Showing posts with label Si Tanggang Moden. Show all posts
Showing posts with label Si Tanggang Moden. Show all posts

Sunday, August 7, 2011

Disisih anak

Oleh MARY VICTORIA DASS dan MAHAIZURA ABD MALIK
am@hmetro.com.my

GEMBIRA... Robiah bersama Brian Tan selepas menerima sumbangan daripada   Scenic Route Sdn Bhd.
GEMBIRA... Robiah bersama Brian Tan selepas menerima sumbangan daripada Scenic Route Sdn Bhd.

JOHOR BAHRU: “Makcik tetap menanti kepulangan mereka setiap kali menjelang Aidilfitri biar pun Ina sanggup menipu kononnya mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia sebenarnya berhijrah ke sana semata-mata mahu melepaskan tanggung jawab menjaga mak cik,” kata warga emas, Robiah Razali, 66, di sini, semalam.

Menceritakan kisah malang hidupnya, Robiah berkata, dia hidup sebatang kara di perumahan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Desa Bukit Mutiara, Tebrau, selain menagih kasih dan ihsan jiran selepas kedua-dua anaknya tidak lagi mempedulikannya.


Robiah berkata, anak sulungnya, Salim Ahmad, 40, melepaskan tanggung jawab untuk menyaranya dengan alasan tiada pekerjaan tetap di Kuala Lumpur manakala anak bongsunya, Ina, 36, gagal menghubunginya sejak lima tahun lalu apabila berhijrah ke New Zealand.

Menurut Robiah, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menguruskan hidupnya bersendirian biar pun dimamah usia selain menghidap kencing manis.


“Mak cik bukan mahu mengaibkan anak tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban di hati jika dapat berkongsi nasib malang ini.


“Mak cik kehilangan suami, Ahmad Budin, pada 1978 ketika berusia 33, sejak itu mak cik tidak pernah terlintas untuk berkahwin semula demi anak, mak cik membesarkan serta menyekolahkan anak dengan bekerja sebagai tukang masak di restoran selain wang pencen suami,” katanya.

Menurut Robiah, masalah timbul selepas kedua-dua anaknya berumah tangga dan kehadiran warga emas berkenaan dalam keluarga mereka dianggap sebagai beban.


Robiah berkata, kini dia terputus hubungan dengan Salim mahu pun Ina yang tidak lagi menziarahinya, termasuk pada Aidilfitri.

“Ina turut tergamak menipu mak cik dengan memberi alasan mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia merancang meninggalkan mak cik dan kini hidup mewah di sana.


“Keadaan itu mengakibatkan mak cik terpaksa bergantung sepenuhnya kepada wang pencen bulanan arwah suami berjumlah RM350 yang perlu diagihkan untuk membayar sewa rumah,” katanya.


Menurut Robiah, setiap kali bersahur, dia hanya meminum susu kerana bimbang kehabisan barangan dapur, namun bersyukur mempunyai jiran berhati mulia yang sanggup berkongsi makanan ketika berbuka puasa.


Katanya, jiran juga pernah menyumbangkan bantuan ketika dia terputus bekalan makanan selain membelikan basikal elektrik bagi memudahkan pergerakannya untuk ke surau.


“Biarpun terguris dengan perbuatan anak, mak cik tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan mereka.


“Ibu mana yang tidak mengingati anak, mak cik harap dapat bertemu kembali dengan mereka dan cucu pada Aidilfitri ini dan seperti biasa, mak cik akan memasak juadah kegemaran mereka,” katanya.


Robiah antara 100 penerima yang ditemui pada Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal di PPRT Bukit Mutiara sumbangan ahli perniagaan, Baazlan Ibrahim selain Scenic Route Sdn Bhd yang diwakili pengarah eksekutifnya, Brian Tan Chong Beng.


Scenic Route Sdn Bhd menaja sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berjumlah RM4,000 dan menurut Brian, program julung kali syarikatnya itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan.


http://www.hmetro.com.my/articles/Disisihanak/Article/artikelMA

Friday, March 25, 2011

Anak mengamuk ibu kahwin lain

Anak mengamuk ibu kahwin lain
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Berang kerana tidak bersetuju perkahwinan semula ibunya dengan individu lain, seorang lelaki berusia 28 tahun bukan saja memaki-hamun bapa tirinya, malah bertindak kejam membelasah ibu kandungnya sendiri di rumah mereka di Jalan Teratai, Ampang, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, wanita berusia lewat 40-an terbabit mendakwa cedera di tubuh selain patah tangan kanan selepas terkena pasu bunga yang dihentak anak lelaki tunggalnya itu.


Kecewa dengan tindakan kejam anaknya itu, mangsa ditemani suami membuat laporan di Balai Polis Ampang berhubung insiden berkenaan.

Difahamkan, wanita terbabit baru berkahwin dengan lelaki berusia lewat 40-an kira-kira empat bulan lalu selepas dia kematian suami dua tahun lalu. Namun, anak lelakinya itu dikatakan tidak merestui hubungan berkenaan selain sering memberontak.


Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, ketika mangsa berada di rumah mereka, suspek dikatakan pulang ke rumah dalam keadaan marah.


“Sebaik masuk ke dalam rumah, suspek dikatakan memaki-hamun bapa tirinya dengan kata-kata kesat. Tindakan bapa tiri suspek yang mendiamkan diri menyebabkan suspek bertambah berang, namun dia tidak menyerang lelaki terbabit.

“Sebaliknya, suspek beralih arah kepada ibunya sebelum dia memaki-hamun wanita berkenaan. Tidak tahan dengan tindakan biadab anak lelakinya itu, wanita terbabit mula mempertikaikan sikapnya menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka lebih 20 minit,” katanya.


Difahamkan, bapa tiri suspek masih mengambil pendekatan berdiam diri kerana pada mulanya dia yakin kedua-dua beranak itu mampu menyelesaikan masalah mereka sendiri selain tidak mahu memburukkan lagi keadaan. Sumber itu berkata, suspek bagaimanapun hilang pertimbangan sebelum dia dikatakan memecahkan semua barangan dalam rumah itu.

“Walaupun ibunya menangis sambil merayu kepada suspek supaya memberhentikan tindakannya itu, lelaki terbabit tidak mengendahkan rayuan berkenaan sebaliknya dia menjadi lebih agresif,” katanya.


Sumber itu berkata, tidak tahan melihat tindakan anaknya itu, wanita terbabit mula menghalangnya, namun tindakannya menyebabkan dia dipukul anak kandungnya itu.


