Showing posts with label Donation and Contribution. Show all posts
Showing posts with label Donation and Contribution. Show all posts

Saturday, July 2, 2011

Putera Albert II digesa pulangkan derma Rosmah

Putera Albert II digesa pulangkan derma Rosmah
Regina Lee
Jul 1, 11
1:02pm

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan menggesa Putera Albert II supaya memulangkan derma 100,000 euro yang disumbangkan oleh isteri perdana menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor.

NONEBadan pejuang alam sekitar, Bruno Manser Fund (BMF), "mengesyaki"
derma itu mungkin dibiayai Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang mereka dakwa bertanggungjawab terhadap kegiatan pembalakan yang memusnahkan hutan di negeri ini.

"Sumber 100,000 euro (RM437,500) itu adalah tidak jelas, dan oleh itu, dana tersebut tidak sepatutnya diterima oleh Yayasan Putera Albert.

"Kami mencadangkan Albert memulangkan wang tersebut kepada masyarakat Penan, golongan paling terpinggir di Malaysia, bagi menyokong perjuangan mereka untuk mempertahankan hutan daripada pembalakan," kata BMF dalam satu kenyataan akhbar.

Rosmah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Albert di Festival Fesyen Islam di Monte Carlo Ogos tahun lalu untuk Yayasan Putera Albert.

NONEMenurut lamanweb yayasan tersebut, yayasan itu adalah untuk "melindungi alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mampan".

Sebelum ini, Borneo Post melaporkan, dan diterbitkan semula dalam lamanweb rasmi Taib, bahawa derma tersebut dikumpulkan oleh Festival Fesyen Islam KL-Jakarta (IFF) ""melalui penaja untuk menyokong promosi pelancongan Sarawak".

BMF - yang dinamakan sempena aktivis Switzerland yang mempertahankan kepentingan kaum pribumi di Sarawak dan hilang sejak 2000 - juga menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara Taib dan Albert.



http://malaysiakini.com/news/168571

Thursday, March 3, 2011

Derma ‘dapat’ tanah

Derma ‘dapat’ tanah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

LAPOR...Sarah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas  ditipu pertubuhan terbabit.
LAPOR...Sarah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas ditipu pertubuhan terbabit.

RAWANG: Satu pertubuhan usahawan dari negeri jiran dikesan bergiat aktif menawarkan khidmat mendapatkan tanah dengan syarat menderma RM2,500 kepada mereka sebagai derma kononnya untuk majlis makan malam amal pertubuhan itu.

Taktik mereka yang terdiri daripada empat lelaki itu cukup licik kerana ‘berlakon’ seolah-olah mengenali mangsa sebelum meminta menderma wang berkenaan dan sebagai alasan jika syarikat mangsa ingin mendapat tanah, mereka bersedia membantu. Terbaru, seorang lelaki berusia 50-an yang menjalankan perniagaan berasaskan kayu menjadi mangsa apabila didatangi empat lelaki terbabit Khamis lalu yang mendakwa mereka daripada sebuah pertubuhan usahawan.


Pekerja syarikat terbabit yang dikenali sebagai Sarah, 24, berkata, pada hari kejadian kira-kira jam 10 pagi, empat lelaki terbabit datang ke pejabatnya di sini dengan memperkenalkan diri sebagai ahli sebuah pertubuhan usahawan dan kedatangan untuk menerangkan kempen yang dijalankan.

Menurutnya, dia kemudian membawa mereka berjumpa dengan ketuanya dan ketika bertemu, seorang daripada lelaki terbabit terus menyapa nama ketuanya itu seolah-olah sudah lama mengenalinya namun panggilan nama digunakan mereka salah.


“Saya ketika itu sudah berasa ada sesuatu yang tidak kena, namun membiarkan sahaja. Mereka juga mendakwa mempunyai pengaruh yang kuat dan mempunyai kenalan rapat dengan ahli politik yang dapat membantu mendapatkan tanah di sebuah negeri dengan mudah.


“Pada mulanya mereka meminta ketua saya mengeluarkan cek pada hari itu juga sebanyak RM2,500, namun tidak boleh kerana cek syarikat di ibu pejabat di Damansara,” katanya.

Menurutnya, cara mereka meminta sumbangan dengan mendesak menimbulkan curiga niat sebenar pertubuhan itu tambahan tidak memberi kad perniagaan bagi memudahkan urusan.


Beliau berkata, keesokannya kira-kira jam 3 petang, seorang daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai presiden datang mengambil cek itu.

“Selepas lelaki terbabit beredar saya menghubungi talian pertubuhan lain untuk memastikan kewujudan pertubuhan itu namun gagal. Malah saya menghubungi agensi berkaitan dan terkejut apabila diberitahu pertubuhan itu sudah banyak kali membuat kes penipuan yang sama,” katanya.


