Showing posts with label Leptospirosis and Symptoms. Show all posts
Showing posts with label Leptospirosis and Symptoms. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

Polis mati dek kencing tikus

Polis mati dek kencing tikus

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

SEDIH...Zamilah (kiri) dan anak perempuan, Norhidayah menunjukkan MyKad arwah Azizan yang maut akibat virus kencing tikus.
SEDIH...Zamilah (kiri) dan anak perempuan, Norhidayah menunjukkan MyKad arwah Azizan yang maut akibat virus kencing tikus.

KUALA KANGSAR: “Saya sangka dia demam panas akibat penat menjalani latihan dan tidak menyangka dia dijangkiti virus kencing tikus,” kata Zamilah A’ala, 52, ibu Mohd Azizan Azirid, 25, pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang meninggal dunia akibat diserang bakteria leptospirosis (kencing tikus) dan virus adeno, malam kelmarin.

Menurutnya, Azizan yang mengikuti latihan di Pulapol Jalan Semarak, Kuala Lumpur pernah menghubunginya mengadu demam panas selang seminggu selepas mula menjalani latihan di Pulapol, tetapi masih meneruskan latihan.

“Saya terkejut apabila dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 1 Mac lalu selepas pengsan ketika latihan kawat kaki.

“Apa yang saya tahu dia mengalami demam panas, cirit-birit dan batuk sebelum meninggal dunia,” katanya.

Zamilah yang ditemui di rumahnya di sini, semalam, berkata, pada mulanya doktor gagal mengesan penyakit arwah sehingga anaknya itu terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana paru-parunya mengalami jangkitan bakteria.

“Sepanjang berada di ICU, Azizan bergantung kepada mesin pernafasan. Selain kurang bercakap dan demam panas melampau, dia turut hilang selera makan menyebabkannya kurus.

“Ketika dirawat di hospital, arwah sempat memberitahu dia tidak mahu meneruskan latihan di Pulapol kerana tidak tahan dengan latihan,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, arwah turut bimbang namanya akan disenarai hitam jika gagal menamatkan latihan sekali gus menyukarkan dia memohon jawatan lain dalam kerajaan.

Menurutnya, sebelum menerima tawaran sebagai pelatih konstabel polis itu, arwah bekerja sebagai pembantu jurujual di kedai runcit di pekan Kuala Kangsar sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Zamilah berkata, dia tidak menggalakkan arwah bekerja sebagai polis kerana pekerjaan itu bahaya namun akur kerana arwah sudah lama menanti untuk mendapatkan pekerjaan dalam kerajaan.

Difahamkan Mohd Azizan yang mula mendaftar sebagai pelatih konstabel di Pulapol di Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 1 Januari lalu, dimasukkan HKL pada 1 Mac lalu selepas tidak sedarkan diri.

Selepas lapan hari, arwah yang berasal dari Kampung Sayong Tebing, Kuala Kangsar, di sini, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8 malam kelmarin, akibat serangan virus bahaya itu.


http://www.hmetro.com.my/articles/Polismatidekkencingtikus/Article


ad·e·no·vi·rus

adenovirus - any of a group of dna viruses that cause eye and respiratory diseases.


http://dictionary.reference.com/browse/adenovirus

22 pelatih polis dikuarantin

KUALA LUMPUR: Seorang pelatih polis maut manakala 27 rakannya masing-masing berusia 20-an dikuarantin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dua hari lalu setelah disahkan dijangkiti virus kencing tikus ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak.

Pelatih yang meninggal dunia, Mohd Azizan Azidi, 21, berasal dari Kampung Sayong, Kuala Kangsar, Perak, maut kira-kira jam 8.30 malam kelmarin manakala dua rakannya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL kerana keadaan mereka dilaporkan kritikal.


Difahamkan, biarpun keadaan 25 lagi pelatih dilaporkan stabil, mereka masih dikuarantin untuk rawatan susulan sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, arahan dikeluarkan supaya semua bentuk kegiatan dan program latihan di Pulapol dihentikan sementara berkuat kuasa serta-merta berikutan penularan jangkitan adeno virus di lokasi berkenaan.


“Seramai 1,945 pelatih menjalani latihan asas kepolisan di pusat itu, masing-masing 993 pelatih inspektor dan 952 pelatih konstabel manakala 854 lagi terdiri daripada pegawai dan kakitangan bertugas.


“Daripada jumlah keseluruhan itu, 226 pelatih diasingkan untuk pemerhatian dan rawatan lanjut oleh Kementerian Kesihatan, malah mereka juga tidak dibenarkan menerima pelawat, termasuk ahli keluarga bagi mengelak penularan wabak itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka bilik gerakan dan talian khas 03-2688 2009 bagi memudahkan orang ramai, terutama ahli keluarga pelatih mendapatkan perkembangan terkini berhubung masalah itu.


