Showing posts with label Ungkapan Emas - Mutiara Kata. Show all posts
Showing posts with label Ungkapan Emas - Mutiara Kata. Show all posts

Tuesday, August 9, 2011

Kepada Cendekia Solidar

Kepada Cendekia Solidar
A Samad Said
Ogos 8, 11
11:28am

Kepada Cendekia Solidar

Kita wajar ikhlas murnikan sumber kuasa bangsa,
menghakis label-label bongkak yang disusup puaka,
Kini para bangken sedang berlindung di sebaliknya
dengan media gergasi pertajam taring dustanya.

Cendekia muda kini tenaga tulus dan waja
semakin cekal bangkit sebagai wewira perobah.
Mereka tentangi kuasa cemar berlendir dosa,
berazam melawannya demi mengharum satu era.

Pening gas dan pedih air mencemar dekad merdeka;
kuasa bobrok ghairah merongrong demokrasi luka.
Kita wajar mensyahdukan benih kuasa yang sakti,
dan dengan khusyuk mendeklamasi puisi berani.

Senja ini lara, dan kita tetap menyembuhkannya.
Ya, kita dakapi demokrasi tulen seakrabnya.


A Samad Said


http://malaysiakini.com/news/172286

Monday, July 11, 2011

Harapan Pejuang Keadilan

Abu Anas Luqman Al-Kelantani




Hati berdetik.. adakah aku mampu sampai kesana?

Atau tergantung tersungkup disua gas dan air



Takutkah aku?

Kepada siapa aku perlu takut sebenarnya

Pencipta atau yang dicipta?



Akhirnya hari itu aku lalui

Penuh sarat kepedihan terasa pada diri

Ingin diluahkan sahaja yang terbuku dihati

Kepada kawan-kawan dikongsi



Gambar-gambar kepahitan berlegar-legar dengan sendiri

Tanpa perlu aku catatkan notanya

Ianya mudah difahami bagi yang mengerti, yang memahami



Seluruh dunia membuka mata penuh mengerti

Bahawa kami mencari keadilan

Bukan ingin meruntuh seperti yang diwarkan



Tawarnya hati mereka menyambut kami

Rakyat marhaen yang merindui keadilan



Tidak apalah jika tidak mahu mendengar kami

Kami yakin pada Yang Maha Mendengar, Peguasa Arasy

Mendengar rintihan hamba-hambaNya yang dikasihi



Ucapan terima kasih kami akhiri

Pada penguasa yang begitu keras layanannya pada kami

Sanggup kami dilayan seperti kambing biri-biri

Membelasah kami hingga lupa diri

Walhal diri seorang hamba abdi seperti juga kami



Pesan kami pejuang keadilan

Tunggulah hari dimana anda pula akan dilayan seperti itu

Bahkan lebih teruk dari itu

Hari dimana penyesalan tiada lagi berguna

Itulah hari kemenangan kepada pejuang yang mencari keadilan



Abu Anas Luqman Al-Kelantani
11 Julai 2011


http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/seni-budaya/4294-harapan-pejuang-keadilan

Sunday, July 10, 2011

Apabila tangan menjadi kaki – oleh Aishah


6 July 2011

Mengenangkan kata-kata A.Samad Said tentang penulis yang carma (cari makan), langsung teringat pada satu sajak yang bernuansa hampa oleh Muhammad Hj Salleh;

suaranya mengajarkan dengan kuasa ulang,

dengung dan rentaknya mengatur kehendak.

dialah penonton dirinya

yang memahami akan kesan suka kata

dan lonjak rasa di anak lidah.

kata-kata jadi banjir

kadang-kadang tiada tembok untuknya,

makna ditembusi bunyi

atau tertanam pada dasar diri,

kata hati tercerai dari kata mulut,

rasa berdosa disembunyi oleh kerajaan.

Sekarang di puncak usianya

Dia diagungkan oleh bunyi-bunyi merdu,

Tapi dikebumikan oleh kata-kata kosongnya sendiri.

tidak kukenalinya lagi

kawan lama

yang pernah peka pada bahasa

dan irama jiwa jejak lurus.

Ahli Politik, 23 November 1975

Kata orang dalam puisi kita temukan keperibadian penciptanya, kadang-kadang. Mungkin atas percaya-kata tidak mampu terlepas daripada kepentingan penciptanya, yang niatnya suci atau tercemar. Jika manusia itu produk sosial, bahasa pun tak lari jauh.

Biasa bagi penyair menzahirkan kehidupan ideal dalam puisi. Boleh jadi sebagai kritik sosial. Dan ada juga dibayar untuk mencipta kehidupan kedua, novel-novel cinta kasih, rindu dendam, rahsia kelambu, semuanya menjauhkan masyarakat daripada realiti. Penerbit buku suka ini. Bahasa yang dicari-cari ramai orang. Tak percaya? Cuba tanya PENERBIT BANGUNLAH HOI. Akhirnya, tulisan Kereko yang lebih dihargai lipas dan tikus.

Begitulah..

