Showing posts with label Pluralisme. Show all posts
Showing posts with label Pluralisme. Show all posts

Monday, December 20, 2010

'Awas fahaman pluralisme agama'

Dis 18, 10 8:59pm

Fahaman pluralisme agama adalah bertentangan dengan ajaran Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata fahaman pluralisme agama mampu membuat orang Islam terpesong dari landasan Islam sebenar.

NONE"Fahaman pluralisme agama ialah satu kronologi yang dianggap sebagai kepelbagaian dan kemajmukan dengan membawa maksud semua agama adalah sama dan benar.

"Hal ini amat bertentangan dengan ajaran Islam sebenar kerana ia menyentuh soal akidah umat Islam.

"Islam adalah agama yang Ad-Din dan sempurna dan fahaman ini mampu memesongkan akidah umat Islam kerana membawa kesamarataan kepada semua agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Karnival Antarabangsa HR dan Jom Cegah Dadah di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, hari ini.

Beliau diminta mengulas tentang pandangan tokoh Islam yang berpendapat bahawa golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick dan perlu ditentang kerana fahaman tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

Jamil Khir bekata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa membuat pemantauan secara berterusan bagi membendung hal berkaitan agama Islam yang mampu memesongkan akidah masyarakat Islam.

"Kita akan melakukan kerja pemantauan secara berterusan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan sekiranya ada maklumat berkaitan aktiviti yang membawa kepada kepincangan akidah," katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/151161

Pluralisme: Nasionalisme juga terpesong dari Islam

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menyatakan fahaman pluralisme adalah bertentangan dengan Islam.

Naib Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata ini kerana fahaman pluralisme amat bahaya kerana boleh memesongkan akidah umat Islam di negara ini.

Tambahnya, Islam adalah agama yang benar di sisi Allah SWT dan tidak boleh disamakan dengan agama yang lain.

DPPWP juga, ujarnya bersetuju bahawa mereka yang berfahaman demikian adalah golongan yang terpesong dari ajaran Islam dan wajib kembali kepada Islam.

Namun demikian, katanya mempertikaikan kedudukan bangsa Melayu bukanlah bererti menganut fahaman pluralisme.

Menurutnya, fahaman pluralisme merujuk kepada fahaman kemajmukan dan kesamarataan kepada semua agama dan bukan kepada kedudukan sesuatu bangsa.

“DPPWP tidak menafikan kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam di dalam Perlembagaan.

“DPPWP tetap menyokong bahawa Perlembagaan meletakkan kedudukan istimewa kepada bangsa Melayu dan Islam di Malaysia,” ujarnya.

Namun apa yang dikesalkan, katanya ada sebilangan umat Islam menganggap kedudukan bangsa lebih mulia daripada agama Islam.

“Kerana itu ada sebilangan umat Islam memperjuangkan bangsa Melayu lebih daripada memperjuangkan Islam.

“Mereka sanggup hidup dan mati kerana bangsa Melayu, tetapi tidak menjalankan hukum-hukum Islam seperti yang diperintahkan di dalam al-Qur’an,” katanya.

Mereka, kata beliau kononnya membela hak-hak istimewa bangsa Melayu, tetapi hukum asas Islam seperti menutup aurat, menjaga pergaulan, bercakap benar, amanah, jujur, adil dan lain-lain tidak dilaksanakan.

“Fahaman ini digelar sebagai fahaman nasionalisme. Ia bersifat asabiyah kepada bangsa dengan menganggap bangsanya sahaja mulia, sedangkan bangsa lain tidak,” katanya.

Justeru, beliau meminta Jamil Khir turut menyatakan bahawa fahaman nasionalisme turut terpesong dari ajaran Islam dan menyeru penganut fahaman itu agar kembali kepada Islam kerana Islam adalah lebih perlu untuk diperjuangkan daripada bangsa.

Sedangkan, katanya Islam menganggap semua bangsa adalah sama, dan hanya yang paling mulia adalah mereka yang bertaqwa.

Bangsa Cina dan India lebih mulia dari bangsa Melayu sekiranya mereka beriman dan bertaqwa.

Bahkan, katanya Islam lebih dahulu sampai ke negeri Cina dan India berbanding Tanah Melayu.

