Showing posts with label Gelombang Merah. Show all posts
Showing posts with label Gelombang Merah. Show all posts

Monday, May 16, 2011

4,000 pertahan Ladang Rakyat

Salmah Mat Husain

TUMPAT, 16 Mei: Lebih 4,000 peserta Ladang Rakyat berhimpun di Koperasi Ladang Rakyat sempena program hari himpunan anggota koperasi ladang rakyat di Wakaf Baru.

Biarlah sekitar 200 peserta Umno berdemo di hadapan Kota Darulnaim pagi ini untuk menyerahkan ‘memo rakyat’ tetapi di sini mereka yang menyertai himpunan begitu ramai untuk menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri dan Ladang Rakyat.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Eksekutif Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi.

Dua deklarasi dicapai iaitu menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di samping memperkukuhkan Ladang Rakyat sebagai satu badan untuk membantu rakyat dan memperteguhkan kerajaan dipimpin ulama.

Deklarasi itu disampaikan oleh Nazmi Ghazali.

Pagi tadi juga, kira-kira 200 Pemuda Umno berhimpun di perkarangan Kota Darul Naim, pejabat SUK Kerajaan negeri bagi membantah projek Ladang Rakyat.

Sejak akhir-akhir ini, Umno menghalakan serangannya kepada dua projek utama kerajaan negeri iaitu Ladang Rakyat dan Bazar Tok Guru. Ladang Rakyat dibuat untuk membantu para penduduk miskin dengan cara memberikan dividen bulanan antara RM200 hingga RM300 untuk setiap peserta ladang itu.

Bazar Tok Guru pula bakal menjadi mercu tanda baru pusat perniagaan untuk peniaga kecil Kelantan tidak lama lagi. Ia sudah siap dibina namun Umno dengan menggunakan pihak lain sentiasa sahaja mempertikaikan projek itu.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3305-4000-pertahan-ladang-rakyat

Pemuda Umno berhimpun bantah Ladang Rakyat

M Faqih dan Rizal Tahir

KOTA BHARU, 16 Mei: Kira-kira 200 Pemuda Umno berhimpun di perkarangan pintu masuk Kota Darul Naim yang menempatkan pejabat Menteri Besar pagi ini bagi membantah projek Ladang Rakyat.

Mereka memakai baju Umno dan lambang 1Malaysia membantah projek Ladang Rakyat anjuran kerajaan negeri yang kini menjadi sumber pendapatan lebih 4,300 rakyat miskin di negeri itu.

Dengan memakai kain lilitan kepala bertulis 'Gelombang Merah' mereka membuat bising di hadapan pintu masuk utama ke Kota Darulnaim yang juga menempatkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Perhimpunan bermula jam 9 pagi apabila pemuda yang memakai baju berwarna merah berlogo Umno mulai tiba sedikit demi sedikit. Mereka turut membawa sepanduk bagi mengecam projek Ladang Rakyat.

Selepas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian sampai pemuda dan segelintir penyokong veteran Umno yang berselerakan di kawasan taman di hadapan SUK beredar ke tempat jalan di mana sebuah pacuan empat roda digunakan sebagai tempat berucap.

Kawalan di kawasan itu agak ketat apabila ramai anggota polis yang berpakaian seragam termasuk FRU dan trafik berkawal. Pintu masuk ke SUK ditutup di mana orang yang datang berurusan tidak dibenarkan masuk.

Ucapan pemuda Umno dimulakan oleh bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Wan Khairul Wan Ihsan. Beliau mendakwa perhimpunan pemuda Umno itu sebagai tanda kebangkitan awal pemuda Umno Kelantan.

Seorang lagi pemuda Umno dengan megah memberitahu Umno berjaya membina jambatan Sultan Yahya Kedua biar pun lewat disiapkan berbanding projek Ladang Rakyat di bawah kerajaan negeri.