Sehubungan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Rawang untuk mengetahui situasi sebenar berkaitan pertubuhan terbabit sama ada benar mereka menjalankan kutipan derma atau lebih kepada keuntungan sendiri.


Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.


http://www.hmetro.com.my/articles/Derma__8216_dapat__8217_tanah/Article

Sunday, November 14, 2010

'Perlu ada sangka buruk'

KUALA LUMPUR: “Sekarang bukan macam zaman Nabi Muhammad s.a.w. Zaman itu dasar percaya itu sangat kuat, mana ada kad pengenalan, sijil nikah atau apa-apa berbanding ketika ini hal mengenai derma masjid pun ada orang sanggup tipu,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut.

Menurutnya, jika di Johor, prosedur meminta derma yang dilaksanakan sangat ketat termasuk perlu menunjukkan surat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan agama negeri dan daerah, malah surat kedutaan negara asing andai perlu.


Katanya, dokumen pula mestilah berbentuk asli bukannya fotostat iaitu taktik yang selalunya peminta derma rakyat asing gunakan.

“Kita juga tak melayani gambar-gambar berbentuk simpati yang mereka bawa. Dalam hal seperti ini memang perlu ada sedikit sangka buruk sebab tidak mahu nanti nak buat baik akhirnya berdosa.


“Seperkara lagi kutipan derma masjid tidak boleh digunakan bagi tujuan selain pembangunan masjid itu sendiri,” katanya mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam.


Semalam akhbar ini memetik, Setiausaha Agung Pertubuhan Hak Asasi Untuk Rohingya (HURAR) , Fakaruddin Ali Muddin, mendedahkan terpedaya dengan lakonan pengemis itu, ada pengurusan masjid dan surau yang memberikan derma sehingga RM40,000 kepada sindiket terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perluadasangkaburuk/Article/index_html

Pelbagai taktik

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Beberapa pengurusan masjid mengakui didatangi kumpulan dan individu yang menggunakan pelbagai taktik untuk mengutip derma dan menipu orang ramai.

Bagaimanapun, kumpulan pengemis profesional itu tidak hanya membabitkan pelarian Rohingya, malah warga tempatan yang kononnya mewakili rumah anak yatim dan sekolah agama.


Difahamkan, terdapat juga golongan mualaf yang turut memungut derma di masjid di sekitar Kuala Lumpur dengan mendakwa tidak mendapat layanan sewajarnya daripada pihak berkuasa agama.

Menurut Imam Masjid Amaniah Kepong, Mohd Izuan Hussin, kehadiran kumpulan pengemis itu dikesan sejak awal tahun lalu ketika mereka datang untuk meminta kebenaran mengutip derma.


“Pihak masjid memaklumkan bahawa mereka perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebelum mengutip derma daripada jemaah.


“Bagaimanapun, mereka tetap berdegil dan tidak mahu mematuhi arahan, malah ada yang sanggup menunggu di pintu kereta jemaah.

“Pelbagai alasan diberikan untuk menagih simpati seperti ahli keluarga sakit, malah saya pernah didatangi seorang lelaki yang mahu membunuh diri kononnya tidak tahan dengan masalah kewangan yang dihadapi,” katanya ketika dihubungi semalam.


Menurutnya, dia pernah terserempak dengan pengemis sama di dua masjid berbeza yang sebelum itu datang berjumpanya untuk mengutip derma.

“Saya mengesyaki sesuatu dan terus memaklumkan kepada rakan imam di masjid berkenaan supaya berhati-hati bagi mengelak ditipu,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Masjid Abu Hurairah, Kampung Batu di sini, Abdul Latif Abdullah berkata, kumpulan pengemis itu bukan saja terdiri daripada warga tempatan, malah dari negara Timur Tengah yang sedang bergolak seperti Pakistan dan Afghanistan.


“Mereka menggunakan krisis di sana sebagai alasan meraih simpati jemaah dengan menyertakan gambar rakyat yang kebuluran dan keadaan tempat tinggal yang begitu daif,” katanya.


“Jemaah yang terpengaruh dengan rintihan pengemis ini akan mudah memberikan derma,” katanya.


Tambahnya, kumpulan itu juga memohon sumbangan untuk membantu anak yatim dari Maahad Tahfiz di negara mereka dengan menunjukkan dokumen kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), tetapi selepas diteliti, semua dokumen itu palsu.


Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Zaid Bin Haritsah, Abdul Aziz Mohd Amin, berkata pengemis pelbagai bangsa dan negara akan berada di masjid setiap kali waktu sembahyang kerana ia waktu paling sesuai untuk meraih simpati.


