Showing posts with label Underage Sex. Show all posts
Showing posts with label Underage Sex. Show all posts

Saturday, August 13, 2011

Minda: Figura bapa diperlukan bendung gejala sosial

Oleh Dr Mashitah Ibrahim

KAJIAN terbaru membabitkan 2,800 remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun yang dijalankan Universiti Tunku Abdul Rahman tahun lalu menganggarkan 21 peratus remaja negara ini mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Kadar ini masih rendah berbanding 33 peratus di Brazil, 50 peratus di Amerika Syarikat dan 60 peratus di United Kingdom.

Namun, ini bukan sesuatu untuk dibanggakan. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada 2004 menganggarkan 2.2 peratus daripada 8.7 juta remaja di Malaysia, atau lebih kurang 190,000, mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Angka sebenar mungkin lebih tinggi daripada itu.

Kajian ini juga mendapati 40 peratus remaja mengadakan hubungan seks sebelum mencapai umur 18 tahun, tujuh peratus sebelum 15 tahun dan 1.4 peratus sebelum 12 tahun.

Lebih mengejutkan ialah penemuan bahawa daripada 40 peratus itu, satu perempat (24 peratus) mengadakan hubungan seks sehingga lima orang, 14 peratus dengan lebih lima orang, dua peratus dengan lebih 10 orang dan tiga peratus dengan lebih 20 orang!


Sebanyak 52 peratus daripada responden mengakui akan cuba mendapat bantuan atau perlindungan daripada pihak yang dipercayai jika mengandung manakala 37 peratus daripada yang diwawancara mengatakan mereka mahu memelihara sendiri bayi yang dilahirkan.

Bagaimanapun, tujuh peratus mengatakan mereka mungkin menggugur atau membuang bayi sementara empat peratus lagi akan memberi bayi mereka untuk dijadikan anak angkat.

Kajian ini membabitkan remaja semua kaum dan agama, bukan hanya Melayu-Islam. Hasilnya tetap menyayat hati. Penemuan kajian konsisten dengan statistik rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Daripada 2.48 juta kelahiran yang didaftar antara 2006-2010, kira-kira sembilan peratus atau 235,000 adalah bayi luar nikah. Daripada jumlah bayi luar nikah ini, 34.5 peratus atau 81,000 adalah Islam.

Rekod rasmi menunjukkan kelahiran bayi luar nikah semakin meningkat. Pada 2006, ada 38,300 kes dan pada 2010, ada 53,000 kes – peningkatan 38 peratus. Daripada 53,000 kes pada 2010, 17,000 adalah anak orang Islam.

Kes pembuangan bayi yang dilaporkan di media massa sentiasa meruntun jiwa, khususnya bagi wanita dan ibu. Antara kes terbaru ialah bayi yang putus kepala. Berdasarkan rekod polis, antara 2005 dan 2010, sebanyak 407 bayi dibuang, daripada jumlah itu 50 peratus bayi yang dibuang meninggal dunia. Tetapi tidaklah semua kes membabitkan remaja tempatan. Kira-kira 50 peratus kes pembuangan bayi membabitkan warga asing.

Mengikut Kanun Keseksaan Seksyen 309A, sesiapa yang disabit kesalahan membuang bayi yang didapati mati boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda. Namun, saban tahun, kes sebegini tetap berulang, malah bertambah banyak.

Malah, ada juga kes penjualan bayi. Media membongkar beberapa kegiatan yang didalangi hospital swasta Kuala Lumpur dan di Sarawak baru-baru ini. Bayi dijual antara RM8,000 hingga RM21,000. Ini juga kes pemerdagangan orang yang perlu dibanteras sama sekali.

Undang-undang adalah penting, tetapi kaedah lebih berkesan untuk mengurangkan gejala sosial ialah mewujudkan masyarakat prihatin, bukan sahaja bersimpati, tetapi juga bersikap empathy.

