Showing posts with label International Syndicate. Show all posts
Showing posts with label International Syndicate. Show all posts

Thursday, June 10, 2010

Wang judi RM1 bilion

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/06/10

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti empat sindiket perjudian Internet bola sepak tanpa lesen didalangi individu bergelar ‘Datuk’ membabitkan wang pertaruhan lebih RM1 bilion bagi perlawanan Piala Dunia yang berlangsung esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya kini menubuhkan satu pasukan khas dalam operasi dikenali ‘Ops Sogar’ bagi menggempur sindiket terbabit yang turut didalangi beberapa pakar teknologi maklumat (IT).

“Kami percaya sindiket ini beroperasi di seluruh negara membabitkan wang pertaruhan mencecah RM1 bilion dan bergiat di kalangan orang tempatan. Namun kami sedang menyiasat sama ada mereka mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa atau tidak.

“Bagi menjaga kepentingan awam, kami mengarahkan semua pegawai di semua kontinjen menggempur mana-mana sindiket yang menganjurkan pertaruhan.

“Buat masa ini kami sudah mengesan empat sindiket terbesar yang turut didalangi mereka bergelar Datuk,“
katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Mohd Bakri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan turut didalangi ‘along’ yang menawarkan pinjaman haram sepanjang pertaruhan itu dilakukan.

“Kami percaya, selain melakukan pertaruhan di kafe perjudian siber, mereka turut mempunyai lokasi tertentu sebagai markas operasi dan unit pemantauan kami akan bekerjasama dengan Interpol bagi mengesan kegiatan itu di peringkat antarabangsa.

“Saya memberi amaran kepada sindiket ini, polis akan terus mengesan kegiatan haram mereka habis-habisan. Selain mengambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan, tindakan mengikut Akta Penggubahan Wang Haram juga turut dikenakan bagi menyita semua harta mereka jika sabit kesalahan,”
katanya.

Sementara itu, di lobi Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan serius terhadap sindiket perjudian dan orang perseorangan yang didapati bersalah mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289), Akta Pertaruhan 1953, Akta Jenayah Komputer 1977 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hukuman yang boleh diambil mengikut akta yang dinyatakan termasuk hukuman maksimum lima tahun dan denda maksimum RM200,000 terhadap penjudi dan penganjur mesin perjudian,” katanya.

Lee berkata, terdapat dua bentuk perjudian menerusi talian iaitu ‘online casino’ dan ‘online sports betting’ yang berpusat di luar negara tetapi mempunyai ejen dalam negara yang beroperasi tanpa lesen.

Selain tindakan berkenaan, pihak yang ditangkap atas kesalahan sama boleh dikenakan tindakan sekatan atau tahanan mengikut undang-undang pencegahan iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Ordinan Darurat 1959 dan Akta Pengubah Wang Haram (pembiayaan keganasan) 2007.

Lee berkata, bagi pencegahan di peringkat antarabangsa, PDRM turut menjalinkan kerjasama dengan Interpol dalam membanteras aktiviti itu yang membabitkan negara Asean.

“Kementerian berusaha memelihara hak asasi masyarakat dan pada masa sama membantu mengekalkan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam. Orang awam juga dialu-alukan untuk memberi maklumat sindiket perjudian dengan menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 dan Bilik Kawalan MCC Bukit Aman di talian 03-22663333/3444,” katanya.

Friday, April 30, 2010

Peralat wanita, model jadi keldai dadah

2010/04/30

KUALA LUMPUR: Mungkin berasakan taktik lama mudah dihidu, rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia kini menggunakan taktik terbaru dengan memperalatkan wanita jelita termasuk model sebagai ‘keldai dadah’.

Difahamkan pemilihan gadis muda dan berperwatakan menarik itu menjadi kriteria utama sindiket dadah yang yakin taktik itu lebih ampuh ketika membolosi pemeriksaan di lapangan terbang berbanding gadis biasa sebelum ini.


Dalam kes terbaru kelmarin, seorang model wanita warga negara Guinea, Afrika, ditahan pihak berkuasa Macau selepas cuba menyeludup dengan menelan puluhan bungkusan kondom kecil diisi heroin di dalam perut.


Sumber polis Bukit Aman berkata, gadis berusia 22 tahun itu dipercayai ‘keldai dadah’ dipergunakan untuk aktiviti penyeludupan dadah heroin berkenaan diberkas di lapangan terbang Antarabangsa Macau sebaik tiba dengan penerbangan dari lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Menurutnya, pihak berkuasa lapangan terbang Macau mengesyaki sesuatu mencurigakan mengarahkan suspek menjalani ujian x-ray sebelum mendapati perut suspek dipenuhi bungkusan kecil mengandungi dadah.


“Suspek dibawa ke hospital tempatan sebelum berjaya mengeluarkan 52 bungkusan kecil dadah seberat 600 gram dari dalam perutnya.


“Suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sara mendakwa pernah menjadi model sebelum diarahkan teman lelaki di Kuala Lumpur untuk menyeludup dadah terbabit ke Macau. Teman lelakinya mengarahkan Sara menelan semua dadah terbabit beberapa jam sebelum menaiki pesawat ke Macau,
katanya.