“Masih tidak puas hati, suspek menghentak ibunya menggunakan pasu bunga dan walaupun wanita terbabit sempat mengelak, hentakan itu tepat mengenai tangan kanannya.


“Melihat ibunya mengerang kesakitan, suspek melarikan diri dari rumah berkenaan. Bapa tiri suspek membawa ibunya ke klinik di kawasan berhampiran sebelum doktor yang merawatnya mengesahkan tangan kanan mangsa patah,” katanya.


Selepas menerima rawatan, mangsa tampil di balai polis berhampiran rumahnya sebelum membuat laporan berhubung insiden berkenaan kerana mendakwa bimbang terhadap keselamatan diri dan suaminya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.


http://www.hmetro.com.my/articles/Anakmengamukibukahwinlain/Article

Sunday, March 13, 2011

Doa ayah cepat mati

Doa ayah cepat mati

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my

BAHAYA... wayar sambungan elektrik yang boleh menyebabkan litar pintas.
BAHAYA... wayar sambungan elektrik yang boleh menyebabkan litar pintas.

PETALING JAYA: Dia anak tunggal dalam keluarga tapi kerana dendam kesumat sejak kecil berikutan sikap baran ayahnya, seorang wanita bertindak umpama ‘Si Tanggang’ apabila tergamak mendoakan kematian lelaki itu.

Episod dendam itu bermula sejak Sara, 40-an, masih kanak-kanak apabila mendakwa sering dipukul dan dimaki hamun oleh ayahnya, Pak Atan, 74, meskipun kesalahan hanya kecil.


Kemarahan wanita itu makin membara selepas ayahnya bernikah dengan perempuan seberang kira-kira tujuh tahun lalu, iaitu selepas tiga tahun kematian isteri yang juga ibu kepada Sara.

Kemuncaknya pada September lalu apabila Sara didakwa menghalau ayah dan ibu tirinya keluar dari rumah mereka di sini, hingga terpaksa membina pondok kecil serba daif di tepi rumah itu.


Menurut Sara, dia dan ayah tidak mungkin berbaik semula kerana terlalu banyak kenangan pahit bersama lelaki itu sejak kecil lagi.


“Mungkin orang nampak saya jahat bila saya katakan saya selalu berdoa supaya Allah cepat cabut nyawa ayah sebab tidak mahu menanggung dosa lagi apabila selalu berfikiran negatif terhadapnya.

“Biarlah kami dengan dunia masing-masing sebab ayah sudah mewasiatkan kepada saudara mara tidak membenarkan saya menyentuh atau melihat mayatnya jika dia meninggal dunia kelak,” katanya kepada Metro Ahad.


Dia berkata, punca perselisihan faham disebabkan sikap panas baran ayah sejak muda hingga kini.

Sejak kecil, dia sering dipukul dan dimaki hamun meskipun kesalahan dilakukan hanya kecil.


“Saya tidak rapat dengan ayah kerana kebanyakan masa dihabiskan bersama ibu. Mana mungkin saya mengadu masalah bersama ayah yang baran tidak kira masa.


“Jika anak tunggal lain, pastinya mereka disayangi dan ditatang bagai minyak penuh, malangnya situasi itu tidak pernah terjadi kepada saya.


“Saya masih ingat sewaktu kecil, arwah datuk dan nenek (sebelah ayah) pernah bergaduh hingga menggunakan senapang selain mengeluarkan perkataan tidak sopan, dan sikap itu mengalir dalam tubuh ayah,” kata ibu kepada empat cahaya mata lelaki itu.


Menurut Sara, sikap ayah yang tidak boleh menerima pendapat orang lain dan merasakan diri selalu betul sungguh berbeza dengan sikap arwah ibu yang sentiasa sabar dan tenang.


“Tiada anak yang tidak sehaluan dengan bapa kandung tanpa sebab. Kadangkala kita terlepas pandang perkara remeh hingga tidak sedar kita membuatkan orang lain kecewa.


“Pernah saya diugut ayah jika buku laporan peperiksaan ada dakwat merah, dia menyuruh saya makan habuk buku selain dirotan hingga meninggalkan birat di punggung,” katanya kesal dengan sikap bapanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/Doaayahcepatmati/Article/artikelMA

Muhasabah diri

KUALA LUMPUR: “Apabila berlaku situasi seperti ini, kedua-dua pihak harus bermuhasabah diri mencari penyelesaian supaya krisis ini tidak berpanjangan,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut mengulas mengenai sengketa Pak Atan dan anak tunggalnya.

Beliau berkata, perkara sedemikian tidak wajar berlaku disebabkan masyarakat sering didedahkan dengan natijah menjadi anak derhaka dan mereka harus mengambilnya sebagai iktibar.


“Hukum dunia, setiap perbuatan pasti akan ada balasan. Kita sering mendengar cerita seperti anak tidak mampu mengucap ketika menghadap sakaratul maut, wajah bertukar menjadi babi dan mati dalam keadaan mengaibkan akibat menderhaka kepada ibu bapa.

“Apakah kejadian itu tidak mampu membuka hati kita?” katanya ketika dihubungi.


Noh berkata, Tuhan tidak zalim dan setiap kejadian pasti ada punca dan hikmah tersendiri, sebaliknya hanya manusia yang selalu alpa dengan perbuatan zaman lampaunya.


“Jangan sesekali kita melupakan Tuhan kerana Dia pasti melupakan kita, jangan memberikan rezeki haram kepada anak kerana tidak berkat selain memberi impak negatif apabila dewasa kelak.

“Ayah juga perlu tegur kesilapan anak dan sering mengingatkan mereka mengenai balasan Allah dunia akhirat dan bagi pihak si anak pula mereka tidak akan mencium bau syurga jika tidak meminta ampun daripada ibu bapa dan mereka harus ingat reda Allah adalah reda ibu bapa terhadap anak,” katanya.


Menurut Noh, jika kejadian ini berterusan si anak boleh didakwa di mahkamah syariah disebabkan gagal memberi nafkah kepada bapanya.

Katanya, jika si anak enggan bertaubat dan memohon ampun serta melakukan solat sunat taubat, tidak mustahil anaknya akan melakukan perbuatan sama apabila dirinya tua.


