Showing posts with label Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Show all posts
Showing posts with label Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Show all posts

Wednesday, July 13, 2011

Putera Azamuddin mohon bondanya dipenjarakan

Jul 12, 11 3:59pm

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada Putera Azamuddin Shah Abdul Shah, anak saudara Sultan Selangor, memfailkan permohonan komital untuk memenjarakan bondanya sendiri kerana didakwa mengingkari perintah mahkamah.

Kebenaran itu diberikan pada 23 Jun lepas dan permohonan itu sepatutnya didengar hari ini di hadapan Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah.

Peguam Datuk Rajan Navaratnam yang mewakili Putera Azamuddin Shah memberitahu pemberita bahawa hakim menetapkan 26 Julai ini untuk perbicaraan kes itu disebabkan peguam yang mewakili, Tengku Putri Arafiah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz yang merupakan adinda Sultan Selangor, tidak hadir ke mahkamah.

azlanPada 8 Jun lalu, Putera Azamuddin Shah memohon perintah komital itu kerana bondanya itu gagal menandatangani dan mematuhi perjanjian jual beli saham syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd berjumlah RM2 juta.

Mengikut notis usul, Putera Azamuddin Shah berkata, mahkamah telah membenarkan permohonannya untuk perintah pelaksanaan spesifik pada 19 April lalu dan bondanya dikehendaki menandatangani dan mematuhi perjanjian jual beli saham itu dalam tempoh lima hari selepas itu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa bondanya sehingga kini dengan sengaja tidak berbuat demikian dan ia jelas mengingkari perintah mahkamah.

Afidavit sokongan Putera Azamuddin Shah menyatakan bahawa bondanya telah bersetuju untuk membeli kesemua 100,000 unit saham miliknya dalam syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169717

Saturday, March 5, 2011

Hak adat pribumi: Rayuan 6 petani diterima

Mac 5, 11 12:52pm

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Tenom terhadap enam petani kerana memceroboh dan bercucuk tanam di kawasan Hutan Simpan Kuala Tomani, Tenom.

Dalam penghakiman bersejarah itu, semalam, Hakim Datuk David Wong Dak Wah, yang mendengar pemohonan rayuan itu, berkata majistret itu sepatutnya membebas dan melepaskan semua enam petani dari Kampung Emahit itu.

Enam petani itu -- Andawan Ansapi, 47, Barani Ambisi, 41, Ansaman @ Azman Yapau, 52, Johndy Kawar, 25, Stanley Boyor, 33, dan Sarim Arus, 53 mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Wong berkata majistret itu tidak menangani sama ada perayu boleh mempunyai hak dan kuasa untuk berada di tanah tersebut memandangkan hak tanah adat mereka.

Majistret, yang memutuskan bahawa seorang pribumi tidak mempunyai hak pribumi kepada tanah yang digazetkan sebagai hutan simpan, juga gagal menentukan sama ada perayu pada hakikatnya memiliki hak pribumi ke atas tanah itu, katanya.

Keenam-enam perayu itu, yang diwakili oleh peguam Ram Singh, memfailkan rayuan berikutan sabitan di Mahkamah Majistret Tenom pada November 2010.

Mereka didenda RM500 atau penjara 90 hari setiap seorang di bawah Seksyen 20(1) (C) (1) Enakmen Hutan 1968 atas tuduhan menceroboh kawasan Hutan Simpan Kuala Tomani.

Mereka juga turut didenda RM500 atau penjara 90 hari setiap seorang atas tuduhan kedua di bawah Seksyen 20 (1)(b)(iii) enakmen sama kerana menaman tanaman secara haram di hutan berkenaan.


"Saya benar-benar memahami cara di mana majistret membuat kesimpulan kerana seksyen di mana perayu didakwa khususnya menyentuh 'kuasa segera diberikan dan di bawah peruntukan Enakmen Hutan'.

"Bagaimanapun, dengan hormat kepada pendakwa dan majistret, notis perlu dikeluarkan terhadap tuntutan hak adat pribumi oleh perayu ketika ia ditolak," tegasnya.

Hakim Wong berkata status perundangan hak adat pribumi di Malaysia adalah amat jelas dan telah diterima.

