Showing posts with label Buang Bayi. Show all posts
Showing posts with label Buang Bayi. Show all posts

Saturday, October 15, 2011

BAYI DISUMBAT DALAM TANGKI PAM TANDAS

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 15TH, 2011

Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan dua jam ditemui di dalam tangki air pam tandas sebuah rumah sewa dekat sini, kira-kira pukul 3 pagi tadi. Bayi yang masih hidup serta bertali pusat itu dijumpai oleh rakan sebilik suspek berusia 23 tahun.Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Abdullah Sani Salat, bayi seberat kira-kira dua kilogram itu dijumpai dalam keadaan kebiruan dan lemah, dipercayai akibat lemas di dalam air tangki pam tandas berkenaan.

Katanya, bayi tersebut yang mengalami sedikit kecederaan pada badan itu difahamkan telah disembunyikan oleh suspek bagi mengelakkan kejadian itu diketahui rakan serumahnya yang lain.

“Salah seorang rakan serumahnya menjumpai kesan darah yang terdapat pada lantai tandas menuju ke bilik suspek. Syak sesuatu yang berlaku, dia mula melihat-lihat di sekitar rumah berkenaan sebelum terdengar tangisan bayi di dalam sebuah tandas dan menemui bayi berkenaan di dalam tangki pam tandas bilik air rumah sewa mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, rakan sebilik mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian terus membawa bayi berkenaan yang dalam keadaan lemah dan kesejukan ke Hospital Kemaman untuk diberikan rawatan kecemasan.
Tambahnya, polis menahan suspek yang kini mendapatkan rawatan di wad Hospital Kemaman dipercayai ibu kepada bayi terbabit.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan suspek yang juga seorang yatim piatu kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.Sementara itu, rakan sebilik suspek yang hanya ingin dikenali sebagai Ina berkata, pada mulanya suspek mengadu sakit perut dan ingin ke tandas rumah sewa berkenaan untuk membuang air besar.

“Selepas duduk terlalu lama dalam tandas, suspek akhirnya keluar dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan dan berbaring di atas katilnya.

“Saya terkejut apabila melihat ada kesan darah pada lantai rumah lalu mengesyaki sesuatu sebelum mendesak rakannya itu untuk menceritakan apa yang berlaku dan akhirnya saya berjaya menemui bayi yang disorokkan itu setelah mendengar tangisannya,” katanya.

http://www.kl-today.com/2011/10/bayi-disumbat-dalam-tangki-pam-tandas/

Saturday, March 5, 2011

Menggigil lihat bayi

Menggigil lihat bayi

Oleh Amir Abd Hamid dan Nur Lela Zulkipli
am@hmetro.com.my

PERIKSA...anggota polis forensik memeriksa mayat bayi lelaki  ditemui dengan sejadah, semalam.
PERIKSA...anggota polis forensik memeriksa mayat bayi lelaki ditemui dengan sejadah, semalam.

KLANG: Seorang pekerja pembersihan sebak sejurus menyedari bungkusan plastik hitam yang disapunya di lantai gerabak komuter, rupa-rupanya mengandungi mayat bayi lelaki baru dilahirkan dan masih bertali pusat.

Siti Khalijah Mat Zain, 37, menemui mayat bayi itu ketika menjalankan kerja hariannya membersihkan komuter dari stesen di Batu Caves yang berhenti di stesen terakhir di Pelabuhan Klang, jam 9 pagi semalam.


“Selepas semua penumpang turun, saya memulakan kerja menyapu lantai di gerabak hadapan. Tiba-tiba saya tersapu satu bungkusan beg plastik warna hitam di bawah kerusi penumpang, betul-betul belakang ruang pemandu. “Saya angkat beg itu dan mendapati ia agak berat. Saya bawa beg plastik itu keluar dan meletakkannya di atas kerusi tempat penumpang menunggu ketibaan tren komuter, tapi tak berani nak membukanya,” katanya.

Siti Khalijah berkata, dia memanggil rakan sekerja, S Kaliyani, 34, yang memberanikan diri membuka plastik itu sebelum kedua-dua mereka melarikan diri selepas melihat ada darah pada bahagian dalam plastik itu. “Kami meminta bantuan rakan lain dan mereka memaklumkannya kepada polis. Selepas plastik itu dibuka, saya sebak apabila melihat di dalamnya ada mayat mayat bayi lelaki yang sungguh comel, masih merah dan bertali pusat,” katanya.


Menurutnya, mayat bayi itu dibungkus dengan kain selimut dengan corak bunga berwarna hijau dan turut terdapat di dalam plastik hitam itu ialah sehelai sejadah bersama senaskhah surah Yasin.


Dia yang semalam genap empat bulan bekerja sebagai pekerja pembersihan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, penemuan mayat itu menyebabkannya hilang selera makan dan sedih mengenangkan kekejaman individu yang tergamak membuang bayi itu.

