Showing posts with label Dewan Ulama Pas. Show all posts
Showing posts with label Dewan Ulama Pas. Show all posts

Monday, September 5, 2011

Umat Islam kehilangan ulama tersohor

M Faqih

Umat Islam di negara ini kehilangan seorang tokoh ulama tersohor apabila Tuan Guru Datuk Hashim Abu Bakar, 88, kembali ke rahmatullah pada petang 1 Syawal lalu.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Ayah Sim terlantar sakit hampir dua tahun lalu merupakan anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) dan mudir Pondok Pasir Tumbuh.

Lebih 2,000 warga pondok dan penduduk tempatan menunaikan solat ke atas jenazahnya yang diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut berangkat menunaikan solat di Masjid Pondok Pasir Tumbuh kira-kira jam 6 petang iaitu Sultan dan Tengku Mahkota Kelantan.

Jenazahnya kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam berhampiran pondok terbabit.

Setiausaha PPPB, Adam Abdullah berkata, Allahyarham disifatkan sebagai generasi terakhir ulama tersohor dari Malaysia yang pernah mendalami pelbagai kitab di Makkah.

“Sekarang boleh dikatakan sudah tidak ada lagi ulama yang pernah mendalami ilmu agama di Makkah secara halaqat terus dengan ulama-ulama besar di Masjidilharam.

“Pada pandangan saya boleh dikatakan tiada lagi ulama besar seperti Allahyarham Ayah Sim di negara kita yang pernah menekuni pelbagai ilmu agama di Makkah,” katanya.

Menurutnya ulama yang belajar secara berkitab di Makkah berguru dengan ulama-ulama besar dan mengetahui lebih banyak cabang ilmu.

Setiausaha Pondok Pasir Tumbuh, Sairozi Atiqullah berkata, warga pondok benar-benar merasakan suatu kehilangan besar setelah kembalinya Ayah Sim menghadap Ilahi.

Katanya, Allahyarham satu-satunya pengasas Pondok Pasir Tumbuh yang ada sebelum ini selepas kematian Tuan Guru Haji Mustafa dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Abu Bakar.

“Ayah Sim mengajar di Pondok Pasir Tumboh bersama dua orang iparnya. Dan selepas kedua-duanya meninggal beliau menggantikan tempat sebagai penguasa I atau mudir sehingga sekarang.

”Allahyarham juga dilantik sebagai Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad sejak 1995,” ujarnya.

Tuan Guru Hashim dilahirkan di Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah pada 1923. Mendapat pendidikan di Darul Ulum ad-Diniah, Makkah (1936 – 1939).

Pernah juga belajar di Madrasah Irsyadiah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Abdullah Merbuk, Sungai Petani; Pondok al-Marhum Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26, Bagan Datoh, Perak; Pondok Lebai Idris Hitam, Kampung Air Hitam, Jitra dan Pondok Bunut Payong Kota Bharu.

Ayah Sim juga pernah dianugerah Tokoh Hijraturrasul 1428 Hijriah peringkat negeri Kelantan dan mendapat anugerah Datuk Paduka daripada Sultan Kelantan pada 2010.

Beliau meninggalkan lima anak. Isterinya meninggal beberapa tahun lalu.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kehilangan Ayah Sin begitu dirasai rakyat dan kerajaan negeri Kelantan kerana kehebatan ilmu yang ada padanya.

“Sepanjang hayatnya Allahyarham sering menjadi rujukan dalam pelbagai bidang berkaitan permasalahan agama,” ujarnya.



http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/edu-spective/5210-umat-islam-kehilangan-ulama-tersohor

Monday, July 25, 2011

Kenapa saya sokong Bersih 2.0

Nasrudin bin Hassan at Tantawi

1. BERSIH 2.0 bukan sebuah pertubuhan sebagaimana yang didakwa oleh pihak UMNO dan BN kononnya BERSIH adalah sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan R.O.S, sebaliknya BERSIH 2.0 adalah satu kempen yang digerakkan oleh sekurang - kurangnya 62 Ngo yang bergabung untuk menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihanraya yang adil dan telus.