Beliau memetik kes, Nor Anak Nyawai & Ors melawan Borneo Pulp Plantation s/b
& Ors [2001] di mana hakim memutuskan undang-undang pribumi adalah amalan tabiat penduduk dan bukan satu perintah undang-undang bertulis dan perundangan sama ada dimansuhkan atau memadamkan hak adat pribumi.

Merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Penguasa Jabatan Tanah dan Survei, Bahagian Miri dan Kerajaan Sarawak melawan Madeli Salleh, beliau besetuju bahawa seseorang perlu meneliti subjek Seksyen 20(1)(b)(iii) dan 20(1)(c)(i) Enakmen Hutan 1968 kepada hak perayu bagi menuntut hak adat pribumi.

"Gambaran yang mudah bahawa ayat 'pihak berkuasa' dalam seksyen Enakmen Hutan 1968 tidak boleh dihadkan kepada pihak berkuasa di bawah peruntukan Enakmen Hutan.

"Pendek kata, sekiranya perayu memiliki hak adat pribumi kepada tanah itu, mereka mempunyai kuasa untuk tinggal di tanah itu bagi mengusahakannya dan membuat aktiviti lain di mana adat mereka membenarkan mereka berbuat demikian," kata Wong.

Dalam menolak keputusan majistret, katanya, keenam-enam perayu itu tidak mempertikaikan kehadiran mereka di hutan simpan tersebut.

"Apa yang amat dpertikaikan oleh perayu ialah tuduhan pendakwaan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang kuasa untuk berada di tanah itu.

"Malangnya oleh kerana pemahaman undang-undang oleh pendakwaan, adalah jelas daripada keterangan bahawa pendakwa tidak cuba membuktikan pihak perayu tidak memunyai kuasa untuk berada di tanah itu berdasarkan tuntutan hak adat pribumi," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zairi Zainal Abidin, bertindak untuk Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, selaku responden.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/157768

Thursday, February 10, 2011

Firma kelapa sawit gagal usir penduduk pribumi

Firma kelapa sawit gagal usir penduduk pribumi
Feb 9, 11 11:43am

Sebuah syarikat perladangan gergasi Sarawak gagal dalam usaha mereka mengusir penduduk pribumi Iban dari Rumah Pee Milo, Miri, dari tanah yang telah mereka tinggal selama lebih daripada 30 tahun.

Mahkamah Tinggi Miri pada 28 Januari memutuskan Butrasemari Sdn Bhd, sebuah syarikat kelapa sawit yang dimiliki oleh Ta Ann, - sebuah daripada lima syarikat pembalakan dan perladangan yang terbesar di Sarawak - tidak mempunyai hak eksklusif untuk tanah yang dikenali sebagai Lot 97 Daerah Tanah Sawai yang terletak di Suai, Bahagian Miri.

NONEHakim Zulkifli Bakar berkata Butrasemari tidak boleh menuntut hak eksklusif ke atas tanah berkenaan dengan hanya berdasarkan pemilikan sewa sementara (PL) yang dikeluarkan oleh kerajaan negari. Ini kerana ia tertakluk juga kepada keperluan dalam Seksyen 28, Akta Tanah Sarawak yang mensyaratkan bancian atau tinjauan harus dijalankan sebelum kerajaan negari boleh mengasingkan dan menyerahkan mana-mana tanah kepada pihak lain.

Namun mahkamah juga menmutuskan masyarakat pribumi Iban itu tidak boleh menuntut tanah yang mereka duduki tersebut sebagai tanah adat istiadat (NCR) kerana mereka hanya menetap di sana pada sekitar tahun 1970-an.

Status masyarkat Iban di tanah berkenaan juga belum diputuskan kerajaan negeri Sarawak walaupun mereka didorong oleh kerajaan negeri untuk berpindah ke sana dari Sarikei pada tahun 1970an.

Justeru, mahkamah mengekalkan status quo tanah tersebut tetapi keputusan akhir masih terletak pada kerajaan negeri.

Pertikaian atau sengketa hak milik tanah timbul pada 2005 ketika Butrasemari diberikan pemilikan sewa sementara (PL) bagi menduduki tanah berkenaan.

NONEPada tahun 2008, penduduk Rumah Pee Milo melancarkan berhimpun di hadapan pejabat residen Miri setelah mereka diperintahkan oleh mahkamah untuk mengosongkan tanah tersebut.

Mereka kemudian diberitahu bahawa mereka boleh mentetap di tanah berkenaan sehingga keputusan dibuat oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi di Kuching, yang masih mereka tunggu hingga hari ini.