“Biasanya mereka akan datang ke masjid pada waktu Maghrib dan Isyak sebelum merayu jemaah menderma.


“Mereka juga sering menggunakan kesempatan pada solat Jumaat kerana ramai jemaah pada waktu itu,” katanya.


Akhbar ini semalam melaporkan kegiatan satu sindiket meraih ratusan ribu ringgit dengan memperdaya pengurusan masjid dan surau di seluruh negara.


Kegiatan itu dikesan Pertubuhan Hak Asasi untuk Rohingya (HURAR) selepas mendapat aduan daripada orang ramai khususnya pegawai masjid dan ahli jawatankuasa surau yang menjadi mangsa sindiket berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelbagaitaktik/Article/index_html

Friday, November 12, 2010

Ulama Rohingya perdaya masjid

Ulama Rohingya perdaya masjid

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KUALA LUMPUR: Satu sindiket yang mendakwa sebagai Ulama Rohingya dikesan mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit dengan memperdaya pengurusan beberapa masjid dan surau di seluruh negara.

Kegiatan itu dikesan Pertubuhan Hak Asasi Untuk Rohingya (HURAR) selepas menerima maklumat orang ramai khususnya pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit.


Setiausaha Agungnya, Fakaruddin Ali Muddin, berkata sindiket itu menggunakan masjid dan surau sebagai modus operandi untuk meraih simpati menggunakan pelbagai alasan kononnya untuk membantu pelarian Islam Rohingya.

“Sindiket itu bergerak dalam kumpulan terdiri daripada lima hingga 12 orang. Mereka akan ke masjid dan menyertai jemaah di setiap kariah dan mengambil kesempatan itu untuk meminta derma.


“Siasatan mendapati, derma berkenaan tidak disalurkan kepada mereka yang memerlukan sebaliknya digunakan untuk kepentingan peribadi,” katanya ketika ditemui, semalam.


Fakaruddin berkata, anggota sindiket itu akan cuba mendekati imam atau pegawai masjid dan sebaik melihat layanan baik diterima, mereka mula menceritakan kisah sedih kononnya keluarga pelarian di Rohingya amat memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

“Kebiasaannya, mereka akan berada di masjid dan surau yang dikenal pasti pada waktu Maghrib dan Isyak. Selain itu, mereka akan mengutip derma di masjid setiap solat Jumaat kerana lebih ramai jemaah pada waktu itu,” katanya.


Menurutnya, terpedaya dengan lakonan pengemis itu, ada pengurusan masjid dan surau yang memberikan derma sehingga RM40,000 kepada sindiket terbabit.

Katanya, bagi membuktikan aktiviti mengutip derma itu sah di sisi undang-undang, sindiket terbabit menunjukkan surat kelulusan termasuk yang kononnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan individu berpengaruh.


“Selain itu, mereka menawarkan khidmat pengurusan sumbangan lembu untuk dikorbankan di Arakan, Myanmar, pada Aidiladha ini dengan harga serendah RM800.


“Ada individu yang terpengaruh dan menyumbangkan wang untuk korban dan barangan lain kerana mempercayai kata-kata anggota sindiket pengemis Rohingya terbabit,” katanya.


Fakaruddin berkata, kegiatan mengemis dilakukan berterusan selama beberapa bulan dan didalangi kumpulan sama yang mendakwa diri mereka pendakwah dan kumpulan Ulama Rohingya bagi mengaburi mata masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.


Sementara itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat kebenaran untuk kumpulan pelarian terbabit mengutip derma.


Katanya, setakat ini Jawi hanya memberikan kebenaran melakukan kutipan derma untuk misi nasional dan diluluskan Kabinet.


“Justeru kami menasihatkan orang ramai khususnya imam masjid lebih berhati-hati apabila dikunjungi kumpulan tertentu yang ingin mengutip derma. Orang ramai juga boleh merujuk pejabat zon masing-masing bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/UlamaRohingyaperdayamasjid/Article

Sunday, February 8, 2009

2,500 anak ayam percuma

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


KUALA SELANGOR: Penduduk kampung di kawasan Bukit Belimbing di sini yang menerima 2,500 anak ayam sumbangan Biro Kebajikan Umno Bahagian Tanjung Karang menyifatkan ia peluang terbaik untuk membaiki kehidupan sekali gus keluar daripada belenggu kemiskinan.

Mariani Dasuki, 44, berkata pemberian anak ayam itu satu rezeki baginya dan penduduk kampung selain usaha pemimpin untuk membantu rakyat miskin.

“Anak ayam ini saya akan bela sehingga besar dan beranak-pinak. Terima kasih kepada pemimpin kami di atas sumbangan ini.

“Ia sedikit sebanyak membantu saya dan keluarga mendapatkan sumber rezeki tambahan,” katanya di sini semalam.

