Showing posts with label Guard and Security Guard. Show all posts
Showing posts with label Guard and Security Guard. Show all posts

Tuesday, November 30, 2010

Ditinju sebelum bersalin

Ditinju sebelum bersalin
Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali
am@hmetro.com.my

MUAR: Penderitaan seorang wanita yang hampir melahirkan anak bertambah parah apabila perutnya ditumbuk berkali-kali oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa yang berumur 26 tahun dihantar suaminya ke hospital itu selepas mengadu sakit perut mahu melahirkan anak.


Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa dipercayai ditumbuk suspek di dalam lif pusat perubatan berkenaan.

“Ketika kejadian, suami mangsa meletakkan kenderaan di petak parkir, manakala suspek membantu menolak mangsa menggunakan kerusi roda ke wad bersalin.


“Ketika berada di dalam lif, mangsa ditumbuk di perut beberapa kali, sebelum dia dihantar ke wad bersalin,”
katanya.


Mangsa yang terkejut dan berada dalam kesakitan akibat tindakan tidak berperikemanusiaan pengawal keselamatan itu kemudiannya memaklumkan kejadian kepada suaminya yang berumur 33 tahun, sebelum suami mangsa membuat laporan polis berkaitan insiden terbabit.

Menurut beliau, polis kemudiannya menahan pengawal keselamatan terbabit untuk membantu siasatan.


“Kami merujuk suspek ke Wad Psikiatri HPSF dan dia dipercayai mempunyai masalah mental.

“Siasatan awal mendapati suspek baru dua bulan bekerja di syarikat kawalan keselamatan di HPSF,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Jurucakap HPSF pula memaklumkan bahawa mangsa selamat melahirkan bayinya tidak lama selepas kejadian dan kedua-duanya kini berada dalam keadaan sihat.

http://www.hmetro.com.my/articles/Ditinjusebelumbersalin/Article

Monday, July 26, 2010

Pengawal tidak boleh pegang MyKad orang lain

2010/07/26

PUTRAJAYA: Hanya mereka yang diberi kuasa secara bertulis saja dibenarkan memegang dan menyimpan kad pengenalan seseorang individu, sama ada untuk memasuki bangunan kediaman, syarikat, kementerian atau agensi kerajaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor berkata, tindakan itu diambil untuk melindungi maklumat peribadi dalam MyKad, sekali gus mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan melakukan perkara tidak bertangggungjawab.


“Tak kira siapa, semua pihak tidak boleh menyimpan kad pengenalan orang lain, kecuali mendapat kuasa secara bertulis daripada Ketua Pengarah JPN.


“Ia bertujuan melindungi maklumat di dalam Mykad, apatah lagi ketika ini, banyak maklumat peribadi dalam kad pengenalan mungkin boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,”
katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Jainisah berkata, mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 79), di bawah Peraturan 8A, Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 78) adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak untuk memegang dan menyimpan kad pengenalan orang lain.


Beliau berkata, mengikut peraturan itu, pemilik bangunan atau pengawal keselamatan yang bertanggungjawab terhadap bangunan terbabit hanya berhak meneliti dan menyemak kad pengenalan.


“Selepas berpuas hati, mereka perlu mengembalikan semula kepada individu terbabit sebelum mengeluarkan pas atau permit sementara untuk berada di kawasan premis mereka.


“Mereka tidak boleh menyimpan jika tidak mempunyai surat kuasa secara bertulis,”
katanya.


“Jika masih berdegil, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Peraturan 25 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.


Sehubungan itu, katanya JPN menasihatkan pemilik bangunan supaya mencari satu mekanisme baru untuk membenarkan pelawat memasuki premis mereka tanpa perlu meninggalkan kad pengenalan di kaunter pengawal keselamatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PengawaltidakbolehpegangMyKadoranglain/Article

Thursday, February 19, 2009

Komplot pengawal

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

yang ditemui semula." title="BUKTI...Abdul Razak (tengah) menunjukkan barang curi
yang ditemui semula." height="190" width="300" border="0">
BUKTI...Abdul Razak (tengah) menunjukkan barang curi 
yang ditemui semula.

