Harakahdaily        KUALA LUMPUR, 31  Ogos: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,  manusia perlu jujur dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.
KUALA LUMPUR, 31  Ogos: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,  manusia perlu jujur dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.
 “Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji  dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit,” kata  beliau dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas isu kenyataan Timbalan  Presiden PAS, Mohamad Sabu yang diputarbelitkan oleh media  perdana.
Dalam isu sejarah kejadian Bukit Kepong yang dibangkitkan  Mohamad dalam satu ceramahnya yang sengaja dijadikan isu kontroversi hangat oleh  Umno baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat  amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas itu.
 "Apakah British dan konconya yang telah menjajah negara ini dianggap kita  sebagai hero ataupun penjajah?
“Kaitannya adalah kerana kalau negara  terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang  penjajah akan dianggap sebagai hero.
"Inilah yang terjadi kepada  penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul  Rahman Limbong dan yang lain-lainnya. Mereka ini bangun mengajak rakyat  menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan  pejuang,” kata beliau.
Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya  baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki  yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero  sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri  dalam serangan di balai tersebut.
Ini disusuli pula dengan pelbagai  kecaman daripada pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri  Najib Razak, timbalannya Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun  Dr Mahathir Mohamad.
Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden  PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu,  turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai  pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai  British.
Tuan Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan dan jasa Onn Jaafar,  Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding  kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah  menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak  dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.
“Namun jika hanya merujuk kepada  tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan  kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun  pengkhianat?” soal beliau.
"Disebabkan pada zaman British menjajah  negara kita, British telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk  bersekongkol dengan mereka, namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk  menghalau British dari dalam kerajaan, katanya maka kini, timbul satu tafsiran  baru daripada segi sudut sejarah.
“Kita harus faham kenapa berlakunya  penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang  menyertai PKMM, PKM dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan  mereka yang bersekongkol dengan penjajah British.
"Atas penilaian  inilah, kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang  melawan penjajah British sebagai hero.
 Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup  bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?” tanya beliau, yang  juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
“Jika dua-dua pula jadi hero, siapa yang  jadi pengkhianatnya? Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat?  Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah  persoalannya.
 Katanya, secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam-putih,  kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah  pengkhianat.
 "Yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila  ada pihak yang  hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini  juga sebagai hero,” terang beliau lagi.
Secara menafsir sejarah secara  jujur, Tuan Ibrahim berpendapat bahawa semua kumpulan yang menentang penjajah  waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana  mereka berjuang sekalipun.
Namun demikian, kata beliau ia tidak boleh  menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya “menghalau  penjajah” – namun apa yang pasti, “menghalau penjajah” merupakan common goal  yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka  lain-lain.
“Pada tahun 1950, adakah pihak komunis menentang penjajah  ataupun negara? Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum  lagi Merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang  dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah  Melayu.
Selepas Merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun  negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka  daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang  habis-habisan. Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza  situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British.
"Oleh  itu, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan  menafsir sejarah tanpa prejudis,” tegas beliau, sambil menambah sekiranya  tafsiran sejarah dibuat secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi  suatu-suatu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu  era.
“Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia  tidak sama dengan realiti selepas Merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi,  bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri SELEPAS  menghalau penjajah,” kata beliau.
Kontroversi yang sama juga timbul pada  sejarah tanahair yang paling kritikal iaitu di zaman peralihan antara Jepun dan  British, katanya, di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun  melawan British atau kekal menyokong British.
“Nyata yang selamat dari  kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad  seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya  hero di dunia dan akhirat.
"Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau  agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Professor Khoo Kay Kim mungkin  tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini,” nasihat  beliau.
Mohamad dalam satu sidang akhbarnya di Perlis berkata  kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar  Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah  terhadap beliau dan PAS.
 Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis  saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik palsu itu.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5169-sejarah-cakaplah-benar-walaupun-pahit