Showing posts with label LHDN. Show all posts
Showing posts with label LHDN. Show all posts

Thursday, October 13, 2011

BANTUAN RM500 MULA DIAGIH JANUARI

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 13TH, 2011

Kerajaan menimbang mengagihkan pemberian bantuan rakyat sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, mulai Januari 2012.Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pengagihan bantuan wang tunai itu yang boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat, tanpa penetapan masa, akan dilakukan secepat mungkin mulai Januari depan.

Bantuan “one off” atau sekali sahaja itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 minggu lepas.

Awang Adek berkata kerajaan mengenal pasti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)sebagai agensi utama pelaksanakan bantuan ini memandangkan agensi berkenaan mempunyai fail-fail cukai bagi pembayar cukai yang aktif mahupun tidak aktif.

Antara agensi lain yang turut terlibat dalam pengagihan bantuan itu ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Negara serta POS Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2011, di sini, Rabu.

Seminar tersebut dianjurkan oleh LHDN dengan penyertaan seramai 1,120 peserta.

Awang Adek berkata LHDN difahamkan turut mengguna pakai sistem pangkalan data e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan maklumat rakyat yang benar-benar layak menerima bantuan terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar berkata rakyat yang masih belum mendaftar dengan e-Kasih, boleh mendapatkan borang pendaftaran melalui laman sesawang LHDN.

Di samping itu, borang tersebut akan dicetak dan diedarkan di cawangan LHD Nserta kawasan lain yang bakal dikenal pasti di seluruh negeri.

“Mereka (masyarakat) akan dimaklumkan mengenai pengagihan borang dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengenai syarat kelayakan, beliau berkata pengiraan pendapatan RM3,000 itu ialah seisi rumah dan bukan individu dan oleh itu mekanisme siasatan akan dilakukan.

Awang Adek pula berkata pendapatan isi rumah akan diambil kira, dengan mencampurkan pendapatan suami, isteri dan anak-anak yang tinggal bersama.

Namun, persoalan bagi anak yang tinggal berasingan, masih dibincangkan.

“Soal isi rumah…seorang, tetapi sudah bekerja dan bayar zakat sendiri, saya rasa dia layak. Namun, ini kita akan pastikan kemudian dan masukkan dalam isu-isu yang perlu diperjelaskan,” katanya.

http://www.kl-today.com/2011/10/bantuan-rm500-mula-diagih-januari/

Friday, August 19, 2011

Bonus tetap dikenakan potongan cukai

Posted by admin on August 18th, 2011

Bonus setengah bulan gaji yang diterima penjawat awam pada 15 Ogos lepas tertakluk kepada potongan cukai bulanan (PCB) oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Noorhelmi Mohd Nor, berkata langkah itu bagi mengurangkan beban mereka untuk membayar jumlah sebenar cukai pendapatan 2011 apabila ia dikira kelak.PCB dikenakan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada bayaran saraan tambahan antaranya bayaran kerja lebih masa, bonus atau insentif, tunggakan gaji atau apa-apa tunggakan lain kepada pekerja dan ganjaran.

“Saraan tambahan bererti apa-apa bayaran yang dibuat kepada pekerja sama ada secara sekali gus atau berkala atau tertunggak atau bayaran tidak tetap atau apa-apa bayaran yang merupakan tambahan kepada saraan biasa bulan semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Khamis.

Justeru katanya, bayaran bonus perlu dibuat potongan cukai kerana ia adalah sebahagian daripada perolehan atau pendapatan yang diterima pekerja daripada suatu pekerjaan.

“Kaedah pengiraan amaun cukai yang perlu dipotong untuk bulan berkenaan ialah mengikut Formula Saraan Tambahan dan terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti dalam pengiraan cukai untuk bonus ini,” katanya.

Katanya, pembayar cukai boleh mengira PCB dengan menggunakan kalkulator PCB secara online di laman web LHDN www.hasil.gov.my.


http://www.kl-today.com/2011/08/bonus-tetap-dikenakan-potongan-cukai/

Tuesday, December 28, 2010

LHDN potong gaji peminjam PTPTN

Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijangka dapat melaksanakan skim potongan gaji secara automatik terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Januari, 2012.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hasmah Abdullah berkata, pihaknya sedang dalam proses membuat dan mengemas kini draf undang-undang, sistem dan operasi dengan PTPTN bagi membolehkannya mengutip pinjaman dengan lebih berkesan.


“Draf yang sedang dikemas kini akan dibawa ke Parlimen selewat-lewatnya Jun tahun depan untuk dibincangkan.

