Showing posts with label Adopt Child and Adoption. Show all posts
Showing posts with label Adopt Child and Adoption. Show all posts

Monday, March 28, 2011

Kebas wang atuk RM65,000

Kebas wang atuk RM65,000

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Dia dijadikan cucu angkat dan ditatang bagai minyak yang penuh, namun segala jasa datuknya dibalas dengan pengkhianatan apabila melesapkan wang pencen milik warga emas itu berjumlah RM65,000.

Lebih memilukan Yasin Sagi, 80, dari Kampung Majidee Baru, di sini, cucu angkatnya yang dipanggil nama Gemuk, 30-an menipunya dengan mendapatkan cap jarinya ketika menemaninya melakukan urusan di bank.


Yasin yang mengalami masalah pendengaran berkata, Gemuk tinggal di Stulang, tidak jauh dari rumahnya dan sering mengunjunginya, selain ringan tulang.

“Dia menggelar saya ‘Atuk’ dan kerana itu saya menjadikannya cucu angkat. Keluarga saya juga menyenangi sikapnya yang tidak berkira selain gemar membantu.


“Rupa-rupanya itu semua helahnya untuk mencuri duit saya. Kini semua wang hasil titik peluh sepanjang 30 tahun bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) lesap,” katanya.


Yasin berkata, dia menyedari Gemuk mencuri duitnya selepas menerima rekod pengeluaran wang di bank antara 23 Disember tahun lalu hingga 4 Januari lalu.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, Gemuk menemaninya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta sebuah bank di Larkin Perdana untuk membuka buku akaun simpanan bank.


“Pada 23 Disember, Gemuk membawa saya ke cawangan bank di Jalan Wong Ah Fook mengeluarkan RM2,000 bagi membeli baja. Gemuk kemudian membuat permohonan mendapatkan kad ATM (mesin juruwang automatik) atas nama saya tanpa pengetahuan saya.

“Saya yang kurang tahu prosedur bank hanya mengikut permintaannya apabila dia meminta cap jari pada satu borang,” katanya.


Menurutnya, dengan kad ATM itu Gemuk membuat beberapa pengeluaran antara 23 Disember tahun lalu dan 4 Januari lalu, sehingga semua wang pencennya RM65,000 di dalam akaun habis.


Yasin berkata, dia hanya menyedari wang pencennya licin selepas dimaklumkan menantu, Ungku Chik, 40-an, selepas menerima makluman dari bank mengenai rekod pengeluaran wang menggunakan kad ATM dengan jumlah maksimum RM5,000 setiap hari secara berterusan selama dua minggu.


“Sejak itu, Gemuk menghilangkan diri. Saya tidak sangka dia menipu dan mencuri duit saya,” katanya. Yasin turut kecewa dengan pengurusan bank berkenaan yang memberi kebenaran kepada individu lain bagi membuat urusan permohonan kad ATM.


Yasin membuat laporan di Balai Polis Majidee pada 4 Januari lalu dan jurucakap balai polis berkenaan mengesahkan menerima laporan itu.


“Kami masih menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Gemuk menghubungi talian 07-2212999 atau 07-2254422,” kata jurucakap itu.


http://www.hmetro.com.my/articles/KebaswangatukRM65_000/Article

Thursday, December 30, 2010

Azam besarkan sendiri anak

KUALA LUMPUR: “Terima kasih atas bantuan yang dihulurkan. Saya tidak akan serahkan anak dalam kandungan ini dan berazam untuk membesarkan mereka dengan baik dan memulakan kehidupan baru bersama keluarga,” kata Aishah Ismail, ibu empat anak yang ingin menyerahkan anaknya kepada orang lain kerana kesempitan hidup.

Katanya, dia bersyukur atas segala bantuan yang diterima daripada orang ramai selepas kisah dia dan suaminya mahu anak dalam kandungan diserahkan kepada orang lain disiarkan akhbar ini, kelmarin.


Menurutnya, dia hanya mahukan anaknya mengecapi hidup dan bersekolah seperti kanak-kanak lain kerana selama ini kehidupan mereka dihimpit masalah kewangan.

“Sebagai ibu, saya ingin melihat anak saya mempunyai pelajaran dan hidup seperti rakan seusia dengannya yang lebih bernasib baik. Sekurang-kurangnya, dia dapat bermain dan tinggal di rumah yang selesa berbanding bilik kecil sekarang.


“Saya tidak akan membiarkan hidup kami sekeluarga terumbang-ambing lagi. Saya sudah berbincang dengan suami untuk menguruskan kewangan dengan baik dan menjalani hidup seperti biasa ditambah dengan kehadiran orang baru yang bakal lahir Julai nanti,” katanya ketika ditemui semalam.


Aishah berkata, kedaifan hidupnya sekeluarga sebelum ini mengajarnya supaya bersabar dan tabah walaupun ada ketikanya dia seperti hilang pertimbangan dan berputus asa dengan kehidupan keluarganya.

“Alhamdulillah, tekanan itu mula hilang dan saya lebih yakin untuk menempuhi hidup bersama suami dan anak-anak. Yang penting, anak-anak dapat merasai hidup seperti yang sepatutnya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Azambesarkansendirianak/Article/index_html

Hargai anugerah Tuhan

KUALA LUMPUR: “Anak adalah anugerah Allah yang paling bernilai, tidak boleh ditukar ganti atau diserahkan kepada orang lain di dunia ini atas apa jua alasan dan ibu bapa sewajarnya menjaga mereka dengan sebaiknya,” kata pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah (gambar).

