Showing posts with label PLKN. Show all posts
Showing posts with label PLKN. Show all posts

Friday, March 25, 2011

Sebak lihat slip arwah anak

JASIN: “Waktu kami sekeluarga sampai di pintu pagar sekolah ini (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar, Jasin), air mata saya sudah berlinangan kerana sepatutnya arwah bersama kami mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini.

“Namun, apakan daya arwah sudah pergi buat selama-lamanya,” kata Noraihan Sharif, 49, bapa kepada Allahyarham Muhammad Zulhaili, yang meninggal dunia pertengahan bulan lalu.


Remaja terbabit meninggal dunia apabila dipercayai mengalami jangkitan kuman ketika mengikuti program di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Wawasan, Papar, Sabah.

Allahyarham mendapat 6A 3B iaitu Bahasa Melayu dan Matematik (A+); Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah (A); Matematik Tambahan (A-); Fizik (B+); Biologi dan Kimia (B).


Menurut Noraihan, walaupun sedih dia tetap menghadirkan diri bersama keluarga mengambil keputusan itu bagi mewakili anaknya.


“Kami datang menemui rakan-rakannya dan guru yang banyak membantunya di sekolah ini,” katanya.

Noraihan berkata, dia terharu menatap keputusan diperoleh anaknya.


Bapa kepada lima orang anak itu berkata, ketika hayatnya, Allahyarham bercita-cita menjadi juruterbang, walaupun dia memberi pendapat mencari kerjaya lain dan arwah tetap mahu meneruskan cita-citanya itu.

“Namun, arwah tidak sempat mencapai cita-citanya kerana Allah lebih menyayanginya,” kata Inspektor Kesihatan yang berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.


Menurutnya, anaknya mengikuti program di PLKN sejak awal tahun ini sebelum dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman pada 13 Februari lalu.


“Ketika saya melawat arwah, dia berada dalam keadaan koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah dan meninggal dunia dua hari selepas itu,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sebaklihatsliparwahanak/Article/index_html

Thursday, February 24, 2011

Mati imamkan solat

Mati imamkan solat

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

ANGKAT...peserta PLKN Kem Tondong, Bau mengangkat jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, malam tadi.
ANGKAT...peserta PLKN Kem Tondong, Bau mengangkat jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, malam tadi.
SEDIH...Abdul Hadi (kanan) bertemu ibu bapa Syed Abdul Rahman, semalam.
SEDIH...Abdul Hadi (kanan) bertemu ibu bapa Syed Abdul Rahman, semalam.

RAWANG: Seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Temasya Rimba Templer, Rawang, di sini, rebah ketika mengimamkan solat Zuhur di surau kem berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari dan sejurus Syed Abdul Rahman Wan Ahmad, 17, rebah, dia dibantu rakan-rakannya mendapat rawatan di klinik kem berkenaan.

Remaja itu yang berasal dari Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah, diberi bantuan pernafasan (CPR), namun keadaannya yang kritikal menyebabkan pihak kem menghantarnya ke Hospital Selayang sebelum dia disahkan meninggal dunia.

Jenazah Syed Abdul Rahman dihantar ke Hospital Kuala Lumpur pagi semalam untuk dibedah siasat dan polis mengesahkan kematian remaja itu tidak membabitkan unsur jenayah, sebaliknya disebabkan serangan sawan.


Bapa Allahyarham, Wan Ahmad Wan Yasin, 50, ketika dihubungi berkata, dia menerima berita kematian anaknya daripada pengurusan kem berkenaan kira-kira jam 2.45 petang kelmarin dan tiba di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Wan Ahmad, dia berbual dengan anaknya ketika menghubunginya untuk bertanya khabar, Ahad lalu.

“Dalam perbualan itu anak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, malah memberitahu gembira tinggal di kem berkenaan. Anak saya juga memberitahu dia sihat dan ramai kawan baru serta selesa berada di kem itu.

“Namun, saya tidak menyangka keceriaannya itu hanya sementara kerana kini dia meninggalkan kami,” katanya.

Wan Ahmad berkata, ketika berbual dengan Syed Abdul Rahman, Ahad lalu, dia berpesan kepada anaknya supaya menjaga diri, jangan lupa solat serta selalu berdoa.

“Setakat ini, saya belum dimaklumkan punca kematian anak saya. Saya cuma diberitahu anak saya menjadi imam solat Zuhur, namun tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata mangsa yang berasal dari Sabah menjalani latihan di kem berkenaan sejak 2 Januari lalu dan akan tamat pada 13 Mac depan.

Menurutnya, mangsa yang pengsan dihantar ke Hospital Selayang, namun gagal diselamatkan sebelum mayatnya dibawa ke HKL untuk bedah siasat.

“Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana sawan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, keluarga mangsa sudah menuntut jenazah Syed Abdul Rahman yang dijadual dikebumikan di kampung neneknya di Kampung Masjid Sebuyau, Kota Samarahan, Sarawak, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata berdasarkan rekod, Allahyarham pernah menerima rawatan sekali akibat batuk di kem itu.

Katanya, setakat ini, pihaknya menunggu laporan penuh bedah siasat pelatih terbabit yang dijangka siap dalam dua minggu.