Menurutnya, pihak berkuasa tempatan menganggarkan semua dadah terbabit boleh mencecah harga kira-kira AS$75,000 (RM255,000).


“Suspek kini ditahan polis dan akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat. Polis percaya penahanan itu ada kaitan dengan aktiviti sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dadah terbabit diseludup ke negara lain,” katanya. Penahanan terbaru itu turut menyusul selepas seorang gadis Filipina ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas diperalatkan oleh beberapa lelaki Afrika di Malaysia menyeludup dadah ke negara itu, Ahad lalu.

Suspek berusia awal 20-an diberkas ketika membawa masuk heroin seberat 2.6 kilogram melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Adisucipto, Yogyakarta selepas menaiki pesawat dati KLIA.


Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap bagasi suspek, pihak berkuasa lapangan terbang itu menemui serbuk dadah heroin seberat 2,611 gram yang disembunyikan di ruangan sulit di dalam bagasi berkenaan.


“Siasatan tidak menolak kemungkinan, suspek diupah dengan bayaran lumayan sindiket dadah antarabangsa berpangkalan di Malaysia untuk menyeludup dadah terbabit ke negara berkenaan,” katanya.

Difahamkan peningkatan tangkapan dan rampasan dadah berasal dari Malaysia mendapat reaksi negatif oleh media Indonesia yang menyifatkan ia berpunca daripada kelonggaran dan kelemahan pihak berkuasa negara ini dalam menghalang penyeludupan dadah ke luar negara.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peralatwanita_modeljadikeldaidadah/Article

Thursday, April 29, 2010

e-mel anda: Nasib malang wanita

2010/04/26

MALANG sungguh bagi kaum wanita di negara ini apabila berlaku sesuatu musibah atau teraniaya selalunya mereka ini dipersalahkan dan jarang mendapat pembelaan, malah dituduh dengan pelbagai tohmahan tanpa usul periksa terutama masyarakat sekeliling.

Kaum hawa ini selalu menjadi alat memuaskan hawa nafsu lelaki berhidung belang hanya dengan diumpan pujuk rayu atau wang ringgit serta kadangkala dalam paksaan.


Apabila tertipu dan menyerahkan segala-galanya, lelaki itu akan menghilangkan diri dan tinggallah wanita terbabit terkontang-kanting dan yang hanya ditinggalkan ialah benih zuriat dan wanita berkenaan mengusung kandungan anak luar nikah ke hulu ke hilir.


Dalam keadaan perut membusung selain dihantui perasaan bersalah, pelbagai tanggapan bermain di benak. Antaranya takutkan hukuman jika rahsia bocor, dimalukan masyarakat, tidak mampu menyara bayi dan kesukaran menamakan anak di Jabatan Pendaftaran Negara.


Maka, ada yang mencari jalan singkat menghapuskan bayi tidak berdosa itu lalu dibuangkan ke merata tempat seperti di tong sampah atau jika bernasib baik ditinggalkan di pintu masjid.


Itulah senario yang berlaku boleh dikatakan setiap bulan dengan puluhan bayi menjadi mangsa di atas kezaliman ibu kandungnya sendiri.


Wanita tempatan juga mudah terpedaya sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan mereka ‘keldai’ membawa dadah dalam beg pakaian atau bungkusan untuk pasaran luar negara.


Golongan ini selalunya teraniaya dan apabila tertangkap di lapangan terbang di luar negara, barulah tahu mereka tertipu dan terpaksa meringkuk dalam penjara atau dihukum gantung mengikut undang-undang negara berkenaan.


Pembekal atau pemilik dadah pula terlepas tanpa ada sebarang tindakan. Berdasarkan laporan media, ketika ini, ratusan wanita kita tertangkap dan dikenakan hukuman di luar negara kerana dadah.

Ramai wanita kita juga menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi terutama daripada suami sendiri tanpa mendapat pembelaan sewajarnya, malah mereka dipersalahkan masyarakat kerana menganggap wanita itulah yang bersalah dituduh tidak tahu menjaga suami dan keluarga.


Apabila sudah jemu dibiarkan tanpa pembelaan yang akhirnya berlakulah perceraian dan kadangkala si suami menghilangkan diri dan si isteri pula terbiar tergantung tidak bertali.


Paling malang apabila mereka ini ditinggalkan tanpa sesen pun dengan anak yang masih kecil. Apabila dibawa ke mahkamah syariah kadangkala bertahun pula untuk mendapatkan penyelesaian disebabkan pembicaraan yang berlanjutan.