“Sedih betul bila tengok kain sejadah dan surah Yasin bersama bayi itu. Saya sendiri ada bayi berusia setahun lapan bulan. Jadi bila tengok mayat bayi itu ia sangat menyentuh naluri keibuan saya,” katanya.


Wartawan Harian Metro yang berada di lokasi kejadian turut melihat pasukan forensik mengambil sehelai rambut dipercayai milik suspek untuk membantu siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 9.15 pagi.


Mohamad berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu komuter itu mula memandu kereta api itu dari Pelabuhan Klang kira-kira jam 5.35 pagi menuju ke Batu Caves dan tiba di stesen Batu Caves pada jam 7.15 pagi sebelum kembali ke Pelabuhan Klang.


“Kami percaya mayat bayi berkenaan dibuang ketika komuter itu dalam perjalanan pulang ke Pelabuhan Klang. Siasatan awal mendapati tiada saksi melihat bagaimana bungkusan plastik hitam itu boleh berada di bawah tempat duduk penumpang,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.


Menurutnya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya di balai polis.


http://www.hmetro.com.my/articles/Menggigillihatbayi/Article

Saturday, February 26, 2011

Siswi tunggang motor 300km

Siswi tunggang motor 300km

Oleh Salman Hamat
am@hmetro.com.my

PONTIAN: Misteri ibu kepada bayi yang ditemui dalam mangkuk tandas di stesen minyak di Jalan Api-Api di sini, Ahad lalu, terbongkar selepas polis menahan seorang pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di rumah keluarganya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi berkata, gadis berusia 20-an itu ditahan selepas pihaknya mendapatkan gambarannya daripada pekerja stesen minyak berkenaan tidak lama selepas penemuan mayat bayi terbabit.

“Hasil maklumat, lokasi kediamannya dikesan dan kami ke sana jam 9 malam Rabu lalu, sebelum menahannya bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati gadis itu melahirkan bayi lelaki berkenaan di dalam tandas rumah sewanya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan,” katanya, semalam.

Menurut Zahaliman, siasatan mendapati pelajar tahun akhir itu menunggang motosikal seorang diri sejauh kira-kira 300 kilometer dari rumah sewanya untuk ke stesen minyak berkenaan.

Beliau berkata, gadis terbabit bimbang rahsianya melahirkan anak terbongkar dan nekad untuk cuba menutup perkara terbabit.

“Siasatan mendapati bayi itu dipercayai meninggal dunia sehari selepas dilahirkan, gadis terbabit kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi, sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian jam 9 malam Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan berusia 72 tahun terkejut apabila terjumpa mayat bayi di dalam tandas sebelum memaklumkannya kepada pekerja stesen minyak itu.

Polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati bayi yang dibungkus dengan kain berkenaan sudah meninggal dunia.


http://www.hmetro.com.my/articles/Siswitunggangmotor300km/Article

Wednesday, February 23, 2011

Pengawal terkejut jolok mayat bayi

KEJAM...anggota polis membawa mayat bayi yang ditemui di atas pam tandas.
KEJAM...anggota polis membawa mayat bayi yang ditemui di atas pam tandas.

PONTIAN: Seorang pengawal keselamatan mahu membuang air kecil terkejut menemui mayat bayi lelaki diselimuti tudung dan selendang di atas pam tandas sebuah stesen minyak di Jalan Pontian-Benut, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Abdullah Kasek, 72, berkata, dia terpandang objek terkulai di atas pam itu sebelum mengambil kayu untuk menjolok.


“Biasanya, sebelum memulakan tugas, saya akan memeriksa kawasan sekeliling bagi memastikan dalam keadaan baik termasuk tandas.

“Ketika masuk ke tandas untuk membuang air kecil, saya terpandang objek mencurigakan dan cuba menjolok sebelum terkejut apabila ia mayat bayi yang cukup sifat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Warga emas itu keluar dan memaklumkan penemuan itu kepada kakitangan wanita stesen berkenaan sebelum orang awam menghubungi polis.


“Saya tidak sangka ada manusia berperangai lebih keji daripada haiwan di muka bumi ini, jangan diperlakukan bayi tidak berdosa itu sedemikian rupa,” katanya.

Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, dia mendapati mayat bayi itu dalam keadaan bersih.


“Tiada kesan darah, malah tali pusatnya sudah dipotong dan saya berharap polis mengheret individu terbabit ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Daerah Polis Pontian ketika dihubungi mengesahkan kes terbabit.


“Pegawai kami dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan termasuk kemungkinan bayi lelaki itu sudah meninggal dunia di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di atas pam tandas berkenaan.


“Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Pontian (HP) untuk dibedah siasat,” katanya.