Ada yang ditidurkan dengan lullaby, ada yang dibangunkan dengan kata ala welstanchung – entah dari daerah mana dan ada yang melatah dengan p**kimak, kata kesat lagi keras bunyinya. Dan tidak banyak juga dengan kata laillaha ilallah. Tidak kurang juga dengan Zzzzzz. Macam-macam.

Burung juga masih kenal tempatnya, di atas dahan, anamatopeia yang tidak difahami melainkan bangsanya, mungkin itu lagu kebebasan. Bukan menuntut melainkan meraikan. Penyedap telinga bagi orang yang memikirkan masalah negara, agama, motosikal atau kekasih lari dikebas binatang.

Manusia itu sungguh pelik, di belakang katanya tajam kalah pedang, di depan manis daripada gula, Ya Tuan. Kata-kata ini berubah-ubah agar ia dapat digunakan lagi dan lagi. Jika terlalu jujur, tiada siapa-siapa yang ingin mendengar tetapi menuduhnya gila!

ini bukan daerah berterus terang.

janganlah bicara dengan suara percaya.

jangan menjawab soalan,

yang diminta hanyalah pujian dan ukir bahasa.

ini bukan daerah berterus terang

jikalau kau bercita-cita,

belajarlah menyembunyikan keris di belakang

dan menusuk di waktu memaling pandang

luangkan waktu untuk istiadat,

tekunlah menghantar dan menyambut tuan,

aturkan supaya selalu hadir di pertemuan rasmi

tapi jangan lupa, usaplah kepala anaknya.

sebelum pulang tanyakan harga kereta barunya

dan bagaimana dia mengilatkannya.

dalam sedikit masa

kau pula akan berpangkat,

merangkai huruf di belakang nama,

malah, lebih beruntung, juga di depannya.

Kau akan jadi ketua

Dan menuntut semua ini dari anak buahmu.

Ini Bukan Daerah Berterus terang oleh Muhammad Hj Salleh

Gila kerana terlalu berani. Gila kerana tak sedar diri. Tetapi itu jugalah Melayu, memilih untuk berdiam, diam itu emas katanya. Namun, di sisi lain, diamnya ada makna! Ingat-ingat pesan Usman Awang, merendah bukan menyembah, dan hebat amuknya (Melayu) tak kenal lawan.

Dan apabila tangan menjadi kaki di bumi, ia menusuk lawannya dengan peraturan sendiri. – Roketkini.com

NOTA PENGARANG:

  • Dalam satu majlis pada Ahad lalu, Sasterwan Negara Datuk A Samad Said mahu para intelek berhenti bersikap “carma” (cari makan) untuk menjadi berani menegaskan pendirian dalam soal kezaliman, kekejaman dan ketidakadilan. Baginya, para intelek termasuk penulis dan wartawan jarang sekali menyatakan pendirian terbuka kerana kebanyakan mereka adalah manusia “carma”. Sikap sedemikian telah mengakibatkan kebejatan biak berkembang.
  • Empat Sasterawan Negara – Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan – dalam satu kenyataan semalam menyatakan: “Di sebuah negara seperti Malaysia, kebebasan bersuara dan berkarya merupakan salah satu jaminan prinsip demokrasi. Pada pandangan kami SN (Sasterawan Negara) Datuk Dr A Samad Said hanya memanfaatkan bakat seninya untuk menzahirkan pandangan serta tafsirannya terhadap isu semasa berhubung proses pilihan raya negara ini. Sajak “Unggun-Bersih” sepatutnya diterima sebagai sebuah puisi kontekstual penyair dengan anggota masyarakatnya, dan berada di atas perkiraan politik. Adalah menjadi salah satu peranan penulis untuk memindahkan denyut kehidupan anggota masyarakat ke dalam karya, atau menzahirkan dalam pelbagai bentuk manifestasi atau tindakan yang difikirkan sesuai oleh seseorang pengaran.”
  • Keempat-empat Sasterawan Negara itu turut menyuarakan tentang tangkapan pihak polis terhadap rakyat yang mahu kepada pilihan raya bebas, adil dan bersih: “Kami juga menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera, dan wakil mereka diajak berunding. Suasana dan kesan positif hendaklah merupakan hasil yang diharapkan. Sebagai sebuah negara maju yang memilih demokrasi sebagai landasan falsafah dan amalan politik, Malaysia harus dapat mengimbangkan kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam”.

http://roketkini.com/2011/07/06/apabila-tangan-menjadi-kaki-oleh-aishah/

Saturday, July 9, 2011

100 seniman pertahan sajak pro-BERSIH

Jul 8, 11 6:06pm

Lebih seratus seniman pelbagai bidang hari ini tampil mengkritik tindakan polis menyiasat Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang disiasat bawah akta polis dan akta hasutan kerana membaca sebuah sajak pro-BERSIH.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kumpulan itu mempersoalkan sama ada benar penyair 76 tahun itu melakukah jenayah besar hanya dengan membacakan puisi 'Unggun Bersih' pada pelancaran BERSIH 2.0 sebelum ini.

NONE"Dalam hal ini, kami meluahkan kedukaan yang amat dalam.