Katanya, walaupun dihimpit masalah kewangan, ibu bapa perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga anak-anak dan mendidik mereka dengan penuh kasih sayang kerana itu amanah Allah kepada semua makhluk di dunia ini.

“Rezeki Allah ini datang dalam pelbagai bentuk, ada yang diberi kesenangan, tidak kurang yang dikurniakan keluarga bahagia, malah ada juga yang dianugerahkan anak sebagai rezeki biarpun hidup dalam serba kekurangan. Apapun, kita perlu bersyukur,” katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar ini berhubung hasrat seorang bapa yang mahu menyerahkan anaknya kepada orang lain akibat kesempitan hidup, Selasa lalu.

Katanya, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan membantu keluarga berkenaan keluar daripada belenggu masalah yang dihadapi dan bukannya memandang negatif tindakan berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/HargaianugerahTuhan/Article/index_html

JKM hantar pegawai lawat keluarga

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor akan meneliti bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga Shahrul Rahman, yang berhasrat menyerahkan bayi dalam kandungan kepada orang lain kerana tidak mampu untuk menampung kos sara hidup bagi membolehkan mereka keluar dari belenggu kemiskinan dan membina hidup baru.

Pengarahnya, Adnan Abu Bakar berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti masalah berkenaan selain bertemu dengan keluarga itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.


“Pegawai kami akan melawat keluarga berkenaan dalam masa terdekat bagi mendapatkan lebih maklumat mengenai apa yang boleh dibantu dan dalam kategori mana bantuan akan disalurkan,” katanya.

“Kami dapati, keluarga ini mengalami masalah kewangan dan kami akan cuba bantu mengikut kesesuaian dan peruntukan yang ada,” katanya ketika dihubungi, semalam.Adnan berkata, walaupun pendapatan Shahrul RM780 sebulan melebihi garis kemiskinan yang ditetapkan iaitu RM720, pihaknya mengambil kira kesusahan yang dihadapi bapa berkenaan sehingga terpaksa menyerahkan anaknya kepada keluarga lain.


Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Akhtar Sahari berkata, pihaknya tidak dapat memberikan apa-apa bantuan kerana dia baru menetap di Selangor selama sebulan sedangkan syarat asas yang termaktub menyatakan setiap orang layak menerima bantuan selepas tinggal di sini selama tiga tahun ke atas.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JKMhantarpegawailawatkeluarga/Article/index_html

Kami tak sisih

SUNGAI PETANI: “Saya dan ibunya serta keluarga tidak pernah menyisihkan mereka suami isteri, jadi saya menyeru semoga kak cik bersama anak dan suami pulang ke kampung,” kata Mat Tahir Jidin, 68, bapa kepada Aishah Ismail, 26, yang sanggup menyerahkan anak dalam kandungan akibat dihimpit kemiskinan di Kuala Lumpur.

Muka depan Harian Metro semalam menyiarkan keluhan Shahrul Rahman, 33, yang tinggal di Kota Damansara yang mahu menyerahkan anak dalam kandungan isterinya kepada keluarga lain atas alasan tidak mampu menampung kehidupannya sekeluarga.


Mat Tahir berkata, dia begitu terkejut apabila anak perempuan memberitahunya yang gambar kak cik yang juga anak keenam daripada 10 beradik yang menghilangkan diri bersama suami dan tiga anaknya sejak tiga bulan lalu terpapar dalam akhbar, semalam.

Katanya, sebaik menatap akhbar itu, dia dan isteri, Sabariah Mat Nasir, 58, bukan saja terkejut, malah sedih dengan nasib menimpa anak perempuannya, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka sekeluarga tidak tahu tempat tinggal mereka sejak menghilangkan diri tiga bulan lalu.


“Sejak dia dan suami bersama tiga anak menghilangkan diri, saya bersama isteri serta adik dan kakaknya cuba mengesan mereka sekeluarga tetapi gagal. Sebelum ini, Aishah dan suaminya tinggal di Taman Keladi di sini, tetapi menghilangkan diri pada Oktober lalu.


“Saya ingat Aishah dan suami serta anak ada di Sarawak kerana suaminya berasal dari sana tetapi begitu terkejut apabila akhbar ini semalam menyiarkan masalah anaknya yang terpaksa menumpang di rumah orang kerana suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM750 sebulan menghadapi masalah kewangan teruk,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Lebai Man di sini, semalam.

Menurutnya, masalah itu tidak timbul jika suami Aishah tidak membuat pinjaman dengan ceti haram atau along dan mengetahui mereka berdua menggunakan nama lain bagi mengelak dikesan.


Mat Tahir berkata, Aishah berkahwin kali kedua pada 2006 lalu selepas suami pertamanya meninggal dunia akibat demam denggi dan selepas berkahwin, dia mengikut suami barunya tinggal di Taman Keladi dan mengusahakan kantin sekolah.

“Jadi saya merayu kepada Aishah pulang saja ke pangkuan keluarga di Kampung Pengkalan Lebai Man, malah selama ini pun kami tidak pernah menyisih,” katanya.


Katanya, dia berharap Aishah dapat menghubungi kakaknya, Sarimah di talian 019-4942206.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kamitaksisih/Article/index_html

Tuesday, December 28, 2010

Nekad beri anak dalam kandungan

Nekad beri anak dalam kandungan

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

SEMPIT...Shahrul bersama isteri, Aishah Ismail dan anak mereka di bilik tidur yang disewa di Kota Damansara.
SEMPIT...Shahrul bersama isteri, Aishah Ismail dan anak mereka di bilik tidur yang disewa di Kota Damansara.

