Showing posts with label Court Case. Show all posts
Showing posts with label Court Case. Show all posts

Thursday, August 13, 2009

Dipenjara enam bulan kerana menguap



SEORANG lelaki cuba menutup mulut ketika menguap. - Gambar hiasan



JOLIET - Gara-gara menguap terlalu kuat ketika mengikuti satu perbicaraan di Mahkamah Will County di sini, seorang penduduk negeri Illinois, Amerika Syarikat berhadapan hukuman penjara enam bulan.

Ketika kejadian, Clifton Williams, 33, menghadiri perbicaraan sepupunya, Jason Mayfield yang dibicarakan atas kesalahan dadah pada 23 Julai lalu.

Tindakan William menguap menyebabkan pihak pendakwa raya mengadu kepada Hakim Daniel Rozak dengan menganggap perbuatan itu sebagai cubaan mengganggu perbicaraan.

"Bunyi dia menguap terlalu kuat, bising dan mengganggu perbicaraan," kata pendakwa.

Hakim Rozak mendapati perbuatan itu sebagai menghina mahkamah dan menjatuhi hukuman penjara tetapi beliau sedia membebaskan Williams selepas mendengar perbicaraan hari ini dan permohonan maaf. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Sunday, July 19, 2009

‘Ikat perut’ enam tahun

Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal berusia 45 tahun terpaksa mengikat perut sejak enam tahun lalu apabila berhabis lebih RM200,000 hanya untuk menyelesaikan kes mahkamah membabitkan dirinya dan bekas suami.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zana itu berdepan dengan pelbagai kes sejak 2003 lagi seperti perceraian, tuntutan nafkah serta anak dan sivil.

Ibu tiga anak itu, berkata sejak dia bercerai dengan suami pada 2003, pelbagai kes lain timbul yang memerlukan kos tinggi untuk menyelesaikannya.


“Saya bercerai 2003 dan sejak itu pelbagai kes timbul. Kes yang masih dalam perbicaraan ialah bekas suami menuntut anak, tuntutan nafkah saya kepada bekas suami dan kes sivil iaitu pinjaman ketika kami suami isteri yang sehingga kini bayarannya tertunggak,” katanya.

Zana yang bekerja sendiri, berkata pendapatan dan wang simpanannya habis digunakan untuk menyelesaikan kes berkenaan, malah dia kini hilang punca untuk mendapatkan bantuan.

“Saya kini begitu terdesak apabila tidak mempunyai wang lagi untuk mendapatkan peguam kerana semua wang yang ada sudah digunakan sebelum ini.

“Bayangkan setiap kali ke mahkamah, sekurang-kurangnya saya perlu bayar RM100, malah untuk buka satu fail kes saja berjumlah RM3,000, belum lagi kos bayaran peguam dan lain-lain.


“Sebagai ibu tunggal yang ada tiga anak, saya tidak tahu hendak buat macam mana untuk menyelesaikan kes ini kerana jika tidak, kehidupan saya akan bertambah teruk dan susah lagi,”
katanya.

Menurutnya, kes mahkamah yang berlarutan dan sering tertunda, antara punca wanita itu tertekan selain terpaksa mengupah peguam untuk kes yang berbeza.

“Apabila kes ini berlarutan, kerja saya terganggu. Jika tidak bekerja, bagaimana hendak dapat duit membayar kos perbicaraan.

“Dalam kes ini, di mana saya hendak mengadu dan kepada siapa. Saya berharap, kerajaan lakukan sesuatu untuk ibu tunggal seperti saya, sebab itu ramai yang buat kerja tidak elok kerana tiada duit untuk menyelesaikan masalah dihadapi,”
katanya yang mengharapkan pengamal undang-undang membantunya yang kini dalam kesukaran untuk menghadapi perbicaraan.


Beliau berharap sangat ada peguam sudi membantu dengan kos yang rendah kerana saya memang tidak mampu ketika ini.

“Jika kes tidak selesai, saya bimbang anak menghadapi masalah kelak,” katanya.

Sementara itu, aktivis sosial, Lim Ai Yim, berkata kes dihadapi Zana adalah kes paling lama dibantunya disebabkan pelbagai masalah dihadapi.


“Saya membantunya sejak dia memfailkan kes pukul di Mahkamah Majistret pada 2004 dan sehingga kini tidak selesai kerana masalah tarikh ditunda, bertukar peguam dan pelbagai lagi.

