Friday, October 29, 2010

Bertunang lima gadis

KULIM - Hebat sungguh jejaka ini.

Dia sering kelihatan mewah dan bergaya, membuatkan ramai gadis tergoda. Apabila umpan sudah mengena, dia lantas mengatur majlis pertunangan yang cukup meriah.

Bukan seorang, tetapi lima gadis menjadi tunangnya sekali gus.

Namun, jauh di lubuk hati jejaka itu, tiada siapa tahu, dia sebenarnya langsung tiada niat mahu menikahi mereka.

“Ini hanya taktik licik untuk dia memperdaya ‘tunang-tunangnya’ itu,” kata jurucakap polis di sini mengenai taktik menipu seorang lelaki yang memperdaya wanita sehingga kerugian beratus-ratus ribu ringgit.

Selepas bertunang, katanya, lelaki itu akan mempengaruhi mangsa untuk membuat pinjaman peribadi sehingga berpuluh-puluh ribu ringgit setiap seorang yang dikatakan bertujuan untuk persediaan majlis perkahwinan dan juga perniagaan yang akan mereka jalankan bersama setelah berkahwin kelak.

"Mangsa yang terpedaya, akan mudah dipengaruhi. Apa lagi dia sering berlagak seperti ahli perniagaan yang berjaya serta punya wang yang banyak. Ini meyakinkan mereka untuk melabur dalam perniagaan khayalan itu tanpa sebarang rasa ragu," katanya.

Bagaimanapun katanya, helah lelaki itu hanya terbongkar apabila selepas mendapat wang mangsa, jejaka itu pun hilang khabar berita.

"Setakat ini, kita sudah terima laporan daripada lima mangsa yang kesemuanya mengaku tunang lelaki itu. Mereka berusia antara 23 hingga 30 tahun dan kebanyakannya berstatus eksekutif," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa mengadu ditipu dengan modus operandi yang hampir sama, sekali gus meyakinkan pelakunya juga adalah orang yang sama.


"Kita sedang berusaha menjejak lelaki itu dan jika ada lagi 'tunangnya' yang lain di luar sana, mereka diminta buat laporan untuk kita siasat," katanya.


Gara-gara salah ubat



KUANG – Gara-gara tersalah makan ubat, ibu lima anak kini tergolong dalam kategori golongan orang kurang upaya (OKU) selepas kehilangan kaki kiri dan jari kedua-dua belah tangan.

Sharifah Kisut, 52 mendakwa, semuanya berlaku Jun tahun lalu setelah memakan ubat gastrik diberi sebuah klinik kesihatan selepas mendapatkan rawatan akibat sakit perut, walhal mengakui tidak pernah mengalami menyaki tersebut sepanjang hayatnya.

“Saya dirawat seorang pembantu perubatan dan memberikan saya ubat gastrik dan sakit perut.

“Mulanya saya sangsi sebab saya syak sakit perut ini berpunca daripada batu karang yang saya hadapi, tetapi pihak klinik bertegas dan menyuruh saya makan ubat yang diberikan.

“Sebaik pulang saya terus makan ubat tersebut dengan harapan akan sembuh tetapi perkara sebaliknya berlaku," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Gombak dekat sini.

Sharifah berkata, dia terpaksa dikejarkan ke hospital dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu selepas pengsan di rumahnya akibat pening memakan ubat tersebut

“Di hospital saya diberikan ubat tertentu, saya tidak pasti jenisnya tetapi keadaan bertambah teruk apabila apabila seluruh badan saya jadi kehitaman dan berlendir,” katanya

Difahamkan Sharifah turut mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang

Keadaannya berlarutan selama lima bulan menyebabkan kaki kirinya semakin membengkak dan busuk menyebabkan ianya terpaksa dipotong hingga ke paras peha kerana khuatir ianya akan merebak dan merosakkan organ penting seperti jantung.

“Selepas itu dua jari tangan kanan saya juga terpaksa menerima nasib yang sama terpaksa dipotong kerana sudah membengkak manakala dua jari tangan kirinya mereput dan terputus begitu sahaja,” katanya

Sejak daripada itu dia terpaksa berulang alik ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan selain menjalani hemodialisis.

Sharifah kini bergerak menggunakan kaki palsu dan kerusi roda sumbangan pihak hospital dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang.

Pelajar dibelasah teman lelaki



KOTA BHARU – Seorang pelajar perempuan tidak sempat menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara cawangan Machang akhir Disember ini kerana sudah lapan hari koma apabila dipercayai dibelasah oleh teman lelakinya.

