Showing posts with label Anak Yatim dan Rumah Perlindungan. Show all posts
Showing posts with label Anak Yatim dan Rumah Perlindungan. Show all posts

Monday, December 20, 2010

215 pelajar miskin terima pakaian sekolah

Zamree Ambak

DUNGUN, 19 Dis: Seramai 215 pelajar miskin dan anak yatim dalam kawasan dewan undangan Negeri (Dun) Sura menerima sumbangan pakaian sekolah.

Adun Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menyampaikan sumbangan itu pada majlis yang diadakan di Surau Ustaz Haji Omar Shukri, di sini, semalam.

Selain pelajar yang menerima sumbangan bagi sesi 2011 itu, sebanyak 158 keluarga turut menerima sumbangan beras dan wang tunai pada majlis itu.

Program berkenaan diadakan bagi membantu golongan yang kurang berada dengan sasaran ditumpukan kepada pelajar miskin dan anak-anak yatim dalam Dun Sura.

Sasaran penerima kedua pula ialah ibu kepada pelajar yatim dan ibu atau bapa pelajar miskin.

Sebelum ini, Wan Hassan yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun turut menyampaikan sumbangan kepada para pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sumbangan dalam bentuk wang tunai itu dihantar terus ke rumah pelajar berkenaan.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29914:215-pelajar-miskin-terima-pakaian-sekolah&catid=59:negeri-terengganu-darul-iman&Itemid=104

Monday, September 6, 2010

Aidilfitri tunggu ibu pulang

Oleh D J Dolasoh
am@hmetro.com.my
2010/09/06

GERIK: “Mak, datanglah ambil kami. Kami adik- beradik mahu menyambut Aidilfitri nanti bersama mak. Kami semua masih belum ada baju raya.

“Kami terutama adik (bongsu, Muhammad Aidilfitri, 5,) paling rindukan emak dan mahu mak pulang segera. Kenapa mak tinggalkan kami lima beradik sendirian,” keluh Nur Syafiqah Abdullah, 14.


Nur Syafiqah, anak sulung Siti Rohmah Asnawi, 34, seorang warga Indonesia yang berkahwin dengan penduduk tempatan sebelum menghilangkan diri meninggalkan lima anaknya ketika menyewa rumah teres di Setapak Jaya, Kuala Lumpur, Mei lalu.


Empat lagi adik Nur Syafiqah iaitu Nur Syahidah Awang Bakar, 11; Muhammad Azhar, 9; Siti Nur Aishah, 7, dan Muhammad Aidilfitri, 5, menumpang di rumah sewa abang berlainan ibu, Mohd Irwandi Awang Bakar, 24, di Kampung Bersia Lama, Gerik dekat sini, sejak dua bulan lalu.


Nur Syafiqah berkata, sehingga kini, dia hairan kenapa ibunya meninggalkan lima beradik dan ketika itu, ibunya memberikan wang RM100 kepadanya.


“Pada mulanya kami ingat mak nak pergi cari kerja selepas ayah, (Awang Bakar Jusoh) meninggal dunia pada 2 Oktober 2008. “Bagaimanapun, sejak itu mak tidak pulang dan lebih sebulan kami empat beradik makan dan minum atas belas ihsan jiran,” katanya ketika ditemui di rumah sewa abangnya, kelmarin.


Menurut Nur Syafiqah, dia bersekolah sehingga tahun enam dan tidak dapat menyambung ke tingkatan satu kerana pihak sekolah tidak mengiktiraf sijil kelahirannya yang didakwa palsu.


“Dua lagi adik saya, Nur Syahidah dan Muhammad Azhar masing-masing belajar di tahun tiga dan lima di Sekolah Kebangsaan Bersia Lama (SKBL), Gerik sejak sebulan lalu, tetapi Siti Nur Aishah yang sepatutnya belajar di tahun satu juga tidak boleh bersekolah,” katanya.