Seorang pemuda lain yang juga memakai baju berwarna merah menarik tangan rakannya yang berada agak jauh daripada tempat perhimpunan dengan menyebut 'jangan pula takut hendak masuk rapat'.

Malah seorang peserta perhimpunan tersebut membisik kepada rakannya lebih baik kita balik sahaja.

Beberapa penduduk Orang Asal juga kelihatan. Wanita yang memakai pakaian parti itu juga juga hadir biar pun jumlahnya tidak ramai. Turut kelihatan Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Pusat, Affendi Yusof.

Akhirnya, kira-kira jam 10.10 pagi, Anuar Safian menyerahkan 'memo rakyat' kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof di hadapan pagar Kota Darulnaim dengan kawalan ketat anggota pasukan keselamatan.

Turut kelihatan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim.

Seminggu lalu difahamkan Umno menghantar khidmat pesanan ringkas dengan mengarahkan setiap bahagian menghantar 500 orang, namun yang hadir hari ini hanya tidak sampai 500 orang.

Apa yang jelas perhimpunan tersebut bukan membabitkan rakyat yang sebelum ini mendakwa Ladang Rakyat merampas tanah mereka, sebaliknya Pemuda Umno pula mengambil kesempatan.

Projek Ladang Rakyat dimulakan kerajaan negeri pada 2006 untuk membantu rakyat miskin di mana setiap peserta diberi dividen RM200 sebulan.

Projek ini dan Bazar Tok Guru menjadi sasaran Umno Kelantan melalui gelombang merahnya bagi menyerang kerajaan negeri.

Bagi kerajaan negeri, Umno sangat takut terhadap kejayaan kedua-dua projek terbabit kerana parti itu tidak ada harapan untuk menawan semula Kelantan seperti diimpikan ramai pemimpin Umno.

Ekoran itu pelbagai usaha dibuat untuk mempastikan ia tidak berjaya dan dibantah rakyat. RTM menjadikan agenda berita 'rampasan tanah' sebagai bahan provokasi bagi menghasut rakyat.

Projek Bazar Tok Guru yang bakal menjadi mercu tanda baru perniaga kecil di negeri ini juga mendapat serangan bertubi-tubi Umno dengan berselindung di sebalik persatuan peniaga.

Namun sekarang peniaga tidak lagi mengendahkan Umno dan ramai sudah berdaftar untuk berniaga di bazar terbabit.

Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat diberi tanggungjawab mengurus kira-kira 50,000 ekar tanah bagi melaksanakan program pembangunan ladang kelapa sawit. Pulangannya diberi manfaat kepada rakyat.

Projek pertama bagi pembangunan tersebut melibatkan kawasan seluas 10,000 ekar di Lubok Bongor dan sembilan lagi lokasi lain.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebelum ini berkata, kerajaan negeri tidak memberi sumbangan ‘one-off’ kepada rakyat miskin sebaliknya mewujudkan ladang untuk mendapatkan hasil sebelum diagih kepada mereka.

Katanya, melalui program itu rakyat miskin diberi dividen sebanyak RM200 sebulan daripada hasil keuntungan ladang yang diusahakan dengan kerjasama syarikat swasta.

“Program ini bukannya semata-mata untuk menampung perbelanjaan hidup, tetapi ia merupakan program pendidikan kewangan dan peningkatan taraf hidup. Rakyat miskin akan memasuki ‘akademi ladang rakyat’, sebagai peserta program,” ujarnya.

Tambahnya, mereka akan dibantu sehingga menjadi ‘graduan’ daripada akademik berkenaan, dan diharap dapat keluar dari garis kemiskinan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, keunikan program terbabit iaitu tanah-tanah kerajaan yang diberi milik kepada Ladang Rakyat atas nama Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

“Pemilihan syarikat pemaju dibuat menerusi tawaran terbuka. Melalui program ini syarikat diberi hak untuk membangunkan tanah dengan tanaman kelapa sawit dan membayar setiap awal tahun kepada Akaun Amanah Peserta Program Ladang Rakyat," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3298-pemuda-umno-berhimpun-bantah-ladang-rakyat

Tuesday, February 15, 2011

Judi & pelacur di Kelantan: PAS minta Mustapa lapor

Judi & pelacur di Kelantan: PAS minta Mustapa lapor
Feb 14, 11 3:49pm

PAS meminta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan berleluasanya perjudian dan pelacuran di sebuah kampung di Kota Bharu.

Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, kenyataan Mustapa yang mengulas dakwaan sebuah blog berhubung isu itu kelmarin menggambarkan seolah-olah ia hendak dipolitikkan.

pas muktamar 130610 idris ahmad"Jika benar ada kegiatan seperti begini di Kota Bharu beliau (Mustapa) tidak boleh untuk berdiam diri. Jika ada mana-mana pihak yang melindungi kegiatan ini sila laporkan kepada pihak berkuasa," kata Idris (kiri).

Mustapa semalam dilaporkan menyifatkan kerajaan PAS Kelantan tidak bersih ekoran pendedahan sebuah blog terkenal - Kickdefella - bahawa berlakunya aktiviti loteri big sweep dan pelacuran di Kampung Limau Manis - kira-kira 500 meter dari kompleks pentadbiran kerajaan.

Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri juga dilaporkan berkata cakap-cakap mengenai kedua-dua aktiviti maksiat itu di bandar ini lama wujud dan kini ia telah disahkan dengan laporan surat khabar dan media online.

Dalam kenyataannya hari ini ini, Idris juga menegaskan bahawa kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak pernah berkompromi dalam soal itu dan bersedia bertindak tegas sekiranya terbukti terdapat anggota parti Islam itu bersekongkol dalam kegiatan itu.

mustapa mohamedMenurut Mustapa (kanan) lagi, jika benar dakwaan itu, Mustapa secara tidak langsung memperlekehkan kewibawaan polis yang berkhidmat di Kelantan "kerana tidak bertindak".

"Mustahil polis Malaysia yang cekap tidak dapat menghidu kegiatan yang tidak bermoral dan menyalahi sisi undang-undang. Datuk Mustafa mungkin lupa bahawa polis di bawah dagu kerajaan pusat.

"Bertindaklah segera jangan berkompromi kerana perkara jahat tidak perlu hendak dipolitikkan," katanya lagi.

Idris juga meyindir Mustapa dengan mengucapkan "tahniah" kerana "baru sedar loteri dan pelacur adalah haram di sisi agama."

Monday, February 14, 2011

'Loteri haram, pelacuran bebas di Kota Bharu'

Feb 13, 11 9:55pm

Pendedahan media mengenai terdapatnya penjualan tiket loteri haram dan pelacuran yang masih bergerak bebas di bandar Kota Bharu membuktikan Kelantan bukanlah negeri "bersih" segala-galanya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

NONEKatanya, pemimpin kerajaan negeri dari PAS perlu mengakui mereka sebenarnya telah gagal membasmi gejala itu serta merasa malu dengan keadaan tersebut.

"Ini bukan perkara baru kerana ia berlaku secara tidak berselindung lagi dan jika mendakwa Kelantan adalah negeri berlandaskan Islam, perkara itu perlu ditangani segera.

"Pendedahan media ini membuktikan segalanya bahawa gejala judi dan maksiat masih gagal ditangani dan ia agak memalukan kerana berlaku di negeri yang kononnya ditadbir secara Islam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gelombang Merah peringkat Parlimen Kubang Kerian di Kota Bharu hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia dua hari lalu melaporkan terdapat premis yang menjual tiket loteri secara haram dan bebas dibeli termasuk umat Islam di bandar itu.

Sebuah laman blog pula turut mendedahkan sebuah kawasan di bandar itu turut dijadikan tempat melepaskan nafsu yang terdapat pelacur yang bukan sahaja wanita tetapi juga daripada kalangan pondan.

