Showing posts with label Adat dan Kepercayaan Kaum. Show all posts
Showing posts with label Adat dan Kepercayaan Kaum. Show all posts

Friday, October 29, 2010

Awan panas: Hidangan ‘Sajen’ jamu roh

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

SEPULUH minit masa di ‘curi’ melihat dengan jelas hingga ke kaki Gunung Merapi cukup menginsafkan diri saya dan bersyukur kerana dilahirkan dan hidup di negara kita yang tidak dikelilingi bencana alam seperti gunung berapi dan gempa bumi.

Melihatkan rumah, pokok serta jalan diselaputi debu letusan gunung berapi itu cukup menggambarkan betapa bahangnya kawasan itu yang dikatakan mencecah melebihi 100 darjah celcius. Pengalaman menaiki motosikal penduduk tempatan yang sanggup memberi ‘bantuan’ membawa hingga ke kaki gunung berkenaan sangat berharga kerana sekurang-kurangnya dapat memberikan gambaran jelas mengenai situasi yang berlaku ketika letusan Gunung Merapi.


Namun, ketika bersama penduduk yang hanya mahu dikenali Alit, 24, masa yang sepatutnya diambil dengan lebih lama itu terganggu apabila petugas yang mengawal di kawasan terbabit tiba-tiba meminta kami turun segera kerana amaran bencana sudah diterima. Takut kemungkinan berlaku perkara buruk, Alit tanpa berlengah memecut motosikal, namun kami sempat singgah di rumah jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan yang mayatnya ditemui dalam keadaan bersujud akibat terkena letusan.


Turun dari kaki Gunung Merapi, saya terus ke penempatan sementara mangsa bencana di sebuah dewan di Desa Kepuharjo kira-kira 7 kilometer dari gunung itu.

Di situ, hati sekali lagi tersentuh melihat ramai warga emas tidur bergelimpangan dalam keadaan cuaca panas.


Namun, dalam keadaan lemah tidak bermaya itu, golongan terbabit tidak lokek senyuman setiap kali ditegur. Bagaimanapun sukar berbicara kerana rata-rata berbahasa Jawa.

Malah, seorang rakan menemani kami, Timbalan Pengerusi Tetap Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI), Mohd Nazaluddin Mat Nazir yang juga bertindak jurubahasa mengakui sukar memahami bahasa warga emas berkenaan. Pada pengamatan saya, penduduk di kawasan ini masih kuat dengan adat dan budaya. Ini dibuktikan pengakuan seorang rakan dikenali ketika menghadiri pengebumian jurukunci, Mbah Maridjan.


Ketika majlis pengebumian itu, saya bertanya mengapa dibawa nasi dalam pinggan dan diberitahu itu adat dan budaya mereka sejak turun temurun dan hidangan itu dipanggil ‘Sajen’ untuk menjamu roh.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Awanpanas_Hidangan__8216_Sajen__8217_jamuroh/Article/index_html

Saturday, June 19, 2010

Isu cagaran wanita Indonesia


TIMOTHY BIRD (kanan) bersama isteri, Ni Nengah Suartini dan anak lelaki William Timothy di kediaman mereka di Jimbaran, Bali selepas mereka berkahwin dua tahun lalu.


KINI bukan bunyi lunak loceng perkahwinan yang bergema di seluruh Indonesia, sebaliknya bunyi penggera keselamatan. Perlambangan itu merujuk kepada cadangan bayaran wang jaminan keselamatan setinggi AS$55,000 (RM180,593) daripada lelaki asing yang mahu mengahwini wanita Indonesia.

Sesetengah bakal pengantin wanita pula mengugut mahu lari ke luar negara dan mengahwini pasangan mereka di sana sekiranya rancangan itu diluluskan kerajaan. Cadangan yang menimbulkan kontroversi itu adalah sebahagian daripada pembaharuan undang-undang perkahwinan yang mahu diperluaskan oleh golongan konservatif.

Pada masa yang sama, lelaki asing mula mempertikaikan sebab mereka menjadi sasaran, walhal berita mengenai golongan itu dieksploitasi wanita mata duitan yang banyak dilaporkan di negara Asia Tenggara ini.

