Showing posts with label FOMCA. Show all posts
Showing posts with label FOMCA. Show all posts

Saturday, September 10, 2011

Rakyat marah cukai atas kad prabayar

Posted by admin on September 9th, 2011

Syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini tidak sepatutnya membebankan pengguna dengan memperkenalkan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus untuk pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan prabayar/pek SIM bermula 15 September ini.Apa yang mereka rancang untuk lakukan itu, hanya mencerminkan sikap tamak haloba sedangkan kesemua syarikat telekomunikasi di negara ini mendapat keuntungan yang sangat besar saban tahun.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, sebelum ini semua syarikat telekomunikasi menanggung beban cukai perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak Kerajaan dan masih mampu mengaut keuntungan lumayan setiap tahun.

Justeru itu, adalah sangat wajar untuk syarikat-syarikat telekomunikasi terbabit terus menanggung caj perkhidmatan berkenaan jangan bersifat tamak dengan meletakkan beban tersebut kepada rakyat untuk mendapatkan keuntungan yang lebih.

“Saya berpendirian bahawa syarikat-syarikat terbabit patut terus menanggung cukai perkhidmatan tersebut kerana sebelum ini pun mereka masih mengaut keuntungan berbilion setiap tahun tanpa membebankan pengguna dengan caj perkhidmatan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak senada dengan kenyataan FOMCA dan pihaknya menentang keras tindakan syarikat-syarikat telekomunikasi mengenakan caj perkhidmatan terhadap pengguna di Malaysia.

Beliau berkata, tindakan syarikat-syarikat itu seolah-olah membuli pengguna ketika kenaikan harga barangan lain dan meminta campur tangan kerajaan untuk menangani kemelut yang sedang dihadapi pengguna.

“Kami menentang sekeras-kerasnya tindakan syarikat-syarikat terbabit kerana ia membebankan pengguna.

“Kami memohon kepada Kerajaan agar bertegas dan campur tangan dalam hal ini demi kepentingan rakyat negara ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa PPIM sedang memikirkan tindakan sewajarnya kepada syarikat telekomunikasi sekiranya mereka berdegil untuk mengenakan caj perkhidmatan tersebut.

Mengulas mengenai perkara yang sama, Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Pengguna Johor, Mohammed A. Jalal juga bersetuju dengan kenyataan FOMCA tersebut dan menuntut agar syarikat-syarikat telekomunikasi negara prihatin terhadap kepentingan pengguna negara ini.

“Tidak wajar..tidak patut sama sekali, mereka perlu prihatin kepada kepentingan pengguna dan melakukan tanggungjawab sosial mereka dengan tidak berlaku tamak untuk mengaut keuntungan sebegitu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar syarikat telekomunikasi tersebut berbincang dan mengemukakan cadangan terlebih dahulu kepada Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum mengenakan sebarang caj kepada rakyat.

Pengerusi Persatuan Pengguna Perak, K. Paul Raj berkata, caj sewa bulanan yang dikenakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini sudah tinggi berbanding negara lain dan tindakan mengenakan caj perkhidmatan ini akan meningkatkan kos pengunaan.

“Memang pengguna tak setuju, caj sewa bulanan telefon mobil tinggi di Malaysia, kalau kos naik, dari mana dapat wang untuk bayar,” katanya melalui sistem pesanan ringkas (sms).

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pengguna Air Keroh (PPAK), Safina Sulaiman berkata, caj perkhidmatan sebanyak enam peratus ini sememangnya menyusahkan pengguna, terutamanya kepada pelajar dan golongan berpendapatan rendah di negara ini.

“Bagi saya, peningkatan ini memang membeban dan menyusahkan para pengguna terutama ‘student’ dan orang-orang kampung yang berpendapatan rendah”, katanya.

Syarikat-syarikat telekomunikasi semalam memberitahu media mengenai pengenalan caj perkhidmatan sebanyak enam peratus yang akan dikenakan kepada para pelanggan mereka bermula 15 September ini melalui Akta Cukai Perkhidmatan 1975.

Akta tersebut memerlukan syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar tertentu terhadap perkhidmatan telekomunikasi, termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.

Dengan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan prabayar, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhidmatan.


http://www.kl-today.com/2011/09/rakyat-marah-cukai-atas-kad-prabayar/

Sunday, August 21, 2011

Bulan akan mengelilingi Kaabah?

Posted by admin on August 21st, 2011

Pengguna harus mengelak dari mengutus khidmat pesanan ringkas (SMS) berangkai yang tidak mempunyai asas kebenaran kerana ini hanya akan menguntungkan syarikat telekomunikasi (telco), kata Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Shaani Abdullah.

Beliau berkata banyak SMS berangkai terutamanya berkaitan keagamaan disebarkan kebelakangan ini. Terbaru, Muhammad Shaani berkata tentang dakwaan bulan akan mengelilingi Kaabah di Mekah.

“Pada bulan Ramadan, pesanan seperti ini sudah pasti menarik minat umat Islam yang mahu berkongsi maklumat itu dengan rakan-rakan dan saudara-mara,”katanya.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia harus menjejaki sumber SMS seperti itu dan ambil tindakan terhadap penghantar asal.

Muhammad Shaani berkata ia telah lama mengesyaki syarikat telco mengupah pihak ketiga untuk menyebarkan pesanan seperti itu.