Hizrien Ieraqeen Haberi, 21, pelajar semester akhir Diploma Perbankan itu dipercayai dipukul oleh teman lelakinya yang dikenali sebagai ‘Lan’ berasal dari Tumpat di rumah sewanya pada Khamis lalu jam kira-kira 10.30 malam.

Bapanya, Haberi Hamzah, 49, berkata, mengikut apa diceritakan salah seorang rakan anaknya itu, teman lelaki anaknya datang ke rumah sewa tersebut untuk mengambil barangan yang pernah diberikan kepada Hizrien.

“Tiba-tiba lelaki tersebut yang pada awalnya berdiri di pintu masuk rumah meluru masuk ke dalam bilik Hizrien ketika anak saya hendak mengambil barang tersebut dan menutup pintu bilik tersebut.

“Kemudian rakan-rakannya terdengar suara Hizrien mengadu kesakitan, dan tiba-tiba lelaki itu keluar meluru dari bilik dan melarikan diri,’’ katanya ketika ditemui di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini semalam.

Beliau yang bekerja sebagai juruteknik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UMK) berkata, mengikut siasatan polis, teman lelaki Hizrien dipercayai menghentak kepala anaknya itu beberapa kali ke lantai dalam keadaan anaknya terbaring.

Haberi berkata, tiada pendarahan yang kuat berlaku tetapi menurut pihak hospital anaknya itu mengalami luka dalaman teruk hingga diklasifikasikan berada di tahap keempat yang tidak stabil dan memerlukan masa sehingga tiga atau empat bulan untuk sedar dari koma.

Menurutnya yang menetap di Semenyih, Selangor, rakan-rakan anaknya telah pun membuat laporan di Balai Polis Machang dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mencari lelaki yang berusia 25 tahun itu.

“Sekarang ini saya bercuti panjang, dan isteri saya pun mengambil cuti mengajar tanpa gaji bagi menjaga anak sulung kami ini,’’ katanya yang mempunyai empat orang anak.

Sementara itu, Pegawai Khas Kepada Naib Canselor UiTM, Mohd Aizuddin Datuk Mohd Ghazali berkata, pihaknya memohon pihak polis jalankan siasatan terperinci agar pesalah itu dapat ditangkap dan menerima hukuman.

“Setakat ini keadaan Hizrien masih koma dan apa yang berlaku ini sangat dikesali dan kami berharap ia akan menjadi pedoman kepada pelajar lain,’’ katanya.

Turut hadir lawatan tersebut, Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK), Mohd Faizal Daud dan Pengerusi Biro IPT dan Kebajikan, Dr Ariff Hakimi Zulkifli.

Gadis Ditemui Mati Dalam Beg, Disahkan Mengalami Pendarahan Dalam Perut

Jumaat Oktober 29, 2010

KUALA LUMPUR: Mayat seorang gadis yang ditemui dalam beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana di Hulu Kelang semalam, disahkan mati akibat pendarahan teruk dalam perut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata laporan bedah siasat yang diperolehi hari ini, mendapati gadis berumur awal 20-an itu mati akibat ditendang atau dipukul dengan objek yang keras di perut.

"Selain pendarahan di perut, terdapat juga kesan lebam di muka mangsa, namun tiada kecederaan luar dikesan pada tubuh mangsa yang telah mati dalam tempoh 24 jam itu," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata tiga keluarga telah hadir ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi membuat pengecaman ke atas mayat itu.

"Setakat ini, tiga keluarga yang terdiri daripada keluarga Melayu dan Indonesia telah membuat pengecaman ke atas mangsa berikutan kehilangan ahli keluarga masing-masing. Tetapi selepas pengecaman dibuat, mayat itu bukan ahli keluarga mereka," katanya.

Katanya polis juga tidak menerima sebarang laporan terbaru berhubung kehilangan anggota keluarga daripada mana-mana pihak susulan kejadian itu.

"Tiada sebarang tangkapan dibuat dan tiada penemuan terbaru ditemui oleh polis di lokasi kejadian," kata Abdul Jalil.

Dalam kejadian itu, mayat gadis tersebut ditemui oleh seorang pekerja bengkel kereta berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang dalam keadaan berlipat dan berpakaian lengkap.

Polis percaya gadis itu bukan rakyat tempatan memandangkan tiada parut suntikan vaksin BCG ditemui pada bahunya.

