Showing posts with label Singapore. Show all posts
Showing posts with label Singapore. Show all posts

Friday, September 2, 2011

Selepas 50 tahun, S'pura serah kemudahan loji air

Ogos 31, 11 6:37pm


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menyaksikan majlis penyerahan kemudahan loji rawatan air dan rumah pam secara rasmi oleh Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) kepada kerajaan negeri Johor.

Majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB disempurnakan secara bersama oleh Pengerusi PUB, Tan Gee Paw dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Obet Tawil di Loji Air Gunung Pulai di Johor Baharu.

Turut hadir pada majlis bersejarah itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Selain Loji Air Gunung Pulai, PUB menyerahkan Loji Air Sungai Skudai, Rumah Pam Tebrau dan Rumah Pam Pontian berikutan kontrak bekalan air selama 50 tamat antara PUB dan kerajaan negeri Johor di bawah Perjanjian Air 1961 hari ini.

Dalam ucapan pada majlis itu, Abdul Ghani mengucapkan terima kasih kepada PUB kerana mengurus dan menjaga semua kemudahan loji rawatan air dan rumah pam berkenaan dalam keadaan baik sepanjang tempoh perjanjian tersebut.

"Loji rawatan air Gunung Pulai adalah berkualiti tinggi dan kerajaan Johor bercadang meneruskan usaha baik PUB itu,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri menimbang untuk menaiktaraf semua kemudahan berkenaan demi menampung permintaan bekalan air bagi penduduk Johor Bahru dan Pontian.

Keputusan untuk menyerahkan kemudahan air itu secara percuma dicapai semasa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong pada 24 Mei tahun lalu.

Sebelum ini, dilaporkan penyerahan kemudahan air oleh PUB itu akan menghasilkan tambahan 681 juta liter air bersih sehari untuk negeri Johor.

Berikutan tamatnya perjanjian itu, Johor akan mengurus 43 daripada 44 loji rawatan air di negeri itu manakala PUB akan terus menguruskan Loji Rawatan Air Sungai Johor dan Empangan Linggiu di Johor.

Terdapat dua Perjanjian Air Johor-Singapura iaitu Perjanjian Air 1961 yang tamat pada 31 Ogos 2011 dan Perjanjian Air 1962 yang akan tamat pada 2061.

Sementara itu, Dr Vivian berkata penyerahan tersebut tidak akan menjejaskan bekalan air republik itu.

"Penyerahan tersebut atas dasar baik dan simbolik kepada peningkatan hubungan antara Singapura dan Malaysia," dipetik sebagai berkata oleh saluran televisyen Singapura 'Channel NewsAsia'.

Dua loji rawatan dan dua rumah pam itu menghasilkan kira-kira 57 juta liter air sehari atau lima peratus jumlah keperluan bekalan air Singapura.

Katanya Singapura kini dalam landasan untuk menjadi mampu diri dalam bekalan air menjelang tamatnya Perjanjiaian Air 1961 pada 2061.

Katanya sepanjang lalu, Singapura sedang membangunkan sumber air tempatan dengan membina empangan baru dan meningkatkan teknologi keupayaan proses penyahgaraman dan Air Baru.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/174527

Thursday, August 18, 2011

Aksi polis terima ‘duit kopi’ dirakam

Posted by admin on August 17th, 2011

Sebuah laman web,The Straits Times singaporeseen.stomp.com.sg , dipercayai berpangkalan di Singapura hari ini menyiarkan sebuah video klip yang memaparkan seorang anggota polis trafik Malaysia yang berpakaian lengkap, menahan dan menerima @meminta ‘duit kopi’ dari pemandu warga republik itu.

Klip video selama 1.59 minit tersebut memperlihatkan seorang pemandu warga Singapura yang menyeberang ke Malaysia melalui Tambak Johor telah ditahan polis trafik kerana memandu laju, 125 kilometer sejam, berbanding 110 kilometer sejam seperti yang dibenarkan undang-undang.

Rakaman tersebut tidak menyatakan secara tepat di mana kejadian itu berlaku tetapi laman web berkenaan turut memuatkan beberapa keping gambar operasi polis trafik di tempat kejadian.

Di dalam klip video yang dirakamkan pada tarikh 8 Julai lalu, namun baru dimuatkan di internet ini pada mulanya, menunjukkan anggota trafik berkenaan telah meminta sesuatu dipercayai kad pengenalan atau lesen memandu dari pemandu tersebut, sebagaimana prosedur biasa.

Namun beberapa saat kemudiannya, anggota polis trafik itu bagaikan sudah biasa mengamalkan rasuah jalanan, menebalkan muka meminta ‘duit kopi’ sebanyak RM100 untuk mengelak pemandu itu disaman, namun jumlah tersebut tidak dipersetujui oleh pemandu itu.

Kemudiannya proses tawar menawar berlaku dan jumlah ‘duit kopi’ itu berjaya dikurangkan kepada RM50 oleh pemandu warga Singapura tersebut.

Setelah membayar wang berjumlah RM50, pemandu warga Singapura itu dilepaskan pergi oleh anggota polis trafik itu sambil menyelitkan wang yang diterima di bawah buku saman miliknya.

Video klip berkenaan turut menggunakan lagu tema ‘Truly Asian’ sebagai muzik latarnya sebagai satu sindiran sinis kepada Malaysia, di mana lagu itu digunakan oleh Kementerian Pelancongan untuk mempromosikan negara ke mata dunia.

Tindakan itu secara tidak langsung mampu memberikan kesan buruk terhadap industri pelancongan yang merupakan industri kedua yang memberikan pendapatan paling tinggi kepada Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan undang-undang dan tindak-tanduk anggota polis trafik wajar memberikan perhatian serius kepada insiden yang memalukan negara ini.

Perlakuan buruk anggota polis trafik itu juga tidak dapat dikompromikan lagi memandangkan pihak Polis DiRaja Malaysia bergitu giat menjalankan kempen Benci Rasuah dan boleh dikatakan setiap anggotanya dibekalkan lencana bertulis ‘Intergriti Amalan Kita’.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!


http://www.kl-today.com/2011/08/aksi-polis-terima-duit-kopi-dirakam/

Friday, July 29, 2011

Popiah jadikannya kini antara terkaya

Posted by admin on July 28th, 2011

Bilionair Sam Goi Seng Hui, 62, (gambar)lebih dikenali dengan gelaran ‘Raja Popiah’, membuat penampilan pertamanya tahun ini sebagai antara orang terkaya Singapura melalui perniagaan menghasilkan popiah.Tee Yih Jia Food Manufacturing, syarikat utamanya yang menguruskan secara peribadi empayar makanan beku, dengan anggaran hasil $1.3 bilion, merupakan pembuat kulit popiah terbesar di dunia, menghasilkan 35 juta kepingan setiap hari di kilang di Singapura, China, Malaysia dan Amerika Syarikat.

