Friday, April 16, 2010

Tak serik-serik juga

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/04/16

KLANG: Walaupun pernah menjalani hukuman di pusat tahanan Simpang Renggam seorang lelaki masih tidak serik apabila ditahan kelmarin kerana dipercayai cuba untuk melakukan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Suspek berusia 24 tahun, berasal di Klang Utama, di sini ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 23 tahun ketika cuba melarikan diri di Lorong Pauh Kijang 2, Taman Saga Off Jalan Meru, di sini kira-kira jam 9.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata, sebelum kejadian, polis menerima aduan daripada orang awam mengenai sebuah kereta jenis Proton Wira putih menghalang jalan di kawasan taman berkenaan.


“Susulan aduan itu, kami menghantar sebuah kereta peronda (MPV) ke kawasan yang dimaksudkan sebelum menemui kereta terbabit.


“Bagaimanapun ketika anggota polis cuba menghampiri kenderaan terbabit, dua lelaki bergegas keluar dan cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan. Kedua-dua suspek terbabit ditahan,” katanya.


Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Deputi Superintendan Roslan Ibrahim.

Mohamad berkata, pemeriksaan badan ke atas suspek dan kenderaan, polis menemui peralatan dipercayai digunakan untuk samun dan pecah rumah, seperti parang panjang, alat untuk membuka kereta dan pecah rumah sejumlah kunci dan satu vest hitam berpelekat perkataan Rela dan logo serta komputer riba.


“Supek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau manakala suspek kedua, satu rekod lampau.


“Mereka turut mengaku melakukan sekurang-kurangnya 12 kes, iaitu dua kes di Balakong, tiga di Tampin dan selebihnya di sekitar daerah ini,” katanya menambah Proton Wira dinaiki kedua-dua suspek dilaporkan hilang 23 Mac lalu di Tampin, Negeri Sembilan.

Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek terbabit positif dadah. Kerugian daripada jenayah yang dilakukan suspek itu dianggarkan berjumlah lebih RM20,000.


Menurutnya, hasil soal siasat sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Batu 3, Jalan Kapar dan menahan lima lelaki berusia 27 hingga 39 tahun kerana disyaki menjadi pembeli barang curi.


“Dalam serbuan itu kami menemui sebuah komputer riba daripada salah seorang lelaki ini dipercayai dibeli daripada suspek,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takserik-serikjuga/Article/index_html

Kes saman RM11 juta pelatih PLKN 25 Mei

2010/04/16

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 25 Mei ini untuk pengurusan kes saman seorang bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berjumlah RM11 juta terhadap Kementerian Pertahanan dan tiga yang lain kerana lumpuh akibat cedera tulang belakang selepas melakukan tekan tubi, tiga tahun lalu.

Tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, A Kaveetha dalam kamarnya semalam. Peguam Kanan Persekutuan, Jamhirah Ali yang mewakili keempat-empat defendan memberitahu pemberita, mahkamah membenarkan kerajaan dan defendan lain meminda penyataan pembelaan dan menetapkan tarikh itu untuk pengurusan kes.


Pada 3 Julai 2007, Asila Latin Husna Abdul Bashir, 21, dan bapanya, Abdul Basir Abdul Rahman, (plaintif kedua) dari Pasir Mas, Kelantan memfailkan saman itu terhadap Jurulatih Kem Teluk Rubiah, Fadzilah Jalaluddin, dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Hadi Awang Kechil. Turut dinamakan sebagai defendan Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kerajaan Malaysia. Mereka memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, melalui Tetuan Haniff Khatri.


Dalam tuntutannya, Abdul Basir memohon ganti rugi am berjumlah RM5 juta dan ganti rugi khas termasuk perbelanjaan perubatan, kos penginapan serta kos rawatan susulan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KessamanRM11jutapelatihPLKN25Mei/Article/index_html

Klip anak jadikan bapa kaya


RAKAMAN David berada dalam khayal menyebabkan keluarganya menjadi kaya.