"Kerajaan negeri kita telah gagal dalam tugas fidusiari mereka untuk menjaga kepentingan rakyatnya sendiri," kata Harrison Ngau Laing, peguam yang mewakili penduduk Rumah Pee Milo.

Harrison mendakwa pengerusi eksekutif Ta Ann adalah Abdul Hamed Sepawi, seorang jutawan yang juga sepupu kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan juga bendahari PBB, parti yang memerintah di negeri itu.

"Mengapa tidak boleh Ta Ann, yang telah memiliki ribuan hektar tanah di seluruh Sarawak meluangkan sedikit tanah untuk pribumi miskin menetap?" tanya Harrison.

"Kerajaan negeri telah meletakkan keutamaan mereka di tempat yang salah, mereka hanya berminat memperkayakan orang berada dan menjadikan golongan miskin terus papa.”

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/155553

Wednesday, January 26, 2011

Rayuan pembebasan Ramli Yusuff - 24 Mac

Jan 25, 11 5:36pm

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 24 Mac depan untuk mendengar rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembebasan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, yang didakwa gagal mengisytihar pemilikan saham dan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai RM1,032,840.

ramli yusuff asset declare case 120310 05Timbalan Pendaftar Rusita Md Lazim menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dan memerintahkan peguam Badrul Munir, yang mewakili Ramli, serta Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Sophian Zakaria menyerahkan hujah bertulis masing-masing sebelum tarikh berkenaan.

Rayuan itu akan didengar oleh Hakim Datuk Ghazali Cha.

Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa pendakwaan telah gagal mewujudkan kes 'prima facie' terhadap Ramli, 58, berhubung tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Dia didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan 20,000 saham Telekom Malaysia Berhad dan 154,000 saham Permaju Industries Berhad, serta kepentingan dalam hartanah berupa dua buah pejabat.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan di pejabat Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya pada 17 September 2007.

ramli yusuff commercial crime director police pc 301007 talkPada 28 Julai 2009, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu membebaskan Ramli daripada pertuduhan menyalah guna kedudukannya sebagai penjawat awam apabila menggunakan pesawat Cessna Caravan polis pada 15 Jun 2007.

Dia didakwa mengeluarkan arahan serta menggunakan pesawat itu untuk membawanya dan dua orang awam meninjau dua lot tanah di Ulu Tungku, Lahad Datu, Sabah, yang mana syarikat hartanah miliknya, Kinsajaya Sdn Bhd mempunyai kepentingan.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menolak rayuan SPRM pada 18 Mac lalu.

Ramli juga dibebaskan daripada pertuduhan memegang jawatan dalam sebuah syarikat pertanian ketika masih seorang penjawat awam.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/154436

Wednesday, December 8, 2010

Sistem Juri Akan Dikembalikan?

Rabu Disember 8, 2010

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang menimbang kemungkinan untuk mengembalikan semula sistem juri yang telah dimansuhkan sejak sedekad lalu, kata Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal perundangan pada Rabu.

Malaysia memansuhkan sistem juri pada tahun 1995 ekoran masalah kesukaran untuk mencari juri yang berkelayakan memandangkan rakyat Malaysia tidak terlatih untuk mempertimbangkan bukti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, kerajaan kini sedang mempertimbangkan semula rancangan untuk mengembalikan sistem yang diamalkan di negara seperti Amerika Syarikat dan Britain itu.

“Sistem juri adalah sesuatu yang kita sedang pertimbangkan,” katanya pada sidang media dan menambah, walaubagaimana pun tiada keputusan dicapai sama ada sistem tersebut akan diperkenalkan semula.

“Satu individu tidak sebagus tujuh individu untuk menentukan masa depan seseorang,” katanya merujuk kepada kes yang melibatkan hukuman mati.

“Anda tidak boleh membenarkan seorang individu untuk membuat keputusan. Kadang-kadang ada hakim yang keberatan untuk menjatuhkan hukuman mati yang akan menyebabkan ketidakadilan dalam penghakiman.”

Hukuman mati yang dilaksanakan melalui cara digantung adalah hukuman mandatori untuk kesalahan bunuh, pengedaran dadah dan pemilikan senjata api di Malaysia.