2. Kempen ini berpaksi kepada 8 tuntutan yang telah dikemukakan kepada pihak berkenaan samaada kerajaan mahupun pihak SPR. Apa yang lebih penting juga ialah 8 tuntutan mesti difahami dan diperjuangkan oleh rakyat demi masa depan negara dan kepimpinannya. 8 tuntutan itu ialah :

Bersihkan Senarai undi

Mereformasikan undi pos

Penggunaan Dakwat Kekal

Masa kempen minima 21 hari

Akses media yang bebas dan adil

Kukuhkan Institusi awam

Hentikan rasuah

Hentikan politik kotor


3. Namun jelas tindakan pihak UMNO dan BN cuba untuk mengelirukan rakyat dengan pelbagai fitnah dan tohmahan yang akhirnya menenggelamkan isu sebenar dari kempen BERSIH 2.0. Cubaan mengaitkan kempen BERSIH 2.0 dengan perjuangan komunis dan pula mendapat pembiayaan dari pihak asing adalah satu percubaan jahat dan tidak berasas. Masakan komunis menyokong perjuangan pemulihan demokrasi yang digerakkan oleh BERSIH 2.0 dan apalah pula kos BERSIH 2.0 kecuali duit minyak dan tambang rakyat untuk sampai ke lokasi perhimpunan serta kos membeli baju BERSIH 2.0 dengan pembiayaan sendiri.

4. Mereka menuduh tanpa bukti. Pastinya mereka sedang panik menyaksikan kebangkitan rakyat biarpun secara aman justeru rakyat menolak ketidakadilan mereka, rakyat membantah cara mereka memerintah. Biarpun tidak keseluruhan rakyat, namun mereka tahu, jumlah rakyat yang bangkit menolak dan membantah mereka adalah jumlah yang membuatkan kuasa pemerintahan mereka tergugat andainya mereka mendepa tangan untuk dihitung nilai secara saksama oleh rakyat.

5. Mereka tahu, bahawa mereka terpaksa monopoli penguasaan media untuk menidakkan suara parti lawan mereka. mereka terpaksa mengekalkan undi pos sebagai tali hayat untuk mereka kekal memerintah. Mereka tahu, keupayaan mereka sangat terhad untuk memerangi rasuah yang telah membarah dalam parti mereka. Mereka juga tahu bahawa politik kotor, politik lucah dan politik kekerasan adalah senjata sulit mereka untuk memastikan mereka mampu menghadapi lawan.

6. Tuntutan 8 perkara yang dibawa oleh BERSIH 2.0 akan terus menghantui mereka. Menjadikan mereka hilang rasional lantas mereka menggunakan pihak keselamatan untuk tradisi membelasah rakyat sendiri. Menangkap individu yang memakai baju kuning bertulis BERSIH 2.0 dengan tertera pula 8 tuntutan. UMNO dan BN bagai dirasuk. Mengaku kuat dan handal tetapi mengalami xnthophobia yang parah.

7. Tuntutan 8 perkara ini akan terus diratib oleh rakyat sehinggalah kerajaan dan seluruh agensinya yang berkenaan akur dan bersedia untuk pilihanraya yang adil, telus dan saksama. kita masih komited dengan kaedah "muwajahah silmiah" iaitu persaingan secara aman tanpa kekerasan dan senjata. Namun padang mestilah sama rata dan peraturan pula adil dan telus.

8. BERSIH 2.0 tidak digerakkan untuk menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN dengan kekerasan sebagaimana apa yang mereka lakukan oleh mereka ke atas rakyat. BERSIH 2.0 tidak digembeleng untuk meruntuhkan kerajaan UMNO dan BN dengan rampasan kuasa secara undemocratic sebagaimana apa yang mereka lakukan oleh mereka ke atas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. BERSIH 2.0 tidak dicetuskan untuk mengguling kerajaan UMNO dan BN dengan menimbulkan huru hara dan kacau bilau yang menggugat keamanan serta ketenteraman awam sebagaimana apa yang dilakukan oleh mereka ke atas peserta himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 tempohari.