Sehelai kertas yang bertulis nama dan nombor telefon negara asing turut ditemui di dalam beg berkenaan. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/10/29/mstar_jenayah/20101029173315&sec=mstar_jenayah

Awas Akaun Facebook Palsu Yana Samsudin

Jumaat Oktober 29, 2010

Yana Samsudin

PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin, 26, meluahkan kebimbangan dengan ancaman daripada orang yang menyamar sebagai dirinya dalam akaun palsu di Facebook.

Menurut Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) itu, sejak dia mula mendekati para peminat menerusi laman sosial itu pada 1 Ogos lalu, seseorang yang tidak dikenali telah menyamar dan mengambil kesempatan untuk berinteraksi dengan peminat.

"Saya mendaftarkan akaun di laman sosial Facebook sejak 1 Ogos lalu namun, baru-baru ini saya mendapat tahu ada orang lain menyamar sebagai diri saya dan menggunakan nama yang sama untuk berinteraksi dengan peminat. Sebab itu, saya perlu menjelaskan kepada umum untuk mengelakkan kekeliruan dengan akaun Yana 'palsu' itu," katanya.

Pelakon yang popular menerusi filem Adnan Sempit itu berharap agar segala kekeliruan informasi dan perkembangan terbarunya yang dibaca oleh peminat pada akaun palsu itu dapat diatasi dengan pendedahan ini.

"Saya bimbang jika peminat yang mengikuti akaun palsu tersebut akan mendapat info dan perkembangan yang salah tentang saya. Maklumlah zaman sekarang ini, macam-macam perkara boleh berlaku.

"Jadi, apabila saya mendapat tahu ada seseorang cuba menyamar sebagai diri saya dan turut mendaftarkan nama yang sama, saya terpaksa buka akaun baru. Saya harap selepas ini tiada lagi kekeliruan berlaku ekoran masalah ini," katanya.

Para peminat yang ingin mengetahui sebarang informasi dan perkembangan aktres dari Yong Peng, Johor ini bolehlah melayari yanasamsudin.blogspot.com atau facebook.com.yanasamsudin.fanpage.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/29/mstar_hiburan/20101027215017&sec=mstar_hiburan

Ular paling panjang di zoo mati


GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan ular sawa sepanjang 7.3 meter di Zoo Columbus, Ohio.


COLUMBUS, Ohio - Seekor ular sawa yang paling panjang di Zoo Columbus di sini ditemui mati pada pagi kelmarin kerana menghidap tumor.

Haiwan sepanjang 7.3 meter yang diberi nama Fluffy dan seberat 136 kilogram itu disenaraikan dalam Guinness World of Records sebagai ular paling panjang pernah tinggal dalam zoo.

Ular berusia 18 tahun itu berjaya menarik minat kehadiran ramai pengunjung di zoo tersebut sejak ia dipamerkan pada 2007.

Ular sawa paling panjang yang pernah direkodkan ialah sepanjang 9.9 meter yang mati dibunuh pada 1912 di Indonesia. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Identiti penyanyi dicuri di Facebook

LONDON - Seorang penyanyi di Britain, Carolyn Owlett trauma setelah identitinya di laman jaringan sosial Facebook dicuri oleh orang lain, lapor sebuah akhbar semalam.

Kes penipuan identiti itu terbongkar selepas seorang lelaki, Regis Remacle yang tidak dikenalinya tiba-tiba memanggil Carolyn, 26, semasa dia berada di sebuah stesen tren bawah tanah dan mengaku menyintainya pada minggu lalu.

"Saya tidak menghadapi masalah sehinggalah Jun lepas apabila saya menerima mesej cinta daripada Remacle. Saya turut menerima beberapa mesej lucah daripada beberapa lelaki di Afrika dan Turki," katanya.

Selepas mereka saling menceritakan perkara yang sebenarnya, Remacle kemudian menghubungi penyamar berkenaan di Facebook dan mendesak supaya dia mendedahkan identitinya.

Pencuri identiti itu yang merupakan seorang wanita di Belgium dikenali sebagai Kristella Erbicella, 21, kemudian memohon maaf kepada Carolyn dan teman lelakinya.

Dia membuka akaun e-mel dan Facebook dengan menggunakan nama Carolyn dan mengambil 2,000 gambarnya di Internet selain menipu rakan-rakan serta keluarga Carolyn supaya menjadi rakannya di Facebook.

Banyak gambar Carolyn beredar di Internet kerana dia seorang penerbit dan penyampai televisyen selain pernah menganggotai sebuah kumpulan pop agak popular pada 2004, The 411.

Penyamar itu menggunakan gambar dan maklumat peribadi Carolyn untuk menjalin hubungan cinta siber dengan Remacle.