Seramai 70 penduduk kampung menerima 30 ekor anak ayam secara percuma.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, berkata pemberian anak ayam percuma itu sesuatu yang ditunggu penduduk sejak sekian lama.

“Ini hasil usaha pemimpin untuk membantu penduduk miskin macam saya.

“Syukur dan terima kasih kepada kepada Yang Berhormat di atas sumbangan anak ayam ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan Umno bahagian Tanjung Karang, Datuk Safie Asnawi, berkata usaha itu mendapat sokongan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Noh Omar bagi mendidik penduduk kampung yang kebanyakannya miskin untuk berdikari dan belajar menjadi usahawan tani.

Menurutnya, setiap anak ayam yang diagihkan itu diharap dapat memberi semangat kepada penduduk kampung supaya berusaha penuh sabar menjaga anak ayam sehingga besar dan mendapat hasilnya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090207093420/Article/index_html

Thursday, January 29, 2009

Lompat: Datuk Ahmad Fakeh Adam 'next'?


Adun Lintang ini dijangka akan buat keputusan beberapa hari lagi
28 Jan 2009 1:11PM




ADA kejutan lagi dalam beberapa hari ini? Desas-desus begitu kencang bertiup mengatakan ada lagi YB dari Umno akan lompat ikut jejak Adun Bota beberapa hari lepas yang tekad melompat ke PKR. YB Lintang, Datuk Ahmad Fakeh Adam yang juga Adun dari Umno disebut-sebut akan meninggalkan parti Melayu terbesar yang mempunyai ahli Melayu teramai di dunia itu.

"Ketika ini 50-50. (Niat) nak kekal (dalam Umno) dengan masuk pembangkang sama banyak.

"Orang PAS, PKR dan DAP hari-hari telefon dan hantar SMS. Yang dah datang jumpa pun ada, yang nak jumpa pun ada lagi,"
katanya kepada portal berita paling popular, Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun belum memutuskan parti pembangkang yang bakal disertainya jika meninggalkan BN.

Beliau menambah, ada pemimpin DAP ingin menawarkan jawatan menteri besar Perak tetapi "saya tahu itu gula-gula sahaja."

"(Tetapi) hati rasa hendak keluar (Umno). Kita (Adun) telah dipinggirkan.

"Kami seolah-olah tidak penting. Yang lebih penting sekarang ialah ketua Umno bahagian,"
katanya.

Ada lagi Adun lain yang tak puas hati

Ahmad Fakeh yang kalah bertanding jawatan ketua Umno bahagian Sungai Siput, Oktober lalu, berkata, ada beberapa Adun lagi yang tidak puas hati dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Beliau kalah kepada timbalannya Datuk Mohd Zulkifli Harun dalam pertandingan satu lawan satu jawatan tersebut, lapor portal itu lagi.

Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Adun Kubu Gajah), Datuk Hamdi Abu Bakar (Pengkalan Baharu) dan Hamidah Osman (Sungai Rapat) diura-urakan turut tidak berpuas hati.

Ahmad Fakeh bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka juga berhasrat untuk meninggalkan Umno dan menyertai parti pembangkang.

"Saya sudah membawa perkara ini dalam mesyuarat Umno Perak tetapi tiada tindakan yang diambil.

"Tetapi bila (Datuk) Nasharuddin Hashim (Adun Bota) keluar parti baru kelam-kabut, baru kami ini penting,"
katanya.

Ahmad Fakeh berkata, beliau kecewa kerana kerajaan pusat lambat memberi peruntukan kewangan walaupun wang sudah ada.

Sebaliknya, kata beliau, peringkat persekutuan begitu cepat meluluskan bantuan kepada ketua Umno bahagian.

Sebagai contoh, katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mudah memberikan bantuan kepada ketua bahagian walaupun mereka bukan wakil rakyat.

“Ini menjadi masalah kepada Adun yang tidak memegang jawatan ketua bahagian,” katanya lagi.

Bantuan tetap kerajaan pusat kepada setiap Adun ialah RM300,000 setahun, tidak termasuk peruntukan tambahan yang perlu dimohon, tambahnya.

Katanya lagi, seseorang Adun sukar membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya tanpa wang peruntukan tersebut. / Malaysiakini, KLpos

http://www.klpos.com/news/2009/01/28/6.html

Wednesday, January 21, 2009

Pegawai Kerajaan Persekutuan dilarang hadir mesyuarat negeri

Rabu Januari 21, 2009

IPOH: Semua pengarah jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dilarang daripada menghadiri mesyuarat-mesyuarat di peringkat negeri berkuat kuasa serta-merta.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya pengarah agensi peringkat negeri yang dibenarkan menghadiri mesyuarat negeri, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau pegawai daerah.