Ibu bapa, jiran tetangga, persatuan penduduk, pengurusan hal ehwal pelajar di sekolah, kolej dan IPT, pihak polis, hospital, rakan sebaya, sekolah, golongan agama, media, sektor swasta dan agensi awam, NGO dan pergerakan di peringkat akar umbi semua mesti mengambil tahu keadaan persekitaran, melapor dan mengambil tindakan membanteras.

Dalam keluarga, peranan ibu bapa paling utama. Anak perlu didikan, tanam sifat malu dan takut serta solat berjemaah di rumah. Bayangkan, ada ibu bapa tidak sedar anak mereka mengandung. Ini menggambarkan tahap keprihatinan rendah dalam keluarga tersebut.

Biasanya ibu lebih rapat dengan anak perempuan, mereka saling berkongsi ‘rahsia’ tetapi kajian menunjukkan anak perempuan juga sangat perlukan kasih sayang dan perhatian bapa.

Kajian Kolej Perguruan Islam di Bangi membabitkan 413 pelajar tingkatan empat di 20 sekolah menunjukkan remaja berasakan bapa mereka kurang berinteraksi dan berkomunikasi dengan mereka.

Kurangnya pengaruh ‘father figure’ di kalangan remaja dikenal pasti sebagai antara punca masalah sosial. Inilah juga pengalaman di Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh yang saya naungi.

Daripada lebih 700 kes remaja mengandung yang diurus sejak ditubuhkan pada 2005, majoriti mengakui ketandusan kasih sayang dan keprihatinan bapa.

Kerana itulah kualiti keibubapaan dan institusi keluarga perlu ditingkatkan. Justeru, bapa mesti memperbaiki kualiti kepemimpinan sebagai ketua keluarga.


Penulis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri


Saturday, March 12, 2011

Dagang tubuh cuma RM10

Dagang tubuh cuma RM10

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

DEDAH...wartawan Harian Metro menemubual Lina yang  sanggup menjual tubuh sejak berusia 15 tahun.
DEDAH...wartawan Harian Metro menemubual Lina yang sanggup menjual tubuh sejak berusia 15 tahun.

KOTA KINABALU: Hanya RM10. Itu bayaran dikenakan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang masih bersekolah kepada rakan sekelas yang mahu mengadakan hubungan seks dengannya.

Remaja berkenaan juga tidak kisah melakukan perbuatan terkutuk itu pada siang hari di hotel murah pilihannya dan lebih memeranjatkan sudah melakukannya sejak berusia 15 tahun lagi.

Dalam pertemuan dengan wartawan Harian Metro, pelajar itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berkata, dia mula membabitkan diri dengan kegiatan tidak bermoral itu selepas dipengaruhi beberapa rakan wanita lebih tua yang dikenalinya ketika melepak di kompleks beli-belah di bandar raya ini.

“Ketika itu, saya memerlukan wang untuk membeli pakaian berjenama selain mendapatkan peralatan sekolah lebih lengkap, sedangkan keluarga tidak mampu menyediakannya termasuk buku latihan disebabkan faktor kemiskinan,” katanya.

Lina berkata, selepas menceritakan masalah kewangan dihadapinya, seorang rakan mempengaruhi supaya melakukan pekerjaan itu kerana boleh memperoleh wang dengan mudah.

“Pada mulanya, saya pelik dengan pekerjaan ditawarkan kerana dibawa ke sebuah bilik hotel dengan alasan untuk ‘ditemu duga’ sebelum didatangi seorang lelaki berusia sekitar 30-an.

“Sebelum berbual, saya melihat lelaki berkenaan menyediakan segelas air sebelum memasukkan sejenis pil lalu mengarahkan saya meminumnya dengan alasan untuk menghilangkan perasaan takut dan gemuruh,” katanya.

Katanya, selepas beberapa minit meneguk air berkenaan, dia berasa ghairah sebelum lelaki berkenaan mengarahkannya berbaring.