“Berikutan itu, keluarga pelatih berkenaan layak menerima khairat kematian RM5,000 dan insurans nyawa RM50,000,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan JLKN meminta mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu sehingga laporan lengkap mengenai kematian pelatih berkenaan diketahui.

http://www.hmetro.com.my/articles/Matiimamkansolat/Article

Wednesday, February 23, 2011

Pelatih PLKN meninggal ketika tunai solat

23/02/2011 8:50pm

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Seorang pelatih lelaki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Temasya Rimba Templer, Rawang, dekat sini rebah dan meninggal dunia ketika menunaikan solat Zohor berjemaah, semalam.

Syed Abdul Rahman Syed Ahmad, 17, dari Kota Samarahan, Sarawak, dikejarkan ke Hospital Selayang kira-kira pukul 1.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia pada 50 minit kemudian.

"Semakan rekod perubatan mendapati Allahyarham tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan dan telah disahkan oleh pegawai perubatan. Semasa dalam kem dia sentiasa cergas dan mengikuti semua aktiviti latihan,” kata Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata rekod menunjukkan Allahyarham pernah menerima rawatan sekali sahaja akibat batuk.

Jenazah Syed Abdul Rahman telah selamat diterbangkan ke Kuching petang tadi, kata kenyataan itu.

Kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan JLKN meminta mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut sehingga laporan lengkap mengenai kematian pelatih berkenaan diketahui. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm

Sunday, February 13, 2011

PLKN benar Gurdwara hantar guru agama ke kem

Feb 13, 11 10:26am

Mulai Mei ini, Gurdwara (kuil Sikh) dibenarkan menghantar guru agama untuk mengajar pelatih Sikh di pusat Latihan Khidmat Negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

NONEBeliau berkata keputusan ini dicapai dalam pertemuan antara jabatan itu dengan Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) di pejabatnya di Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun pihaknya akan mengadakan lagi pertemuan dengan majlis itu untuk membincangkan perkara tersebut dengan lebih terperinci.

Kemasukan siri kedua Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk tahun ini bermula 1 Mei.

Bercakap kepada Bernama, semalam, Abdul Hadi berkata JLKN tidak akan membiayai sebarang kos untuk pengajaran tersebut jika bilangan pelatih beragama Sikh kurang daripada 15 orang di sesebuah kem.

national service weapons training 160905 basic"Bagaimanapun sekiranya ibu bapa ingin membiayai kos pengajaran guru agama itu untuk kem yang mempunyai kurang dari 15 pelatih Sikh, kita tidak mempunyai masalah sebaliknya mengalu-alukannya," katanya.

Beliau juga berkata pada sesi pengambilan PLKN yang akan datang, JLKN akan menempatkan pelatih beragama Sikh di kem-kem berdekatan Gurdwara bagi memudahkan
mereka beribadah.

Abdul Hadi juga menyarankan pertubuhan belia kaum Sikh menganjurkan program menarik minat lebih ramai kaum itu menyertai program PLKN serta melibatkan bekas belia Sikh yang telah menjalani PLKN dalam program mereka.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/155890

Saturday, January 29, 2011

Potong rambut Sikh: PLKN anggap isu selesai

Potong rambut Sikh: PLKN anggap isu selesai
Jan 29, 11 9:09pm

Pelatih lelaki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) beragama Sikh yang mendakwa rambutnya digunting semasa tidur ketika menjalani program itu akan dipindahkan ke kem lain selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina ini.

Pelatih itu yang sebelum ini menjalani latihan di kem PLKN Seri Impian, Sungai Bakap, Pulau Pinang akan dipindahkan ke kem PLKN Sungkai, Perak dan dia dibenar melapor diri selepas perayaan Tahun Baru Cina.

NONEKetua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan dengan keluarga pelatih berkenaan yang bersetuju anak mereka dipindahkan ke kem lain.

"Kita beri dua pilihan sama ada mahu kekal di Kem Seri Impian atau berpindah ke kem lain, tetapi kita tidak benarkan pelatih itu menarik diri daripada menyertai latihan PLKN," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN Etnobotani di Gua Musang, hari ini.

Dalam kejadian 16 Jan lalu, remaja berkenaan Basant Singh, 18, mendakwa rambutnya dipotong antara 50 hingga 60 sentimeter semasa sedang tidur.

Susulan itu, Abdul Hadi berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada polis untuk membuat siasatan lanjut.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/154863

Saturday, January 22, 2011

Potong rambut Sikh: JLKN serah pada polis

Jan 21, 11 6:10pm

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut berhubung dakwaan seorang remaja lelaki beragama Sikh bahawa rambutnya dipotong semasa sedang tidur di kem program latihan khidmat negara (PLKN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, Ahad lepas.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata pihaknya telah menyerahkan perkara itu kepada polis untuk membuat siasatan lanjut dan mengumumkan hasil siasatan kepada umum.

"Walaupun siasatan dalaman JLKN tidak menemui apa-apa bukti, ia tetap diserahkan kepada polis sebagai pihak yang bertanggungjawab membuat siasatan... siasatan awal kami telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) jabatan yang ditetapkan.