“Fomca tidak mempunyai cara untuk menentukan jika syarikat telco terlibat dalam penyebaran SMS itu,” katanya dan menambah suruhanjaya mungkin mempunyai kuasa dan cara untuk menyiasat dan mendakwa dalangnya.


http://www.kl-today.com/2011/08/bulan-akan-mengelilingi-kaabah/

Saturday, July 2, 2011

Bersih 2.0: Fomca kesal kenyataan penasihatnya

Bersih 2.0: Fomca kesal kenyataan penasihatnya
Jun 30, 11 12:00am


Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh penasihatnya, Chua Kim Tee mengenai himpunan aman Bersih 2.0.

Kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Chua Kim Tee kerana ia bukanlah kenyataan rasmi Fomca, sebaliknya hanyalah kenyataan peribadinya sahaja.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman yang menghubungi Harakahdaily berkata, Fomca adalah sebuah badan yang berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan Negara, tetapi kenyataan Chua ternyata telah menimbulkan imej negatif kepada pertubuhan itu.

Menurut beliau, sebagai badan yang berpegang kepada prinsip Perlembagaan, kenyataan Chua pasti tidak dipersetujui oleh Fomca kerana Fomca sendiri adalah badan yang berkecuali dengan sebarang pertubuhan politik.

Katanya, Fomca seperti yang diketahui umum adalah badan yang hanya mempunyai kepentingan dengan isu-isu pengguna sahaja dan tanpa memihak kepada sebarang parti-parti politik.

"Namun kenyataan Chua Kim Tee telah menyebabkan orang ramai keliru dengan Fomca yang seolah-oleh seperti Fomca telah memihak kepada parti tertentu, pada hal ia hanyalah kenyataan peribadinya sahaja.

"Sesuai dengan kedudukan Fomca sebagai badan yang berpegang kepada prinsip Perlembagaan, Fomca menyokong penuh kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) baru-baru yang menggesa kerajaan membenarkan sebarang perhimpunan aman termasuk Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini," katanya.

Semalam, Malaysiakini atas tajuk 'Fomca Mahu Bersih 2.0 Disekat' melaporkan, NGO itu tidak rela perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di ibu negara berikutan ia bakal mengundang bala petaka buat golongan peniaga.

Chua berkata, banyak yang akan menerima kesan kerana selain boleh menyebabkan kerugian kepada peniaga, orang ramai di kawasan berhampiran juga terpaksa hidup di dalam kebimbangan.

Justeru, katanya, tindakan tegas wajar diambil kerajaan bagi menyekat penganjuran perhimpunan Bersih yang dirancang pada 9 Julai depan.

Menurut Mohd Yusof, oleh itu, orang ramai diharap tidak tersalah anggap dengan Fomca berhubung dengan kenyataan Chuaitu kerana ia tidak sekali-kali membayangkan pendirian rasmi Fomca.

"Sejak dulu, Fomca sudah dilihat oleh orang ramai sebagai badan yang hanya mempunyai kepentingan dengan isu-su pengguna sahaja, tetapi tidak dalam politik.

"Jika dalam politik, kenyataan yang disokong oleh Fomca hanyalah yang dikeluarkan oleh Suhakam sahaja kerana itulah kenyataan yang selaras dengan pendirian Fomca sejak ditubuhkan dulu yang berpegang kepada prinsip Perlembagaan.

"Sokongan Fomca ke atas kenyataan Suhakam itu kerana perhimpunan yang akan diadakan oleh Bersih pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti adalah perhimpunan aman.

"Jika perhimpunan aman, ia tidak patut disekat oleh kerajaan kerana ia selaras dengan peruntukan yang terdapat dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan orang ramai mengadakan sebarang perhimpunan aman tanpa senjata bagi menyuarakan pandangan, pendapat untuk kebaikan negara," tegas beliau.


http://malaysiakini.com/news/168418

Friday, February 18, 2011

Kadar inflasi di Malaysia membimbangkan

Aziz Muda




KUALA LUMPUR, 18 Feb: Kaji selidik yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kadar inflasi di negara ini akan meningkat kepada empat peratus pada 2011 hingga 2012 dan berada sekitar tiga peratus selepas 2013.

Berdasarkan laporan Financial Times, kajian yang dijalankan oleh Northern Light mendapati 62 peratus pelabur menjangkakan inflasi akan meningkat secara global.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menjelaskan, awal minggu ini data yang dikeluarkan di Britain menunjukkan Indeks Harga Pengguna di United Kingdom mencecah 3.7 peratus pada Januari 2011 yang menguatkan spekulasi bahawa inflasi sedang meningkat.

Presidennya, Datuk Marimuthu Nadason berkata, inflasi dikatakan bakal mencecah kadar empat peratus dalam beberapa bulan akan datang dan kini penganalisa mempersoalkan sama ada Bank of England sudah kehilangan kredibiliti.

Katanya, pakar ekonomi percaya Indeks Harga Pengguna akan meningkat sekitar 3.4 peratus pada Disember dengan petrol, makanan dan bil utiliti memberikan tekanan paling kuat terhadap inflasi.

"Kadar inflasi pada tahun ini dijangka berada sekitar 2.5 hingga tiga peratus dan peningkatannya diramal lebih pantas menjelang separuh kedua ekoran pertumbuhan ekonomi dunia," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Inflasi di negara ini, menurut beliau, bakal meningkat lebih pantas sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan pemansuhan subsidi di bawah rasionalisasi subsidi yang dikemukakan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu).

Sementara itu, dalam laman webnya, consumerkini, Fomca menjelaskan, kadar inflasi di Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan.

Peningkatan itu, katanya, sekali gus merekodkan kadar inflasi tahunan kepada 1.8 peratus untuk 2010.