“Saya hanya tersedar beberapa jam selepas itu dalam keadaan tidak berpakaian. Pada masa itu, saya hanya mampu menangis, namun ditenangkan rakan itu sambil menunjukkan sejumlah wang untuk saya,” katanya.

Lina berkata, selepas kejadian itu, dia semakin ketagih untuk melakukan hubungan seks dan mula menawarkan diri kepada rakan lelaki yang dikenali saja.

“Selepas kejadian itu, saya sering mengulangi perbuatan sama terutama selepas waktu sekolah hingga mampu hidup senang.

“Bagaimanapun, disebabkan terlalu kerap melakukan hubungan seks dengan pelbagai lelaki, saya mengalami jangkitan kuman pada kemaluan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia berhenti daripada kegiatan itu dan akhirnya menyesal dengan apa dilakukannya.

“Mungkin itu balasan atas perbuatan saya kerana mahu mencari wang dengan mudah. Mujur saya tidak mengandung, jika tidak pasti nasib lebih buruk,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/DagangtubuhcumaRM10/Article

Saturday, February 12, 2011

PM Itali akui beliau melakukan dosa





ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi semalam mengakui bahawa beliau 'kadangkala melakukan dosa' tetapi mendakwa majistret-majistret yang mahu mendakwa dirinya berhubung skandal seks menggunakan taktik pengintipan era Kesatuan Soviet untuk menjatuhkannya dalam satu rampasan kuasa politik.

Kesatuan Soviet merupakan sebuah empayar komunis yang kemudian runtuh dan beberapa wilayah yang menganggotainya berpecah.

Salah sebuah anggota kesatuan itu ialah Rusia yang kini mengamalkan pemerintahan demokrasi.

Perdana Menteri bermasalah itu menggunakan wawancaranya dengan sebuah akhbar tempatan berpengaruh, Il Foglio bagi meningkatkan tekanan dalam perang saraf dengan beberapa majistret berkenaan.

Pada minggu hadapan, seorang hakim yang mendengar permintaan majistret-majistret di Milan untuk mendakwa Berlusconi akan memutuskan sama ada beliau perlu dibicarakan di mahkamah.

Sebelum ini, pihak pendakwa raya Itali menyatakan mereka memiliki cukup bukti untuk mendakwa Berlusconi, 74, kerana membayar seorang remaja bawah umur, untuk khidmat seks seterusnya menggunakan pengaruh beliau untuk membantu gadis berkenaan.

"Kadangkala saya seperti orang lain, tidak terlepas daripada melakukan dosa tetapi cara mereka gunakan untuk mahu membawa saya ke muka pengadilan adalah melampau," katanya.

Menurut perdana menteri berkenaan, siasatan majistret-majistret terbabit bermotifkan politik seperti pengintipan terhadap kehidupan peribadi orang awam yang pernah dilakukan oleh pemerintah komunis di Jerman Timur. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Monday, November 22, 2010

Terlanjur di rumah

Terlanjur di rumah

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN, SHAMRAN SARAHAN dan FIRDAUS SAHAT
metahad@hmetro.com.my

AMBIL KESEMPATAN... Adila musnahkan kerpercayaan ibu bapa.
AMBIL KESEMPATAN... Adila musnahkan kerpercayaan ibu bapa.

KUALA LUMPUR: Ada ibu bapa percaya rakan anak datang ke rumah untuk belajar, tetapi akhirnya padah menimpa apabila alasan belajar diberi berakhir di bilik tidur.

Ada pula percaya anak berterus terang meminta izin untuk keluar dengan rakan sama ada lelaki atau perempuan untuk belajar, tetapi melencong ke tempat lain hingga kesudahannya ‘mendapat ilmu’ hal berkaitan seks.

Wartawan Metro Ahad menemui seorang remaja yang terlanjur seawal usia 13 tahun. Malah, seorang pelajar berusia 15 tahun yang ditemui di pusat siber di sini mengakui kerap melakukan seks oral bersama pasangan.