Kes terakhir yang dibicarakan oleh juri di Malaysia adalah kes pembunuhan kejam seorang ahli politik yang dibunuh dan dipotong kepada 18 bahagian oleh pasangan suami isteri yang mengamalkan ilmu hitam.

Mereka disabitkan bersalah pada Februari 1995 bersama pembantu mereka dan dihukum gantung sampai mati.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/8/mstar_berita/20101208220442&sec=mstar_berita

Tuesday, November 23, 2010

Tegang di mahkamah, polis dikerah kawal keadaan

Tegang di mahkamah, polis dikerah kawal keadaan

Hafiz Yatim
Nov 23, 10
10:44am

Ketegangan tercetus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin bertikam lidah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa individu di galeri awam.

Semuanya gara-gara peguam utama pembela, Karpal Singh yang gagal dalam usahanya cuba mengasak saksi hari ini, Dr Siew Sheue Feng supaya merujuk kepada nota perubatan asal.

"Saksi-saksi ini sudah diprogram sebagai robot,” bidas Karpal.

Anwar juga dilihat hilang sabarnya hari ini kerana telah berulang-kali dinafikan hak mendapatkan nota perubataan asal yang dibuat oleh doktor-doktor di Hospital Kuala Lumpur.

"Ini sudah melampau kerana awak semua (pendakwa) cuba menyaring semua bukti,” kata Anwar.

Yusof menjawab: "Kau tidak tahu mengenai undang-undang."

Ia kemudian mencetuskan pertikaman lidah pula antara Yusof dengan beberapa individu di galeri awam.

Anggota polis yang berjumlah empat hingga lima orang, termasuk seorang yang berpangkat ASP kemudiannya dikerah bagi mengawal keadaan.

Anwar keluar dari mahkamah masuk beberapa kemudian sambil memberi petunjuk kepasda polis bahawa beliau akan bertenang.

Karpal kemudian berkata pihak pembelaan akan mengemukakan permohonan bagi melucutkan kelayakan hakim membicarakan kes itu kerana Zabidin didakwa gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Kita akan failkan permohonan pagi esok.”

Tak ingat

Sebelum itu, Karpal bertanya kepada Dr Siew berhubung apa yang diisi dalam borang perubatan.

Nama pesakit - saksi menjawab, "Mohd Saiful Bin Bukhari."

No IC - Dr Siew berkata dia tidak ingat.

Tarikh lahir - sekali lagi doktor itu berkata dia tidak ingat.

Pekerjaan - “pembantu peribadi”

Status - "bujang"

Dr Siew juga berkata dia tidak ingat nombor laporan polis berkenaan.

Karpal kemudian meminta Dr Siew merujuk kepada laporan perubatan. “ Bukankah awak ingin menyegarkan semula ingatan awak berdasarkan nota itu?”

Saksi berkata dia hanya merujuk kepada maklumat dalam laporan perubatan terakhir dan bukan nota perubatan yang asal.

"Saya ada laporan yang lengkap,” katanya.

Pagi tadi, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sekali lagi menolak permohonan pihak peguambela bagi mendapatkan nota perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam perbicaraan kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mahkamah tidak boleh memaksa dokumen itu dikemukakan.

Keputusan mahkamah agung

Sebelum itu berlaku pertikaman lidah antara peguam utama pihak pembelaan Karpal Singh yang berhujah bahawa hakim gagal memahami Seksyen 45, Akta Keterangan 1950 yang mensyaratkan seseorang pakar perlu mengemukakan semua dokumen bagi menyokong semua hujah yang dikemukakan di mahkamah.

"Ini keputusan Mahkamah Agung.”

Hakim Mohamad Zabidin berkata: "Bagaiaman jika dia (saksi) tidak mahu melihatnya (dokumen)?”

Karpal berkata ini tidak adil dan ini menyukarkan tugas pihak pembelaan dalam melaksanakan tugas mereka.

“Apa yang mungkin Yang Arif catatkan adalah tidak berguna kecuali ia disokong oleh data dan ia tidak berguna dengan tulisan di atas kertas itu.”

anwar karpal 200910 01"Kenapa mesti Yang Arif duduk dan terdedah kepada tidak tentu arah?” soal Karpal.

Katanya, tindakan itu bagi membantu mahkamah mendapatkan gambaran dari sudut sains.

Justeru, menurut Karpal, adalah tidak adil kepada pihak peguambela jika data yang disertakan tidak menyokong kenyataan lisan dan bercanggah dengan sistem perundangan.