Kenaikan kadar inflasi itu berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010.

Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9 peratus, Thailand tiga peratus, Korea 3.5 peratus dan India 8.4 peratus.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30931:kadar-inflasi-di-malaysia-membimbangkan&catid=1:utama&Itemid=50

Sunday, February 6, 2011

FOMCA: Awas penipuan jurujual kereta

Feb 5, 11 5:00pm

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila membeli kereta kerana banyak kes penipuan membabitkan jurujual syarikat pengedar kenderaan dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Agungnya Muhammad Shaani Abdullah berkata orang ramai tidak menyedari bahawa mereka telah tertipu oleh jurujual kereta sehinggalah kereta tempahan mereka tidak diterima pada masa yang ditetapkan.

"Banyak kes membabitkan penipuan penjualan kereta berlaku akibat kesilapan oleh pembeli sendiri seperti tidak menyiasat latar belakang syarikat pengedar kenderaan, berapa lama jurujual itu telah bekerja dengan syarikat berkenaan, adakah syarikat itu mempunyai rekod penipuan oleh jurujualnya dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah laporan akhbar semalam mengenai hasrat seorang pesara tentera, Anuar Ariffin, 45, untuk memiliki sebuah kereta baru tidak kesampaian setelah wang deposit RM23,550 yang dibayar lesap didakwa dibawa lari seorang jurujual syarikat pengedar kenderaan pada pertengahan tahun lalu.

Menurut Anuar, beliau membayar wang deposit itu dengan cara membuat pertukaran kereta Perodua Myvi miliknya dan menambah wang tunai RM2,616 bagi menggenapkan baki deposit sebanyak RM23,550 yang perlu dibayarnya.

Bagaimanapun jurujual tersebut gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kereta barunya selepas tiga bulan menunggu malah pihak syarikat pengedar kenderaan juga memberitahu bahawa jurujual itu telah berhenti kerja dan tidak bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan jurujualnya.

Anuar membuat laporan polis dan turut mengemukakan masalah itu kepada Tuntutan Tribunal Pengguna dan kesnya masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, Muhammad Shaani menasihati orang ramai agar melakukan penyelidikan dahulu sebelum membeli kereta dengan tidak menumpukan terhadap satu kedai sahaja dan mendapat pandangan daripada pelbagai pihak yang mahir dalam urusan jual beli kereta.

Selain itu, beliau juga meminta pihak berkuasa seperti polis dan agensi penguatkuasa yang berkaitan agar memastikan kes-kes penipuan penjualan kereta itu tidak berulang kerana ia memberi bebanan kepada pengguna.

Sekiranya pembeli itu mempunyai wang yang mencukupi mereka boleh melantik seorang peguam untuk mengendalikan kes tersebut tetapi kos guaman lazimnya tinggi dan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, katanya.

Beliau berkata Fomca mahu kerajaan bertindak tegas dalam menangani kes penipuan penjualan kereta kerana wujud individu yang tidak bertanggungjawab yang mahu mengaut keuntungan dalam masa yang pantas.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/155272

Monday, January 3, 2011

Bekalan minyak masak habis


SEORANG pemilik kedai runcit, Nora Che Hussain mendakwa stok minyak masak di kedainya di Taman PKNK, Alor Setar habis sejak dua minggu lalu.


KUALA LUMPUR - Bekalan minyak masak di Lembah Klang dan beberapa negeri dilaporkan habis sejak seminggu lalu dengan ramai pengguna mengeluh kerana terpaksa mencari di banyak premis semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan itu.

Selain Kuala Lumpur, negeri lain yang terlibat ialah Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa ada pihak menyorok bekalan barangan itu selepas timbul spekulasi harga naik sebanyak 40 sen sekilogram.

Minyak masak adalah barangan terkawal dengan harganya ditetapkan RM3.30 sekilogram bagi sawit tulen, sawit campuran (RM3.60) dan kampit plastik (RM2.50).

"Jika spekulasi itu benar, ia akan menyusahkan pengguna yang kebanyakan menggunakan minyak masak setiap hari," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hasil tinjauan Kosmo! semalam mendapati isu bekalan minyak masak menjadi rungutan ramai peruncit dan pengguna, malah Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) setakat ini sudah menerima 50 aduan mengenai isu tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Monday, December 6, 2010

Kenaikan 4-dalam-1: NGO, orang ramai kesal

Kenaikan 4-dalam-1: NGO, orang ramai kesal
Dis 4, 10 10:52am

Kenaikan harga barang kawalan seperti minyak, diesel, gas asli cecair (LPG) dan gula kesan daripada rasionalisasi subsidi mendapat bantahn meluas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

hamdan adnan 170805Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Hamdan Adnan menyifatkan kenaikan harga minyak RON95 adalah tidak wajar kerana minyak merupakan nadi kepada rakyat.

"Kalau gula naik, tidak apalah, tapi kalau harga minyak naik, rakyat di negara ini akan makin terdesak kerana minyak menjana pembangunan negara.

"Rakyat banyak menggunakan bahan tersebut dan pertimbangan mengenai kenaikan harga minyak adalah perlu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kerajaan sewajarnya mewujudkan satu mekanisme dalam mengawal harga minyak supaya golongan sasaran saja yang menikmati subsidi berkenaan.

Cuepacs: Golongan rendah terjejas

Beliau diminta mengulas mengenai kenaikan harga keempat-empat barangan itu yang diumumkan kerajaan hari ini.