Dijual dibawah jenama Springs Home, ia boleh didapati di bandar utama seluruh dunia dari San Francisco ke Kolkata dan juga China. Tidak ada penyaing yang boleh menandingi Tee Yih Jia, yang mengeksport 90 peratus pengeluarannya ke 49 negara.

Daripada hanya membuat kulit popiah, syarikat Goi telah mengembangkan pengeluarannya dari membuat popiah kepada satu rangkaian
pelbagai makananan-sedia-makan hidangan Asia, termasuk roti paratha, samosa India, bebola pulut dan gulungan udang.

“Saya seorang lelaki sederhana yang bermula secara kecil-kecilan dengan popiah. Tetapi kini kami telah pergi jauh melebihi itu,” Goi berkata. “Sam telah menunjukkan bahawa dengan dorongan, keghairahan dan keazaman apa sahaja tidak mustahil. Dia seorang yang bersemangat,” kata rakan pengusaha hotelnya dan rakan tersenarai kaya, Ow Chio Kiat, yang mempengerusikan Stamford Land.

Dengan minatnya terhadap makanan dan pemilikan lain, terutamanya hartanah, dia muncul buat pertama kali di No. 12 antara orang terkaya Singapura, dengan keuntungan yang dianggarkan pada $1.2 bilion.

Makanan bukan perniagaan yang Goi ingin lakukan. Bapanya, Goi Koh Tong, seorang petani di wilayah Fujian China, berhijrah ke Singapura ketika Goi berusia enam tahun. Keluarganya menetap di Geylang, sebuah kawasan serbah serbih yang dikenali sebagai daerah pelacuran Singapura, dimana bapanya telah membuka sebuah kedai runcit kecil. Goi berhenti belajar ketika di sekolah menengah untuk membantu bapanya di kedai.

Kini Goi menetap di Tony Nassim Road, alamat pilihan bagi orang-orang terkaya di Singapura.


http://www.kl-today.com/2011/07/niaga-popiah-jadikannya-kini-antara-terkaya/

Sunday, July 3, 2011

Tanah KTMB Tanjung Pagar bukan milik kita lagi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Julai: "Selamat tinggal Tanjung Pagar" mungkin paling tepat diucapkan apabila bermula hari ini, tanah Keretapi Tanah Melayu (KTMB), di Tanjung Pagar bukan lagi milik Malaysia.

Ianya kerana pada 24 Mei tahun lalu, kerajaan BN melalui Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak bersetuju menamatkan khidmat KTMB di Tanjung Pagar bermula 1 Julai 2011 dan akan dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP).

Sementara itu, PAS menyifatkan kehilangan tanah KTMB itu membuktikan BN tidak lagi mampu mempertahan kedaulatan negara ini.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, rakyat perlu melihat ketidakmampuan kerajaan BN itu apatah lagi untuk menjaga dan mempertahan perkara bertindih yang lain.

"Barisan Nasional tidak boleh lagi menjamin kedudukan politik dan kedaulatan negara dengan lebih baik pada masa akan datang. Itu warisan terakhir tanah Malaysia di Singapura. Ia hilang dan gagal dipertahankan dibawah era pentadbiran Najib.

"Kita tak tahu apa apakah kita akan kehilangan lagi perkara-perkara berkaitan pertindihan yang masih tidak selesai. Ia tak boleh dipertahan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau memberikan reaksi terhadap kehilangan tanah seluas 200 hektar atau 494 ekar termasuk laluan keretapi dan stesen di Tanjung Pagar mulai hari ini, 1 Julai 2011.

Kesemua tanah itu dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte Ltd.

Syarikat itu melibatkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang akan memegang 60 peratus kepentingan, dan Temasek Holdings Limited, cabang pelaburan kerajaan Singapura, yang akan memegang baki 40 peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu.

"Sebelum ini kita kehilangan Pulau Batu Puteh. Sekarang tanah KTMB pula. Kita tak punya lagi warisan yang memberi erti yang besar dalam konsteks warisan negara.

"Seharusnya jika rundingan dibuat, pertimbangan tidak boleh merugikan negara, atau sekurang-kurang dalam keadaan 'win-win
situation'.

"Saya kesal dengan kehilangan itu. Dah sampai masanya rakyat untuk melihat sikap Barisan Nasional," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat semalam memaklumkan upacara 'Tangisan Tanjung Pagar' dibuat di stesen keretapi Johor Bahru semalam.

Mereka memakai baju putih dan seluar gelap sebagai tanda simbolik kehilangan tanah milik KTMB.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4121-tanah-ktmb-tanjung-pagar-bukan-milik-kita-lagi

Sedihnya negara hilang tanah KTMB selamanya

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Seluruh rakyat Malaysia terutama yang tinggal di Johor sepatutnya bersedih mulai hari ini, apabila tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang telah dipajak selama 79 tahun hilang buat selama-lamanya dari pemilikan Malaysia kerana diserahkan kepada pihak Singapura.

Sebagai balasannya, pihak Singapura akan menggantikan kepada Malaysia (Johor) dengan tanah bertaraf antarabangsa di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Suhaizan Kaiat berkata, penyerahan tanah KTMB yang berlaku hari ini menjadi satu sejarah penting kepada negara dan memberi banyak pengajaran kepada generasi akan datang.

Menurut beliau, pangajaran yang paling besar adalah Kerajaan Malaysia sanggup menyerahkan tanah KTMB kepada Singapura demi mengejar keuntungan material semata-mata dengan mengenepikan persoalan maruah rakyat dan negara tercinta ini.

Katanya, Pemuda PAS Negeri Johor amat sedih dengan catatan sejarah duka ini kerana ia tidak sepatutnya dialami oleh seluruh rakyat Johor dan Malaysia.

"KTMB mempunyai tanah pajakan dengan Kerajaan Singapura selama 999 tahun bermula tahun 1932 seluas 217 hektar. Tanah sepanjang 30 km ini adalah dari Woodland, Kranji, Tanjung Pagar dan 3 lot di Bukit Timah (lot 76-2Mk 16, lot 249 Mk 4 & lot 32-10 Mk 16)," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Tanah tersebut, menurut beliau, cukup strategik kerana terletak di tengah-tengah Singapura, terlengkar dari utara di Woodland hingga ke Selatan di Tanjung Pagar.

Katanya, perjanjian pajakan yang telah dimeterai dengan pihak British telah menyatakan bahawa tanah tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan keretapi sahaja.