“Dunia ini ibarat roda. Ada masa kita di bawah dan di atas, sebab itu apabila berada di puncak jangan bongkak serta bangga dengan apa dimiliki kerana semua ini hanya pinjaman.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Muhasabahdiri/Article/artikelMA

Anak tunggal berubah

PETALING JAYA: “Macam mana anak yang dijaga dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang memperlakukan saya begini? Binatang pun tahu makna sayang,” luah Pak Atan, 74, yang tinggal di pondok daif bersama isterinya di sini sejak September lalu, selepas dihalau anak kandungnya.

Lebih menyedihkan, pondok berkenaan hanya terletak bersebelahan rumah didiami wanita itu bersama suami dan empat anaknya.


Menceritakan peristiwa perit itu, Pak Atan berkata, dia tidak menyangka anaknya, Sara, 40-an, tergamak menghalaunya kerana sejak kecil dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa.

Sama ada daripada segi pendidikan agama, pelajaran dan keperluan harian, semuanya cuba dipenuhi meskipun terpaksa bertarung nyawa demi memberikan sesuap nasi kepada anak tunggal kesayangannya.


“Siapa tak sayang anak, ditambah dia satu-satunya zuriat kurniaan Tuhan kepada kami. Pendek kata, dialah racun dialah penawar.


“Sejak berkahwin dan memiliki pekerjaan baik membuatkannya semakin kurang ajar dan bongkak hingga lupa siapa saya,” katanya dalam nada kecewa ketika ditemui Metro Ahad di pondok buruknya.

Menurut Pak Atan, semuanya berpunca apabila dia meminta pertolongan anaknya membayar bil elektrik berjumlah RM250 yang sebelum ini dilakukan olehnya.


Itupun disebabkan dia mahu bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Sumatera, Indonesia melawat saudara maranya di sana.

Sepanjang menduduki rumah miliknya, Pak Atan tidak pernah meminta wang anaknya untuk membayar bil elektrik, air mahupun cukai pintu.


Selepas tiga minggu pulang ke Malaysia, Pak Atan menyangka anak tunggalnya sudah menjelaskan bil berkenaan, namun hairan kerana tiga bulan selepas itu dia tidak menerima bil elektrik seperti selalu.


“Kami mempunyai lapan rumah sewa (setinggan) yang disewakan kepada penduduk dengan kadar RM200 sebulan. Kebiasaannya saya turut membayar bil elektrik mereka sekali.


“Waktu itu saya tidak mengesyaki apa-apa hinggalah bulan seterusnya apabila menerima bil dengan catatan tunggakan berjumlah hingga RM7,000.


“Disebabkan terlalu terkejut, saya tanya dia dan terkedu apabila secara tiba-tiba dia meninggikan suara dan bercakap kasar menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya. “Akibat tidak mampu membayar bil, bekalan elektrik dipotong dan kami duduk dalam kegelapan buat sementara waktu hinggalah rakan menantu memberikan bantuan menyambung semula,” katanya yang bergantung hidup hasil jualan surat khabar, tanaman herba Mas Cotek dan menjual baju.


Sejak itu, hubungan Pak Atan dan anaknya dingin, malah hasutan daripada pihak ketiga juga menyebabkan situasi bertambah tegang.


“Perkataan seperti mampus, sial, kurang ajar dan orang tua kedekut sudah sebati dengan diri saya sampaikan sudah lali. Jika anak orang lain duduk serumah bersama ibu bapa tidak pernah meminta duit membayar bil, namun situasi sebaliknya berlaku kepada saya disebabkan anak terlalu berkira,” katanya yang turut mengakui anaknya sering menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menghamburkan kata-kata kesat.


Selain itu, menurut Pak Atan, antara punca lain menyebabkan perbalahan antara dia dan anaknya juga disebabkan perkahwinan keduanya dengan orang seberang kira-kira tujuh tahun lalu.


“Anak saya memang tidak suka perkahwinan saya bersama isteri kedua disebabkan dia bukan orang tempatan. Sebab itu saya mengalah dan berpindah selepas dihalau bagi mengelak perbalahan menjadi lebih teruk,” katanya yang kematian isteri pertama yang juga ibu kepada anak tunggalnya akibat kanser usus 10 tahun lalu.


Tinjauan ke pondok Pak Atan mendapati rumah itu hanya berlantaikan permaidani tanpa simen, tanpa peralatan memasak lengkap, tiada perabot dan paling berbahaya melihat sambungan wayar elektrik daripada rumah anaknya yang mengundang risiko.


“Di sinilah tempat saya dan isteri berlindung daripada hujan dan panas. Tanah yang digunakan ini asalnya adalah bukit, tetapi saya tarah dan ratakan untuk dijadikan tempat tinggal.


“Anak kandung tidak sudi menjaga, padahal rumah yang diduduki itu milik saya yang dibina hasil titik peluh sendiri,” katanya sayu.


Situasi bertambah sebak apabila penulis menyaksikan cucu Pak Atan hanya menggunakan tingkap dapur untuk berkomunikasi atau meminta wang saku daripada datuknya untuk membeli makanan ringan mahupun belanja sekolah.


Penulis berasa pelik melihat hubungan yang masih baik antara cucu dan datuknya, Pak Atan menjelaskan pertalian antara empat cucunya akan tetap utuh disebabkan mereka tidak bersalah, malah tidak mengerti situasi sebenar.


“Beginilah kehidupan saya. Apabila cucu perlukan duit, mereka akan meminta daripada saya dan Alhamdulillah hubungan saya dan mereka tetap baik hingga kini.


“Mereka cucu saya dunia akhirat. Biarlah perselisihan faham ini hanya membabitkan saya dan ibu mereka,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anaktunggalberubah/Article/artikelMA

Monday, February 21, 2011

Rintihan isteri ditikam anak

BAHAU: “Suaranya yang merintih kesakitan semakin sayup di pangkuan saya dalam keadaan tubuhnya berlumuran darah,” kata suami Jemelah Mohamad, 53, yang menjadi ‘korban’ anak lelakinya di rumah mereka di Felda Kepis, di sini.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam Jumaat lalu itu amat menyayatkan hati apabila pekerja kantin sekolah berkenaan dikelar dan ditikam beberapa kali di dada menggunakan pisau oleh suspek berusia 28 tahun dipercayai mengalami masalah mental.


Lebih memilukan apabila mangsa yang ketika itu mahu tidur kerana kepenatan menjerit meminta pertolongan sebelum keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri walaupun parah.

Akibat kecederaan teruk dialaminya, wanita berkenaan menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di hospital, kelmarin.


Menceritakan detik hitam berkenaan, suami mangsa, Sohaimi Maidin, 53, berkata dia dan isterinya berehat di rumah sambil menonton berita di televisyen.