ORLANDO, Florida - Rakaman video lucu seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dalam perjalanan pulang selepas berjumpa doktor gigi telah memberi kekayaan kepada keluarganya, lapor sebuah akhbar semalam.

Gelagat kanak-kanak itu, David DeVore yang berada dalam keadaan khayal selepas diberikan ubat bius semasa sebatang giginya dicabut, tiba-tiba menjadi popular setelah bapanya menyiarkan rakaman tersebut di laman YouTube di Internet.

Ekoran populariti tersebut, bapanya telah mendapat hak lesen perdagangan dengan pendapatan melebihi AS$100,000 (RM319,050).

Pada mulanya, dia menyiarkan rakaman tersebut di laman sosial Facebook kemudian di YouTube.

Rakaman selama kurang dua minit itu dirakamkan pada tahun lepas dengan menggunakan sebuah kamera video yang baru dibeli dan telah ditonton sebanyak 56 juta kali dengan 100,000 penonton baru setiap minit di YouTube.

Rakaman lucu itu menunjukkan kanak-kanak tersebut duduk di tempat duduk belakang kenderaan sambil memberitahu bapanya bahawa dia melihat bayang-bayang manakala bapanya mempunyai empat mata.

"Adakah ini kehidupan sebenar?. Mengapa ia terjadi kepada saya," ujar kanak-kanak tersebut.

Bapa budak tersebut kemudian mewujudkan satu laman web bagi membolehkan pengunjung membeli baju dan pelekat mengandungi ungkapan anaknya itu.

Barangan tersebut telah dihantar ke-20 buah negara dan kanak-kanak itu telah menjadi sebahagian daripada iklan permainan bola sepak Amerika untuk syarikat elektronik Vizio.- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Lintah bergigi dalam hidung budak 9 tahun


GAMBAR yang diperbesarkan menunjukkan gigi lintah yang hidup dalam hidung seorang budak perempuan.


LIMA - Seorang doktor Peru, Renzo Arauco-Brown menemui spesies baru lintah kecil dengan memiliki gigi tajam yang dijumpai menyorok di dalam hidung seorang budak perempuan berusia sembilan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang bertugas di Universiti Peru Cayetano Heredia di sini menjumpai lintah itu semasa merawat kanak-kanak tersebut di sebuah klinik di wilayah Chanchamayo yang mengadu sakit kepala setelah mandi di sebuah tasik Amazon.

Lintah sepanjang 44.5 milimeter itu kemudian disahkan sebagai spesies baru oleh seorang kurator Muzium Semula Jadi Amerika Syarikat di New York, Mark Siddall semasa ia dibawa dari Peru ke negara tersebut untuk tujuan penyelidikan saintifik.

Ia kemudian dinamakan sebagai Tyrannobdella rex atau diringkaskan sebagai T-rex yang bererti raja lintah kejam kerana memiliki gigi tajam selebar 0.13 milimeter iaitu lebih lebar daripada ketebalan sehelai rambut manusia normal. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Kampung Baru Bali dirai Petronas


NORAINI (empat dari kiri) bersama 44 buah keluarga miskin yang menerima sumbangan pada program Sentuhan Kasih anjuran Petronas, Petronita dan UTP di Kampung Baru Bali, Tronoh, Perak.


TIADA kata dapat menggambarkan kegembiraan 470 keluarga di Kampung Baru Bali, Tronoh apabila kampung itu diceriakan dengan pelbagai aktiviti menarik melalui program Sentuhan Kasih Petronas.

Program dua hari yang melibatkan lebih 200 kakitangan Petronas, ahli Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita Petronas (Petronita) berkampung memberi khidmat bakti di kampung berkenaan.

Turut serta dalam program tersebut ialah seramai 55 pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) termasuk beberapa pelajar antarabangsa.

Sepanjang aktiviti kemasyarakatan itu berlangsung, penduduk Kampung Baru Bali tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti yang diatur pihak penganjur.