“Undang-undang ini yang kini menjadi hak mutlak PTPTN penting bagi membolehkan LHDN mengambil tindakan sekiranya peminjam tidak membuat bayaran kelak apabila LHDN mula mengambil alih sistem pembayaran balik pinjaman PTPTN melalui e-PTPTN,” katanya pada majlis penutup Projek Sistem Perakaunan Hasil Berelektronik (eRAS) LHDN di sini, semalam.


Bagaimanapun katanya, buat masa sekarang, peminjam masih boleh terus membuat bayaran secara sukarela di LHDN kerana pihaknya adalah salah satu daripada saluran untuk mereka membuat pembayaran pinjaman.


“Mengikut rekod, seramai 40,000 peminjam PTPTN membuat bayaran di kaunter kami dengan jumlah purata RM7 juta sebulan diperolehi,” katanya.

LHDN diberi tanggungjawab menjadi ejen kutipan berkenaan bagi mengatasi masalah tunggakan hutang peminjam yang dihadapi PTPTN.

http://www.hmetro.com.my/articles/LHDNpotonggajipeminjamPTPTN/Article

LHDN bakal potong gaji peminjam PTPTN

KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijangka dapat melaksanakan skim potongan gaji secara automatik terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Januari 2012.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Hasmah Abdullah berkata, pihaknya sedang membuat draf undang-undang, sistem dan operasi dengan PTPTN bagi membolehkannya mengutip pinjaman dengan lebih berkesan.

"Draf yang sedang dikemas kini itu akan dibawa ke Parlimen selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun depan," katanya pada majlis penutupan Projek Sistem Perakaunan Hasil Berelektronik LHDN di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm


Thursday, December 9, 2010

Selangor mahu LHDN turut siasat Khir Toyo

Harakahdaily

SHAH ALAM, 9 Dis: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diminta menyiasat bekas menteri besar Selangor kerana dakwaan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo tidak menggambarkan keseluruhan kesalahan yang telah dilakukan mantan Menteri Besar Selangor itu.

Ia juga tidak memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menangani penyakit utama negara yakni rasuah. Jauh sekali membersihkan kekotoran yang terpalit dan sebati pada Umno.

Demikian kata Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Langkah ini perlu, apatah lagi kesalahan Dr Khir bukan semudah yang digambarkan, kata berliau dalam kenyataannya itu.

Pada 6 Disember lalu, Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Dr Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Adun Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut Faekah, siasatan perlu dilakukan samada cukai hartanah dikenakan mengikut nilai sebenar lot tanah tersebut memandangkan Dr Khir dengan sengaja memberikan taksiran palsu bagi mengelak dari membayar cukai.

Begitu juga dengan bayaran duti setem. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana perbuatan mengelak dari membayar cukai dengan melakukan 'under declare' adalah satu kesalahan yang serius.

Rakyat, katanya, merasakan pendakwaan terhadap Mohd Khir ke mahkamah semata-mata sandiwara politik yang sering dimainkan Umno dan Barisan Nasional bagi menutup salahguna kuasa yang lain.

"Pendakwaan ini lebih kepada memberi laluan mudah bagi pimpinan UMNO untuk melantik Pengerusi Negeri yang baru," dakwa beliau.

Ia juga, katanya, satu helah untuk Umno Selangor menonjolkan imej bersih dengan mengganti pemimpinnya yang sudah hilang kredibiliti.

"Ingin ditegaskan, rakyat sebenarnya tidak peduli dengan sandiwara politik ini. Bagi rakyat, apa yang lebih penting ialah tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadap pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan rasuah dan sejauh mana kesungguhan UMNO menangani masalah rasuah," tambah beliau.

Rakyat, katanya, tetap akan menghukum mereka kerana selama 50 tahun, pemimpin-pemimpin Umno bukan saja mengamalkan rasuah malah gagal mentadbir Negeri Selangor secara bijak, cuai dan tidak telus.

Puluhan projek pembangunan yang diluluskan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Akibatnya ia hanya menguntungkan syarikat kroni dan projek pula terbengkalai begitu sahaja. Ribuan pembeli rumah di projek Bukit Botak tertipu dan ramai pula menjadi bankrup, tambah beliau.

Projek Alam Perdana pula, kata Faekah, yang melibatkan hartanah seluas lebih 7,000 ekar juga terbengkalai; puluhan ribu pembeli rumah menggigit jari sehingga ke hari ini.

Hutang Talam sebanyak RM391 juta adalah satu lagi contoh nyata kegagalan pentadbiran UMNO-BN. Ribuan ekar tanah telah diagih-agih sesama mereka, baik dalam bentuk pembangunan mahupun sebagai peneroka felda hatta Projek Revolusi Hijau.