Mengulas perkara itu, Mustapa berkata keadaan itu boleh diibarat kerajaan negeri sebenarnya "cakap tidak serupa bikin" dan yakin bukti itu tidak akan diakui oleh pemimpinnya.

Sementara itu, Mustapa yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, berkata program Gelombang Merah itu akan diperluaskan ke beberapa kawasan Parlimen secara berperingkat.

"Program ini telah melalui fasa yang pertama manakala fasa yang kedua kita akan menumpukan kepada tindakan bagi memastikan Barisan Nasional dan Umno sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum," katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/155937

Mustapa baru sedar loteri, pelacur haram?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Feb: PAS mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana baru sedar loteri dan pelacur adalah haram di sisi agama.

“Apakah sejak Gelombang Merah dilancarkan beliau baru berjumpa dengan hukum loteri dan pelacur adalah haram di sisi agama?” tanya Kertua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, kenyataan Mustapa seolah-olah isu ini hendak dipolitikkan.

Tambahnya, jika benar ada kegiatan seperti begitu di Kota Bharu, Mustapa tidak boleh untuk berdiam diri.

“Jika ada mana-mana pihak yang melindungi kegiatan ini sila laporkan kepada pihak berkuasa.

“Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS, tidak pernah berkompromi dalam soal ini. Jika terbukti, ada di kalangan ahli PAS yang bersetongkol dengan kegiatan ini, PAS akan mengambil tindakan,” tegasnya.

Katanya lagi, jika benar kenyataan Mustapa, secara tidak langsung beliau telah memperlekehkan kewibawaan polis yang berkhidmat di Kelantan, kerana tidak bertindak.

Jelasnya, mustahil polis Malaysia yang cekap tidak dapat menghidu kegiatan yang tidak bermoral dan menyalahi sisi undang-undang.

Beliau berkata, Mustapa mungkin lupa bahawa polis di bawah dagu kerajaan pusat dan bertindaklah segera, jangan berkompromi kerana perkara jahat tidak perlu hendak dipolitikkan.

Justeru, katanya PAS mengharapkan kesedaran Gelombang Merah, boleh juga menyedarkan Mustapa dan Datuk Dr Awang Adek bahawa kedua-dua perbuatan itu salah di sisi Islam.

Katanya, walaupun baru-baru ini kerajaan BN telah meluluskan judi bola sepak, akhirnya dibatalkan kerana bantahan daripada PAS dan Pakatan Rakyat serta pemimpin agama bukan Islam.

“Perkara yang sama bolehlah dibawa dalam kabinet 1Malaysia untuk diharamkan kegiatan judi dan perbuatan yang tidak bermoral di negeri-negeri yang Barisan Nasional perintah,” katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30846:mustapa-baru-sedar-loteri-pelacur-haram&catid=1:utama&Itemid=50

Monday, February 7, 2011

PAS: Kenapa perlu serah Kelantan ke mulut naga

Feb 7, 11 12:24pm

PAS menyifatkan kempen Gelombang Merah yang digerakkan Umno Kelantan untuk menarik sokongan 400,000 orang muda hanyalah angan-angan Mat Jenin kerana golongan itu adalah "generasi yang sedar dan bermaklumat."

idris ahmad information chief pas muktamar in kota bharu"Orang muda Kelantan tidak boleh terima slogan Umno hendak membela Kelantan, sedangkan Umno perlu membela rakyat negeri lain yang berada di bawah pemerintahan Umno yang tertinggal jauh dari segi kuasa membeli dan memiliki hartanah," kata ketua penerangannya Idris Ahmad (kiri).

Kelmarin Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kempen bertemakan "Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat" akan dilaksanakan Pemuda Umno negeri melalui penganjuran ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.

Kempen itu antara lain berobjektif untuk menawan negeri itu daripada kepimpinan PAS yang telah memerintah Kelantan selama 21 tahun, pada pilihan raya umum akan datang.