Jurucakap itu berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih mengumpul maklumat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak itu.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pengawalterkejutjolokmayatbayi/Article/index_html

Monday, February 21, 2011

Mayat bayi dalam plastik

Mayat bayi dalam  plastik

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

DI SINI...lokasi bungkusan plastik (kanan) mengandungi mayat bayi lelaki (atas) yang ditemui seorang pemancing.
DI SINI...lokasi bungkusan plastik (kanan) mengandungi mayat bayi lelaki (atas) yang ditemui seorang pemancing.

PETALING JAYA: Seorang pemancing yang mengambil dan membuka satu bungkusan beg plastik yang ditemui di tebing Sungai Kayu Ara, di sini untuk dijadikan bekas mengisi hasil tangkapannya terkejut apabila mendapati ia mengandungi mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat serta sudah berbau busuk, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, bayi lelaki cukup sifat ditemui dalam beg plastik berwarna putih yang disimpul rapi dan dipercayai dibuang di tebing sungai itu dalam tempoh 24 jam lalu.

Mohd Rizal Ramli yang sering memancing di sungai berhampiran Sri Pentas TV3, Bandar Utama itu tidak mengesyaki bungkusan berkenaan mengandungi mayat bayi walaupun ia berbau busuk dan dikerumuni lalat.

“Bayi berkenaan dibungkus dengan empat beg plastik. Tiga lapisan pertama beg plastik putih dan ketika membuka lapisan terakhir plastik berwarna hitam saya terperanjat melihat ada bayi didalamnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed yang turut meninjau lokasi penemuan mayat bayi itu berkata, bayi terbabit dipercayai sudah mati agak lama kerana sudah berbau, namun dipercayai dibuang dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui.

Menurutnya, tiada kecederaan ditemui pada tubuh bayi malang yang berkulit agak cerah itu dan ia dilahirkan cukup sifat.

“Kita percaya bayi itu sudah mati terlebih dulu sebelum dimasukkan ke dalam plastik berkenaan dan dibuang ke tebing sungai. Mayat bayi itu akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.

Arjunaidi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu dalam kejadian berasingan kelmarin, seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di hadapan rumah seorang penduduk di Kampung Labohan Dagang, Banting, awal pagi kelmarin.

Ketika ditemui kira-kira jam 6.45 pagi itu, bayi itu dipercayai baru dilahirkan.

Bayi itu dibawa pemilik rumah berkenaan ke Hospital Banting untuk rawatan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Mayatbayidalamplastik/Article

Sunday, January 30, 2011

Mayat bayi dicampak dalam longkang


MAYAT bayi lelaki yang masih mempunyai tali pusat dan uri ditemui di dalam longkang di Ayer Hitam, Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT - Penduduk Taman Mekar, Ayer Hitam dekat sini gempar apabila mayat seorang bayi lelaki lengkap dengan tali pusat dan uri ditemui di dalam longkang berair yang masih dalam pembinaan di kawasan perumahan tersebut pagi semalam.

Mayat bayi itu ditemui seorang pekerja kontrak, Hamid Marsuki, 43, pada pukul 8.10 pagi ketika hendak memulakan tugas membina tembok rumah dan longkang di Jalan Mekar 5 di taman tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Berderau darah

Oleh IBRAHIM ISA
ibrahim@hmetro.com.my

BATU PAHAT: “Berderau darah saya apabila melihat sekujur tubuh bayi dengan kesan darah di dalam longkang yang belum siap sedalam hampir setengah meter.

“Apabila menghampiri longkang berkenaan, saya dapati bayi lelaki itu dalam keadaan bogel dan mengereng, lengkap dengan tali pusat dan uri yang belum dipotong,” kata pekerja kontrak, Hamid Marsuki, 43 yang menemui mayat itu dalam longkang yang masih dalam pembinaan di sebuah rumah di Jalan Mekar 5, Taman Mekar, Ayer Hitam, dekat sini, semalam.


Menurut Hamid, dia merasakan ibu bapa bayi berkenaan mungkin membuang bayi itu pada lewat malam atau awal pagi semalam kerana pada jam 8 pagi hingga 10 pagi kelmarin, mereka masih menjalankan tugas membina longkang dan tembok rumah di kawasan itu.

Mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan itu disyaki dibuang tanpa belas kasihan apabila ibu bapa bayi tidak membalut kain pada bayi itu dan meletakkannya ke dalam longkang yang mengalirkan air.


Keadaan itu menyebabkan bayi berkenaan maut dipercayai akibat kesejukan atau lemas akibat air di dalam longkang.


Hamid berkata, dia melihat mayat bayi itu pada kira-kira jam 8.10 pagi ketika ingin menyambung semula tugas pembinaan longkang di kawasan rumah berkenaan.

