Tuesday, January 6, 2009

10 remaja serang polis


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mereka baru berusia 14 hingga 16 tahun. Namun, ia tidak menghalang sekumpulan 10 remaja samseng bertindak ganas memukul beramai-ramai seorang anggota polis hingga parah sebelum merampas pistol mangsa.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi semalam, kumpulan remaja liar terbabit mengepung Lans Koperal Paramasivam, 49, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, sebelum membelasahnya menggunakan batang besi dan topi keledar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah berkata, kejadian berlaku sejurus Paramasivam menerima maklumat tindak-tanduk mencurigakan sekumpulan remaja di tapak pembinaan berhampiran Desa Petaling di sini.

Sebaik anggota polis itu tiba, kumpulan 10 remaja terbabit tanpa gentar tiba-tiba mengepung dan memukulnya beramai-ramai walaupun lans koperal itu membawa senjata api.

“Remaja berkenaan sempat merampas pistol mangsa yang turut berisi peluru sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan anggota polis itu terpaksa menerima lima jahitan di belakang kepala selain cedera di tubuh. Dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjalani rawatan.

Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan usaha menjejaki kumpulan remaja liar berkenaan giat dilakukan.

“Polis percaya kumpulan remaja liar itu merancang mencuri besi di tapak pembinaan terbabit sebelum kegiatan mereka cuba dihalang mangsa,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan awal pagi semalam, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta dinaiki dua penjenayah samun dan pecah rumah.

Dalam kejadian jam 4 pagi, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang sedang melakukan sekatan jalan raya di Jalan Ipoh di sini, melihat sebuah kereta Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan.

Difahamkan, kereta dinaiki dua lelaki itu tiba-tiba membuat pusingan U dan cuba melarikan diri sebaik menyedari polis membuat sekatan jalan.

Berikutan itu, anggota polis yang menaiki kereta peronda segera mengejar suspek sebelum mengarahkan kenderaan itu dihentikan.

Bagaimanapun, tindakan liar pemandu kereta terbabit cuba melanggar kereta peronda menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan.

Kereta suspek ditahan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian sebelum seorang suspek berusia awal 20-an diberkas.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah parang disembunyikan dalam kereta milik suspek.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090106093334/Article/index_html

10 geng berpistol punah


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 geng samseng dan kongsi gelap yang bermaharajalela di sekitar ibu kota dikesan mempunyai senjata api untuk melakukan jenayah selain menunjuk kuasa masing-masing.

Siasatan polis mendapati antara kumpulan penjenayah berbahaya terbabit ialah Tiger, Aman, AAO, Ah Tok, Ah Meng, Modesto, Netagi dan Hartamas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata kumpulan penjenayah berkenaan ditumpaskan sepanjang tahun lalu hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur.

Katanya, sepanjang tahun lalu sebanyak 22 pistol automatik dirampas daripada penjenayah selain 14 pistol Revolver, tiga senapang pump gun, tiga butir bom, 1,052 peluru pelbagai jenis dan tiga pistol mainan.

“Kebanyakan rampasan pistol dan peluru berkenaan diperoleh daripada kumpulan penjenayah terbabit yang amat dikehendaki polis berhubung berpuluh kes jenayah terutama samun bersenjata api.

“Antara 10 kumpulan penjenayah terbabit yang berjaya ditumpaskan polis adalah Geng Tiger. Hasil operasi dilakukan seramai tiga lelaki dan dua perempuan yang menganggotai kumpulan itu diberkas,”
katanya.

Menurutnya, polis turut berjaya merampas dua pistol jenis Colt Automatik dan tujuh peluru dari kumpulan berkenaan.

“Polis turut berjaya menumpaskan Geng Aman hasil tangkapan tujuh lelaki selain merampas sepucuk pistol jenis Revolver Taurus dan 10 butir peluru hidup.

“Kumpulan penjenayah ketiga yang berjaya ditumpaskan adalah Geng AA0 hasil penahanan lapan lelaki dan rampasan sepucuk pistol jenis Glock dan tujuh butir peluru,”
katanya.

Sabtu berkata, polis turut berjaya menumpaskan Geng Ah Tok dan menahan tiga lelaki dan seorang perempuan. Bagaimanapun, sepasang kekasih yang menganggotai kumpulan itu sudah ditembak mati.

“Polis turut merampas empat pucuk pistol jenis Ruger P89, pistol Smith & Wilson, Pistol Pietro Beretta Gardone dan pistol Notinco bersama 24 butir peluru hidup. Satu lagi kumpulan penjenayah yang berjaya ditumpaskan adalah Geng Ah Meng yang dianggotai tiga lelaki tempatan.

“Hasilnya, polis merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama 26 butir peluru,” katanya.