Cadangan itu menuntut lelaki asing yang mahu mengahwini wanita beragama Islam Indonesia agar meletakkan wang cagaran sebanyak 500 juta rupiah (RM178,063). Namun, ia tidak melibatkan wanita penganut agama lain seperti Kristian, Buddha atau Hindu.

Harta sepencarian

Sekiranya berlaku perceraian, isteri akan mendapat wang tersebut namun jika rumah tangga bertahan sekurang-kurangnya selama sedekad, ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian.

Menurut dokumen usul tersebut, peruntukan itu bertujuan melindungi hak wanita dan anak jika suami mengabaikan mereka, gagal memberi nafkah, meninggalkan Indonesia secara rahsia, bercerai atau melakukan sesuatu yang memberi kesan buruk kepada status perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, pasangan yang hangat dilamun cinta menentang keras cadangan itu. "Sangat mengarut. Kerajaan mahu menjual saya," keluh Roslina, 36, seorang pengurus acara yang merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan teman lelakinya dari Jerman, Christopher September ini.

"Bakal suami saya sanggup membayarnya, namun itu bukan isunya. Kami akan berkahwin di luar negara jika usul ini menjadi undang-undang," ujarnya.

Seorang model berusia 24 tahun yang enggan dikenali pula menyatakan dia dan pasangannya yang berasal dari Jerman dilayan secara tidak adil.

"Nampaknya kerajaan tidak menghormati kaum wanita Indonesia. Adakah perkara gila ini hanya menghukum lelaki asing? Kenapa tidak menghukum lelaki tempatan yang berkahwin tiga atau empat walaupun tidak mampu?" tegasnya.

Teman lelakinya yang berusia 39 tahun yang enggan dikenali juga menyifatkan cadangan kerajaan itu seolah-olah rakyat adalah milik mereka yang dijual di pasar menjual daging.

"Mungkin selepas ini kita akan melihat katalog perempuan yang akan dipasarkan. Mungkin saya boleh membuka pejabat di luar negara dan mula memasarkan wanita Indonesia," katanya secara sinis.

Seorang gadis bernama Masyita yang bersetuju dengan keluhan mengenai usul itu memberitahu, jika jatuh hati dengan wanita Indonesia, jangan risau kerana ia cuma 500 juta rupiah, tetapi betapa murahnya harga diri kami.

Pegawai kementerian tersebut, Nasaruddin Umar memberitahu, cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama akan dibentangkan ke Parlimen untuk diluluskan pada penghujung tahun ini.

"Wang jaminan tersebut diwujudkan untuk menghalang warga asing melakukan perkahwinan palsu semata-mata bagi menubuhkan perniagaan atau membeli hartanah atas nama isteri, selain memastikan wanita mendapat jaminan kewangan sekiranya diceraikan.




Menyokong usul

"Apabila wanita itu dianggap tidak lagi berguna, mereka biasanya ditinggalkan begitu saja," katanya tanpa meletakkan sebarang angka atau kajian untuk menyokong kenyataannya.

Tambahnya, perkahwinan adalah suci dan murni, ia tidak boleh dicemari dengan nafsu dan keinginan peribadi. Tujuan mereka hanya mahu melindungi wanita negara tersebut.

Golongan ulama, kumpulan hak wanita dan penggubal undang-undang turut menyatakan pandangan.

Kebanyakan ulama di negara majoriti beragama Islam itu menyokong usul itu manakala pengkritik menyifatkan ia akan menggalakkan orang hidup bergelumang dosa dengan hubungan luar nikah dan meningkatkan risiko kepada wanita.

"Saya bersetuju dengan usul ini, banyak kes lelaki asing berkahwin dengan wanita tempatan kemudian ditinggalkan dengan anak-anak begitu saja," kata Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.

Namun seorang peguam, Iskan Qolba Lubis mempunyai pandangan berbeza.

"Orang mahu berkahwin kerana dilamun cinta jadi kenapa kita menyukarkan keadaan? Ia adalah satu diskriminasi. Kita tidak akan berasa gembira jika negara lain melakukan perkara yang sama kepada kita," ulasnya.