Wanita Melayu yang berstatus janda sukar pula berkahwin semula kerana terkongkong dengan adat resam, tetapi berlainan pula dengan lelaki paling mudah bernikah dengan sesiapa dan pada bila-bila masa saja. Selain itu, wanita kita juga mudah terpedaya dengan pujuk rayu lelaki Lombok, Indonesia yang melarikan mereka balik ke Lombok dan apabila kehidupan serba serbi susah di sana, barulah meminta bantuan untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Wanita Melayu terutama remaja perlu bimbingan dan hendaklah diberikan penerangan masalah di luar sana supaya mereka lebih berwaspada dengan tipu muslihat dan pujuk rayu sindiket yang cuba mencari keuntungan atau mengambil kesempatan ke atas mereka.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/e-melanda_Nasibmalangwanita/Article/index_html

Thursday, August 27, 2009

Pak Tam simpan makanan untuk berbuka


KERATAN Kosmo! 2 Jun 2008. OMAR bersama isteri Hadiah Gondit, menatap gambar Pak Tam bagi melepaskan rindu di rumah mereka di Pekan Nenas, Pontian semalam.



PONTIAN - "Pak Tam terpaksa menyimpan makanan tengah hari untuk dimakan ketika waktu berbuka puasa manakala makan malam pula disimpan untuk bersahur."

Demikian cerita Omar Yaini, 55, bapa kepada Sheikh Faeizan, 20, atau lebih dikenali sebagai Pak Tam yang kini merengkok di penjara Taiwan setelah didapati bersalah membawa dadah pada perbicaraan 24 Jun tahun lalu.


Menurut Omar, Pak Tam sejak empat bulan lalu telah dipindahkan ke Penjara Besar di Taiwan dan di penjara tersebut dia kerja kilang kek selama lima jam setiap hari.

"Sepanjang berada di penjara baru ini, Pak Tam pernah menelefon sebanyak dua kali dan terbaru dua minggu lalu.

"Dalam perbualan tersebut, dia menceritakan kisahnya yang sering dibuli banduan lain terutama ketika bersembahyang berikutan cuma dia seorang warga Malaysia yang beragama Islam ditahan di situ," ceritanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Seri Kiambang, Pekan Nenas di sini semalam.

Pak Tam ditahan di Taipei pada 24 Mei lalu sewaktu hendak berlepas pulang ke Malaysia setelah didapati membawa heroin seberat 2.141 gram dan dihukum penjara 25 tahun oleh mahkamah di Taipei.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Sunday, March 29, 2009

Perdaya gadis kampung

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Bertopengkan agensi mencari jodoh di kalangan lelaki Malaysia yang kaya raya, beberapa ahli sindiket penyeludupan gadis warga Vietnam dikesan memperdaya gadis kampung di negara berkenaan untuk datang ke negara ini sebelum diserahkan kepada sindiket pelacuran.

Difahamkan, setiap gadis yang berjaya dipujuk `berkahwin’ di Malaysia sebaliknya akan dijual pihak sindiket kepada ‘bapa ayam’ yang menguruskan aktiviti pelacuran dengan harga RM3,000 seorang. 

Dalam kes terbaru, polis Vietnam memberkas seorang wanita selepas dikesan terbabit dalam kegiatan penyeludupan gadis negara itu ke Malaysia untuk dijadikan pelacur. 

Akhbar internet The Cong An NHan Dan dipetik berkata, suspek yang dikenali sebagai Nguyen Anh Dung, 43, ditahan di Lapangan Terbang Ho Chi Minh City, Ahad lalu ketika cuba menghantar tiga gadis muda berusia awal 20-an menaiki pesawat menuju ke Malaysia.

“Siasatan mendapati, Dung bersama dua rakannya termasuk dari Malaysia dikesan berkeliaran di kawasan pedalaman Tay Ninh untuk mencari gadis yang boleh dijadikan mangsa.

“Difahamkan suspek berusaha memperdaya mangsa dengan mendakwa mampu mendapatkan pasangan suami di kalangan lelaki Malaysia yang didakwa kaya dan mempunyai harta yang banyak,” katanya.

Menurut akhbar itu, janji manis itu biasanya mudah untuk menarik minat mangsa yang kebanyakannya berasal daripada keluarga miskin dan cuba mengubah hidup daif di pedalaman.

“Suspek yang berselindung di sebalik agensi mencari jodoh sebelum ini pernah dikesan menghantar keluar tiga gadis Vietnam ke Malaysia awal tahun lalu,” katanya.

Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Tay Ninh, Huynh Van Dung dipetik berkata, kebanyakan mangsa yang sampai ke Malaysia kemudian akan dijadikan mangsa sindiket pelacuran dengan dijual pada harga RM3,000 seorang.

Menurutnya, suspek dikenali sebagai Dung dikesan bekerjasama dengan rakannya, Nguyen Thi Deo, 27, yang berkahwin dengan lelaki Malaysia.

“Siasatan mendapati Deo membayar Dung sebanyak RM3,000 bagi setiap wanita yang berjaya diperangkap. Sementara itu, suspek ketiga yang dikenali sebagai Deo ditugaskan memproses pasport dan tiket kapal terbang bagi gadis-gadis yang ingin dibawa keluar dari negara berkenaan. 

“Jenayah penyeludupan manusia itu bagaimanapun berjaya dibongkar selepas seorang ibu gadis berkenaan membuat laporan kerana mengesyaki anaknya diperdaya untuk dijadikan mangsa. Berikutan itu polis menjalankan siasatan sebelum berjaya memberkas suspek,”
katanya.