"Mendakwa Dr Khir tidak bermakna mereka kini sedang di dalam proses pemutihan dan pemimpin yang bakal dipilih menerajui Umno Selangor harus diberikan peluang. Pilihlah sesiapapun, rakyat Selangor telah membuat keputusan," tambah beliau.

Dosa dan perbuatan rasuah mereka, katanya, terbongkar selepas Selangor diambil alih Kerajaan Pakatan Rakyat yang kini berhempas pulas membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan.

"Memang sukar namun hampir separuh masalah tersebut telah berjaya diselesaikan walaupun baru bertapak di Selangor kurang dari 3 tahun. Kesilapan yang dilakukan oleh Umno dan BN tidak akan diulangi oleh Kerajaan Pakatan Rakyat kerana kami tidak akan sesekali memandang rendah kebijaksanaan rakyat membuat penilaian dan pilihan," tegasnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29763:selangor-mahu-lhdn-turut-siasat-khir-toyo&catid=1:utama&Itemid=50

Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011: Kurangkan beban rakyat

2010/10/16

KUALA LUMPUR: Lebih ramai pembayar cukai mampu memperoleh pelepasan perluasan kelayakan yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2011, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Hasmah Abdullah.

Memberi contoh pelepasan cukai RM5,000 untuk perubatan ibu bapa, katanya, pelepasan itu diperluaskan kepada perbelanjaan bagi kemudahan khas seperti lampin pakai buang dewasa dan tidak terhad kepada perubatan sahaja.


“Perluasan kelayakan ini diharap membantu mengurangkan beban pembayar cukai individu yang kini menyumbangkan kira-kira 20 peratus daripada kutipan cukai LHDN,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena lawatan beliau ke Pusat Operasi Talian Khas Bajet 2011 di sini, semalam. Katanya, walaupun pembayar cukai yang menuntut pelepasan meningkat, ini tidak memberi kesan ketara terhadap kutipan cukai kerana tiada pelepasan baru diperkenalkan, hanya lanjutan pelepasan dan kelayakan pelepasan diperluaskan.


“Beberapa pengecualian cukai diperluaskan seperti pengecualian duti eksais bagi kereta nasional untuk orang kurang upaya yang mempunyai ketidakupayaan pendengaran dan pertuturan,” katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bajet2011_Kurangkanbebanrakyat/Article

Friday, July 30, 2010

Waspada kegiatan curi e-identiti



ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai e-mel mengenai LHDN yang meragukan kerana ia mungkin jerat penjenayah Internet.


KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap percubaan kumpulan tertentu mencuri e-identiti (phishing) dengan mengambil kesempatan daripada langkah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengembalikan lebihan bayaran cukai ketika ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan semalam memberitahu, mangsa akan menerima e-mel tidak diundang (spam) kononnya daripada LHDN yang mengatakan mereka berhak mendapatkan pengembalian wang berjumlah RM700.

Mereka kemudian diminta mengklik logo sebuah bank tempatan yang disediakan di laman web palsu LHDN untuk meneruskan proses selanjutnya.

"Jika arahan ini diikuti, orang ramai tanpa disedari akan mendedahkan maklumat kewangan peribadi mereka," kata kenyataan itu yang memberi gambaran ringkas tentang modus operandi percubaan mencuri e-identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

Sehubungan itu, MCMC mencadangkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menggunakan browser laman web terkini dengan penyaring e-mel phishing tersedia bina.

Selain itu, mereka juga tidak perlu mudah mempercayai e-mel yang mengumumkan kejayaan memenangi hadiah wang tunai atau pengembalian wang yang meminta maklumat perbankan di Internet.

Orang ramai juga dinasihati supaya tidak menjawab e-mel sedemikian dan menghubungi bank masing-masing jika ragu-ragu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim berkata, pihaknya ada menerima aduan mengenai e-mel palsu tersebut pada 21 Julai lalu dan siasatan terhadap perkara itu sedang dilakukan.

"LHDN menerima laporan mengenai aduan tersebut dari 37 cawangan LHDN di seluruh negara dan kami dapati e-mel tersebut sememangnya mempunyai unsur jenayah iaitu mencuri identiti serta maklumat akaun individu lain.

"Ini kerana LHDN tidak pernah menghantar sebarang e-mel atau pemberitahuan kepada pembayar cukai melalui e-mel. LHDN hanya menghantar surat rasmi kepada pembayar cukai berdaftar," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...