Datuk Mohd Ali Rustam (1) dan Tan Sri Annuar Musa (1).

Menurut Agus lagi, pencalonan yang dibuat bahagian tidak boleh dijadikan ukuran kerana perwakilan bahagian hanya menurut sahaja kehendak ketua bahagian.

Katanya, politik Malaysia ialah sama dengan politik dikir barat, iaitu apabila ketua memilih, semua orang akan menyokong.

Perwakilan bebas memilih

Sementara itu, Prof Mustaffa Ismail dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, kuasa untuk memilih jawatan uama parti dibuat oleh perwakilan di peringkat pusat dan bukannya oleh bahagian.

"Perwakilan tersebut tidak terikat dengan kehendak bahagian dan ini bermakna mereka bebas memilih.

"Apa yang dicalonkan oleh bahagian tidak bermakna mereka akan mematuhinya. Oleh kerana itu sukar meramalkan pemenangnya," katanya.

Prof Mustaffa berkata, politik wang akan menjadi semakin berleluasa selepas tempoh mesyuarat bahagian berakhir pada 9 november depan.

Katanya, ketika itulah calon-calon yang mendapat pencalonan yang sedi, akan berusaha untuk mendapatkan sokongan menjelang perhimpunan agung Umno.

Seorang lagi pensyarah UKM, Nik Anuar Nik Mahmud berkata, beliau tidak percaya apa yang berlaku di peringkat bahagian sekarang, memberi gambaran sebenar apa yang akan berlaku pada hari perhimpunan agung nanti.

Katanya, apa yang berlaku sekarang ialah perwakilan bahagian hanya mahu memberi undi kepada calon supaya yang bertanding.

"Pertandingan kali ini sangat terbuka, semua orang boleh menang. Boleh jadi yang dapat pencalonan nombor tiga, akan menang," katanya lagi.

http://www1.malaysiakini.com/news/92182

Harga minyak turun lagi esok?

Oct 30, 08 5:18pm

Mesyuarat kabinet esok akan membincangkan sama ada akan menurunkan harga minyak buat kali keempat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Katanya, sebarang penurunan harga minyak akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jika mendapat persetujuan jemaah menteri.

"Perkara ini perlu dibincang terlebih dahulu dan keputusan ini perlu melibatkan empat menteri iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Menteri Kewangan II (Tan Sri Nor Mohamed Yakcop) dan saya.

"Jadi saya tidak tahu apa keputusannya. Memang kerajaan berhasrat menurunkan harga minyak. Tetapi ia (umum) mungkin esok, lusa atau dua minggu lagi," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

Menurut Bernama, pada 15 Oktober lalu kerajaan menurunkan harga minyak petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada RM2.30 sen seliter manakala harga petrol RON92 diturunkan 10 sen kepada RM2.20 seliter. Harga minyak diesel pula diturunkan 20 sen kepada RM2.20.

Pada 4 Jun lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kira-kira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.

Mengenai andaian bahawa harga minyak akan turun mulai esok, Shahrir berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.

http://www1.malaysiakini.com/news/92172

DAP: Bantahan PAS kerana salah faham tapi berniat baik...

Oct 30, 08 3:29pm


DAP menyifatkan bantahan Pemuda PAS terhadap cadangan supaya dimansuhkan 30 peratus pemilikan bumiputera dalam syarikat tersenarai sebagai berpunca daripada salah faham walaupun berniat baik.

Begitu juga dengan bantahan PAS Selangor terhadap pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kata setiausaha publisiti DAP kebangsaan, Tony Pua.

Menurutnya, ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub berkata ekuiti 30 peratus itu mesti dikekalkan dan "perlu dipertahankan walaupun jika sasarannya telahpun dicapai".

"Menurut beliau, sebelum tahun 1969, ekuiti orang Melayu adalah hampir kosong dan selepas 40 tahun, ia hanya mencapai 19 peratus. Jika ini berterusan, kita memerlukan 20 tahun lalu untuk mencapai
sasaran 30 peratus itu,"
kata Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Menurut Pua lagi, kegagalan bumiputera untuk mencapai sasaran 30 peratus ekuiti - walaupun hampir 40 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan - hanya membuktikan bahawa pencapaian ekuiti menerusi pengawalan peraturan, tidak akan mencapai matlamat untuk meningkatkan kekayaan bumiputera dalam tempoh masa yang singkat.

"Malah, 19 peratus sasaran pemilikan kekayaan itu, jika tepat, tidak berganjak sejak tahun 1990-an," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pua berkata, untuk membolehkan bumiputera mencapai sasaran 30 peratus pemilikan kekayaan negara itu, maka adalah penting bagi pasaran modal diliberalisasikan untuk menarik modal global.

'Rakyat Malaysia rugi'

Menurutnya lagi, matlamat negara untuk menjadi pusat kewangan serantau sejak 1980-an telah terjejas kerana Malaysia telah ketinggalan di belakang banyak pusat-pusat kewangan yang lain di rantau ini.