Sementara itu, Mohd Irwandi berkata, dia bergegas ke Kuala Lumpur sebaik dihubungi pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Setapak Jaya membincangkan masalah pendaftaran pengenalan diri dan status kerakyatan adik berlainan ibu yang diragui kerana emak mereka warga asing.


Katanya, sehingga kini, Nur Syafiqah tidak dapat membuat MyKad serta tidak memperoleh status warga negara menyebabkan dia tidak dapat menyambung pengajian ke sekolah menengah dan tidak dapat dibintikan dengan nama Awang Bakar.


“Saya merayu kepada pihak berkenaan menyelesaikan masalah adik saya yang masih diragui status kewarganegaraan untuk membolehkan mereka belajar bagi menjamin masa depan.

“Malah, saya buntu memikirkan apabila diminta keluar dari rumah disewa sejak lebih setahun lalu dengan sewa RM70 sebulan selepas Aidilfitri ini kerana pemilik rumah mahu anaknya tinggal di rumah itu,” katanya.


Katanya, dia kini bekerja sebagai nelayan di Tasik Banding memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM700 sebulan yang pastinya tidak memadai memiliki rumah sendiri selain menanggung isteri, Nurasikin Angah, 20, keturunan Orang Asli suku Temiar dari Kemar, Banding serta anak mereka, Nur Ariana Tasya, 2.


Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada adik-beradik berkenaan boleh berbuat demikian menerusi alamat No 52, Kampung Bersia Lama, 33320 Gerik, Perak atau nombor akaun CIMB Mohd Irwandi 0810-0066633-52-0 atau hubungi 019-5437025.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aidilfitritungguibupulang/Article

Thursday, April 22, 2010

Remaja Mangsa Rogol Tidak Sedar Ada Pensil Dalam Kemaluannya

Rabu April 21, 2010

GOMBAK: Doktor yang memeriksa dan merawat seorang remaja perempuan yatim piatu berusia 14 tahun yang menjadi mangsa rogol rakan sekelasnya minggu lalu terkejut apabila mendapati bukan sahaja dia telah sebulan mengandung tetapi turut menemui sebatang pensil di dalam kemaluan mangsa.

Doktor mengesyaki sesuatu apabila budak perempuan tersebut mengadu terasa sakit setiap kali dia membuang air kecil.

Malah budak perempuan itu tidak menyedari pun yang di dalam kemaluannya terdapat sebatang pencil berukuran 4cm panjang sehinggalah para doktor mengeluarkannya dalam pemeriksaan yang dijalankan di Hospital Selayang Hospital.

Mangsa membuat laporan polis Isnin lalu dengan mendakwa rakan sekelasnya telah merogolnya pada waktu rehat sekolah. Mereka bersekolah di Rawang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Rosly Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, ini bukanlah kali pertama pelajar perempuan itu dirogol.

Malah katanya, budak perempuan itu telah beberapa kali dikasari secara seksual tetapi menyembunyikan kejadian itu daripada pengetahuan sesiapa.

“Kami percaya, perbuatan itu dilakukan bukan oleh seorang suspek tetapi lebih dari itu,” katanya.

Polis, katanya lagi kini masih menyoal siasat mangsa dan berharap akan memperolehi lebih banyak maklumat bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, rakan sekolah mangsa yang disyaki merogolnya di sekolah berkenaan telahpun ditahan di kawasan sekolah beberapa jam selepas mangsa membuat aduan.

Supt Rosly menambah, polis turut menahan enam lagi suspek yang dipercayai bersubahat untuk membantu siasatan.

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/4/21/mstar_jenayah/20100421223248&sec=mstar_jenayah

Sunday, August 2, 2009

Tidak menepati piawaian

Oleh ISMA ISMAIL dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my


GOMBAK: “Kita terpaksa ambil tindakan kerana mereka tidak menepati piawaian sebagai rumah perlindungan, terutama membabitkan pengurusan dan keselamatan penghuni,” kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Adnan Abu Bakar, mengulas tindakan pihaknya melakukan serbuan ke Pondok Penyayang Raudhah (PPR), Khamis lalu.