"Sukar saya untuk mempercayainya. Perbuatan Erbicella menakutkan saya. Dia menjadikan saya dan Remacle seolah-olah pasangan kekasih tetapi realitinya kami tidak pernah bertemu," ujar Carolyn. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Nissan tarik lebih 2.1 juta kenderaan buatannya di seluruh dunia


GAMBAR menunjukkan kereta Tida keluaran Nissan Motor.


TOKYO - Syarikat pengeluar kereta Jepun, Nissan Motor semalam mengumumkan ia memanggil semula lebih 2.1 juta kenderaan di seluruh dunia kerana kerosakan pada sistem kawalan enjin.

Dalam satu laporan kepada kementerian pengangkutan Jepun, Nissan memberitahu, ia akan menukar bahagian yang rosak secara percuma untuk model-model terbabit ekoran kerosakan tersebut mungkin menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba.

Di Jepun sahaja, Nissan akan memanggil semula sejumlah 834,759 unit kenderaan membabitkan sembilan model termasuk Cube, March dan Tida yang dikeluarkan antara tahun 2003 dan 2006. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Gunung Merapi meletus kali kedua


SEJUMLAH orang menghadiri pengebumian mangsa-mangsa Gunung Merapi di Sidorejo, Sleman, di tengah Jawa semalam.


YOGYAKARTA – Gunung Merapi dekat sini meletus buat kali kedua semalam dalam tempoh tiga hari, dan kali ini menyemburkan awan panas abu volkanik sehingga 3,500 meter ke udara.

Kejadian itu berlaku pada pukul 4.40 petang waktu tempatan.

“Awan panas muncul kembali, setelah pasca letusan pertama yang berlaku pada Selasa lepas,” kata Ketua Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) Yogyakarta, Subandriyo semalam seperti dilaporkan agensi berita Bernama.

Awan panas itu, katanya, masih tergolong sebagai kecil dengan radius luncuran mencapai sekitar 3,500 meter dari puncak Gunung Merapi.

Dalam kejadian letusan sejak petang Selasa lepas, 33 orang telah terbunuh termasuk Jurukunci Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83, serta seorang wartawan portal berita Vivanews.

Dalam letusan Selasa itu, Merapi menyembur awan panas abu volkanik sehingga 1,500 meter dan kesan abunya sampai sehingga ke Ciamis, Jawa Tengah, yang terletak 300 kilometer jauhnya.

Ia menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius di kawasan gunung berapi teraktif di dunia yang berusia 400,000 tahun itu dan memusnahkan beberapa perkampungan di kaki gunung tersebut.

Mangsa-mangsa yang terkorban akibat terkena debu panas dikebumikan secara beramai-ramai di dua tempat berasingan.

Mbah Maridjan dan empat yang lain dikebumikan di Kampung Srunen, Glagahsari, Sleman semalam manakala yang lainnya di Kampung Sidoredjo, Sleman.

Akhbar Kompas.com berkata, keranda kayu yang membawa jenazah Mbah Maridjan dipecahkan oleh penggali kubur sebelum dimasukkan ke dalam liang lahat.

Mbah Maridjan ditemui meninggal dunia dalam keadaan bersujud di rumahnya dekat Gunung Merapi di Kampung Kinahrejo selepas dia enggan berpindah atas alasan menjaga amanah menjaga gunung tersebut selepas dilantik oleh Sultan Jogja.

Sementara itu, angka kematian akibat tsunami di Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera meningkat kepada 343 orang selepas lebih banyak mayat ditemui.

Tsunami itu berlaku pada Isnin lalu selepas berlakunya gempa bumi dalam laut sekuat 7.7 pada skala Richter. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Awan panas luar biasa




SEBAGAI pengarang kanan yang mengetuai pasukan laporan khas portal berita Vivanews.com, jiwa wartawan Yuniawan Wajyu Nughroho untuk memperoleh rencana-rencana eksklusif sentiasa membara. Ketika Yogyakarta berdepan dengan ancaman letusan Gunung Merapi, Yuniawan enggan ketinggalan mendapatkan bahan-bahan menarik.

Empat tahun lalu Yuniawan pernah mewawancara warga emas yang dianggap sebagai penjaga Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83. Kali ini dia mahu bertemu semula dengan lelaki tersebut yang dianggap oleh ramai penduduk sebagai seorang yang boleh meramal letusan Merapi.

Namun, Yuniawan mungkin tidak menyangka bahawa petang Selasa lalu adalah perbualan terakhirnya dengan pengarangnya, Nezar Patria yang sempat menghubungi beliau. Nezar mengingatkan Yuniawan supaya berhati-hati dan meninggalkan kawasan terbabit sekiranya mendengar siren kecemasan.