"Fungsi pakar (saksi) adalah mengemukakan kepada mahkamah setiap maklumat bagi menyokong keterangan dalam terma sains agar mahkamah tidak tersilap arah," kata Karpal.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin mencelah mengatakan saksi layak menjawab secara lisan selain tiada desakan untuk saksi mengemukakan data.

Katanya tugas pakar patologi HKL, Dr Siew hanya untuk mengambil sampel dan mengenalpasti kecederaan dan bukan mengenalpasti data.


[Berita penuh menyusul]

http://malaysiakini.com/news/148893



Tuesday, October 19, 2010

Pathmanabhan bukan peguam lagi





KUALA LUMPUR - Tertuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya kini tidak dibenarkan bertindak sebagai peguam cara dan peguam bela.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak dengan kos permohonan N. Pathmanabhan (gambar) dan juga adiknya, N. Surendran supaya mahkamah mengetepikan perintah Lembaga Tatatertib Peguam-peguam yang membatalkan nama mereka sebagai peguam berdaftar.

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang membuat keputusan itu di dalam kamar juga menolak permohonan kedua-dua beradik itu supaya perintah Lembaga Tatatertib tersebut digantung, sementara menunggu perbicaraan dan keputusan terhadap permohonan tersebut.

Peguam T. Rajasekaran yang mewakili responden M. Rajeanteran memberitahu pemberita, dengan keputusan tersebut Pathmanabhan dan adiknya yang pernah ditahan berhubung kes pembunuhan Sosilawati tidak lagi boleh bertindak dalam mana-mana urusan sebagai peguam termasuk dalam pembelian hartanah.

Rajeanteran merupakan anak guam dua beradik itu dalam pembelian satu hartanah pada 1999 dan beliau yang menyedari ditipu membuat aduan polis pada 2003.

Pihak lembaga mula menyiasat aduan Rajeanteran pada 8 Februari 2007 hingga 5 November 2009.

Pada 24 November tahun lalu, dua beradik itu memfailkan notis usul pemula memohon agar perintah Lembaga Tatatertib bertarikh 5 November 2009 diketepikan dan perintah lembaga itu digantung sementara menunggu perbicaraan dan keputusan notis usul pemula.

Di dalam notis itu, Pathmanabhan dan Surendran menyatakan perintah Lembaga Tatatertib itu tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal kerana pihak lembaga tidak mematuhi Seksyen 103, D(1) Akta Profesyen Undang-undang 1976 apabila ia tidak menyatakan sama ada pihak lembaga menerima atau menolak keputusan atau pengesyoran Jawatankuasa Tatatertib.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Friday, August 20, 2010

Raja Azmi Ditahan Sebagai Saksi Berhubung Saman Sivil RM5.9 Juta



Published: Jumaat Ogos 20, 2010 MYT 10:15:00 AM
Updated: Jumaat Ogos 20, 2010 MYT 3:03:05 PM

KUALA LUMPUR: Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman ditahan kerana kegagalannya untuk hadir ke Mahkamah Tinggi di sini, bagi memberi keterangan sebagai saksi dalam kes saman sivil berhubung penjualan tanah berharga RM5.9 juta.

Hakim Datuk Lim Yee Lan mengeluarkan waran tangkap terhadap penerbit filem ...Dalam Botol itu kerana kegagalannya hadir pada 12 Julai lalu yang menyebabkan prosiding mahkamah terganggu sekali gus mengakibatkan kelewatan perbicaraan kes tersebut.

Sedangkan sapina untuk memaklumkan kehadirannya ke mahkamah telah diserahkan pada 9 Julai lalu, pukul 8.15 malam yang diletakkan di bonet kereta mewah Mercedez Benz B170 bernombor pendaftaran WRC 9945 selepas Raja Azmi dikatakan enggan menerimanya.

Kereta berkenaan ketika itu berada di tempat letak kereta Hotel Flamingo, Jalan Ampang, di sini, iaitu di mana majlis perkahwinan kali kedua pemain badminton negara, Roslin Hashim, 35, bersama Norhayati Othman, 38, berlangsung.

Raja Azmi, 51, yang dibawa ke mahkamah pada pukul 9.25 pagi, Jumaat diiringi dua anggota polis. Dia bagaimanapun memaklumkan tidak tahu mengenai prosiding mahkamah kerana tidak menerima sapina.