Ini bermaksud bahawa jika KTMB membuat aktiviti lain daripada keretapi, katanya, maka perjanjian pajakan akan terbatal dan Singapura berhak untuk merampas tanah tersebut.

"Persoalannya, mengapa perjanjian yang mengikat negara ini tidak dipinda semasa Singapura keluar daripada Malaysia?" tegasnya.

Hari ini, ujarnya, tanah tersebut tidak akan kembali lagi kepada kita dan digantikan dengan tanah di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor yang akan dibangunkan oleh syarikat usahasama Malaysia dan Singapura, M-S Pte Ltd yang dimiliki 60 peratus ekuiti oleh Khazanah Nasional Berhad dan 40 peratus ekuiti oleh Temasek Holdings.

"Persoalannya, mengapa Syarikat M-S Pte Ltd belum menunjukkan sebarang progres projek tetapi tanah KTMB sudah dilepaskan kepada Singapura?

"Di manakah maruah rakyat dan negara Malaysia jika Syarikat M-S Pte Ltd gagal sedangkan tanah KTMB telah diserahkan kepada Singapura?" katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor menegaskan, tanah di Marina South dan Ophir Rochor yang dibangunkan oleh M-S Ptd Ltd itu bakal dijual kepada pasaran setelah siap dibangunkan.

"Oleh itu, tanah ini akan terdedah kepada pemilikan bebas. Berkemungkinan tanah ini sedikit demi sedikit akan hilang daripada pegangan Khazanah Nasional.

"Akhirnya rakyat Malaysia sudah tidak memiliki tanah di Singapura yang boleh dibanggakan oleh generasi akan datang. Apakah jaminan tanah di Marina South dan Ophir Rochor tidak terlepas kepada pihak luar?" ujar beliau.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4125-sedihnya-negara-hilang-tanah-ktmb-selamanya-

Saturday, July 2, 2011

PAS bimbang tanah rakyat M'sia di S'pura tergadai

Abdul Rahim Sabri
Jul 1, 11
12:27pm

Usahasama sebuah syarikat Malaysia dan Singapura bernama M-S Pte Ltd yang belum menunjukkan sebarang kemajuan projek di tanah gantian bertaraf antarabangsa di republik itu dipersoalkan Dewan Pemuda PAS Johor.

NONEDalam satu kenyataan media, ketuanya, Suhaizan Kayat berkata sedangkan tanah yang dimiliki Keretapi Tanah Melayu (KTMB) yang dipajak selama 79 tahun telah diserahkan kepada republik itu.

"Tanah ini akan hilang tidak kembali. Sebagai balasannya Singapura akan menggantikannya dengan tanah bertaraf antarabangsa di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor.

"Terdapat syarikat usahasama Malaysia dan Singapura bernama M-S Pte. Ltd yang dimiliki 60 peratus ekuiti oleh Khazanah Nasional Berhad dan 40 peratus ekuiti dipegang Temasek Holdings yang akan membangunkan tanah tersebut.

"Persoalannya, mengapa Syarikat M-S Pte Ltd belum menunjukkan sebarang progres projek tetapi tanah KTMB sudah dilepaskan kepada Singapura?” soalnya.

Tergadai

Menurut Suhaizan, maruah rakyat dan negara Malaysia akan tergadai jika syarikat M-S Pte Ltd gagal membangunkan projek berkenaan.

NONESuhaizan yang juga exco Pemuda PAS Pusat meluahkan kebimbangan kerana tanah itu "akan terdedah kepada pemilikan bebas" apabila ia dimajukan oleh syarikat berkenaan dan bakal dijual dalam pasaran.

"Berkemungkinan tanah ini sedikit demi sedikit akan hilang daripada pegangan Khazanah Nasional.

"Akhirnya rakyat Malaysia sudah tidak memiliki tanah di Singapura yang boleh dibanggakan oleh generasi akan datang.

"Apakah jaminan tanah di Marina South dan Ophir Rochor tidak terlepas kepada pihak luar?" soal Suhaizan.

Sehubungan itu, Suhaizan menyifatkan penyerahan tanah KTMB kepada Singapura "menjadi satu sejarah penting kepada negara dan memberi banyak pengajaran kepada generasi akan datang".

NONEBeliau juga membidas kerajaan Malaysia kerana sanggup menyerahkan tanah itu kepada Singapura "demi mengejar keuntungan material semata-mata" dan mengenepikan persoalan maruah rakyat dan negara tercinta.

"Pemuda PAS Negeri Johor amat sedih dengan catatan sejarah duka ini," katanya.

Semalam, perkhidmatan tren KTMB di stesen Tanjong Pagar melabuhkan tirai dengan diiringi linangan air mata pengunjungnya malam tadi, setelah 80 tahun menaburkan jasa menghubungkan rakyat di Semenanjung dengan Singapura.

Batu kerikil

Sebaik sahaja tren terakhir yang dipandu oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bergerak meninggalkan stesen tepat pukul 11 malam, para pengunjung stesen itu turun beramai-ramai ke landasan untuk merakamkan gambar serta mengutip batu kerikil di landasan untuk dijadikan kenangan.

NONERamai di kalangan pengunjung kelihatan menitiskan air mata selepas tren terakhir itu berlepas. Sultan Johor memandu tren terakhir itu sebagai simbolik berakhirnya perkhidmatan KTMB di stesen itu.

Tepat jam 12 tengah malam, stesen yang telah beroperasi selama lapan dekad memberikan perkhidmatan menghubungkan Malaysia dan Singapura sejak 1932 itu menghentikan operasinya dari stesen itu secara mutlak.

Bermula hari ini, perkhidmatan KTMB dari Singapura akan beroperasi dari stesen kereta api Woodlands.


http://malaysiakini.com/news/168570

Wednesday, March 23, 2011

S'pura tak lagi bergantung air import M'sia - 2061

Mac 21, 11 3:38pm

Singapura akan memiliki bekalan air yang mencukupi walaupun andainya tiada perjanjian pembekalan air baru ditandatangani apabila Perjanjian Pembekalan Air dengan Malaysia tamat tempohnya pada 2061 nanti, kata Menteri Kanan Goh Chok Tong.

Di bawah perjanjian pembekalan air kedua yang ditandatangani pada 1962, Singapura dibenar untuk mendapatkan bekalan 250 juta gelen air dari Sungai Johor.

"Pelaburan dalam teknologi dan infrastruktur air akan membolehkan negara meneruskan usahanya kearah mencapai tahap mampu diri,” kata Chok Tong yang dipetik oleh Channel NewsAsia semalam.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/159226

Wednesday, March 9, 2011

Kuan Yew akui silap label Muslim

SINGAPURA - Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengakui beliau silap tentang integrasi kaum Melayu dan Islam yang begitu baik di Singapura, lapor agensi berita Bernama semalam.