KUALA LUMPUR: “Maafkan ayah nak...walaupun hati ayah berat untuk membuat keputusan ini, namun demi kebaikan masa depanmu, ayah terpaksa,” rintih seorang lelaki yang mahu menyerahkan anak dalam kandungan isterinya kepada keluarga lain atas alasan tidak mampu menampung kehidupannya sekeluarga.

Shahrul Rahman, 33, berkata dia nekad mengambil tindakan itu selepas mengalami masalah kewangan yang teruk dan tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib sama.


Katanya, kehidupannya bermula dengan baik selepas mengahwini isterinya, Aishah Ismail, 26, pada 2006 dan dikurniakan tiga anak berumur antara tiga tahun hingga enam bulan. Selain itu, katanya, dia mempunyai seorang anak tiri hasil perkahwinan isterinya dengan suami terdahulu yang kini berusia enam tahun dan tinggal bersamanya sejak berusia empat bulan.

Namun, episod sedih hidupnya bermula selepas perniagaannya sebagai pengendali makanan di kantin sekolah di Kedah mengalami kerugian.


“Hidup saya menjadi susah dengan bebanan hutang yang semakin bertambah. Saya meminjam daripada bank untuk memulihkan kembali perniagaan, namun tidak berhasil.


“Keadaan bertambah kusut apabila saya membuat pinjaman daripada ceti haram (along) untuk digunakan sebagai modal pusingan perniagaan, tapi segala-galanya tidak menjadi,” katanya ketika ditemui semalam.

Runsing memikirkan masalah dihadapi, Shahrul berkata, dia pernah cuba membunuh diri dengan menelan 60 ubat tidur dan minum cecair peluntur, namun digagalkan isterinya yang menyedari tindakannya itu.


“Tidak cukup dengan itu, saya juga pernah terdorong untuk menukar agama kerana terpengaruh seorang rakan yang hidup senang selepas berhijrah menganuti agama lain. Mujur saya masih ingatkan Allah. Jika tidak saya pun tak pasti apa akan berlaku,” katanya.

Shahrul berkata, kehidupannya tidak banyak berubah selepas itu dan pernah satu ketika dia sekeluarga mengisi perut dengan menjadikan ubi kayu yang ditanam di belakang kantin sekolah sebagai menu hidangan.


“Saya sedih dan tertekan apabila melihat anak-anak hanya minum air sejuk dan terpaksa mengharungi hidup yang sukar hanya kerana saya tidak mampu memberi kesenangan kepada mereka.


“Anak kedua dan ketiga tidak pernah minum susu seperti kanak-kanak lain. Saya hanya mampu memberikan air sejuk sebagai minuman. Mujur anak-anak tidak memilih sebaliknya makan dan minum apa yang diberikan,” katanya.


Menurutnya, anak keempatnya sudah diserahkan kepada seorang penjawat awam selepas dua hari dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, dan sebagai ganjaran, dia diberikan wang sagu hati RM2,000.


“Waktu itu hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya hati melihat anak yang tersayang berada dalam pangkuan orang lain, tapi apa boleh buat, hanya itu yang terdaya.


“Isteri saya juga seperti tertekan dan menerima hakikat kami terpaksa menyerahkan anak untuk dijaga keluarga lain,” katanya.


Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur sejak sebulan lalu, hanya mampu membawa keluarganya tinggal menumpang sebuah bilik di rumah rakannya di Kota Damansara.


“Setiap hari hidup isteri dan anak-anak terkurung dalam bilik itu. Di situ mereka main, tukar baju dan tidur. Ikutkan hati ingin saja saya mencari rumah sewa yang luas sedikit, tetapi saya tidak mampu. Gaji saya sebagai pengawal keselamatan hanya RM780 sebulan,” katanya.


Shahrul berkata, dia bertambah tidak keruan apabila mendapati isterinya mengandung lagi bulan lalu dan dia bimbang dengan nasib menimpa keluarganya akan menjejaskan kehidupan anak yang bakal lahir nanti.


“Isteri berkali-kali mendesak saya supaya digugurkan saja kandungannya itu, tapi saya tidak tergamak untuk melakukan sedemikian kerana anak tidak bersalah, tapi saya yang perlu membela nasib keluarga.


“Sebab itu saya buat keputusan untuk serahkan anak ini kepada keluarga yang mahu menjaganya. Saya juga mohon supaya keluarga barunya akan menjaga anak ini dari dalam kandungan lagi termasuk membiayai rawatan dan pemeriksaan sehingga dia lahir,” katanya.


Katanya, dia berharap anak yang bakal lahir akan selesa dengan kehidupannya bersama keluarga baru dan hubungan kekeluargaan mereka tidak akan terhenti di situ saja.


“Kepada keluarga baru yang akan mengambil anak ini, saya hanya mohon satu perkara iaitu jangan putuskan hubungan kekeluargaan kami. Saya reda dengan apa yang berlaku dan hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Nekadberianakdalamkandungan/Article

Saturday, December 18, 2010

‘Aku cucuk Ain’

JOHOR BAHRU: “Aku dah cucuk Ain itu yang dikatakan suspek ketika menghubungi saya beberapa minit selepas kejadian. Saya pada mulanya tidak percaya, tetapi syak berlaku perkara buruk apabila melihat adik bongsu Ain meraung di tepi jalan meminta bantuan.

“Sejurus masuk ke rumah Ain, saya terhidu bau asid yang kuat selain kesan darah sebelum melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri di bilik air,” kata Abdul Rahman Sabtu, 44, di sini, semalam.


Abdul Rahman ditemui di rumah Nurain Ashikin Jemedi, 17, yang parah selepas ditikam 19 kali dan disembah asid oleh penyerangnya dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Redan, di sini, pagi semalam.

