Showing posts with label In Vitro Technique. Show all posts
Showing posts with label In Vitro Technique. Show all posts

Sunday, February 15, 2009

Nadya terima 500 ugutan bunuh


WALAUPUN hanya mengharapkan seorang lagi anak selepas melahirkan enam anak, Nadya Suleman sebaliknya dianugerahkan lapan orang anak hasil kaedah in-vitro. Kanan, gambar anak-anak Nadya.


BUAT pertama kalinya, ibu kepada kembar lapan di Whittier, California, Amerika Syarikat, Nadya Suleman mendedahkan cara beliau merancang untuk membesarkan 14 anaknya sebagai ibu tunggal dengan begitu banyak mata yang memerhati.

Nadya, 33, sebelum ini mengisi dada akhbar di seluruh dunia setelah berjaya melahirkan kembar lapan. Bagaimanapun, perjalanannya selepas itu tidak selancar yang diharapkan setelah orang ramai mengetahui tentang kehadiran enam lagi anaknya yang terdahulu.

Semalam dia mendedahkan kesemua 14 anaknya datang daripada ayah yang sama, iaitu David Solomon, sebagai penderma sperma. Solomon tidak pernah ditemui mahupun berhubung dengan Nadya sejak kelahiran kembar lapan itu.

"Saya mengenalinya sejak 15 tahun lalu. Kami berhubung setahun sekali. Saya tidak boleh mendedahkan di mana dia sekarang, ia rahsia kami.

"Saya terkejut dia sanggup membantu saya banyak kali. Saya sangat menghargainya. Dia ada melawat enam anak-anak yang terdahulu dan mereka menerimanya sebagai seorang kawan. Tetapi jika dia mahu terlibat dengan serius dalam perhubungan ini, itu pilihannya."

Nadya turut mendedahkan kali terakhir dia bercakap dengan Solomon ialah dua minggu sebelum melahirkan kembar lapannya itu.

Laluan hidup di depannya bertambah sukar apabila salah seorang daripada anaknya yang terdahulu menghidap autistik sementara dua lagi berdepan dengan masalah lembam.

Sepanjang membesar, Nadya sememangnya mengidamkan keluarga yang besar. Dengan kehadiran kembar lapan dalam keluarga sedia adanya, Nadya bertegas: "Saya sudah puas melahirkan anak. Keluarga saya sudah sempurna dan saya tidak mahu apa-apa lagi perubahan."

Si kecil Noah, Malia, Isaiah, Nariah, McCai, Josiah, Jeremiah dan Jonah dilahirkan pramatang, iaitu dua bulan awal daripada tarikh jangkaan.







Sekarang mereka akan menghabiskan masa sebulan lagi di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah, memandangkan salah seorang daripada mereka kini sedang menjalani rawatan akibat demam kuning.

Bagaimanapun, bukan semua orang menyokongnya memiliki sehingga 14 orang anak melalui semaian in-vitro. Nadya sudah menerima 500 ugutan bunuh melalui surat, e-mel dan poster Ada juga yang menjerit-jerit di depan rumah Nadya dengan mengatakan ibu dan anak-anaknya itu patut mati.

Kesukaran jelas tergambar apabila melihat rumah tiga bilik yang didiami Nadya bersama anak-anaknya di Whittier, California.

Dihias sederhana, barang permainan ditemui di merata-rata tempat, ada kesan makanan pada dinding rumah manakala taman di luar rumahnya juga tidak berkemas.

Selain ditolong ibunya, Angela, Nadya juga dibantu pembantu rumah, Aracelli.

"Aracelli datang ke rumah dari Isnin hingga Jumaat dan saya bayar dia AS$500 seminggu. Dia sangat cekap. Dia bekerja lebih masa sehingga 12 jam sehari dan tidak meminta bayaran tambahan. Dia sangat membantu. Keenam-enam anak saya yang lebih tua mendengar cakapnya."

Caleb, berambut perang keemasan dan bermata biru, dan kembarnya, Calyssa, berambut dan bermata gelap sering tidak sependapat. Mereka menambah kemeriahan kakak dan abang mereka, Elijah, 7, Amerah, 6, Joshua Jacob (JJ), 5 dan Aidan, 3.

Elijah menghidap gangguan perhatian (ADD), manakala Calyssa mempunyai masalah pertuturan.

Menurut Nadya, dia berada dalam kesakitan yang amat sangat selepas pembedahan Caesar itu.

"Sehari selepas melahirkan kembar dua saya dahulu, juga melalui pembedahan Caesar, saya sudah dapat berdiri pada keesokan harinya.

"Tetapi kali ini saya tidak dapat berjalan langsung. Saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk beberapa hari. Saya tidak dapat bercakap kerana terlalu sakit."

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Sunday, February 8, 2009

Doktor ibu 14 anak disiasat

Doktor ibu 14 anak disiasat




LOS ANGELES - Lembaga Perubatan California melakukan siasatan terhadap seorang doktor kesuburan yang membantu Nadya Suleman (gambar) sehingga dia melahirkan 14 anak.

Jurucakap lembaga itu, Candis Cohen berkata, pihaknya tidak menamakan doktor itu tetapi melakukan pemeriksaan jika terdapat pelanggaran standard penjagaan perubatan.

Nadya yang berumur 33 tahun sudah mempunyai enam orang anak apabila dia melahirkan lapan bayi menerusi pembedahan Caesarean di sebuah pusat perubatan di California.

