Showing posts with label Isu Pluralisme Agama. Show all posts
Showing posts with label Isu Pluralisme Agama. Show all posts

Friday, February 25, 2011

PLURALISME AGAMA: POLITIK, FANATIK DAN REALISTIK

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Isu pluralisme digembar-gemburkan oleh sesetengah media dalam negara ini. Apakah tujuan sebenar, saya kurang pasti. Namun, apa pun dalam dunia terbuka hari ini, isu-isu pemikiran memang tidak dapat dielakkan. Cumanya, dalam membahas isu sebegini, ada yang ikhlas, ada yang berpolitik dan ada yang mengambil kesempatan tertentu.

Jika kita lihat isu ‘Valentine’s Day’, ramai yang membantah atas alasan ia tiada dalam Islam. Menariknya,‘hari ibu’, ‘hari bapa’, ‘hari buruh’, hari pesakit aids dan seumpamanya juga tiada dalam ajaran Islam tapi tidak dibantah. Jika ada yang menyatakan ‘Valentine’s Day’ memberikan kesan negatif kepada masyarakat, sambutan tahun baru dan kemerdekaan pun apa kurang.

Betapa ramai yang mengambil kesempatan pada malam-malam tersebut untuk bermaksiat. Namun, tidak kuat sangat bantahan terhadapnya. Ya, kita bersetuju dengan bantahan sambutan Valentine’s Day untuk orang Islam, namun kita mesti memberikan justifikasi yang jelas. Apabila ada agenda yang tidak jelas, masyarakat akan kehairanan terhadap banyak asas tindakan yang dikaitkan dengan Islam ini.

Saya melihat ada seorang dua yang menulis tentang pluralisme di media tertentu dan seminar mereka ini diwar-warkan oleh media tertentu. MB Kelantan turut dikaitkan dengan pluralisme. Menariknya, ada yang lantang tentang pluralisme ini dalam masa yang sama menganut dan mengiktiraf ‘wahdatul wujud’ ala Ibn ‘Arabi iaitu kesatuan antara Tuhan dan makhluk dalam makam kerohanian. ‘Wahdatul wajud’ ini kepercayaan yang dikongsi oleh banyak agama dalam pelbagai tafsiran. Tidaklah pula mereka menganggap diri mereka telah jatuh ke lembah pluralisme agama. Maka, sekali lagi pelbagai persoalan timbul tentang isu pluralismeyang dibangkitkan oleh kelompok tarekat ini.

Lebih daripada itu, mereka tidaklah lantang ketika tokoh-tokoh politik yang ‘membela’ mereka melakukan upacara ritual agama lain dalam perayaan tertentu. Sebaliknya mereka yang memuja dan memuji tokoh-tokoh politik dengan pelbagai nas agama.

Pluralisme dan Relativisme

Adakah ‘pluralisme agama’ ini kufur atau tidak? Sebenarnya, ini tidak dapat dijawab melainkan kita terlebih dahulu jelas apakah yang seseorang itu faham dari pluralisme agama atau ‘religious pluralism’ tersebut. Jika dia memahami pluralisme itu menganggap semua agama itu sama nilaian di sisi Tuhan, kebenaran itu dikongsi secara bersama atau kebenaran itu relative maka itu pastinya bertentangan dengan akidah Islam dan membawa kepada kekufuran. Ini bererti kefahaman pluralisme ini menyamai kefahaman relativisme.

Namun, jika dia menganggap bahawa pluralisme bererti mengiktiraf kepelbagaian agama, cuba memahami lebih mendalam antara satu sama lain dan bersikap bertolak ansur tanpa menggadaikan prinsip-prinsip akidah Islam terutamanya hanya Islam sebagai agama Allah, maka itu tidak membawa kepada kekufuran. Di sini bererti, kefahaman pluralisme ini tidak sama dengan relativisme yang menganggap kebenaran adalah sesuatu yang relatif.

pluralisme.jpg

Maka, isu pluralisme ini bergantung kepada tafsiran pihak yang berbicara. Setiap pihak mempunyai kefahaman yang tersendiri tentang hal ini. Diana L. Eck (Harvard University) menyatakan pluralisme tidak sama dengan relativisme. Pluralisme tidak menuntut seseorang meninggalkan identiti dan tanggungjawab. Juga tidak semesti bersetuju dengan semua yang diperkatakan oleh pihak yang lain. Namun bersetuju untuk berbincang, memberi dan mendengar pandangan pihak lain.

Katanya:

“pluralism is not relativism, but the encounter of commitments. The new paradigm of pluralism does not require us to leave our identities and our commitments behind, for pluralism is the encounter of commitments. It means holding our deepest differences, even our religious differences, not in isolation, but in relationship to one another..pluralism is based on dialogue. The language of pluralism is that of dialogue and encounter, give and take, criticism and self-criticism. Dialogue means both speaking and listening, and that process reveals both common understandings and real differences. Dialogue does not mean everyone at the “table” will agree with one another. Pluralism involves the commitment to being at the table with one’s commitments” (http://pluralism.org/pages/pluralism/what_is_pluralism)

Apa yang penting bukan istilah-istilah ini tetapi kepercayaan atau akidah seseorang muslim berkaitan hal ini. Jika dia percaya semua agama adalah berkongsi kebenaran yang sama, atau kebenaran itu sesuatu yang subjektif, boleh dilihat pada dimensi yang berbeza, maka itu pluralisme yang kufur. Jika dia menganggap hanya Islam agama wahyu yang diiktiraf di sisi Allah, namun kepelbagaian agama adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, manusia mesti belajar memahami antara satu sama lain, berbincang dengan cara yang baik, sudi untuk berdialog dan menyemakkan sikap dan tindakan, maka ini tidak kufur. Bahkan itulah yang dilaksanakan oleh sarjana Islam yang terbilang.