“Zana sendiri tertekan dengan kes ini, malah ditambah lagi dengan pelbagai kes lain. Masa, tenaga dan kosnya dibuang begitu saja,”
katanya yang memberi khidmat secara percuma kepada wanita itu.

Kata Lim, dia tabik dengan Zana kerana menghadapi pelbagai masalah dengan semangat tinggi.


“Selain bekerja keras mencari duit untuk menyelesaikan kes di mahkamah, dia juga uruskan anak. Zana wanita tabah dan berani,” katanya.

Tuesday, May 19, 2009

Shafnie layak jaga dua anak


SHAFNIE



AC Mizal selepas keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Tiada alasan kuat dan munasabah bagi mengubah hak penjagaan dua orang anak yang diperoleh model, Shafnie Zainuddin(gambar) kepada bekas suaminya, AC Mizal yang juga pengacara rancangan realitiAkademi Fantasia.

Demikian antara alasan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan oleh Shafnie, 33, terhadap permohonan AC Mizal atau nama sebenarnya, Mizal Zaini, 37, melalui peguam syarie Azmi Mohd. Rais untuk mengubah perintah hak penjagaan terhadap dua orang anak mereka.

Selain itu, menurut Azmi, tiada isu lain yang timbul sehingga menyebabkan anak guamnya hilang kelayakan dalam hak penjagaan terhadap kedua-dua orang anak mereka.

"Dalam pernyataan pembelaan itu, kita menafikan permohonan AC dan sekarang kita tunggu jawapan daripada pihak mereka (AC)," katanya ketika ditemui di luar kamar mahkamah di sini semalam.

Terdahulu, peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal mengesahkan telah menerima salinan pernyataan pembelaan bertarikh 15 Mei yang dikemukakan Shafnie terhadap permohonan mengubah hak perintah penjagaan dua orang anaknya.

"Kami berhasrat memfailkan jawapan kepada pembelaan itu dan mohon ditetapkan tarikh sebutan," ujarnya.

Sehubungan itu, hakim syarie Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Abu Zaky Mohammad menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 11 Ogos ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Thursday, April 30, 2009

Lima isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan dipertanggungjawab menentukan kesahihan penukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan bapa atau ibu yang tidak menukar agama.

Mahkamah Rayuan semalam merujukkan kes hak penjagaan anak Shamala-Ridzwan ke Mahkamah Persekutuan bagi penentuan terhadap lima persoalan perlembagaan.

Mahkamah tertinggi itu perlu membuat penghakiman terhadap percanggahan antara undang-undang Islam dan sivil berkaitan penukaran agama dan hal ehwal keluarga dan juga Perlembagaan Persekutuan termasuk mengenai kesamaan dan kebebasan beragama.

Satu daripada persoalan itu ialah sama ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama untuk menukar agama anaknya daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan atau persetujuan bekas pasangannya tidak konsisten dengan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961. 

Pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak itu memberikan hak sama rata kepada ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdull Hamid Embong yang bersidang bersama Hakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Abdul Malik Ishak, sebulat suara membenarkan permohonan bagi perintah rujukan dikemukakan S Shamala yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan anak dengan suaminya yang memeluk agama Islam, Dr Jeyaganesh C Mogarajah. 

Shamala, 37, berkahwin dengan Jeyaganesh, 41, pada 1998 mengikut upacara agama Hindu dan perkahwinan mereka didaftarkan mengikut Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

Pada 2002, empat tahun selepas berkahwin, Jeyaganesh memeluk agama Islam dan turut menukar agama anaknya Saktiwaran dan Theiviswaran, yang ketika itu berumur tiga dan dua tahun, kepada agama Islam tanpa persetujuan Shamala. 

Permohonan untuk merujuk persoalan perlembagaan kepada mahkamah dibuat dengan persetujuan Jeyaganesh, yang nama Islamnya Muhammad Ridzwan Mogarajah dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Jeyaganesh yang diberikan hak melawat anaknya mendakwa, dirinya tidak bertemu dua anaknya itu sejak lima tahun lalu.- Bernama

Sunday, March 8, 2009

Kes liwat Anwar ke Mahkamah Tinggi

Mar 5, 09 10:27am

saiful bukhari azlan and anwar ibrahim 150808 2Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan rayuan pihak pendakwaraya untuk memindahkan perbicaraan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md Diah berkata sijil pemindahan kes yang dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail adalah sah, dan menolak bantahan yang dibangkitkan oleh peguam pembela.