Kuan Yew membuat penarikan balik itu menerusi satu kenyataan kepada akhbar The Straits Times semalam.

Sebelum ini Kuan Yew membuat kenyataan berhubung kesukaran penduduk Muslim di Singapura berintegrasi dengan penduduk bukan Islam dalam buku terbarunya, Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.

"Hard Truths adalah sebuah buku berdasarkan kepada siri temu ramah selama 32 jam dalam tempoh masa dua tahun," kata Kuan Yew.

"Saya telah membuat satu kenyataan mengenai integrasi umat Islam dengan komuniti lain pada dua atau tiga tahun lepas. Menteri-menteri dan Anggota Parlimen, kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu, sejak itu memberitahu saya bahawa Melayu Singapura sebenarnya mengambil usaha-usaha khusus untuk berintegrasi dengan masyarakat yang lain, terutama selepas kejadian 11 September 2001 (apabila pengganas menyerang Amerika Syarikat) dan bahawa apa yang saya nyatakan itu adalah ketinggalan zaman.

"Saya mengaku silap. Saya harap trend ini (integrasi) akan berterusan pada masa hadapan," kata Kuan Yew.

Buku itu, berasaskan kepada siri temu bual yang diberikan oleh Kuan Yew kepada sepasukan tujuh wartawan daripada akhbar The Straits Times, diterbitkan oleh syarikat Straits Times Press dan dilancarkan pada 21 Januari lalu.

Dalam kenyataan yang kontroversi itu, Kuan Yew berkata: "Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya kebangkitan Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.

"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah."

Sementara itu, agensi berita Dpa melaporkan Persatuan Muslim Profesional menyambut baik kenyataan Kuan Yew itu.

Menurut persatuan itu, kenyataan tersebut memang patut ditarik balik.

Beberapa pemimpin kerajaan di negara ini berusaha untuk dilihat tidak sependapat dengan kenyataan Kuan Yew itu.

Ekoran pilihan raya umum akan diadakan sebelum Jun depan, pentadbiran Singapura pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) berusaha untuk tidak meminggirkan penduduk Muslim yang mewakili 15 peratus daripada lima juta warga Singapura.- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Wednesday, February 23, 2011

Duta Libya di M'sia tidak sokong Gaddafi

Duta Libya di M'sia tidak sokong Gaddafi
Feb 22, 11 4:35pm

Kakitangan kedutaan Libya di Malaysia hari ini membidas 'penyembelihan' penunjuk perasaan anti kerajaan di negara itu dan berkata mereka tidak lagi setia kepada pemimpinnya Muammar Gaddafi.

"Kami tidak lagi setia kepadanya, kami setia kepada rakyat Libya,” kata duta Bubaker al-Mansori kepada AFP apabila kira-kira 200 rakyat Libya mengadakan demonstrasi anti kerajaan di luar pejabat kedutaan di Kuala Lumpur.

Penunjuk perasaan membakar gambar pemimpin Libya itu sambil melaungkan “Masa untuk Gaddafi sudah berakhir" dan "Hentikan pembunuhan" sebelum kedutaan itu membuka pintu pagar bagi membolehkan orang ramai masuk ke perkarangannya.

"Penunjuk perasaan berdemonstrasi membantah pembunuhan yang berlaku di Libya,” kata duta itu dalam perbualan telefon.

"Kita tidak boleh berdiam diri dan membenarkan ini berlaku kepada masyarakat Libya, jadi termasuk kakitangan kedutaan kami juga memprotes.”

Pejabat kedutaan kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengutuk pertumpahan darah dan penyembelihan yang mengakibatkan nyawa orang awam yang tidak bersenjata melayang ketika menunjuk perasaan secara aman.

Nafi tinggalkan Libya

Awal hari ini, Gaddafi menafikan beliau sudah meninggalkan Libya selepas penunjuk perasaan kini menguasai beberapa bandar raya bagi mendesaknya berundur daripada pemerintahan selama empat dekad itu.

“Saya akan bertemu golongan remaja di Dataran Hijau di pinggir Tripoli hari ini," katanya yang muncul di kaca televisyen yang dipancarkan secara langsung dari kediamannya, awal hari ini.

“Saya ingin membuktikan bahasa saya masih berada di Tripoli dan bukan di Venezuela dan saya mahu menafikan laporan televisyen yang seperti 'anjing' itu (laporan tidak benar)," katanya sambil memegang payung melindunginya daripada hujan sebelum memasuki keretanya.

Hujan lebat membasahi Tropili sejak petang semalam.

Ia adalah kemunculan pertama Gaddafi sejak penunjuk perasaan meletus di negara itu dan laporan sebelum ini menyebut beliau sudah melarikan diri ke Venezuela.

Syarikat Singapura keluarkan rakyat Malaysia

Sementara itu, Bernama melaporkan sebuah syarikat Singapura mengeluarkan 31 pekerjanya terutama warga Singapura dan Malaysia, dari tapak operasinya di Libya.

Menurut Boustead Singapore, mereka berjaya menghantar balik enam pekerja Singapura dan Malaysia semalam yang bekerja di projek perbandaran Al-Marj di Tripoli.

Tiga lagi meninggalkan Tripoli untuk ke Filipina.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, ia membawa balik pekerjanya dengan selamat setelah berlakunya demonstrasi dan keganasan di beberapa bandar utama di timur Libya.

Syarikat itu juga mengatur supaya semua kakitangan Boustead, yang terbabit dalam projek itu termasuk yang tinggal di Tripoli, diterbangkan keluar dari Libya dengan penerbangan paling awal yang ada.

http://malaysiakini.com/news/156737

Tuesday, February 1, 2011

Anak beza pendapat dengan Kuan Yew

SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menegaskan bahawa perspektifnya terhadap komuniti Islam di Singapura adalah berbeza berbanding apa yang dinyatakan oleh Menteri Mentor (MM) yang juga bapanya, Lee Kuan Yew, lapor laman Channelnewsasia.com kelmarin.

Dalam buku yang berjudul Hard Truths, To keep Singapore Going yang baru-baru ini djual di Singapura, Kuan Yew menyatakan komuniti Islam kelihatan terpisah dengan masyarakat lain.

"MM (Lee Kuan Yew) memberikan pandangan peribadinya di dalam buku. Ia berdasarkan kepada pengalamannya memerhatikan evolusi masyarakat Singapura selama lebih 50 tahun sejak tahun 1950-an, selain melihat masyarakat lain di seluruh dunia," kata Hsien Loong.

Beliau menyatakan bahawa masyarakat Islam telah melakukan sumbangan besar untuk mengukuhkan keharmonian dan integrasi sosial di Singapura.

Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai respons kepada reaksi komuniti Islam-Malayu terhadap komen-komen Kuan Yew mengenai mereka dalam buku terbarunya yang bertajuk Hard Truths, To keep Singapore Going.

Komen anak Kuan Yew itu dibuat sehari selepas menteri yang mengendalikan hal ehwal masyarakat Islam di Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim menegaskan Singapura merupakan sebuah negara sekular yang menghormati serta melindungi hak-hak orang Islam untuk mengamalkan ajaran agama mereka dan ia yang menjadi asas kepada identiti Singapura.

Menurut Hsien Loong, norma sosial dan agama masyarakat Islam hari ini telah berubah berbanding 50 tahun lalu.

"Jika anda bandingkan masyarakat sekarang dengan apa yang berlaku 50 tahun lalu dan melihat trend sepanjang tempoh tersebut, sememangnya norma-norma sosial dan agama sudah berubah. Cara berpakaian, kesedaran terhadap agama, budaya dan kepatuhan semuanya berubah secara progresif mengikut masa.

"Semua trend ini kita kenal pasti. Tetapi pada masa yang sama, kita sepatutnya berhati-hati supaya ia tidak terus berkembang yang menyebabkan perbezaan berkaitan makanan, pakaian, budaya dan sebagainya itu memisahkan atau mengurangkan ruang persamaan antara kita.

"Saya fikir Muslim Singapura sedar mengenainya dan telah melakukan usaha-usaha khusus untuk mencuba serta membina jambatan yang menghubungkan mereka dengan komuniti-komuniti lain," kata Hsien Loong.

Beliau menyedari komuniti Islam berusaha untuk berintegrasi dengan masyarakat lain di Singapura.

"Wanita Islam mungkin memakai tudung. Tetapi mereka turut mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti bersama komuniti lain.

Mereka berjabat tangan dan bergambar dengan saya, sama-sama berkumpul dan kita selesa antara satu sama lain. Orang Islam makan makanan halal tetapi di tempat kerja dan ketika mahu keluar untuk makan tengah hari, mereka selesa untuk keluar bersama," tambahnya.

"Pastinya, dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud komuniti Islam, sama ada minoriti atau majoriti, semuanya berdepan cabaran untuk berintegrasi ke dalam sebuah negara dan satu komuniti. Kesukaran dan masalah yang timbul di negara-negara lain serta risiko akan kita hadapi di Singapura jika kita tidak endahkan mereka.

"Namun, perspektif saya mengenai apa yang berlaku di Singapura berdasarkan kepada interaksi saya dengan komuniti Melayu, ketua masjid, agama dan pemimpin akar umbi adalah berbeza dengan MM (Kuan Yew)." kata Hsien Loong.

Perdana Menteri itu menegaskan ketika pilihan raya umum bakal berlangsung pada Februari 2012, beliau yakin komuniti Melayu Islam akan mengundi parti yang menjaga kepentingan mereka, sekali gus mengukuhkan keharmonian agama dan kaum di Singapura.

Ketika ditanya adakah beliau sudah mengenal pasti mana-mana calon Melayu untuk kempen pilihan raya akan datang, beliau menyatakan sudah mempunyai beberapa nama, tetapi tidak merancang untuk memperkenalkan mereka pada Ahad nanti. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Wednesday, January 26, 2011

Jet Li jadi warga Singapura



JET LI


SINGAPURA - Bintang kung fu kelahiran Beijing, China yang terkenal, Jet Li semalam mengesahkan bahawa dia telah menjadi warganegara Singapura.

Li mengambil keputusan untuk menetap di Singapura kerana aspek keselamatan dan sistem pendidikan negara itu yang memberi penekanan terhadap pengajaran Bahasa Inggeris dan Mandarin kepada para pelajarnya.

Menurut Li, dia mahu anak-anaknya menerima pendidikan bahasa Inggeris dan Cina di negara tersebut.

Li yang membintangi banyak filem Hollywood termasuk The Expendables dan The Mummy: Tomb of the Dragon Em peror menyatakan keputusannya itu turut dipengaruhi oleh ketiadaan paparazi di negara itu.

"Anak-anak saya akan menerima pendidikan dua bahasa yang baik selain kestabilan sosial negara ini.

"Mereka (anak-anaknya) juga tidak akan diganggu oleh para wartawan," kata Li dalam bahasa Mandarin.

Li yang berada di Singapura untuk menyertai persidangan dermawan menyatakan rasa terkejut ekoran minat orang ramai berhubung penghijrahannya dari Amerika Syarikat (AS) ke Singapura.

"Melucukan kerana saya telah memegang pasport AS dan tinggal di sana selama 20 tahun, tiada siapa yang bercakap mengenainya. Sekarang, bila saya datang ke Singapura, semua orang ingin tahu kenapa saya datang ke sini," katanya.

Terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa bintang filem itu membeli sebuah rumah berharga AS$14 juta (RM42.7 juta) di Singapura.

Li tidak menyatakan sama ada dia menggugurkan ke rakyatan AS dan China tetapi undang-undang Singapura membenarkan rakyatnya memiliki dua kerakyatan.

Li mengikut jejak langkah aktres popular China, Gong Li yang menjadi warganegara Singapura pada 2008. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Tuesday, January 25, 2011

Jiran cuba sabotaj kita: Kuan Yew

SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura menuduh negara jiran, Malaysia dan Indonesia berusaha cuba menjatuhkan republik itu.

Menurut Lee Kuan Yew, kedua-dua negara jiran itu tidak senang dengan kemajuan pelabuhan Singapura dan berusaha untuk menggagalkannya.

Beliau turut menggesa masyarakat Islam tempatan bersikap ‘lebih longgar dalam mengamalkan suruhan agama mereka,’ bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

Majoriti penduduk Singapura keturunan China dengan golongan Melayu yang beragama Islam dan kaum India menjadi penduduk minoriti.

“Saya boleh berkata hari ini, kita boleh integrasi semua agama dan kaum kecuali Islam,” katanya dalam buku barunya: ‘Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.’

“Saya berpendapat kami mencapai kemajuan dengan baik sehingga muncul kebangkitan Islam dan jika anda bertanya pendapat saya, masyarakat lain dapat berintegrasi dengan mudah - persahabatan, kahwin campur dan sebagainya,” katanya yang kini menjadi penasihat anaknya yang juga Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong.

“Saya berpendapat, masyarakat Islam secara sosialnya tidak mencetuskan masalah.

“Tetapi mereka berbeza dan terpisah,” kata Kuan Yew sambil menggesa penganut agama itu bersikap lebih longgar dalam melaksanakan ajaran Islam.