"Siasatan pihak kami sebelum ini melepasi dua tahap iaitu siasatan awal oleh komandan dan jurulatih kem serta diikuti pasukan khas dari ibu pejabat," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN Sentosa, Chenderian, dekat Tapah hari ini.

Abdul Hadi berkata remaja terbabit, Basant Singh, 18, yang sedang bercuti, dibenar memanjangkan sedikit masa rehatnya.

"Saya juga benarkan beliau untuk berpindah ke kem lain ataupun menangguhkan sementara program yang diikuti. Saya beri dua pilihan kepadanya tetapi jika ingin terus ke kem asal, itu jalan terbaik,"katanya.

Basant yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu Ahad lepas dilaporkan enggan meneruskan latihan kerana trauma dengan insiden yang mengejutkannya kerana dia tidak pernah memotong rambut sejak lahir sebagai mematuhi ajaran agama.

Sementara itu, beliau berkata seramai 83 pelatih Kem PLKN Sentosa yang dikesan menghidap penyakit serupa influenza (ILI) minggu lepas pulih sepenuhnya.

Katanya JLKN yang mendapat bantuan dan sokongan penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengekang virus H1N1 daripada terus merebak kepada pelatih lain di dalam kem itu.

"KKM memberi kebenaran kepada setiap kem untuk meneruskan program latihan sekiranya terdapat serangan wabak itu dengan mengasingkan pelatih yang dijangkiti ILI... tiada lagi kem yang akan ditutup selepas ini," katanya.

Sehingga kini, terdapat 148 mangsa ILI yang kini dirawat di Kem PLKN Sinaran Suria, Sungkai manakala kes lain membabitkan 25 pelatih di Kem PLKN Tegas Kendiri, Kuala Kangsar.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/154071

Wednesday, January 19, 2011

Tiada Unsur Khianat Ke Atas Pelatih: JLKN

Rabu Januari 19, 2011

KUALA LUMPUR: Tidak terdapat unsur-unsur khianat sama ada oleh pelatih ataupun jurulatih berhubung dakwaan seorang peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Basant Singh bahawa sebahagian rambutnya telah digunting ketika dia tidur Ahad lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kecil berkata, perkara itu dirumuskan hasil siasatan lembaga siasatan dalaman yang ditubuhkan JLKN ke atas 16 orang saksi di Kem Latihan Seri Impian, Sungai Bakap, Pulau Pinang tempat Basant menjalani latihan.

"Lembaga siasatan itu yang diketuai Pengarah Operasi JLKN, Kol Sanusi Hashim, Pengarah Zon B, Kdr Wan Zarihan Wan Ismail (TLDM), dan Lt Thomas Anak Aungoom (TLDM) dari Kem PLKN Telok Rubiah telah memanggil 16 saksi terdiri daripada pelatih, jurulatih, staf dan komandan kem tersebut untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan ke atas saksi dan bukti-bukti yang diperolehi, lembaga siasatan merumuskan tidak terdapat unsur khianat seperti yang didakwa Balsant, 18.

Abdul Hadi berkata, hasil laporan itu telah dibentangkan dalam mesyuarat pascakabinet Kementerian Pertahanan yang dipengerusikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi petang tadi.

Berikutan itu katanya, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baru, Kedah dan berharap tidak ada lagi pihak cuba membuat spekulasi berhubung kes tersebut.

Semalam, Balsant yang tinggal di Jalan Gurdwara, Ipoh mendakwa sebahagian rambutnya digunting tanpa disedarinya pada Ahad lepas ketika dia dan 10 pelatih lain sedang tidur di kem tersebut.

Dia yang menyimpan rambut sepanjang satu meter sejak lahir mendakwa rambutnya digunting sepanjang 60 sentimeter. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/1/19/mstar_berita/20110119195308&sec=mstar_berita

Rambut remaja Sikh dikacip, ibu bapanya berang

Rambut remaja Sikh dikacip, ibu bapanya berang
Andrew Ong
Jan 18, 11
4:25pm

Ibu bapa seorang remaja Sikh yang menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berang apabila anaknya sedar dari tidur pada Ahad lalu dan mendapati rambutnya yang sepanjang hampir semeter telah dikacip.

Mengikut agama Sikh, memotong rambut atau disebut “kesh” dengan tegasnya dilarang.

Bapa kepada remaja itu, Surinderpal Singh, 47, berkata dia dan isterinya menjadi ntidak keruan dan kini tidak mahu anaknya itu menyambung latihan berkenaan.

"Dia trauma dengan kejadian itu. Esok, perkara lebih buruk mungkin berlaku,” kata Surinderpal ketika dihubungi oleh Malaysiakini.

national service weapons training 160905 detailsAnaknya, yang namanya dirahsiakan oleh ibu-bapa berkenaan berkata kejadian berkenaan berlaaku pada Sabtu lalu ketika mereka berlatih sepanjang hari. Akibat kepenatan, dia begitu lena sepanjang malam tersebut.

Menurut laporan polis, remaja itu, beliau menyedari sesuatu tidaak kena apabila pada sebelah pagi, ketika menyikat rambutnya dan dengan segera menghubungi bapanya.

"Dia sedang tidur di bilik dengan 10 pelatih lain dan apabila dia bangun, dia mendapati kira-kira 60 sm rambutnya telah dipotong.