Mereka mengakui bukan daripada keluarga berantakan tetapi mengambil kesempatan di atas kepercayaan dan kealpaan ibu bapa yang bukannya tidak memberi didikan agama, malah bersikap tegas.

Berikut kisah dua pelajar yang ‘dahaga di awal usia’.



KES 1 - ADILAH, 13:

“SAYA mula disentuh teman lelaki awal tahun ini. Itulah kali pertama saya melakukan hubungan seks, saya sendiri tidak menyangka akan terlanjur dan ia berlaku dalam sekelip mata.

Ketika itu teman lelaki ‘cinta monyet’ saya (dikenali sebagai Helmi) berusia 12 tahun datang ke rumah untuk menghantar buku sekolah. Dia pernah beberapa kali datang ke rumah untuk belajar bersama dan ibu bapa saya mengenalinya.

Ayah dan ibu tiada di rumah kerana bekerja. Yang ada hanya adik saya.

Entah mengapa, tiba-tiba Helmi beria-ia mengajak saya masuk ke bilik. Hati saya berdebar-debar dan perasaan bercampur baur masa itu.

Sebaik masuk ke bilik, tanpa melengahkan masa Helmi terus menutup pintu. Entah mengapa saya merelakan saja. Kami terlanjur dan semuanya berlaku terlalu pantas.
Ayah dan ibu tidak mengesyaki apa-apa antara kami. Tambahan pula mereka mengenali Helmi dan tahu kami berkawan.

Helmi sudah beberapa kali datang ke rumah sebab tempat tinggal kami berdekatan. Mungkin dalam usia begini ayah dan ibu tidak percaya kami boleh terlanjur hingga melakukan hubungan seks, tetapi itulah hakikatnya.

Mereka (ayah dan mak) juga percaya dengan saya. Segala yang saya inginkan akan dipenuhi kerana saya anak sulung, meskipun tidak semuanya akan mereka beri.

Pun begitu, dalam masa sama saya takut dengan mereka. Mereka tegas dan sentiasa mengawal tindak tanduk serta segala aktiviti harian saya. Ayah adalah pensyarah manakala ibu guru sekolah menengah.

Dalam diam, mereka tidak tahu banyak perkara negatif antara saya dan rakan. Di kalangan rakan seusia, kami biasa melihat video lucah. Bercerita mengenai seks juga satu kebiasaan buat kami sejak usia saya 12 tahun lagi.

Telefon bimbit diberi ibu dan ayah dijadikan tempat menyimpan video lucah. Saya tidak berani berbuat demikian, tetapi tetap melihat video lucah di telefon bimbit rakan.

Saya terlanjur dengan kekasih juga sebab masing-masing ada perasaan ingin mencuba. Kerana ‘kesilapan’ pertama itu juga, akhirnya saya mengandung.

Selepas beberapa lama, saya tidak datang bulan. saya cuba beritahu ibu, tetapi takut untuk berbuat demikian.

Melihat perubahan diri saya, seorang saudara menyarankan saya membuat pemeriksaan doktor. Ayah dan ibu terkejut. Mereka tidak percaya dan menafikan saya boleh terlanjur sejauh itu.

Saya hanya mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa kerana takut. Ayah dan mak paksa saya memberitahu hal sebenar, namun saya juga menafikan sudah melakukan hubungan seks sebelum ini.

Akhirnya, ketika pemeriksaan dilakukan, saya disahkan mengandung. Ayah dan ibu sangat kecewa dan terpaksa menerima hakikat itu.

Saya dikurniakan cahaya mata lelaki. Dalam gembira menimang cahaya mata, saya turut kesal atas apa yang berlaku. Namun, semuanya sudah terlambat.

Saya lukakan hati ayah dan emak. Anak saya pula akan dihantar kepada keluarga angkat.