Difahamkan, kewujudan agensi mencari jodoh di Vietnam dibenarkan mengikut undang-undang namun harus mendapat lesen khas dari pihak kerajaan.

Setakat ini, kerajaan Vietnam menganggarkan 10 daripada 1,000 gadis Vietnam menjadi mangsa penyeludupan ke luar negara sejak sedekad lalu dan bilangan masih terus meningkat sehingga kini.

Di bawah undang-undang Vietnam, individu yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia boleh dihukum penjara antara dua hingga 20 tahun. 

Kejadian terbabit mengulangi kes sama apabila dua warga Vietnam ditahan selepas dikesan menyeludup puluhan wanita negara itu ke Malaysia sebelum dijual atau dipaksa melacurkan.

Suspek yang juga pasangan kekasih melakukan kesalahan menyeludup 69 wanita Vietnam ke Malaysia pada 2004 hingga 2006.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090328093833/Article/index_html

Sunday, February 15, 2009

Malaysia diserang dadah India


DADAH ketamin yang disorok di dalam tin makanan yang cuba diseludup dari India ke negara ini dirampas di KLIA baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Selain syabu dan pil ekstasi, kini dadah sintetik jenis ketamin atau nama saintifiknya anaestasia juga didapati semakin berleluasa di negara ini.

Malah sejak kebelakangan ini semakin banyak kes Malaysia dijadikan transit sindiket pengedaran dadah ketamin yang kebanyakannya dibawa masuk dari India.

Pihak berkuasa India semalam berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup 6.25kg ketamin ke Malaysia selepas menahan seorang lelaki di Lapangan Terbang Chennai.

Dalam operasi itu, anggota Unit Risikan Kastam Chennai menahan suspek dikenali sebagai Abu Rowther Naina Akhbar Ali, 37, dari Tiruchi, India sebelum dia menaiki pesawat Indian Airlines yang dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur.

"Lama juga mereka (pengedar ketamin) tidak bergerak aktif, tapi kami berjaya menangkap seorang semalam yang membawa lebih enam kilogram ketamin. Dia dalam perjalanan ke Malaysia dan kami percaya lelaki ini diberi upah antara Rs5,000 dan Rs10,000 untuk menyeludup dadah itu," kata Pesuruhjaya Kastam Chennai (Udara), Parminder Singh.


KETAMIN digunakan sebagai bius untuk binatang ternakan di India. - Gambar hiasan


Dadah berkenaan disembunyikan dalam sembilan peket serbuk teh berjenama Brooke Bond Roses yang dimasukkan ke dalam sebuah beg.

"Apabila disoal siasat, penumpang itu berkata dia bersetuju membawa dadah berkenaan ke Kuala Lumpur kerana diberi upah. Kini dia ditahan bagi siasatan lanjut," kata pegawai itu.

Chennai sering digunakan oleh pengedar dadah sebagai pintu keluar dadah yang diseludup ke negara-negara Asia Tenggara.







Persoalannya kenapa secara tiba-tiba dadah pracampuran yang diberi gelaran 'dadah India' itu popular di kalangan penagih baru di Malaysia.

Adakah lebihan pengeluaran dadah jenis itu dari India punca ia dibawa masuk ke negara Asia Tenggara termasuk ke Malaysia sejak kebelakangan ini?

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Prof. Dr. Mahmood Nazar Mohamed berkata, ketamin memang dihasilkan dalam jumlah yang banyak di India tetapi bagi tujuan penternakan dan perubatan.

"Ketamin sebenarnya dihasilkan untuk tujuan membius binatang dan banyak digunakan dalam aspek perubatan. India memang diketahui sebagai pengeluar utama ketamin dan apabila terdapat permintaan dari negara ketiga untuk tujuan penagihan, maka ia diseludup," katanya kepadaKosmo! Ahad di sini semalam.

Mahmood Nazar berkata, gejala itu mungkin punca kenapa ketamin dari India kini 'menyerang' negara ini sehingga memaksa pihak berkuasa bertungkus-lumus menanganinya.

Dalam pada itu, Mahmood Nazar memberitahu, rata-rata penagih ketamin ialah remaja yang gemar bersosial di kelab malam.

Namun, jelasnya, tidak kurang juga golongan dewasa yang dulunya menghisap ganja, heroin dan morfin. Kini mereka beralih kepada ketamin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Friday, January 9, 2009

Rahsia batu emas terbongkar

Oleh AZELI ALI ZAINI SAMSU HADI
berita@kosmo.com.my




INILAH rumah kayu milik bekas anggota polis yang disewa kepada penjenayah dan dijadikan markas oleh Geng Batu Emas sejak setahun lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


BALIK PULAU - Siapa sangka sebuah rumah kayu di Jalan Datuk Bashar, Pulau Betong di sini menyimpan rahsia besar aktiviti satu sindiket menjual batu mineral emas yang diseludup dari Aceh, Indonesia.

Kegiatan itu terbongkar berikutan polis menerima satu maklumat daripada seorang penduduk kampung pukul 2.50 pagi semalam yang memaklumkan ada sekumpulan lelaki India yang menaiki dua buah kereta iaitu BMW dan Perodua MyVi membuat kecoh di rumah tersebut.