Lim: Kamu katakan tidak menerima sapina tetapi peguam mengatakan telah menyerahkan sapina. Siapakah yang berbohong?

Raja Azmi: Saya tidak berbohong.

Lim juga memberitahu Raja Azmi bahawa perbuatannya boleh menyebabkan dia berhadapan dengan tuduhan menghina mahkamah.

“Kamu memandang ringan perkara ini. Kes ini bergantung kepada keterangan dan akuan bersumpah yang diikrarkan kamu. Saya akan melepaskan kamu dengan jaminan. Kamu perlu hadir pada prosiding seterusnya sehingga kes selesai,” tambah Lim.

Sementara itu, hasrat suami Raja Azmi, Jalani Mohd Sidek untuk menjamin isterinya tidak tercapai selepas peguam Su Tiang Joo memaklumkan bahawa bekas jaguh badminton negara itu telah diisytiharkan sebagai muflis.

Justeru itu, tanggungjawab sebagai penjamin digalas oleh rakan Raja Azmi iaitu Zahrin Aris.

Wang jaminan ditetapkan pada jumlah RM8,000 manakala perbicaraan akan bersambung pada 29 dan 30 November serta 13 hingga 15 Disember depan.

Sementara menunggu urusan jaminan selesai, Raja Azmi yang dilihat agak keletihan tertidur di bahu Jalani.

Turut berada di mahkamah ialah anak sulung mereka, Puteri Suraya dan suaminya Mohd Shadan Hashim yang juga pengarah filem. Mereka menunggu di mahkamah seawal jam 7.45 pagi.

Raja Azmi meninggalkan mahkamah pada pukul 10.50 pagi selepas urusan jaminan selesai.

Kes itu bermula selepas seorang pemaju tanah, Hamzah Abdul Majid memfailkan saman terhadap Raja Azmi dan Jalani berhubung penjualan dua saham tunggal milik syarikat mereka, Equal Alliance Sdn Bhd yang memiliki tanah seluas 35 ekar di Balakong, dekat sini yang dipersetujui pada harga RM4.9 juta.

Perjanjian urus niaga itu ditandatangani pada 21 Mei 1996. Bagaimanapun Hamzah mendakwa dia mendapat tahu pasangan itu telah menandatangani perjanjian untuk menjual hartanah yang sama kepada dua pihak yang lain pada 6 Jun 1996 dengan harga RM5.9 juta.

Dua pihak tersebut ialah syarikat pemaju hartanah, LBS Bina Holdings Sdn Bhd dan salah seorang pengarah syarikat tersebut, Joey Lim @ Lim Hock Guan.

Justeru itu, Hamzah yang mempunyai pertalian jauh dengan Raja Azmi melalui ikatan perkahwinan memfailkan saman kali pertama pada 10 Disember 1998 di mana Hakim Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober 2001, Datuk Kang Hwee Gee memutuskan bahawa perjanjian dengan Hamzah adalah berkuat kuasa.

Kang juga memerintahkan pasangan itu untuk membayar ganti rugi kepada Hamzah kerana melanggar perjanjian sekiranya hartanah itu diperoleh oleh LBS Bina Holdings.

Hamzah seterusnya memfailkan satu lagi saman menamakan pasangan itu, Equal Alliance, LBS Holdings dan Joey kerana mendakwa semua mereka telah secara salah sama ada sendiri atau bersama untuk melakukan penipuan terhadapnya bagi menghalang dia mendapat hartanah tersebut.

Kes itu dibicarakan kali pertama pada 26 April lalu. Hamzah diwakili Su Manakalan peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili LBS Bina Holdings dan Joey diwakili peguam Alan Gomez. Raja Azmi dan Jalani tidak diwakili peguam.

Raja Azmi ditahan pada pukul 4.50 petang Khamis, semasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini berhubung dakwaan menerima mesej ugutan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada isteri Roslin iaitu Norhayati.

Dia yang memakai baju kurung moden merah biru terpaksa bermalam di lokap wanita Balai Polis Pandan Indah, di sini, sebelum dibawa ke mahkamah.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/8/20/mstar_hiburan/20100820101507&sec=mstar_hiburan

Raja Azmi tidur lokap



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Hadzlihady Hassan dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/08/20

AMPANG: Hanya sehari selepas namanya terpampang di media kerana dikaitkan dengan kes perceraian pemain badminton negara, Roslin Hashim, produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman yang juga isteri bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek sekali lagi mencipta kejutan apabila ditahan polis, petang semalam.

