Showing posts with label Drug and Narcotic Syndicate. Show all posts
Showing posts with label Drug and Narcotic Syndicate. Show all posts

Friday, April 1, 2011

Nangis dihukum mati

Nangis dihukum mati

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

BERSALAH... Mariah diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman mati, semalam.
BERSALAH... Mariah diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman mati, semalam.

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita yang mempunyai tujuh cucu hanya mampu menangis apabila dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 92.68 gram di pekarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot, Batu Rakit, dekat sini, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariah Hamad, 49, dari Rantau Panjang, Kelantan selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang@Mamat berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mariah diwakili peguam bela Tara Singh Delip dilihat memandang ke arah ahli keluarga yang berada di galeri awam ketika hukuman dibacakan.

Mohd Yazid pada penghakimannya berkata, pihaknya mendapati keterangan tertuduh ketika membuat pembelaan diri bahawa dia hanya membawa barangan terbabit yang kemudian dikenal pasti sebagai dadah atas permintaan seorang rakan bernama Ida untuk diberikan kepada seorang individu lain yang menunggu di kawasan masjid itu tanpa mengetahui isi kandungannya adalah tidak benar.


Beliau berkata, tertuduh didapati tidak bercakap benar kerana kelihatan takut dan pucat ketika ditahan polis di lokasi kejadian menunjukkan dia tahu mengenai isi kandungan barangan di dalam plastik dibawanya itu.

Katanya, tertuduh dalam pembelaannya turut memaklumkan dia bersama suami mahu ke Kuala Berang bagi menziarah saudara suami yang tidak dikenali dan berhenti di masjid itu untuk memberikan barang dikirim Ida.

“Malah, adalah tidak munasabah tertuduh sanggup menggunakan jalan pantai dari Rantau Panjang untuk ke Kuala Berang dan singgah di masjid itu semata-mata mahu menyampaikan barang yang dikirim Ida,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mariah yang juga peniaga kedai makan didakwa mengedar heroin kira-kira jam 3.45 petang pada 3 Ogos 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.


http://www.hmetro.com.my/articles/Nangisdihukummati/Article

Tuesday, March 15, 2011

Baby insaf

Baby insaf

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

BERSYUKUR...pengalaman dipenjara menginsafkan Nur Dhiya.
BERSYUKUR...pengalaman dipenjara menginsafkan Nur Dhiya.

KUALA LUMPUR: “Cukuplah pengalaman tujuh bulan dipenjarakan di luar negara selepas menjadi keldai dadah,” kata Nur Dhiya Ain Rosman, 20, yang dibebaskan dari penjara Cape Town, Afrika Selatan, 9 Mac lalu.

Anak kedua daripada empat beradik berasal dari Jalan Tun Sambathan 4, Brickfields, di sini, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada jam 6 pagi hari sama.

Nur Dhiya dipenjarakan di Cape Town selama tujuh bulan bermula 14 Ogos tahun lalu hingga 9 Mac lalu selepas ditahan dan didapati bersalah kerana membawa 1.2 kilogram dadah jenis syabu.

Menurutnya, ketika ditahan dia tidak mengetahui apa-apa mengenai dadah itu dan terkejut selepas menyedari ditipu rakan baik yang dikenali sejak kecil.

Katanya, dia bersetuju melancong ke Cape Town selepas diajak rakan baiknya itu yang menawarkan tiket penerbangan dan penginapan percuma selama empat hari ke negara itu, tetapi rakannya membatalkan percutian pada saat akhir menyebabkan dia terpaksa pergi seorang diri.

“Rakan saya itu meyakinkan saya akan selamat kerana akan ditemani wakil syarikat yang menguruskan pelancongan percuma itu dan bakal ditempatkan di sebuah hotel mewah selama empat hari.

Selama di sana saya dilayan dengan baik dan apabila tiba saat untuk pulang pada 14 Ogos tahun lalu, seorang wanita yang mendakwa wakil syarikat itu yang menemani saya menyerahkan sebuah beg kecil sebagai sagu hati tanpa diketahui isinya.

“Ketika di lapangan terbang kira-kira jam 10 malam selepas melalui pemeriksaan pengimbasan, saya ditahan pegawai imigresen negara itu,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, semalam.

Nur Dhiya berkata, sebaik ditahan, dia hanya berdoa kerana tidak mengetahui motif rakan baiknya serta wakil syarikat pelancongan itu berbuat demikian dan hanya mengetahui dirinya dikhianati selepas dipenjara.

“Saya sungguh insaf dengan pengalaman ini kerana pertama kali berjauhan dengan ibu, ayah dan adik-beradik. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini.

“Saya menasihatkan remaja supaya berhati-hati dengan rakan sendiri dan orang yang baru dikenali kerana kebanyakan mereka mempunyai muslihat,” katanya yang dibebaskan daripada penjara selepas Mahkamah Tinggi Cape Town memutuskan dia tidak bersalah dalam kes pengedaran dadah.