Sepasukan polis yang tiba di rumah tersebut kemudian mendapati kumpulan lelaki India itu sedang mengugut dan mengurung lapan lelaki di dalam rumah kayu itu.

Pasukan polis cuba menyelesaikan perbalahan tersebut tetapi ia bertambah kusut apabila empat lelaki tersebut mempunyai senjata.



AYUB (kanan) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas ekoran penahanan 12 lelaki di Pulau Betong, Balik Pulau semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

Pasukan polis yang gagal memujuk kumpulan lelaki bersenjata itu menyerah diri terpaksa meminta tambahan anggota bagi memastikan semua yang ada di dalam rumah tersebut selamat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis kemudian mengepung seluruh kawasan rumah tersebut sebelum mengarahkan empat lelaki India yang berusia 19 dan 33 tahun dari Lembah Klang itu menyerah diri.

"Hanya pada pukul 9.30 pagi kesemua lelaki India itu menyerah diri sementara lapan mangsa turut dilepaskan oleh mereka," kata beliau

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Wednesday, January 7, 2009

Sindiket sasar gadis Filipina, Singapura

KUALA LUMPUR: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang memperalat gadis tempatan kurier dadah kini mensasar gadis Filipina dan Singapura yang berada di negara ini mangsa, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin.

Beliau berkata, ini berikutan penahanan 13 orang terdiri daripada tujuh lelaki Afrika, seorang lelaki Pakistan, dua lelaki dan seorang wanita tempatan, serta dua wanita asing Filipina dan Singapura.

Dalam serbuan jam 6 pagi, seorang wanita Singapura ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang apabila beg troli yang dibawanya berisi 560 gram heroin.

“Pemeriksaan ke atas beg troli yang dibawa wanita yang hendak mengambil penerbangan ke Hainan, China itu membawa kepada penemuan dadah heroin yang disorok di dalam bahagian yang telah diubahsuai,” katanya dalam kenyataan semalam. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107092133/Article/index_html

Monday, December 15, 2008

Bantulah isteri saya - Jaafar

Oleh AZELI ALI
mohdazeli.ali@kosmo.com.my




Jaafar menunjukkan gambar isterinya, Siti Aishah yang meringkuk di sebuah penjara di Pakistan.
--------------------------------------------------------------------------------


BAYAN LEPAS - Selepas lapan bulan berlalu, Jaafar Noor, 43, masih menagih janji pelbagai pihak yang kononnya mahu membantu membebaskan isterinya Siti Aishah Hamid yang kini meringkuk di penjara di Karachi, Pakistan.

Siti Aishah, 43, yang menghidap penyakit tulang rapuh, SLE ditahan pihak berkuasa Pakistan itu akibat diperdaya oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila dia dijanjikan pakej melancong ke luar negara pada April lalu.

Menurut pengawal keselamatan itu lagi, apabila isterinya ditahan, beliau telah menemui pelbagai pihak yang berjanji untuk membantu isterinya termasuk mahu membawanya ke Pakistan bagi bertemu isterinya.

"Malah kisah saya yang pernah mendapat liputan meluas akhbar sehingga tertubuhnya tabung sumbangan untuk saya dibuka oleh sebuah bank namun wang sumbangan yang saya terima sehingga sekarang hanyalah RM40 sahaja,'' katanya.

Bagaimanapun, Jaafar berkata, beliau amat kesal kerana janji pihak-pihak terbabit hanyalah janji manis di bibir dan tiada usaha langsung untuk membantu isterinya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Wednesday, December 3, 2008

Heroin dalam bekas minuman kotak soya


BUKTI...Nordin menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas.


SHAH ALAM: Impian seorang wanita warga asing kononnya mahu menjadi peguam dengan mengikuti kursus perundangan berkecai selepas ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor kerana memiliki 71 kapsul dipercayai berisi heroin, di Ampang, Sabtu lalu.

Dalam serbuan di Jalan Pandan Cahaya itu, seorang wanita juga warga asing yang mendakwa bekerja sambilan sebagai pembantu rumah turut ditahan dipercayai mempunyai kaitan kegiatan satu sindiket dadah.

Heroin bernilai kira-kira RM30,000 itu ditemui di dalam bekas minuman kotak soya satu liter.

Ketika mendedahkan kejayaan berkenaan, Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata tangkapan membabitkan kedua-dua wanita berusia 26 tahun dan 51 tahun terbabit selepas polis menahan dua lelaki juga warga asing sehari sebelum itu.

“Sehari sebelum itu, polis menahan dua lelaki warga asing memandu sebuah kereta di sekitar Ampang.

“Hasil pemeriksaan, JSJN menemui satu beg plastik berisi syabu seberat 497 gram dengan anggaran nilai mencecah RM120,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Menurut Nordin, hasil tangkapan jam 10.15 malam terhadap kedua-dua lelaki berusia 36 tahun dan 42 tahun itu, polis menahan dua wanita terbabit keesokan hari pada jam 12.30 malam.