Berkuatkuasa mulai esok, harga petrol RON95 dinaikkan sebanyak 0.05 sen kepada RM1.90 seliter, diesel dari RM1.75 kepada RM1.80 seliter, harga gas asli cecair (LPG) dinaikkan 0.05 sen kepada RM1.90 manakala harga gula dinaikkan sebanyak 0.20 sen menjadikan harga gula adalah RM2.10 untuk sekilo.

Pandangan Hamdan itu turut dikongsi oleh Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mengulangi pendiriannya sebelum ini mengenai kenaikan harga gula dan minyak.

cuepacs omar osman 181007Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pihaknya bimbang mengenai kenaikan harga semua barangan berkenaan terhadap golongan berpendapatan rendah.

"Kita bimbang dengan kenaikan ini (harga barangan) akan menjejas golongan berpendapatan rendah terutamanya yang bekerja dengan kerajaan," katanya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula mempersoalkan kewajaran kerajaan menaikkan harga bahan api petrol dan diesel yang dikatakan membabitkan petrol RON 95.

Rakyat marhaen menderita

Harakahdaily melaporkan Salahuddin sebagai berkata RON 95 adalah untuk rakyat yang perlu dikekalkan harganya supaya tidak membebankan rakyat yang menjadi pengguna terbanyak.

NONEKata Salahuddin (kanan), kenaikan itu sangat mengecewakan.

"Sikap PAS, keutamaan mesti pada rakyat, ambil kira rakyat dahulu sebelum yang lain-lain," katanya.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus pula berkata, rakyat marhaen paling terkesan dengan kenaikan itu kerana mereka adalah majoriti pengguna petrol RON95.

Sambil menyifatkan kenaikan mengejut itu sebagai 'gila', beliau mengharapkan rakyat menolak Umno BN yang secara terang terangan tidak mengutamakan rakyat terbanyak.

"BN zalimi rakyat marhaen, tak peduli kesusahan rakyat," katanya.

Gamis: Tarik subsidi kroni, bukan rakyat

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia ( GAMIS ) juga kesal dengan kenaikan harga barangan asas pengguna yang menjadi permintaan harian rakyat iaitu petrol, gas, diesel dan gula.

NONEMenurut, presidennya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan kenaikan ini akan menimbulkan reaksi yang kontradik kepada keputusan kerajaan tersebut.

“Alasan yang digunakan ialah perlu pelarasan fiskal dalam perbelanjaan negara khususnya dalam mengurangkan perbelanjaan. Persoalnnya kenapa subsidi syarikat kroni dalam IPP berjumlah RM19billion tidak dipotong?

“Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencacah RM 5billion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan darinya. Kenapa kos permulaan penubuhan PEMANDU di bawah JPM berjumlah RM66juta yang hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja?” soalnya dalam satu kenyataan.

NONEMenurut Gamis, sepatutnya pengurangan fiskal mesti dibuat dalam pentadbiran kerajaan, bukannya dengan menarik hak rakyat marhaen.

Katanya, mahasiswa merasakan alasan untuk mengurangkan subsisdi bagi bahan keperluan asas rakyat ini sangat tidak masuk akal.

“Dimana slogan rakyat didahulukan yang dilaungkan sebelum daripada ini sekiranya perkara keperluan asas rakyat juga boleh diperdagangkan.

Katanya, soal yang lebih besar bila harga petrol dan diesel naik akan menyebabkan harga barangan lain akan naik secara lansungnya.

Alasan bodoh

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan akhbar berkata kenaikan petrol sudah pastinya menjejaskan kehidupan rakyat.

“Apabila gula dinaikkan, petrol dinaikkan, maka apakah tidak ada sebab bagi peniaga menaikkan harga barang perniagaan mereka. Hampir semua kenderaan menggunakan minyak petrol dan diesel, dan hampir semua makanan perlukan gula. Apakah ada alasan bodoh pemimpin negara yang bercakap kerana mahukan rakyat sihat dari penyakit diabetes maka kerajaan perlu menaikkan harga gula.

mamak restaurant 271206 food“Mungkin juga ada kenyataan pemimpin negara yang mahukan keselamatan rakyat di jalan raya, maka harga petrol dan diesel terpaksa dinaikkan. Adakah pemimpin mahukan rakyat berbasikal ke tempat kerja, atau menggunakan perkhidmatan awam bagi mengurangkan kos mereka, sedangkan mereka selesa menaiki kenderaan rasmi kerajaan ke mana-mana.,” kata naib ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Menurut beliau lagi, jika dibandingkan dengan negara jiran, Malaysia adalah antara negara yang kaya dengan hasil bumi termasuk minyak.

“Mengapa kerajaan tidak membandingkan Malaysia dengan negara pengeluar minyak dunia seperti Arab Saudi, Iran, Venezuela, Qatar dan lain-lain? Perlukah Malaysia mengikut harga pasaran minyak antarabangsa?” soalnya.

NONEMohamad Suhaimi (kanan) berkata seolah-olah menaikkan harga minyak petrol dan diesel dan barang keperluan adalah jalan akhir setelah hampir semua langkah telah diambil kerajaan bagi membela rakyat.

“Sedangkan untuk menguntungkan pihak tertentu, kerajaan sanggup dan mampu berbelanja lebih. Menara Wawasan dibina dengan nilai RM 5 bilion, entah belum tentu menguntungkan rakyat jelata. Lebih baik perbelanjaan itu ditampung kepada subsidi minyak. Sebegitu juga dengan projek-projek mega, gergasi dan mewah, itu perlu dikurangkan dahulu buat menampung keperluan rakyat,” katanya.

