Showing posts with label New Invention. Show all posts
Showing posts with label New Invention. Show all posts

Saturday, March 19, 2011

Iran berjaya cipta piring terbang



AGENSI berita Fars menyiarkan ilustrasi yang menunjukkan bentuk piring terbang ciptaan saintis Iran yang kelihatan sama dengan gambar piring terbang dalam filem keluaran Hollywod pada tahun 1950-an.


TEHERAN - Para saintis di Iran berjaya mencipta piring terbang yang pada kebiasaannya dikaitkan dengan teknologi makhluk asing, lapor sebuah akhbar semalam.

Agensi berita Fars di negara itu turut menyiarkan ilustrasi sebuah piring terbang yang didakwa ciptaan para saintis negara berkenaan yang sedang berlegar-legar di sebuah kawasan hutan.

Dalam ilustrasi itu, bentuk piring terbang tersebut mirip sebuah piring terbang yang terdapat dalam satu filem keluaran Hollywood pada 1950-an.

Menurut laporan tersebut, ukuran dan saiz piring tersebut tidak dinyatakan tetapi mendakwa ia kecil dan mampu terbang.

"Antara kelebihan piring terbang itu adalah ia merupakan pengangkutan yang mudah dikendalikan ketika mula bergerak, semasa terbang dan bunyi yang tidak kuat.

"Ia dikendalikan secara automatik dengan dilengkapi penstabil imej, sistem penentuan global (GPS), perakam aerial dengan gambar kualiti HD (berdefinisi tinggi)," lapor agensi berita ISNA.

Cita-cita Iran dalam mengembangkan program angkasa lepas telah mengejutkan dunia Barat.

Pada tahun lepas, negara itu turut mengumumkan kejayaan melancarkan roket ke angkasa lepas yang membawa tikus, kura-kura dan cacing.

Iran sering kali mengemukakan kejayaan mereka yang pelik dalam bidang saintifik dengan bukti-bukti yang sukar dipercayai.

Tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Teluk Parsi masih lagi belum mengesan sebarang kehadiran piring terbang Iran itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Thursday, February 24, 2011

USM cipta kit kesan bakteria kolera


PENYELIDIK USM, Boon Huat (kiri) dan Ang Lim menunjukkan kit pengesan kolera yang dibangunkan di Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Kumpulan penyelidik di Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta kit ujian khas bagi mengesan kehadiran bakteria kolera dengan cepat.

Diketuai oleh penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Dr. Lim Boon Huat, kit ujian EzCholera Ghenostick dibangunkan bersama enam penyelidik lain iaitu Prof. Dr. Ravichandran Manickam, Prof. Dr. Lalitha Pattabhiraman, Dr. Chan Yean Yean, Dr. Chua Ang Lim, Balqis Kamarudin dan Elina Husni Tan.

Menurut Boon Huat, kolera adalah sejenis penyakit bawaan bakteria vibrio cholera yang sehingga kini telah menjangkiti jutaan manusia ekoran persekitaran yang tidak bersih serta berpunca daripada air dan makanan yang tercemar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Monday, January 24, 2011

Jepun cipta beca elektronik




TOKYO - Pengangkutan lama kembali menjadi baru apabila sebuah syarikat Jepun memperkenalkan beca elektronik mesra alam pada Pameran Teknologi Automotif dan Elektronik di Tokyo, Rabu lalu.

Beca Meguru adalah kenderaan beroda tiga dengan tiga tempat duduk dan digerakkan menggunakan kuasa hanya sebuah bateri litium-ion dan mampu mencecah kelajuan maksimum 40 kilometer sejam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yodogawa, Nobuyuki Ogura berkata, kenderaan itu lebih mesra alam kerana menggunakan buluh yang dikitar semula dan dilengkapi tingkap boleh ubah, kincir angin dan selimut untuk disesuaikan dengan musim dan suhu persekitaran.

Beca berharga satu juta yen (RM37 ribu) itu juga boleh dihapuskan secara mesra alam tanpa memberi sebarang kesan buruk kepada alam sekitar.

"Kami menggunakan bahan semulajadi dalam menghasilkan beca ini jadi jika anda sudah tidak mahu menggunakannya, anda boleh menanam kenderaan ini dalam tanah," menurut Ogura.