Tiada apa yang dapat saya lakukan melainkan rasa kesal yang tidak sudah-sudah, tetapi saya percaya masih ada ruang dan peluang untuk saya berubah.


KES 2 - RAHMAN, 15:

“SAYA mengenali seks sejak sekolah rendah lagi. Ada saja peluang ke pusat siber, saya dan rakan suka memasuki laman web lucah.

Selepas memasuki sekolah menengah, pergaulan saya bertambah luas dan bebas. Saya mula ikut rakan yang lebih tua daripada saya jadi mat motor (rempit).

Tak usah cakaplah mengenai rakan perempuan, apabila bergelar mat motor semua itu datang dengan sendirinya. Saya juga memiliki teman wanita (Liana, 15), dia rakan satu sekolah. Sudah hampir enam bulan kami bercinta.

Setiap malam, kami sentiasa habiskan masa bersama. Biasanya, saya beritahu ayah dan ibu keluar malam berjumpa Liana untuk belajar bersama. Mereka kenal Liana dan tahu hubungan kami.

Bukan semua masa saya luangkan dengan Liana untuk belajar. Kami suka lepak di pusat siber bersama untuk melayari laman web lucah, selain seronok melayani Facebook dan Hi5 bagi mencari kenalan baru.

Hujung minggu, saya dan Liana keluar merayau di Kuala Lumpur bersama rakan mat motor yang lain.

Ke mana saya pergi, keluarga jarang cari. Abang dan kakak tidak pernah ambil peduli apa yang saya lakukan. Ayah juga tidak pernah marah saya bawa motosikalnya ke mana-mana pun. Saya anak ketiga daripada lima beradik.

Ayah kata, bagus juga saya belajar menunggang motosikal sekarang. Nanti, senang nak ambil lesen memandu nanti (pada usia 16 tahun).

Dalam keluarga, ayah memang ‘sporting’. Saya dan dia macam kawan, saya cuma dilarang hisap rokok, sekalipun dia tidak tahu saya merokok sejak tingkatan satu lagi. Liana juga merokok.

Dia (ayah) pesan pada saya, yang penting sekali belajar rajin-rajin. Ayah dan ibu percaya dan sayang saya.

Ayah tidak tahu saya pernah hisap ganja. Kadangkala ada rakan sekolah yang ‘senior’ beli ganja, kami kongsi bersama-sama. Saya belajar hisap ganja selepas tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR) awal Oktober lalu. Biasanya kami beli dengan hasil perkongsian wang.

Bersama Liana, saya sangat bahagia. Saya cintakan dia, banyak perkara kami kongsi bersama. Banyak yang pernah kami lakukan bersama untuk mencuba sesuatu yang baru.

Apabila ada kesempatan berdua-duaan, kami suka menonton video klip lucah di rumah Liana bersama abangnya (berusia 17 tahun).

Kami tidak pernah terlanjur lagi setakat ini, tetapi kerap melakukan seks oral bersama.

Di kalangan rakan, soal seks perkara biasa. Saya ada banyak koleksi video klip lucah dalam telefon bimbit.

Pernah saya terfikir melakukan hubungan seks dengan Liana, tetapi abangnya tidak benarkan. Jika di rumah Liana, abangnya juga sering bersama kekasihnya. Semua yang ingin saya lakukan terbatas kerana abangnya sentiasa ada.

Biasanya kami berkumpul jika ayah dan ibu Liana tidak ada di rumah atau keluar ‘bekerja’. Ayah dan ibu Liana adalah jurujual.

Di rumah saya, ‘line tak clear’. Ibu suri rumah dan jarang keluar. Sebab itu saya suka habiskan masa di rumah Liana jika ada masa terluang dengan alasan hendak belajar bersama.

Ibu tidak pernah persoalkan dan tanya apa saya buat. Dia hanya tahu saya pergi belajar atau sekadar lepak dengan kawan sekolah.