“PDRM dan Kementerian Kesihatan mengambil tindakan sewajarnya dan turut memberi pemeriksaan khas kepada pelatih yang dikenal pasti mempunyai tanda awal wabak berkenaan,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/22pelatihpolisdikuarantin/Article/index_html

Tuesday, September 21, 2010

Dua kawasan rekreasi ditutup

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my



Hutan Lipur Sungai Rambai di Bukit Perak ini didapati turut dicemari bakteria kencing tikus.

--------------------------------------------------------------------------------


ALOR SETAR - Dua kawasan rekreasi di Pendang diarah tutup sementara selepas pihak berkuasa mengesan kehadiran bakteria kencing tikus atau leptospirosis baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Marzukhi Md. Isa berkata, kawasan peranginan Bukit Perak yang menempatkan
Hutan Rekreasi Sungai Rambai ditutup sepenuhnya.

Katanya, bagi lokasi kedua iaitu Pendang Lake Resort, pihaknya hanya menghentikan sementara semua aktiviti rekreasi air.

Katanya, ujian ke atas sampel air di kedua-dua lokasi menunjukkan ia sudah dicemari bakteria maut itu.

"Kedua-dua kawasan ini ditutup sementara waktu dan pemantauan akan dibuat sehingga ia bebas daripada bakteria itu.

"Orang ramai yang pernah mengunjungi kawasan berkenaan dan terdapat simptom-simptom penyakit kencing tikus perlu segera mendapatkan rawatan,"
katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau bagaimanapun mengesahkan setakat ini belum ada mangsa dilaporkan terkena jangkitan di dua kawasan tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Wednesday, August 4, 2010

Lubuk Yu bebas

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my
2010/08/04

KUANTAN: Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran, kini bebas daripada ancaman bakteria Melioidosis dan Leptospirosis selepas tiada lagi kes baru dikesan sehingga Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun (gambar) berkata, pusat rekreasi itu terus ditutup kepada orang ramai sehingga kajian wabak itu selesai dijalankan.


Beliau berkata, pengumuman itu dibuat berdasarkan tempoh inkubasi terpanjang berikutan kemungkinan untuk mendapatkan jangkitan adalah 28 hari selepas pendedahan kepada bakteria terbabit.


“Kita tidak menerima kes baru selepas 28 Julai lalu dan jumlah kes yang disyaki kekal 22 kes termasuk tujuh kematian dan dua masih dirawat di hospital.


“Kerajaan tidak tergesa-gesa membuka semula Lubuk Yu kerana masih banyak kajian perlu dilakukan bagi memastikan pusat rekreasi ini disahkan bebas daripada bakteria berbahaya itu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2010 peringkat negeri Pahang di Wisma Belia, Indera Mahkota di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Rosnah Ismail.


Beliau berkata, daripada 22 kes yang disyaki, enam kes disahkan Melioidosis, empat kes jangkitan kedua-dua bakteria dan 11 kes disahkan negatif manakala satu kes lagi tidak diambil sampel iaitu kes yang mati di rumah.


“Enam sampel air dari Loji Air Ulu Jempol dan Lubuk Yu yang diambil pada 14 Julai lalu juga negatif Leptospirosis dan penduduk tidak perlu bimbang mengenai ancaman bakteria di kedua-dua tempat itu,” katanya.


Dr Rosnah berkata, pusat rekreasi itu ditutup sementara bagi membolehkan Jawatankuasa Kecil Teknikal menjalankan kajian ke atas beberapa sampel tanah dan air yang diambil untuk dianalisa selepas kerja pembersihan kawasan dilakukan pada 22 Julai lalu.


“Hasilnya pula akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kecil Bencana wabak berkenaan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail sebelum memutuskan sama ada pusat rekreasi terbabit boleh dibuka semula kepada pengunjung atau sebaliknya,” katanya.


Akhbar melaporkan tujuh penduduk yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Lubuk Yu maut akibat jangkitan itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LubukYubebas/Article

Hutan Lipur Puncak Janing tutup

2010/08/04

PADANG TERAP: Pengunjung yang berhasrat mandi manda atau berkelah di Hutan Lipur Puncak Janing, di sini, hampa kerana terpaksa berpatah balik selepas mendapati kawasan air terjun di situ ditutup berikutan air sungainya dicemari kuman Pathogenik Leptospira atau kencing tikus.