9. BERSIH 2.0 hanya menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihanraya yang bersih. Kita bersedia untuk bersaing dengan UMNO dan BN dalam sistem yang adil, telus dan saksama. Tiada lagi penafian hak bersuara dengan memastikan akses media yang adil dan bebas serta tiada lagi pelanggaran hak memilih dengan mereformasikan undi pos.

10. Jika UMNO dan BN mengapong diri dengan kempen 1 Malaysia, Pakatan Rakyat memobilisasi rakyat dengan BERSIH 2.0 yang akan terus kekal momentumnya biarpun berdepan dengan pelbagai tindakan yang tidak bertamadun dan undemocratic. Kini rakyat berani. Bukan sekadar berani melepasi sekatan FRU dan bedilan gas pemedih mata, tetapi apa yang paling bermakna ialah rakyat kini berani membuang sikap berdiam diri untuk bangkit menunjukkan perasaan mereka yang diselubungi derita sejak sekian lama angkara demokrasi ala Barisan Nasional. Saya sokong orang berani dan saya sokong BERSIH 2.0

-------------------------------

Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-pemuda-pas/4468-kenapa-saya-sokong-bersih-20

Wartawan Utusan akui tulis berita tanpa semak

M Faqih

KOTA BHARU, 24 Julai: Seorang wartawan Utusan Malaysia mengakui tidak menemui plaintif sebelum menyiarkan berita disifatkan berunsur fitnah terhadap pemimpin PAS Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki.

Yuspisman Asli, 39 kini Ketua Biro Utusan Cawangan Kelantan mengakui perkara itu ketika ditanya peguam plaintif, Mohamad Hanipa Maidin (gambar) pada perbicaraan kes saman Misbahul terhadap Datuk Khalid Mohd dan Utusan Melayu Bhd di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Hanipa sebelum itu mahu kepastian sama ada wartawan berkenaan menghubungi Misbahul atau menemui sekretariat muktamar atau pengerusi tetap bagi mendapat kesahihan sebelum berita itu ditulis.

Mingguan Malaysia pada 3 Jun 2007 dalam laporan di muka hadapan menggunakan tajuk “Dewan Ulama PAS ibarat tin kosong – Perwakilan”.

Berita mengenai muktamar terbabit disiarkan dengan dakwaan wakil Perak, Misbahul Munir berkata, Dewan Ulama hanya hidup dalam kepompong mereka sendiri dan tidak berperanan dalam usaha mencelikkan rakyat terutamanya ketika berdepan dengan pelbagai isu melibatkan kepentingan umat Islam.

“Kepimpinan ulama yang dicanang oleh parti PAS tidak harus hanya menjadikan tin kosong melalui kewujudan Dewan Ulama, apabila aktiviti mereka lebih tertumpu di surau dan markas,” katanya dalam laporan berita tersebut.

Dalam writ samannya plaintif menyebut berita disiarkan di muka hadapan akhbar Mingguan Malaysia itu dibuat dengan niat jahat dan bertujuan mensensasikan berita fitnah.

Perbicaraan kes itu diadakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Khalid dan Utusan diwakili peguam Azhar Arman Ali.

Sebelum kes itu difailkan di mahkamah peguam plaintif telah menghantar notis supaya Utusan meminta maaf bercara bertulis dalam tempoh tujuh hari.

Defendan juga dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dalam masa tujuh hari sebagai ganti rugi, namun pihak defendan gagal berbuat demikian.

Oleh itu plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan perintah menarik balik tuduhan fitnah dan ucapan minta maaf daripada kedua-dua defendan.

Ketika prosiding pada 5 Julai lalu Misbahul memberi keterangan di mahkamah terhadap tuntutan saman tersebut.

Dalam keterangannya Misbahul memberitahu beliau tidak berucap langsung atau menjadi pembahas pada muktamar kali ke-53 yang diadakan di Putik, Pengkalan Chepa.