JSJN percaya kemungkinan semua ditahan anggota sindiket pengedaran dadah mempunyai rangkaian antarabangsa.

“Kami akan lakukan siasatan lanjut dan kini keempat-empat warga asing terbabit direman untuk membantu siasatan.

“Ada kemungkinan lebih banyak tangkapan selepas ini tetapi ia bergantung kepada perkembangan siasatan kes,” katanya.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081203094314/Article/index_html

Sindiket pelacur cair rintihan


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my



TERSELAMAT...Yang (kiri) dan Feng menceritakan detik
cemas menjadi tawanan sindiket pelacuran di Puchong.


KUALA LUMPUR: Dua gadis yang diperdaya sebelum dipaksa menjadi pelacur ‘bikini’ tidak menyangka rintihan dan tangisan mereka secara berterusan selama 12 jam menjadi senjata paling ampuh untuk menundukkan beberapa ahli sindiket pelacuran.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 19 tahun 21 tahun menangis teresak-esak sambil melutut dan merayu supaya tidak dijadikan pelacur di sebuah pusat spa yang dipercayai terletak di Puchong di sini.

Difahamkan ratapan dan linangan air mata berterusan mangsa menyebabkan sindiket pelacuran terbabit ‘hilang semangat’ lalu membawa kedua-dua mereka pulang ke sebuah rumah untuk dikurung.

Kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa dikenali sebagai Feng Yu, 19, dan rakannya, Yang Zhen, 21, dipujuk seorang kenalan supaya datang ke Malaysia untuk bekerja di sebuah kilang.

Mangsa yang berasal dari daerah Wunan, China, ditawarkan gaji RM2,500 sebulan.

Selepas tiga bulan memikirkan tawaran itu, mangsa bersetuju terbang ke Malaysia dengan menampung sepenuhnya kos membuat pasport dan membeli tiket penerbangan ke negara ini.

Feng Yu berkata, sebaik sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 November lalu, mereka disambut seorang lelaki tempatan bernama Ah Keong yang menyamar ejen mencari pekerjaan.

Menurutnya, lelaki terbabit membawa mereka ke sebuah pangsapuri di sekitar Puchong, namun tidak dibenarkan keluar dari rumah itu.

“Kami dikurung di rumah terbabit seperti tawanan perang dan tidak diberikan makanan. Akibatnya kami berlapar dua hari dua malam sebelum lelaki terbabit sekadar memberikan nasi bungkus untuk mengalas perut.

“Saya cuba melarikan diri, namun gagal malah beberapa kali diugut akan dipukul sekiranya masih berhajat memboloskan diri,”
katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit mendakwa mangsa tidak mungkin bebas daripada cengkamannya berikutan dia mendakwa mempunyai kenalan di kalangan polis dan kakitangan kedutaan.

Feng Yu berkata, lelaki terbabit bagaimanapun muncul pada Sabtu lalu dan mengarahkan dia dan Yang Zhen mengikutnya ke sebuah pusat rawatan spa mewah tidak jauh dari pangsapuri itu.

“Sebaik dibawa masuk ke spa itu, kami terkejut apabila melihat 17 hingga 20 gadis berpakaian seksi dipercayai berkhidmat sebagai pelacur.

“Kebanyakan mereka berkeadaan separuh bogel dengan hanya memakai seluar dalam dan coli manakala sebahagian lagi memakai baju tidur nipis,” katanya.

Menurutnya, mereka yang dibawa memasuki spa terbabit melalui pintu belakang bangunan kemudian dipaksa menanggalkan pakaian dan hanya tinggal seluar dalam dan coli dan diberitahu akan menjadi pelacur di spa itu bersama gadis dari Vietnam, Thailand dan China lain.

Menurutnya, kata-kata itu menyebabkan mereka tersentak dan akibat ketakutan, dia dan rakan menangis sekuat-kuat hati di hadapan lelaki terbabit dan melutut meminta belas ihsan daripadanya sebelum dibawa ke sebuah pangsapuri lain di Taman Mutiara, Puchong.

“Ketika itu kami mendapat akal untuk melarikan diri dengan berpura-pura setuju menjadi pelacur sepenuh masa dan mungkin kerana percaya dengan lakonan itu, lelaki terbabit memulangkan pasport kami dan memberitahu akan menghantar mereka ke spa keesokan harinya.

“Kami berpeluang melarikan diri ketika lelaki terbabit keluar seketika dari rumah sekitar jam 10 malam Ahad lalu, sebelum kami terserempak seorang penghuni pangsapuri itu lalu meminta pertolongan,”
katanya.

Difahamkan mangsa yang berjaya diselamatkan itu dihantar pulang ke negara asal melalui KLIA petang semalam oleh beberapa individu yang prihatin.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081203094924/Article/index_html

Monday, November 17, 2008

Bimbang anak dibawa ke Lombok


Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my



BIMBANG...Shamsudin dan isterinya, Siti Aisyah menunjukkan
gambar anak mereka, Siti Atikhoh yang hilang.



PENDANG: “Sehingga kini, hati saya sentiasa risau kerana belum menerima berita keadaan Siti Atikhoh selain bimbang jika dia dijual sindiket atau dibawa lari ke Lombok, Indonesia,” kata Siti Aisyah Salleh.