"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pengarah agensi Persekutuan jika mereka menghadiri mesyuarat tersebut," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri di sini, hari ini.


Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri bagaimanapun berkata, agensi-agensi seperti Jabatan Pengarain dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan polis dikecualikan daripada larangan itu.


Ahmad Zahid berkata, berkuat kuasa serta-merta juga, agensi-agensi persekutuan hanya akan menerima syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).


"Jabatan-jabatan dan agensi-agensi persekutuan telah diarahkan supaya hanya menerima borang-borang yang ditandatangani JKKKP," katanya.


Disebabkan Kerajaan Persekutuan hanya mengiktiraf JKKKP, semua syor yang dibuat JKKKP adalah syor yang sah.


"Kita tidak mengiktiraf syor-syor yang dibuat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya.


Berhubung permohonan biasiswa, Ahmad Zahid berkata, kemasukan ke institusi pengajian tinggi juga memerlukan syor JKKKP.


Ahmad Zahid juga memberitahu, 28 wakil Barisan Nasional yang dipilih di peringkat negeri akan diberikan peruntukan khas untuk membantu masyarakat di kawasan mereka.


"Peruntukan itu akan diberikan jika berlaku insiden-insiden termasuk kebakaran, banjir atau ribut petir di kawasan mereka," katanya yang enggan menyatakan jumlah peruntukan bagi setiap kawasan.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/21/mstar_berita/20090120192651&sec=mstar_berita

Tuesday, January 20, 2009

Arab Saudi sumbang US$1 bilion untuk Gaza



Selasa Januari 20, 2009

KUWAIT CITY: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz pada Isnin berkenan menyumbangkan derma sebanyak US$1 bilion untuk pembinaan semula Genting Gaza yang musnah selepas tiga minggu diserang Israel.


Bercakap pada Sidang Kemuncak Ekonomi Arab, Raja Saudi itu berkata tidak kira betapa pentingnya isu ekonomi, ia tidak boleh disamakan dengan nyawa dan maruah.


"Dalam tempoh beberapa hari lepas, kita menyaksikan imej yang amat menjijikkan, berdarah dan menyakitkan, pembunuhan dilakukan secara terang-terangan di hadapan mata dunia oleh penjenayah kejam yang tidak berhati perut dan tanpa belas kasihan," katanya.


Ketika menyerahkan sumbangan kepada tabung pembangunan semula Gaza yang dicadangkan sidang kemuncak itu, Raja Abdullah berkata beliau sedar bahawa "setitik darah rakyat Palestin lebih bernilai daripada semua kekayaan di dunia ini".


Terdahulu, Amir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Sabah, yang mempengerusikan sidang kemuncak dua hari itu, mengetuai kutukan bertalu-talu pemimpin Arab yang membantah kekejaman Israel di Gaza.


Beliau berkata, Kuwait akan memberikan sumbangan sebanyak US$34 juta kepada Agensi Pekerjaan dan Bantuan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Near East (UNRWA) sebagai memenuhi keperluan segera rakyat Palestin, dan akan turut memberikan sumbangan kepada usaha antarabangsa negaranegara yang menghulurkan bantuan.


Beliau menggambarkan serangan Israel sebagai "satu jenayah perang dan perang terhadap kemanusiaan".


Lebih 1,300 rakyat Palestin terbunuh dan 5,300 lagi cedera manakala kirakira 4,000 bangunan kediaman musnah sejak Israel melancarkan serangan pada 27 Dis.


Pada Ahad, Israel mengisytiharkan gencatan senjata yang kemudiannya diikuti oleh Hamas, yang memberikan rejim itu seminggu untuk mengeluarkan tenteranya dari Gaza.


Bercakap selepas pemimpin Kuwait, Presiden Syria Bashar Al-Assad menyeru negara-negara Arab menggunakan istilah 'entiti terrorism" bagi menggambarkan negara Yahudi. Al-Assad berkata, walaupun gencatan senjata itu dijamin, tiada tanda-tanda keganasan akan berakhir memandangkan tentera Israel masih berada di Gaza.


Presiden Mesir, Hosni Mubarak berkata, negara itu menunjukkan sokongan yang kuat dan jelas kepada Genting Gaza sejak hari pertama pencerobohan Israel itu.


Sambil menyatakan Israel perlu sedar bahawa mencapai keamanan di Timur Tengah adalah satu keperluan utama yang tidak boleh ditangguh, beliau berkata rejim itu perlu mengambil kira dengan lebih serius inisiatif Arab untuk keamanan.


Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas meminta rakyat Palestin yang berpuak-puak melupakan perbezaan mereka dan mengadakan pertemuan.