Beliau mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen SM Komathy supaya kes tersebut dibicarakan di mahkamah berkenaan.

Kes tersebut akan disebut di Mahkamah Sesyen Selasa depan untuk menetapkan tarikh bagi memindahkannya ke Mahkamah Tinggi.

sankara pc on anwar 150708 01Peguam Anwar berkata mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini dan dijangka berbuat demikian esok.

Peguam Sankara Nair berkata beliau kecewa apabila dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Pada 7 November lalu, Hakim Komathy menolak permohonan untuk memindahkan kes tersebut, sambil berkata "kes ini menimbulkan situasi yang unik di mana sebarang pembabitan AG dalam kes ini akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kehakiman kes jenayah".

Komathy juga dilapor berkata, terdapat persefahaman bahawa AG tidak akan terbabit dalam kes ini. Jaminan itu diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad selepas ditemui Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

lingam tape panel meeting 031007 abdul gani patailAbdul Gani masih disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), ekoran laporan polis yang dibuat oleh Anwar yang mendakwa berlaku pengubahan bahan bukti dalam kes 'mata lebam' pada 1988.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara. Beliau kini dibebaskan dengan jaminan peribadi sebanyak RM20,000.

Baca berita penuh


http://www1.malaysiakini.com/news/99589

Sunday, February 22, 2009

Bukan niat hina isteri




SETELAH turun naik mahkamah hampir dua tahun dek pergolakan rumah tangganya dengan pengasas produk kecantikan terkenal Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya, air mata jantannya berderai jua.

Vokalis kumpulan Lefthanded, Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, dilihat tidak mampu menahan sebak sebaik mendengar keputusan yang dibuat Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad, di Mahkamah Tinggi Shah Alam , Khamis lalu.

Mahkamah telah membenarkan Nash menggunakan wang dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) dan hartanah yang bernilai sebanyak RM880,000 yang didaftarkan di atas namanya, setelah mereka disahkan masih lagi pasangan suami isteri pada 12 November lalu.

Keputusan itu secara automatik telah membatalkan perintah injunksi yang diperoleh secara ex-parte (sebelah pihak) oleh isterinya yang sebelum ini menghalang Nash daripada melakukan sebarang transaksi dan pindah milik semua harta di atas.

Pelbagai persoalan yang timbul sepanjang kes rumah tangga pasangan ini berlangsung. Sungguhpun, Nash telah memperoleh pembatalan injunksi, tetapi khabarnya hubungannya dengan isteri belum ada kesudahan. Hubungan mereka semakin memburuk seolah-olah tidak mampu diselamatkan lagi ekoran pelbagai insiden yang terjadi akhir-akhir ini.

Malah, pada 2 Januari lalu isterinya telah memfailkan permohonan cerai secara taklik dan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur telah menetapkan tarikh 8 April depan untuk mendengar perbicaraan kes tersebut.

Kosmo! cuba membongkar apa yang tersembunyi di sebalik hati Nash berhubung dengan keputusan mahkamah, kelmarin. Ketika ditemubual, Nash tidak banyak bercakap malah sering menjawab dengan kata-kata 'no comment' kepada beberapa soalan. Barangkali berdiam diri itu lebih baik kepada penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu. Ikuti temu bual antara Kosmo! dan Nash semalam iaitu sehari selepas keputusan itu diumumkan.

Apa perasaan Nash sekarang setelah mahkamah membatalkan injunksi tersebut?

Saya bersyukur dengan apa yang terjadi. Bermacam dugaan yang Allah berikan pada saya dan saya amat menghargainya. Saya juga berharap semuanya akan berjalan dengan baik selepas ini.

Apa maksud Nash 'semuanya akan berjalan dengan baik'? Apakah hubungan kalian akan diselamatkan?

Maksud saya, saya berharap tidak ada lagi hal-hal yang seperti ini. Saya harap benda ini tidak akan diperbesarkan lagi.


BAHAGIA hanya seketika meskipun perkahwinan mereka berlandaskan cinta.


Saya simpati bila ada pendapat ramai mengatakan Nash berkahwin atas dasar harta semata-mata, komen Nash sendiri bagaimana?

Allah Maha Besar. Mulut orang saya tidak boleh tutup. Biarlah!

Selepas ini bagaimana hubungan kalian?