“Namun, dia (isteri) memberitahu mahu tidur di dalam bilik kerana kepenatan bekerja.

“Saya bagaimanapun tidak mengesyaki apa-apa dan mendengar suara seorang rakan dari luar mengajak untuk minum di warung. Ketika itu, saya berat hati untuk keluar dan hanya mahu bersembang dengannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Kata bapa kepada empat anak itu, tidak lama kemudian, dia tersentak apabila mendengar jeritan kuat mangsa meminta pertolongan dan segera masuk ke dalam rumah.

“Sejurus tiba di dalam bilik, saya terkejut apabila anak lelaki berada di atas katil dalam keadaan mencurigakan. Selepas menghampirinya, saya mendapati dia (anak) memegang pisau sambil menikam dada mangsa yang berbaring.


“Tanpa berfikir panjang saya memukul dan menariknya manakala mangsa yang berlumuran darah bergegas keluar dari rumah,” katanya.


Menurut Sohaimi, anak kedua daripada empat beradik berkenaan ketika itu tidak melawan dan mendiamkan diri seolah-olah terkejut.


“Dengan bantuan jiran, saya membawa isteri ke hospital untuk rawatan kecemasan. Ketika itu, hati saya pilu melihat isteri yang dalam pangkuan merintih kesakitan.


“Jantung ini seperti mahu gugur apabila doktor di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia jam 1 tengah hari semalam (kelmarin)," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Rintihanisteriditikamanak/Article

Lelaki saksi isteri ditikam anak


SOHAIMI menunjukkan tempat Jemelah ditikam anaknya sebelum meninggal dunia Sabtu lalu.


BAHAU – Seorang lelaki tidak dapat melupakan saat-saat ngeri isterinya menjerit-jerit meminta tolong ketika ditikam oleh anak lelaki mereka di sebuah rumah di Felda Kepis di sini Jumaat lalu.

Selepas kejadian pada pukul 8 malam, mangsa Jemelah Muhammad, 53, meninggal dunia kira-kira 17 jam dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) akibat cedera di beberapa bahagian badannya.

Mengimbas semula kejadian itu, suami mangsa, Sohaimi Maidin, 53, berkata, ketika kejadian dia sedang bersembang bersama seorang rakan di luar rumahnya sebelum terdengar isterinya menjerit meminta tolong.

“Tiba-tiba saya mendengar isteri saya jerit, bang tolong, bang tolong!. Sebaik masuk ke dalam (bilik) saya terkedu melihat anak saya sedang menikam arwah yang berada di atas katil dengan senjata tajam.

“Saya terus pukul anak saya dan menarik dia daripada mencederakan ibunya,” katanya menceritakan kejadian itu ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Thursday, January 20, 2011

Tendang datuk sampai mati

Tendang datuk sampai mati

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: Seorang warga emas patah tulang rusuk sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas dipukul dan ditendang cucunya sendiri yang naik angin apabila tidak mendapat wang RM100 dimintanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Khamis lalu, Saad Man, 66, didatangi cucu lelakinya berusia 22 tahun di rumahnya di Kampung Alor Nibong, Kota Kuala Muda, di sini dan meminta wang RM100.


Sumber polis berkata, apabila Saad enggan memenuhi permintaannya, suspek memukul mangsa sebelum keluar dari rumah berkenaan.

“Bimbang cucunya bertindak liar, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Kuala Muda. Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan cucunya bertambah marah.


“Sebaik tiba di rumah selepas membuat laporan polis, cucunya terus menendang dan memukul mangsa berkali-kali di luar rumah.


“Akibat serangan cucunya itu, mangsa jatuh dan mengalami kecederaan parah. Cucunya melarikan diri selepas menyedari perbuatannya dilihat jiran, apatah lagi apabila melihat datuknya tidak sedarkan diri.

“Mangsa dihantar jirannya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk mendapatkan rawatan.


“Bagaimanapun, mangsa yang cedera di beberapa bahagian badan dan patah tulang rusuk meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di HSAH,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner, Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan polis sudah menahan suspek beberapa hari lalu.


“Dia kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tendangdatuksampaimati/Article

Monday, January 10, 2011

Buang ibu demi kekasih asing

Buang ibu demi kekasih asing

Oleh Muhd Izawan Baharin

TERGURIS...Ani menunjukkan SMS yang dihantar anaknya.
TERGURIS...Ani menunjukkan SMS yang dihantar anaknya.

KUALA LUMPUR: “Selama membesarkan dia, saya tak pernah terfikir yang dia tergamak membuang ibu sendiri,” rintih seorang ibu yang kini hidup merempat sejak enam bulan lalu selepas ‘dibuang’ anak perempuan tunggalnya akibat penangan cinta lelaki Iran.

Ibu itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ani, 47, kini menumpang berteduh di rumah rakan dan berpindah-randah dari satu kediaman ke kediaman lain di Seremban, Negeri Sembilan serta Selayang di sini, dengan hanya membawa lima helai pakaian.

“Saya tidak menumpang lama di rumah orang dan berpindah-randah dari rumah rakan ke rumah rakan lain selepas tinggal dua atau tiga hari. Saya tidak ada sesiapa dalam hidup ini. Selepas suami meninggal dunia pada 2008, hanya anak perempuan tunggal itu yang menjadi tempat saya bergantung.

“Namun, perkenalannya dengan seorang lelaki Iran menerusi Internet mengubah hidup saya. Saya dihambat lelaki itu keluar dari rumah manakala anak pula langsung tidak peduli, malah ‘menghiris’ hati saya apabila sanggup meminta saya pergi jauh daripada hidupnya,” katanya yang ditemui, semalam.


Menurutnya, sebelum ini keluarganya hidup bahagia, malah perkahwinan anak perempuannya dengan seorang lelaki tempatan menghadiahkannya seorang cucu lelaki.


“Saya tidak bekerja, tetapi mujur arwah suami meninggalkan sedikit wang dan sebuah kereta kepada saya.

“Begitu juga dengan anak perempuan saya, dia berkahwin dan mempunyai kerja yang baik dengan gaji antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan. Dia juga membeli sebuah apartmen di Subang Jaya dan meminta saya tinggal di situ selepas kematian suami saya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hidupnya musnah selepas anaknya jatuh cinta dengan seorang pelajar sebuah kolej swasta warga Iran berusia 25 tahun kira-kira dua tahun lalu.