Sekitar pukul 7 malam, seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Rini Soegiharto memaklumkan kemungkinan Yuniawan dalam kebahaya.

Menurut Rini, perbualannya dengan Yuniawan sekitar pukul 6 petang terputus. Rupa-rupanya itu adalah panggilan telefon terakhir Yuniawan.

Kira-kira pukul 10.42 malam, Vivanews menerima panggilan daripada seorang tenaga kerja Pusat Pengurusan Bencana yang melakukan pencarian mangsa letusan Gunung Merapi. Mereka menemui kad pengenalan Yuniawan. Beliau disahkan sebagai salah seorang mangsa korban yang ditemui di rumah Mbah Maridjan.

Debu-debu volkanik

Selain orang ramai, wartawan Yuniawan merupakan salah seorang yang menjadi mangsa korban Merapi. Sejak beberapa hari lalu, awan panas dan debu-debu vulkanik dimuntahkan gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi, yang memaksa ribuan penduduk yang tinggal di lereng-lereng gunung itu berpindah mencari tempat perlindungan.

Perkampungan di sekitar lereng gunung berapi yang dahulunya menghijau dengan tanaman pertanian yang subur telah berubah wajah menjadi kelabu apabila diselimuti debu-debu vulkanik.

Bahkan, letusan Gunung Merapi tersebut mencetuskan rasa panik di kalangan penduduk setempat yang ingin mendapat perlindungan daripada debu-debu vulkanik dan awan panas yang melanda kawasan penempatan mereka.

Gunung Merapi dengan ketinggian 2,968 meter meletus selepas para saintis memberi amaran tekanan di bahagian bawah kubah lahar gunung tersebut akan menghasilkan letusan paling kuat dalam tempoh beberapa tahun.


SUKARELAWAN mengangkut mayat-mayat yang menjadi mangsa awan panas Gunung Merapi.


Ketua daerah Sleman di Pulau Jawa, Sri Purnomo berkata, pihak berkuasa telah memberi amaran kepada kira-kira 11,400 penduduk yang tinggal di selatan lereng gunung itu supaya bersedia untuk pemindahan segera.

Terdapat kira-kira 40,000 penduduk yang menetap berhampiran gunung paling aktif di Indonesia itu bahkan penduduk itu sebelum ini enggan meninggalkan rumah dan tanaman mereka.

Kebanyakan penduduk tempatan juga dipercayai masih menjalankan aktiviti harian mereka seperti mengusahakan ladang dan memberi makan haiwan ternakan sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.

Sri Purnomo berkata, khemah-khemah untuk penduduk yang dipindahkan telah didirikan di bangunan-bangunan kerajaan dan beberapa padang sukan lebih 10 kilometer (km) dari kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua ahli vulkanologi, Subandriyo berkata, letusan itu berlaku sebelum waktu senja.

Sebelum letusan berlaku, gunung itu terlebih dahulu telah mengeluarkan bunyi menderam dan asap tebal selama beberapa jam.

“Kita dapat mendengar bunyi deraman yang sangat kuat bagaikan badai selama beberapa ketika. Kemungkinan bunyi berkenaan berlaku selama 15 minit.

“Selepas itu kelihatan kepulan debu panas besar mula dikeluarkan ke udara dari Gunung Merapi,” kata seorang petani yang masih belum meninggalkan rumahnya di kawasan cerun gunung berapi itu ketika ia meletus.

Muntahan awan panas

Penduduk setempat juga memaklumkan bahawa mereka ada terbau belerang yang sangat kuat sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.

“Tenaganya meningkat... kami berharap ia akan reda perlahan-lahan.

“Jika tidak kita akan melihat satu letusan yang besar, lebih besar daripada apa yang kita lihat semasa ia meletus beberapa tahun lalu,” kata ahli vulkanologi kerajaan, Surono.

Dalam pada itu, pegawai Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Vulkanik Yogjakarta (BPPTK), Agung Nandaka berkata, sukar bagi penduduk yang berada lima kilometer dari puncak gunung berkenaan untuk berpindah sebelum berlaku muntahan awan panas.

“Ini kerana ia panas dan mempunyai kelajuan yang luar biasa,” katanya.

Sementara itu, seorang bayi berusia dua bulan telah terkorban dalam letusan berkenaan, manakala 20 lagi cedera apabila gunung itu mula meletus.

Bayi tersebut yang tidak diketahui jantinanya mati semasa didukung ibunya ketika orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri.

Stesen televisyen swasta, Metro TV melaporkan, mayat bayi itu telah dihantar ke hospital berdekatan.