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8652518.asp

Wednesday, January 19, 2011

Halia hutan boleh rawat kanser

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menemui teknologi perubatan baru bagi merawat penyakit kanser serviks (pangkal rahim) dengan menggunakan herba semula jadi yang dikenali sebagai lempoyang atau halia hutan.

Penyelidiknya, Dr Ahmad Bustamam Abdul, berkata penemuan membuktikan bahan itu sesuai digunakan untuk merawat pesakit kanser serviks dengan selamat apabila penggunaannya hanya mematikan sel tidak normal saja.


Katanya, walaupun menggunakan dos yang tinggi ia tidak membahayakan pesakit kerana ia tidak memberi kesan kepada tisu normal manusia.

“Penggunaan Z2 ini juga mengurangkan pelbagai komplikasi yang timbul pada pesakit kanser yang menjalani rawatan kimoterapi.


“Kami menjalankan kajian ke atas manusia serta model haiwan berpenyakit kanser serviks di makmal bagi kajian aktiviti anti- kanser terutama terhadap pangkal rahim,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Promosi Hasil Penyelidikan UPM, di Institut Biosains, semalam.


Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Saleh Jaafar dan Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Pusat Pengurusan Penyelidikan, Prof Madya Dr Samsilah Roslan.

Dr Ahmad Bustamam berkata, menerusi penemuan teknologi bahan semulajadi itu, kos rawatan pesakit kanser ini berkurangan berbanding penggunaan ubatan berasaskan bahan bukan semula jadi termasuk yang diimport yang menelan belanja tinggi.


“Bahan ini menjalani ujian praklinikal haiwan di makmal yang membuktikan ia mampu memberi dos terapeutik tinggi yang selamat serta berupaya membunuh sel kanser sama seperti ubatan anti- kanser komersial lain. “Bahan semula jadi ini amat stabil sehingga enam bulan dalam larutan air pada suhu bilik dan mampu dikomersialkan sebagai Douches and Suppositori,” katanya yang memulakan kajian pada 2002 bersama lima penyelidik lain di universiti berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Haliahutanbolehrawatkanser/Article

Monday, January 10, 2011

Enjin jet guna kuasa air


SEORANG lelaki menunjukkan demonstrasi penggunaan enjin jet di Sungai Thames, London pada Jumaat lalu.


LONDON - Seorang lelaki menggunakan enjin jet untuk terbang di udara dalam satu demonstrasi yang diadakan di sini pada Jumaat lalu.

Enjin jet yang mempunyai empat lejang dan menggunakan muncung air itu boleh bergerak selaju 35 kilometer sejam dan terbang pada ketinggian 10 meter.

Jurutera-jurutera dari Kanada mencipta enjin itu yang menggunakan kuasa air untuk terbang ke udara. Aksi lelaki itu terbang umpama dalam satu adegan yang pernah disiarkan filem James Bond. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Friday, January 7, 2011

Arkitek cipta simen lut cahaya


SEBUAH bangunan yang dibina dengan menggunakan simen lut cahaya dipamerkan di Ekspo Dunia di Shanghai, China pada tahun lalu.


ROM - Sekumpulan arkitek firma Itali, Italcementi mencipta simen lut cahaya dikenali sebagai i.light, lapor sebuah akhbar semalam.

Simen itu memiliki puluhan lubang halus yang membolehkan cahaya menembusinya tanpa menjejaskan kekuatan strukturnya.

Bahan tersebut berupaya menjimatkan kos elektrik kerana ia dapat menerangi bangunan pada waktu siang.

Setakat ini, satu-satunya bangunan yang dibina dengan menggunakan simen i.light adalah Pavilion Itali di Ekspo Shanghai, China pada tahun lalu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Tuesday, January 4, 2011

Saintis cipta hujan lebat di gurun




DUBAI - Sekumpulan saintis berjaya menghasilkan kira-kira 50 hujan lebat di rantau Al-Ain, Abu Dhabi pada tahun lalu dengan menggunakan teknologi ion, lapor sebuah akhbar semalam.

Para saintis tersebut dilantik oleh Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan untuk melaksanakan projek rahsia itu.

Kebanyakan hujan lebat itu berlaku semasa kemuncak musim panas iaitu pada bulan Julai dan Ogos.

Semasa hujan itu turun pada tahun lalu, penduduk bingung dengan kehadiran hujan lebat tersebut yang kadangkala diikuti dengan ribut petir.