Menceritakan semula kejadian, Abdul Rahman berkata dia yang baru bangun daripada tidur dikejutkan dengan panggilan suspek berusia 42 tahun itu mengatakan sudah menikam Ain.


Risau dengan mangsa yang dianggap seperti adik sendiri, dia bersama jiran lain bergegas ke rumah Nurain berhampiran.


Abdul Rahman bagaimanapun terkejut dengan keadaan mangsa yang berlumuran darah manakala kulit muka dan bahagian badan lain mula luruh akibat disimbah asid.

“Dalam keadaan cemas saya melihat mata mangsa terbeliak manakala gigi bertukar menjadi hitam dipercayai akibat terkena asid.


“Kami cuba membantu, tetapi risau akan memburukkan keadaan lalu menghubungi ambulans yang tiba setengah jam kemudian,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa Suraidah, 27, yang ditemui di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) berkata, dia dimaklumkan berkaitan kejadian oleh adik bongsunya, Nurreha, 13, lalu bergegas ke rumah adiknya.


Menurut Suraidah, ketika kejadian, ibunya Tuminah Samsuri, 54, keluar menoreh getah di kebun di belakang rumah dan kejadian disaksikan Nurreha serta seorang anak saudara mereka.


“Kami sekeluarga mengenali suspek dan tahu dia ada menaruh perasaan kepada, Ain tetapi kerana jarak umur, hasratnya itu tidak dilayan adik.


“Walaupun ditolak, dia masih menyimpan perasaan itu dan sering berkunjung ke rumah kami kerana sebelum ini rapat dengan arwah ayah yang mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2010121803525120101218035251/Article/index_html

Bayi dikandung gagal diselamat

Bayi dikandung gagal diselamat

Oleh Salman Hamat dan Ahmad Othman
am@hmetro.com.my

PILU...ibu mangsa, Tuminah  (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya di HSI, semalam.
PILU...ibu mangsa, Tuminah (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya di HSI, semalam.

KOTA TINGGI: Seorang remaja berusia 17 tahun yang hamil kini bertarung dengan maut di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat ditikam 19 kali serta disimbah asid oleh seorang lelaki dikenalinya di rumahnya di Kampung Baru Sungai Redan, Ulu Tiram, di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi ketika mangsa, Nur Ain Ashikin Jemedi berada di rumah bersama adik perempuannya, Nurrehan Jemadi, 13, serta anak saudara apabila pintu rumah ditendang penyerang lalu berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditikam bertubi-tubi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata sebahagian besar tikaman mengenai perut mangsa dan pihak hospital mengesahkan kandungan mangsa berusia enam bulan sudah meninggal dunia, namun mangsa masih terselamat.

Menurutnya, selepas menikam mangsa, lelaki yang melakukan serangan itu keluar dan mengambil asid dipercayai ditinggalkan di belakang pokok berhampiran sebelum dia memasuki rumah mangsa dan mengisi cecair itu ke dalam gayung.


“Dia masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah asid mengenai kepala serta badan mangsa. Mangsa menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik air, tetapi lelaki itu mengekorinya dan menikam mangsa di kaki serta tangan.


“Lelaki itu meninggalkan rumah mangsa dan menyerah diri di Balai Polis Ulu Tiram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.

Menurut Muhammad, suspek yang berumur 44 tahun ditahan untuk siasatan dan pihaknya sudah menemui pisau yang dipercayai digunakan menikam mangsa.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif serangan itu ialah cemburu dan polis sudah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan.

“Dua jam sebelum kejadian, suspek datang ke rumah mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum lelaki terbabit pulang ke rumahnya yang terletak berdekatan. Tidak lama kemudian, suspek kembali ke rumah mangsa lalu menyerang wanita berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, kini kritikal kerana hampir 70 peratus badannya melecur selain kecederaan akibat tikaman.


“Suspek yang bekerja sendiri dan berasal dari Kampung Air Puteh, Nam Heng, kini direman hingga 23 Disember ini. Polis masih meneruskan siasatan berkaitan kematian janin mangsa berikutan tiada kesan tikaman mengenainya,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 326 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Bayidikandunggagaldiselamat/Article

Friday, November 26, 2010

Rezeki mencurah

JOHOR BAHRU: “Daripada ‘anak tong sampah’ yang pernah dicaci dan dipandang hina, saya bersyukur kerana kini sudah memiliki perniagaan sendiri serta diberi peluang terbabit dalam lakonan,” kata Muhammad Khairul Hafiz Abdullah, 23, di sini, semalam.

Khairul berkata, hampir 23 tahun dia menderita kerana memegang status anak terbuang, kehidupannya berubah selepas memperoleh kerakyatan negara ini dan kad pengenalan pada 1 April lalu.


“Selepas membaca kisah hidup saya yang terpapar di akhbar dan kejayaan memperoleh kad pengenalan, saya dirisik beberapa produser filem tempatan dengan menawarkan peluang untuk berlakon dalam filem pendek.

“Saya baru berlakon dalam satu filem pendek berkaitan kisah hidup saya dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro, ia ditayangkan di RTM pada Aidiladha lalu,” katanya.


Menurut Khairul, dia umpama bermimpi kerana tidak pernah terfikir untuk bergelar artis selain diberi peluang menjayakan beberapa projek bersama penggiat seni terkenal tanah air.


Katanya, pada peringkat awal, agak kekok untuk berlakon tetapi dengan sokongan dan kerjasama kru penerbitan, perasaan gentar hilang.