Kumpulan penjenayah keenam yang dilumpuhkan polis adalah Geng Mamak yang kerap menyamar menggunakan topi berlogo polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain aktif melakukan kes samun dan curi kenderaan.

“Polis juga menumpaskan Geng Modesto dan menahan dua lelaki bersama sepucuk pistol semi auto berserta lapan butir peluru.

“Polis turut berjaya menewaskan kumpulan penjenayah Geng Netagi hasil penahanan empat lelaki warga Myanmar termasuk seorang daripadanya berjaya ditembak mati,” katanya.

Menurutnya, penjenayah warga asing berkenaan dianggap berbahaya berikutan memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson, 15 butir peluru dan tiga parang yang digunakan untuk rompakan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090106093541/Article/index_html

Culik, rogol lapan gadis


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


BUKTI...Sabtu menunjukkan sebahagian kenderaan mewah
yang dicuri Geng Jongos.


KUALA LUMPUR: Dalam tempoh lima bulan, seorang ketua penjenayah yang juga perogol bersiri dikenali sebagai Jongos dikesan menculik dan merogol sekurang-kurangnya lapan wanita dan gadis sunti.

Lebih memeranjatkan apabila lelaki gila seks terbabit didapati sengaja menanam bebola besi ke dalam kemaluannya dipercayai untuk mendapatkan lebih keseronokan ketika memperkosa mangsa bersama beberapa rakan lain.

Lelaki itu tumpas selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur melakukan operasi khas memburu kumpulan itu yang turut mendalangi jenayah curi kereta mewah.

Suspek berusia 35 tahun yang mengepalai kumpulan lima penjenayah ‘Geng Jongos’ diberkas polis bersama rakannya berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi, bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata suspek yang berasal dari Perak ditahan bersama rakannya di dua rumah berasingan sekitar Wangsa Maju di sini.

Menurutnya, hasil soal siasat, tiga lagi ahli Geng Jongos berusia 18 hingga 30 tahun diberkas di sekitar daerah Gombak, Selangor.

“Kelima-lima suspek yang diberkas dikesan aktif melakukan samun dan curi kenderaan sebelum menjadikan kegiatan merogol mangsa sebagai ‘hobi’ sampingan.

“Berdasarkan siasatan awal, kumpulan penjenayah itu kerap menggunakan taktik mengekori kenderaan mangsa di kalangan wanita yang baru keluar berurusan di bank,”
katanya.

Menurutnya, mangsa biasanya disamun menggunakan parang sebaik keluar dari pintu kenderaan untuk membuka pagar rumah.

“Mereka akan mengugut mangsa menyerahkan kenderaan. Bagaimanapun, dalam beberapa kes, mangsa dilarikan bersama kenderaan sebelum diperkosa beramai-ramai.

“Hasil siasatan mendapati, suspek terus menjual kereta curi itu kepada broker kenderaan atau pembeli yang berminat mendapatkan kereta murah,”
katanya.

Sabtu berkata, hasil penahanan lima suspek terbabit, polis memberkas 14 broker atau jurujual kereta curi yang dikesan menggunakan khidmat dua suspek lain yang berupaya mencetak cukai jalan palsu dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Siasatan mendapati, seorang pesara tentera adalah ‘kaki’ yang membekalkan cukai jalan palsu dengan menjualnya kepada orang ramai pada harga antara RM200 hingga RM300 sekeping. Suspek terbabit kini direman bagi membantu siasatan.

“Hasil penahanan semua suspek, polis menemui semula 13 kenderaan mewah yang dicuri kumpulan penjenayah itu membabitkan model Honda Civic, Toyota Camry, BMW, Mercedes Benz, Toyota Harrier dan Perodua Kembara,”
katanya.

Menurutnya, kumpulan penjenayah dan jurujual terbabit dikesan menjual kenderaan curi itu pada harga diskaun luar biasa sehingga mencecah potongan 90 peratus daripada harga asal.

“Kereta Toyota Camry yang berharga sekitar RM150,000 cuma dijual pada harga RM15,000 manakala Honda Civic model baru berharga RM115,00 dijual pada harga runtuh RM20,000.

“Hasil kejayaan terbaru ini, polis yakin menyelesaikan 14 kes samun dan curi kenderaan di Kuala Lumpur, 10 kes di Selangor, satu di Kedah dan satu di Johor. Selain itu, lapan kes rogol dikaitkan dengan suspek,”
katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, semalam.

Sabtu menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya sekiranya ditawarkan kenderaan mewah yang dijual pada harga murah.