Menurutnya, sejurus melihat jenazah berkenaan dia terus menghubungi balai polis berhampiran sebelum sepasukan polis menjalankan siasatan dan mengambil mayat bayi untuk siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Katanya, mayat bayi lelaki cukup sifat itu ditemui dengan tali pusat serta uri belum dipotong dan dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat.


Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat, pihaknya percaya bayi itu dibuang dalam tempoh 24 jam lalu dan tiada kecederaan lain ditemui padanya.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan cuba membuang bayi, di mana jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


“Berikutan itu, sesiapa yang tahu atau melihat kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011013004322320110130043223/Article/index_html

Thursday, January 27, 2011

Nasib bayi tak dibaham anjing

Nasib bayi tak dibaham anjing

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

LAWAT...Zuliana (kiri) melihat bayi  yang ditinggalkan di  parkir HTJS, semalam.
LAWAT...Zuliana (kiri) melihat bayi yang ditinggalkan di parkir HTJS, semalam.

SEREMBAN: “Nasib baik saya cepat sampai, jika tidak entah apa nasib bayi itu kerana ada anjing berkeliaran di situ,” kata anggota tentera, Nuramsya Adam Hadri, 22, yang menemui seorang bayi perempuan ditinggalkan atas bonet kereta di tempat letak kenderaan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), kira-kira jam 8.15 malam kelmarin.

Nuramsya Adam berkata, selepas menunggu seketika dia membawa bayi itu ke pondok keselamatan hospital berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Nuramsya berkata, dia ke keretanya yang diletakkan berhampiran Pusat Rawatan Dialisis untuk pulang ke rumah selepas melawat isteri dan anak dimasukkan ke hospital kerana demam panas.

“Sebaik tiba berhampiran kereta, saya terdengar tangisan bayi lalu melakukan pemeriksaan sebelum melihat bayi perempuan di atas bonet Perodua Kancil.

“Pada mulanya saya sangka ia ditinggalkan ibunya untuk sementara waktu di situ,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam kelmarin.

Menurutnya, dia membawa bayi itu ke pondok pengawal dan dinasihatkan menghantar ke hospital sebelum membuat laporan di pondok polis berhampiran.

Ketua Puteri Umno Bahagian Rembau, Zuliana Mohd Ridzuan turut melawat bayi malang itu di HTJS.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai penemuan bayi berkenaan.

“Ketika ditemui bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu berada dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di HJTS untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

http://www.hmetro.com.my/articles/Nasibbayitakdibahamanjing/Article

Bayi Perempuan Dua Hari Dibuang Di Hospital Seremban

Rabu Januari 26, 2011

SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia dua hari ditemui berhampiran tempat letak kereta Hospital Tuanku Jaafar, di sini malam Selasa.

Bayi perempuan yang lengkap berpakaian dan dibalut dengan kain batik itu ditemui seorang anggota tentera pada pukul 8.15 malam.

Turut diletakkan bersama bayi yang masih mempunyai tali pusat itu ialah senaskah Surah Yasin, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya bayi itu berketurunan Melayu.

"Bayi seberat 2.3 kilogram itu kini ditempatkan di Wad Rawatan Khas Hospital Tuanku Jaafar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2011/1/26/mstar_jenayah/20110126195601&sec=mstar_jenayah

Saturday, January 22, 2011

Bayi ditemui dalam beg

Oleh Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my

TANJUNG MALIM: “Saya tidak dapat bayangkan nasib bayi lelaki ini jika dia lewat ditemui kerana banyak anjing liar berkeliaran di sini,” kata R Retinadevi, 25, yang menemui bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan di hadapan sebuah klinik swasta di Nombor 11, Jalan Chong Ah Peng, malam kelmarin.

Retinadevi yang juga pekerja klinik itu berkata, dia bersama seorang rakan sekerjanya menemui bayi itu dalam sebuah beg pakaian bayi kira-kira jam 9 malam.


“Saya sedang mengemas kini data pesakit apabila dimaklumkan anak pesakit, dia mengesyaki ada bayi ditinggalkan dalam beg di kaki lima depan klinik.

“Saya bersama rakan kemudian keluar dan melihat beg itu. Sebaik membuka beg itu, saya dan rakan sebak melihat seorang bayi lelaki dibungkus sehelai kain sedang nyenyak tidur.


“Saya percaya ia baru dilahirkan beberapa jam sebelum itu kerana tali pusatnya masih ada di perutnya. Saya gembira kerana bayi itu ditemui selamat kerana banyak anjing liar berkeliaran sekitar kawasan ini,” katanya.


“Saya bersetuju dengan iklan ditayangkan di sebuah stesen tempatan mengenai kes pembuangan bayi yang mengatakan dalam dunia haiwan tiada manusia tapi dalam dunia manusia terdapat haiwan.