Beliau berkata, rakyat Palestin dijemput untuk mengadakan pertemuan di Mesir untuk berbincang "bagi mencapai persetujuan selepas perbincangan.


"Jika kejadian berdarah di Gaza masih tidak cukup untuk kita bersetuju antara satu sama lain, jadi bila lagi masa itu akan sampai?" kata Abbas.


Beliau berkata, jika persetujuan dicapai, apa yang diperlukan selepas itu ialah kerajaan yang bersatu dan berusaha untuk menamatkan keganasan Israel, berundur dari Gaza dan membuka sempadannya serta mengadakan pilihan raya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/20/mstar_berita/20090120095653&sec=mstar_berita

Sunday, January 18, 2009

Nasib nelayan dibela


Oleh Noor Azam Abdul Aziz, Ahmad Shahrul Nizam Muhammad, Mohd Nasif Baharudin dan Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Nasib lebih 1,200 nelayan di daerah itu terus dibela apabila kerajaan menubuhkan Tabung Kecemasan yang bakal membantu mereka ditimpa musibah ketika menangkap ikan di laut.

Sebelum ini, warga nelayan sepenuh masa yang berdaftar diberikan wang saraan RM200 sebulan, namun peruntukan terbaru sebanyak RM1 juta itu dijangka dapat menjaga kebajikan dan meningkatkan kualiti kehidupan golongan berkenaan.

Pengumuman peruntukan tabung itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika menghadiri Program Timbalan Perdana Menteri Bersama Nelayan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dekat Chendering, semalam.

Pengumuman penuh bermakna itu menerima tepukan gemuruh daripada warga nelayan yang hadir.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Jawatan kuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat.

Pada majlis sama, Najib menyampaikan sumbangan sara hidup, lesen sampan kepada 105 nelayan serta kelengkapan penangkapan ikan.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dengan keadaan dan nasib masyarakat nelayan dan pelbagai usaha dilakukan membantu mereka meningkatkan sumber pendapatan serta kualiti hidup.

Menurutnya, tabung ditubuhkan itu membantu nelayan yang ditimpa kejadian tidak diingini ketika menangkap ikan di laut.

“Tabung ini beroperasi serta-merta dan jika peruntukan RM1 juta itu sudah habis digunakan, kerajaan menambahnya lagi,” katanya pada sidang media, semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata, walaupun dunia mengalami krisis ekonomi tetapi Malaysia masih tetap utuh, malah mampu memberikan bantuan dan meneruskan projek pembangunan termasuk di Kuala Terengganu.

Menurutnya, usaha itu dapat diteruskan kerana kerajaan berupaya mentadbir negara dengan baik termasuk memikirkan usaha jangka pendek dan panjang dalam setiap tindakan dilakukan.

“Kita bukan melakukan projek atau sebarang bentuk pembangunan kerana pilihan raya , sebaliknya sentiasa memikirkan bagaimana mahu memberikan kehidupan senang kepada rakyat.

“Kerajaan BN tetap meneruskan usaha membela semua masyarakat di negara ini tanpa mengira siapa mereka,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri mengakui cukup memahami kehidupan nelayan di Kuala Terengganu kerana Parlimen Pekan yang diwakilinya mempunyai masyarakat nelayan termasuk di Nenasi dan Kuala Pahang.

“Saya faham dengan kehidupan dan sikap nelayan ini berdasarkan apa saya hadapi di Pekan kerana mereka adalah kumpulan yang setia dan tetap membantu jika bantuan mereka diperlukan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090117024920/Article/index_html

Thursday, January 15, 2009

Misi PBSM bantu Palestin tiba di Rafah


Rabu Januari 14, 2009

KUALA LUMPUR: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang menghantar misi perubatan pertamanya ke Semenanjung Gaza bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa keganasan tentera Israel akan memasuki Rafah di sempadan Mesir-Palestin hari ini.


Pasukan dua anggota terdiri Dr Yahaya Abu Ahmad dan pegawai logistik, Nasir Khan Abdul Rahman, sampai ke Kaherah Sabtu lalu bagi memulakan perjalanan sejauh 300 kilometer untuk sampai ke sempadan Rafah.


Nasir Khan ketika dihubungi berkata, mereka berdua bergerak dengan menaiki sebuah van dengan membawa lima kotak ubatubatan dan memasuki Rafah tengah hari ini.


"Perjalanan mengambil masa empat jam dan kita telah berhubung dengan Persatuan Palang Merah Palestin yang menunggu kita di sempadan Rafah dan mengiringi kenderaan kita," katanya.


Beliau berkata PBSM mendapat kerjasama baik daripada Persatuan Palang Merah Mesir dan Palestin, dan mereka tidak menghadapi masalah memasuki sempadan Rafah.