Penerbitan berita fitnah tersebut menyebabkan maruahnya tercemar sehingga meletak dirinya di kancah kebencian dan kehinaan pada pandangan masyarakat.

Hanipa berkata, biar pun Yulpisman menganggap berita itu sebagai kritikan membina dalam keterangan hari ini, namun dalam berita yang disiarkan tidak menggambarkan situasi tersebut.

Menurutnya berita berkenaan tambah hangat apabila diulas pula Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sehari selepas itu, yang digambarkan Utusan terus mempertahankan berita tidak betul.

“Dalam kes ini plaintif telah dilihat memburukkan PAS apabila berkata, Dewan Ulama PAS ibarat ting kosong.

“Berita itu kemudian disebarkan melalui Utusan dengan edaran sehingga 400,000 naskah bertujuan bagi menarik perhatian ramai,” katanya.

Prosiding kes tersebut masing-masing menampil seorang saksi iaitu Misbahul bagi pihak plaintif dan Yuspisman (defendan).

Penghujahan kes berkenaan akan disambung pada 26 September hadapan


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4519-wartawan-utusan-akui-tulis-berita-tanpa-semak

Monday, July 11, 2011

Peserta Bersih berhak dikalungkan wira negara

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Julai: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, peserta himpunan aman Bersih 2.0 semalam berhak dikalungkan wira negara.

“Saya mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat ingin merakamkan ucapan syabas yang tidak terhingga kepada seluruh peserta Bersih yang hadir di Kuala Lumpur pada hari semalam,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, mereka berhak untuk dikalungkan sebagai wira negara kerana sanggup menghadirkan diri ke himpunan tersebut walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan rintangan.

“Kepada mereka yang bersabar dan ikhlas kepada Allah SWT terhadap segala rintangan yang dihadapi, ganjaran pahala anda Insya Allah akan tersimpan rapi di sisi Allah SWT. Segalanya pasti akan terbalas di hari akhirat kelak,” ujarnya.

Dewan Ulamak PAS Pusat juga, tegasnya yakin bahawa seluruh pendukung PAS dan Bersih tidak akan serik sama sekali untuk meneruskan perjuangan yang mulia itu.

Menurutnya, mereka pasti akan terus dahagakan ganjaran dan keredhaan Allah SWT.

Beliau juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad yang telah dikebumikan pagi tadi.

“Dewan Ulamak PAS senantiasa mendoakan agar Allahyarham Baharudin dihimpun dan ditempatkan dengan golongan para syuhada’.

“Kepada keluarga Allahyarham, kami ingin memberitahu bahawa Allah SWT pasti akan menganugerahkan ganjaran yang besar kepada hamba-Nya yang beriman apatah lagi telah membuktikannya melalui perbuatan, perkataan dan pendirian,” ujarnya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4286-peserta-bersih-berhak-dikalungkan-wira-negara

Saturday, July 9, 2011

Darurat: Dewan Ulamak PAS kecam Utusan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Dewan Ulamak PAS Pusat amat kecewa dengan kenyataan provokasi Utusan Malaysia yang amat jelas bertentangan dengan etika kewartawanan apatah lagi bertentangan dengan prinsip Islam yang senantiasa menggalakkan persaudaraan dan bukannya permusuhan.

Setiausahanya, Dr Khairuddin Razali yang memetik firman Allah yang bermaksud: Syaitan itu hanya mahu mewujudkan permusuhan dan kebencian, melahirkan rasa dukacita apabila akhbar Utusan yang menjadi lidah rasmi kepada kerajaan Umno BN sanggup membuat provokasi yang tidak bertanggungjawab dan mengapi-apikan permusuhan dengan meletakkan tajuk utama hari ini dengan tajuk ‘KL darurat hari ini? Ada pihak rancang lepaskan tembakan dan tuduh angkara polis’.

“Di mana etika kewartawanan anda?”