Siti Aisyah, 56, ibu kepada Siti Atikhoh Shamsudin, 23, pelajar tahun dua Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilaporkan hilang sejak 10 September lalu, amat merindui serta bimbangkan keselamatan anak bongsu daripada empat beradik itu.

Keadaan itu membimbangkan keluarganya kerana tiada khabar berita sejak dua bulan lalu, selepas pelajar itu dikatakan berada di Sabah mengikut seorang pengawal keselamatan di UMS, ketika dilaporkan hilang.

Kehilangan pelajar jurusan ijazah kewangan antarabangsa itu disedari rakannya selepas Siti Atikhoh tidak menghadiri kelas.

Perkara terbabit dimaklumkan kepada sepupunya yang turut mengikuti pengajian di universiti itu sebelum memaklumkan kepada keluarganya di Kampung 15 Relong, Mukim Bukit Raya, dekat sini.


Bapa pelajar itu, Shamsudin Abdul Rahman, 61, berkata dia bimbang anaknya dijual sindiket tertentu atau dibawa lari termasuk ke Lombok atau dijadikan perangkap membawa dadah ke luar negara.

“Kami ada menerima SMS terakhir darinya pada 30 Oktober lalu, memaklumkan dia akan berusaha untuk pulang, tetapi sekarang ini ada orang tidak membenarkannya pulang ke kampung.

“Berikutan itu, saya semakin bimbang dan ibunya pula kerap sakit dan tekanan darahnya meningkat setiap kali mengenangkan anak kerana kami tidak mempunyai perselisihan faham sebelum ini.

“Macam-macam kejadian saya baca dalam akhbar sebelum ini mengenai kehilangan gadis dan tidak mahu ia berlaku kepada Siti Atikhoh. Dia masih muda dan sedang belajar,”
katanya yang sebak ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Shamsudin pergi ke kampus anaknya di Sabah untuk mengetahui apa yang berlaku, tetapi pengurusan UMS memaklumkan Siti Atikhoh pulang ke kampung kerana mendakwa bapanya sakit.

Dia terkejut dengan dakwaan itu dan menafikan anaknya pulang ke kampung sebelum dimaklumkan anaknya sudah tidak tinggal di kolej kediaman universiti itu sejak 28 Ogos lalu dan dipercayai menyewa rumah.

“Tidak puas hati, saya membuat pemeriksaan di Lapangan Terbang Labuan, Sabah pada 18 September lalu dan terkejut mendapati nama Siti Atikhoh dan pengawal keselamatan terbabit dalam senarai penumpang.

“Kedua-duanya dipercayai mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur pada 16 September lalu menyebabkan saya membuat laporan di Balai Polis Labuan, pada 18 September lalu berhubung kehilangan Siti Atikhoh,”
katanya.

Shamsudin berkata, dia kemudian merujuk perkara itu kepada pengurusan universiti itu dan dimaklumkan lelaki itu akan masuk bekerja semula pada 22 September lalu kerana bercuti.

Katanya, berikutan itu dia memutuskan tinggal di Sabah sehingga 27 September lalu, tetapi pengawal keselamatan terbabit tidak muncul menyebabkannya bertambah risau.

“Pada 1 Oktober lalu, kami menerima panggilan daripada polis memaklumkan pengawal keselamatan itu ditahan di Kuala Lumpur, tetapi anak saya tiada bersamanya.

“Lelaki itu dibebaskan kerana tidak cukup bukti mendakwanya melarikan Siti Atikhoh walaupun kami mempunyai salinan bukti penerbangan yang mempunyai nama mereka,”
katanya.

Orang ramai yang mengenali atau menemui Siti Atikhoh dapat menghubungi Shamsudin di talian 012-54 32217 atau 016-4425575.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117094524/Article/index_html

Friday, October 10, 2008

Bapa mahu lawat Umi Azlim


PASIR PUTEH: Bapa Umi Azlim, bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di China, melahirkan hasrat untuk melawat anak perempuannya itu.

Sehubungan itu Mohamad Lazim Jusoh, 51, meminta bantuan Wisma Putra untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa China bagi membolehkan beliau melawat Umi Azlim yang baru terlepas daripada hukuman mati.

Umi Azlim sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana menyeludup dadah ke China dan minggu lalu Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou meringankan hukuman itu kepada penjara seumur hidup.

Bekas pelajar dalam bidang Sains Biologi di Sekolah Makanan dan Pemakanan UMS itu didapati bersalah menyeludup 2.983 kilogram heroin di Lapangan Terbang Shantao empat bulan selepas menamatkan pengajian di UMS dan dijatuhkan hukuman mati pada 15 Mei tahun lalu.

“Hukuman lebih ringan itu amat mengembirakan saya dan keluarga dan ia lebih bermakna jika dapat bersua muka terutama dalam suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri,” kata Mohd Lazim kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Cherang Tuli di sini, hari ini.


http://www.hmetro.com.my/10102008

Terlepas hukuman mati



KOTA BHARU“Syukur dan sangat gembira. Ini adalah berkat doa arwah ibu dan hadiah Aidilfitri yang paling bermakna untuk adik-adiknya.”