“Demi pelajar kolej swasta itu, anak saya sanggup meninggalkan suami, berhenti kerja dan duduk serumah dengan lelaki itu.

“Dia berubah, nasihat saya dibalas dengan kata-kata kesat, malah kunci apartmen miliknya yang menjadi tempat tinggal saya ditukar apabila saya keluar ke rumah rakan selepas dimintanya atas alasan kawan kekasihnya yang datang dari Iran mahu menumpang sementara waktu,” katanya.

Ani berkata, ketika cuba bertanyakan mengapa kunci ditukar, lelaki Iran terbabit menghalaunya keluar dari apartmen itu di depan anaknya dengan alasan dia cuba mengganggu kehidupan mereka.

“Saya tidak ada sesiapa di dunia ini kecuali anak saya. Dia nyawa dan jiwa saya, tetapi semuanya musnah sekelip mata disebabkan orang asing.

“Kereta milik saya juga dilelong bulan lalu kerana bayaran ansuran tertunggak dan sejak Jun lalu, saya menumpang ihsan rakan, tetapi berapa lama boleh berteduh di rumah orang menyebabkan saya sering berpindah-randah selepas beberapa hari.

“Mungkin satu hari nanti, saya terpaksa tinggal di bawah jambatan kerana tidak memiliki apa pun, sudahlah tiada harta, anak kesayangan pula membuang saya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Buangibudemikekasihasing/Article

Thursday, November 11, 2010

Sekadar membaca tak beri impak besar

KUALA LUMPUR: “Pengaruh bahan bacaan memainkan peranan dalam membina sahsiah diri seseorang insan namun tidak semua bahan bacaan itu mampu memberi impak yang besar sekiranya ia tidak dibaca berulang kali,” kata Penaung Darussyifa’, Datuk Dr Harun Din.

Beliau berkata demikian ketika mengulas muka depan Harian Metro semalam yang melaporkan seorang pemuda berusia 23 tahun menetak kepada ibu kandungnya sehingga mati dipercayai terpengaruh ilmu mistik di Felda Chini Timur 1.


Menurut Harun, kemungkinan ada faktor lain menjadi penyumbang kepada tindakan ‘gila’ lelaki itu namun tidak dapat dikenal pasti orang sekelilingnya termasuk ahli keluarga.

“Wujud faktor bukan fizikal iaitu pengaruh luar yang dilakukan makhluk halus dalam diri lelaki itu sehingga dia gagal mengawal kewarasan akal fikiran dan tindakan yang dipanggil Massus Syaitan.


“Pengaruh kuasa ghaib, ilmu mistik dan makhluk halus memang wujud dan sudah disebut dalam al-Quran malah kuasa itu juga mampu mempengaruhi manusia,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan lelaki itu dibebani masalah tekanan hidup termasuklah tekanan mental, faktor kekecewaan yang ditanggung sekian lama atau bebanan yang terpaksa ditanggung menyebabkan dia hilang kewarasan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sekadarmembacatakberiimpakbesar/Article/index_html

Wednesday, November 10, 2010

Dakwa jelmaan saka

PEKAN: Pemuda yang menetak kepala ibunya menggunakan kapak sehingga maut di Felda Chini Timur 1 di sini, kelmarin, memberi alasan berbuat demikian kerana ibunya itu jelmaan saka.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 23 tahun mengaku menetak ibunya, Che Wa Isa, 57, kerana kononnya mahu menghapuskan saka itu.

“Dalam keterangannya, suspek memaklumkan dia mendapat bisikan kononnya mangsa sudah lama mati dan yang hidup sekarang jasad dikuasai saka yang menyerupai ibunya.

“Oleh itu, suspek membunuh mangsa kerana mahu menghapuskan saka terbabit. Suspek juga mempertahankan perbuatannya yang dianggap tindakan betul mengikut kefahamannya berdasarkan beberapa buku mengenai menentang makhluk halus yang dibacanya,” katanya.

Menurutnya, suspek yang dilaporkan berperwatakan pendiam juga mendakwa mempelajari hal berkaitan iblis dan makhluk halus menerusi beberapa buku sejak empat bulan lalu selain membuat kajian sendiri.

“Bagaimanapun, suspek dipercayai menuntut ilmu salah apabila dia belajar tanpa guru di samping tidak merujuk mereka yang pakar dalam bab berkenaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dakwajelmaansaka/Article/index_html

Mati ditikam menantu

Mati ditikam menantu

Oleh Nazarali Saeril, Salman Hamat dan Ahmad Othman

CARI...polis mencari senjata digunakan dalam pembunuhan.
CARI...polis mencari senjata digunakan dalam pembunuhan.

JOHOR BAHRU: “Jika semua orang sudah tidak sukakan kami lagi, minta ayah bagi RM500, kami akan pergi dari sini. Selepas ini, anggaplah ayah sudah tidak ada anak bernama Emelia lagi.” Begitu antara kandungan SMS dihantar seorang wanita kepada ibunya yang dipercayai menjadi punca pergaduhan hingga mengakibatkan kematian bapanya.

Wanita itu menghantar SMS berkenaan kepada ibunya, Rohani Yacob, 45, sebelum dibaca bapanya, Armen Suardi, 53, menyebabkan lelaki terbabit bertengkar dan bergaduh dengan menantu mereka berusia 23 tahun sebelum warga emas itu mati ditikam dengan sebilah pisau Rambo.

Pergaduhan anak menantu itu berlaku di rumah mangsa di Jalan Bendahara 3, Bandar Tenggara di sini, kelmarin.

Menceritakan tragedi berdarah itu, Rohani yang tiada di rumah ketika itu berkata, anak sulung daripada empat beradik itu sering bertengkar dengan bapanya, namun dia tidak menyangka pergaduhan kali terakhir kelmarin mengorbankan nyawa suaminya.

“Suami menelefon saya memaklumkan dia ditikam menantu di rumah. Suami kata dia ditikam di belakang kepala dan dada menggunakan pisau Rambo dan akan memandu sendiri van untuk membuat laporan di Balai Polis Bandar Tenggara,”

katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang ketika itu berada di bengkel membaiki kenderaan terus pulang ke rumah, tetapi suaminya sudah pergi ke balai polis.

Katanya, tidak tidak lama kemudian, arwah pulang ke rumah sebelum keluar semula dengan memandu van miliknya untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Tenggara.

“Suami cedera parah berikutan tikaman pisau yang menembusi otaknya sebelum dihantar dengan ambulans ke Hospital Kulai.