“Kejadian malam tadi (kelmarin) membuktikannya, malah saya menangis ketika mendukung bayi itu kerana ia begitu comel dan langsung tidak berdosa. “Dia tidur dengan nyenyak dan hanya menangis setengah jam kemudian kerana lapar,” katanya sambil menambah, selepas doktor di klinik melakukan pemeriksaan, bayi itu kemudian dihantar ke Balai Polis Tanjung Malim.


Sementara itu, Ketua Polis Tanjung Malim, Superintendan Mohd Ali Mat Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan bayi lelaki terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayiditemuidalambeg/Article/index_html

Monday, January 17, 2011

Menggigil jumpa mayat

Menggigil jumpa mayat

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

PUCAT LESI...Masni dan Tina  jumpa mayat bayi hanyut ketika mandi.
PUCAT LESI...Masni dan Tina jumpa mayat bayi hanyut ketika mandi.

JOHOR BAHRU: Umpama nampak hantu, dua kanak-kanak perempuan menggeletar dan menangis selepas mendapati beg plastik hanyut di sungai yang mereka buka mengandungi mayat bayi dipercayai baru dilahirkan, bukan daging lembu seperti mereka sangka.

Dalam kejadian di tebing Sungai Danga di perkampungan Orang Asli, Kampung Bakar Batu, Taman Perling di sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam, Tina Paizal dan Masni John, kedua-duanya berusia sembilan tahun sedang mandi sebelum terlihat satu bungkusan beg plastik mencurigakan di tebing sungai.


Mereka menghampiri bungkusan plastik itu kerana menyangka ia mengandungi barangan berharga sebelum mendapati ia berisi benda seakan-akan daging.

Namun, mereka terkejut besar sebaik membuka beg plastik apabila nampak telinga bayi berkenaan, lalu terus berlari ke rumah dalam keadaan ketakutan.


“Saya ingat daging lembu, rupa-rupanya benda lain. Oleh kerana takut, kami terus berlari pulang ke rumah,” kata Masni yang masih trauma dengan kejadian itu.


Sementara itu, ibu Tina, Merah Lat, 28, pula berkata dia curiga dengan kelakuan anaknya yang pucat lesi dan menggeletar sebelum dimaklumkan penemuan mayat bayi berkenaan.

“Sejurus sampai di rumah, mukanya pusat lesi dan badannya menggeletar ketakutan seperti ternampak hantu. Saya menenangkannya dan beberapa minit kemudian dia menceritakan apa sebenarnya berlaku.


“Kami ke lokasi kejadian dan mendapati dakwaan anak saya itu benar sebelum saya menghubungi polis,” katanya, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi berkenaan yang dipercayai perempuan dan masih lagi bertali pusat. “Mayat bayi itu dibungkus dengan surat khabar dan dimasukkan ke dalam plastik berwarna kuning sebelum dibuang ke dalam sungai.


“Polis tidak menemui sebarang kesan cedera pada mayat bayi itu yang sudah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Menggigiljumpamayat/Article

Wednesday, January 12, 2011

Mayat bayi perempuan ditemui di tempat pembuangan sampah

KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di tempat pembuangan sampah di Jalan Hamzah, Kampung Baru di sini hari ini.

Mayat bayi yang lengkap berpakaian itu ditemui pada 10 pagi oleh seorang suri rumah, Supik Satun, 43, dalam sebuah kotak di hadapan rumahnya, ketika beliau hendak membuang sampah.

"Pada mulanya saya ingatkan dalam kotak itu sampah tetapi selepas membukanya saya dapati mayat seorang bayi perempuan. Terkejut dengan keadaan itu saya lantas memanggil jiran saya yang berada di dalam rumah untuk menentukan sama ada ia bayi atau anak patung," katanya kepada Bernama.

Jiran Supik, Suntari Manaf, 46, berkata beliau segera ke tempat pembuangan sampah itu selepas dipanggil oleh wanita berkenaan.


"Saya yang diberitahu ada bayi pada mulanya tidak percaya dengan perkara tersebut, namun selepas melihatnya akhirnya saya terkejut dan segera menelefon polis," kata Suntari, yang bekerja sebagai pemandu teksi.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi berkata pihaknya ada menerima laporan mengenai kes tersebut.

Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis sedang mengesan ibu bapa bayi berkenaan. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/Mayatbayiperempuanditemuiditempatpembuangansampah/Article

Monday, January 10, 2011

Gadis mengaku bayi jatuh di lubang tandas

KUALA LUMPUR: Misteri seorang gadis yang dibawa ahli keluarganya dalam keadaan berlumuran darah ke hospital bagi mendapatkan rawatan membongkar tindakan mangsa yang baru bersalin anak luar nikah di dalam tandas di rumahnya.