Bagaimanapun, penahanan wanita berusia 51 tahun itu ketika hadir di Balai Polis Ampang di sini, kira-kira jam 3.30 petang tiada kaitan dengan kes rumah tangga Roslin, sebaliknya disebabkan kegagalannya menghadiri satu perbicaraan mahkamah pada Julai lalu.

Sumber polis berkata, Raja Azmi yang pernah dikenakan waran tangkap berikutan kesalahannya itu ibarat menyerah diri berikutan dia ditahan ketika hadir di Balai Polis Ampang untuk membuat laporan mendakwa isteri Roslin, Norhayati Othman, 38, memberi keterangan tidak benar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur kelmarin berhubung kononnya dia berkhalwat dengan pemain badminton negara itu.

“Dia tiba di Balai Polis Ampang dengan menaiki kereta ditemani Roslin dan seorang lagi kenalannya. Malah, seorang lagi pegawai polis turut mengambil keterangan bertulis daripada Roslin berhubung laporan yang dibuat sebelum itu bersama Raja Azmi.

“Polis hanya menahan Raja Azmi sejurus selepas dia memberi keterangan mengenai laporan dibuatnya,”
kata sumber itu.

Difahamkan, Raja Azmi gagal hadir di mahkamah bagi perbicaraan berhubung kes bankrap bersama suaminya.

Sumber itu berkata, disebabkan waran tangkap ke atasnya baru dikeluarkan pihak mahkamah, Raja Azmi tidak boleh dijamin dan terpaksa bermalam dalam lokap wanita Balai Polis Pandan Indah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menahan penerbit filem itu kira-kira jam 4.50 petang semalam.

Menurutnya, Raja Azmi ditahan atas kesalahan tidak hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Bahagian Dagang pada 21 Julai lalu.

“Tahanan terhadapnya dilakukan di Balai Pandan Indah, Ampang di sini. Dia akan dibawa ke Mahkamah Tinggi esok (hari ini) atas waran tangkap dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Kelmarin, Raja Azmi mencetuskan kontroversi apabila Norhayati memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, wanita itu berdua-duaan bersama suaminya di bilik Hotel Corus, Jalan Ampang di sini.

Dalam keterangannya itu, Norhayati bersama dua adik dan ibunya menemui Roslin bersama Raja Azmi dalam bilik hotel terbabit pada jam kira-kira 8 malam 7 Ogos lalu sebelum Roslin melafazkan ‘I cerai youlah’ pada jam 8.32 malam.

Norhayati yang juga Pengarah Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru berkahwin dan Roslin pada 9 Julai lalu di Hotel Flamingo, Jalan Ampang, di sini.

Raja Azmi Dicekup Polis Selepas Buat Laporan Di Balai Polis Ampang

Khamis Ogos 19, 2010

KUALA LUMPUR: Tujuannya ke balai polis ialah untuk membuat laporan polis terhadap akhbar yang menyiarkan berita mengenai penglibatannya dalam kes perceraian pemain badminton negara Roslin Hashim, namun penerbit filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman dicekup polis kerana gagal hadir ke perbicaraan kes sivil.

Raja Azmi, 51, ditahan kira-kira pukul 4.50 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya selepas beliau membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata Raja Azmi datang ke balai tersebut kira-kira pukul 4 petang dengan ditemani seorang rakan sebelum polis bertindak menahan beliau setelah mendapati namanya di dalam senarai dikehendaki.

"Pihak polis telah beberapa kali mencari beliau di rumahnya di Hulu Kelang berhubung kegagalan beliau menghadiri kes perbicaraannya, malahan hari ini duakali iaitu kira-kira pukul 1 petang dan 2 petang, namun tetap tidak berhasilmenemuinya.

"Ketika kami tiba di rumahnya tadi, kami percaya beliau berada di rumah namun tiada sesiapa membuka pintu, justeru apabila beliau hadir ke balai selepas membuat laporan polis, kami terpaksa bertindak menahannya," kata Abdul Jalil kepada pemberita di pejabatnya di sini Khamis.