Wanita itu yang tidak bersuami kerana sudah bercerai pada 2000 mencetuskan persoalan bagaimana dia mahu menjaga 14 anaknya.

Dia melahirkan kembar lapan pada 26 Januari lalu.

Dalam temu ramah dengan stesen televisyen NBC kelmarin, Nadya menyatakan dia menanam enam embrio bagi setiap kehamilan dengan menggunakan air mani daripada penderma sama.

Dalam kes dia melahirkan lapan bayi, prosedur itu menghasilkan enam anak lelaki dan dua perempuan termasuk dua set kembar.

Di Amerika Syarikat (AS), tidak ada undang-undang yang menyatakan jumlah embrio yang perlu diletakkan dalam rahim seorang ibu. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Wednesday, February 4, 2009

Ibu kembar lapan tiada suami - Nadya Suleman guna teknik in vitro

KELUARGA Chukwu dari Houston pernah menggemparkan Amerika dengan kelahiran kembar lapan. Bagaimanapun seorang daripada mereka meninggal dunia.


Kelahiran kembar lapan di California, Amerika Syarikat (AS) pada 26 Januari lalu di Kaiser Permanente Bellflower Medical Center, California, hampir memadamkan rekod keluarga Chukwu dari Houston yang kini sedang membesarkan tujuh anak kembar mereka setelah kematian seorang daripada lapan kembar mereka.

Bagaimanapun, bukan berita itu yang semakin kuat menggemparkan AS. Sebaliknya masyarakat profesional dan bukan profesional menjadi berang dengan tindakan doktor yang terlibat dalam proses memperoleh kembar lapan itu sedangkan si ibu sudah pun mempunyai enam orang anak termasuk dua kembar.

Perdebatan tentang etika berterusan, termasuklah tentang sama ada si ibu dan anak-anaknya dapat meneruskan hidup dengan sebaiknya selepas ini tanpa perlu mengharapkan bantuan jabatan kebajikan masyarakat.

Namun, di sebalik semua itu, kesemua lapan orang anak Nadya Suleman, 33, enam perempuan dan dua lelaki, dilaporkan sihat dan kuat biarpun dilahirkan sembilan minggu lebih awal daripada tarikh kelahiran yang dijangkakan.

Nadya sekeluarga kini tinggal di rumah satu tingkat sederhana milik ibu bapanya di Whittier, California, bersama enam lagi anaknya yang berumur antara dua hingga tujuh tahun.

Kawan Nadya, Jessica Zepeda, berkata wanita itu dan keluarganya tidak mempunyai masalah untuk membesarkan kesemua 14 orang anak itu. "Dia (Nadya) kini tidak bergantung kepada kebajikan. Dia seorang ibu yang hebat dan akan mampu menjaga kesemua anak-anaknya dengan baik," katanya.

Rekod mahkamah bagaimanapun menunjukkan ibu Nadya, Angela, telah memfailkan status bankrap pada Mac lalu. Namun, setelah gagal menjelaskan jumlah bayaran yang sepatutnya dan bertemu dengan pemiutang, kes Angela itu kemudiannya digugurkan.

Menjadi wanita kedua di AS yang melahirkan kembar lapan, Nadya dikatakan mendapat zuriat berganda itu sama ada melalui teknik in vitro, atau teknik yang lebih popular dalam kalangan wanita moden, iaitu menggunakan ubat kesuburan yang menggalakkan penghasilan sel telur.

Teknik sebenar, bagaimanapun, tidak dapat disahkan memandangkan doktor yang bertanggungjawab 'memberi' kembar lapan itu masih gagal dikesan.


KEDIAMAN Nadya di Whittier, California di mana dia membesarkan enam orang anaknya yang lain.


Namun, nenek kepada 14 orang cucu itu, Angela, berkata anaknya menjalani teknik kesuburan in vitro berikutan mempunyai masalah saluran falopio tersumbat yang menyebabkannya menghadapi kesukaran untuk hamil.

Tambahnya, anaknya yang masih belum berkahwin itu mendapat kesemua anaknya melalui kaedah yang sama. Malah Nadya juga dikatakan mula taksub untuk melahirkan anak sejak remaja.

Selepas menerima 14 orang cucu, Angela mengharapkan Nadya akan menghentikan rawatan kesuburan itu.

"Semuanya sudah berakhir. Ia perlu berakhir di sini. Nadya sudah mempunyai enam orang anak sebelum ini tanpa suami di sisi," kata Angela.

Bekas Presiden Persatuan Perubatan Reproduktif Amerika, Dr. David Adamson, berkata pencapaian itu seperti menghina kepakarannya memandangkan beliau sendiri tidak pernah berjaya melakukannya.

Pengarah Pakar Kesuburan California Utara, Adamson, pula mengatakan: "Dalam masa 30 tahun menjadi pengamal perubatan, saya tidak pernah menjalankan rawatan kesuburan ke atas wanita yang sudah mempunyai enam orang anak, atau mendengar tentang kes yang sama."

Arthur Caplan, pengerusi etika bio di University of Pennsylvania berkata, perhatian tidak diberikan secukupnya terhadap kesihatan kembar itu.

Bayi kembar dalam bilangan yang besar lazimnya pramatang dan tidak terbentuk dengan sempurna. Pada kebanyakan masa mereka mempunyai masalah kesihatan dan sekali gus dikatakan akan meningkatkan premium insurans.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...