“Berikutan keadaannya yang semakin kritikal kira-kira jam 7 malam kelmarin, arwah dirujuk ke HSI sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, suami disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.20 pagi tadi (semalam),” katanya.

Jenazah mangsa dihantar kembali ke HSI untuk dibedah siasat.

Rohani berkata, lebih menyedihkan, ketika menunggu jenazah arwah dibedah siasat semalam, anak perempuannya, Emelia yang berusia 20 tahun itu masih sempat mengirimkan satu lagi SMS menafikan suaminya menikam bapanya, sebaliknya mendakwa arwah menikam diri sendiri.

“Arwah suami yang baik dan kami sekeluarga cukup sedih dengan kejadian itu, apatah lagi hari ini hari lahir arwah ke-54.

“Saya berharap pembunuh terbabit ditahan dan menerima hukuman setimpal dengan jenayah dilakukannya,” katanya.

Menurutnya, hubungan anak dan menantunya dengan arwah suami agak dingin sejak bertahun lalu.

“Menantu tidak mempunyai pekerjaan tetap, malah kami yang membantu membeli barangan keperluan cucu yang berusia 10 bulan seperti susu dan sebagainya.

“Kami tidak sangka ini balasannya terhadap kebaikan kami kepada mereka selama ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Matiditikammenantu/Article

Bertakbir dikapak anak

Bertakbir dikapak anak

Oleh Zaitie Satibi


DI SINI...Norhafizah menunjukkan tempat ibunya ditetak.
DI SINI...Norhafizah menunjukkan tempat ibunya ditetak.
TERPENGARUH...Halim menunjukkan buku yang sering dibaca anaknya sebelum kejadian.
TERPENGARUH...Halim menunjukkan buku yang sering dibaca anaknya sebelum kejadian.

PEKAN: “Saya sempat mendengar isteri berkata ‘Chik jangan buat mak macam ni’ sebelum dia menjerit Allahuakbar,” kata peneroka, Halim Ismail, 58, menceritakan kejadian isterinya maut ditetak di kepala menggunakan kapak oleh anak lelaki mereka berusia 23 tahun dipercayai terpengaruh ilmu mistik di Felda Chini Timur 1, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa yang juga peniaga kedai runcit, Che Wa Isa, 57, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Chini selepas pendarahan teruk di kepala.

Suspek yang juga anak ketiga daripada empat beradik ditahan anggota Rela di belakang rumah seorang penduduk kira-kira 100 meter dari tempat kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

Menurut Halim, ketika kejadian dia berehat di ruang tamu rumah sambil melayan cucu perempuannya berusia tiga tahun, manakala anak bongsunya, Amira, 20, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka, Maran, yang bercuti semester berada di dapur membancuh susu untuk kanak-kanak itu.

“Saya bermain dengan cucu, manakala isteri saya berada di beranda untuk mengangkat jemuran di ampaian sejurus pulang selepas menutup kedai runcit kami yang terletak berhampiran rumah.

“Tidak lama kemudian saya dengar enjin kereta anak lelaki saya yang baru balik daripada menemui rakannya. Selepas itu, saya mendengar suara isteri bercakap dengan anak dalam keadaan cemas sebelum disusuli bunyi benda jatuh diiringi jeritan Allahuakbar sebanyak dua kali,” katanya.

Halim yang ditemui di bilik mayat Hospital Pekan (HP) di sini, semalam berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki perkara buruk berlaku dan beranggapan bunyi itu mungkin bunyi besen pakaian kering terjatuh.

“Kira-kira 10 minit kemudian baru saya teringat arwah bertakbir. Saya dan Amira keluar ke beranda untuk memeriksa keadaan selepas timbul rasa tidak sedap hati.

“Kami terkejut apabila menemui arwah terlentang di lantai dengan kepalanya berlumuran darah, manakala anak lelaki saya sudah beredar dari beranda,” katanya.

Halim berkata, dia memangku isterinya sambil menjerit meminta pertolongan jiran manakala anak bongsunya bergegas ke rumah tetangga bagi mendapatkan bantuan.

“Ketika itu, arwah masih bernafas, tapi sangat perlahan. Saya cuba mengajarnya mengucap, namun dia sudah tidak mampu bercakap dan hanya terdengar bunyi pernafasannya turun naik.

“Jiran juga sudah ramai mengerumuni. Mereka membalut kepala arwah yang luka terkena tetakan sebelum seorang daripada mereka menolong menghantar arwah ke klinik.

“Sebelum bertolak ke klinik, saya meminta bantuan penduduk memanggil anggota Rela untuk mencari anak saya kerana bimbang dia akan melakukan perbuatan lebih buruk,” katanya.

Katanya, sepanjang perjalanan ke klinik, isterinya menggenggam erat tangannya dan pada masa sama dia pula tidak henti-henti meminta wanita itu bertahan.

“Namun, Allah lebih menyayanginya dan sebaik kami tiba di klinik, dia perlahan-lahan melepaskan genggaman tangan saya dan menghembuskan nafas terakhir.

“Saya sangat sedih dengan pemergiannya kerana dia isteri yang sangat baik dan taat. Sepanjang perkahwinan, kami tidak pernah bertengkar kerana lebih suka menyelesaikan masalah dengan berbincang hati ke hati,” katanya yang lebih 20 tahun menjadi peneroka.

Ditanya mengenai tindakan kejam anak lelakinya itu, Halim berkata, dia tidak menyangka anaknya tergamak membunuh ibu sendiri sedangkan sebelum ini dia tidak menunjukkan sebarang masalah.

Katanya, anak lelakinya yang sekadar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantunya di ladang, selain pernah menjadi pembanci sementara dalam bancian negara, baru-baru ini.

“Kedua-duanya tiada perselisihan faham, malah dia juga anak kesayangan isteri saya.

“Sebelum kejadian, anak saya yang bersikap pendiam tidak menunjukkan keganjilan dan bersikap seperti biasa menyebabkan kami sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun, kata Halim, dia mengesyaki perbuatan anaknya itu ada kaitan dengan pengaruh ilmu mistik kerana dia kerap dilihat membaca buku mengenai makhluk halus.

“Saya menyedari dia suka membaca buku perkara tahyul sejak sebulan lalu. Saya pernah meminta isteri memeriksa kandungan buku yang selalu dibaca itu kerana saya tidak tahu membaca.

“Menurut arwah, buku itu mengandungi amalan yang tidak boleh diikut umat Islam. Saya tidak tahu bagaimana anak saya boleh terpengaruh ajaran demikian dan dari mana dia mendapatkan buku itu,” katanya.