“Pembeli boleh dituduh mencuri kenderaan terbabit dan boleh dipenjara lima hingga enam tahun termasuk denda mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090106093107/Article/index_html

Jongos jual murah kereta curi

Oleh ATIKAH DALI
berita@kosmo.com.my



Sebahagian daripada kenderaan curi yang ditemui semula dan diletakkan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, Semalam.
--------------------------------------------------------------------------------



SABTU menunjukkan cukai jalan palsu yang dirampas.
--------------------------------------------------------------------------------



--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Harga Toyota Camry hanya RM15,000.
Itulah tawaran sindiket curi kenderaan Geng Jongos kepada pelanggannya di seluruh negara yang mengidamkan kereta mewah tetapi dengan harga murah.

Sebut saja kereta jenis apa, dalam masa seminggu ahli 'Geng Jongos' mampu tunaikan impian sesiapa saja yang tidak takut memiliki kenderaan curi.

Bagaimanapun, kehebatan kumpulan tersebut hanya mampu bertahan lima bulan saja ekoran 19 orang termasuk ketua kumpulan yang popular dengan panggilan Jongos diberkas baru-baru ini.

Kesemua mereka yang berumur 18 hingga 35 tahun itu ditangkap dalam siri tangkapan di ibu negara dan beberapa buah negeri lain sejak awal Disember tahun lalu.

Daripada yang ditahan, 14 ahli berperanan sebagai broker menjual kereta di seluruh negera manakala baki lima lagi ahli kumpulan termasuk Jongos bertindak mencuri kenderaan.

Jongos yang berusia 35 tahun itu dikatakan telah lama terlibat dalam pelbagai jenayah. Jenayah terbaru Jongos dalam kegiatan mencuri kenderaan.

Sejak menyertai jenayah baru itu, Jongos dan empat anak buahnya dikatakan pernah mencuri kenderaan di empat buah negeri iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Kedah. Kereta Honda Civic paling banyak menjadi sasaran kerana ia mendapat permintaan tinggi.

Mengikut siasatan, Jongos yang telah berkeluarga dan tinggal di Wangsa Maju di sini merupakan ahli kumpulan paling ganas kerana ada pemilik kenderaan wanita yang disamun turut dirogolnya.

Dua lagi ahli kumpulan tersebut turut mengikut jejak langkah Jongos.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Ada ketua Umno simpan dana PRU-12 antara punca BN kalah - Najib



Selasa Januari 6, 2009

Oleh G.MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan adanya pemimpin-pemimpin Umno yang tidak menggunakan peruntukan kempen pilihan raya umum ke-12 yang lalu untuk menggerakkan jentera.


Sebaliknya, Timbalan Presiden Umno itu berkata, ketua-ketua bahagian berkenaan menyimpan wang berkenaan untuk digunakan bagi kempen pemilihan Umno yang ada sejurus selepas pilahan raya 8 Mac.


"Ada pemimpin Umno simpan wang yang diberikan untuk pemilihan Umno," kata Timbalan Perdana Menteri ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya sayap-sayap Barisan Nasional (BN) dan Puteri Umno di sini, malam tadi.


Dalam pada itu, Najib juga meminta pemimpin Umno yang bakal bertanding pada pemilihan Mac ini supaya tidak menggunakan pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini sebagai medan untuk berkempen.


"Rafidah dan Shahrizat, duduklah sebaris. Yang lain-lain pun duduklah sebaris...Calon-calon Ketua Pemuda pun juga perlu duduk sebaris," katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.


Sebahagian besar calon yang bakal bertanding pada hadir pada sesi pelancaran tersebut.


Antaranya calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam; calon Ketua Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaluddin dan calon Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Semalam Najib berkata, pilihanraya kecil ini bukan tempat untuk menegakkan agenda kepemipinan mana-mana pihak.


"Ada yang berkata, ini (pilihan raya kecil) satu penilaian kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), referendum kepada Timbalan Perdana Menteri, ujian kepada Menteri Besar (Datuk Ahmad Said).


"Mereka boleh buat andaian macam-macam tapi ini bukan soal Pak Lah, Najib, Ahmad Said atau (Wan Ahmad) Farid (calon BN)," katanya.


Pelancaran itu dibuat sehari sebelum hari penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terenagganu.


Lebih 5,000 penyokong BN menghadiri majlis tersebut yang diadakan di Taman Tamadun Islam, di sini.


Difahamkan, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN telah membangkitkan perkara yang sama pada pertemuan tertutup jentera Umno tengah hari semalam.


Sehubungan itu, kata Najib, beliau membangkitkan perkara tersebut secara umum bagi menekankan bahawa kepentingan parti dan BN perlu diutamakan bagi memastikan kemenangan calon BN.


"Kita sendiri yang mangkhianati parti kita. Kita cemburu sesama kita.