Menurutnya, walaupun dilayan dengan baik, pengalaman tinggal dalam penjara bersama tahanan warga Afrika amat menginsafkan kerana mereka sering bergaduh menyebabkan dirinya tertekan selain berjauhan orang tersayang.

Harian Metro pada 15 Ogos tahun lalu melaporkan Nur Dhiya ditahan di lapangan terbang Cape Town selepas dikesan membawa 1.2 kilogram syabu dan ditempatkan di sebuah pusat tahanan.

Sementara itu, ibu dan bapanya, Roslah Abd Jani, 44, dan A C Musa Abu Chik, 43, bersyukur kerana mimpi ngeri keluarganya berakhir apabila Nur Dhiya atau lebih dikenali sebagai Baby dibebaskan dan kini kembali ke pangkuan keluarga.

Roslah berkata, sebelum ini dia tidak boleh tidur malam dan setiap hari berusaha menghubungi Kedutaan Malaysia di Cape Town untuk mengetahui keadaan anak gadisnya itu.

“Saya mengorbankan segala-galanya demi menyelamatkan Baby kerana dia masih muda dan masa depannya masih panjang,” katanya yang menghabiskan ribuan ringgit untuk membebaskan anaknya dengan pertolongan pelbagai pihak.


http://www.hmetro.com.my/articles/Babyinsaf/Article

Monday, March 7, 2011

Misteri ketua polis paling berani di Mexico




BANDAR RAYA MEXICO - Seorang pelajar sebuah kolej, Marisol Valles Garcia (gambar) yang berusia 20 tahun dikatakan telah meninggalkan pekerjaannya sebagai ketua polis di bandar Praxedis G Guerrero selepas empat bulan memegang jawatan itu, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Garcia turut bertindak meninggalkan bandar itu bersama keluarganya ke Amerika Syarikat (AS) setelah menerima ancaman bunuh.

Bandar Praxedis G Guerrero memang dikenali sebagai lokasi gengster-gengster dadah.

Garcia menjadi ketua polis di bandar itu yang mempunyai 10,000 penduduk selepas dua calon lain menolak untuk mengisi jawatan tersebut. Dua calon itu menolak jawatan tersebut selepas datuk bandar dan anaknya mati dibunuh oleh gengstar dadah.

Dia dikenali sebagai wanita paling berani di Mexico dan dilantik menjadi ketua polis pada Oktober lalu.

Namun, seorang jurucakap bandar itu, Andres Morales berkata, Garcia akan menyambung kembali tugasnya pada hari ini selepas dia menyelesaikan masalah keluarganya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Thursday, March 3, 2011

Dadah tiruan ancam dunia



DADAH sintetik seperti syabu digilai penagih kerana kesannya yang mampu membuatkan seseorang menjadi agresif. - Gambar hiasan


GENEVA - Gejala penagihan dadah tiruan didakwa sudah tidak terkawal dan merebak di banyak negara dunia, lapor Lembaga Kawalan Dadah Antarabangsa (INCB) semalam.

Dadah tiruan itu merujuk kepada dadah yang mengandungi bahan kimia yang diubah suai di makmal sama ada melibatkan dadah baru atau dadah sedia ada bagi mengaburi mata pihak berkuasa sekali gus mengelakkan ia dikategorikan sebagai bahan larangan di sisi undang-undang.

Antara dadah tiruan yang popular selain ekstasi dan amphetamine adalah mephedrone atau lebih popular dengan nama meow meow, MCAT atau buih.

Meow meow dilaporkan memiliki kesan yang sama dengan amphetamine, ekstasi dan dadah kokain.

Dadah meow meow amat popular dalam kalangan pengunjung kelab malam di London.

Menurut INCB yang merupakan badan pemantau narkotik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penyalahgunaan dadah tiruan meow meow kini merebak di kebanyakan negara dan ceruk rantau.

"Mephedrone merupakan penyumbang utama gejala penagihan dadah di Eropah, Amerika Utara, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand," kata INCB dalam laporannya.

Menurut laporan tersebut, penyebaran meow meow sukar dibendung kerana dadah tiruan itu mudah didapati.

Dadah itu juga dijual lebih murah daripada kokain.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm


Amphetamine :

–noun Pharmacology .

a racemic drug, C 9 H 13 N, that stimulates the central nervous system: used chiefly to lift the mood in depressive states and to control the appetite in cases of obesity.

http://dictionary.reference.com/browse/amphetamine

Thursday, February 10, 2011

Dadah pecah dalam perut

Dadah pecah dalam perut

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang wanita warga Afrika berbogel dan berjoget di tepi jalan raya di Cheras di sini, kelmarin dipercayai bukan disebabkan gangguan mental secara semula jadi, sebaliknya ia kesan sampingan selepas satu daripada puluhan bungkusan kecil dadah ditelannya, pecah dalam perut.

Sumber polis berkata, perkara itu terbongkar selepas hospital membuat imbasan X-ray pada bahagian perut wanita terbabit yang kelihatan agak buncit.