"Kita tidak tahu siapa yang membuatnya tetapi kita percaya ada pelatih lain membuli dia," katanya.

Menurut beliau lagi, dia diberitahu bilik tersebut dikongsi oleh anaknya bersama enam pelatih Melayu, tiga pelatih Cina dan seorang pelatih India.

"Dia sedar, dia tidak lagi boleh membuat simpul,” kata Surinderpal, yang kebetulan adalah sami di sebuah kuil Sikh di Jalan Gurdwara, Ipoh.

Rambut budak itu pada asalnya mencecah sehingga paras punggung tetapi kini hanya pada paras dadanya.

Dia juga tidak tahu siapa yang bertanggungjawab ke atas kejadian itu dan gagal menjumpai sebarang rambutnya yang dipotong itu mahupun alat yang digunakan bagi mengacipnya.

Keberatan benarkan cuti

Menurut Surinderpal dia dan isterinya terus bergegas ke kem latihan Seri Impian di Sungai Bakap, Pulau Pinang untuk berjumpa dengan anak mereka pada hari yang sama.

Di kem itu, mereka menunggu hampir sejam untuk berjumpa dengan komanden yang tidak berada di lokasi tersebut memandangkan Ahad adalah hari rehatnya.

Semasa perjumpaan itu, komandan berkenaan dilaporkan berkata semua pelatih dilarang membawa gunting atau pemetik kuku. Katanya kemungkinan peralatan yang digunakan bagi memotong rambut remaja tersebut dibawa oleh ibu bapa mereka pada pertemuan dengan anak-anak mereka pada pertemuan hujung minggu.

"Saya juga ada bertanyakan kepada komandan kem dan pegawai kem yang lain tetapi mereka memberitahu saya adalah mustahil untuk mencari siapa yang berbuat demikian kerana ini boleh dilakukan oleh salah satu daripada pelatih yang hadir untuk kem berkenaan," katanya.

Menurutnya, komanden itu berjanji akan menyiasat tetapi hanya membenarkan anaknya bercuti sehingga 23 Januari ini, walaupun pada awalnya beliau agak keberatan memberikan kebenaran.

Surinderpal berkata apa yang dialami anaknya itu ibarat mimpi ngeri dan mahu jaminan keselamatan jika remaja itu dikendaki pulang semula untuk latihannya.

"Saya hilang keyakinan dengan pihak berkuasa kem. Saya bimbang anak saya akan dicederakan pula... Rambut anak saaya disimpan 18 tahun. Dalam dua minggu, semuanya hilang.

"Beliau amat terkejut. Kita sebagai ibu bapa juga terkejut, Kita dalam dilema sekarang.

"Hari ini, ia berlaku ke atas anak saya. Ia boleh berlaku lagi ke atas anak-anak berlainan agama. Bolehkah pihak berkuasa yakinkan ibu bapa bahawa kem latihan ini selamat?.

'Kita mahukan satu penyiasatan dijalankan," tegasnya.

Menurut Surinderpal, beliau juga terkilan dengan kurangnya perasaan hormat-menghormati di kalangan pelatih kem kerana mereka sepatutnya telahpun diajar berkenaan signifikan menyimpan rambut oleh penganut Sikh.

"Saya bukan menyalahkan para pelatih tetapi saya merasakan ini merupakan satu penghinaan terhadap agama Sikh, tambahan pula keselamatan patutnya lebih ketat," katanya.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/153744

Friday, June 11, 2010

Hanya ruam

Oleh Amir Abd Hamid

2010/06/11

SELAYANG: “Mungkin pelatih itu mengalami tekanan perasaan tetapi rekod perubatan di pusat kesihatan di kem PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) Batu Jong, Kuala Krai, Kelantan mendapati dia hanya ada ruam di badan,” kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau mengulas laporan Harian Metro, semalam, mengenai seorang pelatih kem PLKN Batu Jong, Wan Zharifah Wan Othman, 18, yang didakwa keluarganya mengalami hilang ingatan selepas mengikuti latihan lima minggu di kem terbabit.

Abdul Hadi berkata mengikut rekod pihaknya, remaja berkenaan melapor diri di kem PLKN Batu Jong, pada 27 Mac lalu. Tiga hari kemudian, katanya, pelatih itu menjalani pemeriksaan perubatan di pusat kesihatan dalam kem sebelum mendapati gadis berasal dari Kampung Laut, Kuala Terengganu, itu mempunyai ruam di badan.

“Kami dapati pelatih terbabit boleh menjalani latihan seperti biasa. Namun, pada 14 Mei lalu, gadis itu mengadu sakit dan kali ini memberi alasan sakit kepala dan dirawat di pusat kesihatan sama."

“Susulan itu, ibu bapanya datang ke kem sebelum membawa anak mereka pulang untuk membawa pelatih berkenaan berubat cara kampung dan kem komandan memberikan cuti tiga hari untuk tujuan terbabit. “Pihak kem komandan sudah menasihatkan pihak keluarga supaya membawa Wan Zharifah mendapatkan rawatan di hospital, namun hingga kini kami dimaklumkan mereka hanya berubat cara kampung,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan perasmian penutup Kem PLKN Temasya Rimba Templer Kumpulan 2 Siri 7/2010, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hanyaruam/Article

Saturday, May 29, 2010

Semua pelatih dilindungi insurans

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Perlindungan insurans untuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan bermula tiga hari sebelum pendaftaran dan berakhir selepas tujuh hari tamat latihan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, justeru, ibu bapa boleh membuat tuntutan sekiranya anak mereka terlibat dalam kemalangan dan sebagainya jika kejadian berlaku dalam tempoh berkenaan.


