M Faqih       SEORANG rakan seperti yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerusi di  Kerdau dan Merlimau. Alasannya kerana calon BN di Kerdau, Syed Ibrahim Syed  Ahmad seorang ustaz. Ilmu agamannya dianggap setaraf dengan pemimpin PAS.
 Manakala calon BN di Merlimau, Roslan Ahmad mempunyai keluarga besar dan  dikenali ramai. Tanpa mengambil kira banyak isu yang membelit di kaki Umno dan  Perdana Menteri, rakan tadi mempertahankan hujahnya.
 Katanya, apa isu sekali pun dibangkit PAS dan Pakatan, orang Melayu Felda  akan buat seperti pekak badak sahaja.
 Mereka tidak kisah terhadap laporan Ketua Audit Negara mengenai hutang  kerajaan BN Pahang sebanyak RM2.17 bilion. Mereka persyaitan Pahang mengalami  defisit belanjawan 13 tahun berturut-turut.
 Apa yang mereka mahukan harga getah kekal lebih RM8 sekilogram sekarang.  Harga sawit juga melonjak tinggi. Hari ini ada pekebun yang mendapat RM10,000  sebulan.
 ”Buat apa susah-susah undi parti lain lagi,” ujar rakan tadi. Peneroka Felda  di Kerdau nampaknya lebih terpesona dengan pengumuman Datuk Seri Najib Razak  melulus peruntukan RM10 juta kepada warga Felda di Kerdau.
 Mereka tidak ambil kisah kalau Pahang bankrap atau tidak. Pengundi Melayu di  Felda seperti lupa pekan itu tidak berubah biar pun sejak merdeka berada di  bawah ketuanan Umno.
 Masjid di Kerdau masih ada yang berdinding kayu. Kalau hendak dibandingkan  dengan pekan Felda di Chiku, Gua Musang ia agak jauh berbeza. Begitu juga dengan  pekan Paloh di bawah Kesedar.
 Kerdau pekan lama
 Kerdau masih lagi seperti pekan alakoboi. Tengok stesen kereta api dahulu  lebih cantik berbanding sekarang. Jadi mengapa pengundi Melayu di Kerdau mahu  mempertahankan status quo.
 Lebih baik mereka pilih wakil rakyat yang berani bersuara membawa masalah  mereka ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun). Hassanuddin Salim boleh  lakukan sekiranya pengundi sepakat mahu perubahan. Beliau sudah lama dikenali  rakyat di Kerdau.
 Sudah dua pilihan raya beliau berusaha membawa paradigma baru buat rakyat di  Kerdau, namun pengundi belum mampu tinggalkan Umno.
 Dan kali ini pusingan ketiga Hassanuddin tampil dengan harapan pengundi  Kerdau ada sedikit kesedaran baru.
 Biar apa pun rakan yang rapat dengan Umno tadi melembutkan nada, PAS masih  ada peluang kerana rakyat di akar umbi tidak kenal Ustaz Syed Ibra.
 ”Lagi pun kemunculannya kerana rapat dengan Datuk Seri Adnan Yaakub. Dia  bertugas sebagai pegawai agama Menteri Besar.
 ”Namun dia bersikap elit sedikit. Cuma sekarang sahaja yang berlakon mesra  dengan penduduk kerana mahu menarik simpati mereka,” ujar rakan itu.
 Apa yang diceritakan rakan terbabit berlainan dengan cerita yang dipaparkan  media saban hari. Laporan media memberi wajah baru kepada Syed Ibra dan Abang  Ron di Merlimau.  
 Inilah peranan media harian berbahasa Melayu sekarang. Dahulu mereka  diiktiraf kerana membawa suara menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
 Sekarang peranan media harian Melayu memastikan perjuangan Umno diterima  orang Melayu.
 Maka tidak hairanlah kalangan wartawan akhbar harian yang berpangkalan di  Kota Bharu juga dikhabarkan mencari jalan bagi ’mengkuburkan’ kerajaan PAS.
 Menjelang pilihan raya umum 2004, syarikat akhbar sama juga mencetus agenda  serupa. Ada wartawan kanan yang dibawa khas ke Kelantan.
 Hebatlah petugas syarikat akhbar terbabit. Kalau benarlah apa yang dikata,  sahlah akhbar berkenaan merupakan satu unit daripada tubuh badan Umno.
