Showing posts with label Imam - Bilal - Siak. Show all posts
Showing posts with label Imam - Bilal - Siak. Show all posts

Friday, August 19, 2011

'Imam BERSIH' dakwa isu khutbah sengaja ditimbulkan

Jimadie Shah Othman
Ogos 18, 11
1:56pm

Imam sebuah masjid di Gelang Patah yang digantung kerja selepas ditahan dalam perhimpunan BERSIH 2.0 mempertikaikan alasan yang diberikan Majlis Agama Islam Jojor (MAIJ) berhubung tindakan itu.

Hassan Md Said (bawah), 40, mengesyaki alasan berkenaan bacaan khutbahnya sengaja ditimbulkan untuk menghalalkan tindakan menggantungnya.

NONE"Mereka boleh kata (penggantungan) berkenaan khutbah, sedangkan semua orang kampung kata penggantungan saya disebabkan BERSIH.

"Lepas ini saya tak hairanlah kalau alasan lain keluar sama. (Contohnya) kata saya tidak datang mesyuaratlah," katanya sinis.

Penasihat MAIJ Datuk Noh Gadut dilaporkan berkata, penggantungan seorang iman baru-baru ini dibuat atas kesalahan tidak membaca teks khutbah yang disediakan majlis itu.

Tanpa menyebut nama Hassan, Noh berkata tindakan diambil terhadap imam tersebut "untuk mengundurkan diri dan ditarik balik pentauliahannya", lapor Sinar Harian hari ini.

Bekas mufti Johor itu juga dilaporkan berkata, tindakan terpaksa diambil kerana MAIJ telah beberapa kali menasihati dan memberikan banyak peluang tetapi kesalahan itu masih berulang.

'Saya bukan Mat Sabu'

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hassan - imam utama Masjid Ladang - menafikan tidak membaca khutbah yang disediakan sebaliknya hanya "menyesuaikan" dengan masalah isu setempat di kampungnya.

"Khutbah ini kadang-kadang tidak semasa dan tidak sesuai dengan tempat. Kampung saya ini kampung nelayan. Masalah orang sini masalah akidah. Di sini muktazilah, Syiah, Wahabi semua ada. Khutbah saya kenalah menyentuh perkara ini," katanya.

azlanMenurutnya lagi, beliau sudah lebih sepuluh tahun mengambil tindakan itu tetapi tiada sebarang teguran dibuat oleh pihak majlis atau pegawainya di peringkat daerah yang dilantik.

"Kenapa sekarang baru isu khutbah ini muncul? Kenapa tidak dua tahun lalu. Betullah saya kata, majlis agama ini tidak profesionallah. Saya sekarang ini kalau dipecat pun saya redalah," katanya.

Ditanya sama ada beliau mengkritik kerajaan dalam khutbahnya, Hassan menafikannya dengan alasan "saya bukan (timbalan presiden PAS) Mat Sabu".

"Saya juga bukan hendak main politik atau hendak jatuhkan kerajaan. Cuma saya ini bukan macam imam-imam lain yang ikut saja, (mereka) bila orang datang hendak kena tabik," katanya.

Hassan - bapa kepada dua anak - itu digantung kerja tiga bulan sehingga 2 November atas alasan "melanggar beberapa arahan" majlis agama negeri, yang dikeluarkan melalui Pejabat Kadi Johor Bahru.

Hassan percaya tindakan itu susulan beliau antara hampir 1,700 orang yang ditangkap polis pada 9 Julai lalu. Beliau menafikan menyertainya, sebaliknya hanya menziarahi saudara dan melawat ibu negara.

Pengidap kencing manis serius itu percaya elaun bulanan RM750 terhadapnya juga dibekukan, sekali gus menyebabkan pesakit kencing manis serius itu hilang mata pencarian.


http://malaysiakini.com/news/173390

Wednesday, August 17, 2011

Imam kecewa selepas ditangkap dalam BERSIH

Imam kecewa selepas ditangkap dalam BERSIH
Jimadie Shah Othman
Ogos 16, 11
3:35pm


Imam sebuah masjid di Gelang Patah yang digantung kerja selepas ditahan dalam perhimpunan BERSIH 2.0 kini "berpatah arang dan berkerat rotan" dengan Jabatan Agama Johor (JAJ) yang mengeluarkan arahan itu.

NONEImam kecewa itu - Hassan Md Said - membayangkan tidak mahu lagi berkhidmat dengan JAJ selepas tamat tempoh penggantungan tiga bulannya pada 2 November depan.

"Saya berdakwah cara lainlah pula. Saya amat kecewa mereka buat cara macam ini dengan saya.