“Memang betul rakyat tidak terbeban dengan kenaikan ini, kerana rakyat sudah tidak mampu berkata-kata lagi. Sudah kering air mata dan keringat rakyat bekerja siang dan malam mencari sesuap rezeki menampung kehidupan.”

http://malaysiakini.com/news/149962

Saturday, November 27, 2010

Fomca bantah uji kaji nyamuk transgenik

Nov 24, 10 5:30pm

Kumpulan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini membantah pelaksanaan uji kaji lapangan bagi nyamuk jantan transgenik, iaitu nyamuk yang diubah suai secara genetik bagi mengawal populasi nyamuk aedes, kerana tidak yakin dengan keberkesanannya.

aedes mosquito 180910 aedes mosquitoSetiausaha Agungnya Muhammad Sha'ani Abdullah berkata maklumat teknologi transgenik masih baru di Malaysia dan penggunaan nyamuk jenis itu mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk berubah menjadi pembawa/vektor penyakit yang lebih dahsyat.

"Maka, sebarang uji kaji yang mendedahkan ke arah kemungkinan demikian harus dielakkan sebelum mendapat bukti-bukti yang kukuh yang meyakinkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sha'ani berkata terdapat juga negara-negara lain yang mengalami jangkitan dan kematian lebih tinggi akibat wabak denggi namun tidak terdesak untuk mencuba kaedah yang masih belum terbukti keberkesanannya itu.

dengue malaria mosquito outbreak fogging 290905"Bilangan mangsa wabak denggi dalam negara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membelakangkan langkah keselamatan dari aspek pencegahan," katanya.

Sha'ani berkata kawalan biologi menggunakan nyamuk transgenik memerlukan pembiakan dan pelepasan populasi nyamuk berulang kali dalam persekitaran habitat terbuka akan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

"Ia akan melibatkan tempoh waktu yang berterusan termasuk untuk mencari alternatif kepada kepada 'strain' dan mutan yang kebal," katanya.

Selain itu, katanya keadaan yang masih tidak pasti mengenai nyamuk transgenik itu juga menimbulkan kekhuatiran kepada orang ramai mengenai tahap keselamatan semasa uji kaji itu dijalankan nanti.

malaysia dengue pandemic 191208 01Beliau juga mencadangkan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) sebagai satu agensi awam yang menggunakan teknologi swasta supaya menjelaskan terma-terma dan syarat kerjasama yang terjalin sekian lama.

Ujikaji itu, yang diputuskan pada 5 Okt lalu oleh Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK), akan dilakukan oleh IMR di Bentong, Pahang dan Alor Gajah, Melaka.

http://malaysiakini.com/news/149069

Tuesday, November 9, 2010

Kaji dakwaan RON95 cetus api dalam nahas

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa agensi kerajaan dan pihak berkaitan mengkaji penggunaan bahan bakar RON95.

Gesaan itu dibuat berikutan terdapat dakwaan penggunaan bahan bakar berkenaan menjadi salah satu faktor kenderaan mudah terbakar apabila terbabit kemalangan.


Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun dakwaan itu belum terbukti, satu kajian perlu dilakukan bagi memastikan bakar itu selamat digunakan pengguna kenderaan.

“Ada desas-desus mengenai penggunaan RON95 sebagai salah satu faktor kenderaan mudah terbakar. Bagaimanapun, dakwaan itu belum terbukti.


“Namun, perkara ini perlu dipandang serius dan pihak tertentu sewajarnya mengkaji kebarangkalian kebenaran dakwaan itu,” katanya.


Beliau mengulas mengenai jumlah kemalangan membabitkan kenderaan yang terbakar sehingga meragut nyawa kian meningkat kebelakangan ini.

Sabtu lalu, empat bersaudara rentung apabila kenderaan dinaiki terbakar selepas bertembung sebuah treler di Kilometer 119, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang.


Mohd Yusof bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kecuaian pemilik kenderaan menjadi salah satu faktor kenderaan terbakar apabila terbabit dalam kemalangan.

“Kini kebanyakan pemilik kenderaan gemar mengubah suai kenderaan di bengkel yang tidak bertauliah sehingga berlaku masalah pendawaian yang memudahkan kenderaan terbakar,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KajidakwaanRON95cetusapidalamnahas/Article/index_html

Saturday, October 16, 2010

Keputusan tanda keprihatinan kerajaan

2010/10/16

KEPUTUSAN kerajaan tidak menaikkan kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Berhad bagi tempoh lima tahun akan datang disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

Pengarah Komunikasi Persatuan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusuf Abdul Rahman, berkata pengumuman itu memberikan kelegaan kepada pengguna sebelum syarat konsesi disemak semula.

“Ini bermakna dalam tempoh lima tahun ini tidak ada kenaikan tol yang boleh ‘mengejutkan’ rakyat,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata langkah tidak menaikkan kadar tol perlu dipuji, dan berharap langkah turut diambil bagi meningkatkan keselamatan jalan raya untuk mengurangkan kemalangan maut.

“Kerajaan juga perlu meningkatkan sistem penyuraian trafik supaya pengguna dapat menggunakan lebuh raya dengan selesa sesuai dengan bayaran tol dikenakan,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata walaupun tiada kenaikan tol selama lima tahun, namun ia tidak akan menjadi bebanan kepada syarikat konsesi.

Katanya, walaupun ekonomi masih lagi memaksa kerajaan berbelanja berhemat, tetapi Bajet 2011 masih mampu memberi pelbagai kemudahan kepada rakyat. “Kerajaan akan mencari model kewangan sesuai, kalau tidak kerajaan tidak akan buat macam ini, “katanya.