Difahamkan, kawasan hutan lipur itu ditutup sejak hampir sebulan lalu berikutan beberapa pengunjung yang datang berkelah mempunyai simpton dijangkiti penyakit itu, bulan lalu.


Penutupan pusat rekreasi itu adalah yang kedua di negara ini kerana kes kencing tikus yang sebelum ini berlaku di Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran, di Pahang yang meragut enam nyawa.


Tinjauan Harian Metro di kawasan itu mendapati, Pejabat Hutan Daerah menutup kawasan itu dengan tali penghadang serta menampal beberapa notis amaran untuk peringatan kepada pengunjung yang diletakkan sejak 8 Julai lalu.


Pengunjung, Musa Mustafa, 20, dari Sungai Petani berkata, dia dan dua rakannya datang ke kawasan itu untuk berkelah tetapi terkejut apabila dimaklumkan penutupan pusat rekreasi itu.


“Biasanya kawasan ini ramai dengan kehadiran pengunjung walaupun bukan musim cuti sekolah tetapi apabila saya tiba hari ini saya dapati kawasan ini lengang malah kedai makan serta tandas turut ditutup.


“Apabila terbaca notis larangan itu, kami terpaksa mengubah rancangan untuk berkelah di sini kerana bimbang dijangkiti wabak kencing tikus,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/HutanLipurPuncakJaningtutup/Article

Thursday, July 15, 2010

2 lagi mungkin dijangkiti

2010/07/15

KUALA LUMPUR: Dua anggota penyelamat yang terbabit dalam operasi mencari mangsa lemas di Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran, Pahang bulan lalu, mungkin menjadi kes terbaru jangkitan melioidiosis dan leptospirosis.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, mereka yang terdiri daripada penyelamat awam dan sukarelawan operasi berkenaan dimasukkan ke Hospital Selayang di sini dan berada dalam keadaan stabil.


Beliau berkata, sehingga hari ini, jumlah mereka yang masih berada di hospital ialah enam orang termasuk satu kes di unit rawatan rapi dan dua lagi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.


“Ujian makmal ke atas sampel air mengesahkan kehadiran bakteria leptospira.


Sementara itu, aktiviti saringan yang dijalankan di kawasan kampung berdekatan tempat kejadian mengesan enam penduduk kampung yang demam dan semua mereka dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Bagaimanapun, Dr Mohd Ismail berkata semua penduduk kampung itu berada dalam keadaan stabil dan memandangkan mereka tidak terbabit dalam operasi menyelamat mangsa lemas secara langsung, risiko jangkitan wabak adalah rendah.


“Kementerian ingin menegaskan jangkitan leptospirosis dan meliodosis tidak boleh menular daripada seorang ke seorang. Oleh itu masyarakat tidak perlu panik kerana ia tidak boleh tersebar di dalam komuniti,” katanya.


Beliau berkata, jangkitan wabak berkenaan hanya terjadi apabila seseorang terdedah kepada air atau tanah yang tercemar oleh bakteria leptospira.


“Oleh itu, mereka yang menghadapi luka di kulit disaran tidak mendedahkan diri kepada air yang dikhuatiri tercemar dengan najis tikus seperti sungai di taman rekreasi,” katanya.


Orang ramai diminta menjaga kebersihan tempat berkenaan dan persekitaran rumah mereka supaya tidak menarik perhatian tikus yang boleh mencemari air dan tanah sehingga mendatangkan risiko jangkitan.


Setakat ini, wabak itu meragut nyawa enam daripada 110 penyelamat yang terbabit dalam operasi itu. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2lagimungkindijangkiti/Article

Saturday, April 10, 2010

Bahana kencing tikus


TIKUS mula aktif seks seawal usia enam minggu dan boleh melahirkan sehingga 170 ekor anak sepanjang hayatnya. - Gambar hiasan


BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.

Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.

Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.

Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.

Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.

170 anak

“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).

“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.

Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.

“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.

“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.

Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.

Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.

“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.


DR. INTAN


Rumput

“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.

“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.

“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.

Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.

“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.

“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.

Gerudi

Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.

“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.

“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.

“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.

Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.

“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.

“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.

Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.


SEORANG petugas Zoo Negara mengusap tikus terbesar 'Capybara' baru-baru ini. - Gambar hiasan


“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.

“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.

Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin.

“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka.

“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.

“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Tuesday, May 19, 2009

Satu lagi mati akibat leptospirosis

BUKIT MERTAJAM: Satu lagi kematian akibat penyakit leptospirosis dilaporkan kelmarin, menjadi dua kes pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan bedah siasat punca kematian itu.