Para saintis ini menggunakan pengion gergasi berbentuk seperti terendak lampu yang dipasang pada batang-batang besi untuk menjana medan partikel bercaj negatif yang dipanggil elektron.

Keadaan ini menggalakkan pembentukan awan dan diharap dapat menghasilkan hujan.

Dalam satu video rahsia, pengasas syarikat Switzerland yang bertanggungjawab ke atas projek tersebut, Metro Systems International mengakui usaha itu akhirnya membuahkan kejayaan.

"Kami berjaya menghasilkan hujan," kata pengasas Metro Systems International, Helmut Fluhrer.

Pada bulan Jun lalu, Metro Systems telah membina lima tapak pengionan yang setiap satu mengandungi 20 pemancar.

Pemancar itu mampu menghantar bertrilion-trilion ion yang membentuk awan ke atmosfera.

Menurut akhbar Sunday Times, sistem itu dipercayai berjaya menghasilkan hujan buat pertama kalinya.

Projek untuk mencipta hujan itu dipercayai melibatkan kos £7 juta (RM33.21 juta). - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Jualan rokok elektronik semakin meningkat di pasaran dunia



BEBERAPA sampel rokok elektronik.


PARIS - Pihak pengurusan syarikat pengeluar rokok elektronik, EdSylver menyatakan jualan rokok itu meningkat sejak 2007.

Rokok elektronik merupakan alternatif buat perokok kerana ia kelihatan seperti rokok biasa, diperbuat daripada bahan plastik, tidak mengeluarkan abu dan menghasilkan asap tiruan.

Rokok yang menggunakan kuasa bateri yang boleh dicaj itu boleh digunakan di kawasan larangan merokok.

"Sejak dilancarkan pada tahun 2007 jualannya menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus setiap tahun," kata seorang jurucakap syarikat EdSylver.

Rokok elektronik itu mula dicipta di China pada 2004.

Terdapat set rokok elektronik itu yang dijual di pasaran di AS pada harga AS$59.93 (RM184.85).

Rokok itu boleh diisi dengan nikotin yang terdapat dalam rokok biasa.

"Saya berasa gembira dengan rokok ini. Saya mahu mengulangi perasaan merokok tanpa nikotin," kata salah seorang pengguna rokok tersebut.

Pengasas bersama syarikat Rokok Elektronik Premium di Virginia, Amerika Syarikat (AS), Vitali Servutas berkata, jumlah jualan rokok elektronik keluaran pihaknya meningkat tetapi dia enggan mendedahkan jumlahnya.

Bagaimanapun, pakar tembakau di seluruh dunia menegaskan bahawa rokok elektronik itu tidak menyumbang terhadap kebaikan kesihatan dan menjejaskan kempen antimerokok.

Rokok itu turut mempunyai perasa seperti rokok Virginia Slims, Marlboro, Benson Hedges, 555, lemon dan vanila. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Thursday, December 30, 2010

Saintis buktikan kelemahan nombor PIN



GAJET yang dicipta Omar Chaodary bagi menipu mesin pengeluaran wang automatik.


CAMBRIDGE - Bank-bank di Britain didakwa cuba menyembunyikan kelemahan nombor pengenalan peribadi (PIN) yang terdapat pada kad kredit dan debit, lapor sebuah akhbar semalam.

Dakwaan itu dibuat selepas seorang saintis Universiti Cambridge, Omar Chaodary membuat pendedahan mengenai kelemahan tersebut dalam tesis sarjana falsafah.

Sistem cip dan PIN yang diperkenalkan pada 2006, bertujuan untuk mengurangkan penipuan kad kerana pencuri tidak dapat menggunakan kad yang dicuri tanpa mengetahui nombor PIN.

Namun, Omar mula mengkaji kelemahan sistem itu selepas ramai pengguna mengadu kad mereka dicuri dan nombor PIN mereka telah digunakan.

Sehingga kini, bank-bank di Britain mendakwa sistem keselamatan cip dan nombor PIN adalah kebal dan sukar untuk ditipu.

Bagaimanapun, Omar dalam penyelidikannya, telah mencipta satu gajet berharga semurah £20 (RM95) yang dapat menipu cip dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) supaya menerima kad kredit dan debit tanpa nombor PIN yang betul.