Awang Adek berkata, keputusan untuk tidak menaikkan tol juga bukan satu bebanan kepada kerajaan.

Skim Rumah Pertamaku Bantu Rakyat Miliki Rumah Di Usia Muda

Sabtu Oktober 16, 2010

KUALA LUMPUR: Skim Rumah Pertamaku yang bertujuan memudahkan golongan muda pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan memiliki rumah mendapat sambutan positif daripada pelbagai persatuan pengguna.

Masing-masing melihat skim itu yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2011, sebagai satu langkah yang dapat meringankan beban pembeli muda.

Ketua Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan Nadzim berkata ia merupakan satu pendekatan yang baik bagi memberi jaminan kepada masa depan pemuda.

Penghapusan bayaran 10 peratus wang pendahuluan akan memudahkan golonganmuda memiliki rumah kerana jumlah itu bukan mudah untuk diperolehi khususnya mereka yang berpendapatan sederhana, katanya kepada Bernama di sini.

Najib dalam pembentangan Bajet 2011 berkata Skim Rumah Pertamaku yang akan dilaksana melalui perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Bhd, adalah untuk membantu golongan muda yang pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan memiliki rumah.

Menerusi skim itu pembeli akan mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan, seperti amalan lazim.

Skim tersebut juga menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan oleh pembeli rumah pertama sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Pengguan Malaysia (Fomca) Muhammad Sha’ani Abdullah berharap skim itu akan dilaksana menerusi satu sistem yang baik agar ia tidak diselewengkan.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan memantau pembelian rumah bernilai di bawah RM250,000 yang disifatkannya sering disasar oleh golongan kaya untuk meraih keuntungan. Sementara itu di PULAU PINANG, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S.M.Idris pula berpendapat skim itu perlu diperluas kepada semua rakyat sebagai usaha menyelesaikan masalah pembeli rumah.

Sementara itu mengulas isu berlainan, Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu menyifatkan tindakan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tol bagi empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd untuk tempoh lima tahun akan datang akan memberi manfaat besar kepada rakyat.

"Pengekalan kadar tol itu akan mengurangkan implikasi pengguna yang mana harga barang juga besar kemungkinan akan kekal pada kadar yang sama kerana harga pengangkutan dapat kekal pada kadar sedia ada," katanya kepada Bernama.

Selain itu, pengguna juga dapat berjimat daripada segi kos pengangkutan untuk jangka masa panjang dan bagi sektor pengangkutan pula mereka boleh membuat perancangan untuk memajukan perniagaan mereka memandangkan kadar tol kekal untuk lima tahun akan datang, katanya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/16/mstar_berita/20101015225549&sec=mstar_berita

Thursday, July 15, 2010

Untung goyang kaki

Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
2010/07/15

KUALA LUMPUR: “Dulu skim cepat kaya, sekarang skim piramid tapi kedua-duanya dilakukan dengan langkah yang serupa,” kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman mengenai penipuan segelintir pemilik syarikat yang menjalankan perniagaan berbentuk piramid atau berperingkat (MLM).

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan perniagaan yang menjana keuntungan melalui skim berperingkat iaitu mereka perlu merekrut ahli bagi memastikan keuntungan diperoleh secara berterusan.


“Dulu mereka menggunakan kaedah skim cepat kaya tetapi apabila akhbar mula melaporkan penipuan membabitkan skim itu, mereka bertindak memberhentikan aktiviti perniagaan masing-masing.


“Namun, mereka muncul pula dengan kaedah baru untuk menjana keuntungan melalui skim berbentuk piramid atau berperingkat yang kononnya boleh memberi keuntungan kepada ahli dengan cepat,”
katanya.


Mohd Yusof berkata, pengguna tidak seharusnya terpedaya dengan perniagaan yang menjanjikan kekayaan melalui skim tertentu kerana ia akhirnya menjerat diri.


“Mana ada perniagaan yang memberi keuntungan dengan hanya ‘goyang kaki’ tanpa perlu berusaha dan bertungkus lumus menjalankan aktiviti jual beli. Itu hanya dakwaan palsu segelintir syarikat MLM yang mahu mengaburi mata pengguna,” katanya.


Katanya, perniagaan yang sah dan tidak berunsur penipuan memerlukan peniaga menjual barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat bukan hanya ‘memeras tenaga’ ahli bawahan.


Semalam, Harian Metro melaporkan penyampai berita TV3, Saiful Nizam Ismail dan isteri, Khairul Noormaidah Zali atau Aida yang juga juara program realiti Gadis Melayu di TV9 menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) atau jualan langsung malah, mereka juga dituduh turut bersubahat dengan syarikat terbabit.


Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM30,000 apabila melabur dengan syarikat terbabit tetapi tidak mendapat pulangan sebagaimana dijanjikan dan sudah membuat laporan polis berhubung penipuan berkenaan. Menurut Saiful Nizam, dia tidak meragui kewibawaan syarikat MLM itu dan yakin pelaburannya akan mendapat pulangan dijanjikan kerana jenama syarikat yang menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan itu stabil, sudah dikenali dan sering terbabit kerja amal.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit dan menurutnya siasatan sedang dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Untunggoyangkaki/Article

Monday, May 24, 2010

Tidak berubah

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/05/24

KUALA LUMPUR: Naluri suka sangat mencuba hingga tidak peduli nasihat dan risiko dihadapi pihak lain menyebabkan kaum Adam di negara ini sukar mengikis tabiat mengambil ubat menambah tenaga seksual termasuk dijual tepi jalan.