“Sekiranya pelatih terlibat dalam kemalangan atau kematian tiga hari sebelum mendaftar atau tujuh hari selepas menjalani latihan, ibu bapa pelatih boleh membuat tuntutan insurans daripada jabatan,” katanya.


Beliau berkata, dalam kes melibatkan kematian pelatih, ibu bapa atau keluarganya juga diberi wang khairat kematian. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Semuapelatihdilindungiinsurans/Article

Mana RM15,000?

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

2010/05/29

KEMAMAN: Layanan buruk pengurusan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tasik Chini, Pahang, terhadap seorang bapa yang ingin menuntut bayaran insurans anaknya kerana patah jari telunjuk tangan kanan pada Januari lalu dianggap tidak wajar serta memalukannya.

Selain itu, Ismail Gumati Omar, 49, dari Kampung Mak Lagam, dekat sini, juga mempertikaikan keputusan pengurusan PLKN itu yang enggan membayar pampasan insurans yang sepatutnya diperoleh anaknya kerana kecederaan itu dikelaskan sebagai kecederaan separuh kekal seperti tercatat dalam kontrak disediakan sebelum mendaftar diri ke pusat berkenaan awal tahun ini.


“Jika dikaji kontrak yang diberikan kepada ahli keluarga itu, anak saya sepatutnya mendapat pampasan RM15,000, tetapi pihak PLKN mendakwa anak saya tidak layak memperolehnya dengan alasan kononnya ia tidak tertakluk dalam tanggungjawab PLKN walaupun kejadian itu berlaku di kem.


“Paling mendukacitakan, pihak berkenaan langsung tidak prihatin dengan kecederaan yang dialami anak, selepas saja mengarahkan anak pulang ke rumah, pihak mereka langsung tidak bertanya khabar, malah ketika saya cuba bertanyakan tuntutan insurans, mereka hanya sekali menjawab panggilan saya dan seakan-akan cuba mengelak apabila dihubungi selepas itu.


“Apa tidaknya, berpuluh-puluh kali saya menghubungi pusat PLKN itu untuk bertanya dengan lebih lanjut mengenai tuntutan insurans, tetapi tidak dilayan, malah mereka enggan memberikan ulasan terperinci mengenai faktor yang menyebabkan anak saya tidak layak menerimanya,” katanya, semalam.


Menceritakan bagaimana kemalangan itu terjadi kepada anaknya, Ismail berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 5 petang selepas menjalani latihan, anaknya, Mohammad Zuhaimi, 18, berlatih lompat bintang (PT 10) di dalam asramanya sebelum jari telunjuk tangan kanannya terkena kipas siling.


“Akibat kejadian itu, jari tangan kanannya bengkak sebelum diperiksa kakitangan perubatan di kem dan mendakwa ia hanya luka kecil dan tidak serius, bagaimanapun menjelang malam jari dia semakin membengkak dan kebiruan.


“Cemas melihat jari anak begitu, jurulatih PLKN membawanya ke Hospital Pekan sebelum disahkan patah selepas membuat X-ray. Sehubungan itu, pihak PLKN terus menghubungi saya dan meminta saya mengambilnya untuk dibawa pulang,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ManaRM15_000_/Article

Saturday, May 22, 2010

Lima pelatih dijangkiti H1N1


Kem Sri Ledang, Tangkak yang menempatkan pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara.


LEDANG – Seramai 410 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ditempatkan di Kem Sri Ledang di sini kecoh apabila lima rakan mereka disahkan menghidap selesema babi atau influenza A (H1N1) manakala 60 yang lain menghidap penyakit serupa influenza (ILI) semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri Johor, Dr. Robia Kosai berkata, lima pelatih yang positif H1N1 itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan.

“Secara keseluruhan jumlah pelatih yang terjejas merangkumi 44 lelaki dan 21 perempuan. Empat daripada mereka telah pun diasingkan di dalam sebuah bangunan di kem tersebut.

“Kesemua mangsa juga telah diberikan rawatan antiviral. Kami juga giat memantau tahap kesihatan 60 pelatih lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Wednesday, May 12, 2010

Bayi PLKN

Oleh Mohd Razlan Salleh dan Junaidi Ladjana
am@hmetro.com.my
2010/05/12

PAPAR: Tangisan bayi pada awal pagi yang mengundang ketakutan di kalangan pelatih kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ovai di sini, terjawab apabila menemui bayi lelaki yang baru dilahirkan rakan mereka di dalam tandas pusat berkenaan, awal pagi semalam.

Bayi yang masih berdarah dan bertali pusat itu ditemui sekumpulan pelatih yang menyiasat arah tangisan berkenaan sebelum mengesan bunyi itu datang dari bilik air.


Sebaik memasuki tandas, kumpulan pelatih berkenaan terkejut melihat rakan mereka dalam keadaan tidak bermaya memegang bayi sebelum menghubungi pihak pengurusan memaklumkan perkara itu.


Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Nik Zaidi Nik Zakaria mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.


“Pelatih berasal dari Keningau berusia 18 tahun itu melahirkan bayi di dalam tandas kem berkenaan sebelum ditemui pelatih lain yang curiga mendengar bunyi tangisan bayi di kawasan berkenaan.


“Ibu muda bersama bayinya itu dibawa ke Hospital Papar untuk pemeriksaan lanjut dan kini dilaporkan stabil,”
katanya.


Katanya, bayi lelaki cukup sifat seberat 2.63 kilogram itu juga stabil dan sedang dirawat di hospital sama.


“Siasatan awal polis mendapati pelatih itu pernah menjalin hubungan rapat dengan lelaki dipercayai kekasih yang menetap di kampungnya di Keningau.


“Ketika mendaftarkan diri di pusat latihan itu pada Mac lalu, pelatih berkenaan dipercayai sudah berbadan dua,”
katanya.

Katanya, pelatih itu bijak menyembunyikan kehamilannya sehingga tidak disedari jurulatih dan rakan pelatih lain.


“Semua jurulatih mengaku tidak menyedari mengenai perkara itu sepanjang dua bulan pelatih berkenaan menjalani latihan di kem itu.


“Polis kini sedang mengesan seorang lelaki berusia 20 tahun yang boleh membantu siasatan,”
katanya.


Sementara itu, Nik Zaidi turut mengingatkan pihak pengurusan PLKN melakukan pemeriksaan lebih teliti terhadap pelatihnya.

“Saya mencadangkan pihak kem PLKN melakukan ujian kehamilan ke atas semua pelatih yang bakal memasuki pusat ini pada masa akan datang.


“Langkah ini bertujuan mengelak kes seperti ini berulang selain perkara tidak diingini berlaku,”
katanya.


Katanya, pihak bertanggungjawab perlu menjadi kejadian itu sebagai pengajaran dan iktibar.


"Apa akan terjadi dan bertanggungjawab jika pelatih bersalin ketika sedang mengadakan latihan lasak seperti memanjat dan sebagainya.


"Kita tidak mahu berlaku sesuatu buruk berlaku yang boleh menyebabkan nyawa pelatih dan bayi dikandungnya terancam,"
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BayiPLKN/Article

Friday, April 16, 2010

Kes saman RM11 juta pelatih PLKN 25 Mei

2010/04/16

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 25 Mei ini untuk pengurusan kes saman seorang bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berjumlah RM11 juta terhadap Kementerian Pertahanan dan tiga yang lain kerana lumpuh akibat cedera tulang belakang selepas melakukan tekan tubi, tiga tahun lalu.

Tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, A Kaveetha dalam kamarnya semalam. Peguam Kanan Persekutuan, Jamhirah Ali yang mewakili keempat-empat defendan memberitahu pemberita, mahkamah membenarkan kerajaan dan defendan lain meminda penyataan pembelaan dan menetapkan tarikh itu untuk pengurusan kes.


Pada 3 Julai 2007, Asila Latin Husna Abdul Bashir, 21, dan bapanya, Abdul Basir Abdul Rahman, (plaintif kedua) dari Pasir Mas, Kelantan memfailkan saman itu terhadap Jurulatih Kem Teluk Rubiah, Fadzilah Jalaluddin, dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Hadi Awang Kechil. Turut dinamakan sebagai defendan Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kerajaan Malaysia. Mereka memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, melalui Tetuan Haniff Khatri.


Dalam tuntutannya, Abdul Basir memohon ganti rugi am berjumlah RM5 juta dan ganti rugi khas termasuk perbelanjaan perubatan, kos penginapan serta kos rawatan susulan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KessamanRM11jutapelatihPLKN25Mei/Article/index_html

Thursday, July 30, 2009

H1N1: 11 kem PLKN ditutup tujuh hari


PULAU PINANG: Sebelas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di semenjung diarah tutup setakat ini berikutan pelatihnya menunjukkan tandatanda jangkitan influenza A (H1N1).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penutupan kem itu melibatkan 4,500 pelatih dan kirakira 200 petugas dan mereka diminta berada di rumah selama seminggu.

Beliau berkata semua aktiviti PLKN akan diadakan semua mengikut modul yang ditetapkan selepas semua pelatih dibenar kembali ke kem.

"Kami akan ambil tindakan sama ke atas kem PLKN yang lain jika keadaan yang sama berlaku di kem-kem itu. Terdapat 87 kem di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan petugas kem tentera Tun Razak di Bayan Lepas, di sini.

Ditanya jumlah pelatih yang disahkan positif virus itu, Ahmad Zahid berkata: "Kami tidak pasti berapa ramai yang dijangkiti tapi daripada maklumat yang saya dapat, tiada yang pulang dari dari luar negara, termasuk petugas kami".

Beliau meminta ibu bapa pelatih terlibat supaya tidak panik kerana kementerian akan mengambil tindakan drastik bagi mengatasi masalah itu.

