Harakahdaily       KUALA LUMPUR, 20 Jan: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat  Perak, Drs Khalil Idham Lim berharap Teo Nie Ching tidak gentar dengan ugutan  untuk melakukan kerja seharian sebagai ahli parlimen.
 Namun, katanya Teo mestilah berhati-hati dan tingkatkan keselamatan diri.
 “Tanggungjawab itu juga perlulah mendapat perhatian dari pihak keselamatan,”  ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily sebagai mengulas Ahli Parlimen  Serdang itu yang menerima ugutan ke atas keselamatannya kelmarin apabila seekor  ayam tergantung di luar pejabat pusat khidmat DAP di Sungai Chua, Kajang yang  juga tergantung poster yang tertera 'Ingat!!! Ini satu Peringatan,Teo Nie Ching,  Tentera Jihad'.
 Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak bagaimanapun tidak mahu membuat  spekulasi mengenai pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian yang dianggap  dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat yang  tersendiri berdasarkan isu pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan  kejayaan MP Serdang mengunjungi beberapa masjid dan surau sebelum ini.
 “Biarlah dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta pengalaman pihak polis  menjalankan siasatan yang terperinci dari segala aspek untuk menyelesaikan kes  ini,” ujarnya.
 Dalam laporan pada ibu pejabat polis daerah Kajang pada jam 11.45 pagi  kelmarin, Teo berkata rakaman kamera litar tertutup yang diperolehi daripada  sebuah kedai bersebelahan pejabatnya menunjukkan dua lelaki tidak dikenali yang  menggantung ayam dan poster itu.
 Bagi Khalil, jelas ada pihak yang bertindak melakukan tindakan tersebut dan  tidak salah beliau katakan apabila pihak yang melakukan itu sangat tidak berpuas  hati dengan isu yang sering dibangkitkan apabila Teo mengunjungi masjid dan  surau.
 Malah, katanya kehadiran Teo dijawab dengan bukti yang jelas mengenai  tindakan yang sama dilakukan oleh pemimpin BN yang lain namun tidak  dipertikaikan.
 “Yang jelas kehadiran Teo dipolitikkan kerana dia adalah dari Pakatan Rakyat,  dan DAP. Kalaulah dia dari MIC seperti yang dilakukan oleh P. Kamalanathan di  Hulu Selangor, ia tidak menjadi masalah,” ujarnya.
 Lebih teruk lagi, ujarnya apabila media pengampu mengapi-apikan perkara yang  masih dibolehkan dan masih boleh diperbincangkan lagi itu iaitu hukum orang  bukan Islam masuk ke dalam surau dan masjid, sengaja dibesar-besarkan.
 Oleh itu, beliau mengira pihak keselamatan hendaklah sentiasa meningkatkan  keselamatan kepada rakyat malaysia khususnya dari pihak yang tidak bertanggung  jawab seperti yang berlaku kepada MP Serdang itu.
 “Harapan saya kehidupan rakyat Malaysia lebih harmoni dalam suasana kehidupan  beragama difahami oleh orang Melayu sendiri, jauh dari itu sebenarnya dakwah  kepada orang bukan Islam kalau sudah berlangsung sekian lama sejak Umno dan BN  memerintah Malaysia lebih 50 tahun tentunya tidak timbul perkara remeh yang  diperbesarkan ini,” katanya.
 Katanya, isu pembesar suara di masjid, isu bekerja di kedai jual arak dan  sebagainya sebetulnya sudah selesai lama sekiranya pemimpin Umno melakukan  amanahnya.
 Tambahnya, namun ia buka keutamaan walaupun undang-undang yang sedia ada  sudah boleh mencegah apabila dikuatkuasakan.
 Apabila ada serbuan dan tangkapan yang kena adalah pihak-pihak yang perlu  dilindungi maka adalah tangan-tangan ghaib supaya dilepaskan.
 Mereka, katanya berani mabuk dan lakukan maksiat kerana ada jaminan  dilindungi oleh tangan-tangan ghaib.
 “Kita ada senarai panjang mengenai kes tersebut termasuk kontroversi semasa  Almarhum Datuk Ishak Baharom menjadi Mufti Selangor,” ujarnya yang juga Adun  Titi Serong.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30453:nie-ching-diugut-angkara-isu-remeh-diperbesarkan&catid=1:utama&Itemid=50