Beliau berkata Raja Azmi kini ditahan di lokap wanita Balai Polis Pandan Indah dan esok akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang), Jalan Duta pada pukul 8.30 pagi.

Pada 21 Julai lalu, Raja Azmi yang merupakan isteri kepada bekas jaguh badminton negara Jalani Sidek tidak menghadirkan diri di mahkamah yang samadipercayai berhubung kes sivilnya melibatkan muflis pada 1991.

Muka depan beberapa akhbar tempatan hari ini melaporkan Raja Azmi merupakan punca Roslin bercerai dengan isterinya, Norhayati Othman yang baru dikahwininya pada 9 Julai lepas. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/8/19/mstar_berita/20100819214958&sec=mstar_berita

Polis tangkap Raja Azmi


Gambar menunjukkan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang tempat Raja Azmi membuat laporan polis semalam.


KUALA LUMPUR – Kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 51, tiada tanda akan berkesudahan apabila semalam penerbit filem itu ditahan ketika dia pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dekat sini untuk membuat satu laporan polis.

Belum pun reda kisah dia dikaitkan sebagai punca perceraian bintang badminton, Muhammad Roslin Hashim dan Nurhayati Othman, Raja Azmi ditahan pada pukul 4.50 petang selepas dia membuat laporan polis berhubung satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang didakwa mempunyai unsur ugutan.

Penerbit filem itu ditahan selepas dia didapati mempunyai waran tangkap dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana tidak hadir perbicaraan pada 21 Julai lalu bagi satu kes pertikaian komersial.

Dalam kes tersebut Raja Azmi didakwa terlibat dalam satu kes tuntutan jual beli tanah beberapa tahun lalu.

Sehingga pada pukul 12 malam tadi, Raja Azmi tidak dibenarkan diikat jamin kerana dia akan terus dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang) hari ini.

Suaminya, Jalani Sidek cuba mengikat jaminnya tetapi gagal. Akibatnya Raja Azmi kena berbuka puasa di dalam lokap.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan penahanan Raja Azmi oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ampang Jaya.

“Wanita itu ditahan berkaitan satu waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 21 Julai lalu ekoran keingkaran penerbit filem itu untuk hadir satu perbicaraan,” kata beliau.

Sebelum ditahan, menurut beliau, Raja Azmi datang ke IPD Ampang untuk membuat laporan berhubung dakwaan dia menerima satu mesej SMS yang didakwanya ada unsur ugutan daripada seseorang yang tidak dikenali.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0820&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Saturday, October 3, 2009

Kes babitkan Maria ditetapkan 30 Oktober depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menetapkan 30 Oktober ini untuk Datuk Wan Johani Wan Hussin meminda afidavit permohonannya berhubung dakwaan melanggar perjanjian penyelesaian RM5.5 juta kerana gagal menunaikan janji untuk berkahwin dengan personaliti TV3, Maria Tunku Sabri.

Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Nadiah Abd Razak menetapkan tarikh itu dalam kamarnya, semalam.

Sebelum ini, Wan Johani, 56, memohon kebenaran bagi meminda pembelaan untuk memberi gambaran penuh kepada mahkamah berhubung fakta sebenar tindakan itu dan pembelaan defendan.

Berhubung saman dalam kamar yang difailkan pada 16 Julai, Wan Johani berkata, kenyataan pembelaan itu perlu dipinda berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa seorang defendan dalam prosiding gagal menunaikan janji pernikahan diperlukan untuk membuat rayuan khusus mengenai penyalahan undang-undang bagi perjanjian sedemikian berdasarkan wanita Islam itu sudah berkahwin ketika perjanjian itu dibuat.

Peruntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam menyatakan bahawa seorang wanita yang sudah bernikah dilarang mengahwini lelaki lain.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan pengacara program ‘Jalan-Jalan Cari Makan’ itu mengemukakan semula saman terhadap Wan Johani.

Mahkamah itu memerintahkan kes itu didengar semula di Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes dan perbicaraan.

Pada 2004, Maria, 39, memohon dikuatkuasakan perjanjian membabitkan janji Wan Johani untuk membayarnya RM5.5 juta kerana dia (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti dijanjikan.

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak dan sebagai alternatif berkata, perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.

Maria membawa kes itu untuk rayuan ke Mahkamah Persekutuan selepas gagal dalam usahanya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...