"Kita mesti patuh dan sayang pada parti," katanya.


BN telah kehilangan lima negeri dan sebagahagian besar kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada 8 Mac lalu.


Malah BN juga telah kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/6/mstar_berita/20090106090816&sec=mstar_berita

Sebahagian Gaza dikepung Israel


BEBERAPA penduduk Palestin melarikan diri selepas tentera Israel mengebom satu lokasi di Rafah semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BAITULMAQDIS - Sebahagian Bandar Gaza dikepung oleh askar Israel dan pejuang Hamas diserang hebat selepas tentera rejim Zionis meneruskan operasi darat di wilayah Palestin semalam.

Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak memberitahu perkembangan terbaru tersebut semalam di hadapan Jawatankuasa Hubungan Luar dan Pertahanan Parlimen negara itu.

"Bagaimanapun, semua objektif kami yang kami tetapkan masih belum dicapai dan operasi itu akan diteruskan," katanya.

"Kami melakukan apa yang perlu bagi melindungi rakyat Israel dan kami mahu serangan terhadap askar serta warga kami dihentikan," ujarnya.

Komen Barak itu dilakukan selepas askar-askar Israel dilaporkan menceroboh bahagian utara, selatan dan timur Bandar Gaza. - AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Israel tabur bom kimia di Gaza


LETUPAN berwarna putih akibat bedilan tentera Israel dilihat di utara Genting Gaza kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


GAZA - Spekulasi semakin meningkat bahawa tentera Israel mungkin menggunakan bom fosforus berwarna putih yang diharamkan ketika menyerang Gaza, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketika askar-askar Yahudi dan kereta kebal mara ke Gaza, bedilan meriam dilepaskan sehingga mencetuskan kepulan asap putih.

Tompokan putih fosforus boleh menyebabkan seseorang itu melecur di badan dan penggunaannya adalah diharamkan terhadap orang awam berdasarkan Perjanjian Geneva pada 1980.

Tentera Israel mengaku menggunakan senjata itu dalam operasi ketenteraan pada 2006 ketika menentang Hezbollah di Lebanon.

Tentera Israel menafikan menggunakan senjata itu dalam serangan di Gaza yang setakat ini lebih 530 penduduk Palestin terbunuh manakala lebih 2,600 lagi cedera.

"Israel menggunakan senjata yang dibenarkan berdasarkan undang-undang antarabangsa," kata jurucakap tentera Israel, Kapten Ishai David.

Seorang lagi pakar ketenteraan Israel menyatakan letupan-letupan berwarna putih itu adalah bagi tujuan 'membutakan' penglihatan musuh.



SEBAHAGIAN penduduk Palestin berjalan melintasi sebuah masjid yang musnah di Genting Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


Sementara itu, seorang pakar tentera Britain, Charles Heyman berkata, jika tentera Israel menggunakan bedilan fosforus, negara itu dianggap sudah melakukan satu jenayah perang.

"Jika fosforus ditembak ke arah sekumpulan orang ramai, seseorang mesti dibawa ke muka pengadilan di The Hague," katanya yang merupakan bekas tentera Britain.

Tentera Israel melancarkan serangan darat ke Gaza sejak Sabtu lalu bagi menghapuskan anggota-anggota Hamas yang melancarkan serangan roket ke arah negara Yahudi itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Lagi tuduhan terhadap 'Datuk cek tendang'

BALIK PULAU - Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya 'Datuk Kabi' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau semalam terhadap dua lagi tuduhan menipu dalam urusan jual beli kereta pada 2005 dan 2006.

Kamaleshwaran Chitravelu (gambar), 29, pada Jumaat lepas turut dihadapkan ke mahkamah yang sama kerana menghadapi tuduhan serupa.

Dalam pertuduhan pertama semalam, dia didakwa menipu seorang wanita C. Rethnadevi bagi pembelian sebuah Proton Perdana bernilai RM62,000 dengan menyerahkan cek tendang bernilai RM57,000 di Restoran Pappadam di Sungai Nibong pada 6 Julai 2005.

Bagi tuduhan kedua, Kamaleshwaran didakwa melakukan kesalahan di tempat yang sama pada 10 Februari 2006, melibatkan penipuan cek bernilai RM10,000 bagi bayaran ansuran sebuah kereta BMW 320i, kepada seorang jurujual, Peh Eng Hiam.