“Kematian itu adalah daripada 23 kes yang dirawat di dua hospital kelmarin,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, seramai 12 lagi pendatang tanpa izin yang ditahan di Depoh Tahanan Juru dekat sini, dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) selepas dikesan mengalami simptom penyakit leptospirosis.

Seramai 10 pendatang dihantar ke HBM kira-kira jam 6 petang kelmarin manakala dua lagi dimasukkan ke hospital sama kira-kira jam 2.30 petang semalam. Setakat ini, jumlah pendatang yang menerima rawatan meningkat kepada 35 orang sejak 7 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 12 pendatang terbaru yang baru dimasukkan ke HBM, sembilan adalah warga Bangladesh manakala tiga lagi warga Myanmar.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abd Rahman Harun, berkata 12 pendatang terbabit dihantar ke hospital selepas mengadu demam dan mempunyai simptom penyakit leptospirosis.

Lagi mati akibat penyakit Leptospirosis

KUALA LUMPUR – Satu lagi kematian akibat penyakit Leptospirosis dilaporkan kelmarin menjadikan dua kes pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan bedah siasat punca kematian itu.

Kematian itu adalah daripada 23 kes yang dirawat di dua hospital kelmarin, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selasa lalu, seorang warga Myanmar di Depot Tahanan Pendatang Tanpa Izin di Juru, Pulau Pinang, meninggal dunia dan 26 pendatang lain dirawat kerana dijangkiti penyakit itu.

Leptospirosis adalah penyakit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia disebabkan oleh sejenis bakteria dalam air yang tercemar dengan kencing haiwan seperti tikus dan tupai.

Dr. Ismail berkata, daripada kes kelmarin, tiga dibenarkan pulang manakala 18 lagi dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan satu lagi di Hospital Seberang Jaya (HSB). Pesakit di HSB dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Monday, May 18, 2009

Pelawat dilarang lawat depot PATI di Juru


ANGGOTA Rela dengan memakai topeng keselamatan mengawal keselamatan penghuni di Depot Tahanan Imigresen Juru semalam.


BUKIT MERTAJAM – Jabatan Imigresen Pulau Pinang mengambil tindakan tegas dengan tidak membenarkan pelawat atau waris terdekat melawat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen Juru di sini untuk sementara waktu.

Sebagai langkah pengawasan, jabatan itu juga tidak membenarkan tahanan baru dibawa masuk ke depot berkenaan.

Menurut pengarahnya, Abdul Rahman Harun, tindakan tersebut terpaksa diambil bagi memastikan virus Leptospirosis yang menyerang depot tahanan itu tidak merebak.

“Sebagai langkah kawalan, kita tidak benarkan PATI baru dibawa masuk dan tidak membenarkan sebarang lawatan terhadap PATI oleh waris terdekat ataupun majikan mereka,” katanya pada sidang akhbar di depot tahanan itu semalam.

Tambah beliau, sehingga semalam, jumlah PATI yang dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan Hospital Seberang Jata (HSJ) bertambah kepada 37 orang setelah 11 orang lagi dibawa ke HBM untuk menerima rawatan lewat malam kelmarin.

Sementara itu, kata Abdul Rahman, seramai 14 PATI yang ditahan di HBM sebelum ini telah dibenarkan pulang lewat petang kelmarin setelah menunjukkan tanda-tanda positif untuk sembuh.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Friday, May 15, 2009

Seorang warga Myanmar mati, 26 dirawat kerana leptospirosis

PULAU PINANG: Seorang pendatang asing tanpa izin warga Myanmar meninggal dunia dan 26 lagi dirawat di dua hospital di sini berikutan dijangkiti penyakit Leptospirosis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan

Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, berkata lelaki berusia 21 tahun itu meninggal dunia pada Selasa lalu di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

"Lelaki itu sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu sejak 7 Mei lalu selepas mengalami demam teruk dan lesu," katanya ketika dihubungi di sini.


Beliau berkata, sehingga hari ini, terdapat 26 pendatang asing dari negara yang sama, iaitu 24 orang sedang dirawat di HBM dan dua lagi dirawat di Hospital Seberang Jaya selepas mengadu demam.

"Kesemua mereka ditahan di Depoh Tahanan PATI di Juru dimasukkan ke

hospital secara berperingkat sejak 7 Mei lalu selepas mengalami simptom

penyakit itu,"
katanya.

Phee berkata, siasatan awal mendapati kesemua mereka dijangkiti penyakit itu melalui air yang dicemari air kencing tikus di depoh berkenaan.

Penyakit Leptospirosis kebiasaannya tersebar kepada manusia melalui

penggunaan air yang dicemari dengan air kencing tupai atau tikus.


- Bernama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...