Ketika melancarkan buku berkenaan Jumaat lalu Lee memberi amaran kepada rakyat Singapura agar tidak bersikap ambil mudah kerana republik itu masih menjalani proses pembangunan.

Dengan menyifatkan Singapura dalam buku itu sebagai ‘bangunan 80 tingkat di atas tanah paya,’ Lee berkata, negara itu mesti berjuang untuk mengatasi sikap bermusuhan dengan negara jiran yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Kita mempunyai jiran yang baik? Sedarlah. Terdapat usaha untuk menjatuhkan kita kerana kita adalah pengacau.” katanya dengan mendakwa Malaysia dan Indonesia berusaha untuk menggagalkan bisnes pelabuhan yang amat penting bagi republik itu. - AFP

http://www.hmetro.com.my/articles/Jirancubasabotajkita_KuanYew/Article

Monday, January 24, 2011

Kuan Yew gesa penduduk Islam kurang patuh pada agama


SEJUMLAH naskhah buku Hard Truths to Keep Singapore Going yang merupakan memoir Lee Kuan Yew dipamerkan di sebuah kedai buku di Tanjong Pagar, Singapura kelmarin.


SINGAPURA - Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menggesa masyarakat Islam di negara itu supaya menjadi kurang tegas dalam hal pematuhan ajaran agama demi meningkatkan integrasi dan proses pembangunan negara bangsa.

Singapura didominasi oleh penduduk etnik Cina manakala kaum minoritinya dibentuk oleh kelompok Melayu beragama Islam dan orang India.

Kuan Yew sering menekankan mengenai pentingnya keharmonian kaum.

"Saya ingin menyatakan pada hari ini, kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam," kata Kuan Yew dalam bukunya yang bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.

Buku tersebut mengandungi pandangan-pandangan jujurnya mengenai Singapura dan masa depannya.

"Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.

"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah," kata Kuan Yew yang menggesa komuniti Islam untuk menjadi kurang tegas dalam mematuhi Islam.

Sewaktu pelancaran buku tersebut pada Jumaat lalu, beliau yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pragmatik memberi amaran kepada rakyat Singapura tentang perasaan puas hati mereka.

Kuan Yew turut menyatakan republik yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina itu masih dalam proses membangunkan sebuah negara bangsa.

Di dalam bukunya, beliau menyifatkan Singapura sebagai sebuah bangunan 80 tingkat yang dibina di atas tanah berpaya.

Kuan Yew menegaskan bahawa Singapura mesti berdepan dengan perasaan bermusuhan daripada jiran-jiran beragama Islam yang lebih ramai.

"Kita mempunyai jiran-jiran yang peramah? Sedarlah... Inilah yang melemahkan kita kerana kita merupakan orang yang gemar mencampuri urusan orang lain," katanya yang mendakwa usaha Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan Singapura.

Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 ekoran perbezaan besar terhadap dasar Kuala Lumpur yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu. Sejak itu, Singapura telah mewujudkan pasukan tentera paling moden di Asia Tenggara untuk menangani ancaman negara asing.

Bercakap tentang politik tempatan, Kuan Yew menyatakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah sejak tahun 1959 apabila Singapura memperoleh autonomi politik daripada pemerintah kolonial Britain akan kehilangan kuasanya pada satu hari nanti.

"Akan tiba satu masa apabila orang ramai berkata, mari cuba pihak yang satu lagi. Sama ada kerana kualiti PAP telah menurun atau pihak pembangkang sudah menghasilkan satu pasukan yang setanding dengan PAP. Hari itu akan tiba. Bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, saya tidak fikir ia akan berlaku. Menjangkau tempoh itu, saya tidak tahu," katanya.

Kuan Yew menyatakan walaupun satu kaji selidik menunjukkan sebaliknya, beliau percaya rakyat Singapura masih belum bersedia menerima seorang perdana menteri yang bukan daripada etnik Cina.

"Satu undian menyatakan 90 peratus masyarakat Cina Singapura menyatakan mereka akan melantik seorang bukan Cina sebagai PM. Baiklah, ini adalah ideal. Anda percaya undian-undian ini? Betul-betul sampah. Mereka bercakap apa yang secara politiknya betul," tegasnya.

Kuan Yew juga mempertahankan dasar mempromosikan perkahwinan sesama rakyat Singapura yang berpendidikan tinggi.

Dasar itu dilihat oleh para pengkritik sebagai satu proses kejuruteraan sosial dan menafikan tanggapan mengenai cinta pandang pertama.

"Rakyat mendapat pendidikan. Golongan yang cerdik akan naik statusnya dan mengahwini pasangan yang sama-sama menerima pendidikan yang bagus. Hasilnya, anak mereka pasti lebih pandai berbanding anak-anak tukang kebun.

"Ini adalah hakikat kehidupan. Anda mempunyai seekor kuda betina yang bagus, anda tidak mahu membuat kacukkan antara ia dengan seekor kuda biasa. Anda akan mendapat anak kuda yang kurang bagus. Manusia yang tertarik kepada karakteristik fizikal akan menyesal mengenainya," katanya lagi.

Kuan Yew mendedahkan beliau telah mendermakan semua pendapatannya berjumlah AS$10 juta (RM30.6 juta) kepada kebajikan sejak mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada tahun 1990 selepas 31 tahun berkuasa.

Menteri-menteri kabinet Singapura mendapat bayaran gaji tertinggi di dunia sebagai sebahagian daripada strategi mencegah rasuah dan menarik bakat dari sektor swasta.

Kuan Yew yang memegang jawatan khas, Mentor Perdana Menteri kini bertindak selaku penasihat kepada Perdana Menteri Singapura yang juga merupakan anak lelakinya, Lee Hsien Loong yang mula memerintah sejak tahun 2004.Di sebalik kata-katanya yang tegas, Kuan Yew menunjukkan ciri-ciri kelembutannya apabila ditanya tentang mendiang isterinya, Kwa Geok Choo yang meninggal dunia pada usia 89 tahun, Oktober lalu.

"Ia membawa makna lebih keseorangan," kata Kuan Yew dalam buku tersebut yang mengandungi siri temu ramah eksklusif dengan wartawan-wartawan akhbar Straits Times. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Cerita gengster Melayu Singapura


"SELAMA 16 tahun menjadi Muslim yang jahil adalah kerugian paling besar dalam hidup saya." - Mahathir


PEMUDA ini, Mahathir Dawood, masih muda. Umurnya baru sahaja mencecah 24 tahun.

Berpewatakan menarik dan petah bercakap, beberapa potong hadis dan sirah Nabi yang dilafazkan tatkala menyertai sesi perkongsian pengalaman pada petang itu secara tidak langsung menonjolkan karakter warak lelaki ini.