Kalau boleh saya tidak mahu komen.

Apakah ini bermakna masalah dengan isteri akan diselesaikan?

Hubungan saya dengannya macam biasa, tidak ada apa-apa masalah. Kami masih lagi sah sebagai suami isteri.

Tetapi Watie telah membuat permohonan untuk cerai taklik?

Bab cerai itu kita sama-sama tunggu di mahkamah. Cuma saya harap, doakan yang terbaik buat saya.

Adakah kes pergolakan rumah tangga ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap hidup Nash sebagai seorang selebriti?

Kesannya memang banyak kerana perkara ini saya telah menimba banyak pengalaman dan bersyukur. Ia membuatkan saya lebih matang dan berhati-hati dengan apa saja yang mendatang. Sebenarnya ia satu pengajaran dalam kehidupan dan saya amat bersyukur.

Dalam keluaran Kosmo! semalam, Nash ada menyebut supaya Watie menjadi seorang isteri yang beriman dan solehah. Boleh huraikan?

Sebenarnya apa yang saya katakan bukan menuding kepada sesiapa atau kepada dia. Saya katakan pada semua wanita bergelar isteri supaya jadilah isteri yang solehah. Sebab itu saya tidak menyebut nama sesiapa ketika membuat kenyataan tersebut. Saya tidak menghina sesiapa.

Sekali lagi, agak-agaknya ke mana arah hubungan rumah tangga Nash dan dia selepas ini?

Saya tidak boleh berkata banyak. Apa yang boleh saya cakap saya harap kita sama-sama doa yang terbaik.


NASH tidak mahu bercakap banyak tentang isu rumah tangganya yang kini bagaikan ‘telur di hujung tanduk’.


Saya tak kalah – Watie

DALAM pada itu, Kosmo! mendapatkan pula kenyataan isteri Nash, Sosilawati Lawiya supaya isu perihal rumah tangga mereka ini dibaca secara lebih seimbang. Watie ketika ditemubual kedengaran cukup pasrah dengan keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah itu.

Nash menitiskan air mata di mahkamah selepas dia menang kes, apa perasaan Watie melihat suami menangis?

Ini bukan hukuman gantung, saya tidak faham kenapa dia perlu menangis. Keputusan mahkamah Khamis lalu bukannya bermakna saya kalah atau dia menang. Perintah injunksi yang dibuat semasa kes pengesahan lafaz terbatal dengan sendirinya, kerana kami masih lagi sah sebagai suami isteri.

Selepas menang kes, Nash ada menasihatkan supaya Watie menjadi isteri solehah, bersediakah?

Memang saya berkahwin dengan dia pun sebab nak cari suami soleh dan beriman, yang boleh membimbing saya menjadi seorang isteri yang solehah. Tetapi nampaknya dia yang selalu ceritakan keburukan saya. Ini maknanya dia juga telah menjatuhkan maruah dirinya sendiri sebab tak dapat mendidik isteri dia menjadi solehah. Mana ada perempuan yang tak hendak jadi wanita solehah, tetapi suami pun perlu fikir untuk jadi suami yang soleh juga.

Apa tindakan Watie seterusnya?

Saya sudah memohon cerai taklik dan dalam minggu depan saya membuat permohonan perintah injunksi yang baru dan kali ini nilainya telah bertambah.


BAGI Watie, masih ada ruang untuk Nash membaiki kecelaruan rumah tangga mereka.


Berapa?

Duit ASB RM200,000, ASW RM200,000, rumah RM480,000 dan Public Mutual RM500,000.

Atas dasar apa Watie mahu membuat permohonan terbaru ini?

Itu duit hasil perniagaan saya, dia kenalah pulangkan balik kerana saya ada semua bukti. Salah ke saya nak menuntut hak saya kembali?

Nash tidak banyak komen bila ditanya mengenai hubungan kalian, bagi Watie sendiri, masihkah ada harapan?

Hubungan kami sudah tidak ada apa-apa lagi. Kami bukan macam suami isteri lain. Dia pun tidak cari saya dan tidak ajak saya balik ke rumahnya.

Kata Nash juga, sebagai isteri Watie yang sepatutnya pulang ke rumah dia,bukan suami yang kena ikut isteri. Kenapa tak buat macam itu?