Sementara itu, Amira berkata, arwah ibunya pernah beberapa kali memberitahu sikap abangnya itu yang suka membaca buku mengenai makhluk halus.

“Emak pun tidak tahu bagaimana abang boleh terjebak ajaran demikian kerana dia tidak pernah menceritakan kegiatannya kepada keluarga.

“Ketika menemui emak dalam keadaan berlumuran darah di beranda, saya sudah dapat meneka ia perbuatan abang kerana nampak abang berjalan selamba keluar dari kawasan rumah sambil memegang kapak pemotong buah kelapa sawit,” katanya.

Penganggur tetak ibu guna kapak


Halim Ismail (kiri) mengangkat jenazah isterinya untuk dibawa pulang ke Felda Chini Timur 1 selepas prosedur bedah siasat di Hospital Pekan semalam.


PEKAN – Seorang wanita maut selepas cedera parah di kepala akibat ditetak oleh anak lelakinya menggunakan kapak di Felda Chini Timur 1 di sini pukul 10.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, Che Wa Isa, 57, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan sebahagian otaknya terburai akibat tetakan tersebut.

Yahaya berkata, polis telah menahan suspek yang berusia 23 tahun ketika dia sedang bersembunyi di dalam sebuah reban ayam yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian. Dia ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Dia ditahan sejam selepas kejadian itu oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis. Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menetak kepala ibunya menggunakan kapak besi yang biasanya digunakan untuk memotong buah kelapa sawit.

“Tetakan menyebabkan pendarahan teruk di kepala dan mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sampai ke Hospital Pekan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Thursday, November 4, 2010

Remaja 16 tahun dituduh bunuh bapa



CLARISSA SANCHEZ


TUCSON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang remaja, Clarissa Sanchez berusia 16 tahun didakwa atas tuduhan membunuh bapanya, lapor sebuah akhbar semalam.

Tuduhan membunuh itu turut dikenakan terhadap kekasih remaja tersebut, Larry Coronado berusia 19 tahun.

Kedua-dua remaja itu dituduh selepas mayat bapa Clarissa, Andres Sanchez ditemui di gurun Tucson, Arizona selepas dilaporkan hilang selama 10 hari sejak 20 Oktober lalu.

Keluarga dan rakan-rakan pada mulanya menganggap Andres yang berusia 40 tahun meninggalkan rumahnya atas kemahuan sendiri.

Namun, pada akhirnya, polis diminta menyiasat kehilangan Andres.

Anggota-anggota polis pergi ke rumah Andres dan mendapati terdapat sesuatu yang tidak kena dengan kehilangannya.

Clarissa dan teman lelakinya kemudian dibawa ke sebuah ibu pejabat polis untuk disoal siasat.

Para detektif mendapati kedua-dua remaja itu bertanggungjawab terhadap kehilangan Andres.

Detektif-detektif yang melakukan siasatan itu turut meminta bantuan para pegawai peronda basikal untuk mencari Andres.

Selepas soal siasat itu, polis menemui mayat Andres yang reput di sebuah kawasan gurun terpencil.

Polis memberitahu, Andres dibunuh di rumah dan mayatnya dibuang ke gurun itu.Motif pembunuhan masih disiasat polis. Buat masa kini, kedua-dua remaja itu ditahan di penjara Pima County. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Thursday, October 28, 2010

Pukul ibu hingga cedera dilaknat



KUALA TERENGGANU – Mana-mana individu yang sanggup memukul ibu kandung mereka sendiri sehingga mendatangkan kecederaan termasuk koma boleh digolongkan dalam kelompok anak derhaka.

Iman Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, perkara itu memang jelas disebutkan dalam Islam dan anak derhaka tidak akan mendapat kehidupan yang baik sama ada di dunia mahupun akhirat.

Menurutnya, menjalani kehidupan tanpa rahmat Allah SWT dan ibu bapa juga menyebabkan hati mereka tidak akan berasa tenang, mudah ditimpa musibah dan sering dirundung malang yang tidak berpenghujung.

“Dalam hadis sendiri ada sebut, kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan ibu bapa dan oleh itu, jika ibu kita marah sudah pasti Allah juga akan marah kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang anak menumbuk ibu kandungnya sendiri sehingga koma selepas anak-beranak itu bertengkar di rumah mereka di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman.

Lantaran tumbukan di bahagian pipi kiri tersebut, si ibu yang berusia 49 tahun jatuh tersembam sebelum mukanya terkena meja sehingga menyebabkan tulang di bahagian kening kiri ibu malang itu patah.

Lebih menyedihkan sehingga semalam ibu terbabit masih belum sedar daripada koma dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Kemaman.

Semuanya berlaku berikutan sikap panas baran si anak berusia 25 tahun yang tidak berpuas hati apabila melihat persiapan perkahwinannya yang bakal berlangsung pada 6 November depan agak perlahan.

Sambil melahirkan rasa kesalnya terhadap kejadian tersebut, Aizi Saidi berkata, lelaki seperti itu tidak se-suai dijadikan pasangan hidup kerana kegagalannya menghormati dan menyayangi ibu kandungnya sendiri.

Malah katanya, sekiranya lelaki berkenaan berkahwin dan membina rumahtangga, keluarga yang dibinanya juga tidak akan mencapai kebahagiaan disebabkan Allah tidak memberi rahmat kepadanya.

Sehubungan itu menurut Aizi Saidi, mana-mana individu yang termasuk dalam golongan anak derhaka perlu memohon ampun kepada ibu bapa mereka dan bertaubat kepada Allah supaya hidup mereka tidak dilaknat.

“Ramai orang gagal me-ngawal api kemarahan mereka kerana kurangnya kekuatan iman dalam diri masing-masing dan atas sebab itu, terjadilah perkara di luar batasan termasuk memukul ibu bapa sendiri.

“Ada juga sampai ke tahap membunuh ibu bapa kerana iblis sudah menguasai jiwa dan dalam mengatasi perkara ini, kita kena banyak melakukan amalan baik seperti zikir, membaca al-Quran dan mendekati ulama,” katanya.

Wednesday, October 27, 2010

Ugut bunuh, bakar rumah emak

AMPANG: Seorang anak sanggup mengugut mahu membunuh dan membakar rumah didiami ibunya hanya semata-mata mahu rumah itu yang terletak di Kuala Ampang, di sini dijual.

