Showing posts with label Miracle and Miraculous. Show all posts
Showing posts with label Miracle and Miraculous. Show all posts

Thursday, January 22, 2009

Lelaki 285 kg berjaya kuruskan badan


SMITH ketika beratnya 285 kilogram.
--------------------------------------------------------------------------------


PHOENIX - Seorang lelaki, David Smith yang pernah mempunyai berat 285.76 kilogram kini menjadi jurulatih kecergasan untuk mengurangkan berat badan, lapor sebuah akhbar semalam.

Doktor pernah meramalkan bahawa Smith, 31, yang berasal dari Arizona, Amerika Syarikat hanya mempunyai beberapa bulan untuk hidup ketika badannya gemuk.

"Ketika berumur 26 tahun, doktor memberitahu saya hanya mampu hidup selama empat bulan kerana masalah berat badan berlebihan," katanya.



BENTUK badan baru Smith.
--------------------------------------------------------------------------------


Namun, Smith berjumpa dengan seorang jurulatih kecergasan pada 2003 dan selepas dua tahun menjalani latihan keras, dia kini mampu mengurangkan berat badannya sebanyak 177.8 kilogram.

Selepas berjaya mengurangkan berat badannya kepada 101.6 kilogram, Smith menghadapai masalah lain apabila kulit badannya mula menggeleber.

Dia terpaksa menjalani empat pembedahan termasuk pembedahan laser dalam tempoh 12 bulan untuk membuang kulit yang berlebihan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Dua lelaki hanyut 25 hari


GAMBAR bertarikh 17 Januari ini menunjukkan dua lelaki Myanmar yang berada dalam kotak ais meminta pertolongan di perairan utara Australia.
--------------------------------------------------------------------------------



SYDNEY - Dua lelaki Myanmar diselamatkan selepas 25 hari berada dalam kotak ais gergasi di perairan yang menjadi tumpuan jerung di utara Australia, kata pihak berkuasa semalam.

Kedua-dua lelaki itu berada dalam kotak ais selepas bot nelayan Thailand yang dinaiki karam pada 23 Disember lalu sebelum mereka ditemui oleh sebuah helikopter maritim pada Sabtu lalu.

Jurucakap Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia, Tracey Jiggins menyatakan kedua-dua lelaki itu memberitahu terdapat 18 lagi anak kapal yang dipercayai mati lemas.

Mereka dipercayai belayar dari Thailand tetapi lokasi tempat bot itu karam masih belum dikenal pasti.

Seorang jurucakap sebuah helikopter yang menyelamatkan kedua-dua lelaki itu, Peter Heath berkata, ayat pertama keluar dari mulut mereka adalah: "Bolehkah kami diberi minuman?"

Menurut seorang juruterbang, Terry Gadenne, kedua-dua lelaki itu minum dua liter air dengan cepat.

Seorang jurucakap sebuah hospital berkata, mereka berada dalam keadaan baik dan dibenarkan keluar semalam.

Kedua-dua lelaki itu kini ditempatkan di sebuah motel sehingga identiti diri mereka dikenal pasti oleh Jabatan Imigresen.

Setakat ini masih tidak jelas apakah makanan yang mereka makan ketika berada di laut tetapi satu laporan menyatakan kemungkinan kedua-dua lelaki itu makan ikan yang terdapat dalam kotak ais. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Thursday, January 15, 2009

Terkejut jumpa kaki dalam otak


TIFFNIE mendukung anaknya, Sam yang berumur tiga bulan.
--------------------------------------------------------------------------------


COLORADO SPRINGS - Sekumpulan pakar bedah di sini terkejut apabila menemui satu kaki kecil dengan beberapa bahagian badan lain di dalam otak seorang bayi, lapor sebuah akhbar semalam.

Pakar bedah itu menemui kaki tersebut ketika melakukan pembedahan untuk membuang apa yang dipercayai pada mulanya sebagai tumor.

Bayi itu, Sam Esquibel yang berumur tiga bulan, digelar bayi ajaib kerana masih hidup selepas pembedahan dilakukan oleh sekumpulan doktor di Hospital Memorial Colorado Springs.


GAMBAr X-ray menunjukkan kaki dalam otak bayi.
--------------------------------------------------------------------------------


Mereka mula mengesan tumor pada otaknya dengan menggunakan mesin pengimbas ultrasound ketika ibu Sam, Tiffnie Esquibel sedang hamil.