Berikutan itu, polis percaya wanita terbabit ‘keldai dadah’ digunakan sindiket penyeludupan dadah ke negara ini dan dia menelan puluhan bungkusan sebesar ibu jari mengandungi dadah jenis heroin bertujuan menyoroknya daripada dikesan pihak berkuasa.

“Besar kemungkinan satu daripada bungkusan dadah berkenaan terpecah atau bocor di dalam perut wanita itu menyebabkan dia menjadi tidak siuman dan hilang kawalan diri,” katanya.

Menurutnya, sehingga semalam, wanita terbabit yang dirujuk ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) bagaimanapun masih dalam keadaan tidak siuman dan gagal memberi kerjasama ketika keterangannya hendak diambil.


“Setakat ini, hospital memberikan ubat khas bagi membolehkan suspek mengeluarkan bungkusan dadah itu daripada perutnya. Proses mengeluarkan dadah berkenaan masih dilakukan sehingga petang ini (semalam) dan jumlah sebenar dadah dalam perut wanita terbabit juga tidak diketahui,” katanya.

Difahamkan, sehingga petang semalam, lebih 10 bungkusan plastik kecil dadah dikeluarkan dan bakal dihantar ke Jabatan Kimia bagi menentukan jenis dadah berkenaan dan beratnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang yang dihubungi mengesahkan penemuan dadah berkenaan, namun enggan mengulas lanjut berikutan belum mendapat laporan penuh berhubung identiti wanita terbabit.

Menurutnya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada wanita Afrika berkenaan, namun polis meminta bantuan Jabatan Imigresen bagi mengenal pasti identitinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, wanita berusia 20-an itu mencetuskan kegemparan apabila muncul dalam keadaan telanjang bulat sebelum berjoget dan menjerit-jerit di bahu jalan berhampiran persimpangan Taman Cheras menuju Jalan Lingkaran Tengah II, di sini.

Selepas kira-kira 15 minit dipujuk anggota polis dan orang awam, baru dia bersetuju memakai pakaiannya semula sebelum dibawa menaiki kereta peronda polis untuk dihantar ke PPHUKM bagi pemeriksaan kesihatan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Dadahpecahdalamperut/Article

Tuesday, February 1, 2011

Lari selepas dibebaskan


SAZALI berlari keluar selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memiliki kanabis di Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Seorang pemandu lori sebuah syarikat kurier bergegas berlari seribu sebaik Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar kanabis, setahun lalu.

Tertuduh, Sazali Salleh, 38, yang memakai baju T berwarna kuning dan seluar sukan kelabu menekup muka dengan kedua-dua belah tangan sebaik hakim, Datuk Mohd. Azman Husin membacakan keputusan tersebut.

Dia yang berasal dari Sungai Petani sebelum itu bersalaman dengan anggota polis yang mengiringinya dan bergegas keluar dari bilik mahkamah tanpa sempat berjumpa dengan ahli keluarganya yang berada di galeri awam.

Sazali kemudian dilihat berlari ke arah kawasan rumah kedai dan sawah yang terletak kira-kira 100 meter dari kompleks mahkamah sebelum hilang daripada pandangan.

Tindakan itu sekali gus mengejutkan ramai yang berada di pekarangan mahkamah untuk mengikuti keputusan kes tersebut.

Sepanjang prosiding berlangsung sejak 23 Januari lalu, seramai lima orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Mohd. Azman dalam keputusannya menyatakan bahawa pertuduhan pendakwaan tidak lengkap dan terdapat kesilapan teknikal disebabkan kecuaian polis selain keterangan mereka selaku saksi pendakwaan juga menimbulkan keraguan.

Beliau juga hairan dengan kegagalan 15 anggota polis berpakaian preman untuk memberkas rakan Sazali yang dikenali sebagai Din selain tidak memperoleh butir- butir peribadi lelaki itu.

"Disebabkan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil bela diri, namun tertakluk kepada rayuan (pihak pendakwaan)," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Sazali bersama seorang lagi yang masih bebas dididakwa mengedar dadah kanabis seberat 903.5 gram pada pukul 11.30 pagi, 15 Februari 2009 di hadapan rumah Lot 92, Lorong 13, Taman Bakar Arang, Sungai Petani.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sazali diberkas bersama kanabis oleh sepasukan 15 anggota polis yang menahan lori dinaikinya bersama seorang rakan tetapi lelaki itu dapat melarikan diri ketika kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim berkata, beliau akan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari.

Sazali diwakili oleh peguam, Rahmatulah Baharudeen.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Friday, January 28, 2011

Guru dipenjara 11 tahun, 10 sebatan


MOHD. SALLEHIN keluar dari Mahkamah Tinggi Melaka semalam selepas didakwa memiliki dadah.


MELAKA – Sepatutnya seorang guru perlu memberi contoh teladan yang baik kepada masyarakat terutama bab penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh nombor satu negara.