“Mencintai bangsa Melayu tidak menyalahi agama, tetapi menjadi satu kesalahan sekiranya sayang bangsa sehingga menolak agama,” ujarnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29938:pluralisme-nasionalisme-juga-terpesong-dari-islam&catid=1:utama&Itemid=50

Friday, December 17, 2010

Pluralisme: Masalah metodologi, bukan niat

Shah al-Maududy
Dis 17, 10
10:13am

Akhir-akhir ini, terdapat ahli akademik cenderung melabel tokoh-tokoh tertentu, sebagai cenderung atau menyokong fahaman pluralisme agama.

Ada tokoh dilabelkan sedemikian, kerana menghadiri satu 'majlis rasmi' kuil Buddha di Kelantan. Seorang lagi tokoh dikaitkan dengan pluralisme, antaranya disebabkan sikapnya yang konsisten membenarkan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam.

meccaAda pihak yang menganggap 'kecenderungan melabel' itu sebagai berniat jahat. Tapi, saya tidak beranggapan sedemikian. Saya tidak percaya, ahli akademik yang melabel itu berniat jahat. Saya percaya, ahli akademik tersebut berniat baik dan ikhlas. Iaitu memelihara kesucian agama.

Saya juga tidak mempercayai, 'pelabelan' ini dilakukan dengan niat menggunakan isu akidah, untuk mewujudkan permusuhan di kalangan ahli politik.

Sangat serius

Pada pengamatan saya, 'pelabelan' yang 'sangat serius' ini, berpunca daripada kesilapan metodologi yang diguna pakai, dalam mendiskusi isu-isu agama. Ia bukan isu 'niat jahat'. Ia sebaliknya isu 'ketempangan metodologi'.

Sepatutnya, dalam membuat keputusan berhubung isu-isu agama (sebenarnya dalam semua isu), nas-nas al-Quran dan hadis, hendaklah dirujuk terlebih dahulu.

Kesilapan akan berlaku, apabila yang pertama dirujuk, ialah kemaslahatan umum atau kebimbangan terhadap kedudukan agama. Sementara, nas-nas syarak dikemudiankan.

sitting in a mosqueMetodologi yang salah inilah juga antara faktor tercetusnya 'budaya tahrim', iaitu budaya suka mengharam sesuatu secara melulu.

Akibatnya, mendoakan kesejahteraan keduniaan kepada bukan Islam, haram. Mendoakan keburukan kepada orang-orang Islam yang dianggap zalim, haram. Bukan Islam masuk ke dalam masjid, haram. Menyedekahkan hasil judi kepada fakir miskin, haram…

Semuanya diputuskan sebagai haram, kerana rujukan pertama kepada nas-nas syarak, tidak dilakukan terlebih dahulu.

Jika yang pertama dirujuk ialah nas-nas syarak, saya yakin, tokoh yang menghadiri majlis di kuil Buddha, atau membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, tidak akan dilabel sebagai cenderung atau menyokong pluralisme. Bahkan, tidak akan ada yang tergamak melabel sedemikian.

masjid jamek mosqueIni disebabkan, apa yang dilakukan oleh Nabi SAW lebih 'dahsyat' daripada sekadar 'menghadiri majlis rasmi di rumah ibadat bukan Islam'.

Ibnu Ishaq dalam kitabnya berkenaan sirah nabawiyyah, mencatatkan peristiwa lawatan satu rombongan Kristian dari Najran ke Madinah, untuk bertemu Nabi SAW. Rombongan tersebut disambut Baginda SAW di masjid Baginda, Masjid Nabawi.

Kristian di masjid

Kebetulan, rombongan tersebut tiba di Masjid Nabawi selepas Asar, yang merupakan waktu sembahyang mereka. Lantas, rombongan Kristian itu bangun untuk mengerjakan sembahyang mereka dalam Masjid Nabawi.

Tatkala para sahabat mahu menegah mereka berbuat demikian, Nabi SAW bersabda, “biarkan mereka (mengerjakan sembahyang mereka)”. Lantas mereka mengadap ke arah timur, lalu mengerjakan sembahyang mereka dalam masjid kedua suci dalam Islam itu!

Peristiwa ini turut disentuh oleh Imam Ibnu Qayyim dalam karyanya Zadul Ma'ad, jilid 3.

putrajaya 120505 mosqueSikap lunak Nabi SAW terhadap bukan Islam, diteruskan oleh para sahabat Baginda. Syaidina Umar r.a sebagai contoh, mengarahkan diperuntukkan daripada Baitulmal, bantuan kewangan tetap kepada salah seorang Yahudi dan tanggungannya (al-Kharaj, karangan Abu Yusuf, ms.26 & Fiqh al-Zakat, karangan al-Qaradhawi, jilid 2, ms.705-706).