Peranti bersaiz kotak rokok itu disembunyikan dalam lengan baju semasa ia dilekatkan pada kad.

Apabila kad tersebut dimasukkan ke dalam mesin, ia menggunakan sistem elektronik bagi memastikan kad itu diterima.

Choudary berjaya membeli beberapa buku dan cakera padat (CD) berharga £50 (RM237) di Cambridge dengan menggunakan kad yang dipinjam dan alat yang dicipta itu bagi membuktikan kelemahan tersebut. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Tuesday, December 28, 2010

Individu gemar bersosial miliki saraf otak besar

NEW YORK - Satu kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati mereka yang gemar bersosial dan memiliki ramai kenalan memiliki kelompok saraf yang besar dikenali sebagai amigdala, lapor sebuah akhbar semalam.

Amigdala merupakan kelompok saraf berbentuk seperti kacang di dalam otak manusia. Kajian itu melibatkan imbasan ke atas 58 otak sukarelawan.

Dalam kajian itu, kumpulan yang menemui lebih ramai anggota keluarga dan rakan-rakan memiliki amigdala yang lebih besar berbanding mereka yang kurang bersosial.

Seorang penulis kajian berkenaan, Lisa Feldman Barrett dari Universiti Northeastern menyatakan, penemuan tersebut tidak memeranjatkan kerana amigdala berfungsi untuk membantu manusia mengenali sama ada seseorang itu merupakan rakan, orang asing atau musuh.

"Amigdala merupakan pusat kepada jaringan otak yang penting untuk aktiviti sosial," katanya.

Menurutnya, setiap orang mempunya satu amigdala yang sebahagiannya berada di sebelah kiri dan sebahagian lagi di kanan.

Kajian amigdala menjadi tumpuan pada awal bulan ini apabila beberapa penyelidik melaporkan mengenai seorang wanita yang memiliki amigdala yang tidak berfungsi.

Wanita berkenaan didapati tidak berasa takut dengan haiwan berbisa dan situasi yang mengancam dirinya. Seorang pakar otak, Arthur Toga dari Universiti California, Los Angeles menganggap kajian itu dilakukan dengan sempurna manakala keputusan yang dihasilkan adalah kukuh.

Menurutnya, idea untuk mengaitkan struktur otak dengan kelakuan manusia merupakan sesuatu yang menarik dan penting. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1228&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Wednesday, December 22, 2010

Saintis cipta tikus boleh berkicau seperti burung



SEEKOR tikus yang boleh berkicau seperti burung didedahkan kepada pemberita di Sekolah Graduan Penerokaan Biosains Universiti Osaka, barat Jepun semalam.


TOKYO - Saintis-saintis Jepun mengumumkan semalam mereka berjaya mencipta tikus yang boleh berkicau seperti burung dalam evolusi kejuruteraan genetik yang diharap dapat membantu merungkai asal usul bahasa manusia suatu hari nanti.

Sekumpulan penyelidik di Universiti Osaka menghasilkan haiwan tersebut menerusi kajian yang dinamakan 'Projek Evolusi Tikus' yang mana mereka menggunakan tikus modifikasi genetik yang cenderung bermutasi.

"Mutasi adalah pencetus evolusi. Kami telah membuat kacukan ke atas tikus modifikasi genetik selama beberapa generasi untuk melihat apa yang akan berlaku," kata ketua penyelidik berkenaan, Arikuni Uchimura.

"Kami memeriksa setiap anak tikus yang baru lahir dan pada suatu hari, kami mendapati seekor anak tikus tersebut boleh berkicau seperti burung," katanya.

Menurutnya, kelahiran tikus berkicau itu berlaku kerana hukum alam tetapi ciri-ciri berkenaan akan diwarisi oleh generasi akan datang.

Makmal tempat penyelidikan itu dibuat dikendalikan oleh Profesor Takeshi Yagi dari Sekolah Graduan Penerokaan Biosains Universiti Osaka, barat Jepun yang kini memiliki lebih 100 tikus berkicau untuk kajian lanjut.

Pasukan saintis itu berharap penemuan tersebut dapat memberi petunjuk berhubung bagaimana evolusi bahasa manusia berlaku.