Namun semalam, seorang guru Bahasa Melayu sekolah rendah di Tengkera dihukum penjara 11 tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas dua pertuduhan memiliki dadah tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Sallehin Abu Samah, 29, yang mengaku salah dan selepas meneliti semua fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Mhd. Asrar.

Pada pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 270.86 gram di tempat letak kereta Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir pada 11 Mac 2010 pukul 7 petang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Friday, January 7, 2011

Edar dadah dekat surau

Edar dadah dekat surau

Oleh Mohd Nasif Badruddin

RAMPAS...Roslan (tengah) menunjukkan heroin dan pil kuda yang dirampas dalam serbuan, Selasa lalu.
RAMPAS...Roslan (tengah) menunjukkan heroin dan pil kuda yang dirampas dalam serbuan, Selasa lalu.

KUALA TERENGGANU: Perwatakan alim seorang lelaki sering dilihat di sebuah surau di Kampung Losong Haji Awang, di sini, terbongkar apabila dia sebenarnya menjadikannya sebagai lokasi mengedar dadah disimpan dalam kereta di parkir di kawasan berdekatan.

Taktik licik lelaki berusia 36 tahun dari Bachok, Kelantan itu berakhir apabila ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 9.45 malam Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri dengan melawan anggota polis hingga berlaku pergelutan.

“Sebaik ditahan, suspek membawa polis ke Proton Perdana diletak berhampiran surau kira-kira 50 meter dari rumahnya sebelum menemui 67 botol dadah jenis heroin seberat 311.6 gram bernilai RM100,500.


“Polis turut merampas wang tunai RM3,165 disyaki hasil kegiatan penjualan dadah. Suspek kini direman seminggu hingga 11 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.


Beliau berkata, suspek dipercayai pengedar dan penagih yang aktif mengedar bahan terlarang itu sejak 10 tahun lalu dan mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta pernah dihukum mahkamah.

Katanya, suspek pernah dihukum dan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6, Seksyen 7(1), Seksyen 12(2) dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 11(A)(1) ADB 1952 dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

“Susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah rumah lain berhampiran dan berlaku pergelutan sebelum pihak polis menahan lima lelaki dan seorang wanita dalam premis berkenaan berusia antara 20 hingga 36 tahun.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek mendapati kelima-lima lelaki yang tidak bekerja itu positif dadah jenis methamphetamine dan opiate.

“Tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan masih lagi dalam pengawasan,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas 800 pil kuda bernilai RM24,000 manakala semua suspek direman seminggu hingga 11 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952.

“Polis percaya dengan tertangkapnya lelaki berkenaan yang dipercayai perancang utama, dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif sekitar daerah ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Edardadahdekatsurau/Article

Thursday, December 30, 2010

Suami isteri dihukum gantung edar dadah

GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri semalam dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah atas dua tuduhan mengedar dan memiliki sejumlah 165.62 gram dadah jenis heroin dan morfin dua tahun lepas.

Hakim Nurmala Salim menjatuhi hukuman itu terhadap Shahrizal Said, 33, dan Zarimah Yusoff, 30, setelah mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pasangan suami isteri yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu didapati memiliki dadah berkenaan dalam sebuah rumah pangsapuri beralamat di Block 5-6-18 Desa Riang Batu Uban pada pukul 3.45 petang 3 Februari 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika bersabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Dua wanita hamil berdepan hukuman gantung

MELAKA: Dua wanita masing-masing mengandung lapan dan empat bulan berdepan hukuman gantung sampai mati apabila didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dan methamphetamine bersama-sama empat lelaki lain di Mahkamah Majistret, di sini semalam.

Mereka, Nurriza Zainal, 27, dari Taman Bachang Baru yang juga tertuduh keempat dan Nur Asikin Abd Rahman, 24, dari Tangga Batu Tanjung Minyak, tertuduh kelima.


Turut didakwat ertuduh pertama, Mohd Shafie Salleh, 24, dari Padang Temu, dekat sini; Mohd Rizal Ismail, 31, (kedua) dari Jalan Penghulu Ismail (kedua), Parit Muar, Johor; adik Nurriza iaitu Noorfazry,19, (ketiga) dari Pangsapuri Mutiara Melaka Baru dan Mohd Fazrin Muslin Md Ghazali, 22, (keenam) dari Jalan Molek 1, Taman Ayer Molek.

Kecuali Mohd Fazrin Muslin (pekerja kedai telefon), lima lain tidak bekerja dan semua mereka ditangkap bersama pada 17 Disember lalu.


Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama pada 17 Disember lalu, kira-kira 9 malam di rumah No 214 Lorong Singa 6, Taman Sin Hoe, Bukit Baru, mengedar dadah jenis kanabis seberat 202.7 gram.


Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 66.7 gram di tempat, masa dan tarikh sama.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama iaitu membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.


Sejurus dibacakan pertuduhan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah, semua mereka mengangguk faham tetapi tiada pengakuan direkodkan Majistret Mohd Fairuz Johari.