"Jangan puji lebih-lebih. Saya masih baru mengenal Islam walaupun dilahirkan sebagai Muslim. Banyak lagi yang perlu dipelajari," ujarnya.

Ditemui selepas sesi kaunseling bersama remaja terlanjur di rumah perlindungan Baitul Fiqh di Subang Jaya, Selangor, Mahathir tidak lokek berkongsi sisi jahil kehidupannya.

"Saya mula kenal Allah semasa berumur 16 tahun, itu pun kerana saya berjumpa dengan orang yang selalu ajak saya sembahyang ketika direman.

"Kalau saya jumpa dengan orang yang salah lagi, mungkin sekarang saya masih sesat," katanya yang pernah dipenjarakan selama dua tahun angkara terlibat dalam rusuhan antara dua kumpulan gengster di Singapura.

Menurut Mahathir, dia terlibat dalam kumpulan Sio Kun Tong atau Salakau. Kumpulan itu juga dikenali dengan kod 369.

Ia bermula selepas Mahathir mengikut ibunya yang telah berpisah dengan bapanya berpindah ke Marsling, Singapura.

"Marsling adalah salah satu kawasan gelap di Singapura. Di situ pusat berkumpulnya penagih dadah, ahli kongsi gelap, pelacur, penyeludup, pencuri, kaki ponteng sekolah dan kaki judi, semua ada.

"Kesibukan ibu bekerja pula membuatkan saya lebih suka mencari hiburan di luar bersama kawan-kawan.

"Kami melepak, mencuri telefon bimbit dan menjualnya semula, menjadi penyeluk saku dan macam-macam lagi," kata Mahathir yang mula merokok dan menjadi ahli Salakau ketika berumur 12 tahun.

Jelas anak kedua daripada lima beradik ini, terdapat banyak kumpulan gengster di negara jiran tersebut.

Di kawasan tempat tinggalnya sahaja, ada beberapa kumpulan samseng dengan jumlah ahli melebihi 200 orang. Kumpulan samseng itu kerap bergaduh sesama sendiri.

Rebut perempuan

"Biasanya mereka bergaduh kerana tidak puas hati, mahu tunjuk kuat, luaskan pengaruh serta kawasan dan berebut perempuan," katanya.

Tidak serik bergaduh dan menjadi mangsa pukul?

"Hati saya sudah keras selepas sering terlibat dalam pergaduhan.

"Lagipun, saya cuma ada dua pilihan, sama ada memukul atau dipukul. Apabila sekali kena pukul, saya tidak akan lepaskan peluang untuk memukul orang lain pula.

"Memukul samseng dari kumpulan lain adalah cara terbaik untuk saya menarik perhatian dan keyakinan ketua," tuturnya.

Selain menjadi kaki pukul, dadah, rokok, arak dan perempuan adalah jamuan harian Mahathir.

"Saya memang tonggak tin arak macam air masak. Saya juga ada ambil ganja dan pil tidur.

"Semasa berumur 15 tahun pula, saya ditugaskan oleh taiko (ketua samseng) untuk menjaga keselamatan pelacur dan buat rundingan harga dengan pelanggan.

"Jika pelanggan enggan bayar, saya diberi tanggungjawab untuk memukul mereka," katanya.

Momen gelap kehidupan anak muda ini berakhir selepas buat kali pertama dia dimasukkan ke penjara setelah tiga tahun bergelar samseng.

Semasa menjadi tahanan reman, dia berkenalan dengan seorang tahanan lain bernama Ramo. Lelaki itu berjaya melembutkan hatinya untuk mempelajari Islam dan bersolat.

"Ramo banyak beri bimbingan dan nasihat kepada saya. Namun, perubahan itu tidak lama.

"Selepas didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun, saya terpisah dengan Ramo.

"Di penjara, saya kembali kepada tabiat lama. Solat saya abaikan.

"Bagaimanapun, selepas berkenalan dengan seorang banduan bernama Khairul Fahmi, perasaan takut kepada Allah seolah-olah ditiup kembali.

"Fahmi pernah bunuh orang dan dijatuhi hukuman penjara. Rakannya pula dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

"Terlepas daripada hukuman gantung sangat menginsafkannya. Ia seperti mati hidup semula. Fahmi menjadi rakan banduan yang rajin mengajak saya solat bersama dan mendalami agama," cerita Mahathir.

Apabila difikirkan semula, lelaki ini amat bersyukur kerana sempat kembali ke landasan kehidupan yang sepatutnya.

Benarlah katanya, walaupun majoriti masyarakat memandang rendah institusi penjara, lain pula bagi Mahathir.

Jihad

Padanya, di sebalik tembok dan jeriji besi itulah dia mengenali serta memahami Islam yang kini menjadi pegangan hidupnya.

"Di bilik pengasingan itu saya dapat mengubah diri daripada hamba dunia kepada Muslim yang dahagakan ilmu akhirat," ujarnya yang sempat mengumpulkan tahanan beragama Islam dan membentuk satu kumpulan jihad menentang kezaliman Israel ketika di penjara.

Dua tahun menjalani hukuman, perubahan positif Mahathir kurang disenangi ibu dan adik-beradikya. Tindakan Mahathir menegur cara hidup mereka yang selama ini kebaratan hanya menimbulkan kemarahan.

"Ibu tidak suka jika saya menasihatinya untuk bersolat dan menutup aurat. Adik-beradik yang lain pula menempelak dan memaki hamun.

"Katanya, bekas banduan yang pura-pura alim seperti saya tidak layak untuk menasihati mereka.

"Saya ambil masa dua tahun untuk pujuk mereka. Lama-kelamaan, mereka menerima saya kembali dan beransur-ansur mendalami Islam.

"Malah, adik saya yang paling kuat menentang kini sedang tekun mempelajari al-Quran.

"Syukur, Allah memakbulkan doa saya. Saya cukup takut jika ada ahli keluarga yang meninggal dunia dalam keadaan yang tidak diredai Allah," ujarnya sebak.

Penghijrahan Mahathir kali ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sebaliknya, dia berazam untuk mendekatkan dirinya sekarib mungkin dengan al-Quran, bahkan dalam telefon pintar miliknya, hanya rakaman surah-surah al-Quran yang disimpan.

"Saya haramkan telinga saya untuk mendengar muzik. Begitu juga mata.

"Sangat sedikit rancangan di televisyen yang saya tonton," katanya yang kini mendalami bahasa Arab dan kefahaman Islam di Kolej Islam Mahmoodiah, Singapura.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_07.htm

Saturday, January 22, 2011

Kuan Yew mahu rumahnya dirobohkan selepas mati


LEE KUAN YEW (kiri) mendedahkan gambar beliau dan isterinya, mendiang Kwa Geok Choo dalam pelancaran buku berjudul Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Goingdi Singapura semalam.