 Sedangkan sebelum ini kita hanya mendengar Umno dan parti kompenan BN yang  mencipta agenda seperti itu.
 Lainlah Harakah kerana permitnya dilulus Kementerian Dalam Negeri sebagai  akhbar milik parti. Malah perkataan ’Untuk Ahli PAS Sahaja’ diwajibkan KDN.
 Harakah dianggap seperti subversif oleh kerajaan BN. Buktinya kekerapan  penerbitannya dipancung selepas undi Melayu berolak kepada Barisan Alternatif  pada pilihan raya umum 1999.
 Ketika itu KDN pantau Harakah seolah-olah akhbar itu pembawa ajaran sesat.  Penerbitan lapan kali sebulan cuma tinggal dua kali sahaja.
 Nyonya baca Harakah
 ”Saya suka baca Harakah, ceritanya banyak betul,” tiba-tiba seorang wanita  Cina meluahkan isi hatinya. Beliau ditemui ketika kebetulan datang membayar  cukai bandar di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, dua minggu  lalu.
 Ketika ditanya mengapa tidak membaca akhbar berbahasa Cina, kata perempuan  Cina itu, ada juga sekali sekala beli Sin Chew Jit Poh.
 Nampaknya orang bukan Melayu lebih percayakan Harakah kerana akhbar harian  katanya sama seperti sayap Umno.
 Begitu juga beberapa agensi kerajaan milik pusat di negeri ini.
 Kemas, Kesedar, Risda, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Kada dan Jabatan  Pembangunan Persekutuan (JPP) juga sama peranan dengan akhbar harian Melayu.
 Masing-masing ada pelan bagaimana hendak lemaskan kerajaan PAS di Kelantan  dan Pakatan Rakyat di negeri lain.
 Kesedar tidak mampu sembunyikan lagi peranannya. Dua calon pilihan raya kecil  di Kelantan pada tahun lepas dan 2009 ialah bekas pegawai Kesedar.
 Tuan Aziz Tuan Mat, calon BN di Dun Manek Urai bekas pengurus kilang Kesedar.  Begitu juga Abdul Aziz Yusof, bekas penyelia Kesedar di RPT Sungai Terah menjadi  calon BN di Galas.
 Pada hari mengundi pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009, Pemuda PAS  Kuala Krai mendakwa pejabat Kesedar di Sungai Peria dijadikan tempat mengagihkan  duit kepada penyokong BN.
 Jelaslah sekarang sebutlah nama akhbar harian berbahasa Melayu yang ada di  negara kita, semuanya siap sedia menjadi alat kepada Umno dan BN.
 Sebuah akhbar lokal yang baru diterbit nampaknya cuba mempertahankan dasar  kebebasan bersuara. Namun, riak-riak sikap bias pun sudah kelihatan.
 Akhbar harian juga sudah menghambur peluru tabur kepada PAS dan Pakatan  Rakyat. Kalau sebelum 2008, sasaran lebih terarah kepada Kelantan sahaja, namun  kini melencong pula ke Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
 Serangan propaganda mereka dipertingkatkan lagi sekarang. Bukan sekadar isu  tertentu yang diulang tayang, sebaliknya peluru dihala terus kepada tubuh badan  pemimpin PAS.
 Tembakan mereka ke arah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. 
 Peluru murah yang mereka dapat termasuk daripada bekas pensyarah, Ustaz Noor  Idris dan Ustaz Abdullah Sa’amah dari Pondok Geting, Tumpat.
 Sekarang ada pula NGO yang dikenali sebagai Minda Pondok. Semuanya diperguna  sebagai peluru bagi mencalar imej Menteri Besar Kelantan dan PAS.
 Tidak terhenti setakat itu, malah wartawan kanan akhbar Melayu yang didatang  ke Kelantan menunding pena ke arah Tok Guru Nik Abdul Aziz.
 Kadang-kadang agenda setting mereka menjadi bahan ketawa orang  kampung.       
 Begitu juga dengan peperangan politik yang berlaku di Kerdau dan Merlimau  sekarang. Media Melayu awal-awal lagi sudah julangkan Ustaz Syed Ibra dan Abang  Ron.
 Kalau begitu eloklah akhbar harian Melayu tulis di halaman depan seperti  Harakah, Hanya Untuk Ahli Umno Sahaja.  
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31163:melayu-felda-tak-kisah-pahang-bankrap&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131