Semua tertuduh tidak diwakili peguam menghadapi satu lagi pertuduhan lain, memiliki dadah berbahaya nimetazepam seberat 16 gram di tempat, masa dan tarikh sama.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duawanitahamilberdepanhukumangantung/Article/index_html

Saturday, December 25, 2010

Rumah jadi makmal dadah


MOHAMAD NASIR (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Muar semalam.


MUAR - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM70,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai makmal dadah di Jalan Daud di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pada serbuan pukul 5.30 pagi itu, polis turut menahan dua suspek masing-masing berusia 25 dan 27 tahun.

"Polis juga merampas wang tunai berjumlah RM1,400 dan sebuah kereta Proton Perdana yang dilaporkan hilang di Larkin, Johor Bahru pada tahun 2008 di rumah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mohamad Nasir berkata, hasil pemeriksaan, polis menjumpai dadah jenis ekstasi, ketamin dan syabu serta peralatan-peralatan untuk memproses dadah.

Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, polis yakin sebanyak lima kes pecah kilang di sekitar daerah Muar berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya lima warga negara Vietnam selepas menahan sebuah teksi pada satu sekatan polis di persimpangan lampu isyarat Bukit Pasir di sini kelmarin.

Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian pukul 4.40 pagi itu, kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun cuba melarikan diri tetapi anggota polis berjaya memberkas mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Friday, December 17, 2010

Wanita seludup dadah RM1.4 juta


ISHAK (tengah) menunjukkan dadah bernilai RM1.4 juta yang dirampas daripada seorang wanita Indonesia di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam semalam.


BUKIT KAYU HITAM – Seorang pekerja salon wanita warga Indonesia ditahan Kastam Diraja Malaysia Kedah ketika cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta di sini semalam.

Wanita yang dijadikan ‘keldai dadah’ berusia 28 tahun itu ditahan ketika beg dibawanya menunjukkan imej mencurigakan ketika pemeriksaan pengimbasan imej dibuat oleh kastam.

Pengarah Kastam Negeri Kedah, Ishak Ahmad berkata, ketika membuka kandungan beg tersebut, pihaknya menjumpai empat keping lukisan tangan berbingkai kayu dengan berat yang agak luar biasa.

“Hasil pemeriksaan ke atas empat bingkai gambar tersebut, kastam menemui 28 bungkus plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis methaphetamin (syabu).

“Kesemua bungkusan ini disorok di dalam bingkai-bingkai gambar yang ditutupi dengan kayu di belakangnya,” katanya.

Ishak menambah, dengan tangkapan wanita terbabit, ia merupakan tangkapan terbesar pihaknya kerana berat syabu itu dianggarkan 5.5 kilogram dengan harga pasaran RM1.4 juta.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Wednesday, December 15, 2010

Banglo dadah Datuk

KUALA TERENGGANU: Berselindung di sebalik gelaran Datuk, seorang usahawan lelaki yang hidup mewah dengan hasil perniagaan chalet di Cherating, Pahang disyaki turut licik menjalankan kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah di kawasan Kemaman dan Cherating sejak 10 tahun lalu.

Kegiatan Datuk berusia 46 tahun dari Pahang itu terbongkar selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM75,000 yang disembunyikan di dalam banglo mewahnya di Jalan Kubang Kurus, Taman Muhibbah, Kemaman.


Rampasan dadah jenis heroin, syabu Eramin 5, Ecstasy dan ganja serta lima pokok ganja hidup itu dibuat sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kemaman diketuai ketua bahagian berkenaan, Asisten Superintendan Mohd Hamzah Awang Dollah kira-kira jam 11 pagi, Ahad lalu sebaik menerima maklumat awam.

Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM37,530 dan menyita sebuah kereta Proton Gen2 bernilai RM25,000 dan dua kenderaan mewah jenis Mercedes Benz (RM60,000) dan Honda Civic (RM116,000) dipercayai milik Datuk berkenaan selain merampas barang kemas bernilai RM7,690 yang keseluruhannya bernilai RM246,220. Datuk berkelulusan diploma dan beristerikan seorang wanita warga British itu juga dikatakan cuba mengaburi mata pihak berkuasa apabila menjadikan kawasan perumahan didiami hampir keseluruhan bangsa Cina sebagai tempat tinggal bagi mengelak kegiatannya dikesan.


Kedudukan banglonya yang strategik dan tersembunyi dari kediaman lain di kawasan perumahan itu membolehkan kegiatan pengedaran dadah dilakukan dengan selesa sejak 10 tahun lalu apabila ia sukar dikesan pihak berkuasa.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata ketika serbuan, pihaknya mendapati seorang wanita berusia 40 tahun melarikan diri ke tingkat atas banglo sebelum menahannya dalam sebuah bilik di tingkat berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan anggota polis wanita yang terbabit dalam serbuan itu terhadap wanita berkenaan menemui sejumlah ganja yang diletakkan berhampiran katil.