Antaranya, termasuklah pertandingan bola keranjang, melukis mural, demonstrasi membuat kuih kapit dan senaman tai chi beramai-ramai.

Selain itu, pusat kesihatan milik Petronas, Pusat Perubatan Prince Court dengan kerjasama Hospital Pantai Ipoh turut mengadakan sesi pemeriksaan kesihatan percuma kepada semua penduduk.

Apa yang pasti, keterujaan jelas terpancar di wajah dua orang warga emas, Chan Chon Lan dan Chee Kong apabila kediaman mereka yang uzur dibaikpulih secara gotong-royong oleh peserta program.

Menurut Chon Lan, dia sendiri tidak pernah memasang angan-angan rumah yang dihuni sejak lebih tiga dekad lalu itu akan dibaikpulih.

"Saya seperti bermimpi kerana sebelum ini rumah saya sangat uzur. Tidak sangka ada pihak luar yang sanggup membantu mencantikkan rumah ini," katanya kepada Kosmo!.

Bagai mengiakan apa yang diperkata Chon Lan, Chee Kong pula menganggap komitmen peserta program khidmat masyarakat itu sebagai anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya.

"Mungkin bagi orang lain, kehadiran peserta program ini khususnya membantu membaikpulih rumah sebenarnya sangat bermakna," katanya.

Sentimen sama turut dirasai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Bali, Chen Piang Ho.

Katanya, penduduk sememangnya bersyukur kerana kawasan itu dipilih sebagai lokasi penganjuran program Sentuhan Kasih.

"Memang ramai keluarga dan penduduk yang tidak bernasib baik di kampung ini namun inilah pertama kali program seumpamanya dilaksanakan pihak luar.

"Ia juga merupakan hadiah Tahun Baru Cina yang diraikan baru-baru ini. Kami bersyukur kerana diraikan Petronas," katanya.

Kemuncak program berkenaan semua penduduk diraikan pada majlis makan tengah hari sempena penutup program Sentuhan Kasih yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Bali.

Pada acara penutup yang dihadiri oleh mantan Pengerusi Petronita, Puan Sri Noraini Mohd. Yusoff, dua warga emas miskin, Chan Soo Moy, 80, dan Leng Kwan, 78, yang menghadapi masalah untuk bergerak menerima unit kerusi roda setiap seorang.

Sebanyak 44 buah keluarga miskin di kampung terbabit menerima sumbangan berupa bahan makanan dan angpau yang disampaikan Noraini sempena Tahun Baru Cina.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Presiden (Pendidikan) Petronas, Juniwati Rahmat Hussin dan Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kassim.

Sentuhan Kasih yang dilancarkan pada tahun 2005 merupakan program tahunan dan Kampung Baru Bali dipilih sebagai lokasi pertama penganjurannya di negeri Perak.

Program khidmat bakti itu diadakan bertujuan memupuk dan meningkatkan n semangat sukarelawan di kalangan kakitangan dan individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat petroleum negara itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

Panahan cinta wanita Sumatera


PASANGAN lelaki Malaysia dan wanita Indonesia pada majlis perkahwinan mereka. - Gambar hiasan


MEDAN - Secara purata seorang lelaki rakyat Malaysia mengahwini wanita Indonesia dari Sumatera setiap hari dalam tempoh lima bulan lepas dan 80 peratus daripada mereka dijadikan isteri kedua.

Trend ini dilihat daripada rekod di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sini yang menunjukkan bahawa dalam tempoh lima bulan itu, 30 lelaki Malaysia berkahwin dengan wanita Indonesia dari Sumatera setiap bulan.

Konsul Muda Bahagian Konsular dan Imigresen di pejabat itu, Ismail Ali memberitahu, pada Januari, terdapat 31 pasangan yang berkahwin, Februari (29 pasangan) dan Mac sebanyak 32 pasangan.

"Hampir kesemua mereka beragama Islam," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...