Majistret Norhayati Johar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Md. Saad Hassan memohon supaya mahkamah tidak membenarkan Kamaleshwaran diikat jamin kerana dia pernah melarikan diri dalam jaminan mahkamah bagi lima kes yang serupa sebelum ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

'Datuk cek tendang' didakwa


Oleh AZELI ALI
mohdazeli.ali@kosmo.com.my



'Datuk Kabi' diiringi dua anggota polis ke Mahkamah Majistret Balik Pulau semalam atas tuduhan menipu.
--------------------------------------------------------------------------------



KERATAN Kosmo! 4 Disember.
--------------------------------------------------------------------------------


BALIK PULAU - Sebutan semula kes seorang lelaki yang popular dengan gelaran 'Datuk Kabi' yang didakwa terlibat dalam kes-kes penipuan cek di beberapa negeri ditetapkan 11 Februari ini.

Semalam dia atau nama sebenarnya C. Kamaleshwaran, 29, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menipu seorang jurujual melibatkan RM75,000.

Dia yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norhayati Johar.

Mengikut kertas pertuduhan, 'Datuk Kabi' didakwa menipu dan memperdaya seorang jurujual, Ng Cheiw Beng, 43, dengan menyerahkan sekeping cek AmBank (M) Bhd. bertarikh 5 April 2006 bernilai RM75,000 kononnya sebagai bayaran membeli sebuah kereta sedangkan ia adalah cek tendang.

Ekoran itu, Cheiw Beng kerugian sebuah kereta miliknya kerana mendakwa diperdaya 'Datuk Kabi.'

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 3 petang, 26 Mac 2006 di Restoran Pappadom di No. 1-20, Blok 303 Krystal Point, Sungai Nibong di Bayan Baru di sini.

Pertuduhan terhadapnya dibuat oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Md. Saad Hassan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Awas penangan 'Datuk Kabi'


Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
berita@kosmo.com.my



INILAH rumah banglo di ibu kota yang pernah didiami 'Datuk Kabi' dan keluarga.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Selepas penglibatannya dibongkar media Jumaat lalu, mangsa-mangsa penipuan 'Datuk Kabi and family' mula tampil membuat laporan polis mengenai kegiatan sindiket tersebut.

Kebanyakan mangsa mendakwa modus operandi digunakan 'Datuk' itu amat licik sehingga mereka terpesona dengan janji-janji yang ditabur suspek semasa berunding.

Seorang mangsa, Terrence Chan, 31, mendakwa, dia yang bekerja sebagai ejen hartanah kerugian RM20,000 apabila ditipu oleh 'Datuk' yang tidak membayar perjanjian sewa masuk ke sebuah rumah banglo di Jalan Ampang di sini.

"Sebaik menduduki rumah itu, 'Datuk' itu telah menyerahkan sekeping cek bernilai RM20,000 malangnya apabila cek itu cuba ditunaikan ia didapati cek tendang,'' katanya ketika ditemui di Brickfields semalam.

Menurut Terrence, dia tidak sangka akan ditipu kerana semasa rundingan mendiami rumah banglo tersebut dibuat, 'Datuk' itu turut memperkenalkan seorang peguam kepadanya.


--------------------------------------------------------------------------------


Malah ujarnya, dia mudah percaya dengan 'Datuk' itu kerana melihat ahli keluarganya yang 'mempamerkan' dua buah kereta mewah termasuk Nissan Fairlady dan Toyota Estima semasa proses rundingan di rumah mereka.

Seorang lagi, mangsa Wei Yue Wan, 48, merupakan seorang kontraktor dalaman pula berkata, dia kerugian RM8,000 apabila ditipu seorang ahli keluarga 'Datuk' tersebut.

Ceritanya, dia mula mengenali salah seorang ahli keluarga 'Datuk' itu pada September lalu sebelum diminta memasang lampu di sebuah rumah banglo di sini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

'Bakal pengantin' samun pengurus butik RM20,000


KUANTAN - Sepasang individu yang menyamar sebagai bakal pengantin bersama dua lagi rakan mereka melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai bernilai RM20,000, dari sebuah butik pengantin di Jalan Lim Hoe Lek di sini Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Suptritendan Nordin Mustapha memberitahu, dalam kejadian itu, pasangan terbabit datang ke butik berkenaan pukul 9 malam berpura-pura bertanya mengenai pakej perkahwinan kepada pengurus butik itu.

Beliau berkata, kedua-dua mereka bagaimanapun keluar dari premis itu kononnya untuk berbincang mengenai tawaran pakej tersebut sebelum datang semula kira-kira 10 minit kemudian.

"Ketika itu suspek lelaki masuk ke dalam premis dan disusuli dua lagi rakannya, manakala wanita terbabit menunggu di luar premis tersebut," katanya.

Menurutnya, suspek terbabit kemudian mengeluarkan pisau pemotong sayur dan meminta pengurus butik berusia 38 tahun itu bersama dua pekerja wanita dan dua pekerja lelaki berusia 18 hingga 26 tahun supaya tidak membuat bising.