Nia Schumacher dari Melati Worldwide iaitu kumpulan yang melobi idea perkahwinan campur menyifatkan usul itu hanya akan membawa kepada isu baru iaitu kahwin lari.

"Mereka mungkin tidak akan mendaftar perkahwinan atau tidak mahu berkahwin dan kemudian bersekedudukan. Inikah yang dimahukan kerajaan?" tambahnya.

Beberapa aktivis wanita turut merasakan usul itu meletakkan wanita sebagai komoditi dan diskriminasi bagi lelaki luar negara.

"Kami sangat menentang usul ini. Ia merendahkan maruah wanita dan tidak semua lelaki warga asing mempunyai wang yang banyak.

"Jika asas usul itu untuk melindungi wanita, ia perlu diaplikasikan kepada lelaki tempatan juga. Banyak kes lelaki tempatan mempunyai ramai isteri dan meninggalkan mereka sehelai sepinggang," tegas Pengerusi Bersama Pertubuhan Perkahwinan Multinasional Wanita Indonesia (Srikandi), Emmylia Hannig.

Roslina turut menyifatkan usul itu sebagai menghancurkan kasih sayang kerana lelaki asing terpaksa memungkiri janji mereka.

"Kawan saya kehilangan calon suami. Dia dan teman lelaki Perancisnya telah empat tahun bersama dan merancang untuk berkahwin. Namun berita terbaru yang saya dengar, mereka terpaksa menangguhkan hasrat itu.

"Teman lelakinya berasa bimbang untuk berkahwin kerana merasakan adalah tidak adil jika dia perlu membayar wang itu," katanya kesal. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Friday, May 28, 2010

Ego Mat Lombok

Oleh Amir Abd Hamid

2010/05/28

KUALA LUMPUR: “Kami tak bersedia menghapuskan adat melarikan gadis sebelum dikahwini walaupun ia dianggap jahat kerana ia diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya sejak dulu,” kata seorang pemuda Lombok, Indonesia, Novian Arif, 40.

Bagaimanapun, dia yang ditemui baru-baru ini di pulau berkenaan ketika misi menyelamat gadis Iban berusia 15 tahun dari Sarawak, Steffanie Liana anak Langka yang memasuki Indonesia secara haram, mengakui adat berkenaan hanya diguna sesama mereka untuk gadis berusia lebih 18 tahun.

Menurutnya, jika seseorang lelaki dari daerah berlainan didapati melarikan gadis bawah umur, pemuda terbabit akan dikenakan hukum adat.

Mengejutkan apabila Novian memberitahu hukum adat paling keras yang boleh dikenakan terhadap lelaki melakukan kesalahan itu ialah hukuman mati.

“Memang diakui kami melarikan gadis untuk dijadikan pasangan hidup sama ada dia suka atau tidak. Contohnya dengan berpura-pura bermaksud baik kononnya mahu menghantar seseorang gadis pulang ke rumah, tapi gadis itu akan dilarikan ke rumah keluarga atau saudara lelaki itu.

“Kemudian, gadis itu akan ‘disimpan’ untuk tempoh tertentu, biasanya seminggu hingga dua minggu sementara keluarga pihak lelaki melakukan perundingan mahar dengan keluarga pihak perempuan. Pihak lelaki yang mempunyai kuasa dalam sebarang keputusan.

Adat ini simbol kehebatan lelaki suku Sasak. Tetapi, hukum bunuh untuk kes larikan gadis bawah umur kini tidak lagi diguna pakai sejak awal 1970-an selepas pemerintah mula campur tangan,” kata Novian yang berasal dari Desa Taman, Mataram, Lombok.

Katanya, perjanjian adat melarikan gadis juga kini mempunyai pilihan. Contohnya ketika ini setiap kali pemuda Lombok ingin berkahwin mereka akan bertanyakan kepada ibu gadis yang diidamkan sama ada mahu menggunakan kaedah lari atau lamar.