Pua berkata, Bursa Saham Kuala Lumpur, sehingga 1993, merupakan bursa saham kedua terbesar di rantau Asia-Oceania, tetapi hari ini ia telah terkeluar daripada senarai 10 bursa teratas, dan ketinggalan kepada pasaran kewangan di Singapura, India, China, Taiwan, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Akibatnya, kata beliau, bukan sahaja syarikat asing tidak berminat dengan bursa Malaysia, malah syarikat di Malaysia sendiri juga beralih kepada pasaran kewangan yang lebih menarik.

Akhirnya, tegas Pua, yang rugi adalah rakyat Malaysia sendiri.

Oleh itu, katanya, langkah progresif ke arah meliberalisasikan pasaran kewangan, akan membolehkan perkembangan ekonomi yang lebih dinamik, dan disertai dengan pewujudan kekayaan yang lebih besar.

"Pasaran yang lebih liberal juga akan memangkin tenaga kerja yang lebih produktif, yang mampu bersaing secara sama rata dalam ekonomi global," katanya.

Pelantikan Low


Menurut Pua lagi, PAS Selangor juga salah faham dalam reaksinya terhadap pelantikan Low (foto) sebagai pemangku pengurus besar PKNS.

Katanya, ini kerana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah pun menyatakan dengan jelas bahawa buat masa ini, Low adalah individu paling layak untuk mengisi jawatan tersebut.

Dengan itu, tegas Pua, ia bermakna Low mampu menguruskan PKNS secara lebih berkesan dan cekap, yang seterusnya akan memberi faedah kepada negeri Selangor.

Selaras dengan dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat, katanya, rakyat termiskin di Selangor, yang sebahagian besarnya bumiputera, akan mendapat manfaat daripada faedah tersebut.

"Keturunan pengurus besar tersebut tidak patut dipersoalkan sama sekali. Adalah mengecewakan apabila bantahan (terhadap pelantikan Low), dibuat berasaskan perspektif kaum dan tidak dari segi kualitinya," kata Pua.

Dalam hal ini, beliau berharap, PAS tidak akan hanya melihat pada perkara yang kecil semata-mata, tetapi juga turut mengambil kira soal yang lebih besar daripada itu.

http://www1.malaysiakini.com/news/92137

Mahathir: Najib dibayangi 'tingkat empat' baru

Oct 30, 08 2:41pm

Mantan perdana menteri bimbang kesan negatif pengaruh kumpulan penasihat Datuk Seri Mohd Najib Razak ala pasukan "tingkat empat" yang didakwanya menyebabkan kejatuhan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga mendakwa hubungan penasihat timbalan perdana menteri ini ada hubungan dengan pasukan penasihat Abdullah, termasuk menantunya Khairy Jamaluddin.

"Saya diberitahu, Najib juga mempunyai penasihat muda yang amat berpengaruh terhadapnya.

"Mereka ini mempunyai hubungan rapat dengan menantu Abdullah dan tingkat empat, bahkan mereka adalah daripada kumpulan yang sama," katanya.

Istilah "tingkat empat" pertama kali dipopularkan oleh Dr Mahathir sewaktu mengkritik Abdullah beberapa tahun lepas bagi merujuk sekumpulan penasihat perdana menteri yang beroperasi di aras empat bangunan Pejabat Perdana Menteri.

Mereka ini didakwa mempunyai pengaruh kuat dalam penentuan dasar-dasar dalam pentadbiran kerajaan.

Walaupun mengakui terdapat sumbangan positif kumpulan penasihat, Dr Mahathir bagaimanapun bimbang jika mereka mempunyai kepentingan perniagaan dan cuba mempengaruhi Mohd Najib untuk menggunakan dana awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau menyebut syarikat Ethos Capital Sdn Bhd yang diumpamakannya dengan peranan syarikat pelaburan ECM Libra Bhd yang mencetuskan kontroversi susulan penggabungan dengan syarikat berkaitan kerajaan.

"Apakah Ethos, yang juga terlibat dengan tingkat empat, akan menjadi seperti ECM-Libra?

"Ethos Capital, sebuah syarikat pelaburan jenis Equity Capital tidak banyak berbeza daripada hedge fund (pengurusan dana).

"Mereka amat berminat untuk dapat sebahagian dari tabung KWSP yang sekarang berjumlah RM300 bilion untuk mereka urus pelaburannya, kononnya dengan pulangan 40 peratus," kata Dr Mahathir di blognya Chedet.com.

"Najib harus berhati-hati supaya pisang tidak berbuah dua kali."

http://www1.malaysiakini.com/news/92136

Hakim kontroversi letak jawatan 1 Disember

Oct 30, 08 12:35pm

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ian Chin - yang sebelum ini membuat dakwaan mengejutkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengancam hakim-hakim - telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai hakim.

Menteri di Jabatan Perdana, T Murugiah memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa Chin telah menyerahkan surat peletakan jawatannya, yang bertarikh 16 Julai, kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Beliau akan meletakkan jawatan pada 1 Disember 2008. Pada masa ini, beliau sedang bercuti sejak 1 Ogos lalu sehingga 30 November depan," katanya.