“Hasil pemeriksaan seterusnya dalam bilik berkenaan, polis turut menemui lima pokok ganja hidup yang ditanam di bahagian hadapan balkoni banglo berkenaan. Kesalahan memiliki ganja hidup itu sudah cukup untuk membolehkan pasangan berkenaan dikenakan hukuman penjara seumur hidup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam.

Roslan berkata, ketika serbuan hanya wanita terbabit dan seorang remaja wanita berusia 18 tahun berada dalam rumah berkenaan dan pihaknya menahan lelaki terbabit sebaik dia tiba di rumah itu selang beberapa minit kemudian.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BanglodadahDatuk/Article/index_html

Monday, November 29, 2010

Keldai dadah RM1 juta

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

PERIKSA...kastam Indonesia memeriksa beg dibawa Anthony, Sabtu lalu.
PERIKSA...kastam Indonesia memeriksa beg dibawa Anthony, Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR: Seperti tidak pernah serik apabila seorang lagi lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai diupah menjadi keldai dadah untuk menyeludup syabu ke negara berkenaan bernilai lebih RM1 juta.

Suspek yang dikenali sebagai Anthony, 24, mendakwa diupah lebih RM5,000 untuk menjalankan tugas maut terbabit dengan menyeludup dadah yang disembunyikan di dalam beg.


Sumber polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, berkata suspek warga Malaysia berkenaan ditahan pihak berkuasa lapangan terbang bandar Udara Juanda Surabaya, jam 11.45 malam Sabtu lalu.

Menurutnya, pihak keselamatan lapangan terbang Surabaya bagaimanapun mengesyaki tindak-tanduk suspek yang mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.


“Lebih menghairankan petugas lapangan terbang apabila mendapati suspek tidak membawa beg pakaian besar sebaliknya mengepit beg tangan kecil dan menemui satu bungkusan aluminium yang disembunyikan di dalamnya. “Hasil pemeriksaan menemui serbuk dipercayai syabu seberat satu kilogram,” katanya.


Menurutnya, hasil soal siasat, suspek mengaku diarah sindiket dadah antarabangsa untuk menyeludup dadah berkenaan ke Surabaya dengan upah lumayan.

“Difahamkan, suspek diarah menyerahkan dadah terbabit kepada seorang wanita bernama Devi di Jakarta, Indonesia sebelum diberikan upah dijanjikan. Susulan penahan itu, suspek berdepan hukuman mati atau dipenjarakan 20 tahun di negara terbabit,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengarah 1, JSJN Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata pihaknya sentiasa memandang serius apa juga bentuk jenayah dan cubaan oleh sindiket tempatan mahupun antarabangsa yang cuba menjadikan negara ini sebagai transit pengedaran dadah.

Menurutnya, walaupun nilai rampasan dadah dan tangkapan meningkat sejak dua tahun lalu, namun sindiket terbabit sentiasa mengubah modus operandi dengan menggunakan lelaki atau gadis warga asing sebagai keldai dadah.

http://www.hmetro.com.my/articles/KeldaidadahRM1juta/Article

Monday, November 22, 2010

Umi mungkin dijel 12 tahun

Umi mungkin dijel 12 tahun

Oleh ADNAN MOHAMAD
metahad@hmetro.com.my

TERSENTUH... Lazim membaca akhbar kisah Umi Azlim.
TERSENTUH... Lazim membaca akhbar kisah Umi Azlim.

PASIR PUTEH: “Jika benar hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadap anak saya dikurangkan kepada hanya 12 tahun, saya sekeluarga sangat bersyukur.

“Selama ini saya ingat anak sulung saya akan mati di dalam penjara, namun mimpi ngeri itu nampaknya akan bertukar,” kata Mohamad Lazim, 54, ayah kepada Umi Azlim, 26, gadis Malaysia yang dipenjara di Guangzhou, China kerana kesalahan mengedar hampir tiga kilogram heroin.


Mohamad Lazim berkata, berita gembira itu diperolehnya daripada seorang saudara yang berhubung dengan kakitangan kedutaan Malaysia di China dan berharap ia adalah benar.

“Setakat ini saya berharap apa dikhabarkan kepada saya benar belaka. Saya bersyukur kerana rayuan dibuat sebelum ini mungkin mendapat maklum balas daripada mahkamah di China,” katanya.


Menurutnya, sebelum ini keluarganya tertekan kerana Umi Azlim dijatuhi hukuman mati sebelum ditukar kepada penjara seumur hidup.


“Saya menganggap jika benar hukuman ke atas Umi Azlim dikurangkan kepada penjara 12 tahun, tiada yang lebih menggembirakan adik- beradiknya, terutama adik kembarnya Umi Azmira dan Umi Azuraiha, 18.

“Meskipun kami sekeluarga belum mendapat pengesahan mengenai perkara itu, sedikit sebanyak berita ini menceriakan kami, malah memberi harapan rayuan kami mungkin diterima,” katanya yang bekerja sebagai mekanik di Taman Desa Anda, di sini, semalam.