Katanya, suspek juga meminta dua pekerja wanita membuka rantai leher dan gelang tangan yang dipakai dan sebelum melarikan diri suspek turut mengambil komputer riba serta wang tunai mangsa terbabit yang berjumlah lebih RM3,000. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Ibu bapa lega cuma bayar RM1.50


Oleh NURUL IZZA ROSLY dan ROSMALINA ABD. KADIR
berita@kosmo.com.my


NATRAH menunjukkan resit bayaran RM1.50 untuk yuran persekolahan anaknya di Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Keputusan Kementerian Pelajaran menangguhkan pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sehingga bulan Jun depan membuatkan kalangan ibu bapa menarik nafas lega.

Malah lebih menggembirakan mereka, jumlah yuran yang perlu dibayar untuk memulakan sesi persekolahan hanya RM1.50 iaitu pembayaran Insurans Takaful yang diwajibkan kepada setiap pelajar di sekolah.

Bagi kebanyakan ibu bapa, penangguhan tersebut sangat membantu terutama pada awal sesi persekolahan kerana banyak perbelanjaan lain yang perlu mereka keluarkan.

Menurut seorang ibu, Sri Narahayu Halip, 33, semua enam anaknya bersekolah menengah serta rendah dan persediaan untuk memasuki sesi baru persekolahan memerlukan biaya yang banyak.

"Tahun lepas perbelanjaan untuk anak-anak, tidak termasuk yuran sekolah, hampir mencecah RM3,000 manakala pada tahun ini perbelanjaan mereka hampir RM4,000.

"Bayangkan kalau kena bayar yuran sekali gus. Sekurang-kurangnya apabila yuran ditangguhkan, sempatlah kami kumpul wang untuk bayar yuran itu nanti," katanya.

Bagi Haslinda Abd. Karim, 43, pula, bebanan mengeluarkan wang yang banyak setiap awal tahun terasa ringan apabila kerajaan mengumumkan penangguhan bayaran tambahan berkenaan.




Tiada batang, tiada daun, hanya bunga


CUCU Mohd. Ali, Harun Abdullah menunjukkan bunga pelik yang ditemui di Kampung
Sungai Telor, Kota Tinggi semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


PELIK. Seorang warga emas mengalami pengalaman pelik apabila berpeluang melihat sekuntum bunga besar yang dianggapnya aneh kerana tumbuh tanpa batang dan daun.

"Pokok sebesar kuali ini tiba-tiba ditemui tumbuh dan kembang di tepi rumah saya baru-baru ini," kata Mohd. Ali Koyakutty, 68, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi semalam.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka ia merupakan pokok keladi berdasarkan pada rupa tangkai yang keluar dari tanah berserta kelopak bunga berbentuk kon atau ia bunga tulip berwarna hijau kekuningan.

Bagaimanapun, tambahnya, selang seminggu selepas itu, beliau mendapati bunga yang berbau busuk itu semakin membesar di atas tanah sehinggalah kelopaknya mula mekar pada minggu kedua.

Bentuk isi di dalamnya seperti kobis bunga berwarna merah hati.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Surcaj 30 peratus bas sekolah Mac


Oleh SHAMSHUL FITRI MAJID
fitri@kosmo.com.my

MELAKA - Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM) akan menangguhkan hasrat mereka untuk mengenakan surcaj tambang bas sekolah sebanyak 30 peratus yang sepatutnya bermula semalam.

Menurut Presidennya, Chee Ah Tey, surcaj itu sebaliknya akan berkuat kuasa 1 Mac ini.

"Persatuan sedar ibu bapa agak tertekan dari segi kewangan memandangkan penggal persekolahan baru bermula dan Tahun Baru Cina akan tiba tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) perlu memberi jawapan kepada memorandum yang kami serahkan September lalu untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Jelas beliau, memorandum September lalu menggesa LPKP menambah subsidi diesel yang diberikan menjadikan harga belian diturunkan daripada RM1.43 kepada RM1 seliter.

Kelmarin, Ah Tey dilaporkan membuat kenyataan bahawa surcaj tambang bas sekolah sebanyak 30 peratus akan dikenakan mulai penggal baru persekolahan bermula semalam.