"Saya terpaksa berhenti seketika selepas melihat kaki itu tiba-tiba keluar dari ketumbuhan tersebut kerana saya tidak pernah melihat kaki berada dalam otak," kata pakar bedah saraf, Dr Paul Grabb.

Pakar itu akhirnya membuang semua ketumbuhan itu yang turut mengandungi satu paha dan tangan.

Pakar-pakar percaya bahawa kaki itu merupakan teratoma iaitu tumor yang mengandungi beberapa tubuh badan yang tidak sempurna. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Wednesday, January 14, 2009

Ibu guna mesin hayat lahir anak


JAYNE (gambar kecil) melahirkan anak di Hospital John Radcliffe, Oxford.
--------------------------------------------------------------------------------


OXFORD - Seorang ibu, Jayne Soliman melahirkan seorang bayi perempuan ketika masih menggunakan mesin sokongan hayat di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketika mengandung 25 minggu, doktor mengisytiharkan otaknya telah mati iaitu dua hari sebelum dia bersalin di Hospital John Radcliffe, Oxford, Britain.

Pasukan doktor memasukkan dua dos steroid dalam badan Jayne, 41, dan membiarkan wanita itu hidup selama dua hari bagi membolehkan paru-paru anak dalam kandungannya matang.

Suami Jayne, Mahmoud Soliman berkata, bayi yang dinamakan Aya itu diletakkan di bahu isterinya yang mengalami pendarahan otak selepas dia melahirkan anak.

Jayne meninggal dunia selepas doktor mencabut alat bantuan hayat setelah dia melahirkan anak. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Tuesday, January 13, 2009

Gerhana matahari separa 26 Januari

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa kira-kira pukul 4.30 petang pada 26 Januari ini.

Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), gerhana matahari Anulus akan berlaku pada tarikh itu selama tiga jam 46 minit bermula dari Lautan Hindi hingga ke sebelah Barat Indonesia.

Dalam satu kenyataan semalam, Angkasa berkata, fenomena itu berlaku apabila bulan merentas di hadapan matahari, tetapi tidak menutup matahari sepenuhnya kerana saiz ketara bulan adalah lebih kecil daripada matahari.

Angkasa menjemput orang ramai untuk menyaksikan fenomena itu dengan menyertai program Pencerapan Gerhana Matahari Separa yang dianjurkannya secara percuma mulai pukul 4.30 petang hingga 7 petang pada 26 Januari ini di Planetarium Negara Kuala Lumpur.

Bagi yang tidak berkesempatan untuk ke Planetarium Negara, mereka boleh menyaksikan siaran langsung gerhana matahari separa mulai pukul 4.30 petang hingga 6.30 petang pada 26 Januari melalui laman web www.angkasa.gov.my.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Wednesday, January 7, 2009

Bekas wanita tertinggi dunia cari suaka politik


ZAINAB (kiri) kini mahu menetap di Britain.

LONDON - Bekas pemegang rekod wanita tertinggi di dunia, Zainab Bibi dijangka dibenarkan tinggal secara tetap di Britain selepas dia mendakwa menjadi mangsa serangan di negara kelahirannya, Pakistan, lapor sebuah akhbar semalam.

Zainab, 35, yang mempunyai ketinggian 2.18 meter tiba di Britain pada Jun 2006 sebelum dia memohon suaka politik.

Dia tinggal di sebuah flat di Stockport dan memperoleh bantuan kewangan daripada kerajaan sebanyak £40 (RM204) seminggu.

Zainab juga mampu mengirimkan wang kepada keluarganya di Pakistan ketika menunggu pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri menimbangkan permohonan suaka politik.

Wanita itu mendakwa dia bimbang untuk pulang ke Pakistan kerana sering menjadi sasaran serangan seperti dibaling batu, bajunya ditarik dan pergelangan tangannya juga pernah patah akibat diserang oleh sekumpulan anak muda.

Zainab kehilangan gelaran sebagai wanita tertinggi pada 2004 yang kini dipercayai dipegang oleh seorang warga China, Yao Defen, 36, dengan ketinggian 2.30 meter. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Tuesday, January 6, 2009

Tiada batang, tiada daun, hanya bunga


CUCU Mohd. Ali, Harun Abdullah menunjukkan bunga pelik yang ditemui di Kampung
Sungai Telor, Kota Tinggi semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


PELIK. Seorang warga emas mengalami pengalaman pelik apabila berpeluang melihat sekuntum bunga besar yang dianggapnya aneh kerana tumbuh tanpa batang dan daun.