Berikut kenyataan penuh Idris:

PAS berpandangan harapan Datuk Seri Mustafa Mohamed yang hendak memikat 400,000 orang muda hanya angan-angan mat jenin sahaja. Orang muda Kelantan adalah generasi yang sedar dan bermaklumat. Mereka antipenindasan, diskriminasi dan penyelewengan.

Orang muda Kelantan tidak boleh terima slogan Umno hendak membela Kelantan, sedangkan Umno perlu membela rakyat negeri lain yang berada bawah pemerintahan Umno yang tertinggal jauh dari segi kuasa membeli dan memiliki hartanah.

Seramai 400,000 orang muda Kelantan bukan hidup di dalam gua yang tidak tahu perkembangan dunia. Orang muda Kelantan yang terkenal sebagai golongan terpelajar dan memenuhi kerusi di pusat pengajian tinggi di dalam atau luar negeri.

Mereka menguasai ketua jabatan di Putrajaya. Ini petanda rakyat Kelantan, cerdik dan berjaya dalam pelajaran dan kerjaya.

Mereka tidak dapat menerima pengkhianatan kerajaan pusat yang tidak iktiraf kerajaan rakyat di Kelantan. Tindakan kerajaan pusat yang menyekat 118 projek sejak Rancangan Malaysia Keenam 1991, merampas hak royalti minyak satu lagi bukti penyelewengan konsep federalisme.

Kenapa pemimpin Umno Kelantan yang berada di peringkat pusat telah mengkhianat rakyat Kelantan sehingga sanggup menyalurkan minyak ke Songkla Thailand, pada hal lebih ekonomik ia mendarat di Kelantan.

Kesemua sikap ini tidak boleh diterima oleh orang muda Kelantan untuk menerima umno memerintah semula di Kelantan, kenapa mereka hendak menyerahkan diri mereka ke mulut naga untuk merosakkan sistem yang sudah dibina selama 20 tahun.

PAS hendak menasihat Datuk Seri Mustafa Mohamed, lebih baik beliau ambil perhatian negeri-negeri di bawah BN dahulu seperti Sabah dan Sarawak.

Pulihlah ekonomi negara yang menghadapi kadar inflasi yang semakin tinggi, semuanya gara-gara kegagalan kerajaan BN. Kelantan sudah selesa di bawah kepimpinan PAS yang boleh bersaing dengan negeri-negeri di bawah pemerintahan BN.

Umno janganlah jadi tikus membaiki labu.

http://malaysiakini.com/news/155369

Sunday, February 6, 2011

Umno lancar Gelombang Merah di Kelantan

Feb 5, 11 8:36pm

Umno Kelantan melancarkan kempen Gelombang Merah untuk mendekati dan mendapatkan kepercayaan kira-kira 400,000 pengundi muda di Kelantan untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Gelombang Merah bertemakan "Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat" akan dilaksanakan Pergerakan Pemuda Umno negeri Kelantan melalui penganjuran ceramah,
kursus, seminar dan gerak kerja.

Kempen itu antara lain berobjektif untuk menawan negeri itu daripada kepimpinan PAS yang telah memerintah Kelantan selama 21 tahun, pada pilihan raya umum akan datang, katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Gelombang Merah di sini hari ini.

"Golongan muda di Kelantan adalah lebih ramai jumlahnya daripada pengundi biasa, iaitu jumlah keseluruhan pengundi di negeri ialah 600,000 orang dan 400,000 daripada jumlah itu adalah golongan muda.

"Mereka merupakan golongan yang berpengaruh dalam menentukan kejayaan BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Katanya BN semakin mendapat tempat di hati rakyat Kelantan berdasarkan keputusan pada dua pilihan raya kecil iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada Julai 2009 dan DUN Galas pada November tahun lepas.

Pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai 2009, BN berjaya mengurangkan majoriti 1,352 undi yang diraih PAS pada pilihan raya umum 2008 kepada hanya 65 undi dan pada pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 Nov tahun lepas, BN menang dengan majoriti lebih besar iaitu 1,190 undi berbanding 646 undi pada 2008.

Mustapa berkata keputusan pada dua pilihan raya kecil itu jelas menunjukkan golongan muda di Kelantan mahukan satu perubahan.

Beliau percaya golongan muda kini sudah berpihak kepada BN kerana mereka yakin dengan kemampuan BN untuk membawa pelbagai perubahan yang diperlukan bagi merubah landskap Kelantan menjadi sebuah negeri berdaya saing daripada aspek ekonomi.

"Gelombang Merah bakal membawa perubahan kepada Kelantan yang selama ini dilihat masih tiada perubahan walaupun sekian lama kerajaan PAS memerintah dan kini negeri itu masih diselubungi isu tidak berkesudahan seperti isu bekalan air bersih, ketiadaan peluang pekerjaan untuk golongan muda, isu pembelaan para peniaga dan banyak lagi," katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/155295

Gelombang Merah, angan-angan Mat Jenin

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Feb: PAS berpendapat hasrat BN merampas semula Kelantan dengan pelancaran Gelombang Merah bagi memikat sejumlah besar anak muda negeri itu sebagai angan-angan Mat Jenin.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata beliau yakin anak muda Kelantan yang terkenal sebagai golongan terpelajar dan memenuhi pusat-pusat pengajian tinggi sukar menerima BN yang telah terbukti gagal mengurus tadbir negara sejak lebih 50 tahun lalu.

"PAS berpandangan harapan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang hendak memikat 400,000 orang muda Kelantan hanya angan-angan mat jenin sahaja.

"Orang muda Kelantan adalah generasi yang sedar dan bermaklumat. Mereka anti penindasan, diskriminasi dan penyelewengan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelancaran projek Gelombang Merah oleh Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan untuk merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Umno mensasarkan 400,000 belia Kelantan akan bersama mereka pada PRU itu nanti.

Strategi tersebut juga dilihat sama sewaktu Gelombang Biru yang dilancar Umno Terengganu pada tahun 2004 untuk merampas kerajaan negeri yang pada waktu itu diterajui PAS.

Kata Idris lagi, orang Kelantan juga sangat sukar untuk menerima Umno BN ekoran beberapa fakta diskriminasi oleh kerajaan pusat ke atas negeri itu.

Ianya termasuklah isu peruntukan kepada kerajaan negeri, isu sekatan 118 projek sejak Rancangan Malaysia ke enam pada tahun 1991dan terbaru isu royalti yang sehingga kini sangat perit dirasai rakyat negeri itu.

"Kenapa pemimpin Umno Kelantan yang berada di peringkat pusat telah mengkhianat rakyat Kelantan sehingga sanggup menyalurkan minyak ke Songkla Thailand, padahal lebih ekonomik ia mendarat di Kelantan.

"Kesemua sikap ini tidak boleh diterima oleh orang muda Kelantan untuk menerima Umno memerintah semula di Kelantan, kenapa mereka hendak menyerahkan diri mereka ke mulut naga untuk merosakkan sistem yang sudah dibina selama 20 tahun," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Mustapa, agar melihat dahulu negeri-negeri di bawah BN termasuk Sabah dan Sarawak yang masih tinggi kadar kemiskinan.

"Pulihlah ekonomi negara yang menghadapi kadar inflasi yang semakin tinggi, semuanya gara-gara kegagalan kerajaan BN.

"Kelantan sudah selesa di bawah kepimpinan PAS yang boleh bersaing dengan negeri-negeri di bawah pemerintahan BN. Umno janganlah jadi tikus membaiki labu," nasihatnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30713:gelombang-merah-angan-angan-mat-jenin&catid=1:utama&Itemid=50

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...