PUTRAJAYA: Berbekalkan kad akses pelawat, empat penjenayah memecah masuk beberapa pejabat di sebuah kementerian di Kompleks E, di sini selepas waktu pejabat sebelum mencuri pelbagai barang berharga dipercayai bernilai puluhan ribu ringgit.

Kumpulan bergiat aktif sejak dua bulan lalu itu didalangi orang dalam iaitu dua bekas dan seorang pengawal keselamatan di kompleks berkenaan yang menceroboh masuk selepas waktu pejabat bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas tiga daripada penjenayah berkenaan ditahan awal dan pertengahan bulan ini hasil maklumat orang ramai.

Hasil tangkapan itu, polis merampas lima projektor LCD; 12 telefon bimbit, 23 kad termasuk kad kredit dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga komputer riba. 

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Abdul Razak Abdul Majid, berkata tiga daripada penjenayah berusia antara 22 hingga 29 tahun ditahan awal dan pertengahan bulan ini manakala seorang lagi suspek sedang diburu untuk membantu siasatan.

“Suspek utama yang berusia 29 tahun juga bekas pengawal keselamatan di kompleks berkenaan ditahan di sini, 6 Februari lalu, manakala suspek kedua yang bekerja sendiri ditahan 11 Februari lalu di Rantau Panjang, Kelantan.

“Sementara suspek ketiga yang juga pengawal keselamatan kompleks itu ditahan pada 7 Februari di Presint 7 di sini. Selain itu, kita sedang memburu seorang lagi suspek yang juga bekas pengawal keselamatan di kementerian itu kerana disyaki terbabit,” katanya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya di sini, semalam.

Hadir sama, timbalannya, Deputi Superintendan Polis (DSP) Yusuf Ibrahim dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Putrajaya, DSP Zulkhairi Mahamud.

Difahamkan nilai barangan yang dirampas dianggarkan bernilai antara RM15,000 hingga RM20,000. 

Abdul Razak berkata, siasatan juga mendapati suspek utama kes itu adalah penagih dadah jenis syabu dan berhenti kerja sejak Ogos tahun lalu.

“Tetapi kita tidak tahu sudah berapa lama suspek bekerja dengan kementerian itu,” katanya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana memecah masuk bangunan dan semua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan lima lelaki, termasuk tiga beradik ditahan di sebuah rumah di rumah ibu mereka di Pangsapuri Fasa 8, Presint 9 di sini, kelmarin kerana disyaki terbabit dalam kejadian pecah rumah di sekitar Presint 9 dan Presint 18, sejak akhir tahun lalu.

Semua suspek ditahan berusia antara 17 hingga 23 tahun dengan tiga daripadanya penagih dadah jenis ganja.

Abdul Razak berkata, suspek utama berusia 23 tahun bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur, seorang pelajar kolej, seorang pelajar tingkatan lima manakala dua lagi penganggur.

Dalam tangkapan itu, pihak polis berjaya merampas masing-masing satu televisyen LCD; projektor LCD, pemain cakera padat video digital (DVD) dan komputer riba; masing-masing 10 jam tangan dan telefon bimbit; tujuh kad memori, permainan video dan mikrofon.

“Modus operandi mereka adalah dengan memecahkan mangga jerigi, sebelum masuk dan menggeledah rumah yang dikenal pasti dan mereka biasanya memecah masuk waktu pejabat,” katanya.

Semua suspek direman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

Beliau berkata, dengan tangkapan semua suspek itu, polis percaya menyelesaikan kes pecah rumah di sekitar Presint 9 dan Presint 18, akhir tahun lalu.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan pelbagai barang supaya hadir ke IPD Putrajaya untuk membuat pengecaman atau menghubungi talian 03-88862145.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090219090402/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...