Saya pernah cakap hendak datang ke rumah dia sebelum kes dibawa ke mahkamah. Tetapi dia jawab, kalau saya datang dia akan keluar dari rumah. Dia pun tak pernah 'memujuk' saya untuk balik ke rumah dia. Mana tempat yang dia sediakan untuk saya sebagai isteri? Jadi saya nak buat macam mana lagi sebab dia sendiri tidak pernah berusaha untuk jernihkan semula hubungan kami.

Apa perasaan Watie apabila kisah rumah tangga mendapat liputan meluas media?

Malu! Saya malu sangat terutamanya dengan anak-anak. Kasihan mereka kerana suami selalu cakap yang buruk tentang saya di media. Saya tidak pernah pun mengaibkan dia kerana saya masih hormat sebagai suami. Sepatutnya dia pun kenalah jaga maruah saya sebagai isterinya. Sabar setiap orang ada hadnya. Kalau saya seorang yang angkuh dan sombong, saya tak akan bantu dan percaya dengan mudah kepada dia.

Ada pihak yang mengatakan Watie berkahwin kerana ingin tumpang populariti Nash supaya melariskan lagi perniagaan, betul ke?

Saya ikhlas berkahwin dengannya. Memang saya cintakan dia masa tu sebab nampak dia lelaki beriman dan boleh bimbing hidup saya. Tentang tumpang populariti rasanya tak timbul sebab sebelum kahwin, produk dan perniagaan saya juga sudah stabil. Saya terima dia sebagai jodoh tetapi tidak sangka jadi begini pula.

Orang keliru, kenapa Watie memohon cerai taklik, tiada ada jalan yang lebih baikkah?

Sebagai isteri, kalau suami tidak pulang ke rumah selama tiga bulan, dan mengeluarkan semua duit hasil titik peluh saya, haruskah saya berdiam? Saya berhak untuk menuntut cerai apabila rasa perkahwinan ini tidak bahagia. Selama ini pun dia tidak memberi kasih sayang, masa dan perhatian terhadap saya. Lagipun sepanjang kes kami berlangsung, dia memburukkan saya. Kalau saya ini buruk sangat pada pandangannya kenapa tidak dilepaskan saja, kenapa mengantung saya tidak bertali?

Ditakdirkan jika Nash mahu kembali, bagaimana?

Saya masih isterinya, cerai di tangannya. Kalau dia minta saya kembali, saya terima dengan hati yang terbuka. Tetapi kalau saya ini bukan lagi isteri pilihannya, lebih baik kami berpisah. Dan saya juga berharap dia bertemu dengan jodoh yang diidamkan.

Menyesal atau tidak bergelar isteri kepada orang popular macam Nash?

Saya tidak pernah menyesal, saya anggap dia jodoh saya. Cuma hingga sekarang saya tidak tahu apa yang dia hendak? Ikhlaskah dia berkahwin dengan saya?

Adakah kes ini menjejaskan reputasi Watie sebagai ahli perniagaan dan seorang ibu?

Kalau perniagaan tidak ada apa-apa masalah, semuanya berjalan seperti biasa. Cuma anak-anak yang turut menanggung malu. Saya harap kami masih boleh berbincang secara baik. Saya sedia memberikan dia ruang dan peluang.

Mungkin Watie ada nasihat untuk wanita di luar sana?

Saya ingin menasihatkan supaya wanita memilih suami bukan dari luaran saja tetapi nilai dari segi hati, kejujuran, keikhlasan. Kalau sayang macam mana pun, perlu beringat dan berhati-hati. Mungkin saya salah sebab meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada orang lain.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

Friday, February 20, 2009

'Jadilah isteri solehah'


NASH nasihat Sosilawati menjadi isteri baik dan ada iman.



PERINTAH injuksi sebelah pihak yang diperoleh Sosilawati sebelum ini terbatal.


SHAH ALAM - "Saya rasa syukur yang amat sangat kepada Allah dengan keputusan mahkamah semalam dan selepas melalui bermacam dugaan dan fitnah, nasihat saya kepada dia (isteri) agar menjadi isteri yang baik dan ada iman."

Demikian kata penyanyi rock atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, 50, dengan nada sebak ketika ditemui pemberita di luar kamar Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Mahkamah sebelum itu mengisytiharkan bahawa perintah injunksi yang diperoleh secara ex-parte (sebelah pihak) oleh jutawan produk kecantikan, Sosilawati Lawiya, 46, selaku responden berhubung amanah saham dan hartanah miliknya bernilai RM880,000 terbatal.