Seorang wartawan agensi berita berkata, kebanyakan yang cedera akibat terkena debu panas yang dihamburkan oleh Gunung Merapi melecur teruk.

Selain itu, pasukan penyelamat telah menemui 15 mayat di dalam dan luar rumah Mbah Maridjan di Cangkringan daerah Sleman. Mbah Maridjan merupakan Jurukunci Merapi sejak awal tahun 1980-an.


PENDUDUK kampung yang terjejas akibat letusan Gunung Merapi beratur untuk mendapatkan makanan.


Kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia disebabkan melecur akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat enggan mengesahkan mayat Jurukunci Merapi berkenaan adalah antara 15 mayat yang ditemui sehingga hasil ujian asid deoksiribonukleik ( DNA ) diperoleh.

Puluhan ternakan lembu penduduk kampung di lereng gunung Merapi juga ditemui mati.

Merapi yang membawa erti Gunung Api biasanya mengalami letusan-letusan kecil pada setiap dua atau tiga tahun dan akan mengeluarkan laharnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Kali terakhir gunung berapi berkenaan meletus adalah pada tahun 2006 apabila ia mengeluarkan gas dan serpihan batu menyebabkan dua orang terkorban.

Pada tahun 1994, letusan Gunung Merapi lebih dahsyat berbanding tahun 2006 apabila ia mengakibatkan 60 orang maut.

Pada tahun 1930, ia telah mengorbankan 1,300 orang manakala lebih satu dozen perkampungan musnah.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, lokasi terletaknya pertemuan lapisan-lapisan benua yang menyebabkan kekerapan berlaku aktiviti seismik dan gunung berapi. Negara itu dikatakan mempunyai lebih 120 buah gunung berapi yang aktif.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Perceraian bentuk keluarga gabungan


KESERASIAN antara bapa dan anak tiri penting dalam membentuk keluarga gabungan. - Gambar hiasan


MASIH ingat siri televisyen Amerika The Brady Bunch yang disiar sekitar lewat 60-an dan pertengahan 70-an? Sitcom itu diolah dan disiarkan ketika kes perceraian dan perkahwinan semula berlaku dengan banyaknya di Amerika.

Ia berkisar mengenai sebuah keluarga gabungan besar iaitu Mike Brady dan tiga orang anak lelaki dan isteri barunya, Carol Martin yang mempunyai tiga orang anak perempuan.

Beberapa episod awal memaparkan bagaimana keluarga itu belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan baru yang disulami dengan pertelingkahan dan persaingan sesama sendiri. Mereka akhirnya berjaya hidup sebagai sebuah keluarga.

Keluarga gabungan adalah istilah yang digunakan untuk memperihal pasangan suami isteri yang sebelum ini berkahwin, membawa anak-anak mereka daripada perkahwinan lain untuk tinggal dalam sebuah kehidupan baru.

Trend baru

Meskipun keluarga gabungan perkara lazim di AS tetapi bagi Malaysia dan negara-negara Asia yang lain, ia dianggap satu fenomena yang semakin meningkat.

“Yang pasti trend ini wujud tetapi malangnya tidak ada penyelidikan dibuat dan data mengenainya juga tidak ada.

“Mungkin ia bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan seperti kes pembuangan bayi sebagai contoh, tetapi ia sesuatu yang perlu diberi perhatian,” kata Profesor Datin Paduka Jamilah Ariffin ketika ditemui baru-baru ini.

Jamilah yang merupakan Presiden Forum Keluarga Asia Pasifik Malaysia (APFAM) ialah profesor penasihat La Trobe University dan Monash University, Melbourne, Australia.

Banyak kes perceraian

Kadar perceraian yang tinggi dikatakan ada kaitan dengan meningkatnya keluarga gabungan. Di Malaysia, contohnya, kata Jamilah, ramai wanita Muslim moden yang langsung tidak dapat menerima poligami terutama mereka yang datang daripada keluarga kelas pertengahan dan berkemampuan dari segi kewangan.

Sekiranya perkahwinan mereka gagal, wanita berkenaan berkemungkinan berkahwin semula memandangkan umur kebanyakan mereka dalam lingkungan di antara 40-an dan 50-an.

Wanita-wanita itu berkemungkinan berkahwin dengan lelaki yang sudah bercerai dan mempunyai anak.

Beliau juga menyentuh laporan mengenai hubungan romantik di pejabat yang diuar-uarkan turut menyumbang kepada kes perceraian.