“Saya mungkin akan berlakon dalam cerekarama terbitan JS Pictures Sdn Bhd di bawah arahan Sheila Rusly. Malah saya turut menggubah tiga lagu bersama penyanyi terkenal era 80-an, Ben Nathan,” katanya.


Mualaf berketurunan Cina yang memeluk Islam sejak tiga tahun lalu itu berkata, walaupun sibuk dengan lakonan, dia dan isteri yang dikahwini awal Januari lalu, gigih memajukan syarikat mereka, KhaiLynn 1Malaysia Sdn Bhd yang mengusahakan ternakan ikan keli dan membekal kambing serta lembu di Johor.

“Cawangan kami di Putrajaya mengusahakan makanan sejuk beku seperti karipap, otak-otak, donat, popia dan kuih tradisional Melayu.


“Saya bersyukur kerana syarikat yang pada awalnya ditubuhkan dengan modal RM500 serta dalam keadaan serba kekurangan, mula berkembang,” katanya yang menggaji dua pekerja orang kurang upaya (OKU).


Khairul dibuang ibu bapanya ketika masih bayi berhampiran tong sampah di sebuah pekan kecil di Mentakab, Pahang. Dia dipelihara keluarga angkat namun menjadi mangsa dera anggota keluarga terbabit termasuk disimbah air panas dan dibelasah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rezekimencurah/Article/index_html

Tuesday, June 29, 2010

Bayi pertama OrphanCare

2010/06/29

KUALA LUMPUR: Pusat pelindung bayi OrphanCare yang ditubuhkan bagi menempatkan bayi terbuang untuk diserahkan kepada keluarga angkat menerima bayi pertamanya 26 Jun lalu.

Presidennya, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata bayi berusia lima hari itu diserahkan ke pusat berkenaan oleh ibu bapanya berusia 20-an yang belum bernikah.


“Pasangan itu menyembunyikan kehamilan daripada keluarga masing-masing dan menempatkan sementara bayi mereka di sini sementara membuat keputusan sama ada hendak menjaga atau menyerahkan terus bayi mereka di sini,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.


Adnan berkata, hingga kini terdapat lebih 300 pasangan mendaftar dengan OrphanCare bagi proses pengambilan anak angkat dan pihaknya yakin tiada masalah untuk memilih ibu bapa angkat sesuai untuk bayi berkenaan.


Justeru, katanya, pasangan yang berdepan masalah sama diseru untuk menghubungi OrphanCare bagi mendapatkan bantuan atau khidmat kaunseling.


Pusat berkenaan di Kampung Tunku, Petaling Jaya dibuka 24 jam hanya bertindak sebagai transit saja dan bayi terbabit akan dijaga dan ditempatkan di pusat ini tidak lebih daripada seminggu sebelum diserahkan kepada keluarga angkat untuk dibesarkan dengan sempurna.


“Kami juga akan mengadakan kempen kesedaran untuk menggalakkan pengambilan anak angkat kanak-kanak selain bayi kerana kami percaya mereka lebih sesuai berada di rumah berbanding pusat jagaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BayipertamaOrphanCare/Article

Monday, June 14, 2010

Buntu cari ayah kandung

2010/06/14

KUALA LUMPUR: “Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai ayah kandung. Hanya namanya saya tahu iaitu Abdullah Hassan.

“Tapi, disebabkan ketiadaannya, pernikahan saya yang sepatutnya diadakan pada 9 Jun lalu terpaksa ditangguhkan,” kata Junaidah Mohamed Nor, 22, yang terpisah dengan ibu bapanya sejak dilahirkan.

Junaidah yang diserahkan kepada keluarga angkat sejak dilahirkan, berkata dia mula mencari ibu bapanya pada 2007 sebaik dimaklumkan dia anak angkat kepada pasangan Mohamed Nor Yusof, 59, dan Aminah Mohd Zin, 62.

“Saya pernah mencari keluarga kandung berdasarkan alamat di dalam sijil kelahiran iaitu di Kampung Pulau Lumut, Klang, namun hampa kerana mereka sudah berpindah,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, baru-baru ini.


Katanya, dia buntu memikirkan cara untuk menjejaki keluarga kandungnya memandangkan tidak banyak maklumat yang diperoleh. “Walaupun tidak pernah menatap wajah mereka, saya berharap mereka tampil dan ayah boleh menjadi wali pernikahan saya. “Saya harap ayah menghubungi saya sebelum 28 Jun ini kerana sebutan kes bagi mendapatkan kebenaran menggunakan wali hakim akan diadakan pada tarikh itu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,” katanya.


Oleh itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keluarganya boleh menghubunginya di 019-6916051 atau hadir ke mahkamah pada hari sebutan kes itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buntucariayahkandung/Article

Sunday, May 9, 2010

Mangsa dera anak

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB, RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ dan AZLAN HAFEEDZ

2010/05/09

KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan ibu ceria diraikan anak dan keluarga masing-masing sempena sambutan Hari Ibu hari ini, ada ibu yang merintih serta meratapi nasib malang mereka selepas dianiayai zuriat sendiri.

Besah" height="420" width="500" border="0">
"Dia (anak) menerkam saya hingga saya terjatuh. Bagai dirasuk syaitan, dia naik atas belakang saya, pegang rambut dan menghantuk muka saya ke lantai berulang kali" > Besah

Di Kelantan pula, Zawiah, 56, masih dihantui peristiwa dua tahun lalu apabila tangannya menerima 15 jahitan selepas dikelar anaknya manakala Besah, 63, hampir pengsan apabila kepalanya dihantukkan ke lantai simen oleh anaknya yang ketagih dadah, kira-kira dua tahun lalu. Ikuti kisah mereka selanjutnya:


KES 1:


“BERKALI-KALI saya dibawa berjumpa bomoh yang menuduh saya membela hantu raya hingga menjadi punca keluarga anak saya kerap sakit. Bermacam-macam rawatan mengarut terpaksa saya terima, termasuk diberi makan benda pelik hingga muntah.