Beliau juga mengarahkan diperuntukkan dari Baitulmal bantuan kewangan kepada para pesakit kusta beragama Kristian (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, karangan al-Qaradhawi, ms.47).

Lebih dari itu, sesetengah para tabi'in yang terkemuka, memberikan sebahagian daripada zakat fitrah kepada paderi-paderi Kristian. Sesetengah daripada mereka, seperti Ikrimah, Ibnu Sirin dan al-Zuhri pula berpendapat, harus memberi zakat kepada mereka (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, ms.47)

Zakat kepada bukan Islam

Menyedari Nabi SAW pernah mengizinkan orang-orang Kristian mengerjakan sembahyang mengikut cara mereka dalam Masjid Nabawi, Syaidina Umar r.a memberikan bantuan kewangan kepada bukan Islam bersumberkan wang Baitulmal, dan ada tabi'in yang mengharuskan wang zakat diberikan kepada bukan Islam.

NONEMenyedari semua ini, adalah amat membingungkan, apabila seseorang itu dilabel sebagai condong kepada fahaman pluralisme, semata-mata kerana menghadiri 'majlis rasmi' di kuil Buddha!

Jika dirujuk nas-nas syarak berhubung penggunaan nama Allah oleh bukan Islam pula, saya yakin, tiada pihak yang sanggup melabelkan mana-mana orang Islam yang membenarkannya, sebagai penganut fahaman pluralisme.

Dalam surah al-Zumar ayat 3, Al-Quran merakamkan ucapan orang-orang musyrik yang menjustifikasikan perbuatan mereka menyembah berhala. Mereka berkata “Kami tidak menyembah atau memujanya (yakni berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya”(al-Zumar : 3).

Jelasnya, mereka menggunakan kalimah Allah seperti yang dirakam sendiri oleh al-Quran. Dalam ayat di atas, al-Quran tidak menegah mereka menggunakan perkata Allah dalam ucapan mereka itu.

NONESebaliknya, al-Quran hanya menyebut dalam sambungan ayat di atas “Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta, lagi sentiasa kufur”(al-Zumar :3)

Rujukan kepada nas menemukan kita bahawa, pada zaman Nabi s.a.w, orang-orang bukan Islam bukan sahaja menggunakan kalimah Allah dalam ucapan mereka. Bahkan mereka menggunakan ucapan Bismillahirrahmanirrahim!.

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam surat Raja Mesir, Muqauqis yang beragama Kristian kepada Nabi SAW, beliau memulakannya dengan “Bismillahirrahmanirrahim! Kepada Muhammad bin Abdullah (SAW) dari Muqauqis, pembesar Qibti…”(Ibnu Qayyim dalam Zadul Ma'ad, jilid 3, ms.61 & Ibnu Hisyam dalam Sirah Ibnu Hisyam, jilid 2, ms.359).

Tidak terdapat pula sebarang kenyataan yang menunjukkan Nabi SAW membantah penggunaan Bismillahirrahmanirrahim oleh Muqauqis itu.

taman tamadun islam 280906 mosqueDi samping nas-nas syarak yang dinyatakan, kenyataan para ulama juga sangat jelas berhubung soal ini. Contohnya, jumhur ulama mensyaratkan Ahli Kitab (penganut Yahudi dan Kristian) menyebut nama Allah ketika menyembelih binatang bagi menjadikannya halal dimakan oleh orang Islam (lihat tafsiran ayat 5 Surah al-Maidah dalam Tafsir al-Qurtubi).

Justeru, bagaimana boleh dikatakan, orang bukan Islam terutamanya Ahli Kitab, tidak boleh menggunakan kalimah Allah?

Penggunaan nama Allah oleh bukan Islam begitu luas pada zaman kegemilangan Islam, sehingga mereka menggunakannya dalam nama-nama mereka, tanpa ada bantahan dari ulama Islam.

ibrahimi mosque 240205Sebagai contoh, Hibatullah bin Tilmiz, yang merupakan salah seorang cendiakawan bukan Islam pada zaman Abbasiah (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, ms.53). Hibatullah adalah gabungan dua perkataan, iaitu Hibah dan Allah.

Berhadapan dengan nas-nas syarak dan fakta-fakta ini, saya tidak faham, bagaimana orang Islam yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, dilabel sebagai menyokong fahaman pluralisme!