“Semakin ramai wanita yang menyertai dunia pekerjaan. Perkahwinan mereka mungkin tidak bahagia dan mereka berjumpa lelaki di pejabat yang juga tidak bahagia perkahwinannya.

“Mereka bercerai dengan pasangan masing-masing dan berkahwin lagi,” jelas Jamilah.

Menurut Jamilah, sama ada keluarga gabungan itu sebuah keluarga bahagia atau tidak, sebahagian besar bergantung kepada penerimaan ibu bapa terhadap anak tiri dan penerimaan sesama anak tiri.

“Ramai yang membesar dalam persekitaran sedemikian tetapi tiada siapa yang bertanya kepada mereka bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan adik tiri.

“Sebagai contoh, apakah ada persaingan? Tetapi tiada yang mahu bercakap mengenai perkara ini,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan sama ada keluarga gabungan menyumbang kepada peningkatan gejala sosial, Jamilah menjawab: “Ia bergantung bagaimana mereka menghadapi keadaan itu. Ada yang tidak mempunyai sebarang masalah langsung.

“Si ayah sesekali datang menjenguk anak-anaknya sementara si ibu tinggal di rumah lain. Ada juga yang membenci adik tiri, semuanya bergantung bagaimana mereka menangani keadaan tersebut.


WANITA Indonesia yang bekerja di Malaysia juga membentuk keluarga gabungan setelah pulang ke negara mereka kerana rata-ratanya mereka sudah mempunyai anak. - Gambar hiasan


“Ada kes pasangan bercerai kerana isterinya bertemu dengan lelaki yang lebih kacak. Bekas suaminya berkahwin lain tetapi anak perempuannya tidak dapat menerima kehadiran ibu tiri.

“Anak ini menjadi liar dan akhirnya membiarkan dirinya diperkosa kerana marahkan ibu bapanya. Budak perempuan ini secara sengaja merosakkan dirinya kerana marah terhadap ibu bapanya dan merasakan mereka tidak menyayanginya,” kata beliau.

Isu pekerja asing

Jamilah berkata, keluarga gabungan adalah isu di kalangan pekerja asing di Malaysia.

“Ramai wanita Indonesia datang ke negara ini dan sekiranya anda bertanya kepada mereka mengapa mereka ke sini, jawapannya sama ada perkahwinan mereka gagal atau suami mereka mempunyai perempuan lain.

“Selama mereka di negara ini mereka mungkin berjumpa dengan lelaki lain dan berkahwin. Lazimnya wanita ini sudah mempunyai anak di Indonesia dan sekembalinya ke Indonesia, mereka akan membentuk keluarga gabungan,” katanya sambil memberitahu perkara yang sama berlaku di kalangan pekerja dari Filipina.

Jelas sekali, keluarga gabungan atau keluarga tiri berdepan dengan pelbagai cabaran dan menyedari kemunculan trend baru itu, APFAM akan menganjurkan sebuah persidangan dari 1 hingga 3 November ini.

Ia dianjurkan bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Yayasan Pembangunan Keluarga Johor dan La Trobe University.

Persidangan tiga hari itu juga sebahagian daripada acara alumni La Trobe University. Ia akan dirasmikan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Persidangan itu akan membentangkan pandangan menyeluruh dasar kerajaan Australia dan negara lain mengenai struktur keluarga itu.

Ia juga akan membincangkan hasil penyelidikan yang dijalankan negara-negara peserta mengenai kesan terhadap anak kandung atau anak tiri.

Menurut Jamilah, persidangan yang akan diadakan di Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur itu juga akan meninjau bagaimana keadaan keluarga itu dari segi pergaulan sosial, impak ekonomi, sosial dan pendidikan.

Semua kertas kerja yang akan dibentangkan pada persidangan itu akan dibukukan.

“Saya sendiri akan menyediakan satu kertas kerja dari perspektif Malaysia.

“Kertas kerja ini adalah pandangan menyeluruh yang mengambil kira Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang sedang melalui proses pembangunan dan pemodenan berbanding Australia sebuah masyarakat Barat,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai persidangan itu boleh menghubungi Sulaiha di talian 07-2244 148 atau 012-7406 332. – Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Punca warga emas hilang penglihatan




SETIAP lima saat, seorang akan hilang penglihatan. Dijangkakan lebih tujuh juta manusia di dunia hilang penglihatan setiap tahun. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 314 juta orang di seluruh dunia hidup dengan masalah penglihatan yang rendah dan hilang penglihatan.

Keadaan itu semakin meningkat dengan pertambahan bilangan warga emas dan perubahan kepada pemakanan serta gaya hidup yang memberi kesan kepada kesihatan.