Menurutnya, JKM berbuat demikian selepas menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa pengurusan rumah terbabit mengabaikan kebajikan penghuni mereka.

Katanya, dakwaan itu termasuk ada penghuni berusia belasan tahun di rumah perlindungan berkenaan tidak pernah bersekolah serta sebilangan remaja wanita yang mengandung luar nikah tidak diuruskan dengan baik.

“Kami buat serbuan dan mendapati PPR memang tidak terurus. Tindakan kami juga berdasarkan pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan yang mengesahkan PPR ‘tidak selamat’ didiami penghuni berkenaan.

“Hasil serbuan berkenaan, kami terpaksa mengambil penghuni terbabit yang membabitkan anak yatim dan remaja wanita bermasalah, kemudian menempatkan mereka ke rumah perlindungan di bawah seliaan JKM. Ada juga (penghuni) yang kembali ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Adnan berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 24 remaja berusia 18 tahun ke bawah dibawa ke JKM, seterusnya dihantar ke rumah kebajikan seliaan JKM, manakala sebahagian lagi kembali kepada keluarga masing-masing.

Sementara itu, pengasas PPR, Moktarudin Mohd Saaid, menafikan premisnya diserbu JKM, sebaliknya mendakwa pihaknya sendiri menyerahkan anak yatim dan gadis bermasalah terbabit kepada JKM bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan lebih baik.

Beliau yang juga pelakon era 1980-an berkata, pihaknya memang sentiasa bekerjasama dengan JKM dan sudah berbincang mengenai penghuni terbabit untuk diselia sendiri oleh jabatan itu beberapa kali sebelum ini.

Katanya, JKM memaklumkan kepada pihaknya sebelum kehadiran mereka dan tindakan mengeluarkan penghuni PPR, terutama yang di bawah umur, dilakukan kerana polisi baru jabatan terbabit tidak membenarkan pusat perlindungan swasta ‘membela’ mereka.

“Saya sendiri menjadi tukang pujuk kerana kebanyakan anak di pondok ini tidak mahu pergi dengan JKM. Sebab itu kita guna psikologi supaya mereka pergi.

“Bagi saya, lebih baik jika perkara ini tidak digembar-gemburkan kerana kita dan JKM sentiasa bekerjasama kerana lebih penting adalah masa depan anak-anak itu lebih terjamin,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, kelmarin.

Pondok Penyayang Raudhah diasaskan Mokhtaruddin lebih 18 tahun lalu dan terletak di Batu 11 Jalan Gombak-Bentong, dekat sini, dengan memberi perkhidmatan sukarela menjaga dan mendidik anak yatim dan anak yang terabai oleh ibu bapa mereka.

Selain memberi motivasi, penghuni di pondok berkenaan dikatakan diberi kemahiran untuk berdikari serta pengukuhan iman.

Moktarudin sebelum ini pernah membintangi filem Pasung Puaka, Si Luncai, Cahaya Sakti, Langit Tidak Selalu Cerah, Raja Laut, Ribut Barat, Pertentangan, Cikgu Sayang dan Jauh Di Sudut Hati.

Pengurus Pertubuhan Penyayang Raudhah, Mohd Bismi Adira Moktaruddin, pula berkata berikutan polisi baru JKM, pihaknya akan mengubah konsep dan melaksanakan program bagi remaja melebihi 17 tahun serta yang ada masalah gejala sosial saja.

”Kami juga akan mencari dana bagi memperkemas serta menyediakan kemudahan terbaik di pondok berkenaan mengikut spesifikasi ditetapkan JKM,” katanya.

“Usaha ayah saya adalah sukarela dan memang sumber kewangan kami terhad, tetapi ia tidak menghalang niat kami membantu remaja kita yang bermasalah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090801192744/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...