Bagi mengelakkan munculnya 'pandangan-pandangan yang menghairankan' ini, kembalilah kepada metodologi penentuan hukum dalam Islam. Rujuklah al-Quran dan Sunah terlebih dahulu, sebelum merujuk kepada sumber-sumber perundangan lain yang diperakui.

http://malaysiakini.com/news/151033

Pluralisme: Mufti Perlis tampil bela Nik Aziz

Dis 15, 10 8:22pm

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya amat kecewa apabila tokoh agama yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, cuba dikaitkan dengan fahaman pluralisme semata-mata kerana beliau menghadiri majlis penganut agama Buddha.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106"Ini suatu tuduhan yang amat jahat. Rekod Tuan Guru membuktikan beliau amat konsisten dalam isu Islam," katanya dalam satu kenyataan, sambli menegaskan beliau bukan ahli PAS dan mana-mana parti politik.

Dr Juanda mengulas laporan media online yang memetik kenyataan beberapa pembentang kertas kerja di satu seminar semalam berkaitan isu pluralisme, termasuk mengingatkan pemimpin Islam termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada menghadiri perayaan agama lain.

yusri abimSalah seorang pembentang kertas kerja itu - bekas presiden ABIM, Dr Yusri Mohamad (kanan) mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah secara terbuka menyokong pluralisme dalam syarahannya di London School of Economic Mac lalu.

Dr Yusri dilaporkan mendakwa badan pemikir Anwar - Institut Kajian Dasar (IKD) yang diketuai oleh bekas setiausaha akhbarnya, Khalid Jaafar, juga telah menerbitkan buku-buku yang 'merbahaya' yang mempromosi persamaan agama.

NONEPensyarah Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga turut mengkritik Nik Aziz (kiri) kerana beliau menghadiri majlis penganut agama Buddha di Kelantan.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, juga senada dengan Dr Yusri apabila menggesa umat Islam menentang mereka yang mempromosikan persamaan agama.

Mengulas lanjut, Dr Juanda berkata: "Ya, pluralisme adalah suatu ancaman kepada Islam, tetapi tuduhan melampau dan tergesa-gesa mengecop beberapa orang tokoh politik sebagai penganut fahaman pluralisme ini amat berbahaya kepada keharmonian hidup antara umat beragama di Malaysia.

"Budaya ala-Taliban ini amat tidak cocok dengan rakyat Malaysia yang sudah sekian lama hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati," tambahnya.

"Kita perlulah membezakan di antara sikap menghormati kebebasan pegangan agama orang lain yang diakui oleh Islam dengan hakikat maksud pluralisme," tegasnya.

Tidak sepatutnya, tambah beliau, mereka yang bergelar sarjana tidak memahami metodologi ilmu dalam menilai perbezaan di antara dua perkara ini.

"Dalam al-Quran, Surah al-Kafirun memberikan ruang memperakui hak penganut agama lain dalam mengamalkan kepercayaan mereka, manakala Surah al-Mumtahanah menyuruh orang Islam berbuat baik dengan penganut bukan Islam.

"Erti ruang toleransi dan saling menghormati hak sesama manusia untuk hidup secara harmoni itu diakui oleh Islam dan bukannya satu ciri penganut pluralisme," katanya.

Dr Juanda (kanan) bertanya bukankah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menerima rombongan penganut Kristian Najran di dalam masjid Nabawi?

"Bahkan baginda membenarkan mereka melakukan ibadat agama mereka di dalam masjid kedua paling suci itu.

"Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bangun bagi menghormati jenazah seorang penganut Yahudi yang lalu di hadapannya?


"Bukankah Omar bin al-Khattab RA sewaktu membuka Palestin memberikan kebebasan dan penghormatan yang amat luar biasa kepada Patriach Kristian di sana dan mengunjungi Gereja Nativity?

"Apakah Nabi SAW dan Omar RA ini juga penganut pluralisme? Sudah tentu tidak! Dan dengan itu formula dan kaedah pihak yang gelojoh ini juga salah dan amat berniat jahat," katanya.

Dr Juanda berkata, beliau bimbang wujud kecenderungan beberapa pihak dari kalangan ahli akademik dan agamawan menggunakan isu akidah untuk tujuan mewujudkan permusuhan di kalangan ahli politik.

"(Mereka) juga menggunakan isu akidah untuk menyesatkan dan memurtadkan orang politik yang tidak sebulu dengan mereka," katanya.

Hal ini, tegas beliau lagi, akan menjurus kepada pegangan yang amat melampau dan boleh mencetuskan kekecohan antara agama di Malaysia.