Perintah injunksi yang diperoleh Sosilawati pada 26 September 2007 adalah bagi menghalang Nash selaku plaintif untuk membuat transaksi atau pindah milik amanah saham dan hartanah tersebut.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad membuat keputusan itu setelah beliau bersetuju dengan kedua-dua belah pihak bahawa perintah ex-parte yang diperoleh Sosilawati sebenarnya adalah bersandarkan kepada permohonan kes induk iaitu permohonan pengesahan lafaz cerai Sosilawati terhadap Nash.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Thursday, February 19, 2009

Amah bunuh anak sendiri dipenjara lima tahun

KUALA LUMPUR - "Terima kasih Yang Arif, terima kasih." 


Hanya kata-kata itu yang mampu diluahkan seorang amah Indonesia sambil menangis teresak-esak sejurus Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas sabitan menyebabkan kematian bayinya dua tahun lalu.

Unah Suma, 28, dijatuhkan hukuman tersebut setelah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan dengan menutup saluran hidung dan mulut mangsa bagi mengelakkan majikannya mendengar tangisan bayi itu.

Perbuatan itu dilakukan di rumah majikannya, Soh Beng Ping di No. 30 Jalan Sibu 4, Taman Wahyu, Jinjang di sini antara pukul 1 pagi dan 2.30 pagi 3 Jun 2007.

Ibu tunggal yang telah bekerja di negara ini sejak Ogos 2005 itu didakwa di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara maksimum 20.

Hukuman penjara ke atas Unah yang hadir di mahkamah dengan berbaju T itu diarahkan berkuat kuasa mulai tarikh dia ditahan reman pada 3 Jun 2007. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Ab. Aziz ketika membacakan penghakimannya berkata, walaupun hukuman itu dijatuhkan mengambil kira kepentingan awam namun beliau juga melihat faktor peribadi tertuduh yang melahirkan bayi setelah dirogol anak saudara majikannya yang mabuk.

Menurut beliau, mahkamah mempertimbangkan keadaan tertuduh yang trauma dan takut akibat kejadian rogol itu namun beliau tidak dapat menerima alasan tertuduh hilang pertimbangan kerana pada waktu kejadian ada seorang amah lain bersamanya.

"Dalam kes ini, saya ambil kira faktor kehadiran rakan kamu, Nina Listianingsih yang ada di situ. Kamu tidak berseorangan, kamu boleh meminta tolong daripadanya," kata Zainal Azman kepada Unah yang asyik mengesat air matanya.

"Walaupun saya hakim, tetapi saya juga seorang manusia, bapa dan ada anak. Saya tidak dapat menerima dan saya percaya rakyat Malaysia juga tidak dapat terima perbuatan kamu," katanya dalam nada berhemah.

Menurut beliau, walaupun tertuduh tidak sukakan bapa kepada bayi berkenaan, namun dia yang mempunyai seorang anak di negara asal sepatutnya sayang kepada bayi itu yang merupakan sebahagian daripada dirinya.

"Kamu tidak sepatutnya melepaskan geram pada bayi kamu. Bayi itu sihat dan sempurna, laporan bedah siasat menunjukkan bayi itu mati kerana lubang hidung dan mulut ditutup dengan tekanan kuat untuk mengelakkan bernafas," katanya.

Terdahulu, peguam bela Raftfizi Zainal Abidin yang mewakili tertuduh menarik perhatian galeri awam apabila turut menangis bersama-sama tertuduh ketika merayu untuk wanita itu yang didakwa enggan membuat laporan polis atas kejadian rogol kerana tidak mahu dibuang kerja.

Berdasarkan fakta kes, pada pukul 1 pagi 3 Jun 2007, Nina terdengar tangisan bayi dan melihat tertuduh memegang bayi tersebut dalam keadaan terkangkang serta berlumuran darah lalu Nina keluar mengambil air untuk tertuduh.

Bagaimanapun, pada pukul 2.30 pagi, tertuduh memberitahu Nina bayinya telah mati. Tertuduh memasukkan bayi itu ke dalam plastik hitam dan membuangnya ke dalam tong sampah. Nina memberitahu kejadian itu kepada majikan keesokannya, menyebabkan tertuduh ditangkap.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0219&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Sunday, February 15, 2009

Nash mahu mahkamah sabitkan Sosilawati sebagai derhaka


NASH



SOSILAWATI


KUALA LUMPUR - Bekas vokalis kumpulan Lefthanded, Nash memohon supaya Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini mensabitkan isterinya, usahawan produk kecantikan, Sosilawati Lawiya sebagai nusyuz (derhaka).

