Showing posts with label Yayasan Islam Negeri. Show all posts
Showing posts with label Yayasan Islam Negeri. Show all posts

Monday, March 7, 2011

Kedah mula hantar pulang pelajar Mesir

Khairul Izwan

ALOR SETAR, 7 Mac: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berpuas hati dengan proses penghantaran pulang pelajar Kedah ke negara Mesir yang di uruskan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.

Ustaz Azizan telah bersama-sama dengan pelajar dan keluarga masing-masing di depan Wisma Darul Aman untuk meninjau pelepasan kumpulan pertama pelajar ke Mesir kelmarin.

“Setakat hari pertama proses penghantaran pelajar, saya berpuas hati kerana tidak ada yang tercicir dan saya harap perjalanan tidak tergendala,” katanya.

“Ada pelajar yang tidak sedar pasport mereka tamat tempoh, disebabkan itu kita ambil masa untuk memperbaharui pasport dan mohon visa. Mereka yang lewat memperoleh visa akan menaiki penerbangan akhir, bagaimana pun semuanya kini dalam proses dan tidak akan jejaskan perancangan asal,” katanya.

Turut hadir untuk meninjau pelepasan kumpulan pertama itu ialah Exco Agama, Pelajaran Dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul.

Menurutnya, Yayasan Islam Negeri Kedah sedang memantau dan menguruskan segala persiapan dan proses penghantaran bermula dari Wisma Darul Aman hingga ke KLIA, dan seterusnya tiba ke Mesir.

Kerajaan Negeri Kedah telah menyewa 3 buah kapal terbang Egypt Air untuk proses menghantar pulang 835 pelajar Kedah ke Mesir serta memberikan wang saku RM500 setiap pelajar.

Kumpulan pertama yang dilepaskan ialah seramai 235 pelajar serta 9 pegawai bertolak dari Alor Setar ke KLIA dengan enam buah bas yang disediakan.

Penerbangan kedua akan dilepaskan pada 8 Mac dan penerbangan seterusnya 10 Mac.


Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan kira-kira RM2.5 juta dalam projek penghantaan pelajar Kedah kembali ke Mesir dan projek ini di uruskan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31234:kedah-mula-hantar-pulang-pelajar-mesir&catid=1:utama&Itemid=50

Saturday, January 22, 2011

Pulau Pinang tubuh Yayasan Islam

Mohd Sabri Said

PENANTI, 21 Jan: Kerajaan negeri meluluskan penubuhan Yayasan Islam Negeri Pulau Pinang tetapi lokasinya belum dipastikan lagi, kata Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman.

Jelasnya, namun berapa peruntukan belum lagi dinyatakan dengan jelas kerana ia dalam proses mengenal pasti tanah dan perbelanjaan keseluruhan.

"Masyarakat Islam sekali lagi menerima berita gembira apabila Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Yayasan Islam Negeri Pulau Pinang. Penubuhan itu sekaligus boleh meningkatkan syiar Islam selepas Kerajaan Pakatan Rakyat memberikan kenaikan peruntukan untuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) berbanding di era pentadbiran Barisan Nasional (BN), " ujarnya ketika ditemui di majlis penyampaikan anak kunci rumah kepada warga emas Encik Taha Daud di Tanah Liat, Bukit Mertajam pagi tadi.

Menurut beliau, pembentukan Yayasan Islam Pulau PInang akan melaksanakan mana-mana tugas yang tidak dimainkan oleh Maipp mahupun Jabatan Agama Islam Pulau PInang (Jaipp).

Golongan profesional akan dipanggil mengendalikan Yayasan Islam Pulau Pinang ini selain mencari perbagai kaedah untuk diketengahkan sebagai cadangan peranan yayasan itu kelak.

"Yayasan itu nanti bukan menjalankan tanggungjawab yang bertindih dengan Maipp dan Jaipp sebaliknya menjalankan aktiviti yang lain asalkan ia melibatkan kepentingan umat Islam sejagat," tegasnya.

Sebelum itu, Yang Dipetua Maipp, Ustaz Elias Zakaria berkata, Pusat Urus Zakat (PUZ) telah pun memperuntukan RM15 ribu untuk membina rumah Taha Daud yang sebelum ini tinggal keseorangan di rumah usang di Kampung Tanah Liat.

Dengan bantuan itu menjadikan pada tahun 2010 PUZ telah membina 30 buah rumah yang menelan belanja RM900 ribu.

Manakala kerja baik pulih rumah pula melibatkan 164 rumah keseluruhan Pulau Pinang dengan kos RM1.7 juta di tahun yang sama.

"Memandangkan kita tidak mahu ada lagi individu Islam hidup melarat maka PUZ akan membantu bagi meningkatkan emej Islam agar dipandang tinggi oleh masyarakat bukan Islam," terangnya.

Hadir sama dalam program itu ialah Timbalan YDP Maipp, Ustaz Saleh Man, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Hasan Ahmad dan Pengarah PUZ, Dr Azman Samat.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30481:pulau-pinang-tubuh-yayasan-islam&catid=55:negeri-pulau-pinang&Itemid=100

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...