Menurutnya, jika ibu gadis terbabit mahukan cara lamar, lelaki terbabit akan menghantar keluarga untuk melamar, tetapi jika sebaliknya, gadis berkenaan akan dilarikan terlebih dulu.

Ditanya mengenai trend membawa lari gadis Malaysia ke Lombok yang makin kerap dilaporkan akhir-akhir ini, Novian mendakwa kebanyakan kes itu dilakukan pemuda Lombok yang berasal dari desa terpencil.

“Pemuda Lombok yang bekerja di Malaysia kebanyakannya berasal dari pedalaman yang masih kuat memegang hukum adat asal.

“Malah, biasanya mereka tak pernah sampai pun di bandar Mataram. Terus saja ke Malaysia sebaik selesai direkrut ejen (pekerja asing), sebab itu mungkin perkara ini (larikan gadis Malaysia) terjadi. Mereka terkejut dengan (suasana) tempat lain yang berbeza dengan tempat sendiri.

“Cara merekrut pekerja senang saja. Seseorang pemuda perlu mengangkat guni seberat kira-kira 100 kilogram naik ke bukit dalam jarak tertentu dan jika terjatuh, mereka tak layak. Jika tak jatuh dia akan layak tidak kira apa latar belakang sekali pun,”
katanya.

Statistik dikeluarkan organisasi sukarela Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat (Migrant Care) mendapati kira-kira 600 wanita negara ini kahwin lari dan kini berada di Lombok, manakala Pergerakan Puteri Umno memperoleh maklumat menunjukkan lebih 500 wanita dilarikan ke Lombok.

Berikutan kes berkenaan, Pergerakan Puteri Umno pernah mengeluarkan kenyataan pada 20 Mac lalu supaya membekukan pengambilan pekerja asing yang berasal dari Lombok.

Saturday, June 20, 2009

Ketua kampung takut sumpah pocong


RIBUAN penduduk datang untuk melihat sumpah pocong di Masjid Alfalah, Kampung Jumeneng, Indonesia semalam.


YOGYAKARTA - Seorang ketua kampung di Kabupaten Sleman di sini, Marsihono bin Atmo Wiarjo tidak datang untuk berikrar sumpah pocong bagi menafikan dia melakukan perbuatan keji seperti meminta seorang penduduk wanita melakukan hubungan seks dengannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Majlis bersumpah itu diadakan selepas waktu solat Jumaat di pekarangan Masjid Alfalah, Kampung Jumeneng II, Desa Margolulyo, Kecamatan Seyegan, Selman.

Sebelum ini dia menyatakan kesediaan untuk melakukan sumpah pocong itu menyebabkan ribuan penduduk menghadiri majlis itu.

Sumpah pocong pada kebiasaannya dilakukan ketika tubuh seseorang dibalut dengan kain kapan seperti jenazah orang yang sudah meninggal dunia.

Mereka yang bersumpah pocong akan disertai dengan saksi dan dilakukan di masjid.

Apabila keterangan seseorang yang bersumpah pocong tidak benar, orang yang bersumpah itu akan mendapat laknat daripada Tuhan.

Dalam majlis sumpah pocong ketua kampung itu, seorang tokoh agama, Rois Mujiharyono diberikan tugas mengetuainya.

Dua bangku kayu dan dua kain kapan telah dibentangkan termasuk satu kitab al-Quran dan surat pengakuan sudah disediakan untuk majlis itu.

Namun, Marsihono tidak tampil ketika Rois memanggil namanya untuk melakukan sumpah pocong.

Dua pemuda kemudian secara sukarela datang ke rumah ketua kampung itu bagi memintanya datang menghadiri sumpah itu.

Apabila dua pemuda itu tiba, kakak ketua kampung itu menyatakan adiknya sudah keluar rumah pada waktu pagi.

Berikutan itu, majlis tersebut dibatalkan tetapi Rois berkata : "Saudara kepala dukun ternyata tidak memiliki jiwa perwira. Justeru, dia mengaku dan benar-benar melakukan tindakan tercela itu."

Rois menyatakan sumpah pocong itu dilakukan selepas satu pertemuan diadakan pada Selasa lalu yang dihadiri oleh ketua kampung tersebut. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...