“Selain selalu dimarahi dan dimaki, anak sulung saya yang terlalu percayakan bomoh mengurung saya di bilik bahagian dapur dan selepas enam bulan dikurung dia menghantar saya ke pusat jagaan orang tua,”
kata Aminah kepada Metro Ahad.


Mengimbas lanjut latar belakang hidupnya, Aminah berkata, pada mulanya dia tinggal seorang diri di rumahnya di Ipoh, Perak selepas kematian suami lebih tiga tahun lalu. Bagaimanapun, anak sulungnya mengajaknya tinggal bersama mereka di Selangor.


Katanya, selepas dua tahun duduk bersama anaknya yang berkeluarga dan mempunyai empat anak, dia kerap sakit dan tidak larat bergerak serta perlukan bantuan untuk ke mana-mana.

“Saya selalu pening dan sengal di badan sampai tidak larat bangun. Pelbagai ubat saya makan tapi tak berkesan. Akhirnya menantu menghantar saya mendapatkan khidmat rawatan tradisional ketika anak saya ke luar negara.


“Tindakan itu menambah derita saya apabila bomoh menuduh saya membela hantu raya. Saya mengucap panjang dan menafikan tuduhan itu, tetapi apakan daya kerana menantu lebih percaya cakap bomoh,” katanya.


Berikutan itu Aminah dikurung di dalam bilik dengan alasan khuatir hantu yang dibela mengganggu cucunya hinggalah anak lelakinya pulang dari luar negara.


“Waktu anak saya balik, saya ingat dapatlah mengadu nasib kepadanya tetapi lain pula terjadi. Dia lebih percaya cakap isterinya dan terus mengurung saya di dalam sebuah bilik di dapur. Saya hanya diberi makan sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada malam,” katanya.


Aminah berkata, selama dikurung kira-kira enam bulan, dia berulang kali dibawa berjumpa bomoh dan setiap kali ‘dirawat’ dia semakin terseksa kerana diberi makan benda pelik hingga muntah.


“Bila saya terangkan secara baik kepada anak yang saya tidak pernah membela hantu, saya dimarahi dan dimaki kerana dikatakan cuba menipu dan memberi alasan tidak mahu dipisahkan dengan hantu yang dibela.


“Sudahlah dikurung, saya dibiarkan saja dalam bilik dan tidak dibenarkan bergaul dengan cucu sekalipun. Saya hanya dilayan oleh pembantu rumah,”
katanya.

Kemuncak penganiayaan terhadap Aminah, satu hari anak lelakinya menghantarnya ke sebuah pusat jagaan orang tua selepas berbohong dengan berkata ingin membawanya berubat di tempat lain.


Aminah berkata, walaupun kecewa dengan sikap ketiga-tiga anaknya, dia masih tetap menerima mereka jika insaf dan sedar perbuatan mereka.


“Hanya Allah tahu perasaan saya, tetapi saya selalu berdoa semoga mereka diberi petunjuk oleh Allah dan saya sedia memaafkan mereka,” katanya yang tinggal di pusat jagaan itu sejak lebih setahun lalu.


KES 2:


SETIAP kali tiba tarikh sambutan Hari Ibu, Zawiah terkenang sejarah hitam dua tahun lalu apabila menerima 15 jahitan di lengan akibat dikelar dengan pisau oleh anak lelakinya.


Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Amin turut dipukul dengan kayu besbol ketika cuba menyelamatkan nyawa isterinya.


Mengimbau detik cemas kejadian itu, Zawiah berkata, ia berlaku ketika dia dan suami baru selesai menjamah sarapan pagi di rumah.


Katanya, ketika sibuk mengemas pinggan di dapur, anak lelaki sulungnya berusia 27 tahun dikenali sebagai Zul serta cucu tunggal mereka berusia sembilan tahun tiba di rumah untuk bersarapan.


“Itu menjadi kebiasaan mereka selepas Zul bercerai dengan isterinya. Sebelum itu, apabila bekas menantu bercerita mengenai sikap Zul dan pembabitannya dalam penagihan dadah, saya tidak percaya kerana dia anak yang baik.


“Namun tanggapan saya berubah selepas menjumpai beberapa biji pil dan ‘buku lima’ dalam poket seluar Zul ketika mahu membasuh pakaiannya kira-kira sebulan sebelum kejadian. Apapun, saya dan suami tidak berani bertanya perkara itu berikutan dia baru bercerai.


“Namun, sikap berdiam diri kami membawa padah apabila Zul tiba-tiba ‘mengamuk’ tengah hari itu selepas dipercayai berada dalam pengaruh dadah jenis pil kuda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, Kelantan.


Menurutnya, Zul menyerangnya secara tiba-tiba dengan sebilah pisau tanpa diketahui punca sebenar.


“Saya menahan serangannya, menyebabkan lengan saya luka teruk akibat dikelar,” katanya yang kini menjaga anak Zul selepas anaknya dipenjarakan di atas kesalahan itu.


Lebih mengecewakan Zawiah, pada malam (kejadian) itu dia dan suami sepatutnya dibawa keluar oleh seorang lagi anaknya untuk makan di sebuah restoran di bandar ini sempena sambutan Hari Ibu.


“Namun segala-galanya berubah sekelip mata apabila kami berdua terlantar seminggu di hospital akibat kejadian itu.