Tanpa langkah pencegahan yang berkesan, angka mereka yang mengalami masalah penglihatan di seluruh dunia dijangka mencecah 76 juta orang menjelang tahun 2020.

Namun, 80 peratus daripada kes tersebut boleh dielakkan sama ada ia boleh dicegah (20 peratus) atau boleh dirawat (60 peratus) yang membolehkan daya penglihatan dikekalkan.

Degenerasi makular berkaitan umur (AMD) merupakan sejenis penyakit mata yang kronik. AMD merupakan salah satu punca utama kehilangan penglihatan yang serius di kalangan orang dewasa yang berumur 50 tahun ke atas.


Pemeriksaan mata secara kerap dapat mengesan AMD pada peringkat awal.


Ia juga merupakan salah satu punca hilang penglihatan di kalangan orang dewasa. Berbeza dengan tanggapan orang ramai, hilang penglihatan, khususnya merujuk kepada AMD, boleh dielakkan.

AMD adalah sejenis penyakit yang boleh menjejaskan penglihatan pusat tajam yang diperlukan untuk aktiviti pandangan lurus ke depan mata seperti membaca, memandu kereta, membaca masa dan mengecam muka.

Pakar Runding Oftalmologi, Dr. Lim Kian Seng memberitahu, kadangkala AMD berkembang sangat perlahan sehingga seseorang itu tidak dapat mengesan sebarang perubahan pada penglihatan mereka.

"AMD tidak menyebabkan kesakitan tetapi ia melemahkan daya penglihatan untuk melihat apa yang berada di depan mata. Ada dua faktor utama seseorang berisiko menghidap AMD. Pertama, peningkatan usia kerana AMD dialami sekitar 30 peratus daripada mereka yang berusia 70 tahun ke atas dan kedua, salah satu mata telah diserang AMD," katanya pada forum Age-Related Macular Degeneration (AMD) di Hotel Armada, Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Kian Seng, kira-kira 40 peratus daripada penghidap AMD sebelah mata akan diserang AMD pada mata yang lain dalam tempoh lima tahun.


PENGHIDAP AMD berhadapan dengan visual skotoma pusat yang menjejaskan penglihatan.


Antara faktor risiko yang menyebabkan AMD adalah tabiat merokok, genetik, kurang sesetengah vitamin dan zat mineral, kurang senaman, kaum dan jantina.

"Penghidap AMD akan menghadapi kesukaran hidup dan keadaan ini menyebabkan kualiti hidup terjejas kerana mereka tidak boleh membaca, memandu, berisiko untuk jatuh, mengalami tekanan hidup dan sukar mengurus diri," ujarnya.

Kesedaran rendah

Dalam pada itu, seorang lagi pakar runding oftalmologi, Dr. Ahmad Fauzi Md. Sharif memberitahu, kesedaran AMD di Asia masih rendah.

"AMD menyebabkan pendarahan dan parut pada pertengahan retina yang boleh menyebabkan kecacatan penglihatan dan hilang penglihatan.

"Kajian mendedahkan faktor gabungan seperti merokok, usia meningkat, obesiti, genetik, darah tinggi dan pendedahan sinar UV secara berlebihan pada mata menyumbang kepada risiko AMD," katanya.

Salah satu simptom AMD adalah gangguan penglihatan pada garisan lurus. Bagaimanapun, penyakit itu mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal.

"Tanda-tanda lazim AMD yang lain termasuklah ruang putih atau gelap yang kabur pada pertengahan penglihatan, persepsi warna yang pudar dan peningkatan rasa sensitif pada cahaya.

"Pada peringkat lewat, pesakit-pesakit mungkin akan mengalami penglihatan terhad atau hanya dapat melihat dari pandangan sisi akibat tersasarnya penglihatan induk," jelas Ahmad Fauzi.


RETINA normal yang dilihat menerusi kamera fundus.


Walaupun tiada kaedah yang dapat menyembuhkan AMD pada peringkat lewat, pengurusan dan rawatan yang teratur boleh memperbaiki penglihatan seseorang pesakit itu untuk menikmati hidup yang lebih baik.

"Menangani AMD pada peringkat awal sangat penting untuk mengurangkan risiko hilang penglihatan dan kami mengesyorkan supaya individu yang berusia 60 tahun ke atas menjalankan pemeriksaan mata setiap tahun.

"Rawatan degenerasi makular biasanya diberikan kepada pesakit untuk mengelakkan mereka hilang penglihatan. Antara pilihan penglihatan lazim termasuklah terapi antiVEGF, terapi fotodinamik dan terapi laser," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...