Prinsip Islam

Isu ini hendaklah ditangani dengan asas ilmu, bukan dengan fanatik, atau kepentingan politik. Realiti atau hakikat Islam dan kehidupan masyarakat manusia itu hendaklah difahami. Di sini saya sebutkan beberapa asas penting untuk kita fahami;

i. Seorang muslim wajib beriktikad bahawa hanya Islam yang diterima di sisi Allah. Islam itu agama Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh para nabi sebelum baginda. Firman Allah (maksudnya):

“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-‘Imran, ayat 85).

Maka, muslim tidak percaya semua agama sama di sisi Allah di sudut kebenaran dan wahyu. Ini soal akidah. Namun bukanlah bererti Islam membezakan manusia di sudut keadilan dan hak kemanusiaan.

ii. Pun begitu, Islam mengiktiraf kewujudan agama lain dan hak mereka untuk berpegang dengan apa yang mereka yakin. Maka Islam menegaskan: (maksudnya)

“Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)” (Surah al-Baqarah ayat 256).

Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan. Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi. Kata Ibn ‘Abbas:

“Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: “Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: “ (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Demikianlah ajaran Islam. Jika ibubapa pun tidak boleh memaksa agama anak sendiri, inikan pula orang lain.

islam.jpg

iii. Islam tidak memusuhi pengikut agama lain hanya kerana perbezaan agama. Bahkan muslim disuruh berbuat baik kepada mereka yang tidak menzahirkan permusuhan kepada Islam. Firman Allah (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).

iv. Islam mengiktiraf kebaikan yang ada pada agama lain dan pengikutnya seperti mengiktiraf halalnya sembelihan Yahudi dan Kristian dan keizinan berkahwin dengan wanita mereka. Ini disebut dalam Surah al-Maidah ayat 5. Demikian Islam mengiktiraf kebaikan yang ada pada golongan paderi Kristian. Firman Allah:

“..demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong” (Surah al-Maidah: 82)

v. Islam melarang penganutnya menzalimi penganut agama lain. Perbezaan tidak boleh membawa kepada penindasan dan kezaliman. Firman Allah (maksudnya) :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).

vi. Islam menggalakkan dialog dalam suasana yang harmoni dan baik. Firman Allah (maksudnya).

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125)

Maka isu pluralisme hendaklah ditangani dengan ilmu, bukan fanatik atau kepentingan politik, tetapi hendaklah realitik dengan asas Islam dan kehidupan manusia.


http://drmaza.com/home/?p=1366

Tuesday, February 22, 2011

Isu pluralisme agama tidak berbangkit

Harakahdaily

KOTA BHARU, 22 Feb: Isu pluralisme agama tidak berbangkit di negara ini kerana semua umat Islam sedar dan yakin bahawa satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah adalah Islam.

"Ini adalah keyakinan umat Islam dan bukan menjadi masalah di negara ini. Yang menjadi masalah adalah penghayatan ke atas agama," kata anggota Parlimen Machang, Saifudin Nasution Ismail

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis dekat sini.

Saifudin yang juga Setiausaha Agung PKR dipercayai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib agar umat Islam tidak terjebak dalam pluralisme agama.

Najib dipercayai cuba menjuarai isu ini bersama dengan para penguasa agama dalam Umno yang cuba menyerang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Anwar dituduh menerima konsep pluralisme agama iaitu menyamakan semua agama yang dinafikan sama sekali oleh Anwar.

Bagi Saifudin, antara masalah penghayatan Islam yang utama adalah mematuhi tuntutan asas bagi umat Islam termasuk menutup aurat.


Antaranya, kata Saifudin, pihak berkuasa Umno tidak perlu forum Maulidul Rasul kalau tidak berani untuk sebut kepada Perdana Menteri perkara paling asas sekali.

"Wahai Perdana Menteri, sudi apa kiranya menerima pandangan kami, bahawa kewajiban suami nombor satu adalah memerintahkan atau mengarahkan isterinya agar menutup aurat, sebagai salah satu tuntutan Islam, agama yang diterima di sisi Allah.

"Boleh buat tak perkara ini agak-agaknya...itu isunya bukan kepelbagaian agama," kata Saifudin kepada pemimpin dan penguasa agama yang berada dalam Umno.

Bagi Saifudin, isu di negara ini sekarang bukan Islam dan kepelbagaian agama tetapi rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, jurang yang besar antara kaya dan miskin, kroni pemerintah kaut harta dan yang miskin tetinggal.

Kalah Umno, yang naik Melayu juga

Saifudin juga menyelar usaha Umno dan medianya yang cuba melebelkan Pakatan Rakyat dengan pelbagai perkara negatif demi untuk mempertahankan kuasanya.

"Umno dan media menggambarkan seolah-olah pemimpin Pakatan Rakyat mengkhianati orang Melayu, derhaka kepada raja, kuda tunggangan kepada orang Cina khususnya DAP supaya Melayu tidak bersama dengan kita," kata Saifudin.

Mereka juga, katanya, menggambarkan, jika Umno atau BN kalah dalam PRU ke 13 nanti, maka negara ini akan di perintah oleh orang asing atau yang bukan Melayu.

"Itulah gambaran yang mereka cuba bagi. Padahal, kalau kalahnya Umno yang akan naik adalah pemimpin PKR dan PAS yang Melayu dan beragama Islam," kata Saifudin.

Klik untuk ikuti ucapan penuih Saifudin.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30991:isu-pluralisme-agama-tidak-berbangkit-&catid=1:utama&Itemid=50

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...