“Sempena Hari Ibu, saya berdoa ke hadrat Ilahi semoga Zul insaf sebaik dibebaskan dan sebagai ibu, saya sentiasa memaafkannya walaupun parut di lengan masih berbekas,” katanya.


KES 3:


“BIAR kau mampus cepat, orang tua!” Itu antara kata-kata anak lelaki tunggalnya yang menghantui fikiran Besah, 63, walaupun peristiwa itu berlaku lebih setahun lalu.


Bagi Besah, kejadian kepalanya dihantukkan ke lantai dapur oleh anak sehingga lebam dan bengkak seluruh muka tidak akan dilupai hingga ke akhir hayat.


“Semuanya akibat dadah. Sejak kecil, saya dan suami menjaganya seperti menatang minyak yang penuh. Malang akibat terlalu sayang, saya tidak menyekat pergerakannya, menyebabkan dia menjadi liar dan ingin kemewahan sedangkan kami keluarga miskin,” katanya.


Besah berkata, dia menyedari anaknya terjebak dengan dadah ketika bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) selepas perangainya berubah daripada pendiam kepada seorang yang mudah naik angin.


Katanya, walaupun tahu anaknya menagih dadah, dia dan suami tidak melaporkannya kepada polis kerana tidak mahu anaknya merengkok dalam penjara, selain enggan mengaibkan nama keluarga.


“Kami pernah hantar dia tinggal bersama bapa saudaranya di Rantau Panjang, namun hanya bertahan seminggu apabila dia pulang ‘mengejut’ ke rumah.


“Sejak hari itu perangainya semakin menjadi-jadi dan paling mengejutkan, dia sanggup menjual seekor lembu milik ayahnya kepada seorang penduduk kampung dengan harga RM300 semata-mata untuk membeli dadah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan.


Paling kritikal, Besah akhirnya menjadi mangsa ‘dera’ anaknya. Ketika kejadian, dia seorang diri di dapur manakala suami, anak sulung serta dua lagi anaknya keluar bekerja dan bersekolah.


“Dia tiba-tiba muncul dan meminta wang RM100 dengan alasan hendak membeli pakaian. Saya tahu tujuan sebenarnya nak beli dadah, jadi saya membebel dan merayunya berhenti menagih dadah.


“Tanpa disangka dia menerkam saya hingga saya terjatuh. Bagai dirasuk syaitan, dia naik atas belakang saya, pegang rambut saya dan menghantuk muka saya ke lantai berulang kali.


“Saya menjerit kesakitan dan merayu supaya dia berhenti tapi dia tak peduli, malah muka saya terus dihantuk ke lantai hingga hidung berdarah. Syukur, ketika itu suami pulang dan menyelamatkan saya,” katanya.


Besah berkata, anaknya melarikan diri dan hanya pulang ke rumah seminggu selepas kejadian. Kini dia bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur selepas gagal dalam SPM dan hanya pulang sekali ke kampung, Aidilfitri tahun lalu.


KES 4:


“SAYA dibuang macam sampah di perhentian bas,” kata seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah, 87, menceritakan punca dia kini menumpang kasih di sebuah pusat jagaan orang tua.


Ibu malang itu berkata, biarpun hanya anak angkat, dia menjaganya dengan penuh kasih sayang sejak masih bayi, justeru tidak terlintas di fikirannya anak perempuannya tergamak berbuat demikian.


“Bila dia tinggalkan saya, saya menjerit memanggil namanya tapi dia tak hiraukan, sebaliknya memecut laju kenderaannya,” katanya.


Halimah berkata, lebih menghairankannya, anak perempuannya berusia 40-an itu berkahwin dengan imam dan tentu suaminya turut mengajarnya ilmu agama.


“Sebab itu saya tidak tahu di mana silapnya sehingga anak saya sanggup membuang saya seperti sampah walaupun tangan ini yang membesar dan menjaganya,” katanya.


Halimah berkata, selain seorang anak angkat perempuan, dia turut mempunyai tiga anak kandung lelaki tapi ketiga-tiga anaknya juga tidak ambil berat mengenai dirinya.


“Sebab itu saya tinggal dengan anak angkat saya tapi akhirnya dia juga membuang saya,” katanya.


Selepas ditinggalkan di perhentian bas, Halimah terpaksa ‘menginap’ empat bulan di hospital kerana tiada siapa tampil untuk menjaganya dan akhirnya dia dihantar ke rumah orang tua.


Ketika ditanya adakah dia akan memaafkan anaknya, Hanijah berkata, dia sudi menerima semula mereka biarpun selepas apa mereka lakukan terhadapnya kerana baginya, mereka itulah hartanya di dunia dan akhirat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mangsaderaanak/myMA/myArticle

Friday, June 26, 2009

Gara-gara cemburu

Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Disebabkan cemburu buta, seorang lelaki yang tinggal berasingan dengan isterinya akibat berselisihan faham dipercayai mengupah sekumpulan samseng untuk membelasah anak angkat wanita berkenaan, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, sekumpulan samseng datang ke rumah mangsa berusia 42 tahun itu di Jalan Kubang Badak di sini.

Ketika itu, mangsa, seorang pengurus pusat asuhan kanak-kanak, bersama anak angkatnya berusia 26 tahun serta dua lagi anak kandung.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan berkata, kumpulan lelaki itu dipercayai diupah suami wanita terbabit yang tinggal di Taman Permin, Chendering, di sini, selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan anak angkat berkenaan yang juga pekerjanya.

Menurutnya, kumpulan samseng itu menceroboh rumah terbabit sebelum membelasah mangsa tanpa belas kasihan.