SINGAPURA - Bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew mahu rumah keluarganya dirobohkan bagi tujuan pembangunan semula selepas beliau meninggal dunia.

Kuan Yew yang kini memegang jawatan menteri mentor berkata, beliau tidak mahu rumahnya dijadikan sebuah bangunan bersejarah.

Dipetik daripada sebuah buku yang dilancarkan semalam, beliau telah mengarahkan pemerintah merobohkan rumahnya itu yang merupakan banglo era kolonial British yang terletak di lokasi beli-belah utama, Orchard Road.

"Saya sudah memberitahu Kabinet, apabila saya meninggal dunia, runtuhkannya. Saya melihat rumah-rumah lain seperti rumah Jawaharlal Nehru (hero kemerdekaan India) dan Shakespeare akhirnya tidak teratur," kata Kuan Yew yang berusia 87 tahun.

Syarikat Singapore Press Holdings menerbitkan buku bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going yang berdasarkan kepada temu ramah eksklusif bersama wartawan-wartawan akhbar Straits Times.

Kuan Yew yang terkenal dengan sikap jujur dan tidak sentimental itu menjelaskan rumahnya yang dibina sejak lebih seabad lalu oleh seorang ahli perniagaan Yahudi itu merupakan sebuah rumah besar yang uzur.

Ia mempunyai lima bilik tidur dan tiga lagi bilik pada ruang belakangnya selain retakan-retakan pada dinding.

Kuan Yew yang ditemu ramah sebelum kematian isterinya, Kwa Geok Choo pada Oktober tahun lalu menyatakan ahli keluarganya tidak akan merindui rumah tersebut yang dimilikinya sejak tahun 1940-an.

"Saya tidak fikir anak perempuan saya atau isteri saya atau saya yang tinggal di dalamnya atau anak-anak lelaki saya yang membesar di dalamnya (rumah itu) akan meratapi kehilangannya. Mereka mempunyai gambar-gambar lama untuk mengingati mereka pada masa lampau," katanya.

Mesyuarat-mesyuarat penting yang akhirnya membentuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) dianggotai Kuan Yew diadakan di bahagian bawah rumah tersebut.

Menyuarat itu bertujuan membentuk strategi sewaktu tahun-tahun awal pembentukan Singapura. Parti PAP memerintah Singapura sejak tahun 1959.

Kuan Yew yang menjadi perdana menteri dari tahun 1959 hingga 1990 sangat pragmatik terhadap nilai ekonomi Singapura.

"Disebabkan rumah saya, jiran-jiran saya tidak boleh membina rumah yang tinggi. Sekarang robohkan rumah saya dan tukar peraturan perancangan pembinaan. Bina bangunan tinggi dan nilai tanah akan meningkat," kata Kuan Yew.

Sementara itu, dalam majlis pelancaran bukunya, Kuan Yew turut menggesa rakyat Singpura supaya memelihara keharmonian agama dan antara kaum.

"Saya tidak menipu diri saya walaupun satu detik bahawa perbezaan kaum, budaya, bahasa, agama telah hilang.

"Mesej yang ingin saya sampaikan adalah mudah. Kita merupakan sebuah negara dalam pembinaan. Adakah kita akan berjaya melakukannya? Adakah saya yakin kita akan dapat mencapainya. Tidak, kita tidak boleh berkata begitu. Mungkin akan berlaku kesilapan dan kita akan berpecah.

"Ini adalah urusan generasi anda dan generasi yang membuatkan anda berjaya untuk memahami betapa rapuhnya masyarakat ini dan pastikan masyarakat dalam kepaduan, teruskan bersatu dan kekalkan seperti yang ada pada hari ini, bertoleransi dan bersikap tolak ansur antara satu sama lain.

"Anda mempunyai sebuah negara seperti China atau Jepun. China boleh musnah, dirobohkan tetapi rakyatnya kembali bersatu untuk membina semula negara. Saya tidak pasti jika Singapura rosak, musnah atau dirobohkan, rakyatnya akan mampu untuk datang bersatu bersatu semula. Menurutnya, negara yang telah dibina itu mesti diperkukuhkan dan dibina secara berhati-hati. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Kuan Yew arah roboh rumah

SINGAPURA: Ahli politik veteran Singapura, Lee Kuan Yew, mahu rumahnya dimusnahkan bagi membolehkan tapak itu dibangunkan selepas dia mati dan tidak dijadikan makam bersejarah.

Dalam petikan buku terbaru Kuan Yew yang dilancarkan semalam, bekas Perdana Menteri Singapura itu berkata, arahan diberi kepada kerajaan untuk merobohkan banglo dibina pada 1869 di Jalan Orchard itu apabila dia tiada nanti.


“Saya memberitahu Kabinet, apabila saya mati nanti, robohkan rumah itu,” katanya dalam buku itu dan disiarkan akhbar Straits Times, semalam.

Buku berjudul Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going itu diterbitkan syarikat Singapore Press Holdings berdasarkan temubual eksklusif dengan tokoh berkenaan.


Temu bual itu diadakan sebelum kematian isterinya, Kwa Geok Choo, Oktober tahun lalu.


Kini menjadi penasihat kepada anaknya yang menjadi perdana menteri, Kuan Yew, 87, berkata dia pernah melihat rumah warisan pemimpin terkemuka dunia, termasuk Jawaharlal Nehru dan William Shakespeare, yang terabai selepas tempoh waktu tertentu.

Terkenal sebagai negarawan yang berterus-terang dan tidak sentimental, Kuan Yew menganggap rumah dibina lebih seabad lalu oleh saudagar Yahudi itu sebagai kediaman ‘lima bilik tidur dan tiga lagi di belakang’ yang retak di sana-sini.


Kata Kuan Yew, keluarganya pasti tidak akan merindui rumah itu yang dimiliki sejak 1940-an lagi.

“Saya tak fikir anak perempuan atau isteri saya, malah saya yang pernah tinggal di dalamnya, atau anak lelaki saya yang membesar di situ, akan meratapi kehilangannya.


“Mereka ada gambar lama jika mahu mengingatinya,” katanya.


Menurut Straits Times, tingkat bawah rumah Kuan Yew itu pernah menjadi tempat mesyuarat pemimpin utama Parti Tindakan Rakyat merangka strategi pada era awal penubuhannya.


Kata Kuan Yew, tapak rumah itu mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.


“Disebabkan rumah saya, jiran sekeliling tidak boleh membina bangunan tinggi.


“Jika rumah saya nanti dirobohkan, nilainya pasti meningkat lebih tinggi,” katanya.
- AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KuanYewarahrobohrumah/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...