“Ungkapan ini merupakan satu provokasi dan tuduhan yang boleh menimbulkan huru hara dalam negara,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, beliau mengingatkan mereka bahawa apa yang ditulis akan dipertanggungjawabkan nanti di hadapan Allah SWT.

Katanya, wartawam jangan menjadi sebahagian lidah fitnah di akhir zaman kerana mereka sepatutnya menjadi lidah agama dan keadilan rakyat dan bukannya lidah individu tertentu.

Akhbar, ujar beliau sepatutnya menjadi jurubicara perpaduan ummah dengan berita yang adil dan menyumbang kepada perpaduan bukannya menyumbang kepada perpecahan dan permusuhan.

Menurutnya, malang sekali akhbar hari ini terus mengasak rakyat dengan provokasi yang langsung tidak dapat diterima akal.

“Suka kami menegaskan, PAS tidak pernah memusuhi polis apatah lagi mana-mana institusi kerajaan,” katanya.

Jelasnya, penglibatan ahli PAS dalam himpunan aman Bersih yang diadakan sebelum ini menggambarkan betapa tingginya akhlak yang ditunjukkan mereka ketika menyertai perhimpunan aman.

“Kita tahu pihak keselamatan tidak perlu dipersalahkan dalam isu ini. Mereka yang perlu dipersalahkan ialah Umno BN yang sangat tersempit untuk survival politik mereka yang sedang berada dihujung tanduk,” ujarnya.

Beliau menambah, segala jentera kerajaan termasuk media akan dikerah sehabis mungkin untuk menyelamatkan talian hayat mereka yang sudah hampir luput tarikhnya.

Himpunan aman Bersih 2.0 yang berakhir kira-kira jam 5.00 petang ini tidak meninggalkan kesan terhadap ketenteraman awam sekalipun dilakukan provokasi yang keterlaluan daripada kerajaan Umno BN.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4269-darurat-dewan-ulamak-pas-kecam-utusan-

Friday, July 8, 2011

Stadium Merdeka simbolik kebebasan rakyat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Dewan Ulamak PAS Pusat merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di atas kesudian menerima kehadiran pihak Bersih untuk mengadap Baginda.

Naib Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamad (gambar) berkata, ia melambangkan keprihatinan Tuanku terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat jelata di negara ini.

“Namun amat mendukacitakan apabila pihak kerajaan yang dipimpin oleh Umno BN nampaknya seolah-seolah tidak memahami titah Tuanku ini apabila masih berdolak dalih untuk menyediakan stadium untuk Himpunan Bersih yang insya Allah yang akan diadakan pada 9 Julai ini,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia masih segar mengingati apabila pihak kerajaan menjanjikan akan menyediakan stadium bagi tujuan tersebut.

Pihak Bersih setelah pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil keputusan untuk tidak mengadakan himpunan Bersih di jalanan kerana akur dan menghormati Agong selaku penaung kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Apabila kita mengikut titah Tuanku tapi tiba-tiba kerajaan pimpinan Umno BN dilihat berdolak dalih seolah-olah tidak mahu melaksanakan hasrat Tuanku supaya berlaku adil di antara rakyat dan kerajaan.

“Kita berharap pihak kerajaan mengurangkan ketegangan hubungan ini dengan membenarkan himpunan ini diadakan di Stadium Merdeka,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Johor.

Beliau berkata, Stadium Merdeka merupakan lokasi yang hampir dengan kediaman Tuanku yang sudah pasti amat kasih dan prihatin terhadap apa sahaja permasalahan yang dihadapi oleh rakyatnya.

Tambahnya, rakyat jelata mahu sangat hampir dengan Tuanku.

Menurutnya lagi, Stadium Merdeka merupakan simbolik kemerdekaan dan kebebasan rakyat Malaysia seperti mana yang dijamin oleh perlembagaan.

Justeru, ujarnya ia tidak memberikan makna yang sebenar sekiranya diadakan mana-mana negeri yang lain.