Saya seronok dan suka dengan sikap terbuka mereka (ayah dan ibu), saya tidak rasa terkongkong.

Daripada habiskan masa sia-sia duduk di rumah, baik saya keluar dengan kawan. Yang penting ayah, ibu, abang dan kakak tidak melarang.

Saya tidak pernah bosan dengan rakan, lagi pula duduk di kawasan apartmen memang banyak kenalan.

Apa yang saya lakukan di luar, bak kata orang pandai makan, pandailah simpan.”

http://www.hmetro.com.my/articles/Terlanjurdirumah/Article

Wednesday, November 3, 2010

Peguam Syarie Menulis: Akhlak dalam Islam pendidikan seks paling sempurna

Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com
2010/11/03

Adab pergaulan, batas aurat antara perkara asas boleh hindari seks bebas di kalangan remaja

KISAH rakaman seks yang tersebar meluas di internet adalah fenomena membimbangkan kerana zina dilakukan sewenang-wenangnya. Alasan rakaman untuk simpanan peribadi bukan alasan yang boleh diterima kerana perbuatan itu sendiri menyalahi syariat agama.

Bagaimana jika rakaman terlepas ke tangan pihak tidak bertanggungjawab seperti kerap dilaporkan sekarang ini. Malah, lebih menakutkan apabila rakaman seks mula disebarkan melalui telefon bimbit dan menjadi tatapan umum.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” – (Surah al-Isra’, ayat 32)

Melihat kepada situasi ini, sudah tiba masanya pendidikan seksual di sekolah dan universiti yang suatu masa dulu dibincangkan secara hangat dipertimbangkan semula supaya dapat dilaksanakan menurut acuan pendidikan Islam.

Menurut perspektif Islam, pendidikan mempunyai pengertian dan konsep yang luas, syumul serta mempunyai kedudukan yang tinggi.

Pendidikan seks di negara Barat menitikberatkan perilaku seks sihat, tetapi tidak mendidik anak supaya menghindari seks bebas sehingga tidak dapat mengurangi timbulnya penyakit kelamin dan kehamilan luar nikah.
Pendidikan seks menurut Islam adalah pengajaran dan penerapan mengenai masalah seksual dalam usaha menjaga anak daripada kebiasaan yang tidak Islamik serta menutup segala kemungkinan ke arah hubungan seksual terlarang (zina).

Pendidikan seks sebenarnya bermula ketika anak mulai bertanya mengenai seks. Sejak kecil, anak perlu dididik dengan contoh teladan, kebiasaan akhlak yang baik, penghargaan terhadap anggota tubuh, menanamkan rasa malu apabila aurat terlihat orang lain ataupun malu melihat aurat orang lain.

Sejak seusia 10 tahun, anak lelaki dan perempuan perlu dipisahkan tempat tidur. Mereka juga perlu diajar mengetuk pintu dan meminta izin ibu bapa ketika hendak masuk ke bilik tidur ibu bapa terutama dalam tiga waktu iaitu sebelum solat Subuh, selepas Zuhur dan setelah waktu Isyak.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dalam kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa itu, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nur, ayat 58-59)

Pada usia menjejak umur mumayyiz (7 hingga 10 tahun), anak perlu diajar mengenali organ biologi mereka serta perbezaan antara lelaki dan perempuan, membantu mereka memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di depan khalayak.

Anak juga harus tahu bahawa ada bahagian daripada tubuhnya yang tidak boleh dilihat orang lain apalagi menyentuhnya. Selain itu mereka juga perlu dijelaskan mengenai tumbesaran tubuh serta fungsi anggota tubuh dalam bahasa mudah difahami. Contohnya, usia baligh apabila perempuan kedatangan haid dan anak lelaki mengalami mimpi basah.

Pada usia mencecah baligh (10 hingga 16 tahun), anak harus diberi penjelasan mengenai fungsi biologi secara ilmiah, batas aurat, kesopanan, akhlak pergaulan lelaki dengan perempuan dan menjaga kesopanan serta harga diri.