Lebih mengejutkan apabila gadis berusia 28 tahun terbabit membuat pengakuan bayi yang dilahirkan itu bagaimanapun terjatuh ke dalam lubang tandas sebelum dia menarik pam air di tandas berkenaan.


Sumber polis berkata, berdasarkan siasatan awal gadis terbabit yang mengandung tujuh bulan cuba melahirkan bayi tidak cukup bulan terbabit di rumahnya di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini, awal pagi kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang mengalami pendarahan serius bagaimanapun diselamatkan ahli keluarganya sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan.


“Bagaimanapun, doktor mendapati pendarahan terbabit berpunca dari rahim mangsa akibat melahirkan bayi tidak cukup bulan. Susulan itu, pihak hospital membuat laporan polis.


“Hasil soal siasat dilakukan mangsa mengaku baru melahirkan bayi yang masih dalam keadaan janin. Bagaimanapun, gadis terbabit mendakwa janin itu terjatuh ke dalam lubang tandas sebelum dia menarik pam air menyebabkan janin itu dipercayai mengalir ke arah pembetungan,” katanya.

Menurutnya, susulan itu polis Forensik dibantu anggota Bomba dan Penyelamat bergegas ke rumah gadis terbabit untuk mengesan mayat bayi berkenaan.


“Usaha mengesan mayat terbabit bagaimanapun buntu berikutan gagal menemui bukti. Berikutan itu, polis mengesyaki gadis terbabit mungkin memberi maklumat palsu.

“Ada kemungkinan bayi itu dibuang ke anak sungai di belakang rumahnya yang mengalir ke Sungai Klang. Jika itu berlaku, usaha mengesan mayat bayi terbabit lebih sukar,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid yang dihubungi berkata, polis masih gagal menemui mayat bayi itu walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan.


Menurutnya, polis akan mengambil keterangan gadis terbabit selain mengenal pasti teman lelakinya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gadismengakubayijatuhdilubangtandas/Article/index_html

Sunday, January 9, 2011

Baru seminggu, sudah 7 kes buang bayi

Jan 8, 11 7:58pm

Tahun 2011 baru seminggu membuka tirainya tetapi dalam tempoh itu tujuh kes buang bayi dilaporkan.

Angka itu perlu diberi perhatian serius dan bimbang dengan gejala yang berterusan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kerajaan akan memperhebatkan kempen kesedaran dalam usaha menyekat gejala itu daripada berlarutan.

"Kerajaan komited terhadap usaha membanteras perbuatan membuang bayi yang kini menuntut tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Kami Prihatin' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Kempen itu adalah untuk mencetuskan rasa keinsafan dan menebalkan kembali nilai kemanusiaan di kalangan masyarakat dalam usaha menangani kes penderaan kanak-kanak dan buang bayi.

Shahrizat berkata kementerian akan terus mendekati golongan remaja hingga ke peringkat akar umbi selain mempergiatkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam menjalankan kempen kesedaran mendidik masyarakat.

Beliau berkata media massa dan badan-badan agama juga perlu terus memainkan peranan yang lebih kritikal bagi membendung gejala itu.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/152859

Friday, January 7, 2011

Tanam janin waktu malam

KOTA KINABALU: Kecurigaan dua sahabat melihat kelibat dua manusia menyiram air selepas menanam sesuatu di kawasan lapang di Pusat Komersial Salut di sini, malam kelmarin membongkar satu lagi cubaan menyembunyikan janin akibat pengguguran haram yang dipercayai dilakukan pasangan terlanjur.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Noor Mohamad Mat, 23, dan Pance Fransisu, 22, yang kebetulan berada tidak jauh dari lokasi kejadian itu tidak menyangka kehadiran seorang lelaki dan wanita di kawasan lapang itu untuk mengebumikan janin bayi yang dipercayai berusia lima bulan itu.


Noor Mohamad berkata, ketika itu dia dan rakannya melepak di kawasan berkenaan dan pada awalnya dia menyangka pasangan berkenaan menanam bangkai haiwan peliharaan kesayangan mereka.

“Ketika itu saya melihat seorang lelaki dan seorang wanita bertudung dalam keadaan mencangkung menggali tanah dan menimbusnya semula sebelum membuang sebuah kotak kecil ke kawasan berhampiran.


“Lelaki berkenaan dilihat terus ke kereta Proton Iswara mengambil sebotol air dan menyiramnya ke atas tanah yang digali itu sebelum diikuti wanita terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Menurutnya, pasangan berkenaan dilihat beredar ke sebuah restoran untuk menjamu selera sebelum meninggalkan kawasan berkenaan tidak lama kemudian.