Meskipun kempen kesedaran dan laporan media kerap memaparkan risiko penggunaan ubat yang tidak diketahui ramuannya serta mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan, ia belum mampu mengubah mentaliti lelaki ketagihan ubat itu.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima banyak aduan pengguna berhubung penjualan ubat tidak berdaftar termasuk ubat kuat.


Katanya, ramai juga pengguna mengadu ditipu penjual yang sebelum itu mengatakan ubat terbabit mujarab, namun sukar mengambil tindakan gara-gara bekalan diperoleh tiada jaminan selain dijual pengedar tidak sah. “Pengguna suka mencuba, walaupun baca (di akhbar) orang lain berdepan kesan buruk pengambilan ubat itu tapi tak serik sebabnya bukan dia kena, malah anggap orang lain tak serasi.


“Sikap ini menyebabkan masih ada percaya kepada ubat kuat, akhirnya mereka ketagih dan berdepan masalah lain bersangkut paut kepada kesihatan diri...bukan orang lain yang tanggung, mereka sendiri yang merasa bebannya.


“Nasihat tak boleh halang sekiranya sikap pengguna sendiri tidak berubah,”
katanya mengulas laporan Metro Ahad, di sini semalam.


Akhbar ini melaporkan segelintit lelaki sanggup menggadai nyawa demi memuaskan nafsu dengan mengambil ubat menambah tenaga seksual tanpa mengetahui status kandungan dan syarikat pengeluar.


Akibatnya, ada bukan hanya mengalami pengalaman pelik seperti kemaluan menjadi kecut dan pendek, malah menemui ajal ketika melakukan hubungan seks.


Malah, seorang kaki ‘ubat kuat’ tegar dikenali Abang Zack, 50-an, dalam pengakuannya berkata, kes kematian ketika melakukan hubungan seks itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tidakberubah/Article

Saturday, February 20, 2010

200 mangsa setiap bulan

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/02/18

KUALA LUMPUR: Penipuan skim pelaburan masih menduduki tempat pertama dalam senarai aduan yang diterima Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Setiausaha Agungnya, Muhamad Shaani Abdullah, berkata untuk dua bulan pertama tahun ini, Fomca melalui Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima purata kira-kira 200 aduan setiap bulan daripada pengguna yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak sah.

Beliau berkata, jumlah itu tidak banyak berbeza berbanding tahun lalu dan tidak menunjukkan tanda pengurangan walaupun sering dilaporkan di dada akhbar.

“Aduan paling banyak kami terima dari tahun lalu hingga dua bulan pertama tahun ini berkaitan penipuan skim pelaburan daripada mangsa dan ia masih tidak berubah.


“Kesimpulan yang saya boleh buat berdasarkan situasi ini, masih ramai pengguna mempunyai kesedaran yang rendah mengenai penipuan dalam bentuk skim pelaburan sehingga mereka terus menjadi mangsa,”
katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Muhamad Shaani yang juga Ketua Eksekutif NCCC, berkata berdasarkan jumlah aduan yang terus diterima berkaitan penipuan itu, pengguna seakan tidak menyedari risiko atau bahaya yang menanti jika terbabit dengan skim pelaburan tidak sah.

Katanya, masih ramai yang mengambil kesempatan menjalankan skim pelaburan haram berikutan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa yang mengambil masa terlalu lama untuk dijalankan.

“Kegiatan ini terus berjalan dengan aktif dan bilangan yang menjadi mangsa juga masih ramai kerana tindakan penguatkuasaan yang dibuat terlalu lama, sepatutnya ia perlu diambil segera supaya penganjuran skim seumpamanya dapat ditangani.

“Sepatutnya semua pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung dan mencari satu formula sesuai bagi menghalang lebih ramai menjadi mangsa skim pelaburan tidak sah,” katanya.


Beliau berkata, premis yang membenarkan kegiatan pengiklanan, promosi dan pengurusan skim pelaburan tidak sah juga harus dikenakan tindakan setimpal supaya menjadi pengajaran kepada mereka untuk lebih mengambil tahu kegiatan yang dijalankan di premis masing-masing.

Katanya, selain penipuan berbentuk pelaburan, pihaknya turut menerima aduan pengguna yang tidak berpuas hati terhadap terhadap perkhidmatan jalur lebar yang disediakan syarikat telekomunikasi kerana dikatakan tidak memuaskan hingga menyusahkan pengguna.

“Bagi pengguna yang mempunyai sebarang aduan, ia boleh disalurkan dengan melayari laman web www.nccc.org.my atau e-mel kepada myaduan@nccc.org.my atau hubungi talian 03-78779000,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/200mangsasetiapbulan/Article/index_html

Tuesday, May 5, 2009

Makan 2 kali seminggu - FOMCA mahu pengguna tunjuk kuasa kawal harga ayam

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyarankan orang ramai berpakat mengawal turun-naik harga ayam dengan mengurangkan pengambilan makanan itu kepada hanya dua kali seminggu.

Menurut Setiausaha Agungnya, Muhammad Shaani Abdullah, sekarang adalah masa terbaik untuk pengguna menggunakan kuasa beli mereka bagi mengawal harga pasaran.

"Tindakan pihak berkuasa menetapkan harga siling ataupun harga maksimum tidak semestinya menjamin pematuhan di seluruh negara.