Ahmad Zahid juga berkata pertandingan akhir kem PLKN terbaik seluruh negara yang dijadual 19 Ogos telah ditunda. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/30/mstar_berita/20090730114529&sec=mstar_berita

Wednesday, June 17, 2009

Kisah artis terlebih dalam PLKN

PUBLISITI melampau bagi menceritakan ‘salasilah’ dan kerenah golongan artis yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh menimbulkan rasa meluat peserta dan ibu bapa.

Kenyataan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron, ketika membahaskan Rang Undang-undang PLKN di Dewan Rakyat, semalam.

Idris berkata, beliau mendapati kemasukan artis ke dalam program berkenaan terlalu diperbesarkan sehingga menimbulkan rasa kurang senang peserta.

“Bukan itu saja, ada di antara mereka (peserta) yang selesai menjalani program berkenaan mendakwa program itu seperti masuk negara dan kenyataan (mereka) juga diperbesarkan.

“Sebenarnya, publisiti terhadap artis selain anggapan buruk terhadap PLKN perlu ditepis dengan menggunakan kaedah mengawal ‘khabar’ tidak tepat dilaporkan kepada umum,” katanya yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Sebelum itu, Idris menyarankan kepada Kementerian Pertahanan supaya tidak putus asa untuk melakukan penilaian terhadap keberkesanan program yang sudah menjangkau usia enam tahun.

Menurutnya, tempoh enam tahun itu sudah boleh menampilkan satu kesan dan ia perlu dinilai dengan menggunakan mekanisma yang boleh menampakkan keberkesanan program itu.

Tanpa menidakkan kemampuan program itu yang mampu membentuk generasi masa depan yang cemerlang, Idris berkata, tidak wajar semangat program itu hanya dipupuk untuk tempoh tiga bulan latihan saja.

“Kita perlu menjadikan proses PLKN ini sebagai antara perjalanan insan (rakyat Malaysia) sehingga mencapai usia 17 tahun,” katanya.

Friday, May 22, 2009

25 pelatih PLKN masih dirawat


ROSYATI YUSOF mengusap muka anaknya, Siti Nazlia Mohd. Nazir, 18, di Hospital Serdang semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 25 pelatih Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Setia Ikhlas, Semenyih masih menerima rawatan kerana disyaki mengalami demam selesema, berkurangan berbanding 30 pelatih kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini berkata, lima pelatih lagi sudah dibenarkan keluar dari bilik isolasi kem berkenaan.

Beliau berkata, daripada 25 pelatih yang masih dirawat, 19 pelatih dirawat di bilik isolasi kem, manakala lima lagi di Hospital Serdang dan satu di Hospital Kajang.

Katanya, lima pelatih yang dirawat di Hospital Serdang merupakan dua pelatih yang dirujuk dari Hospital Kajang manakala baki tiga pelatih dirujuk dari Kem PLKN untuk tujuan isolasi dan rawatan lanjut.

Dr. Ismail berkata, semua pelatih berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan dua pelatih yang dirawat di hospital dijangkiti infeksi respiratori iaitu infeksi Adenovirus. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Bukan Influenza A

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


SERDANG: “Saya dimaklumkan doktor anak perempuan saya mempunyai tanda-tanda awal menghidap penyakit Influenza A (H1N1).

Seluruh hidungnya bernanah dan dia akan ditahan selama seminggu,” kata Rosyah Yusof, 45, ibu kepada Siti Nadlia Mohd Nazir, 18, seorang daripada tiga pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Setia Ikhlas, Semenyih, dekat sini, yang dikuarantin di Hospital Serdang (HS), sejak semalam.

Difahamkan, tindakan kuarantin itu dilakukan berikutan 30 pelatih terbabit disyaki menghidap penyakit influenza selepas mengalami demam panas, namun pihak kementerian menafikan mereka dijangkiti penyakit H1N1.

“Saya berharap dia tidak dijangkiti penyakit itu dan segera sembuh,” katanya ketika ditemui di HS, semalam.

Tinjauan Harian Metro di hospital itu mendapati dua pelatih wanita dan seorang lelaki ditahan di bilik khas untuk proses kuarantin.

Manakala 27 lagi pelatih yang dikuarantin di bilik isolasi Kem Setia Ikhlas hanya demam biasa dan dijangka dibenarkan keluar dalam masa terdekat.

Sementara itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menasihatkan ibu bapa semua pelatih yang dikenal pasti mempunyai simptom influenza, tetapi tiada kaitan dengan Influenza A (H1N1) tidak panik dan sentiasa mendapatkan maklumat lanjut mengenai simptom itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata semua pelatih terbabit diberi rawatan dan pengawasan ketat oleh Kementerian Kesihatan dan Hospital Serdang.

“Doktor sedang menunggu keputusan ujian darah yang dijangka keluar selewat-lewatnya esok (bagi pesakit yang sedang dirawat).

“Dua pembantu perubatan sudah dihantar ke kem itu bagi mengawasi keadaan pelatih lain,”
katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, dalam kenyataannya semalam, berkata semua pelatih terbabit disyaki mengalami simptom influenza, namun dipercayai tiada kaitan dengan Influenza A (H1N1).

“Mereka mengalami gejala demam, batuk ringan, sakit tekak dan sakit badan sejak 14 Mei lalu sebelum diberikan rawatan susulan.

“Seramai 26 pelatih kini dirawat di bilik isolasi kem itu, manakala tiga lagi dirawat di Hospital Serdang dan seorang daripada mereka ditahan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU),”
katanya.