Sebelum ini, saintis-saintis mendapati burung-burung yang berkicau menggunakan bunyi berbeza-beza dan menyusunnya seperti perkataan dalam bahasa manusia serta mempunyai tatabahasa tersendiri. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Thursday, December 9, 2010

Saintis kaji rahsia haiwan boleh pulihkan organ yang terputus


HAIWAN salamander Axolotl boleh memulihkan organ tubuhnya yang putus.


HANOVER - Anggota badan dan organ manusia yang kudung boleh tumbuh semula pada masa depan setelah sekumpulan saintis di Jerman semakin hampir membongkar rahsia bagaimana haiwansalamander menumbuhkan semula kakinya yang putus atau memulihkan organnya yang tercedera, lapor sebuah akhbar semalam

Kumpulan saintis Sekolah Perubatan Hanover di sini sedang mengkaji haiwan salamander Axolotl yang hidup di Mexico.

Mereka berjaya mengasingkan gen amfibia itu yang berfungsi menumbuhkan semula organnya dengan harapan gen berkenaan dapat digunakan untuk menumbuhkan organ manusia kelak.

"Proses penyembuhan haiwan salamander Axolotl berlaku dalam sekelip mata," kata seorang saintis kumpulan itu Björn Menger yang disiarkan dalam majalah tempatan, Spiegel pada minggu ini.

"Anda dapat menyaksikan sendiri proses penyembuhan itu berlaku," tambahnya.

Selain anggota badan, ia juga dapat memulihkan kecederaan pada otak dan saraf tunjangnya sekali gus meningkatkan harapan pesakit yang lumpuh untuk kembali berjalan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Saturday, November 27, 2010

Spesis baru ikan tanpa mata ditemui


GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan ikan tanpa mata di temui di kawasan timur Papua.


JAKARTA - Sejenis ikan tanpa mata dan katak yang membawa berudu di atas belakangnya merupakan antara spesies baru haiwan yang ditemui sekumpulan saintis di kawasan timur Papua, Indonesia.

Kumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Pembangunan Montpellier, selatan Perancis, membuat penemuan itu semasa mengkaji beberapa buah gua, sungai bawah tanah di kawasan pedalaman, Pulau Papua New Guinea baru-baru ini.

"Ikan ini setakat yang kami ketahui merupakan ikan gua pertama yang ditemui di Papua," kata saintis IRD, Laurent Pouyaud.

Penyelidikan selama tujuh minggu itu yang disertai beberapa ahli biologi, pengkaji haiwan dan pakar arkeologi merupakan projek perintis bagi mengkaji kepelbagaian hidupan di rantau berkenaan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Maritim Indonesia dan Institut Sains. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Fomca bantah uji kaji nyamuk transgenik

Nov 24, 10 5:30pm

Kumpulan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini membantah pelaksanaan uji kaji lapangan bagi nyamuk jantan transgenik, iaitu nyamuk yang diubah suai secara genetik bagi mengawal populasi nyamuk aedes, kerana tidak yakin dengan keberkesanannya.

aedes mosquito 180910 aedes mosquitoSetiausaha Agungnya Muhammad Sha'ani Abdullah berkata maklumat teknologi transgenik masih baru di Malaysia dan penggunaan nyamuk jenis itu mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk berubah menjadi pembawa/vektor penyakit yang lebih dahsyat.

"Maka, sebarang uji kaji yang mendedahkan ke arah kemungkinan demikian harus dielakkan sebelum mendapat bukti-bukti yang kukuh yang meyakinkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sha'ani berkata terdapat juga negara-negara lain yang mengalami jangkitan dan kematian lebih tinggi akibat wabak denggi namun tidak terdesak untuk mencuba kaedah yang masih belum terbukti keberkesanannya itu.

dengue malaria mosquito outbreak fogging 290905"Bilangan mangsa wabak denggi dalam negara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membelakangkan langkah keselamatan dari aspek pencegahan," katanya.

Sha'ani berkata kawalan biologi menggunakan nyamuk transgenik memerlukan pembiakan dan pelepasan populasi nyamuk berulang kali dalam persekitaran habitat terbuka akan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

"Ia akan melibatkan tempoh waktu yang berterusan termasuk untuk mencari alternatif kepada kepada 'strain' dan mutan yang kebal," katanya.

Selain itu, katanya keadaan yang masih tidak pasti mengenai nyamuk transgenik itu juga menimbulkan kekhuatiran kepada orang ramai mengenai tahap keselamatan semasa uji kaji itu dijalankan nanti.

malaysia dengue pandemic 191208 01Beliau juga mencadangkan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) sebagai satu agensi awam yang menggunakan teknologi swasta supaya menjelaskan terma-terma dan syarat kerjasama yang terjalin sekian lama.