"Saya sudah 14 tahun berkhidmat sebagai imam tetapi macam tidak dihargai. Jabatan agama (JAJ) ini tidak profesional langsung," kata imam bertauliah di Masjid Ladang itu.

Hassan, 40, mendakwa menerima surat makluman penggantungan tiga bulan dari Pengarah JAJ Elias Hasran bermula 2 Ogos kerana "melanggar beberapa arahan" majlis agama negeri, yang dikeluarkan melalui Pejabat Kadi Johor Bahru.

Walaupun tidak disebut secara jelas, Hassan percaya elaun bulanan RM750 yang diterimanya akan dibekukan, sekali gus menyebabkan pesakit "kencing manis serius" itu hilang mata pencarian.

Hassan percaya tindakan itu susulan beliau antara hampir 1,700 orang yang ditangkap polis pada 9 Julai lalu. Beliau menafikan menyertai itu sebaliknya hanya datang menziarahi saudara dan melawat ibu negara.

Dipandang serong penduduk kampung

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hassan menyifatkan tindakan JAJ menggantungnya tanpa alasan jelas sebagai tidak profesional dan tidak berbudi bahasa.

Menurutnya lagi, tindakan jelas itu menyebabnya dipandang serong oleh masyarakat sehingga ada yang menyangkanya terlibat dalam perbuatan jenayah.

NONE"(Kesannya) sekarang orang datang belajar mengaji (dengan saya) pun sudah kurang," katanya bapa kepada empat orang anak - dua darinya berumur setahun dan dua tahun serta masih menyusu botol.

Ditanya keadaan kewangannya sekarang, Hassan berkata beliau dalam keadaan "defisit", tambahan lagi dengan keadaan di mana harga barang semuanya mahal.

"Kami berkeluarga di sini agak daif. Rumah pun tidak ada dan cuma menyewa dekat masjid... Susahlah lepas ini, sewa pun tak lepas," katanya.

Usaha Malaysiakini mendapatkan komen pengarah JAJ setakat ini belum berhasil.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, Hassan turut disekat dari mendapat surat tauliah sebagai pegawai amil zakat fitrah bagi penduduk Kampung Ladang biarpun lulus ujian saringan.

"Difahamkan, sewaktu beliau ingin mengambil tauliah tersebut pada masa yang telah ditetapkan, pegawai JAJ yang bertugas menyatakan penangguhan pemberian tauliah kepada beliau dan terpapar dalam senarai nama penerima tauliah bahawa namanya telah ditandakan merah," laporan itu dipetik.


http://malaysiakini.com/news/173173

Sunday, August 14, 2011

Imam digantung kerana sertai Bersih 2.0?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Seorang imam bertauliah di kawasan Gelang Patah digantung jawatannya oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) dipercayai kerana beliau menyertai himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Beliau Hassan Md Said, imam masjid Kampung Ladang sudah berkhidmat selama 14 tahun.

Menurut surat yang ditandatangani Pengarah Jabatan Agama Johor, Elias Hasran, penggantungan Hassan bermula pada tarikh 2 Ogos lalu sehingga 2 November 2011.

Tanpa menyatakan kesalahan Hassan dengan jelas, surat itu hanya menyatakan tindakan penggantungan itu kerana Hassan "melanggar beberapa arahan Majlis Agama Islam Johor melalui Pejabat Kadi Daerah Johor Bharu.

Selain penggantungan sebagai imam tersebut, Hassan juga disekat dari mendapat surat tauliah sebagai Pegawai Amil Zakat Fitrah bagi penduduk Kampung Ladang biarpun lulus kedua-dua ujian saringan yang dijalankan.

Difahamkan, sewaktu beliau ingin mengambil tauliah tersebut pada masa yang telah ditetapkan, pegawai JAJ yang bertugas menyatakan penangguhan pemberian tauliah kepada beliau dan terpapar dalam senarai nama penerima tauliah bahawa namanya telah ditandakan merah.

Lebih merumitkan, Hassan juga telah dinafikan haknya untuk menerima elaun bantuan dari Persatuan Nelayan Kampung Gelang Patah yang sepatutnya diterima oleh semua ahli persatuan sejak sekian lama yang bernilai RM 350.

Pada hari himpunan Bersih 2.0 Julai lalu, Hassan adalah antara 1600 peserta himpunan yamg ditangkap pihak polis.

Beliau ditangkap ketika memasuki bandar Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi iaitu sebelum himpunan sebenar bermula kira-kira jam 2 petang.