"Kami merasa terganggu bahawa selepas setengah abad negara ini diasaskan, ruang untuk kebebasan kreatif tidak banyak berkembang, malah lebih teruk lagi, kehidupan kita masih lagi diselubungi budaya ketakutan," kata mereka.

Antara sekumpulan pelukis itu, seniman bidang lain yang tampil termasuklah kolumnis Farish A Noor, penulis Dr Siti Zainon Ismail, aktivis teater Marion D'Cruz dan Jo Kukathas serta pengkritik sastera Eddin Khoo.

Selain itu, turut menyokong, lima organisasi sekitar Kuala Lumpur, termasuk penggiat teater Rumah Anak Teater, Five Arts Centre dan Instant Cafe Theatre.

Sebelum ini, diketuai aktivis teater Che Samsuddin Othman atau Dinsman, sekumpulan penulis, kebanyakannya sasterawan, tampil menyatakan pendirian sama dalam sidang media di Shah Alam.

NONEDalam kenyataan hari ini, kumpulan itu menjangkakan lebih banyak tindakan tidak masuk akal "menggari" dan "membelenggu" akan terus dikenakan terhadap "pencipta budaya" yang mendokong keadilan dan mengejar demokrasi .

Sehubungan itu, "tindakan berat berhelah politik" itu akan membawa rakyat Malaysia mundur 50 tahun ke belakang dalam pembangunan budaya negara ini.

Kenyataan bersama 128 seniman itu, mereka juga menegaskan:

  • Semua pencipta budaya memiliki hak memilih pendirian politik peribadi dan kebebasan kreatif yang merupakan salah satu hak asasi manusia yang tidak boleh ditolak ansur.
  • Menyeru pihak penguatkuasa undang-undang untuk mengangkat amalan profesional dengan kebijaksanaan bukannya menggunakan perundangan lapuk untuk menganggu aliran dialog yang waras.
  • Menyokong lapan tuntutan yang diperjuangan BERSIH 2.0.

"Apapun yang terjadi, kami berharap kesemua jiwa dan hati yang diperangkap akan dibebaskan, dan ke atas negara semoga akan memancarkan sinar cemerlang kemanusiaan!" kata mereka.


http://malaysiakini.com/news/169344

Friday, July 8, 2011

Peludah Warna

Peludah Warna
A Samad Said
Jul 7, 11
7:46pm


Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A Samad Said


http://malaysiakini.com/news/169252

Wednesday, June 29, 2011

Pak Samad: Puisi sudah jadi 'senjata'

Salhan K Ahmad
Jun 27, 11
5:36pm

Sasterawan negara Datuk A Samad Said berkata, siasatan polis yang dijalankan ke atasnya hari ini menunjukkan puisi telahpun menjadi "satu senjata" dan bukan lagi satu hiburan semata-mata.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan rasa sedih ke atas tindakan polis yang menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Akta Hasutan, sedangkan puisinya itu mengandung niat "murni."

"Apa yang saya lakukan ialah merakamkan satu peristiwa di mana saya fikir, untuk memperbaiki suasana, bukan untuk memperburukkan suasana.

NONE"Dalam puisi saya itu memang saya katakan kita sebenarnya perlu mempersuci demokrasi bukan memperkeruhkan atau mencemarinya.

"Dalam puisi itu adalah saranan-saranan yang saya fikir amat suci yang sepatutnya dihargai bukan dicurigai," katanya lagi ketika mengulas siasatan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan itu.

Beliau turut disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.

Tanpa menunjukkan rasa gentar, A Samad turut menepis pandangan bahawa tindakan pihak polis itu akan terus menekan golongan karyawan daripada menyatakan pandangan mereka mengenai perkembangan semasa.

"Barangkali (polis) memberi amaran, tapi itu kalau seorang sasterawan, ini sememangnya lebih mendorongnya, menaikkan semangatnya oleh kerana mereka mulai tahu kesusasteraan mempunyai kuasa juga.

"Saya fikir puisi sekarang sudah diterima sebagai alat berkesan sebagai senjata. Dulu puisi ini untuk menghibur-hiburkan saja, sekarang rupanya puisi sudah mendapat perhatian yang amat luar biasa," katanya lagi ketika ditemui selepas disiasat lebih sejam hari ini di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Siasatan hari ini merupakan tindakan kedua ke atas A Samad selepas tindakan sama dijalankan ke atasnya pada Mac 2009 berhubung dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Terdahulu ketika dihubungi Malaysiakini, A Samad berkata ucapan berkenaan turut dimuatkan di laman blog peribadinya – samadsaid.wordpress.com.

Ucapan berkenaan antara lainnya menyentuh mengenai gambaran media arus perdana ke atas kumpulan BERSIH 2.0.

"Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal.

"Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan 'siasah' yang sangat bercita-cita buruk.

"Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat," ucapan itu dipetik.


http://malaysiakini.com/news/168154

Unggun-Bersih

Unggun-Bersih
A Samad Said
Jun 28, 11
9:49am

Semakin lara kita didera bara -
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita - demokrasi luka;
lama duka kita - demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

A Samad Said


http://malaysiakini.com/columns/168188
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...