Ujikaji itu, yang diputuskan pada 5 Okt lalu oleh Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK), akan dilakukan oleh IMR di Bentong, Pahang dan Alor Gajah, Melaka.

http://malaysiakini.com/news/149069

Sunday, November 14, 2010

Kereta sport elektrik pertama Britain


JUTAWAN Dale Vince bergaya di sisi kereta elektriknya yang berharga £1 juta.


LONDON - Seorang jutawan di Britain, Dale Vince, 48, membelanjakan hampir £1 juta (RM5 juta) untuk membina kereta sport berkuasa elektrik pertama di Britain, lapor sebuah akbar semalam.

Dinamakan Nemesis, kereta elektrik tersebut yang memiliki 330 kuasa kuda (bhp), mampu memecut 0-160 kilometer sejam (km/h) dalam masa cuma 8.5 saat iaitu lebih laju daripada sebuah Ferrari.

Vince yang merupakan pengasas sebuah syarikat pembekal tenaga berasaskan kincir angin di Britain, mengupah sepasukan jurutera untuk membina kereta sport itu berdasarkan platform kereta Lotus.

Ia mampu bergerak sejauh 2,500 kilometer sebelum dicas selama dua jam dengan menggunakan soket pengecas segera atau 8 hingga 9 jam jika dicas di rumah. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Sunday, November 7, 2010

'Tongkat sakti' Jariah


JARIAH menggabungkan teknik rawatan kristal dan reiki untuk merawat pesakit.


DR. Jariah Abdullah, 64, mengubat pesakitnya dengan cara yang agak pelik iaitu menggunakan sebatang tongkat kristal.

Tongkat sepanjang 40 sentimeter itu digunakan bekas pensyarah kimia di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini untuk mengenal pasti penyakit seseorang.

Pada pandangan mata kasar, tongkat itu sekadar mengandungi plastik, batu kristal dan kayu. Ia dibeli Jariah di Itali pada harga hampir RM2,000. Bentuknya seperti kayu rotan.

Namun, uniknya tali pada tongkat itu menjadi penentu tahap kesihatan fizikal dan mental seseorang.

Jika tali itu cenderung ke kiri, ia bermakna pesakit sedang menghadapi masalah tekanan tetapi jika sebaliknya, mereka sihat.

Secara ringkas, kaedah rawatan yang amalkan Jariah ialah perubatan menggunakan kuasa minda dan tenaga dalaman.

“Memang kepakaran saya dalam bidang kimia tetapi saya turut mempelajari kaedah perubatan alternatif dikenali sebagai reiki.

“Reiki ialah satu teknik perubatan dari Jepun yang bertujuan mengurangkan tekanan dan merehatkan tubuh.

“Saya menganalisis tenaga yang terdapat dalam badan seseorang. Jika tenaga itu lemah, mereka akan mudah jatuh sakit dan tertekan, begitulah sebaliknya,” kata Jariah sambil menambah, rawatan reiki lebih berbentuk terapi.

Reiki ialah amalan kerohanian yang dimajukan oleh rakyat Jepun, Mikao Usui pada tahun 1922. Salah satu aspek amalan ini dinamakan tenohira atau penyembuhan tapak tangan.

Sentuh

Menerusi teknik ini, si pengamal percaya dirinya dapat mengalirkan tenaga penyembuhan.

Tenaga berkenaan mengalir melalui tangan pengamal sebaik sahaja beliau menyentuh pesakit.

Selain itu, rawatan reiki boleh dilakukan daripada jarak jauh menggunakan alatan sama seperti tongkat yang digunakan Jariah.

Rawatan ini melibatkan lambang khas untuk membentuk perhubungan sementara antara pengamal dan penerima, tidak kira di mana jua, lalu menyalurkan tenaga reiki begitu sahaja.

“Teknik terapi reiki sebenarnya rahsia penyembuhan alami yang inti patinya ialah kekuatan doa oleh pesakit dan pengamalnya.

“Secara luarannya, pengamal reiki seolah-olah hanya memberikan sentuhan melalui tangannya atau medium alat ke kawasan yang mahu dialirkan tenaga,” kata Jariah.