Dianggarkan terdapat 15,000 pengusaha bas sekolah seluruh negara dan daripada jumlah itu kira-kira 8,000 berdaftar dengan persatuan tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Siap sedia simpan duit


Oleh Abu Bakar Al Sidek
am@hmetro.com.my


BAGAN DATOH: Kegawatan ekonomi global tidak menjejaskan jumlah bakal haji di negara ini yang akan menunaikan fardu haji tahun ini biarpun Lembaga Tabung Haji tidak lagi memberi subsidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini seramai 380,000 bakal jemaah haji sudah mendaftar dengan Tabung Haji meskipun negara hanya menghantar seramai 26,000 jemaah haji setiap tahun mengikut kuota ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Biarpun negara sedang berdepan kegawatan ekonomi, tidak timbul soal kemerosotan jumlah jemaah haji yang akan ke Makkah tahun ini berdasarkan kepada jumlah mereka yang tersenarai sebagai bakal haji,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Bagan Datoh di sini, petang kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, berkata mengikut giliran, bakal haji yang mendaftar dengan Tabung Haji pada tahun ini hanya boleh menunaikan haji pada 2022.

Justeru itu, beliau menasihatkan bakal jemaah haji bersiap sedia menyimpan wang secukupnya kerana Tabung Haji tidak lagi memberi subsidi pada masa depan.

“Pada musim haji sebelum ini, Tabung Haji memberi subsidi RM2,600 setiap seorang kepada jemaah mu’asasah manakala secara pakej RM1,000 seorang.

“Kemampuan Tabung Haji untuk menampung perbelanjaan kos jemaah haji terbatas berikutan kejatuhan harga saham dan sawit di pasaran,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105084928/Article/index_html

Makan biskut rendam air hujan

Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


LAPAR...mangsa diberi makan selepas dibawa keluar
dari kawasan air terjun Hutan Lipur Berkelah.


KUANTAN: “Kami hanya makan biskut dan mi segera yang direndam dengan air hujan bagi mengalas perut selama tiga hari terperangkap.

“Selain kelaparan, kami juga kesejukan apabila semua pakaian basah sehingga terpaksa berkumpul bagi mendapatkan haba panas,” kata Mohd Rosdi Mat Rashid, 29, mangsa terkandas di air terjun Hutan Lipur Berkelah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian berkenaan, seramai 10 remaja termasuk seorang wanita berumur antara 21 hingga 29 tahun dari Temerloh dan Mentakab terkandas di aras empat air terjun berkenaan sejak empat hari lalu.

Mohd Rosdi berkata, apabila dahaga mereka terpaksa minum air hujan sepanjang tiga hari terperangkap.

Menurutnya, ia pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila terutama apabila melihat air naik begitu cepat hingga memaksa mereka menyelamatkan diri dengan memanjat batu.

Katanya, kejadian itu akan menjadi pengajaran kepada mereka untuk tidak mengadakan aktiviti perkhemahan di hutan dan kawasan air terjun terutama pada musim hujan.

“Saya bersyukur semuanya selamat walaupun perasaan cemas berlaku apabila melihat arus air yang deras di sekeliling tempat kami berkhemah di atas batu.

“Perasaan cemas ketika menyeberang tiga laluan air yang deras ketika hendak turun dari bukit juga menjadi detik yang tidak mungkin dapat dilupakan,”
katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Bagi, Noo Rain Zakaria, 21, dia bersyukur semuanya selamat terutama selepas berhadapan dengan pelbagai kesulitan berada di atas batu yang dikelilingi air yang deras.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa yang menyelamatkan kami, sumbangan makanan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail juga diterima,” katanya.

Sementara itu, ketua operasi menyelamat, Asisten Superintendan Hashim Yahya, berkata pihaknya menerima laporan terdapat sekumpulan 10 remaja terperangkap di air terjun Hutan Lipur Berkelah pada jam 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, operasi mengesan seterusnya menyelamat mangsa bermula setengah jam kemudian dan semua remaja selamat turun daripada kawasan air terjun pada jam 8.30 malam.

Katanya, seramai 20 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat terbabit dalam operasi menyelamat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105085822/Article/index_html

40 terbabit pindah wang sudah ditahan


KUALA LUMPUR: Seramai 40 orang terdiri daripada warga negara Malaysia dan Indonesia ditahan di Lahad Datu, Sabah kerana terbabit dalam sindiket pemindahan wang tanpa persetujuan ke Indonesia melalui perbankan elektronik, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T Murugiah.

Beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai kes itu berkata, kes itu sedang dibicarakan di mahkamah.

Beliau mendedahkan sebuah bank mengalami masalah itu sejak 2006 dengan tiga kes diadu kepada bank itu tetapi menurutnya ‘pegawai bank tersebut enggan bertanggungjawab’.

“Apabila duit ini hilang ke Indonesia, orang yang menerima tidak dapat dikenal pasti...dikesan kerana identiti berlainan. Mereka akan menukar nama, gambar dan sebagainya di kad pengenalan mereka,” katanya selepas meninjau usaha membaiki lif Flet Taman Sentul Utama di sini, semalam.

Murugiah berkata, jumlah wang yang sering hilang membabitkan antara RM12,000 dan RM13,000.