Pada peringkat ini, anak perlu dijauhkan daripada pelbagai rangsangan seksual, seperti buku porno, bahan lucah, rancangan televisyen atau internet yang berunsurkan seks.

Ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak perlu sentiasa menjaga dan memerhati perlakuan anak mereka di rumah mahupun luar, selain sentiasa mengingatkan mereka larangan mendekati zina.

Kurikulum pendidikan seks yang ingin diajar perlu tertakluk kepada nilai akhlak dan etika ditetapkan Islam melalui perbincangan munakahat yang merangkumi peraturan dan hukum hakam serta perkara berkaitan hubungan lelaki dan wanita.

Dalam konteks masyarakat kita, mengambil kira kepelbagaian kaum dan agama, adalah lebih baik dan munasabah jika pendidikan munakahat diperkemaskan dengan memasukkan elemen baru berkait masalah berlaku hari ini untuk disesuaikan dengan kepelbagaian kaum.

Walaupun Islam dijadikan sebagai garis panduan, namun sayugia dinyatakan bahawa dalam agama lain juga tidak membenarkan atau menghalalkan perlakuan zina sebelum berkahwin.


Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel sekretariatpgsm@yahoo.com

Thursday, October 7, 2010

Keburukan lebih banyak daripada manfaat

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Manfaat laman web rangkaian sosial popular sama ada Facebook, Friendster dan Myspace bukan hanya sekadar mengeratkan silaturahim serta bertanya khabar sedangkan keburukan ‘ditawarkan’ lebih banyak.

Pengerusi Rumah Iman Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abdul Malek berkata, antara keburukan menanti ‘penagih’ laman web itu merangkumi membentuk sikap lalai, boleh meruntuhkan rumah tangga termasuk mempengaruhi remaja berzina.


“Rumah Iman kendalian Sidim menempatkan beberapa remaja perempuan yang terjebak dalam gejala zina berpunca daripada Facebook. Mereka terpengaruh dan ghairah dengan kata-kata pujian serta pujaan lelaki menerusi Facebook sehingga membawa perbuatan zina.


“Facebook itu juga menyebabkan berlaku kes perceraian kerana suami atau isteri curang selepas berkenalan dengan kekasih menerusi laman web sosial itu, sekarang ada pula kejadian seorang pelajar dipukul kerana Facebook,” katanya yang dihubungi semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Harian Metro Isnin lalu mengenai pelajar tingkatan lima sebuah sekolah asrama di Lenggong, Perak yang cedera di mata dan dahi akibat dipukul rakan sekelas selepas dituduh menceroboh laman sosial facebook milik kawannya.


Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, Aiman Asyraf, 17, dibelasah teruk kerana dikatakan menceroboh akaun Facebook milik rakannya kerana mengetahui kata laluan.


Hanafi berkata, walaupun kejadian itu boleh dianggap terpencil namun ia jelas menunjukkan akibat buruk daripada penggunaan laman web sosial.


“Kalau di jabatan kerajaan atau swasta pula, ketagihan melayari laman web sosial ini menyebabkan produktiviti menurun dan pendapatan bulanan sepatutnya diperoleh daripada bekerja disia-siakan dengan aktiviti melalaikan sebenarnya tidak berkat.


“Facebook baru diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu saja tetapi kesannya menyebabkan kita lalai dan ia boleh menjurus ke arah keghairahan maksiat. Kalau sekadar mahu bertanya khabar atau mengeratkan silaturahim, banyak lagi medium lebih baik boleh digunakan,” katanya.


Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi sebuah kenyataan sebelum ini berkata, kematangan berfikir penting bagi setiap individu yang menggunakan media baru seperti laman web sosial untuk menilai kebaikan dan keburukan setiap aktiviti di alam maya.