Demikian luah Mohammad Lazim Jusoh, 51, bapa kepada Umi Azlim, 24 (gambar), yang terlepas daripada hukuman mati didapati bersalah menyeludup heroin ke China pada Mei tahun lalu.

Menurutnya, beliau tidak pernah lupa melakukan solat hajat dan sentiasa mendoakan keselamatan anak sulungnya itu semasa di dalam tahanan.

“Khabar ini cukup menggembirakan kami sekeluarga, impian adik-adiknya untuk melihat Along (Umi Azlim) pulang ke pangkuan kami semua mungkin akan menjadi kenyataan.

“Bagi kami, Along terlepas daripada hukuman mati juga sudah cukup besar rahmat dan jika ada usaha untuk mengurangkan lagi tempoh hukuman itu, kami sangat gembira,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Tabung Dana Umi, Hu Pang Chow memberitahu, keputusan tersebut diperoleh minggu lalu apabila tiga peguam yang dilantik berjaya dalam rayuan mengurangkan hukuman terhadap Umi Azlim.

http://www.kosmo.com.my/10102008

Tuesday, October 7, 2008

Jangan lupakan saya - Pak Tam


Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my



HADIAH meletakkan bingkai gambar Pak Tam (gambar kecil) untuk melepaskan rindu di rumahnya di Kampung Paya Embun, Pekan Nenas, Johor.

--------------------------------------------------------------------

PONTIAN - "Maaf, Pak Tam tidak dapat hulurkan duit belanja raya tapi akan cuba hulurkan khabar gembira."

Demikian antara bait-bait ayat dalam surat Sheikh Faeizan Omar, 19, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Tam yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di Taiwan kerana didapati bersalah membawa keluar heroin seberat 2.1 gram.

Malah, dalam suratnya itu, Pak Tam turut meminta keluarganya agar tidak melupakan dirinya terutama pada Aidilfitri ini ketika menikmati ketupat bersama ayam masak kicap kegemarannya.

Ibunya, Hadiah Gondit, 48, yang tidak dapat menahan kesedihan setiap kali menatap surat anaknya itu turut memberitahu, setiap kali menerima surat dari Taiwan, hatinya pasti berdebar-debar.

Katanya, walaupun Pak Tam menyatakan keadaan dirinya sihat, naluri keibuannya sentiasa mengingati anaknya itu sarat dengan perasaan rindu, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Syawal ini.

"Saya juga tak sanggup dengar lagu raya terutama lagu Aishah (Pulanglah) dan Sudirman (Dari Jauh Ku Pohon Maaf) kerana perasaan sebak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Embun, di sini baru-baru ini.

http://www.kosmo.com.my/06102008

Monday, September 15, 2008

Anak ke Singapura hilang tanpa berita

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my



MAT (kiri) menunjukkan laporan polis kehilangan anaknya sementara Mohd. Hafizi memegang gambar Azhar di Rantau Panjang semalam.


RANTAU PANJANG - Syawal yang bakal tiba seakan tidak berseri bagi pasangan Mat Daud, 57, dan Che Nga Wok, 57, apabila anak kedua mereka hilang tanpa khabar berita hampir setahun lalu.


Azhar Mat, 27, kali terakhir bertemu pasangan itu pada Aidilfitri tahun lalu selepas ke Singapura untuk bekerja sebagai pembuat roti canai di sebuah restoran di Beduk.


Menurut bapanya, selepas kembali ke negara jiran itu, Azhar yang juga duda dua anak langsung tidak mengirim berita yang kini hampir genap setahun serta dipercayai telah menukar nombor telefon bimbitnya.


"Biasanya Azhar akan menghubungi kami dua kali seminggu dan kali terakhir dia menelefon kami pada 28 Oktober tahun lalu untuk bertanya khabar anak sulungnya, Hafizi, 6, yang tinggal bersama kami.


"Dalam perbualan itu, dia berjanji akan mengirim wang ke kampung untuk perbelanjaan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Banggol Kulim, dekat sini semalam.




AZHAR


Tambahnya, anaknya yang pernah bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di pekan ini berhijrah ke Singapura selepas terbaca satu iklan kerja dalam sebuah akhbar dan pemergiannya ke sana diuruskan ejen beralamat di Johor Bahru.


Malangnya, syarikat tersebut kini gagal dikesan menyebabkan beliau bimbang kemungkinan Azhar menjadi mangsa penipuan serta diperdayakan untuk kegiatan yang tidak diingini.


"Masa dia balik lepas dua bulan bekerja dulu, saya tengok dia gembira sangat dan bercerita tentang keseronokannya mencari rezeki di sana selain menunjukkan permit kerja yang diperoleh.


"Bagaimana pun, kini kami bimbang kalau-kalau dia ditipu ejen tersebut apatah lagi saban hari kisah mengenai rakyat Malaysia diperdaya sindiket asing kerap disiarkan surat khabar," ujarnya.


http://www.kosmo.com.my/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...