Mohamad Lazim berkata, dia menyerahkan surat rayuan itu kepada pihak mahkamah ketika melawat Umi Azlim bersama arwah isterinya, Umi Slaia Ibrahim dan penyelaras Tabung Umi Azlim, Hu Pang Chaw, tiga tahun lalu.

“Pada awalnya kami menjangkakan hukuman penjara seumur hidup itu yang terakhir dikenakan terhadap Umi Azlin dan menganggap mungkin hayatnya akan berakhir di sana.


“Namun kini dengan berita yang kami peroleh, mungkin harapan untuk dia dibebaskan akan terlaksana,” katanya.


Menurutnya, daripada maklumat yang diberitahu kepadanya, bukan anaknya saja yang kini dipenjara di China atas kesalahan dadah, malah ramai lagi rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan sama.


“Sebagai bapa, saya menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pekerjaan anak mereka, terutama jika membabitkan perjalanan ke luar negara.


“Saya tidak mahu apa yang menimpa anak saya turut berlaku ke atas anak orang lain dan anggaplah ia sebagai pengajaran,” katanya yang memaklumkan dia mendapat tahu mengenai berita itu melalui adiknya pada sambutan Aidilfitri lalu.


Sebelum ini, Umi Azlim didakwa menyeludup dadah jenis heroin seberat 2,983 gram ke negara itu pada 19 Januari 2007 dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou pada Mei 2007, tetapi ditukar kepada penjara seumur hidup selepas rayuannya diterima.

http://www.hmetro.com.my/articles/Umimungkindijel12tahun/Article

Wednesday, October 27, 2010

Sorok dadah dalam bingkai gambar


ANGGOTA polis menunjukkan dua daripada empat bingkai gambar mengandungi dadah yang dibawa wanita Georgia pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Kegembiraan seorang wanita Georgia yang berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) walaupun membawa lima kilogram syabu bernilai RM1.3 juta tidak berpanjangan apabila dia ditahan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini kelmarin.

Wanita berusia 37 tahun tersebut ditahan pada pukul 12 tengah malam bersama 28 bungkusan dadah tersebut yang disembunyikan di dalam empat bingkai gambar. Bingkai itu pula dibawa di dalam sebuah beg hitam berjalur merah.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, wanita tersebut ditahan kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika dalam perjalanan ke kaunter limousin di kawasan ketibaan LTABL oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri.

Katanya, sebaik membuat pemeriksaan pada bagasi itu, polis menemui 28 bungkusan syabu disembunyikan di dalam empat bingkai gambar bernilai RM1.3 juta.

"Siasatan mendapati suspek telah berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA sebelum ditahan di situ.

"Kita masih menyiasat sama ada suspek menjadi keldai dadah atau membawa bahan khayal secara langsung," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri semalam.

Tambahnya, statistik menunjukkan polis telah menahan seramai 128 warga asing kerana mengedar dadah termasuk dari China, India, Uganda dan Georgia sepanjang tahun ini.

Sementara itu di Kota Kinabalu, Sabah, polis turut menahan seorang lagi wanita Georgia dan merampas sebanyak 5.5 kilogram syabu bernilai RM1.76 juta yang disembunyikan di dalam empat bingkai gambar dalam serbuan pukul 12.50 tengah malam di sebuah hotel semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah, Supritendan Abd. Rahim Dolmat berkata, wanita berusia 26 tahun itu ditahan hasil soal siasat polis Pulau Pinang yang terlebih dahulu menahan rakannya di LTABL.

"Polis Pulau Pinang kemudian telah menghubungi kami untuk menyerbu sebuah hotel di sini sebelum kami menahan wanita itu dan merampas dadah berkenaan," katanya.

Kedua-dua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Saturday, October 9, 2010

Demi cinta sanggup jadi keldai dadah



CHARLENE dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam atas tuduhan membawa dadah.


SHAH ALAM - Cinta Internet juga membawa bencana. Demi cinta, seorang wanita warga Filipina sanggup mengikut kehendak teman lelakinya yang dikenali menerusi Internet untuk membawa dadah dalam keadaannya yang sarat mengandung hasil perhubungan mereka.

Bagaimanapun, dia tidak bernasib baik, apabila ditangkap oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Oktober tahun lepas.

Semalam wanita itu dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Apa yang lebih menyedihkan tertuduh, Charlene Boholst Zabala, 25, terpaksa melahirkan anaknya di dalam penjara dan teman lelakinya seorang lelaki Afrika telah melarikan diri.