Murugiah menjawab soalan Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) sekiranya sebarang tindakan akan diambil terhadap hakim berkenaan kerana mendakwa berlaku campurtangan kerajaan dalam bidang kehakiman.

Soalan yang sama juga dikemukakan oleh Tian Chua (PKR-Batu).

Murugiah berkata, memandangkan Chin telah menyerahkan surat peletakan jawatannya, maka tidak perlu sebarang tindakan diambil terhadap Mahkamah Tinggi Sarawak itu.

http://www1.malaysiakini.com/news/92127

Liwat: Rayuan Dr Munawar ditolak

Oct 30, 08 11:23am

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Dr Munawar Ahmad Anees berhubung kesnya diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi menolak permohonan peguam pengarang itu Manjeet Singh Dhillon agar mahkamah menggunakan bidang kuasa semakan mengembalikan rayuan Munawar ke Mahkamah Tinggi.

Beliau yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin menjelaskan, alasan penghakiman tersebut akan diberikan kemudian.

Manjeet memohon mahkamah tertinggi itu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penolakan rayuan Dr Munawar di Mahkamah Tinggi.

Peguam itu berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Maarop telah menolak rayuan Dr Munawar tanpa mendengar merit kes tersebut dan Mahkamah Rayuan pula menolak rayuannya tanpa memberikan sebarang alasan.

Dr Munawar, bekas penulis ucapan Anwar, dipenjarakan selama enam bulan pada 1998 selepas mengaku bersalah membiarkan mantan timbalan perdana menteri itu meliwatnya.

(Selepas dibebaskan dan kemudian tinggal di Amerika Syarikat, pengarang itu bagaimanapun menyatakan beliau didera dan dipaksa membuat pengakuan tersebut.)

http://www1.malaysiakini.com/news/92125

Ekuiti: Tekanan MCA untuk raih sokongan Cina


Abdul Rahim Sabri Oct 29, 08 7:49pm

kemaskini 9:07pm Cadangan agar kerajaan menarik balik syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam sejenis "tekanan politik MCA ke atas Umno ekoran kelemahan pentadbiran kerajaan pada masa ini," kata Pemuda PAS.

"Dengan jumlah kerusi (BN) yang ada, Umno tidak berupaya berdiri sendiri sebagai kerajaan dan ini membuka ruang kepada parti-parti perkauman dalam komponen BN untuk menggunakan kuasa tawar-menawar mereka bagi menuntut hak-hak yang telah diperakui sebagai hak orang Melayu untuk kaum mereka," kata Salahuddin Ayub, mengulas cadangan naib presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai kelmarin.

Desakan parti-parti komponen BN semakin lantang menekan Umno, tambah ahli parlimen Kubang Kerian, setelah Parti Maju Sabah (SAPP) menarik diri daripada BN bulan lepas.

"Sebelum ini MIC menuntut pelbagai hak untuk India, UPKO pula mendesak supaya hak bebas keluar daripada Islam, manakala Gerakan mendakwa orang Melayu bukan bangsa asal di negara ini.

"Dan kini, MCA sebagai parti utama orang Cina, iaitu bangsa yang menguasai perniagaan di negara ini mahu ekuiti ekonomi Bumiputera dihapuskan,"
tambahnya.

"Tindakan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan kestabilan kerajaan selain mencetuskan api perkauman.

"Mereka mahu mendapatkan semula sokongan orang Cina yang telah beralih kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu.

"Senjata yang paling baik ialah membangkit hak orang Cina dalam bidang ekonomi."

Sementara itu, sambil menyokong gesaan Liow, calon presiden MCA yang tewas Datuk Chua Jui Meng pula menyarankan kerajaan lebih serius menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti disuarakan oleh timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Mohd Najib Razak dilaporkan bersedia menggantikan unsur-unsur dasar itu secara berperingkat-peringkat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan timbalan perdana menteri itu yang ingin menghapuskan dasar tersebut secara berperingkat-peringkat.

Bekas naib presiden MCA itu mencadangkan Mohd Najib merangka agenda khusus dan jadual untuk menamatkan DEB.

Chua menggesa pemimpin Umno itu menjadi ”juara seluruh rakyat Malaysia” apabila memegang jawatan perdana menteri tahun depan seperti pelan peralihan kuasa Umno.

Manakala Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan agar tidak terburu-buru mengubah sebarang dasar yang berkait dengan kedudukan ekonomi bumiputera.

"Dasar pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera merupakan salah satu instrumen penting DEB yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum di negara ini," kata presidennya Yusri Mohamad.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Liow itu bertentangan dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi.

"Adalah tidak munasabah dasar pemilikan ekuiti ini dihapuskan secara terburu-buru tanpa mengambil kira kesan menyeluruh tindakan itu terhadap kedudukan ekonomi bumiputera.

"Dasar sepenting ini tidak wajar diubah semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik sesetengah pihak," tambahnya.

Oleh itu, kata Yusri lagi, kerajaan digesa melakukan kajian terperinci dengan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum mengubah teras DEB.

http://www1.malaysiakini.com/news/92102
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...