"Pengguna membeli daripada peruncit tetapi pihak sebenar yang ada kuasa menentukan harga selama ini ialah pemborong," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas polemik di antara kerajaan dan persatuan penternak ayam dalam menentukan harga ternakan itu yang ketika ini dinaikkan tanpa sebarang sebab munasabah.

Jelas Muhammad Shaani, kenaikan harga ayam berpunca daripada sistem pengedaran yang dimonopoli pihak tertentu yang turut bertanggungjawab menentukan harga ternakan tersebut.

"Banyak saranan dan cadangan untuk membanteras kesan manipulasi pasaran tidak berjaya dilaksanakan kerana harga naik yang bermusim dan ketiadaan satu agensi yang dapat menembusi rangkaian pasaran dan pengedaran hasil ternakan ini," ujarnya.

Tambah beliau, pengeluaran ayam negara kini 1.3 juta ekor sehari dan 110,000 ekor pula dieksport.

"Anggaran kos purata ayam adalah sekitar RM3.70 sekilogram dan harga ladang pula RM4 sekilogram.

"Daripada keseluruhan hasil daging ayam, sebanyak 70 peratus dijual melalui pasar-pasar basah," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Tuesday, March 31, 2009

Usah gelap mata terima tawaran bank


KUALA LUMPUR:
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan orang ramai tidak gelap mata jika dihubungi dan ditawarkan pinjaman peribadi serta kad kredit dari mana-mana bank.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman ketika dihubungi berkata pengguna akan mendapat kesan buruk sekiranya mereka menerima tawaran berkenaan berikutan keadaan ekonomi yang tidak begitu baik pada masa sekarang.

“Pengguna perlu sedar sekiranya mereka tidak mengalami sebarang masalah kewangan, mereka tidak perlu bersetuju dengan tawaran yang diterima kerana akan menanggung beban hutang yang banyak berikutan membuat pinjaman dengan bank berkenaan.

“Membuat pinjaman bank pada masa ini bukanlah mudah seperti yang disangkakan kerana sekiranya pinjaman yang dibuat tidak dapat dibayar dan tertunggak, nama mereka akan disenaraihitamkan oleh bank dan syarikat kewangan lain dan seterusnya merugikan diri sendiri,”
katanya.

Keadaan ekonomi global yang tidak menentu tidak sesuai bagi pengguna membuat pinjaman atau memohon kad kredit sekiranya mereka tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Fomca juga tidak menggalakkan pengguna berbuat demikian pada masa sekarang kerana bimbang mereka tidak mampu membayar balik pinjaman dibuat berikutan terdapat segelintir bank yang mengenakan kadar faedah tinggi.

Menurutnya, tidak wajar bagi pihak bank menawarkan pinjaman sedemikian berikutan kebanyakan pengguna masih lagi mengalami kesukaran untuk berbelanja bagi meneruskan kehidupan seharian.

“Adalah sesuatu tidak baik sekiranya pihak bank menghubungi mana-mana individu menawarkan pinjaman peribadi dan kad kredit walaupun mereka tahu akan keadaan kegawatan ekonomi sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, Fomca menasihatkan orang ramai berfikir panjang sebelum menerima tawaran berkenaan dan memikirkan kesan masa depan sekiranya menghadapi masalah kewangan kelak.

Friday, January 30, 2009

Hati-hati risiko guna kad debit



Jan 29, 09 4:05pm

Pemegang kad debit menghadapi risiko hilang semua simpanan dalam akaun tanpa jaminan bank jika kad itu disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kata Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Setiausah agungnya Muhammad Sha'ani Abdullah berkata sindiket penipuan boleh mencuri data pemilik kad untuk diklon sebagai kad debit palsu untuk membeli barangan, lapor Bernama.

Tambahnya, kerana kad debit disambung terus kepada akaun pemegang kad dan sebarang pembelian menggunakannya, wang akan ditolak serta-merta daripada akaun pengguna.

"Ini bermakna risiko terletak sepenuhnya pada pemegang kad debit dan bank tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang dialami oleh pemegang akibat penyalahgunaan kad berkenaan," beliau dipetik berkata hari ini.

Berbeza dengan pengguna kad kredit yang mendapat jaminan tertentu bank, pemilik kad debit tidak mendapat jaminan sedemikian.

"Jika kad kredit disalahgunakan oleh pihak tertentu, maka pemegang boleh mempertikaikan jumlah perbelanjaan dan menuntut semula bayaran dari bank," katanya.

Muhamad Sha'ani, yang juga ketua eksekutif Pusat Perkhidmatan Aduan Pengguna Nasional (NCCC), menambah bank tempatan membuat promosi kad debit secara agresif sejak tahun lepas dan pengguna perlu berwaspada untuk memilikinya.

Bagaimanapun sumber perbankan menjelaskan, risiko kad debit adalah minima apabila digunakan dalam negara kerana penggunaannya berdasarkan tandatangan pemegang dan kad mempunyai cip keselamatan.

Tambahnya, seperti dipetik agensi berita itu, pemegang kad debit tidak perlu berhutang untuk berbelanja kerana mereka hanya dapat berbelanja mengikut jumlah simpanan dalam akaun sahaja.

"Ini membantu mendisiplinkan pengguna dari segi perbelanjaan yang tidak perlu atau menanggung hutang berlebihan," kata sumber yang tidak didedahkan identitinya.

Kad debit itu baik untuk bank kerana mereka tidak perlu memberi sebarang kredit kepada pemegang dan sekali gus mengurangkan risiko pinjaman tidak berbayar, tambahnya.


http://www1.malaysiakini.com/news/97258
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...