Menggabungkan perubatan melalui reiki, tongkat dan kristal - dakwa Jariah, mempunyai impak yang baik untuk seseorang.

Ujarnya , kristal itu sendiri asasnya ialah pasir dan tanah yang proses geologinya berlaku selama jutaan tahun sebelum terbentuk.

“Setiap jenis kristal mempunyai gelombang tersendiri yang baik untuk tubuh. Ia memulihkan kesihatan seseorang melalui interaksi dengan pusat tenaga di dalam badan.

“Terdapat tujuh cakra yang menjadi pusat tenaga. Sekiranya terganggu, ia akan mengakibatkan badan tidak selesa dan mudah mendapat penyakit,” katanya.

Menurut Jariah, tenaga yang terdapat dalam kristal sama seperti tenaga yang ada dalam tubuh manusia.

Beliau memberikan contoh, warna hijau (merujuk pada pusat tenaga dalam badan) pada bahagian dada lebih cenderung untuk kesihatan paru-paru dan jantung.

Kristal

“Jika pusat tenaga ini terganggu, seseorang mungkin menghadapi masalah berkaitan paru-paru dan jantung.

“Warna kelabu di bahagian leher manusia merujuk kepada kerongkong dan bahagian dalam leher.

“Warna merah pada ubun-ubun pula merujuk kepada kesihatan mata, hidung dan telinga. Manakala pusat tenaga berwarna kuning di bawah dada untuk limpa, pankreas dan buah pinggang,” katanya.

Ujarnya lagi, pusat tenaga berwarna oren pada bahagian perut untuk usus sementara merah pekat pula untuk saraf tunjang dan tulang belakang.

Jika semua tenaga dalam badan itu berada dalam keadaan baik, selain amalan pemakanan dan cara hidup yang sihat, seseorang akan hidup sihat tanpa tekanan.

“Tetapi jika sebaliknya, seseorang akan mudah tertekan dan mendapat penyakit,” katanya.

Jariah juga mengusahakan produk yang berasaskan bahan kristal seperti pencuci muka, penyegar muka, sabun mandi serta minyak wangi.

“Malah, ada produk kristal yang boleh menggantikan keberkesanan botox,” ujarnya.

Katanya lagi, penggunaan kristal untuk kosmetik dan perubatan juga dapat membantu membuang toksik, mencerahkan wajah selain meningkatkan tahap kesihatan seseorang.

“Kristal sebenarnya telah lama terbukti dari sudut kesihatan. Sebagai contoh, individu yang memakai cincin dan gelang kristal bukan sahaja bertujuan untuk hiasan bahkan merawat penyakit.

“Cuma saya menambah nilai perubatan itu dengan reiki dan hasilnya memuaskan,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_06.htm

Thursday, November 4, 2010

Mesin automatik keluarkan ketam hidup


GAMBAR menunjukkan mesin pengeluaran ketam hidup.


BEIJING - Sebuah mesin pengeluaran ketam hidup diletakkan di stesen tren bawah tanah di Nanjing, China, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut Pengurus Besar Syarikat Twin Lake Crab, Wu Zhendi, sebanyak 100 ekor ketam hidup dijual dalam tempoh sehari.

"Pada mulannya, para pelanggan berasa ragu-ragu kerana mereka bimbang jika ketam itu masih hidup atau tidak," katanya.

Dia berkata, orang ramai kini kembali semula membeli ketam itu selepas mereka melihatnya masih hidup.

"Kami menjual ratusan ketam pada setiap hari dan lebih 100 ekor ketam pada hujung minggu," katanya.

Ketam yang dijual itu dikenali sebagai Dazha di China dan merupakan makanan popular di Nanjing.

Ia mempunyai tiga saiz, kecil, sederhana dan besar dijual pada harga di antara 16.15 yuan (RM7.46) hingga 53 yuan (RM24.48) serta diletakkan di dalam bungkusan plastik.

Idea ganjil itu dikemukakan oleh seorang kakitangan syarikat Twin Lakes Crab Co., Tuanjie Shi.

"Saya pernah melihat banyak mesin pengeluaran automatik yang menjual minuman Coke dan snek dan menyebabkan saya menganggap ketam sepatutnya dijual menerusi mesin pengeluaran kerana ia kini menjadi produk yang standard," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...