“Kewujudan laman web sosial dapat mengeratkan tali silaturahim, mempertemukan sahabat lama terpisah, mengikuti perkembangan aktiviti pemimpin, bertanya khabar dengan cara paling menjimatkan, berbincang, nasihat menasihati, berkongsi pengalaman dan petua serta banyak lagi kebaikan yang mampu dimanfaatkan pengguna laman web rangkaian sosial ini.

“Tetapi tidak dinafikan terdapat penyalahgunaannya oleh segelintir masyarakat. Segelintir pihak menggunakannya sebagai medium meluahkan rasa tidak puas hati dan ia bukan cara terbaik kerana penyalahgunaan laman web sosial tidak dapat menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya.


Menurutnya, apa yang penting semua pihak perlu berhati-hati, cermat dan bertanggungjawab ke atas segala maklumat yang ingin disebarkan serta dikongsi agar ia tidak membawa padah kepada diri dan orang lain.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keburukanlebihbanyakdaripadamanfaat/Article

Monday, August 23, 2010

Gadis sunti bermukah

Oleh Nor Husaini Nor Majid
am@hmetro.com.my
2010/08/23

KULIM: Usianya baru menjengah 12 tahun, namun gelora nafsu seorang gadis sunti yang juga murid tahun enam, tidak dapat membendungnya daripada melakukan maksiat.

Lebih mengejutkan, ketika umat Islam menahan lapar dan dahaga kerana menunaikan ibadah puasa, murid sebuah sekolah rendah di Kuala Ketil, dekat sini, bertindak di luar dugaan apabila berkhalwat bersama dua lelaki sekali gus pada siang hari.

Malah, ketika operasi mencegah maksiat dilakukan, remaja terbabit didapati sedang melakukan hubungan seks dengan seorang daripada lelaki berkenaan dalam sebuah rumah di Taman Desa Aman, Karangan, dekat sini.

Dalam operasi dijalankan Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu, murid perempuan berkenaan didapati sedang bersetubuh dengan lelaki terbabit, manakala seorang lelaki lagi turut berada dalam rumah itu.

Ketua Unit Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pihaknya menerima aduan orang awam mengenai perbuatan terkutuk remaja terbabit pada jam 10.35 pagi sebelum pegawai PADK, diketuai Sheikh Radzi Abdul Mutalib bersama tujuh anggota, membuat pemeriksaan di rumah berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, melalui intipan sebelum melakukan serbuan, pihaknya mendapati remaja perempuan itu bersama seorang lelaki berusia 23 tahun dalam sebuah bilik, manakala seorang lagi lelaki turut berada dalam rumah sama.

“Gadis sunti itu baru mengenali lelaki berusia 23 tahun terbabit sebelum mereka melakukan hubungan seks,” katanya.

Azmi berkata, seorang lagi lelaki berusia 20 tahun menjemput remaja berkenaan di Kuala Ketil sebelum membawanya ke rumah sewa lelaki itu di sini.

“Berdasarkan siasatan, lelaki berusia 20 tahun itu turut mengaku tidur bersama remaja perempuan terbabit pada malam sebelum itu.

“Mereka mengakui tidak mempunyai hubungan mahram dan ketiga-tiganya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Kulim untuk diambil keterangan,”
katanya.

Menurutnya, gadis berkenaan dihantar ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan lanjut manakala kedua-dua lelaki terbabit ditahan di lokap Balai Polis Kulim.

Difahamkan, polis mengklasifikasikan kes sebagai rogol kerana membabitkan remaja perempuan bawah umur dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dalam perkembangan sama, Azmi berkata sedikit kekecohan berlaku apabila ibu gadis terbabit dipanggil ke pejabat PADK berikutan ketidakpuasan hati wanita berkenaan terhadap tindakan anaknya dan pasangan.

“Ibu remaja itu memukul kepala, muka serta badan lelaki yang ditahan menggunakan kasut kerana tidak puas hati selepas anaknya didapati bersekedudukan, namun kekecohan berjaya dileraikan pegawai bertugas,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...