Charlene didakwa membawa masuk dadah jenis kokain seberat 371 gram ke Malaysia melalui pesawat dari Buenos Aires, Argentina ke KLIA ketika transit untuk ke Ho Chi Minh City, Vietnam tanpa kebenaran yang sah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Friday, October 1, 2010

Kes kalah akibat pecah amanah, pegawai tak cekap

2010/10/01

KUALA LUMPUR: Polis memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan ke atas kes salah laku seorang pegawai dan sembilan anggota lain-lain pangkat berhubung kes rampasan dadah bernilai RM254 juta di dalam sebuah lori di Rompin, Pahang, Mei tahun lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata beliau mengarahkan siasatan dalaman terperinci dan tindakan diambil.

“Siasatan sedang dijalankan, kita tidak mahu perkara seperti ini berulang lagi,” katanya pada sidang berita di Bukit Aman di sini semalam.


Katanya, beliau kecewa kerana kes itu mendapat pendedahan baik mengenai kejayaan polis, namun akhirnya merugikan apabila gagal dibuktikan di mahkamah.


Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun mengesahkan 10 anggota termasuk seorang pegawai dikenakan tindakan tatatertib berhubung kes itu.


Antara yang dikenakan tindakan ialah seorang pegawai cawangan narkotik berpangkat Inspektor, manakala sembilan lagi anggota yang membuat tugas am.


“Setakat ini, semua terbabit diturunkan pangkat dengan gaji dibekukan. “Semua tindakan itu diambil sebelum kes dibicarakan,” katanya yang ditemui selepas sidang media pada Majlis Pelaksanaan Program 4P Ismail, semalam.


Katanya, siasatan dalaman mendapati berlaku pecah amanah selain pegawai penyiasat tidak cekap.


Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuantan membebaskan Lee Yong Toe, 48, daripada tuduhan mengedar 753,359 gram syabu bernilai lebih RM200 juta.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keskalahakibatpecahamanah_pegawaitakcekap/Article

Polis Jamin Siasatan Terperinci Kes Salah Laku Anggota

Khamis September 30, 2010

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan ke atas kes salah laku 10 anggotanya berhubung kes rampasan dadah bernilai RM254 juta di dalam sebuah lori di Rompin, Pahang, Mei tahun lepas.

Katanya, beliau telah mengarahkan agar siasatan dalaman dapat dijalankan secara terperinci dan tindakan diambil ke atas mereka.

"Siasatan sedang dijalankan, kita tidak mahu perkara seperti ini berulang lagi," katanya pada sidang berita di Bukit Aman di sini, Khamis.

Beliau mengulas kes seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, yang telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan semalam atas tuduhan mengedar 753 kilogram syabu bernilai RM254 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman,Datuk Akhtar Tahir berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah yang dirampas itu milik tertuduh selain memanggil dua saksi penting berhubung kes itu.

Menurut Akhtar, mahkamah juga dimaklumkan mengenai satu laporan palsu telah dibuat oleh pengadu selain pengakuan beberapa anggota polis yang mencuri dadah dirampas yang dianggarkan seberat 40 kilogram.

Ismail berkata, beliau kecewa dengan apa yang berlaku kerana kes tersebut telah mendapat pendedahan yang baik tentang kejayaan polis namun akhirnya merugikan apabila ia gagal dibuktikan di mahkamah.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun mengesahkan seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib berhubung kes tersebut.

Antara yang dikenakan tindakan tersebut ialah seorang pegawai cawangan narkotik berpangkat Inspektor manakala sembilan lagi merupakan anggota yang menjalankan tugas-tugas am.

"Setakat ini, kesemua anggota dan pegawai terlibat telah diberi amaran dan pergerakan gaji mereka telah digantung. Semua tindakan tersebut telah diambil sebelum kes dibicarakan," katanya.

Othman berkata, siasatan dalaman pihaknya mendapati berlaku kejadian pecah amanah dalam kes tersebut selain pegawai penyiasat yang tidak cekap ketika menjalankan tugas.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/9/30/mstar_jenayah/20100930205055&sec=mstar_jenayah

Wednesday, September 8, 2010

Jangan bawa beg orang lain: Polis

2010/09/07

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan orang ramai yang pulang berhari raya agar tidak mudah terpedaya dengan permintaan sesetengah pihak yang mahu mereka membawa beg atau bungkusan ke destinasi tertentu.

Ketua Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, ACP Kang Chez Chiang, berkata bungkusan tersebut dikhuatiri mengandungi dadah dan taktik itu dikesan berlaku di perhentian bas, stesen keretapi dan juga lapangan terbang sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, taktik itu sering diguna oleh pengedar dadah kerana ketika itu orang ramai mahu pulang berhari raya ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kita memerlukan kerjasama daripada masyarakat supaya tidak membawa beg kepunyaan orang lain yang tidak dikenali atau menumpangkan apa-apa jenis barang yang mencurigakan," katanya.

Katanya, pengedar dan pembekal akan meletakkan beg atau bungkusan mengandungi dadah di dalam bas, kawasan bagasi keretapi atau menumpang beg orang lain di lapangan terbang.

"Setibanya di destinasi, beg atau bungkusan itu akan diambil pihak kedua sebelum diedarkan," katanya. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...