Katanya, kerajaan juga didesak agar berlaku adil bukan hanya menahan mereka yang memakai baju yang tertera perkataan Bersih dan sebaliknya membiarkan pihak yang lain melakukan tindakan provokasi sesuka hati seolah-olah undang-undang itu hanya terpakai untuk golongan tertentu sahaja.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4230-stadium-merdeka-simbolik-kebebasan-rakyat

Himpunan Bersih untuk nasihati pemerintah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Himpunan aman Bersih yang menurut cadangannya akan diadakan dengan kerjasama pihak keselamatan dan pihak berkuasa di Stadium Merdeka pada 9 Julai nanti merupakan salah satu usaha menyampaikan nasihat kepada pemerintah dan rakyat yang diperintah secara baik.

Hal ini bersandarkan hadis Nabi s.a.w. riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat,” iaitu “(Nasihat) bagi Allah, bagi Kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi pemerintah orang-orang Islam dan rakyat mereka,” demikian menurut Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr. Khairuddin Razali (gambar).

Menurut beliau lagi, dalam konteks Bersih, nasihat adalah bertujuan agar pilihan raya yang menjadi tempat rakyat memilih teraju pemerintahan dijalankan oleh pihak berkenaan secara lebih telus dan adil dalam semua sudut dan bagi semua pihak.

Katanya, ketelusan dan keadilan akan menjurus kepada terpilihnya mereka yang beramanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah pemerintahan negara.

“Kita dalam masa yang sama menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak negara dan payung rakyat jelata terhadap hasrat sebahagian rakyat mendapatkan hak mereka menyatakan pandangan dan nasihat dengan cara aman dan dibenarkan oleh perlembagaan negara,” ujarnya.

Menurutnya, keamanan dan kemakmuran negara serta perpaduan antara rakyat akan sentiasa utuh sekiranya kerjasama semua pihak sama ada pihak berkuasa yang memerintah dan rakyat yang diperintah dapat digembleng atas dasar kebajikan dan taqwa.

“Insya Allah ini sepertimana yang dianjurkan oleh al-Quran menerusi firman-Nya dalam surah al-Maa`idah, ayat 2 bermaksud “dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan,” ujar beliau lagi.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4224-himpunan-bersih-untuk-nasihati-pemerintah

Himpunan Bersih untuk nasihati pemerintah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Himpunan aman Bersih yang menurut cadangannya akan diadakan dengan kerjasama pihak keselamatan dan pihak berkuasa di Stadium Merdeka pada 9 Julai nanti merupakan salah satu usaha menyampaikan nasihat kepada pemerintah dan rakyat yang diperintah secara baik.

Hal ini bersandarkan hadis Nabi s.a.w. riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat,” iaitu “(Nasihat) bagi Allah, bagi Kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi pemerintah orang-orang Islam dan rakyat mereka,” demikian menurut Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr. Khairuddin Razali (gambar).

Menurut beliau lagi, dalam konteks Bersih, nasihat adalah bertujuan agar pilihan raya yang menjadi tempat rakyat memilih teraju pemerintahan dijalankan oleh pihak berkenaan secara lebih telus dan adil dalam semua sudut dan bagi semua pihak.

Katanya, ketelusan dan keadilan akan menjurus kepada terpilihnya mereka yang beramanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah pemerintahan negara.

“Kita dalam masa yang sama menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak negara dan payung rakyat jelata terhadap hasrat sebahagian rakyat mendapatkan hak mereka menyatakan pandangan dan nasihat dengan cara aman dan dibenarkan oleh perlembagaan negara,” ujarnya.

Menurutnya, keamanan dan kemakmuran negara serta perpaduan antara rakyat akan sentiasa utuh sekiranya kerjasama semua pihak sama ada pihak berkuasa yang memerintah dan rakyat yang diperintah dapat digembleng atas dasar kebajikan dan taqwa.

“Insya Allah ini sepertimana yang dianjurkan oleh al-Quran menerusi firman-Nya dalam surah al-Maa`idah, ayat 2 bermaksud “dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan,” ujar beliau lagi.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4224-himpunan-bersih-untuk-nasihati-pemerintah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...