"Pokok sebesar kuali ini tiba-tiba ditemui tumbuh dan kembang di tepi rumah saya baru-baru ini," kata Mohd. Ali Koyakutty, 68, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi semalam.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka ia merupakan pokok keladi berdasarkan pada rupa tangkai yang keluar dari tanah berserta kelopak bunga berbentuk kon atau ia bunga tulip berwarna hijau kekuningan.

Bagaimanapun, tambahnya, selang seminggu selepas itu, beliau mendapati bunga yang berbau busuk itu semakin membesar di atas tanah sehinggalah kelopaknya mula mekar pada minggu kedua.

Bentuk isi di dalamnya seperti kobis bunga berwarna merah hati.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Thursday, January 1, 2009

Dua kali dapat kembar hitam putih


HAYLEIGH (kiri) dan Lauren masing-masing memangku Leah serta Miya di London
baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------


LONDON - Sepasang suami isteri di Britain terkejut apabila mereka sekali lagi mendapat bayi kembar hitam putih yang dinamakan Leah dan Miya, lapor sebuah akhbar semalam.

Kembar perempuan itu dilahirkan pada 13 November lalu dengan kulit yang gelap tetapi selepas beberapa minggu, kulit Leah kelihatan cerah seperti ibunya, Alison Spooner yang berketurunan Inggeris manakala Miya pula lebih menyerupai bapanya Dean Durrant, seorang etnik kulit hitam.

"Saya terkejut apabila mengetahui saya hamil dengan anak kembar buat kali kedua tetapi tidak pernah terfikir bahawa mereka juga seperti kakak-kakak mereka," kata Alison.

Bagaimanapun, menurut ibu muda berusia 27 tahun itu, mereka lebih bersedia menerima kehadiran Leah dan Miya selepas mengalami pengalaman serupa apabila kakak mereka Hayleigh dan Lauren dilahirkan.

Apabila kembar sulung itu dilahirkan pada 2002, pasangan suami isteri tersebut sukar mempercayai bahawa Lauren memiliki mata biru dan rambut merah manakala Hayleigh memiliki iras bapanya dan berkulit hitam.

"Kemungkinan mendapat anak kembar seperti itu dua kali berturut-turut adalah amat jarang," kata Dean. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Friday, November 21, 2008

Jalani hidup selama 118 hari tanpa jantung


SIMMONS (kiri) menangis ketika menceritakan kisah hidupnya tanpa jantung di Pusat Perubatan Miami/Jackson, Amerika Syarikat kelmarin. - REUTERS

--------------------------------------------------------------------------------

MIAMI – Seorang remaja berumur 14 tahun, D’Zhana Simmons di Amerika Syarikat (AS) berjaya hidup hampir empat bulan tanpa jantung, kata beberapa doktor kelmarin.

Bagaimanapun, Simmons hidup dengan bantuan satu mesin pengepam darah tiruan khas sehingga dia mampu menjalani pembedahan pemindahan jantung.

Sebelum ini terdapat kes yang sama di Jerman di mana seorang pesakit dewasa hidup selama sembilan bulan tanpa jantung.

Bagaimanapun, pasukan doktor di Miami percaya Simmons merupakan budak pertama hidup tanpa jantung untuk tempoh yang lama.

Simmons yang berasal dari South Carolina berkata, pengalaman hidup tanpa jantung sangat menakutkan.

“Anda tidak tahu bilakah mesin ini akan rosak,” katanya dalam satu sidang media di Universiti Miami.

Simmons mengalami satu penyakit jantung di mana jantungnya menjadi lemah dan membesar serta tidak mampu mengepam darah dengan lancar.

Dia menjalani pembedahan pemindahan jantung pada 2 Julai lalu tetapi organ baru itu gagal berfungsi dan terpaksa dikeluarkan.

Dua pam jantung yang direka oleh sebuah syarikat di California digunakan bagi membantu mengepam darah Simmons sehingga dia sihat dan bersedia untuk menjalani pembedahan jantung kedua pada 29 Oktober lalu.

“Gadis itu hidup selama 118 hari tanpa jantung dan pengedaran darahnya dibantu oleh dua pam berkenaan,” kata seorang doktor, Marco Ricci. – Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...