Showing posts with label Jahiliah Moden. Show all posts
Showing posts with label Jahiliah Moden. Show all posts

Thursday, July 22, 2010

Datuk berhati haiwan

Oleh Alias Abd Rani

2010/07/22

KUCHING: Seorang datuk yang juga bekas Ahli Majlis Perbandaran Padawan terpaksa meringkuk dalam penjara selama 62 tahun selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan merogol cucunya sejak enam tahun lalu.

Tertuduh berusia 60 tahun yang tidak diwakili peguam mengaku melakukan semua kesalahan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Dia mengaku merogol cucunya di dua lokasi berasingan iaitu di kebun dan rumahnya.

Dia dihukum mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. Hakim Mahkamah Seksyen Kuching, Afidah Abdul Rahman memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula semalam.


Mengikut kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa raya Teo Teck Soon, tertuduh didakwa merogol cucunya ketika berusia lapan tahun buat kali pertama di sebuah pondok di kawasan kebun di Jalan Kuching, Serian, dekat sini, antara jam 12 tengah malam hingga 12 tengah hari sekitar Januari hingga Disember 2004.


Dia kemudian mengulangi kesalahan itu pada 2005 juga pada waktu sama di sebuah rumah bernombor 25, Kampung Mambong, Jalan Kuching, Serian.


Warga emas itu turut dituduh melakukan perbuatan sama pada 2006 , 2007, 2008, 2009 dan kali terakhir pada 28 Jun lalu. Semua kesalahan itu dilakukan di tempat sama.


Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh meminta hukuman ke atasnya dikurangkan dengan alasan dia sudah tua dan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan serta mengaku sudah insaf.


Berikutan pengakuan bersalah tertuduh itu, Afidah kemudian mensabitkan kesalahan pertama pada 2004 dengan hukuman penjara sembilan tahun, hukuman penjara 10 tahun untuk tuduhan kedua yang dilakukan pada 2005, lapan tahun (2006), enam tahun (2007), tujuh tahun (2008), lapan tahun (2009) dan 12 tahun bagi kesalahan dilakukan pada 2010.


Laporan perubatan menunjukkan mangsa mengandung 28 minggu selain terdapat kesan koyakan pada kemaluannya.


Tertuduh dikatakan memelihara mangsa sejak kecil selepasibu bapanya menghilangkan diri dan tidak mahu bertanggungjawab.


Sepanjang tempoh penjagaan itu, tertuduh dikatakan mengambil kesempatan ketika mangsa berusia lapan tahun sehinggalah dia berusia 14 tahun.


Mengikut fakta kes, kejadian itu disaksikan sendiri isteri tertuduh, namun dia dimarahi dan diugut supaya tidak melaporkan perkara ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Datukberhatihaiwan/Article

Benci dapat bayi perempuan



Oleh Hadzlihady Hassan

2010/07/22

AMPANG: Bagai hidup pada zaman jahiliah, seorang bapa tergamak mengasari isterinya disebabkan kecewa wanita itu melahirkan bayi perempuan yang juga anak sulung hasil perkongsian hidup mereka.

Sejak isterinya hamil dan diberitahu doktor anak dalam kandungannya dijangka perempuan, lelaki terbabit sering memukul isterinya.

Lebih menyedihkan, selepas bayi perempuan itu dilahirkan, dia menjadi mangsa perbuatan zalim bapanya dan perbuatan itu berterusan sehingga usianya kini lima bulan.

Dalam kejadian terbaru, dua beranak itu diperlakukan dengan kejam apabila lelaki terbabit memukul bayi dan isterinya selain turut mengurung wanita berkenaan apabila mangsa cuba melarikan diri.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi, 7 Julai lalu apabila mangsa yang berusia awal 20-an ketika itu berada di rumah manakala suaminya yang bekerja sebagai pengutip barang lusuh baru pulang.

“Sebaik tiba di rumah, lelaki terbabit tiba-tiba menghampiri bayi perempuan mereka dan dalam keadaan naik angin dia melepaskan tendangan ke arah bayi itu yang berada dalam buaian.

“Bayi berusia lima bulan itu diperlakukan dengan kejam apabila dia bukan saja ditendang, malah turut ditumbuk dan ditampar bapanya sehingga cedera di badan, mata dan kepala,” katanya.

Sumber itu berkata, sambil membebel kepada isterinya, lelaki terbabit terus menerus memukul, menumbuk dan menampar bayi berkenaan walaupun cuba dihalang wanita berkenaan.

“Lelaki terbabit turut mengatakan rasa tidak puas hati dan mendoakan supaya bayi berkenaan mati selain mempersoalkan isterinya mengapa tidak melahirkan bayi lelaki,” katanya.

Sumber berkenaan berkata, isterinya yang tidak tahan perangai lelaki terbabit menghalang suaminya dan cuba melarikan diri bersama bayi mereka ke rumah ibunya tidak jauh dari situ.

“Bagaimanapun, tindakan wanita berkenaan mengundang kemarahan suaminya apabila dia sekali lagi mengamuk.

“Lelaki itu memukul dan menumbuk isterinya tanpa belas kasihan dan mengurung wanita berkenaan serta bayinya selama tiga hari dalam rumah bagi mengelak dua beranak itu melarikan diri,”
katanya.

Menurutnya, bagaimanapun dua beranak berkenaan dapat melepaskan diri selepas lelaki terbabit keluar bekerja dan terlupa mengunci pintu rumah.

Ketika dihubungi Harian Metro, wanita itu yang meminta namanya dirahsiakan berkata, kekejaman suami ditanggungnya sejak hamil dan dia kurang pasti kenapa suaminya benci serta marah apabila dia melahirkan anak perempuan.

“Apapun saya bersyukur kerana suami terlupa mengunci pintu rumah. Jadi, saya dan bayi saya dapat melarikan diri ke rumah ibu yang tidak jauh daripada rumah kami,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia membuat laporan polis dan membawa bayinya mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

“Anak saya cedera di beberapa bahagian badan dan ditempatkan dalam wad Hospital Ampang selama empat hari,” katanya sambil memberitahu suaminya tidak pulang ke rumah sejak kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan menjejaki lelaki terbabit yang dipercaya sudah melarikan diri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...