"Akibat sikap seperti ini, banyak pihak akan disesatkan dan dipertikaikan akidah mereka," tegasnya.

Juga, kata Dr Juanda, formula mereka yang melampau ini akan menimbulkan salah tafsiran terhadap sikap harmoni kerajaan Persekutuan kepada penganut berbilang agama di Malaysia.

"Apakah polisi kerajaan ini juga akan mereka sesatkan, termasuk para pemimpin yang terbabit?" soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam, terutama ahli akademik, agar bersikap jujur dan adil dalam memperkatakan soal Islam dan terutamanya dalam soal hubungan dengan agama lain.

"Semua pihak perlu berhati-hati terutama dalam menyatakan pandangan yang boleh membawa kepada permusuhan beragama dan berpolitik," tambahnya.

Dr Juanda berkata rujuklah kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam mengeluarkan pandangan Islam.

"Bukannya dengan emosi dan kecenderungan berpolitik bagi menimbulkan permusuhan di kalangan umat Islam dan permusuhan di antara umat Islam dengan bukan Islam.

"Islam tidak memerlukan mereka yang berpemikiran pelampau, kolot dan amat konservatif bagi membela agama suci ini," tegasnya.

http://malaysiakini.com/news/150923

IKIM: Islam tolak fahaman pluralisme agama

Dis 15, 10 6:26pm

Islam menolak fahaman pluralisme agama yang mendakwa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Beliau berkata walaupun demikian, Islam mengiktiraf bahawa masih terdapat hakikat, kebenaran, kebaikan dan keindahan etika yang terkandung dalam agama-agama yang selainnya.

"Islam juga sentiasa mengalu-alukan sikap saksama, jujur dan berintegriti dari manapun datangnya. Kebaikan dan keindahan etika ini seharusnya digembleng untuk menjulang masyarakat Malaysia ke arah yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi mengulas mengenai isu fahaman pluralisme agama yang dilaporkan akhbar hari ini.

Nik Mustapha berkata walaupun berlainan agama, perpaduan rakyat perlu dipupuk secara menggalakkan keunikan tradisi agama masing-masing sambil menggalakkan sikap saling bermuhibah, berbelas kasihan dan berkasih sayang sebagai saudara sesama manusia.

"Penganut pelbagai agama juga harus digalakkan berlumba-lumba dalam melaksanakan kebaikan, contohnya dalam bentuk membela golongan fakir miskin dan golongan yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, IKIM juga hari ini mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung pluralisme agam. Berikut kenyaatan akhbar penuh itu.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ingin menjelaskan bahawa:

Pertama, Islam menolak faham pluralisme agama (religious pluralism) yang mendakwa bahawa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar.

Kedua, hanya ada satu agama yang memiliki wahyu yang lengkap dan sempurna iaitu
Islam (lihat al-Qur'an, al-Ma'idah, 5:3).


Ketiga, walaupun demikian, Islam mengiktiraf bahawa masih terdapat hakikat, kebenaran, kebaikan, dan keindahan etika yang terkandung dalam agama-agama yang selainnya.

Sementara Islam melarang sikap yang menjadikan agama sebagai bahan ejekan dan bahan permainan, Islam juga sentiasa mengalu-alukan sikap saksama, jujur, dan berintegriti dari manapun datangnya. Kebaikan dan keindahan etika ini seharusnya digembeling untuk menjulang masyarakat Malaysia ke arah yang lebih baik.

Keempat, perpaduan rakyat perlu dipupuk secara menggalakkan keunikan tradisi agama masing-masing sambil menggalakkan sikap saling bermuhibah, saling berbelas-kasihan, dan saling berkasih-sayang sebagai saudara sesama jiran dan saudara sesama manusia yang berasal dari jiwa yang satu, walaupun menganut agama yang berbeza.

Kelima, isu-isu antara penganut agama perlu diselesaikan dengan seadil-adilnya, secara saksama dan dalam semangat saling hormat-menghormati terhadap lunas-lunas agama yang universal sifatnya.

Keenam, para penganut pelbagai agama juga harus digalakkan berlumba-lumba dalam melaksanakan kebaikan, contohnya dalam bentuk membela golongan fakir-miskin dan golongan yang memerlukan, menyuruh yang ma'ruf, dan mencegah yang munkar, sama ada kepada rakyat biasa ataupun kepada pemimpin, dengan kaedah yang wajar, sopan, jujur dan tulus.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/150907

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...