Katanya, tindakan ganas mereka menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan patah beberapa batang gigi.

Beliau berkata, lebih kejam lagi, mangsa turut disumbat ke dalam but kereta mereka dan membawanya ke satu lokasi rahsia.

“Apabila tiba di lokasi berkenaan, kumpulan samseng berkenaan mengeluarkan pisau lalu menghiris jari mangsa. Akibat tidak tahan diperlakukan demikian, mangsa cuba berunding, termasuk menawarkan ganjaran lumayan jika membebaskannya.

Menyedari habuan bakal diterima berganda berbanding ditawarkan suami mangsa, samseng berkenaan bersetuju melepaskannya dan menetapkan lokasi pertemuan untuk mengutip bayaran sebelum membebaskan mangsa kira-kira jam 4 pagi,”
katanya.

Tindakan bijak mangsa memaklumkan kejadian itu kepada polis membolehkan sepasukan anggota memasang perangkap untuk memberkas seorang daripada penyerangnya berusia 38 tahun yang datang untuk mengambil wang habuan di Jalan Bukit Kecil, di sini, kira-kira jam 11.40 pagi kelmarin.

Katanya, berikutan kejadian itu, mangsa membuat aduan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 1.20 tengah hari kelmarin, manakala mangsa pula menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Beliau berkata, suami mangsa yang bimbang rahsianya mengupah samseng berkenaan terbongkar sudah menghilangkan diri.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran sekiranya mengetahui lokasi lelaki terbabit bersembunyi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148, 324 dan 325 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memiliki senjata maut dalam rusuhan, dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya dan sengaja menyebabkan kecederaan parah.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090626071434/Article/index_html

Friday, June 19, 2009

IC hijau: Buktikan status ibu bapa


KERATAN Kosmo! semalam.


JOHOR BAHRU - Buktikan status ibu bapa terlebih dahulu.

Demikian tegas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor ketika mengulas dakwaan Azman Abdullah, 29, pemilik kad pengenalan hijau yang mengalami kesukaran terutama ketika berurusan dengan bank seperti yang dilaporkanKosmo! semalam.

Pegawai Pendaftaran Bahagian Kad Pengenalan, JPN Johor, Masam anak Makong berkata, Azman sewajarnya sedia maklum dengan kad pengenalan hijau tersebut gara-gara gagal mengesahkan status sama ada ibu atau bapa kandungnya dilahirkan di Malaysia.

"Itu sahaja hak dia (Azman). Selagi pengadu gagal menyediakan dokumen mengesahkan ibu atau bapa kandungnya dilahirkan di Malaysia, dia hanya layak diberikan kad pengenalan hijau walaupun memiliki sijil kelahiran di negara ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo! melaporkan rintihan Azman yang mempersoalkan status kad pengenalannya yang mempunyai tarikh luput pada tahun 2013.

Azman yang dipelihara oleh keluarga angkat sejak kecil mendakwa tidak mengetahui di mana ibu dan bapa kandungnya berada dan mula berdepan masalah itu setelah bapa angkatnya meninggal dunia empat tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Tuesday, June 2, 2009

‘Nak jumpa mak’

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my

Che Nah." title="CARI...Elliah (kiri) bersama Aminah menunjukkan gambar
Che Nah." height="210" width="300" border="0">
CARI...Elliah (kiri) bersama Aminah menunjukkan gambar
Che Nah.

KUALA LUMPUR: “Kenapa? Hanya soalan itu yang akan saya tanya jika dengan izin Allah, saya berpeluang menemui ibu kandung yang melahirkan saya ke dunia ini dan kemudian menyerahkan kepada keluarga angkat sejak saya lahir.

“Luluh hati bila ‘mummy’ (ibu angkat) memberitahu saya sebenarnya anak angkat, dan ketika itu usia saya baru 15 tahun,”
luah Elliah Nodin, 30, yang sudah belasan tahun berusaha mencari ibu kandungnya.

Menurut Aminah Salleh (ibu angkat), 59, dia diperkenalkan dengan ibu kandung Elliah yang pada masa itu sedang mengandung lapan bulan dan menyatakan mahu menyerahkan bayi dalam kandungannya selepas lahir.

“Saya berkahwin tetapi tiada rezeki untuk menimang cahaya mata, jadi apabila Che Nah (ibu kandung Elliah) datang untuk menyerahkan anak dalam kandungannya, saya terus setuju dan menjaganya sehingga habis pantang, malah apa yang saya tahu dia hanya bekerja mencucuk sate.

“Saya dan suami menjaga Elliah seperti anak kandung sendiri, tiada yang kurang dalam kasih sayang yang kami curahkan dan alhamdulillah dia sekarang sudah berkeluarga dan berkerjaya,” katanya.

Bagi Elliah, dia sangat bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sanggup menjaga dan membesarkannya seperti anak kandung sendiri tetapi keinginan hatinya untuk berjumpa ibu kandung tidak mampu ditahan setiap kali menjelang hari raya.

“Jika dia masih hidup hubungilah saya atau mummy, tetapi jika dia sudah tiada di dunia ini, tunjukkan saya di mana kuburnya sekurang-kurangnya saya dapat berjumpa dengan dia walaupun untuk sekejap,” katanya yang kini mempunyai tiga cahaya mata.

Sesiapa yang mengenali Che Nah yang berasal dari Negeri Sembilan dan alamat terakhirnya di Seksyen 14, Petaling Jaya, boleh menghubungi 013-3910846 (Kak Liza), 013-2089151 (Mohd Paizal) atau di alamat Lot 395-17 Jalan Tengah 7, Kampung Tengah 7, Gombak, Selangor.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...