“Sebaik yakin mereka sudah beredar, saya dan rakan tergerak untuk menyiasat apakah sebenarnya dilakukan pasangan berkenaan di kawasan lapang di situ kerana kami bertambah curiga apabila mendapati kotak yang dibuang pasangan berkenaan ada kesan darah.


“Pance memberanikan diri menggali semula tanah itu dan kami terkejut apabila mendapati satu bungkusan kain putih yang tertanam di dalam lubang itu mengandungi janin,” katanya.

Mengesyaki perkara itu ada kaitan dengan cubaan menyembunyikan pengguguran haram, mereka menghubungi Balai Polis Manggatal untuk tindakan selanjutnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan janin bayi terbabit.


Katanya, polis sedang giat mengesan kenderaan yang dinaiki pasangan mencurigakan itu dan percaya kejadian ada kaitan dengan cubaan menyembunyikan pengguguran janin secara haram.


“Janin dipercayai berusia lima bulan itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat dan kami melakukan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.


“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta memberi kerjasama bagi mengesan suspek atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu 088-242111,” katanya.


Dua hari lalu, Harian Metro melaporkan penemuan janin berusia enam bulan di tempat pembuangan sampah tidak jauh dari lokasi penemuan terbaru kelmarin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tanamjaninwaktumalam/Article/index_html

Wednesday, January 5, 2011

Tinggal bayi bawah pokok

Tinggal bayi bawah pokok

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Shamsul Munir Safini

DI SINI...Norabiatul menunjukkan lokasi bayi malang berkenaan dibuang.
DI SINI...Norabiatul menunjukkan lokasi bayi malang berkenaan dibuang.

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki dipercayai berusia enam hari ditemui masih bernyawa dalam sebuah beg galas berwarna hitam ditinggalkan di bawah pokok di luar pagar sebuah sekolah rendah di Persiaran Titiwangsa di sini, semalam.

Difahamkan, bayi malang itu ditinggalkan di kawasan berkenaan lebih sejam sebelum ditemui orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, bayi lelaki terbabit terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan hampir lemas kerana ditinggalkan dalam beg galas yang tertutup, namun keadaannya kini dilaporkan stabil.

Saksi kejadian, Norabiatul Adawiyah Yunus, 23, berkata ketika kejadian, dia dan rakannya, Nizul Ahmad, 21, baru pulang dari tempat kerja apabila ternampak sebuah beg galas ditinggalkan di bawah pokok di luar pagar sekolah berkenaan.


“Curiga dengan keadaan beg itu, saya kemudian meminta Nizul melakukan pemeriksaan. Sebaik membuka beg galas itu, kami mendapati kandungannya adalah tuala putih sebelum segera meletakkannya semula.


“Sebaik meletakkan beg itu, kami terdengar suara bayi menangis membuatkan kami terkejut dan berpandangan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini semalam.

Katanya, dia dan Nizul kemudian membuka semula beg galas itu sebelum terkejut apabila mendapati seorang lelaki bayi cukup sifat berada dalam beg berkenaan.

“Keadaan bayi itu agak lemah menyebabkan kami segera menahan beberapa kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu untuk mendapatkan bantuan tetapi gagal.

“Kami bernasib baik apabila sebuah kenderaan polis kebetulan melalui kawasan itu.

“Sebaik menahan kenderaan itu, kami segera memaklumkan penemuan berkenaan dan anggota polis terbabit segera menghubungi pihak berkaitan,” katanya.

Sebuah ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian sebelum bayi lelaki itu dihantar ke HKL untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Saya berbangga dengan keberanian dan keprihatinan kedua-dua saksi kejadian yang bertindak pantas memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

“Tindakan mereka berjaya menyelamatkan satu nyawa. Saya berharap tindakan mereka akan menjadi contoh kepada orang ramai,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan menyeluruh bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.

Oleh itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui atau ada maklumat mengenai kejadian berkenaan agar menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tinggalbayibawahpokok/Article

Bayi lelaki masih bernyawa ditemui





SHAH ALAM – Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ditemui di dalam sebuah beg di sebuah jalan di Tasik Titiwangsa, berhampiran Istana Budaya, di sini, semalam.

Lebih menyedihkan, bayi yang hanya dibalut dengan sehelai kain putih itu ditinggalkan di kawasan terpencil.

Bayi malang yang lahir tidak cukup bulan itu ditemui seorang wanita berusia 23 tahun, kira-kira jam 1.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad (gambar) berkata, sebelum itu, wanita tersebut curiga dengan isi kandungan beg berwarna hitam yang dilihat seakan-akan bergerak.

Katanya, wanita itu kemudiannya meminta bantuan polis bantuan Pos Malaysia yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Beliau berkata, wanita dan polis bantuan itu seterusnya membawa bayi tersebut ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Doktor yang merawat bayi itu memaklumkan bayi tersebut lahir tidak cukup bulan, berusia enam hingga tujuh bulan.