Permohonan Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, 50, itu terkandung dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas yang difailkan menerusi peguam syarie, Amli Embong di mahkamah semalam.

Terdahulu, Amli mengatakan pihaknya selaku defendan tiada bantahan untuk menetapkan tarikh bicara namun memohon plaintif untuk menjawab pembelaan.

Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Sosilawati bagaimanapun memohon diberikan masa untuk meneliti terlebih dahulu dokumen tersebut sebelum memfailkan jawapan kepada pembelaan dan tuntutan balas Nash.

Sehubungan itu, hakim syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menetapkan perbicaraan kes tuntutan cerai taklid Sosilawati, 46, pada 8 April depan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Friday, February 13, 2009

Berhimpun di luar mahkamah, sokong saman Zambry

Feb 13, 09 11:36am

Pemimpin Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin hari ini memfailkan saman mencabar pelantikan menteri besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir.

pakatan nizar sue zambri 130209 nizar 03Beliau memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di situ.

Kira-kira 300 orang, termasuk penyokong dan pemimpin pembangkang, berhimpun di luar kompleks mahkamah Jalan Duta, menunggu ketibaan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang akan memfailkan saman mencabar pelantikan menteri besar baru Perak.

Juga kelihatan ramai petugas media dan anggota polis di situ.

Jumlah mereka semakin bertambah menunggu ketibaan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang akan memfailkan saman untuk mencabar pelantikan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir.

pakatan nizar sue zambri 130209 crowdPada kira-kira jam 11.20 pagi, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin tiba bersama dengan pemimpin DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.

Ketibaan mereka disambut dengan tepukan gemuruh para penyokong yang melaungkan 'hidup rakyat' sebanyak tiga kali.

Nizar mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di ibunegara bagi mendapatkan perisytiharaan bahawa beliau masih merupakan menteri besar Perak yang sah.
    
Beliau juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah deklarasi bahawa Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, yang dilantik sebagai menteri besar Perak yang baru pada 6 Februari lalu, tidak berhak memegang jawatan itu.
    
Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar  mendakwa beliau masih merupakan menteri besar yang sah atas tiga alasan berikut:

(i) Tidak terdapat pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak; 

(ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh Dewan Undangan Negeri terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan

(iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.

jamaluddin mat radzi and osman jailu perak pkrDalam afidavit sokongan terhadap permohonan itu, Mohammad Nizar menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu telah meletakkan jawatan sebagai Adun melalui surat bertarikh 30 Januari 2009, manakala seorang lagi Adun, Hee Yit Foong (Jelapang) meletakkan jawatan melalui surat bertarikh 3 Februari 2009.
    
"Berikutan peletakan jawatan itu, Barisan Nasional kini mempunyai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri. Saya telah memaklumkan kepada Sultan perkembangan terkini dan berdasarkan prinsip demokrasi, memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat Perak memilih semula kerajaan yang mereka kehendaki.
    
"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli Majlis Mesyuarat Negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong.
    
"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan Menteri Besar Negeri Perak, saya masih Menteri Besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil,"
katanya dalam afidavit itu.
    
Nizar memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa beliau (Zambry) berhak memegang jawatan menteri besar Perak.
    
Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

pakatan nizar sue zambri 130209 crowd 02"Responden kini membuat representasi kepada rakyat Malaysia bahawa beliau adalah Menteri Besar Negeri Perak, ini mengelirukan rakyat," menurut permohonan itu.
    
Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri  besar di negeri itu.
    
Beliau mendakwa terdapat pertikaian undang-undang perlembagaan membabitkan Fasal 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak berkenaan status jawatan menteri besar di antara beliau dan responden.

"Di bawah undang-undang tubuh, pemohon (Mohammad Nizar) tidak memegang  jawatan Menteri Besar bersandarkan keredaan Sultan, juga tidak terdapat peruntukan untuk pemohon diarahkan meletakkan jawatan atau dipecat dari jawatan Menteri Besar," kata permohonan itu.
    
Mohammad Nizar turut menuntut ganti rugi punitif, ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan serta kos daripada responden..

http://www1.malaysiakini.com/news/98200

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...