Showing posts with label Isu Bendera - Pemidang Parti. Show all posts
Showing posts with label Isu Bendera - Pemidang Parti. Show all posts

Sunday, August 28, 2011

Khianat: Wajah Nik Aziz diconteng salib

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Sekurang-kurangnya tiga kain rentang PAS yang digantung sebagai mengalukan kehadiran bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidil Fitri di sekitar Shah Alam diconteng pihak tidak bertanggungjawab.

Malah lebih teruk dari itu, beberapa wajah pemimpin PAS pada kain rentang itu diconteng dengan tanda salib.

Kejadian tersebut dikesan sejak semalam di sekitar kawasan Seksyen 23, Shah Alam.

Antara yang menjadi mangsa perbuatan khianat tersebut adalah wajah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Abdul Samad yang diconteng dengan dakwat merah.

Menurut seorang penduduk yang memaklumkan kejadian itu kepada Harakahdaily, beliau berkata perbuatan khianat dan tak berakhlak tersebut dipercayai dilakukan semasa waktu berbuka puasa dan waktu ramai orang berada di masjid dan surau utk qiamullail.

"Sebelum kejadian ini sudah 4 kali kain-kain rentang sambut Ramadan yang jumlahnya 12 bidang kesemuanya telah dipotong pada waktu yg sama,' katanya yang tidak mahu namanya disiarkan.

Kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama awal Ogos lalu yang kini hangat diperdebatkan semua pihak.

Berhubung isu itu, PAS menyatakan pendirian mereka agar Jais membuat pendakwaan jika mempunyai bukti wujud usaha mengkristiankan orang Islam.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily melahirkan rasa kesal dengan tindakan "puak-puak jahat" tersebut.

"Ini kerja orang yang tidak ada akhlak. Saya tidak mahu kata Umno yang buat tetapi rakyat tahu siapa yang buat ini dan dapat menilai sendiri," katanya.

Menurutnya lagi, PAS tidak pernah membuat perkara serupa kepada mana-mana pihak walaupun tidak berpuas hati terhadap satu-satu isu.

"Conteng salib itu seperti tuduh orang jadi Kristian lah. Ini bukan benda ringan, tetapi dah mereka jahil nak buat macam mana," katanya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, beliau bagaimanapun tidak akan berbuat demikian dan hanya berdoa kepada Allah agar pihak yang bertanggungjawab diberikan hidayah.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5141-khianat-wajah-nik-aziz-diconteng-salib

Penduduk desak MPT turun bendera Umno

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 28 Ogos: Pelbagai pihak kesal dengan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang dilihat sengaja membiarkan bendera Umno dan BN serta pemidang yang digantung pada tiang lampu dan persimpangan sepanjang 12 kilometer dari mentakab ke Taman Kubang Gajah di sini.

Serentak dengan itu, mereka mendesak pihak berkuasa tempatan itu segera bertindak menurunkan bendera dan pemidang yang dipasang sempena menyambut kedatangan Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu lalu itu.

Seorang penduduk Jafri Ramli, 45, dari kampung Batu Satu di sini berkata bendera Umno dan BN yang di pasang sepanjang jalan itu bukan saja sangat menjolok mata tetapi juga menghalang pandangan pengguna jalan raya terutama di pusingan “U”.

"Beberapa tempat u-turn sepanjang jalan Mentakab ini terhalang pandangan akibat bendera Umno yang banyak, sebab itu saya minta MPT segera tanggalkan kerana ia mengganggu lalu lintas yang sibuk tambahan sempena orang ramai balik raya ini dan mencacatkan pandangan.

"Lagi pun jika yang dipasang sepanjang jalan itu bendera Malaysia, itu kita boleh katakan sambutan merdeka tapi bila bendera Umno dibiarkan terus sedangkan majlis bersama Perdana Menteri sudah empat hari berlalu, itu menampakkan seolah-olah MPT ejen Umno,”katanya kepada Harakahdaily.

Rabu lalu, Najib yang diiringi isterinya Rosmah telah bertemu pemimpin BN di pejabat Umno Temerloh sebelum hadir ke majlis berbuka puasa bersama pemimpin Umno seluruh Pahang dan penduduk tempatan di Taman Kubang Gajah, di sini.

Bagaimanapun program politik Umno bagi menyampaikan kempen pilihan raya umum (PRU) itu turut dijayakan oleh agensi kerajaan.

Shaari Saad, 39, dari Temerloh Jaya pula kesal kerana pihak MPT seolah-olah ‘double standard’ dalam tugasnya walaupun sudah berkali-kali beliau minta bendera Umno diturunkan.

“Jika bendera parti lain tergantung di tepi jalan saja pihak MPT akan segera merentapnya turun. Tapi bila bendera Umno sengaja dibiarkan dan seolah-olah untuk berkempen. Sedangkan sekarang belum lagi diisytiharkan pilihan raya dan sudah tentu ada pihak yang merasa tidak selesa.

“Saya sendiri telah berkali-kali menghubungi pejabat MPT meminta supaya diturunkan bendera Umno dan BN itu. Tetapi setakat ini tidak dilayan. Mereka perlu sedar bahawa tiang-tiang lampu dan persimpangan jalan itu merupakan harta awam, bukannya milik Umno,” tegasnya.

Sementara itu Yang Di-Pertua PAS Kawasan Temerloh, Haji Jusoh Darus yang diminta mengulas isu ini, berkata selain MPT sepatutnya Umno sendiri perlu bertanggungjawab.

“Janganlah Umno menjadi pihak pertama melanggar undang-undang kerana peraturan melarang diletak simbol parti politik di tempat awam adalah merupakan peraturan kerajaan.

“Jadi PAS Temerloh mahu Umno sendiri bersikap ‘pandai makan pandai simpan’ dengan segera menurunkan bendera mereka di tempat-tempat awam sebelum masyarakat yang sudah cerdik naik benci dengan gelagat sebuah parti yang memerintah,” katanya.

Tambahnya, tentulah tidak manis takdirnya ada kalangan penduduk mengambil tindakan sendiri merentap turun bendera Umno yang mereka tidak senang kerana mungkin boleh menyebabkan salah faham.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5139-penduduk-desak-mpt-turun-bendera-umno

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...