Katanya, pihak bank harus lebih peka terhadap masalah itu dan bertanggungjawab kerana perkara itu membabitkan wang dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan bank itu.

Beliau menasihatkan orang ramai berwaspada dan sentiasa menyemak akaun bank mereka.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105085926/Article/index_html

Pelajar MRSM gagal pulang


RAYU...Mohammad Azrul menunjukkan gambar adiknya,
Noor Azita.


PRAI: Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, Perak, menghilangkan diri selepas dihantar ibunya ke perhentian bas pusat bandar Bagan Serai, Perak untuk ke rumah rakannya di daerah sama sejak 9 Disember lalu.

Pelajar berkenaan, Noor Azita Musa, 17, dari Kampung Matang Merbau, Jalan Selama, Bagan Serai menaiki bas ke rumah rakannya dikenali Shafiqah Roslan, 17, di Masjid Tinggi, Bagan Serai untuk menyambut Aidiladha.

Abangnya, Mohammad Azrul, 22, berkata adiknya memberitahu ibunya, Rogayah Abidin, 42, yang dia akan pulang ke rumah semula pada hari sama.

Bagaimanapun, Noor Azita menghubungi kakaknya, Norazrin, 20, jam 8.56 malam pada hari sama menyatakan dia berada di Taman Suria, Ipoh.

“Ketika Norazrin sedang berbual dengan Noor Azita menerusi telefon bimbit, secara tiba-tiba talian itu terputus dan tidak dapat dihubungi sehingga kini,” kata Mohammad Azrul.

Kehilangan Noor Azita anak ketiga dari enam beradik sudah dilaporkan di Balai Polis Bagan Serai, 11 Disember lalu.

Menurutnya, adiknya memakai baju kurung berwarna krim berbunga hijau dan bertudung hijau dengan ketinggian 165 sentimeter serta berkulit sawo matang.

Bapanya, Musa Awang, 46, dan ibunya ada menghubungi rakan karib Noor Azita dan memaklumkan anak perempuan mereka tidak menghubungi mereka.

Orang ramai menemui Noor Azita boleh menghubungi Rogayah menerusi telefon bimbit 013-4498737, Musa 013-7515312 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105090837/Article/index_html

Bapa bersyukur dua anak hilang selamat

JOHOR BAHRU: “Saya bersyukur kerana kedua-dua anak saya selamat dan mereka pulang ke rumah ibu saudara di kampung di Pasir Mas, Kelantan pada hari ini,” kata seorang pengawal keselamatan, Che Ramli Che Teh, 39, yang lega selepas dua anaknya yang menghilangkan diri selama lapan hari akhirnya menghubunginya, pagi semalam.

Ramli berkata, anak sulungnya, Ariey, 14, dan anak perempuannya, Nurul Ain, 13, menghubunginya selepas melihat paparan berita di akhbar Metro Ahad yang meminta bantuan orang ramai mengesan mereka kerana menghilangkan diri dari kediaman mereka di Taman Kota Masai, di sini, sejak 28 Disember lalu.

“Mereka menyatakan selama ini tinggal di rumah seorang kenalan di Pahang yang tidak dikenali saya mahupun ibu saudara mereka. Ariey dan Nurul men menaiki bas ekspres pulang ke rumah ibu saudara, tengah hari ini (semalam) dan saya mungkin ke situ berbincang semula mengenai masalah dialami mereka,” katanya yang menghubungi Harian Metro, semalam.

Semalam, Metro Ahad melaporkan mengenai tindakan dua beradik meninggal nota kepada bapanya sebelum menghilangkan diri.

Mereka dipercayai bertindak demikian kerana tertekan selepas terpisah dengan keluarga ibu saudara yang menjaga mereka sejak kecil di Pasir Mas, Kelantan.

Kedua-dua anaknya itu mempunyai hubungan rapat dengan ibu saudara dan sepupu yang dianggap sebagai keluarga angkat kerana sudah tinggal di situ selama lapan tahun.

Ramli berkata, dia berterima kasih kepada orang ramai yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana prihatin dan simpati mengenai kisah dua cahaya matanya itu yang menghilangkan diri.

“Selain itu, kami berharap mereka tidak mengulangi perbuatan itu dan berbincang dengan saya mahupun ibu saudara sekiranya menghadapi sebarang masalah.

“Tindakan Ariey dan Nurul menghilangkan diri adalah dugaan bagi kami hingga menimbulkan tekanan hebat. Kami berharap perbuatan itu memberi pengajaran baik kepada Ariey dan Nurul dan kami tidak memaksa mereka pulang ke Johor sekiranya lebih selesa belajar di kampung, “ katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105090955/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...