Akibat perbuatan anak derhaka terbabit, ibu malang berkenaan yang baru bersara daripada perkhidmatan kerajaan melarikan dan menumpang di rumah saudara kerana khuatir anak kandungnya itu akan bertindak di luar dugaan.


Malah, anaknya yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank itu sanggup menakut-nakutkan ibunya apabila membawa sebatang besi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ibunya yang enggan menjual rumah itu.


Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu, ketika mangsa berada di rumahnya sebelum didatangi anak lelakinya itu yang berusia lingkungan 30-an.

“Dalam keadaan marah, anaknya mengamuk dengan menyepak perkakas rumah dan turut mengugut akan membunuh ibunya itu jika enggan menjual rumah dan memberikan wang yang diperolehi kepadanya. “Bagaimanapun, si ibu cuba mententeramkan keadaan dan menerangkan kepada anaknya itu yang dia kini dalam proses untuk menjual rumah berkenaan dan memintanya bersabar,” katanya.


Menurutnya, mangsa turut memberitahu akan mendapat hak sewajarnya selepas segala urusan jual beli rumah selesai kelak.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga penahanan suspek.


“Lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ugutbunuh_bakarrumahemak/Article/index_html

Tumbuk ibu sampai koma

Oleh Suhaidi Mohamed Amin
am@hmetro.com.my

KEMAMAN: Akibat berang dengan sikap ibunya yang dikatakan lambat membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya, seorang lelaki sanggup menumbuk muka ibunya itu sehingga terjatuh dan koma.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari di Kampung Mak Chili Paya, di sini, kelmarin, ibu malang itu yang juga seorang suri rumah mengalami pendarahan teruk di muka akibat kesan tumbukan kuat anaknya sebelum terjatuh dan mukanya tersembam pada meja kayu.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, akibat kesan tumbukan itu, mangsa mengalami patah tulang kening manakala hidung dan mulutnya mengalami pendarahan teruk sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Kemaman (HK) oleh seorang anak saudaranya yang melihat kejadian itu.


“Bagaimanapun wanita berusia 49 tahun itu dikatakan koma ketika dalam perjalanan ke HK dan dirawat di unit rawatan rapi sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, mangsa mula sedar pada awal petang semalam dan menunjukkan tanda pulih.


Abdullah berkata, pemeriksaan imbasan yang dilakukan terhadap wanita berkenaan di HTAA bagaimanapun menunjukkan tidak berlaku sebarang pendarahan dalam otak dan dia dirujuk semula ke HK untuk rawatan lanjut.

“Susulan itu polis menahan reman seorang lelaki yang juga anak ketiga mangsa berumur 25 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun,” katanya.


Menurutnya, sebelum kejadian itu suspek yang bekerja di sebuah syarikat petroleum di sini dikatakan baru pulang dari tempat kerjanya sementara ibunya sedang mengemas rumah.


Abdullah berkata, suspek dikatakan akan melangsungkan perkahwinan pada 6 November depan dan inginkan kepastian daripada ibunya mengenai perkembangan persiapan perkahwinan seperti kelengkapan pelamin, barangan hantaran dan jamuan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tumbukibusampaikoma/Article/index_html

Ibu koma kena penumbuk anak

KEMAMAN – Seorang juruteknik Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) Kerteh boleh dianggap sebagai Si Tanggang moden apabila tergamak menumbuk ibu sendiri sehingga koma gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan wanita itu yang lambat menyiapkan persiapan perkahwinannya.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang di Kampung Mak Cili Paya di sini Ahad lalu itu berlaku ketika mangsa, Azizah Deraman, 47, didatangi anaknya yang mempersoalkan mengenai kelewatan persiapan perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 6 November ini.

Difahamkan, suspek yang berusia 25 tahun tiba-tiba naik angin sebelum melepaskan tumbukan ke arah muka ibunya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, tindakan biadap suspek itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum mukanya tersembam ke meja.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Tuesday, October 26, 2010

Marah ibu suruh taubat



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Seorang anak yang mabuk sanggup bertindak luar batasan apabila mendukung dan cuba mencampakkan ibu kandungnya sendiri dari tingkat 14, sebuah flat di sini, selepas tiba-tiba naik berang mendengar syarahan ibunya agar bertaubat, malam kelmarin.

Bagaimanapun, wanita berusia 47 tahun dan bekerja sebagai pekerja pembersihan itu terselamat daripada maut apabila sempat meronta dan melarikan diri sebelum membuat laporan polis selepas tidak tahan dengan sikap liar anak lelakinya yang berusia 22 tahun itu.

Sumber Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata, kejadian berlaku jam 8.30 malam apabila suspek dalam keadaan mabuk pulang ke rumah ibunya di Flat Sri Sarawak, Jalan Kenanga, Cheras.

“Difahamkan, suspek yang tidak dapat berfikir waras mengamuk tanpa sebab di dalam rumah dengan sengaja menjerit dan membuat bising. Tidak cukup dengan itu, suspek turut merosakkan perkakas rumah.

“Walaupun diminta ibunya supaya menghentikan perbuatan itu, suspek bertambah ganas apabila mula membaling barang kaca seperti pasu hingga pecah.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut memecahkan tingkap kaca rumah menyebabkan ibunya hilang sabar dan menjerit mengarahkan anaknya berhenti daripada berkelakuan liar,” katanya.

Difahamkan, mangsa cuba menasihatkan anaknya itu supaya berubah dan menjadi anak yang baik, selain menghentikan tabiat buruknya yang gemar pulang mabuk.

Namun, nasihat ibunya itu menyebabkan suspek menjadi bertambah ganas sebelum mengugut mahu membunuh wanita berkenaan dengan mencampakkan mangsa ke bawah.

“Bagaimanapun, mangsa yang cuba ditarik suspek melarikan diri sebelum segera menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan selepas bimbang dibunuh anaknya sendiri.

“Polis yang segera datang sebaik menerima laporan kemudian memberkas suspek yang ketika itu masih berada di rumah,” katanya.

Menurutnya, polis menahan reman suspek selama tiga hari sebelum dihantar ke Balai Polis Bukit Jalil di sini, untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, suspek yang bekerja sebagai penjual tiket wayang dibebaskan pada hari sama selepas ibunya tidak sampai hati dan menarik semula laporan polis yang dibuat.

“Susulan penarikan semula laporan polis terdahulu yang dibuat mangsa, polis melepaskan suspek yang berjanji berkelakuan baik,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Marahibusuruhtaubat/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...