Nasir Khan berkata bahawa selepas penyerahan ubat-ubatan kepada wakil Persatuan Palang Merah Palestin, beliau dan Dr Yahaya akan bergerak ke sebuah hospital di ElAirsh, 40 kilometer dari Rafah.


"Kita difahamkan terdapat ramai mangsa di sana terutama kanakkanak dan wanita. Dr Yahya akan memberi bantuan perubatan," katanya.


Sebelum itu, beliau dan Dr Yahaya melawat Hospital Mahad AlNaser di Kaherah, di mana terdapat 35 rakyat Palestin yang menerima rawatan.


"Mereka adalah mangsa hari pertama serangan iaitu pada 27 Dis lalu," kata Nasir Khan.


Pengurus Komunikasi PBSM, Suhana Mohamed Salleh berkata selain memberi bantuan perubatan, misi pertama itu akan berada di Palestin selama 10 hingga 14 hari dan akan membuat pemantauan bagi mengetahui permintaan dan keperluan perubatan di sana.


"Daripada penilaian yang dibuat itu, barulah kita akan hantar jenis ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang diperlukan di sana serta pasukan perubatan seterusnya," katanya.


PBSM juga menubuhkan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin bagi membantu rakyat negara itu.


Sehingga kini ia telah menerima kirakira RM30,000 yang akan digunakan untuk membiayai kos pembelian ubat, alat bantuan sokongan serta bantuan pemulihan rakyat Palestin.


Orang ramai boleh menghantar sumbangan melalui akaun Maybank bernombor 5144 2210 2657 atau sumbangan cek atas nama 'Tabung Bantuan Antarabangsa PBSM' dengan menulis 'Gaza City' di belakang cek terbabit. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/14/mstar_berita/20090114151759&sec=mstar_berita

Wednesday, January 14, 2009

Dr Mahathir syor hantar bekalan menerusi kapal


SUBANG: Malaysia perlu mengatur penghantaran kapal bekalan mengandungi makanan, ubat-ubatan, selimut dan keperluan lain dengan negaraa lain bagi membantu mangsa serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha penghantaran bekalan menerusi Mercy dan beberapa pertubuhan lain sangat mengkagumkan, namun jumlahnya tidak mencukupi.

“Hospital mereka dibom dan penduduk di sana kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

“Malaysia perlu menggerakkan usaha khusus ini menghantar lebih banyak bekalan menerusi kapal kerana negara jiran seperti Mesir dan Jordan tidak akan membenarkan bekalan seumpamanya melalui wilayah mereka,”
kata Dr Mahathir selepas menyampaikan syarahan mengenai Keamanan Global di Kolej Taylor’s di sini semalam.

Dr Mahathir berkata kapal tidak membawa senjata yang belayar di perairan antarbangsa tidak boleh diserang atau ditenggelamkan kerana tindakan sedemikian adalah satu jenayah.

Beliau mencadangkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) merombak sistem kuasa veto bagi mewujudkan keadaan lebih seimbang dalam Perhimpunan Agung badan dunia itu dan Majlis Keselamatan.

“Perkara yang terbaik adalah tidak mempunyai sistem kuasa veto langsung. Tetapi memandangkan kuasa besar percaya bahawa mereka sepatutnya mempunyai hak lebih besar daripada yang lain, kita perlu memberikan mereka hak dengan mengenakan syarat.

“Jika hanya satu kuasa veto digunakan terhadap suatu resolusi oleh anggota tetap, ia sepatutnya tidak sah. Sebaliknya, hanya satu kuasa veto disokong oleh dua hingga tiga anggota tetap serta dua hingga tiga anggota bukan tetap barulah ia dianggap sah.

“Jika anda mengambil definisi keganasan sebagai perasan takut kerana berasa gerun terhadap apa-apa jua, sesiapa mencetuskan perasaan takut itu adalah pengganas. Hari ini, kita semua tahu bahawa penduduk di Gaza gerun dengan idea dibunuh tentera Israel,”
katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113085827/Article/index_html

Wednesday, January 7, 2009

Penyumbang misteri AS$6.7j untuk Gaza


RIYADH – Seorang ahli perniagaan Arab Saudi mendermakan sebanyak AS$6.7 juta (RM23.51 juta) bagi membantu penduduk Palestin di Gaza yang kini menjadi mangsa serangan ganas tentera Israel.

Ahli perniagaan itu yang enggan dikenali mendermakan wang tersebut kepada satu tabung Gaza selepas satu kutipan derma diadakan di seluruh Arab Saudi.