Dr Ismail berkata, pihaknya akan membuat pengawasan dan kawalan bagi menangani situasi itu termasuk melakukan pengawalan vektor untuk memastikan virus berkenaan tidak menular.

“Antara tindakan diambil ialah semburan kabus, kajian aedes, pemantauan, pemeriksaan harian semua pelatih, merawat serta merujuk kes yang berisiko ke hospital berhampiran,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Kesihatan berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca dan jenis influenza berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan influenza itu tidak mempunyai kaitan dengan Influenza A (H1N1).

“Kami baru menerima kes itu pagi ini (semalam). Sampel sudah dihantar untuk pemeriksaan dan kami mungkin memerlukan beberapa hari untuk menentukan puncanya,” kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pelatih yang dimasukkan ke wad ICU itu disyaki menghidap demam denggi.

“Ia mungkin influenza bermusim yang biasa atau denggi, kami masih menunggu keputusan ujian kerana kedua-duanya boleh berlaku serentak,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521061519/Article/index_html

104 pelatih PLKN keracunan lepas makan ‘ayam busuk’



PASIR MAS: Hidangan makan malam berlauk ‘ayam busuk’ dipercayai menjadi punca 104 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem Cancun Park di sini, mengalami keracunan makanan, kelmarin.

Daripada jumlah itu, 35 pelatih dihantar ke tiga hospital termasuk Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC) dan Hospital Pakar Perdana untuk rawatan lanjut.

Kejadian kali ketiga membabitkan kem sama tahun ini menyebabkan seorang pelatih terpaksa ditahan di wad manakala yang lain menerima rawatan pesakit luar.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku selepas semua pelatih menikmati hidangan nasi goreng berlauk ‘ayam busuk’ yang disediakan kontraktor makanan kem itu untuk sajian makan malam.

Selepas 45 minit menikmati hidangan itu, pelatih mengadu sakit perut kepada jurulatih menyebabkan mereka dibawa ke hospital untuk rawatan.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Wan Mansor Hamzah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan pelatih PLKN kem itu, kira-kira jam 12 tengah malam.

“Malam tadi (kelmarin) berlaku satu lagi satu episod keracunan membabitkan pelatih PLKN. Berdasarkan siasatan, kami percaya kejadian itu berpunca daripada hidangan ayam busuk yang dinikmati bersama nasi goreng,” katanya pada sidang media di Hospital Pasir Mas di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan turut mendapati, pelatih kem sudah tiga kali i keracunan makanan berikutan kegagalan kontraktor menguruskan hidangan dengan baik dan bersih.

Kejadian pertama direkodkan pada 14 April lalu apabila 17 pelatih kem itu keracunan makanan selepas menikmati nasi ayam diikuti kejadian kedua, pada 12 Mei lalu membabitkan menu sama.

“Keadaan itu menyebabkan Jabatan Kesihatan negeri terpaksa menyita premis terbabit sebelum kerja penyediaan makanan diserahkan kepada pengusaha luar, namun keadaan tetap sama,”
katanya.

Beliau berkata, pihaknya menutup premis makanan itu serta-merta sebagai langkah berjaga-jaga.

“Masalah ini (keracunan) boleh dielak jika pelatih dan jurulatih PLKN mengambil berat mengenai petunjuk keracunan seperti makanan berbau supaya tidak mengalami keracunan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521061538/Article/index_html

Thursday, May 21, 2009

30 pelatih PLKN ada tanda influenza

May 20, 09 5:05pm
Satu wabak disyaki influenza telah berlaku di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Setia Ikhlas di Semenyih dengan setakat ini 30 orang telah dikenal pasti mempunyai simptom influenza. 

ismail mericanKetua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican dalam satu kenyataan hari ini berkata pelatih tersebut mempunyai gejala demam, batuk yang ringan, sakit tekak dan sakit badan sejak 14 Mei lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 26 telah dirawat di bilik isolasi kem, tiga di Hospital Kajang - seorang daripadanya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua lagi di wad perubatan.

Seorang lagi pesakit telah keluar dari hospital semalam, menurut kenyataan itu, lapor Bernama.

Dr Ismail berkata kementerian itu akan membuat pengawasan dan kawalan dalam menangani situasi tersebut termasuk melakukan pengawalan vektor iaitu semburan kabus dan kajian aedes, pemantauan dan pemeriksaan harian semua pelatih, merawat dan merujuk kes yang bergejala ke hospital terdekat.

Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Kesihatan berkata jabatan itu telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber dan jenis influenza itu.
    
Beliau turut memberikan jaminan yang influenza itu tidak mempunyai kaitan dengan Influenza A (H1N1).
    
"Kami baru menerima kes itu pagi ini. Sampel telah dihantar untuk pemeriksaan dan kami mungkin memerlukan beberapa hari untuk menentukan puncanya," kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan semasa dihubungi Bernama.
    
Katanya pelatih yang dimasukkan ke wad ICU itu disyaki kes denggi.

"Ia mungkin influenza bermusim yang biasa atau denggi, kami masih menunggu keputusan ujian, kerana kedua-duanya boleh berlaku serentak," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/104721
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...