Showing posts with label Tab Eko Kum Usaha Niaga (TEKUN). Show all posts
Showing posts with label Tab Eko Kum Usaha Niaga (TEKUN). Show all posts

Friday, January 30, 2009

‘Dia bukan petugas kami’

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my


NAFI...Moammar Gaddafi membuat laporan polis berhubung
wanita menipu 200 ahli syarikat jualan langsung,
semalam.


JOHOR BAHRU: “Wanita itu bukan pegawai kami, sebaliknya dia adalah oportunis yang mempergunakan nama Tekun untuk kepentingan sendiri,” kata Pengurus Cawangan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional Johor Bahru, Moammar Gaddafi Ahmad berhubung kes kira-kira 200 orang ditipu RM20,000 oleh wanita yang mengaku pegawai institusi itu, semalam.

Moammar berkata, Tekun tidak pernah melantik pihak ketiga atau membenarkan pegawainya mengutip sebarang bayaran bagi proses mendapatkan pinjaman modal daripada pemohon, sebaliknya ia disediakan percuma dengan mengisi borang permohanan yang disertakan dokumen sokongan.

“Saya sudah menyiasat dengan menghubungi pejabat Tekun negeri dan mendapat pengesahan bahawa wanita terbabit bukan kakitangan Tekun dan apa yang dilakukannya bertujuan menipu orang ramai,” katanya.

Beliau yang membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi di sini, jam 12 tengah hari semalam, menuntut siasatan menyeluruh dilakukan berhubung aktiviti wanita itu yang disifatkan menjejaskan imej Tekun.

“Tekun diwujudkan untuk membantu mereka yang memerlukan modal dalam mengejar impian untuk bergelar usahawan. Kejadian seumpama ini pastinya menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan kepada institusi ini,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita yang mengaku pegawai kanan Tekun menjanjikan pinjaman modal bernilai RM15 juta kepada kira-kira 200 ahli baru sebuah syarikat jualan langsung, sebelum melarikan wang mangsa RM20,000.

Pinjaman itu kononnya ditawarkan melalui beberapa koperasi yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta boleh diluluskan dalam masa 30 hari.

Skim terbabit kononnya menawarkan pinjaman antara RM50,000 sehingga RM75,000 tanpa penjamin atau kertas kerja, sebaliknya peminjam hanya perlu memberi salinan kad pengenalan, penyata gaji dan RM100 sebagai kos memproses.

Malangnya, sejak Jun lalu pinjaman yang dipohon itu belum diluluskan, sebaliknya wanita yang berusia lingkungan 40-an itu lesap dan gagal dihubungi.

Moammar berkata, bagi mengelakkan kejadian berulang, orang ramai yang berhasrat untuk membuat pinjaman modal perniagaan dinasihati berhubung terus dengan pejabat Tekun di kawasan masing-masing dan bukannya dengan mempercayai orang ketiga.

“Memang pinjaman yang Tekun berikan membabitkan proses yang mudah tetapi tidak semudah dengan memberikan salinan kad pengenalan dan penyata pendapatan saja, pemohon perlu mengisi borang dan ditemuduga oleh pegawai kami.

“Oleh itu, jika ada pihak yang menawarkan cara paling mudah dan jaminan kelulusan dengan cepat, mereka perlu menyiasat dakwaan itu terlebih dulu dan berhubung dengan Tekun sendiri,”
katanya.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Johor Bahru Selatan (JBS) ketika dihubungi berkata kertas siasatan sudah dibuka dan kes itu kini dirujuk kepada IPD Kluang untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130093920/Article/index_html

200 ditipu ‘pegawai Tekun’

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my


BERANG...sebahagian mangsa membuat laporan di Balai Polis
Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU: Dengan hanya membayar yuran pemprosesan RM100, seorang wanita yang mengaku pegawai kanan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menjanjikan pinjaman modal bernilai antara RM50,000 hingga RM70,000 kepada kira-kira 200 ahli baru sebuah syarikat jualan langsung, sebelum dipercayai melarikan wang mangsa RM20,000.

Pinjaman kononnya ditawarkan melalui beberapa koperasi yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dikatakan boleh diluluskan dalam masa 30 hari bekerja itu menawarkan amaun berkenaan tanpa penjamin atau kertas kerja, sebaliknya peminjam hanya perlu memberi salinan kad pengenalan, penyata gaji dan wang RM100 sebagai kos memproses.

Malangnya, sejak Jun tahun lalu, pinjaman yang dipohon itu masih belum diluluskan, sebaliknya wanita yang berusia lingkungan 40-an itu menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

Mangsa, Hisyam Samsu, 30, dari Kampung Melayu Majidee di sini, berkata dia mengenali wanita berkenaan selepas diperkenalkan rakan ketika mendaftar menjadi ahli sebuah syarikat jualan langsung pelbagai peringkat (MLM) pada Jun 2008.

Katanya, setiap ahli baru yang ingin menyertai syarikat MLM berkenaan dikehendaki menyediakan modal RM21,600, bagaimanapun dia bersama kira-kira 200 yang lain diberitahu mereka akan dibantu wanita berkenaan dalam mendapatkan pinjaman dari Tekun.

“Wanita terbabit memberi jaminan kepada saya pinjaman melalui Tekun itu dijamin lulus dan saya hanya perlu menyerahkan salinan kad pengenalan, penyata gaji dan RM100, yang lain akan uruskan wanita itu termasuk mengisi borang permohonan.

“Sebulan kemudian, wanita berkenaan memaklumkan permohonan pinjaman melalui sebuah koperasi gagal kerana proses dibuat melewati tarikh tutup. Oleh itu, dia berjanji pula untuk mencuba dengan sebuah lagi koperasi tetapi kali ini pinjaman yang akan dibuat membabitkan jumlah RM75,000,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi di sini, semalam.

Hisyam berkata, namun sehingga kini, permohonan pinjaman itu belum diluluskan dan kali terakhir dia dapat berhubung dengan wanita berkenaan ialah pada Ogos tahun lalu yang mengatakan permohonan itu belum dibuat bagi mengelakkan ahli yang memohon pada akhir bulan terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi.

“Ini semua alasan yang tidak munasabah, kini selepas beberapa bulan menunggu saya berasa tertipu dengan putar belit wanita itu,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Shamzuri Mohd Noor, 38, juga dari Kampung Melayu Majidee berkata dia membuat bayaran RM100 kepada wanita itu ketika menghadiri satu seminar yang diadakan khusus untuk ahli baru syarikat MLM berkenaan di Simpang Rengam di sini, Julai tahun lalu.

“Terdapat kira-kira 30 orang dalam seminar yang diadakan di sebuah restoran itu dan kami semua menjelaskan RM100 kepada wanita terbabit dengan harapan mendapat pinjaman seperti dijanjikan,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090129092129/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...