Biarpun alasan penggantungan beliau tidak dinyatakan ada kaitan dengan himpunan itu, namun maklumat yang diterima dipercayai ianya berkaitan dengan kehadiran beliau ke himpunan Bersih 2.0 itu.

Ekoran penggantungan tersebut juga, elaun beliau sebagai imam juga ditarik.

Kini beliau dan isteri serta empat orang anak, terbeban kerana hilang mata pencarian lebih-lebih lagi berdepan persiapan Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri yang akan tiba.

Lebih malang beliau juga terpaksa mengosongkan rumah ehsan masjid yang didudukinya sekarang dan terpaksa menyewa rumah kediaman baru.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4890-imam-digantung-kerana-sertai-bersih-20

Thursday, February 24, 2011

Mahkamah arah Adun Lenggeng bayar RM18,000

Harakahdaily

SEREMBAN, 24 Feb: Mahkamah Sesyen Seremban hari ini mengarahkan Adun Lenggeng, Mustafa Salim (gambar kiri) membayar sebanyak RM18,000 kepada seorang imam masjid ekoran tindakannya mengeluarkan satu surat yang dikira bersifat fitnah.

Dalam perbicaraan yang ditetapkan hari ini Adun Lenggeng tersebut dengan tanpa pengakuan liabiliti bersetuju membayar imam tersebut.

Pada 12 September 2008 imam tersebut Sungai Machang Hilir, Haji Baharudin Jalu memfailkan saman fitnah ke atas Adun berkenaan atas dakwaan memfitnah beliau melalui surat Adun tersebut kepada pegawai agama Islam, pejabat Agama Islam daerah Seremban bertarikh 16 Juali 2007.

Surat itu juga disalinkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, mantan Adun lenggeng dan Setiausaha JKKK Kampung Sungai Machang.

Dalam surat tersebut antara lain Adun lenggeng tersebut menulis:

"Saya difahamkan bahawa Haji Baharudin bin Jalu yang merupakan imam (ketua pakatan pemecah masyarakat kampung)...

"Di kesempatan ini Haji Baharudin Jalu sebagai manusia rakus dan bodoh sombong bertindak melulu untuk mencapai matlamat nafsu dia terutama kewangan."


Dalam penyata pembelaannya sebelum ini, Adun tersebut menafikan beliau ada mengeluarkan surat tersebut.

Dalam perbicaraan hari ini, imam tersebut diwakili Mohamed Hanipa Maidin manakala Adun Lenggeng itu diwakili Encik Rafizi Zainal Abidin manakala hakim adalah Puan Rosnani.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31033:mahkamah-arah-adun-lenggeng-bayar-rm18000&catid=1:utama&Itemid=50

Saturday, January 15, 2011

RM18,000 tunggakan pegawai masjid tidak bertugas

Fakhri Ali

KEPALA BATAS, 14 Jan: Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) terpaksa menanggung tunggakan pembayaran yang telah dibuat kepada sebahagian besar dari pegawai masjid yang tidak bertugas pada tahun 2010 lalu.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Masjid Jaipp, Ayub Yaakob semasa menyampaikan taklimat beliau dalam majlis penyampaian tauliah kepada pegawai-pegawai masjid seluruh Pulau Pinang di sini semalam.

Katanya lagi, tunggakan yang terpaksa ditanggung oleh pihak jabatan adalah kerana terdapatnya pegawai-pegawai masjid yang terdiri dari imam dan bilal yang tidak bertugas tetapi telah dikreditkan imbuhan ke dalam akaun bank mereka.

"Masalah ini timbul kerana tiadanya kerjasama dari pihak waris dan jawatankuasa kariah masjid untuk memaklumkan kepada pihak jabatan mengenai mana-mana pegawai yang telah meninggal dunia, uzur atau pun telah meletakkan jawatan.

"Apabila perkara ini tidak menjadi satu perkara yang sensitif, akhirnya kerugian dialami apabila jumlah yang telah dikeluarkan sebanyak RM18 ribu itu tidak dikembalikan kepada pihak jabatan," ujarnya lagi.

Walau bagaimana pun katanya, usaha sedang diambil bagi mengatasi masalah tersebut supaya tiada kerugian yang dialami oleh pihak jabatan dan kerajaan negeri.

Manakala bagi bilal dan siak pula, tindakan sedang dilakukan bagi menambah jumlah imbuhan yang diterima.

Buat masa ini bilal di Pulau Pinang hanya menerima imbuhan sebanyak RM180 sebulan sementara itu siak pula menerima imbuhan hanya sebanyak RM200 sebulan.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30356:rm18000-tunggakan-pegawai-masjid-tidak-bertugas&catid=55:negeri-pulau-pinang&Itemid=100

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...