Kempen kutipan derma itu berjaya meraih hampir AS$32 juta (RM112.3 juta) termasuk sumbangan daripada pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah dan adik baginda, Putera Mahkota Sultan. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Friday, December 26, 2008

Tabung tanah runtuh kurang sambutan

Oleh YUSAIRY YUSOF
berita@kosmo.com.my



ANTARA barangan yang dijual untuk Tabung Bencana Alam Bukit Antarabangsa di Pasar Seni, Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Tabung mangsa bencana tanah runtuh Bukit Antarabangsa kurang mendapat sambutan dan perhatian daripada masyarakat setempat.

Berdasarkan pungutan sejak dimulakan 6 Disember lalu, hanya RM160,000 sahaja dapat dikumpulkan dan tidak 'semeriah' tabung bencana yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, kutipan tidak memberangsangkan itu ada kaitan dengan persepsi negatif orang kaya tidak perlu dibantu.

"Ini tanggapan yang salah, sesiapa sahaja yang menghadapi bencana alam seperti ini (tragedi Bukit Antarabangsa), sudah pasti mereka akan merasai kesusahan juga," ujarnya selepas majlis pelancaran jualan amal tabung mangsa bencana tanah runtuh Bukit Antarabangsa semalam.

Menurut Ismail, kebanyakan masyarakat menganggap mangsa-mangsa yang tinggal di kawasan Bukit Antarabangsa terdiri daripada golongan orang berada dan tidak perlu dibantu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Tuesday, October 21, 2008

Adun DAP dakwa 'Tabung Azan' satu gimik

Oct 15, 08 3:39pm



Seorang waki rakyat DAP hari ini menyifatkan tindakan Umno bahagian Cheras melancarkan 'Tabung Azan' sebagai satu gimik dan mendakwa, sekali lagi menunjukkan Umno masih tidak putus asa untuk memainkan sentiman perkauman dan agama.

"Tindakan menubuhkan tabung tersebut juga merupakan bukti bahawa terdapat segelintir anasir-anasir negatif dalam Umno yang masih ingin mewujudkan sesuatu yang telah terbukti tidak pernah berlaku," ," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San.

Pada 12 Oktober lalu, Utusan Online melaporkan Umno bahagian Cheras telah melancarkan Tabung Azan pada 12 Oktober lalu, untuk membantu akhbar Utusan Malaysia yang disaman RM30 juta oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.


Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee dilaporkan berkata, tabung itu akan menjadi badan induk yang mengumpul hasil kutipan dari Umno bahagian lain dan badan-badan korporat.

Bercakap selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian berkenaan pada hari yang sama, Syed Ali berkata kutipan tabung itu juga akan digunakan untuk membantu masjid-masjid membeli peralatan pembesar suara selain keperluan lain yang berkaitan.

Sehubungan itu, Lau bertanya sama ada langkah menubuhkan tabung tersebut menunjukkan Umno di belakang seluruh sendiwara yang menurutnya, bukan sahaja menyebabkan ahli Parlimen Seputeh ditahan selama tujuh hari di bawah ISA tetapi juga menyebabkan keselamatan nyawa ahli keluarganya terancam.

Katanya, kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar merupakan hak asasi manusia dalam dunia moden dan "ianya harus dipraktis dengan bertanggungjawab, iaitu kenyataan seseorang itu harus berpandukan kepada kebenaran dan kenyataan.

Menuntut keadilan

"Hal ini juga demikian, khususnya untuk ahli politik dan para wartawan. Seseorang wartawan atau media yang melaporkan sesuatu yang tidak benar, berunsurkan fitnah, harus ditegur, apatah lagi laporan itu tidak berasas dan merupakan cerita rekaan semata-mata," katanya.

Lau berkata, mangsa-mangsa kepada laporan yang tidak benar itu mempunyai hak untuk menuntut keadilan melalui mahkamah.

"Biarpun begitu, kesilapan itu harus diperbetulkan terlebih dahulu tanpa sebarang tindakan perundangan diambil terhadapnya jikalau ianya adalah tidak disengajakan.

"Hak untuk menegur juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan hak bersuara. Lebih-lebih dalam kes ini, pelbagai peluang telah diberi untuk Utusan memberi penjelasan," katanya.

Bagaimanapun, kata Lau media arus perdana itu terus membisu, menyebabkan Teresa yang didakwanya menjadi mangsa fitnah akhbar tersebut, terpaksa menuntut keadilan melalui mahkamah.

Menurut Lau lagi, itupun belum tentu dapat menentukan Utusan Malaysia telah membuat kesalahan kerana akhbar itu masih dikira tidak bersalah sehingga terbukti bersalah di mahkamah.

"Jikalau Umno Cheras percaya kepada kebebasan media dan kebebasan bersuara, mengapa tabung itu tidak dinamakan sebagai 'Tabung Utusan Malaysia' tetapi diberi nama 'Tabung Azan'" tambahnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/91309
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...