“Bayi itu dilaporkan stabil dan masih diberi rawatan rapi,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian, semalam.

Katanya, bayi seberat satu kilogram dan tidak diketahui identitinya itu dipercayai baru dilahirkan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi balai berdekatan bagi membantu siasatan.

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8585661.asp

Tuesday, January 4, 2011

Remaja ditahan

SERIAN: Misteri penemuan janin dalam tangki pam tandas wanita di Hospital Serian petang Jumaat lalu terjawab selepas polis berjaya menahan seorang remaja dipercayai ibu kepada janin malang terbabit, pagi semalam.

Remaja berusia 15 tahun yang berkahwin pada pertengahan Julai tahun lalu itu ditahan di sebuah rumah di sini, hasil siasatan polis dan maklumat penduduk kampung.

Difahamkan, siasatan awal polis mendapati suspek melakukan perbuatan itu pada 27 Disember lalu ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kandungan sebelum mengadu sakit perut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011010401470620110104014706/Article/index_html

Monday, January 3, 2011

Sumbat janin dalam tangki

SERIAN: Perasaan curiga seorang tukang cuci melihat tangki pam tandas wanita di Hospital Serian di sini dalam keadaan tidak tertutup rapat membawa kepada penemuan mayat janin yang disumbat ke dalam tangki itu, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, tukang cuci terbabit berasa curi apabila melihat tangki pam tandas yang dicucinya dalam keadaan terbuka, lalu cuba menutupnya. Namun, sebaik saja mengangkat penutup tangki pam itu, dia terkejut apabila melihat mayat janin dalam keadaan terperosok akibat disumbat ke dalam tangki itu.


Tukang cuci wanita berkenaan segera memaklumkan penemuan janin itu kepada kakitangan hospital sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi, ketika dihubungi semalam berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati janin seberat satu kilogram itu dipercayai dilahirkan dalam tandas terbabit sebelum disumbatkan ke dalam tangki pam berkenaan.


“Kami percaya ibu bayi terbabit cuba menyembunyikan kelahiran dengan menyumbat janinnya ke dalam tangki pam tandas bagi mengelak diketahui keluarga,” katanya.


Menurutnya, janin berkenaan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan polis sedang menjejaki individu bertanggungjawab.

“Polis turut menyemak senarai nama pesakit memasuki wad bersalin untuk mencari suspek perbuatan keji ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sumbatjanindalamtangki/Article/index_html

'Saya sangka kaki anak patung'

SRI AMAN: “Saya sangka ia kaki anak patung, tetapi apabila diperiksa hati saya jadi sayu dan marah apabila mendapati ia sebenarnya mayat bayi lelaki,” kata seorang penduduk Kampung Triso, Meludam, di sini, Khamis lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 35, dia mengakui amat geram dan marah terhadap pihak tidak bertanggungjawab membuang bayi berkenaan di situ selepas melihat bayi yang tidak bersalah itu dalam keadaan reput dan dihurung semut di tapak pelupusan sampah itu.


Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, dia ke tapak pelupusan yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk membuang sampah sebelum ternampak kaki mirip anak patung terkeluar dari satu bungkusan di timbunan sampah terbabit.

“Kerana curiga, saya memeriksa plastik sampah itu dan terkejut mendapati ia mengandungi mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat.


“Keadaan mayat bayi itu cukup menyedihkan kerana seluruh badannya lebam dan kehitaman akibat terkena kotor sampah selain dihurung semut,” katanya.


Terkejut dengan penemuan itu, Ahmad segera memanggil beberapa penduduk kampung ke tapak pelupusan berkenaan sebelum menghubungi Balai Polis Meludam.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bayi lelaki yang masih bertali pusat itu disahkan meninggal sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ditemui.


Katanya, berikutan penemuan terbabit pada 30 Disember lalu, polis melakukan siasatan untuk mencari individu yang bertanggungjawab dan menahan dua suspek di rumah masing-masing di kampung terbabit, petang Jumaat lalu.

“Suspek wanita berusia 21 tahun ditemui lemah selepas tidak sampai seminggu melahirkan bayi manakala seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan di rumahnya tidak jauh dari rumah suspek pertama.


“Suspek lelaki sudah berkahwin dan menjalinkan hubungan sulit dengan suspek perempuan sebelum kekasihnya itu melahirkan anak luar nikah seorang diri,” katanya.


Mat Jusoh berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bayi berkenaan masih hidup ketika dibuang di tapak pelupusan sampah, namun disebabkan kawasan berkenaan agak jauh dari kampung, tiada penduduk yang menemuinya lebih awal.


“Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat,” katanya.


Manakala, dua suspek terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayatnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayasangkakakianakpatung/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...